ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Thursday, November 27, 2008

ISU BARRACK OBAMA

ISU BARRACK OBAMA:
SIDANG DEWAN UNDANGAN NEGERI PAHANG JADI GAMAT?

KUANTAN – Isu kemenangan Barrack Obama sebagai simbol perpaduan yang diucapkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Triang, , Encik Leong Ngah Ngah telah diputarbelitkan oleh sebuah akhbar tabloid menggamatkan Persidangan Dewan Ungan Negeri Pahang, Khamis lalu.

Ucapan ADUN Triang itu menyebabkan suasana Dewan menjadi panas, kerana dalam taksub berhujah, beliau tidak mengendahkan teguran berkali-kali Yang Dipertua Dewan, Datuk Wan Razali Wan Mahussin yang memintanya duduk.

Ngah Ngah memberi contoh kemenangan Barrack Obama sebagai Presiden ke-44 Amerika Syarikat, sebagai satu iktibar bagi bangsa Malaysia ke arah bersatu padu, sebaliknya dakwa beliau, laporan akhbar tabloid itu adalah sebaliknya dan berbau perkauman.

‘‘Saya tidak pernah timbulkan isu perkauman. Apa yang saya cakap kemenangan Obama ini boleh kita jadikan contoh supaya Melayu boleh percaya Cina, Cina boleh percaya Melayu dan begitu juga kaum-kaum lain,” katanya.

Penjelasan Ngah Ngah yang panjang lebar itu semasa membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2009 itu mendapat reaksi Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob (BN-Pelangai) yang turut memintanya mendengar teguran Yang Dipertua Dewan.

Seterusnya dalam nada berseloroh Adnan berkata: ‘‘Itu memang kerja akhbar, Mereka akan cari berita sensasi, seperti contoh, jika mereka dapat berita ADUN Rompin atau Ibam ditangkap khalwat, lagi mereka suka. Kalau begitu anda (Ngah Ngah) baik tak payah baca surat khabar.”

‘‘Sepatutnya kita persetankan saja laporan macam tu. Ini hanya benda kecil, go to hell dengan (laporan) itu.” Kata Adnan lagi.

Menteri Besar kemudian berkata, beliau akan menjelaskan lebih lanjut berhubung isu itu pada sesi penggulungan nanti.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.14, 30 Nov - 6 Dis 2008

PERPUSTAKAAN AWAM NEGERI PAHANG DHAIF?

PERPUSTAKAAN AWAM NEGERI PAHANG DHAIF?

KUANTAN . – Kerajaan Pahang disaran segera membaiki dan memulih bangunan perpustakaan yang amat dhaif itu sejajar dengan tarafnya sebagai Perpustakaan Negeri, pinta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Datuk Pang Tsu Ming.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Bajet Kerajaan Pahang 2009 pada persidangan keempat penggal pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-12 di Wisma Sri Pahang di sini Isnin lalu.

Katanya, Kerajaan Pahang digesa menaik taraf bangunan perpustakaan negeri yang dianggap ketinggalan zaman dan gagal menarik peminat buku di negeri ini kerana .
keadaan bangunan perpustakaan itu tidak selayaknya dijadikan Perpustakaan Negeri berdasarkan keadaannya yang semakin uzur dan usang.

Keadaan bangunannya yang ketinggalan zaman itu menyebabkan ada sebahagian penduduk menganggapnya sebagai stor Kerajaan.

Tsu Ming berkata, kedhaifan bangunan tersebut menyebabkan ia tidak dapat menarik penduduk di bandar ini terutama pelajar untuk menjalankan aktiviti membaca di perpustakaan itu.

''Pelajar di bandar Kuantan seolah-olah tidak berminat menjadikan Perpustakaan Negeri sebagai tempat mengulang kaji pelajaran atau membaca pada cuti persekolahan," jelasnya.

Malah tambah beliau, tidak ada papan tanda dipasang untuk menunjukkan arah perpustakaan itu yang lokasinya agak tersorok di bangunan-bangunan kerajaan di sini.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.14, 30 Nov - 6 Dis 2008

JABATAN BEKALAN AIR PAHANG DIKORPORATKAN FEBRUARI 2009

JABATAN BEKALAN AIR PAHANG DIKORPORATKAN FEBRUARI 2009

KUANTAN . - Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang akan dikorporatkan menjelang Febuari 2009 bagi mempertingkat dan memperbaiki mutu perkhidmatan bekalan air kepada rakyat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pusat Pertumbuhan Desa, Datuk Mohd. Sofi Razak berkata, kerajaan negeri kini dalam proses untuk mengkorporatkan JBA Pahang bagi memperbaiki mutu perkhidmatan bekalan air.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Mohd. Fadzil Osman (BN-Kemayan), berhubung kos dan masa yang diperlukan untuk menukar keseluruhan paip air lama di Pahang pada mesyuarat penggal pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 di Wisma Sri Pahang, di sini Selasa lalu.

Terdahulu, Leong Ngah Ngah (DAP-Triang) mengemukakan soalan mengapa kejadian paip air bocor dan pecah sering berlaku walaupun telah dibaiki banyak kali dan adakah kerajaan bersedia melantik kontraktor yang lebih profesional untuk menangani masalah tersebut.

Pada menjawabnya, Mohd. Sofi berkata, Pahang memiliki lebih 8,000 paip air berusia di antara 40 hingga 50 tahun yang sering terdedah kepada pelbagai permasalahan termasuk bocor dan pecah.

Menurutnya, JBA mengalami kesukaran untuk mengatasi masalah itu ekoran kekurangan kakitangan, peralatan serta peruntukan yang terhad dan terpaksa melantik kontraktor yang pakar sekiranya ia melibatkan sebuah kerja yang agak besar.

''Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kita telah memohon peruntukan sebanyak RM1.7 biliion, tetapi yang diluluskan adalah RM687,000.

''Maka, jumlah itu kurang daripada separuh sedangkan kerja-kerja mengganti paip lama sahaja sudah menjangkau RM1 billion," jelasnya.

Oleh itu, katanya, sebuah program menggantikan paip lama bernilai RM30 kini sedang dilaksanakan dan tempoh yang diperlukan untuk menyelesaikan program tersebut mungkin agak lama.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.14, 30 Nov - 6 Dis 2008

CERAMAH MENTERI BESAR PERAK

CERAMAH MENTERI BESAR PERAK
DI PAHANG DI PULAU?


KUANTAN – Pakatan Rakyat Pahang yang menganjurkan Ceramah dari Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluudin terkejut kerana Majlis Ceramah yang dianjurkan itu di Kampung Rezali, dekat sini pada 15 November lalu seperti di pulau oleh ahli-ahli PAS, Partai Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Ini terbukti hanya sekitar 200 orang saja yang hadir sedangkan diwar-warkan sebelum ini ceramah terbabit akan dihadiri lebih dari 2,000 orang ahli-ahli Pakatan Rakyat dari seluruh negeri Pahang menyebabkan penceramah gagal menyampaikan ceramah dengan berkesan dan majlis pun bermula lewat.

Difahamkan keadaan ini berlaku kerana terdapat unsur-unsur keretakan dalam Pakatan Rakyat di Pahang antara PAS, PKR dan DAP berkait dengan beberapa isu termasuk perebutan keahlian antara PAS dan PKR dan isu-isu lain yang memungkinkan Pakatan Rakyat hanya akan tinggal nama saja tidak lama lagi.

Di dalam ceramahnya, Mohamad Nizar menjelaskan bahawa Kerajaan Perak pimpinan Pakatan Rakayat sedang meneruskan usaha menarik pelabur asing datang melabur ke negeri Perak dan dari lima buah negara yang telah dikenalpasti itu adalah Singapura, India, Jepun, Eropah dan Britain.

Katanya, ketika ini seramai 7,500 orang kakitangan awam negeri Perak telah bersumpah menyokong Kerajaan Pakatan Rakyat, walau dalam masa yang sama Barisan Nasional mendakwa Kerajaan Pakatan Rakyat tidak mampu mentadbir kakitangan awam dengan sempurna.

” Majoriti rakyat negeri Perak telah mulai yakin dan percaya kepada strategi pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dan saya akan jadikan contoh untuk diikuti oleh rakan-rakan Pakatan Rakyat dari lain-lain negeri kerana sasaran Pakatan Rakyat untuk mengusasai semua negeri di Malaysia selepas Pilihanraya Umum akan datang.

” Kalau Perak yang rakyatnya memilih Pakatan Rakyat untuk memerintah dengan baik di negeri Perak, saya percaya rakyat Pahang juga akan menikmati pemerintahan Pakatan Rakyat yang baik bagi membenteras rasuah yang berleluasa dan menyelamatan harta pusaka nenek moyang kita, ” ujar beliau lagi.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.14, 30 Nov - 6 Dis 2008

BAJET DEFISIT 2009 KERAJAAN PAHANG

BAJET DEFISIT 2009 KERAJAAN PAHANG
BEBANKAN RAKYAT?

KUANTAN – Pakatan Rakyat amat kecewa terhadap bajet defisit RM98.61 juta yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob bagi tahun 2009 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-12 itu akan membebankan rakyat.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azan Ismail berkata, bajet defisit itu memberi impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi negeri terutamanya dari aspek pelaburan asing dan menjejaskan pelbagai sektor ekonomi lain.

Katanya, defisit untuk tahun 2009 yang dibentangkan Adnan itu akan memungkinkan Kerajaan Pahang terpaksa membuat pinjaman daripada kerajaan pusat sekali gus menambahkan jumlah hutang negeri yang sebelum ini masih belum berjaya dilangsaikan.

Menurutnya, perkara ini akan menjadi halangan kepada kerajaan negeri untuk membawa agenda pembangunan negeri termasuk menguruskan pentadbiran negeri dengan lancar dan rakyat berhak untuk melihat adanya inisiatif dan usaha untuk mengeluarkan negeri ini daripada belenggu hutang atau defisit.

“Defisit bermakna kerajaan negeri terpaksa mengurangkan beberapa cadangan yang sepatutnya dibuat terhadap kebajikan rakyat dan kemudahan asas yang sepatutnya dinikmati rakyat,” dipetik sebagai berkata.

Kata beliau lagi, dalam suasana ekonomi tahun 2009 seperti yang dibentangkan di Parlimen, pertumbuhan ekonomi negara dijangka tidak berapa baik dan rakyat mengharapkan kerajaan negeri mengambil inisiatif dengan berusaha mengurangkan impak kemelesetan di peringkat nasional.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, rakyat turut mengharapkan kerajaan negeri mengisytiharkan bajet untuk mengurangkan kadar kemelesetan di peringkat negeri.

Menurutnya lagi, rakyat mengharapkan kerajaan negeri dapat mengumumkan bajet yang jauh lebih baik daripada kerajaan pusat memandangkan negeri ini kaya dengan hasil buminya tetapi apa yang diumumkan Menteri Besar tidak menjadi kenyataan.

Menurut Azan lagi, implikasi paling besar daripada bajet defisit apabila harapan kerajaan negeri membuat pinjaman daripada kerajaan pusat tidak berlaku dan ini bermakna pentadbiran negeri akan menghadapi masalah membayar gaji kakitangan dan berdepan dengan mutu perkhidmatan penyampaian yang merosot.

Katanya, projek-projek pembangunan di bawah kerajaan negeri mungkin tertangguh atau dibatalkan sekiranya pinjaman tidak diluluskan dan keadaan ini akan menyebabkan ianya terus bergelumang hutang yang menjadi beban jangka panjang secara berterusan.

Ditanya apakah langkah mengurangkan defisit ini, Azan berkata, kerajaan negeri perlu mengkaji semula beberapa perbelanjaan kurang penting, dinilai semula jumlahnya dengan lebih menumpukan kepada peruntukan projek-projek kecil yang memberi faedah menguntungkan secara langsung kepada rakyat berpendapatan rendah.

Sementara itu semasa membentangkan bajet 2009, Adnan berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM925.27 juta bagi kos mengurus dan pembangunan dimana RM560.47 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM364.4 juta lagi untuk perbelanjaan pembangunan.

Katanya, Peruntukan perbelanjaan mengurus tahun 2009 meningkat sebanyak RM49.5 juta disebabkan pembayaran imbuhan kakitangan awam dan peningkatan kos minyak serta tarif elektrik.

Beliau berkata demikian ketika semasa membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2009 pada Mesyuarat Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 di Wisma Seri Pahang di sini Jumaat lalu.

Menurut beliau, peningkatan itu juga didorong usaha kerajaan negeri dalam menambah kecekapan jentera pelaksana di peringkat dasar melalui penstrukturan semula perjawatan dan penambahan kakitangan.

''Perbelanjaan pembangunan mengalami penurunan daripada RM382.74 juta pada tahun ini kepada RM364.8 juta tahun depan, daripada jumlah itu sebanyak RM185.5 juta diperoleh daripada punca dalam negeri manakala RM179.3 juta dipinjam dari Kerajaan Persekutuan bagi membiayai projek bekalan air.

Kerajaan negeri menganggarkan pertambahan hasil tahun depan berkurangan RM5.18 juta kepada RM461.9 juta berdasarkan kemampuan rakyat yang menurun dalam pembayaran cukai akibat kenaikan harga minyak dan barang makanan tahun ini.

Jumlah itu, katanya, hanya mampu menampung perbelanjaan mengurus (tanpa caruman) tahun depan dengan lebihan hanya RM36.7 juta dan sumber hasil utama negeri bertumpu kepada cukai tanah dan galian menyumbang RM162 juta, air (RM116.6 juta), perhutanan (RM77.9 juta), pemberian Kerajaan Persekutuan (RM56.3 juta) dan hasil lain (RM50 juta)..

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.14, 30 Nov - 6 Dis 2008

Sunday, November 23, 2008

GIMIK MENGHAPUSKAN POLITIK WANG DALAM UMNO?

GIMIK MENGHAPUSKAN POLITIK WANG DALAM UMNO?

TEMERLOH – Gara-gara melakukan gimik tidak bertempat dengan mengedarkan tiket nombor ekor kononnya bagi menghapuskan politik wang dalam UMNO bukan sahaja melucukan malah mempersendakan nilai-nilai Islam.

Perbuatan mengedar tiket nombor ekor kepada 300 orang perwakilan yang menghadiri Persidangan UMNO Bahagian Temerloh pada 8 November lalu itu telah diucapkan oleh mantan Ketua UMNO Bahagian Temerloh, Datuk Mohd. Sarit Yusoh.

Katanya, ketika didatangi oleh semua calon yang sibuk menjalankan kempen bagi meraih undi dengan mengedarkan kad dan nombor bagi pertandingan pelbagai jawatan, beliau turut menerima tiket nombor ekor 0440 yang diedarkan oleh seorang perwakilan..

“Ini adalah antara gimik tidak bertempat menghangatkan suasana pertandingan sebagai cara memikat minat ahli-ahli perwakilan supaya mengundi calon berkenaan, sedang orang lain menggunakan kad nombor dan pujuk rayu,” kata Mohd. Sarit.

Sementara itu menurut perwakilan yang mengedarkan tiket nombor ekor berkenaan, mantan Exco Pergerakan Pemuda UMNO era 1995, Che Wan Shamsiruddin Wan Shamsuddin memberitahu, beliau bertindak sedemikian bagi cuba menghapuskan politik wang yang berleluasa dalam UMNO.

Menurut beliau walaupun perbuatan itu dianggap sebagai gimik, apa yang dilakukan sebagai satu isyarat membenteras politik wang yang berlaku dalam pelbagai pertandingan jawatan dalam UMNO Bahagian Temerloh.

“ Saya bertanding sebagai Ahli Jawatankuasa dengan nombor 44 manakala nombor 04 adalah bagi pertandingan mendapatkan tempat dalam G7 dan jika nombor berkenaan bertuah, setiap yang menerima tiket nombor ekor itu akan dapat hadiah RM2,500.” katanya.

Dalam perkembangan yang lain, Dewan Pemuda Pas Temerloh difahamkan telah membuat laporan polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung isu pengedaran 'nombor ekor' semasa mesyuarat UMNO Bahagian Temerloh.

Laporan dibuat Ketuanya, Jauhari Ishak kerana menganggap perbuatan itu melanggar undang-undang bersabit salah laku rasuah dan mahu ia disiasat Seksyen 21 (1) Akta Pencegahan Rasuah atau lain-lain seksyen yang ada pada bidang kuasa BPR.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.13, 23 - 29 November 2008

Pemimpin Pemuda PAS Cuba Racuni Pemikiran

Pemimpin Pemuda PAS Cuba Racuni Pemikiran
Orang Melayu Melalui Khutbah Jumaat Berbau Politik

MUADZAM SHAH – Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis meminta Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP) memantau khutbah Jumaat berbau politik kerana jika tidak dipantau secara tegas sudah pasti khutbah berkenaan akan meracuni pemikiran orang Melayu membenci Kerajaan Barisan Nasional.

Katanya, JAIP diminta membuat pemantauan itu kerana khatib yang membaca khutbah terutama di kawasan Felda tidak bertauliah, tetapi mereka diberi laluan menyampaikan khutbah kerana mereka mendakwa sebagai tokoh Islam, sudah pasti kesempatan itu dipergunakan untuk kepentingan meluaskan pengaruh PAS.

Dr Jamaluddin memberitahu, baru-baru ini beliau solat Jumaat di Masjid Felda Keratong 4, Rompin dan mendapati dalam khutbah yang disampaikan seperti berceramah dan khatib berkenaan tidak membacakan teks yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri menyebabkan para jemaah menjadi resah dan tidak berpuashati.

Menurut beliau, pengisian yang sepatutnya disampaikan kepada jemaah mesti berpandukan teks khutbah sebenar, dan khuitbah yang disampaikan pada hari berkenaan jelas melanggar peraturan solat Jumaat seperti yang telah ditetapkan oleh JAIP.

“ Saya mempersoalkan khatib yang tidak bertauliah dan tidak baca isi kandungan teks khutbah, manakala khatib berkenaan bukan orang tempatan, tetapi didatangkan dari luar kawasan berkenaan.

“ Saya juga turut terkilan dengan keangkuhannya semasa menyampaikan khutbah yang telah menjadikan masjid sebagai markas PAS terutama bila mempersoalkan mengenai Akta Keselamtan Dalam Negeri (ISA) dan seterusnya menghentam Kerajaan.

“ Saya tidak kisah jika dia berceramah di markas Pas, malangnya dia bercakap di dalam masjid, soal-soal politik, kemudian pihak PAS mendakwa beliau bertindak kasar amatlah tidak benar sama sekali, “ ujar beliau lagi.

Dipetik dri Mingguan Watan
Bil.13, 23 - 29 November 2009