ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Saturday, September 26, 2009

Abdul Rahim tegas, pentingkan rakyat


Abdul Rahim tegas, pentingkan rakyat
Oleh YULPISMAN ASLI
utusanpahang@utusan.com.my

PEMERGIAN ke rahmatullah Bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Abdul Rahim Abu Bakar yang dikenali sebagai seorang yang tegas di kalangan pemimpin dan rakan-rakannya, meninggalkan banyak jasa kepada rakyat dan negeri Pahang.
"Allahyarham seorang pemimpin yang tegas dalam membuat keputusan, tetapi mudah didekati," kata Presiden Majlis Wakil Rakyat (Mubarak) Cawangan Pahang, Datuk Abdul Jabbar Ibrahim.
Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Jalan U-Than, Kuala Lumpur pada pukul 7.10 petang kelmarin dipercayai akibat serangan jantung, ketika menunggu azan untuk berbuka puasa.
Dalam arena politik jelas Abdul Jabbar, sikap tegas Allahyarham itu mewujudkan perasaan kurang senang kepada pihak tertentu.
Namun apa yang pasti katanya, Allahyarham mencipta banyak kejayaan dalam kerjayanya meliputi pelbagai bidang termasuk politik, sukan, pertubuhan belia, koperasi dan juga pembangunan bahasa.
Walaupun Allahyarham menjadi Menteri Besar hanya dalam waktu yang singkat, namun beliau berjaya mewujudkan kawasan penempatan penting di Kuantan iaitu Bandar Atabara yang kini dikenali sebagai Indera Mahkota, jelas Abdul Jabbar.
Menurut beliau lagi, Allahyarham juga banyak membangunkan tanah di Pahang untuk kepentingan rakyat dan negeri semasa mengetuai Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).
Dalam bidang koperasi pula, antara kejayaan besar Allahyarham ialah 'menyelamatkan' Koperasi Shamelin yang ketika itu berdepan bebanan hutang.
Allahyarham merupakan Pengerusi Shamelin Holding Sdn. Bhd. dan Koperasi Shamelin Berhad sejak 1991 sehingga kini.
"Di bawah kepimpinannya, beliau berjaya melangsaikan hutang koperasi berkenaan sehingga mampu pula memberi dividen," jelas Abdul Jabbar yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Pahang ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Datuk Faisal Abdullah pula menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang tegas dan berani mengambil keputusan yang difikirkannya baik.
"Beliau seorang yang mempunyai pendirian dan cara serta gayanya sukar difahami," katanya.
Menurut Faisal, semasa hayatnya Allahyarham adalah antara orang yang terlibat dalam penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang kini menjadi pertubuhan belia disegani sama di dalam dan luar negara.
Katanya, sepanjang menjadi Menteri Besar walaupun dalam waktu yang singkat, Allahyarham terlibat dalam rancangan mewujudkan bandar dan pusat perniagaan baru di seluruh Pahang antaranya di Chenor, Maran dan Bentong.
Seorang lagi bekas ADUN Beserah, Datuk Mohd. Fauzi Abdul Rahman turut menyifatkan Allahyarham seorang tokoh yang berjiwa rakyat dan pemergian beliau merupakan satu kehilangan buat negeri Pahang.
Mohd. Fauzi yang kini Pengerusi PKR Pahang turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang cemerlang kerana sangat memahami aspirasi rakyat.
"Semasa hayatnya, Allahyarham sangat memahami naluri rakyat. Beliau sangat sederhana dan tidak kekok untuk turun padang bagi melihat sendiri masalah rakyat.
"Beliau benar-benar seorang pemimpin yang pentingkan rakyat dan seorang yang tegas. Tetapi politik tidak adil kepada Allahyarham," katanya.
Sememangnya, pemergian beliau merupakan satu kehilangan kepada Pahang sebagaimana ditegaskan oleh Exco Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin.
"Pahang kehilangan tokoh berwibawa yang banyak berjasa kepada pembangunan negeri seperti pembinaan bandar Indera Mahkota ketika di zamannya," katanya.
Bagi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang itu, Allahyarham juga merupakan seorang pejuang bahasa dan rakyat Pahang harus mengenang beliau sebagai 'pejuang rakyat.'