ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Wednesday, February 3, 2010

Bekas Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Manusia meninggal

Bekas Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Manusia meninggal


KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Manusia, Datuk Abdullah Majid, 83, meninggal dunia di kediamannya di Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini kira-kira jam 5 pagi semalam selepas menderita hampir 20 tahun kerana menghidap angin ahmar.

Abdullah yang juga bekas Setiausaha Akhbar kepada bekas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dipercayai meninggal dunia ketika dalam tidur.

Jenazah Allahyarham dibawa dari kediamannya untuk diuruskan dan disembahyangkan di Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya kira-kira jam 10.30 pagi.
Anak Allahyarham, Rozihan, 43, berkata jenazah ayahnya akan dibawa ke kampung kelahirannya, Kampung Durian Sebatang, dekat Dong, Raub, Pahang untuk dikebumikan selepas solat Zuhur.

Rozihan berkata, kematian ayahnya disedari pembantu rumah ketika datang menjalankan pemeriksaan terhadap ayahnya kira-kira jam 5 pagi semalam.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Datin Hamidah Hussain, 63, dan dua anak, Rozihan dan Rozana, 45.
Turut hadir menziarah dan memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham adalah bekas Pengarang Kumpulan New Straits Times Press Bhd (NSTP), Datuk Abdul Kadir Jasin dan Tan Sri Abdullah Ahmad, bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Rejal Arbee dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said

Allahyarham pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1976 ketika negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn selama empat tahun kerana dipercayai terbabit dengan elemen subversif komunis.

Ketika masih menjadi mahasiswa di Universiti Malaya Singapura pada 1952, Abdullah aktif terbabit dalam pelbagai persatuan dan cukup dikenali.

Bertanding mewakili Barisan Nasional untuk kerusi Parlimen Raub pada Pilihan Raya Umum Keempat, pada 1974 Abdullah menang dengan majoriti sebanyak 5,040 undi mengalahkan calon DAP, Yusof Bador.
Kemenangannya membolehkan beliau diberi kepercayaan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak untuk menganggotai barisan Kabinet dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Manusia pada 1974-hingga 1976.

Bekas Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Kerja, Abdullah Majid meninggal dunia

KUALA LUMPUR- Bekas Timbalan Menteri Buruh dan Tenaga Kerja Datuk Abdullah Majid, 85, meninggal dunia di kediamannya di Taman Desa di sini awal pagi ini.

Abdullah meninggalkan seorang balu, Datin Hamidah Tan Sri Hussein dan dua orang anak Rozhan Anuar dan Rozana Meili.

Anak saudara perempuan beliau, Adlina Wahab ketika dihubungi berkata, anggota keluarga menyedari Allahyarham meninggal dunia pada pukul 6 pagi ini.

Beliau berkata, jenazah Abdullah dibawa ke Masjid Tun Abdul Aziz, Petaling Jaya untuk sembahyang jenazah sebelum dibawa ke kampung kelahirannya di Kampung Durian Sebatang, Dong, Raub, Pahang untuk dikebumikan.

Abdullah, yang menamatkan pengajian di Universiti Malaya, Singapura pada tahun 1953 memulakan perkhidmatan dalam kerajaan sebagai Pegawai Pembangunan di Majlis Perbandaran Pulau Pinang sebelum menjawat pelbagai jawatan lain dalam kerajaan termasuk Pembantu Pengarah Kanan di Bahagian Perhubungan Luar Wisma Putra.-Bernama