ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Saturday, January 30, 2010

BALANGSUNGKAWA KING GHAZ



Tokoh Rao- "King Ghaz" disemadikan di Makam Pahlawan

Bekas Menteri Dalam Negeri Tun Ghazali Shafie yang meninggal dunia semalam disemadikan di Makam Pahlawan di perkarangan Masjid Negara di Kuala Lumpur hari ini kira-kira jam 2.30 petang tadi/25.1.2010.

Lebih 200 sanak saudara, kenalan dan dif-dif kehormat hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Negara.
Antara dif kehormat ialah Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah, Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, dan beberapa menteri dan timbalan menteri kabinet lain.
Dilahirkan di Kuala Lipis, Ghazali, 88, meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Subang Jaya pada 7.45 malam, semalam.
Sebelum itu, jenazah dimandi, dikapan dan disembahyangkan di Masjid al-Mujahiddin, Damansara Utama berhampiran rumah adik perempuan Allahyarham, Datin Yuhanie Shafie, 78, pada kira-kira jam 10 pagi.
Jenazah Allahyarham turut disembahyangkan selepas solat zohor pada kira-kira jam 1.30 petang di Masjid Negara dengan diimamkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom.
Suasana pilu menyelebungi Makam Pahlawan
Suasana pilu menyelubungi Makam Pahlawan bila talqin dibacakan oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syeikh Ismail Muhammad.
Anak saudaranya Datuk Amin Raiffe Othman, yang mewakili anggota keluarga Ghazali, berkata beliau sekeluarga merakamkan penghargaan kerana diberi penghormatan pengkebumian Allahyarham di Makam Pahlawan.
"Saya mewakili anggota keluarga mengucapkan terima kasih dan penghargaan tinggi kami sekeluarga kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan kerana memberi penghormatan negara dengan pengkebumian di Makam Pahlawan," katanya kepada pemberita selepas upacara pengkebumian.

Mengenai cadangan Najib agar kerajaan melantik seseorang untuk menulis memoir Ghazali, beliau berkata keluarganya akan membantu mengumpul bahan untuk penghasilan memoir itu termasuk mendapatkan beberapa catatan yang pernah ditulis oleh Allahyarham.
"Kami akan bantu kerana dia (Tun Ghazali) ada tulis, catat dalam buku dia walau tidak complete (lengkap), kami akan bantu usaha membukukan supaya rakyat tahu keadaan dan contribution (sumbangan) yang orang lain tak tahu," katanya.
- Bernama /Malaysiakini
Dari Sekondak hati

King Ghaz ikon diplomat
Oleh ROHANI IBRAHIM
rencana@utusan.com.my/uTUSAN Malaysia 26.1.2020

ALLAHYARHAM Tun Ghazali Shafie cukup terkenal dengan sikap tegasnya terutamanya ketika menjalankan tugas.
Kerana sifat tegas itulah beliau diberikan gelaran 'King Ghaz' oleh mereka yang pernah mengenali beliau.
Biarpun tidak lagi memegang jawatan dalam Kabinet sejak 1984, King Ghaz pernah sesekali dilihat menghadiri majlis syarahan umum atau perbincangan ilmiah anjuran pelbagai pihak termasuk kumpulan kajian strategik tempatan dan antarabangsa.
Penulis sendiri pernah melihat Allahyarham aktif berkongsi pandangan dan pengalaman dengan para peserta dalam satu majlis perbincangan beberapa tahun yang lalu.
Sumbangan beliau kepada negara bermula pada tahun 1941 apabila menjadi ahli Pasukan Sukarelawan Malaya.
Pada tahun 1961 pula beliau ditugaskan sebagai Pegawai Projek untuk penubuhan Malaysia dan menganggotai Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962.
Antara sumbangan besar beliau kepada negara ialah berhubung pembentukan Rukun Negara, satu prinsip bagi mencetus dan mengukuhkan perpaduan kaum di negara ini berikutan peristiwa 13 Mei 1969.
King Ghaz mula menyandang jawatan dalam Kabinet pada tahun 1970 apabila dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas dan kemudiannya Menteri Tugas-Tugas Khas dan Penerangan pada tahun 1972.
Beliau kemudiannya menyandang jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri dan Penerangan sehingga Julai 1981 sebelum menjadi Menteri Luar dan meletak jawatan pada 1984.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika dihubungi menyifatkan King Ghaz sentiasa bersikap hands on dan mengetahui sesuatu isu dari segala sudut semasa memimpin Kementerian Dalam Negeri.
"King Ghaz dihormati, disegani dan kadangkala digeruni oleh lawan dari dalam dan luar negara. Idea dan pendekatan beliau pada masa itu merupakan pendekatan di luar kotak.
"Walaupun sekarang isu yang saya hadapi adalah berbeza seperti keganasan dan pendatang asing pengalaman, beliau tetap relevan kepada saya yang sekarang ini memikul amanah yang sama," katanya.
Sungguhpun pernah memegang beberapa portfolio dalam Kabinet, jawatan terakhir Allahyarham iaitu Menteri Luar menjadikan beliau dikenang sehingga hari ini sebagai ikon dan legenda oleh mereka yang berpengalaman bertugas bersama beliau di Wisma Putra.
Bekas diplomat, Datuk Dr. Rajmah Hussain yang pernah menjadi Duta Wanita Malaysia yang pertama ke Amerika Syarikat (AS) pernah memberitahu sebuah akhbar berbahasa Inggeris lebih dua tahun lalu bahawa King Ghaz merupakan mentor beliau.
"Dengan King Ghaz, anda perlu sentiasa bersedia sepanjang masa. Beliau sentiasa mengharapkan pegawainya memberikan yang terbaik," jelas Rajmah kepada akhbar berkenaan.
Dalam laporan tersebut, beliau turut mengimbau kenangan mengikuti King Ghaz ke India sebagai pegawai baru di Wisma Putra.
Ketika itu King Ghaz meminta Rajmah menyediakan pelbagai dokumen dan selepas semua tugasan di India selesai, pembantu King Ghaz pada ketika itu memberitahu Rajmah secara berbisik bahawa beliau sudah 'lulus' semua ujian yang diberikan oleh bosnya.
Bekas Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1980-1984 Tan Sri Zainal Abidin Sulong (yang pernah bekerja bersama Allahyarham ketika proses pembentukan Malaysia) berpendapat King Ghaz sebagai seorang yang berpengaruh dan mempunyai kemahiran meyakinkan orang lain.
Ketika diwawancara oleh sebuah lagi akhbar berbahasa Inggeris Zainal Abidin menyifatkan King Ghaz memainkan peranan yang sangat signifikan dalam pembentukan Malaysia.
"Beliau begitu rapat dengan Allahyarham Tun Razak, jika tidak silap, mereka merupakan rakan sekolah. Beliau juga berjaya meyakinkan rakyat Sabah dan Sarawak yang tidak banyak tahu mengenai politik.
"King Ghaz adalah seorang pemimpin yang mampu meyakinkan sesiapa sahaja termasuk semua pihak ketika di Kementerian Luar. Ya, beliau sangat berpengaruh.
"Dan ketika pembentukan Malaysia, beliau belum pun menjadi seorang menteri atau timbalan menteri. Hanya seorang penjawat awam. Tanpa King Ghaz perbincangan akan tidak ke mana-mana.
"Saya boleh katakan King Ghaz bukan sahaja bertindak sebagai jurucakap dalam proses pembentukan Malaysia tetapi pemangkin kepada idea pembentukan Malaysia. Saya berasa bertuah bekerja bersama King Ghaz," katanya dalam wawancara itu.
Mengenang kembali kenangan bertugas bersama King Ghaz di Kementerian Luar pula, Zainal Abidin menganggap ia merupakan tempoh terbaik sepanjang kerjaya beliau.

Memoir untuk Ghazali Shafie
Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@urusan.com.my
PETALING JAYA 25 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bercadang melantik seseorang bagi menulis memoir bekas Menteri Dalam Negeri, Tun Ghazali Shafie yang banyak terlibat dalam proses pembentukan negara.
Sambil menyifatkan Ghazali sebagai seorang wira negara, Perdana Menteri berkata, Allahyarham mengetahui banyak rahsia mengenai sejarah pembentukan Malaysia yang patut dirakamkan.
Sebagai contoh, jelasnya, Allahyarham memainkan peranan penting sewaktu negara menghadapi detik mencabar terutama pada peringkat awal pasca kemerdekaan, proses pembentukan Malaysia, era selepas konfrontasi serta ketika mendepani ancaman komunis.
“Allahyarham menjadi pemimpin dalam detik-detik yang sangat mencabar seperti pada peringkat awal pasca merdeka jadi saya cadangkan kerajaan melantik seseorang untuk menyiapkan memoirnya, terlalu banyak peristiwa yang diketahuinya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarah jenazah Allahyarham di kediaman adik perempuannya, Datin Yuhani Shafie di sini hari ini.
Najib menambah, beliau terkesan dengan pemergian Allahyarham memandangkan beliau merupakan rakan ayahandanya yang juga Perdana Menteri kedua negara, Tun Abdul Razak Hussein.
“Saya berasa sedih kerana seorang lagi angkatan 20-an yang merupakan saing ayahanda saya tiada lagi,” ujarnya dalam nada sebak.
Ghazali, 88, meninggal dunia di kediamannya di Subang Jaya dekat sini kerana sakit tua malam tadi.
Allahyarham merupakan antara yang terlibat secara langsung dalam usaha penyatuan Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung sehingga terbentuknya negara Malaysia.