ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Tuesday, March 24, 2009

Liku hidup pengasas Bernama

Liku hidup pengasas Bernama

Beliau ialah antara lima individu yang diberi tanggungjawab mengasaskan agensi berita negara, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) 41 tahun lalu.

Beliau juga satu-satunya pengasas Bernama yang masih hidup. Datuk Abdul Wahab Majid, 78, menyertai Bernama pada 15 Mac 1968, kira-kira dua bulan sebelum agensi berita ini secara rasmi memulakan operasinya. Berasal dari Kampung Dong, Raub, Pahang, Abdul Wahab mempunyai bapa, datuk, abang dan adik-adiknya sebagai guru tetapi ternyata beliau tidak memilih profesion itu sebagai kariernya.

"Datuk saya Mohd Jabar Mohd Kadir adalah guru pertama di Kampung Dong. Berasal dari keturunan Rao (Rawa), Sumatera, beliau kemudian bermastautin di Kampung Dong. Seingat saya, pada masa itu cuma ada tiga sekolah di Pahang iaitu di Dong, Pekan dan Kuala Lipis," kata Abdul Wahab dalam wawancara dengan Bernama di kediamannya di Petaling Jaya baru-baru ini.

Abdul Wahab bersekolah rendah kebangsaan di Dong dan menengah Inggeris di Mahmud School, Raub. Setelah tamat sekolah rendah (darjah lima), bapanya berura-ura menghantarnya ke sebuah sekolah agama di Pekan, namun Abdul Wahab memilih untuk masuk ke Mahmud School di Raub pada 1946.

"Saya dapat biasiswa RM9 sebulan dan daripada jumlah itu, RM3 saya gunakan untuk belanja tambang bas, berulang dari Dong ke Raub. Selebihnya untuk pakaian dan belanja harian sekolah.

"Saya terpaksa bangun seawal pukul 5 pagi. Selepas sarapan, saya akan berjalan melalui denai (jalan kampung), kebetulan rumah jauh dari jalan raya kerana tidak mahu ketinggalan bas. Dari rumah ke Raub, kira-kira 15 kilometer," katanya.

Persekolahan menengahnya terganggu apabila meletus Perang Dunia ke-2 di akhir 1941 dan Jepun menakluki Tanah Melayu. Beliau kemudiannya belajar di sekolah Jepun di Gali.

"Saya mengayuh basikal kira-kira lima kilometer dari rumah ke Gali. Azab sekali kerana tayar basikal tayar mati dan adik pula membonceng. Apabila sekolah Jepun dibuka di Dong, barulah senang sedikit dapat bertukar sekolah," sambungnya.



Bekerja pada zaman Jepun

Selepas belajar hampir tiga tahun di sekolah Jepun, Abdul Wahab berhenti sekolah dan bekerja dengan Jabatan Pos di Kuala Lipis sebagai pembantu peribadi kepada ketua jabatan yang berbangsa Jepun.

"Antara Lipis dengan Dong, jauhnya kira-kira 45 kilometer. Saya hanya balik ke rumah pada hujung minggu, sama ada dengan bas atau mengayuh basikal yang dipinjam dari Jabatan Pos," katanya.

Ketika bekerja dengan Jabatan Pos ini, beliau mendapat peluang berkursus dua kali di Kuala Lumpur.

"Kursus pertama selama tiga bulan. Saya pergi dengan seorang rakan, Sheikh Murad yang bekerja di Jerantut. Kami menaiki bas yang masa itu menggunakan kuasa wap. "Apabila bas berhenti di Gombak, waktu itu sudah lewat malam. Masa itu, semua barang kita diletakkan atas bumbung bas dan saya tidak sempat menurunkan beg saya sebab sudah bercampur dengan barang orang lain.

"Saya tidak dapat mengikut Sheikh Murad turun di stesen bas Jalan Melaka. Saya terjumpa seorang kawan bernama Zakaria dan menumpang bilik hotelnya. Nasi bekalan sudah hampir basi tetapi makan juga sebab perut lapar," ceritanya mengimbau kenangan silam.

Ketika berada di Kuala Lumpur, kapal terbang pengebom British B-29 mengebom stesen kereta api dan muzium.

Apabila kependudukan Jepun berakhir pada 1945, Abdul Wahab pulang ke kampung. Ketika itu, beliau berusia kira-kira 17 tahun dan menyambung persekolahannya di Mahmud School, Raub.

"Saya mengayuh basikal dari Dong ke Raub. Junior saya masa itu Tan Sri Salehuddin (mantan Ketua Setiausaha Negara). Saya belajar di Mahmud School hingga 1948. Kemudian saya berpindah ke Clifford School di Lipis sehingga peperiksaan Senior Cambridge," katanya.

Abdul Wahab mempunyai banyak kenangan manis ketika belajar di Clifford School. Guru besar sekolah ketika itu Dr G E D Lewis memperkenalkan sukan ragbi. Beliau turut terpilih menyertai pasukan ragbi sekolah, mengambil posisi 'anchor'.

Abdul Wahab kehilangan ibu yang amat disayanginya beberapa bulan sebelum beliau menduduki peperiksaan Senior Cambridge pada 1949.

"Saya amat sedih kerana emak meninggal sebelum saya dapat membalas jasanya. Saya berharap sangat dengan belajar, dan kemudian bekerja, saya dapat membalas jasa emak," katanya.

Lulus peperiksaan Senior Cambridge, Abdul Wahab mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

"Saya terima tawaran tetapi tidak layak meneruskan pengajian kerana keputusan peperiksaan Bahasa Inggeris yang tidak memuaskan. Saya balik ke Clifford pada 1950 dan sambung sekolah hingga peperiksaan School of Certificate dan memperoleh gred dua," jelasnya. Apa yang berlaku di dalam keluarga Abdul Wahab kemudian memberi kesan kepada kehidupan serta kerjaya beliau.

Abdul Wahab mempunyai abang bernama Abdullah. Beberapa bulan sebelum tentera Jepun menyerah kalah, Abdullah masuk ke hutan menyertai Pasukan 136 (unit gerila menentang tentera Jepun ditubuhkan pada masa Perang Dunia kedua) bersama Kapten (sekarang Tun) Mohd Ghazali Shafie.



Takdir menentukan

Selepas kekalahan Jepun, Abdullah menyambung pelajaran di Singapura dan kemudian ditahan pihak berkuasa Inggeris pada 1951 atas tuduhan terlibat dalam kegiatan subversif.

"Hanya saya yang boleh membawa ayah ke Singapura untuk melawat Abdullah di penjara. Ketika itu gerakan nasionalis begitu aktif di Singapura. Akhirnya, saya membuat keputusan untuk bekerja sebagai pemberita dengan Utusan Melayu yang ketika itu beroperasi di Cecil Street, Singapura.

"Di Singapura, saya menumpang rumah Kris Mas (Kamaludin Muhammad) sebelum menyewa rumah dengan Ashraf Haji Wahab. Meskipun gaji hanya RM125 termasuk elaun, saya bekerja dengan penuh bersemangat. Saya menulis berita dan rencana sehingga saya ditukarkan ke pejabat Kuala Lumpur," katanya.

Abdul Wahab bekerja dengan Utusan Melayu dari 1951 hingga 1954. Beliau kemudian menyertai Rida (Lembaga Kemajuan dan Perusahaan) dan bekerja selama beberapa tahun.

"Selepas beberapa ketika berhenti dari Rida (yang kemudian ditukar nama kepada Mara), saya mendapat peluang bekerja dengan Nanyang Siang Pau, akhbar berbahasa Mandarin. Tak ramai orang Melayu bekerja dengan akhbar Cina. Saya tak ada masalah. Saya menulis berita dalam bahasa Inggeris dan kemudian diterjemahkan ke bahasa Mandarin," kata Abdul Wahab.

Beliau berkhidmat kira-kira 10 tahun dengan Nanyang Siang Pau. Kegigihan serta dedikasi menjalankan tugas membuatkan beliau diberi banyak tugasan penting. Antara tugasan besar ialah konfrontasi Malaysia-Indonesia. Apabila tentera Indonesia mendarat di Labis, beliau dihantar untuk ke sana membuat liputan.

"Saya juga menghadiri rundingan damai Malaysia-Indonesia di London, Jakarta, Tokyo, Manila dan Bangkok. Semasa dengan Nanyang juga, saya mengikuti rombongan (Timbalan Perdana Menteri) Allahyarham Tun Abdul Razak (Hussein) ke negara-negara Afrika Timur dan Afrika Utara untuk menjelaskan pendirian Malaysia mengenai konfrontasi dengan Indonesia.

"Tapi bagi saya usaha itu tidak berapa berjaya kerana Indonesia mempunyai kedutaan di kebanyakan negara di Afrika. Malaysia ketika itu cuma ada kedutaan di Kaherah," jelasnya.

Menurut Abdul Wahab, beliau ialah antara dua wartawan yang dipilih menganggotai perwakilan Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York pada 1967.

Tambahnya, pemilihan itu ialah satu cara Perdana Menteri ketika itu, Almarhum Tunku Abdul Rahman menghargai jasa dan sumbangan wartawan. Semasa tiga bulan di PBB, beliau ditugaskan dengan Fourth Committee mengenai hak asasi manusia. Sekembalinya dari New York, beliau dilantik sebagai Editor Penasihat.

Pengalaman luasnya dalam bidang kewartawanan membuatkan Abdul Wahab kemudian mendapat tawaran kerja mengasaskan Bernama pada 1968.

"Meskipun saya sudah ada jawatan yang baik dengan Nanyang tetapi saya menerima tawaran kerja dengan Bernama. Bukan sahaja kerana ia satu bidang baru tetapi memulakan agensi berita adalah satu tugas perintis yang besar. Ini satu penghormatan bagi saya.

"Semasa menyertai rombongan Allahyarham Tun Razak ke Australia pada 1969, Tun ada menekankan betapa pentingnya untuk Malaysia mempunyai sebuah agensi berita," jelas Abdul Wahab.

Beliau menyertai Bernama sebagai Ketua Eksekutif Berita, Bahasa Melayu. Cheng Yen Fui dari the Malay Mail diambil berkhidmat sebagai Ketua Eksekutif Berita Bahasa Inggeris dan memulakan tugas pada 1 Mac 1968.

Mereka berdua kemudian diberi tanggung jawab untuk menubuhkan Jabatan Pengarang Bernama.

Menurut Abdul Wahab, ketika menyertai Bernama, urusan sudah dibuat untuk mengambil pemberita kadet dan beliau kemudian terbabit dalam proses memilih calon yang layak."Kami menerima beratus-ratus permohonan", katanya.

Saf Kabinet Najib diperkecil?


Saf Kabinet Najib diperkecil?

Oleh ZAINI HASSAN
zaini.hassan@utusan.com.my
Utusan Malaysia/1.4.09

KELAZIMANNYA seseorang Perdana Menteri yang baru akan membentuk barisan jemaah menterinya yang baru. Kabinet Malaysia setakat ini mempunyai seramai 32 orang menteri yang berada di 28 kementerian dan jabatan.
Ekoran pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri ke-6 negara, beliau boleh membentuk Kabinetnya mengikut acuan yang dikehendakinya.
Persoalannya, apakan rupa bentuk barisan saf Kabinet Najib?
Lazimnya, rombakan Kabinet seseorang Perdana Menteri yang baru akan dibuat berdasarkan beberapa faktor. Antaranya; saiz Kabinet iaitu jumlah kementerian yang mahu dibentuk; siapa yang akan menganggotainya - termasuk soal komposisi anggota perikatan BN serta kedudukan calon-calon UMNO, dan; sama ada akan berlaku proses lantikan pihak luar berstatus Senator atau tidak.
Namun aspek lain yang cukup penting untuk diambil kira ialah soal strategik dan sosio-politik negara. Misalnya, di masa negara sedang bergelut dengan terhakisnya sokongan golongan muda kepada kerajaan dan parti memerintah - apakah fungsi Kementerian Belia dan Sukan perlu diberi nafas baru? Nampaknya sekarang kementerian itu lebih banyak menumpukan kepada soal sukan daripada belia? Bagaimana caranya fungsi belia perlu dikuatkan. Apakah melalui satu entiti tersendiri?
Apa yang pasti, Najib mahukan satu Kabinet yang praktikal bagi memantapkan sistem pentadbirannya.
Semua pihak sedang memerhati dengan penuh teliti langkah penting yang akan diambil oleh Najib dalam membentuk barisan Kabinetnya. Sudah tentu dalam suasana ekonomi global yang tidak menentu, pentadbiran dan pengurusan Malaysia harus dilaksanakan secara mantap, berkesan serta sistematik.
Peringkat pembentukan saf Kabinet ini merupakan ujian sebenar untuk Najib. Najib perlukan saf yang terbaik; dan diterima rakyat.
Besar, tidak semestinya mantap; dan kecil tidak semestinya tidak berkesan. Mungkin satu formula yang praktikal akan dicari bagi membolehkan barisan itu dibentuk dengan baik.
Apa yang pastinya, Kabinet sekarang yang terdiri daripada 32 orang menteri di bawah 28 kementerian dan jabatan terlalu besar. Ia harus dikecilkan - mungkin kepada separuh daripada saiz itu.
Sebagai perbandingan - negara maju Jepun hanya mempunyai 17 menteri Kabinet; Autralia (20), Singapura (20) dan Britain (24).
Banyak daripada kementerian-kementerian yang ada sekarang boleh dipecahkan dan disatukan antara satu sama lain, sementara yang lain dibubarkan.
Mana-mana kementerian yang dicantumkan perlu ditambah timbalan menteri bagi membantu menteri melaksanakan fungsinya. Mungkin jawatan Setiausaha Parlimen juga boleh diwujudkan semula (setelah dimansuhkan selepas PRU-12) bagi membantu fungsi menteri dan timbalan-timbalannya.
Melalui penambahan jawatan timbalan-timbalan menteri dan setiausaha Parlimen, fungsi menteri akan menjadi lebih fokus dan tersusun. Buat masa ini, tanggungjawab menteri terlalu besar dan sibuk. Pemberian kuasa (empowerment) kepada timbalan-timbalan amat penting bagi memberi kesan kepada sistem pentadbiran.
Yang penting, semua pihak ingin melihat tidak lagi berlaku pertindihan kuasa di antara satu kementerian dengan kementerian lain, sehingga menyebabkan sistem penyampaian tidak dapat berjalan dengan berkesan.

Mentransformasi UMNO


Mentransformasi UMNO

Utusan Makaysia/25.3.2009

UCAPAN perasmian serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2008 oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra pada 24 Mac 2009.
Alhamdulillah, marilah sama-sama merafakkan syukur setulusnya ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita berhimpun pada malam ini.
Pertama sekali, kita ingin merakamkan ucapan tahniah kepada ketiga-tiga pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di atas tanggungjawab melaksanakan mesyuarat di peringkat cawangan dan bahagian dengan sempurna.
Sesungguhnya Wanita, Pemuda dan Puteri adalah tulang belakang dan sayap parti UMNO. Jatuh bangun, gagal jaya parti bergantung kepada semua ahli terutama saudara dan saudari. Bersama semangat dan azam, Wanita, Pemuda serta Puteri mesti berusaha dengan penuh iltizam untuk menjadi satu pasukan yang terus menyalakan obor perjuangan. Yakinlah bahawa, kita sedang mengibarkan panji-panji kebenaran. Yakinlah bahawa, kita sedang bergerak di landasan yang mulia.
Baru-baru ini, kita menghadapi dua pilihan raya kecil iaitu Parlimen Permatang Pauh dan Parlimen Kuala Terengganu. Sekalipun nasib tidak menyebelahi kita, saya berterima kasih kerana Wanita, Pemuda dan Puteri tetap menunjukkan semangat yang tinggi dalam perjuangan. Begitulah kita yakin komitmen seumpama ini akan diserlahkan jua dalam tiga pilihan raya kecil yang bakal kita hadapi pada 7 April nanti.
Sememangnya, perhimpunan kali ini adalah yang julung kali selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada 8 Mac 2008. Jelas sekali, keputusan pilihan raya tersebut adalah yang terburuk pernah dialami oleh parti. Buat pertama kali kita kehilangan majoriti dua pertiga semenjak tertubuhnya Barisan Nasional lebih tiga dekad yang lampau. Walau pahit bak hempedu, walau kelat bak ketereh, itu adalah realiti yang perlu kita terima.
Mahu tidak mahu, kita terpaksa mengakui bahawa ia berkait rapat dengan beberapa kelemahan yang sedang menular dalam parti. Pada persepsi ramai orang, hala tuju UMNO telah menyimpang jauh daripada perjuangan asal penubuhan parti. Ternyata, ada sesuatu telah menyebabkan sejumlah besar rakyat yang dahulunya bersama UMNO kini menukar haluan mereka.
Lantaran itu, tugas saudara dan saudari, para perwakilan pada tahun ini, adalah yang paling berat dalam sejarah UMNO. Berbeza dengan tahun-tahun pemilihan lalu, yang dipertaruhkan kali ini bukan hanya sejumlah jawatan. Bukan pula sekadar kedudukan atau status bagi mana-mana individu. Yang dipertaruhkan sebenarnya ialah survival UMNO itu sendiri. Keputusan yang bakal kita ambil sepanjang persidangan kali ini akan menentukan masa depan parti sama ada akan terus mencipta dan melakar sejarah ataupun menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah.
Hakikatnya, UMNO masih disayangi oleh orang Melayu. Tidak ada sesiapa dapat menafikan hal ini. Sebab itulah, mereka mengundi untuk mengekalkan UMNO sebagai parti terbesar dengan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat walaupun dinafikan majoriti dua pertiga. Atas sebab itu, UMNO wajib mengambil iktibar yang betul daripada mesej yang disampaikan oleh orang Melayu. Jika tidak, perasaan sayang tapi marah ini akan bertukar pula menjadi benci dan terus tidak peduli.
Sebagai orang Islam, dalam menghadapi kemelut dan pelbagai cabaran, eloklah kita kembali merujuk kepada ajaran agama. Marilah merenung tiga ayat berikut sebagai panduan dan pedoman.
Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 26 bermaksud:
“Ya Allah yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada siapa yang Engkau mahu dan Engkau jua yang mencabut kerajaan dari siapa yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan siapa yang Engkau mahu dan Engkau hinakan pula sesiapa yang Engkau kehendaki.”
Dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 ditegaskan: “Bagi manusia ada malaikat yang berganti-ganti mengintip, di hadapan dan di belakang. Mereka itu menjaganya dari perintah Allah. Sesungguhnya, Allah tiada mengubah keadaan suatu kaum kecuali jika mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri.”
Surah Az-Zumar ayat 53 Allah memberikan harapan bahawa:
“Janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”
Mengambil maklum dan iktibar daripada ayat-ayat suci itu, maka, kita berkumpul pada malam ini bukan untuk bersedih mahu pun untuk berduka lara di atas musibah yang berlaku, tetapi kita berhimpun sebagai sebuah parti atas satu tujuan untuk mencarta dan memeta arah tuju seterusnya kepada perjuangan UMNO.
Pujangga mengatakan, untuk melihat masa depan, kita mesti merenung sejarah lampau dan menaakul peristiwa semasa. Sejarah telah membuktikan sepanjang 63 tahun kewujudannya, UMNO telah banyak menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara. UMNO telah menjadi parti peneraju kepada usaha mencapai kemerdekaan. Inilah kejayaan monumental yang dicapai apabila UMNO mendukung aspirasi massa dan mewakili denyutan nadi rakyat terbanyak.
Ketika itu juga, menyedari usaha untuk mendapatkan kemerdekaan tidak boleh dijayakan oleh orang Melayu sahaja, satu formula perkongsian kuasa yang bitara di antara kaum telah diasaskan oleh pucuk pimpinan UMNO. UMNO juga telah membuat pengorbanan besar apabila di dalam Pilihan Raya Umum Pertama pada 1955, sanggup memberi kerusi majoriti Melayu untuk diwakili oleh parti-parti bukan Melayu. Pengorbanan mulia tersebut telah menjadi tradisi UMNO sehinggalah kini.
Pencapaian UMNO lebih enam dekad penubuhannya bukanlah kejayaan kecil atau enteng. Ia tidak terhenti setakat memperoleh kemerdekaan malah telah berjaya mengisi kemerdekaan dengan prestasi rekod yang sangat cemerlang. Oleh itu, ahli-ahli UMNO tidak harus apologetik dalam berhadapan dengan retorik dan tohmahan parti-parti pembangkang.
(Dekad Pertama Pasca Merdeka 1957-1970) UMNO hadir di persada politik tanah air bukan sekadar pemerhati di gerigi sejarah sebaliknya UMNO telah terlibat secara proaktif dalam melakar, mencanai, mencorak serta membentuk perjalanan bangsa dan negara. Pada dekad pertama kemerdekaan, sebaik sahaja tamatnya darurat, bukankah pucuk pimpinan UMNO yang telah melancarkan perang terhadap kemiskinan melalui pembukaan tanah-tanah rancangan FELDA serta membangunkan kawasan luar bandar.
(Dekad Kedua Pasca Merdeka 1971-1980) Pada dekad kedua kemerdekaan pula, apabila ketidakpuasan hati rakyat dimanifestasikan melalui tragedi 13 Mei 1969, bukankah kepimpinan UMNO telah bingkas mengenal pasti kelemahan yang timbul lalu menggubal Dasar Ekonomi Baru. Hasilnya, pelaksanaan DEB telah berjaya mencipta kelas menengah Melayu pada skala besar dan menjadi asas kepada tiga dekad pertumbuhan seterusnya ekonomi Malaysia.
(Dekad Ketiga Pasca Merdeka 1981-1990) Dalam dekad ketiga kemerdekaan pula, apabila berlaku kemelesetan ekonomi kesan jatuhnya harga komoditi, bukankah kepimpinan UMNO yang telah mencetuskan inisiatif industrialisasi dan memulakan program penyediaan prasarana secara besar-besaran?
(Dekad Keempat Pasca Merdeka 1991 - 2000) Selanjutnya, dalam dekad keempat kemerdekaan, bukankah kepimpinan UMNO yang telah menggariskan Wawasan 2020 untuk menyediakan tapak bagi melonjakkan Malaysia memasuki era teknologi maklumat dan globalisasi? Semasa kegawatan kewangan tahun 1997 dan tahun 1998, apakah tidak UMNO juga yang menyelamatkan Malaysia daripada terjerumus ke dalam perangkap krisis ekonomi Asia? Malah, kita telah berjaya mencorakkan formula tersendiri dan sekali gus keluar dari kemelut kewangan, menolak telunjuk IMF. Ironisnya hari ini, cara kita telah menjadi ikutan negara-negara yang dulunya lantang mengkritik.
Alhamdulillah, memang ternyata UMNO mampu mengubah kesengsaraan menjadi harapan. Telah terbukti juga UMNO adalah parti yang berupaya membina satu bangsa bermaruah dan dihormati di seantero dunia. Parti inilah yang telah berjasa mengangkat rakyat Malaysia daripada kekangan kemiskinan kepada kelas hidup menengah dalam satu generasi sahaja. Hakikatnya, UMNO parti keramat ini telah sentiasa menjadi Nakhoda Zaman.
Waima apa pun kehebatan dan pencapaian parti, ahli-ahli UMNO hari ini perlu berpijak di bumi nyata. Landskap politik negara telah berubah sama sekali. Kita tidak boleh terus bernostalgia dengan kejayaan lampau tanpa mencipta kejayaan-kejayaan baru. Sebagai parti siasah yang ingin kekal relevan selari tuntutan zaman, kita tidak boleh hidup dengan hanya bertunjangkan jasa-jasa semalam.
Merujuk sudut demografi, lebih satu pertiga (41.5 peratus pada 2005 diunjurkan 40.2 peratus pada 2010) daripada jumlah rakyat Malaysia berada dalam kategori belia yakni lingkungan umur antara 15 hingga 40 tahun. Lebih 70 peratus pula berada di bawah usia 40 tahun yang lahir pasca tragedi 13 Mei 1969. Secara keseluruhannya, 90 peratus adalah generasi merdeka. Manakala, anak-anak pasca tamatnya Dasar Ekonomi Baru iaitu mereka yang lahir pada 1991 pula akan layak sebagai pengundi menjelang tahun 2012.
Secara langsung, perubahan yang disertai dengan kemajuan di bidang ICT, pengangkutan, ekonomi dan pendidikan telah melahirkan kelompok pengundi lebih bermaklumat, mendesak lagi kritikal.
Harus diingat bahawa generasi ini mungkin tidak dapat menjiwai perjuangan lalu kerana mereka tidak hadir dalam peristiwa-peristiwa tersebut dan sekadar mengetahuinya melalui bukubuku atau cerita-cerita sahaja.
Kendatipun begitu, tidak bermakna kita ingin memperkecilkan kepentingan hasil perjuangan golongan terdahulu. Akan tetapi ia menuntut kita untuk kembali menjadi peneraju perubahan dalam memenuhi aspirasi orang Melayu khususnya.
Demi mencapai matlamat ini kita mesti melakukan proses muhasabah, pembaharuan dan islah. Jelasnya, kondisi untuk maju ke hadapan, memerlukan kita mengenal pasti apakah kelemahan dan kekuatan.
Kelemahan perlu diperbaiki manakala kekuatan sedia ada perlu diperkukuhkan dan dimantapkan. Jika kita tidak melakukan proses ini, UMNO akan dilihat sebagai sebuah parti yang terus-terusan berada dalam penafian. Usaha pembaharuan ini amat menuntut kita untuk menggilap semula idealisme perjuangan.
Untuk itu, UMNO harus berhenti daripada dikaitkan dengan politik wang dan sebarang amalan siasah yang tidak sihat. UMNO dan mana-mana juga parti atau organisasi akan hancur jika pemimpin dan ahlinya dibelenggu politik wang. Pemimpin berkualiti tetapi tidak memberi rasuah akan terpinggir. Parti akan diterajui pula oleh golongan yang akan terus mengamalkan budaya itu dalam kepimpinan.
Jelas, kalau tidak dibendung dan membarah, kelak pemimpin dan pengikut akan menganggap ia sesuatu yang biasa hingga timbul ungkapan “beri salah, tidak beri kalah”. Barangkali juga semua dalam dewan ini tahu apa itu “SK dan SI”, Salam Kosong dan Salam Isi. Ini bukan satu gurauan. Kita mestilah menghapuskan politik wang hingga ke akar umbinya. Jika tidak, nantinya kita sama-sama bertanggungjawab untuk mengkafan dan menguburkan UMNO, parti tercinta ini.
UMNO sama sekali tidak boleh dilihat sebagai parti yang anti idea baru, anti orang cerdik pandai atau parti yang tidak mesra dengan orang muda. Kita adalah parti yang bertanggungjawab meningkatkan akses pendidikan terutamanya pendidikan tinggi kepada mereka. Kini, 38 peratus kumpulan umur 17 hingga 23 tahun berpeluang mendapat pendidikan tinggi.
Angka diunjur ini akan meningkat kepada 40 peratus menjelang tahun 2010 dan 50 peratus apabila tibanya 2020. Apa yang penting, janganlah kita biarkan hasil semaian UMNO ini terlepas ke tangan pihak lain. Seboleh-bolehnya, kita perlu menawan imaginasi golongan ini dengan memastikan arah tuju parti seiring dan sejalan dengan aspirasi mereka.
Kita mesti juga memastikan amalan jelik cantas mencantas dan sekat menyekat mana-mana anak-anak Melayu, tua atau muda, terpelajar atau tidak, dihentikan pada detik, saat dan ketika ini juga. Sikap tercela ini akan hanya menjauhkan kita dari mereka yang penuh ikhlas ingin berkongsi perjuangan. Hal ini jika tidak dikawal, sedikit demi sedikit akan menyemai bibit-bibit kemusnahan kepada parti yang selama ini menjadi tonggak bangsa dan negara.
Selain itu, sama ada kita sedar atau tidak, banyak pihak hari ini menanggap, terdapat keterpisahan antara aspirasi UMNO dan aspirasi massa. Bagi mereka, cita rasa UMNO bukan lagi cita rasa rakyat.
Oleh yang demikian, orang-orang UMNO janganlah terperangkap dalam kepompong sendiri dan terlalu asyik dengan proses dalaman parti. Janganlah begitu teruja dalam merebut kedudukan sehingga lupa tentang kayu ukur sebenar kejayaan parti demokratik itu adalah, memenangi pilihan raya atau pun tidak. Apalah gunanya kita menduduki jawatan dalam sebuah parti yang tidak ada kuasa dan tidak menerajui kerajaan?
Selanjutnya, kita akui bahawa bukan semua orang Melayu adalah ahli UMNO. Oleh itu, percayalah UMNO akan kuat jika pintu kemasukan dibuka seluas-luasnya kepada orang Melayu dan UMNO terus kekal menjadi parti yang mewakili aspirasi mereka.
UMNO juga akan menjadi hebat jika budaya merendah diri dan sikap suka berkhidmat kepada masyarakat menjadi amalan ahliahlinya. UMNO akan menjadi lebih kukuh jika ahli-ahli UMNO berhenti mempersoalkan apakah yang mereka boleh dapat dari parti, sebaliknya apakah sumbangan kepada agama, bangsa dan negara melalui UMNO.
Lalu, sewajibnya dikikis serta dibuang jauh, imej serta tanggapan bahawa pimpinan UMNO kini elitis dan terasing dari dakapan rakyat. Pemimpin UMNO mestilah cekap menafsir apakah hasrat dan apa yang sebenar sedang berlaku di kalangan masyarakat. Janganlah kita “seperti kaduk naik junjung” seraya lupa bahawa UMNO itu adalah parti akar umbi.
Lupa akan hakikat UMNO itu, parti yang lahir daripada semangat membara rakyat kebanyakan. Insaflah, di jemala UMNO terjunjung amanah membela untung nasib rakyat.
Jika benar kita telah menyimpang dari roh dan semangat asal perjuangan suci UMNO, maka haruslah kita berubah dan balik semula ke pangkal jalan. Kita bawa semula UMNO menyelusuri landasan sebenar. Untuk itu, kita perlukan barisan pemimpin yang berupaya lagi mengupayakan; pemimpin yang berani berubah dan sanggup menerima perubahan; yang berani menegur dan terbuka pula menerima teguran.
Sebagai komponen terbesar sayap UMNO, Pergerakan Wanita di bawah kepimpinan Tan Sri Rafidah Aziz telah mempamerkan iltizam yang kukuh dalam apa jua keadaan terutamanya di setiap pilihan raya. Perpaduan Pergerakan Wanita sangat penting untuk UMNO. Oleh itu, janganlah disebabkan keghairahan sementara, kita meruntuhkan pula apa yang terbina selama ini.
Kita tidak mahu melihat wujudnya sebarang perpecahan. Bersatulah, kerana sesungguhnya yang menang tidak akan menang semua dan yang kalah tidak akan kalah segala-galanya. Yang menang hendaklah berjiwa besar dan berlapang dada menerima yang kalah, manakala yang tewas, hendaklah akur dan menghormati keputusan demi meneruskan perjuangan parti. Bak kata pepatah apabila biduk berlalu kiambang pun bertaut kembali.
Kepada Pergerakan Pemuda, saudara semua adalah hulubalang yang menjadi perisai parti. Pemuda memang terkenal kerana selama ini berada di barisan hadapan perjuangan. Dekad lampau yang penuh ranjau menyaksikan barisan Pemuda teguh membentengi parti. Di kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang telah berjaya mengetuai Pemuda dari era kegetiran kepada era kestabilan, seterusnya memberi kepimpinan yang komited dalam menyokong aspirasi perjuangan selama lebih satu dasawarsa.
Begitulah juga, Puteri UMNO yang ditubuhkan hampir sedekad lalu, memang, telah berjaya mencetuskan minat golongan wanita muda untuk melibatkan diri dalam arus politik perdana. Terima kasih diucapkan kepada Datuk Noraini Ahmad yang telah menjalankan tugas dengan lancar sepanjang beliau memegang tampuk kepimpinan Puteri UMNO. Yang mustahak, kita ingin melihat Puteri terus bersemangat dan gigih bekerja sebagai elemen yang sentiasa berupaya menyegarkan perjuangan parti.
Persidangan kali ini menjadi tanda penyerahan obor perjuangan kepada generasi kepimpinan baru. Perjuangan lima dekad pertama selepas kemerdekaan hendaklah menjadi asas kepada perjuangan 50 tahun mendatang.
Oleh itu, untuk UMNO terus kekal relevan, generasi kepimpinan baru wajar menyedari bahawa 50 tahun kedua kemerdekaan amat berbeza dengan apa yang pernah UMNO lalui. Pemimpin-pemimpin UMNO seharusnya memastikan parti sentiasa berada di hadapan kelok pembaharuan bukannya pentaklid yang mengekori di belakang. Hal ini menuntut kepada penelitian semula pendekatan, sikap dan sistem nilai ahli-ahlinya.
Contoh yang paling mudah, jika diimbau pada pilihan raya 1999, pada peringkat awal munculnya pengaruh media baru, kita bersikap tidak acuh pada perkembangan itu. Lima tahun kemudian semasa pilihan raya tahun 2004, kita masih mengambil mudah kebangkitan media alternatif.
Kita telah alpa dengan mandat besar yang diberikan oleh rakyat hatta tidak bersiap siaga untuk menghadapi peperangan alam siber. Natijahnya, semasa pilihan raya Mac 2008, kita telah tersentak daripada lamunan dek kegagalan memahami kesan pengaruh media baru.
Suka atau tidak, kita tidak boleh menjadikan hambatan medium ini sebagai musuh. Generasi muda kepimpinan UMNO harus berperanan sebagai pelaku proaktif di tengah-tengah fenomena. Generasi muda kepimpinan UMNO perlu berbicara dalam lenggok bahasa komuniti siber.
Generasi muda kepimpinan UMNO juga mesti menjadi pemuka kepada penggunaan teknologi sebagai senjata politik. Barulah kita, boleh mengaku sebagai parti yang mewakili bisikan nurani sebenar rakyat terutamanya di kalangan generasi muda. Barulah kita, boleh menang dalam persaingan idea dan pertarungan pengaruh di antara partiparti politik.
Dalam tradisi Melayu Islam, apabila sesat di tengah jalan kita dianjurkan kembalilah semula ke pangkalnya melalui proses muhasabah dan introspeksi. Oleh itu, sempena bulan kelahiran Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, marilah kita mengambil semangat dan pengajaran dari perjalanan sirah Baginda sebagai contoh pemimpin transformasi yang teragung. Baginda telah berjaya memimpin dan mentarbiah masyarakat jahiliah yang diliputi kegelapan menuju sinar ketamadunan.
Rasulullah juga semasa berhijrah telah menyatukan antara kaum Auz dan Khazraj. Kemudian mempersaudarakan antara Muhajirin dan Ansar. Selepas itu menyatupadukan pula orang-orang Islam dan bukan Islam.
Semua ini dilakukan kerana Rasulullah menyedari peri pentingnya perpaduan sebagai asas kota Madinah ketika itu. Ini menunjukkan kejayaan atau kegagalan, kecemerlangan mahupun kebungkaman sesuatu tamadun dan bangsa itu tidaklah ditentukan oleh faktor fizikal semata-mata. Faktor yang lebih utama adalah faktor emosional, spiritual serta sistem nilai yang menjadi pegangan juga amalan masyarakat dan kepimpinannya.
Tersenarai, antara nilai-nilai utama yang menentukan maju mundur sesuatu bangsa adalah muafakat, berdisiplin, menghormati waktu, mengotakan janji, dedikasi kepada tugas, pelaksanaan yang cekap, ketekunan bekerja dan meletakkan kepentingan ramai mengatasi kepentingan diri. Inilah sebenarnya nilai-nilai sarwajagat Islam yang telah diterapkan oleh Rasulullah dalam membimbing umat mencapai “al-falah”.
Sejarah turut membuktikan apabila orang-orang Melayu berpegang teguh kepada amalan Islam kita akan menjadi bangsa yang dihormati. Menyingkap kecemerlangan tamadun Islam, maka demi survival, UMNO dan orang Melayu perlulah melakukan hijrah dengan membuat pembaharuan transformasi yang bersifat total dan tuntas.
Mengambil iktibar daripada sirah, dapat disimpulkan bahawa perpaduan kebangsaan sewajibnya bermula dengan perpaduan di kalangan orang Melayu. Sayangnya, perpaduan Melayu hari ini diasak dari pelbagai sudut dengan budaya fitnah memfitnah, separuh benar dan pembohongan yang dahsyat.
Hari ini, fitnah bukan sahaja berlaku di kalangan orang munafik tetapi sudah menjadi permainan golongan yang kononnya, mendakwa diri mereka sebagai pemimpin Islam dan agamawan.
Bertolak dari situ, situasi hari ini menuntut UMNO, sebagai wahana perdana politik orang Melayu agar memperbetulkan kembali visi dan hala tujunya, sekali gus, mengenal pasti langkah-langkah bugar untuk mentransformasi UMNO supaya kembali menjadi parti pilihan orang Melayu.
Untuk mencapai matlamat ini, pertama sekali, adalah sangat mustahak untuk mengemaskini pendidikan dan pengkaderan politik. Di semua peringkat ahli-ahli UMNO perlu dididik dan diberi kefahaman secukupnya agar menjadi penyokong yang celik tentang sejarah parti. Barulah nanti akan wujud kesetiaan yang berasaskan kepada keyakinan terhadap perjuangan UMNO.
Kita tidak boleh mengambil mudah tentang proses ini yang sebenarnya telah menjadi punca kepada jatuh bangun sesebuah tamadun dan bangsa. Jadinya, kita perlu memperkukuhkan proses pendidikan dan pengkaderan melalui kursus-kursus politik secara terancang, berperingkat lagi tersusun berdasarkan kurikulum yang digubal khas merangkumi pendedahan sejarah, pembinaan jati diri dan esprit de corps.
Kita ingin mencadangkan kursus atau latihan kepimpinan berbentuk 3 hari 2 malam atau 4 hari 3 malam diperhebat di kem atau di pusat latihan seluruh negara. Modul kursus seumpama ini wajarlah padat dengan pengukuhan nilai murni perjuangan dan bertujuan melatih para ahli menjadi pemimpin yang mulia lagi komited.
Kaedah latihan juga wajar bercorak lebih lasak termasuk modul kembara di hutan atau di laut untuk membina semangat kekitaan dan mengeratkan tali persaudaraan sesama ahli dan pemimpin.
Keduanya, kita mesti mengubah cara UMNO menentukan pemimpin termasuklah sistem kuota. Kita perlu memberikan hak memilih ke tangan kumpulan yang lebih besar. Sekarang ini, sebagai contoh pemilih bagi perhimpunan Agung UMNO hanya di kalangan hampir 2,600 orang yang terdiri daripada perwakilan dari 191 bahagian.
Sudah tentu keputusan yang dibuat oleh perwakilan sejumlah itu tidak mencerminkan sepenuhnya hasrat lebih tiga juta ahli UMNO di peringkat akar umbi di seluruh negara. Pada hemat saya, telah tiba masanya untuk kita mengkaji semula perlembagaan UMNO daripada aspek ini agar proses pemilihan kepimpinan UMNO dapat disertai oleh lebih ramai ahli dari semua peringkat.
Inilah jalan yang akan dapat membendung masalah politik wang dan salah guna kuasa. Inilah juga jalan, jika kita ingin parti ini terus kekal kuat dengan sewajarnya mengembalikan semula mandat pemilih kepada akar umbi.
Apabila rakyat sudah berpaut dengan kita, barulah UMNO akan kembali menjadi perkasa. Ini boleh dilakukan jika setiap pemimpin dan ahli UMNO menjiwai kelazatan berkhidmat kepada masyarakat.
Setiap masalah rakyat yang berjaya kita bantu, setiap kekusutan mereka yang berjaya kita leraikan dan setiap kebuntuan ramai yang dapat kita atasi akan menjadi suntikan semangat untuk terus berkorban demi sebuah perjuangan.
Hari ini kira-kira dua pertiga rakyat Malaysia tinggal di kawasan bandar. Atas kejayaan dasar-dasar yang digubal oleh UMNO juga sebahagian besar masyarakat Melayu telah menjadi masyarakat bandar.
Sehubungan dengan perkembangan ini, UMNO bukan sahaja perlu terus memperkasa usaha memerangi kemiskinan di luar bandar tetapi juga perlu peka dengan masalah kemiskinan bandar. Perlu difahami bahawa sebilangan keluarga di bandar yang berpendapatan rendah kini sukar untuk memenuhi tuntutan kehidupan seharian.
Berdasarkan itu, bahagian-bahagian UMNO di bandar perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengetengahkan rintihan golongan Melayu bandar yang berpendapatan rendah. Nyatanya, terbukti sejak sekian lama rekod kepimpinan UMNO telah hampir berjaya membasmi kemiskinan tegar luar bandar melalui pelbagai rancangan. Sekarang tibalah masanya kita mengulangi kejayaan itu dalam membasmi kemiskinan bandar bersesuaian dengan konteks semasa. Lantas, UMNO sebagai parti tonggak pemerintahan akan memastikan agenda ini diberi keutamaan oleh kerajaan.
UMNO menjunjung kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara. Raja-raja Melayu sebagai payung negara dan payung negeri menjadi elemen penting kepada supremasi perlembagaan. Walaupun dalam sistem ini raja bertakhta tapi tidak memerintah, setiap kerajaan tetap mentadbir atas nama baginda sebagai ketua cabang eksekutif.
Oleh itu, jika orang-orang Melayu sendiri tidak menunjukkan rasa hormat kepada raja-raja kita yang selama ini menjadi asas kepada kestabilan dan simbol perpaduan, maka, siapa lagi?
Justeru itu, janganlah mana-mana pihak memutarbelitkan fakta sejarah tentang tindakan UMNO meminda undang-undang berkaitan raja-raja. Tindakan itu dibuat bukan dengan mala fide tetapi dengan hasrat yang murni untuk tetap mengekalkan dan melindungi kemuliaan raja-raja dalam usaha memperteguhkan doktrin pengasingan kuasa yang mendasari sebuah kerajaan demokrasi.
Di sini, suka saya mengingatkan kepada semua orang Melayu, janganlah nanti sudah terhantuk baru tengadah. Pada pihak yang telunjuknya lurus tetapi kelengkeng berkait, janganlah pagi sembah setia tetapi petang sembah derhaka.
Dengan segala cabaran nasional serta global, sedang dan akan dihadapi, kita sudah tiada masa. Krisis ekonomi yang melanda adalah di luar dugaan malah ia merupakan krisis yang terburuk semenjak kemelut The Great Depression. Maka, kita tidak boleh sekali-kali leka dibuai rasa selamat dan tidak berpaut dengan realiti.
Zahirnya, ekonomi Malaysia hari ini amat berbeza dengan ekonomi 50 tahun dahulu. Hari ini, Malaysia merupakan antara 20 negara dagang terbesar di dunia dengan nilai dagangan antarabangsa melebihi RM1 trilion setahun.
Tidak dapat dielakkan, apa yang berlaku di persekitaran ekonomi dunia memberi kesan langsung terhadap ekonomi kita. Kemakmuran yang kita nikmati hari ini adalah berasaskan kemakmuran global.
Malaysia tidak boleh maju jika ekonomi dunia terus merudum. Kita juga tidak boleh pulih jika rakyat tidak mempunyai keyakinan. Malah prasyarat kepada pemulihan ekonomi adalah kestabilan politik dan keutuhan institusi negara. Dalam hal ini, janganlah kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar. Suka saya menyeru, marilah kita bersama meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan politik yang jumud dan sempit.
Bahasa itu jiwa bangsa. Indahnya bunyi ungkapan. Di noktah ini saya ingin tegaskan bahawa kedaulatan bahasa Melayu akan tetap kita pertahankan walau apa pun yang terjadi. Namun begitu, harus diingat, tanpa bangsa apa gunanya bahasa. Misalnya, bahasa Latin telah hampir lenyap dan hanya hidup menjadi bahasa akademik di menara-menara gading serta istiadat dengan runtuhnya empayar Roman.
Apatah lagi nasib bahasa Sanskrit, Inca dan Aztec yang mati dan tenggelam bersama bangsa penuturnya. Inilah nasib bahasa apabila bangsa penutur itu sendiri sudah tiada lagi. Lagipun, siapa yang hendak belajar bahasa yang dipertuturkan oleh bangsa yang lemah, miskin dan tidak berilmu.
Dek yang demikian, kelangsungan sesuatu bahasa bergantung penuh kepada kemapanan bangsanya. Hanya bangsa yang maju akan menjulang martabat bahasa, budaya dan sistem nilainya. Pokok pangkalnya, sesuatu bangsa itu perlu diperteguh dan diperkasakan terlebih dahulu. Ini memerlukan kepada penguasaan ilmu dan pengetahuan yang hari ini kebanyakannya didasari bahasa Inggeris. Sayugia, generasi muda terutamanya perlu bukan sahaja menguasai bahasa Inggeris malah sekurang-kurangnya tiga bahasa utama dalam usaha menakluki pasaran dunia (dan ini tidak termasuk dialek-dialek seperti Jawa, Bugis, Banjar dan dialek “Kelate”).
Usahlah bimbang, mempelajari pelbagai bahasa tidak akan melunturkan jati diri kita sebagai orang Melayu sebaliknya akan lebih mengukuhkan keyakinan diri bangsa untuk berhadapan dengan era globalisasi.
Oleh yang demikian, jangan berlengah lagi. Hentikan segala polemik yang tidak bermanfaat. Hentikanlah juga segala bentuk kerenah politik yang menjengkelkan. Marilah kita bersama-sama menyingsing lengan mengumpul kudrat nasional demi memastikan kemakmuran negara akan berterusan.
Ingatlah, UMNO bukan parti siasah yang biasa seperti parti pembangkang, kita adalah parti yang telah diamanahkan oleh rakyat Malaysia untuk menjadi peneraju kepada kerajaan yang memerintah. Kendati itulah rakyat Malaysia sentiasa bergantung harap kepada UMNO sebagai parti yang mampu memberi kepimpinan dan mencipta penyelesaian.
Melayu dan UMNO tidak dapat dipisahkan. Bagai aur dengan tebing, bagai irama dengan lagu, apabila orang Melayu dan UMNO bergerak sederap dan seiring, sejarah telah membuktikan bahawa maruah dan martabat bangsa telah berjaya diangkasakan. Namun apabila orang Melayu mula menjadi seperti enau dalam belukar ingin melepaskan pucuk masing-masing sehingga ada yang sanggup membelakangkan kepentingan bangsa, maka anasir-anasir tertentu telah mula menyelinap dan menangguk di air yang keruh.
Kini orang Melayu tampak seolah-olah hilang punca dan kekuatan. Akibatnya, telah mula ada pihak-pihak yang mempersoalkan apa yang sudah dipersetujui dan termaktub dalam perlembagaan. Ada pula yang berani menuduh kita mengamalkan dasar aparteid. Sedangkan ini jauh menyimpang dari kebenaran.
Ketahuilah sesungguhnya, dasar-dasar yang digubal oleh kerajaan bagi membantu orang Melayu bukan kerana kita merasakan bahawa bangsa Melayu lebih mulia dari sesiapa tetapi dasar-dasar ini digubal atas sebab bangsa Melayu masih ketinggalan di belakang bangsa-bangsa lain.
Malah, jika membiarkan bangsa Melayu dan bumiputera yang membentuk lebih dua pertiga rakyat negara terpinggir tanpa pembelaan itulah sebenarnya satu formula ketidakstabilan. Oleh sebab itu, kita akan meneruskan dasar yang adil bagi semua, tanpa mengira kaum.
Kesimpulannya, untuk kekal lestari UMNO mesti memenangi semula hati dan pemikiran orang Melayu. Jadinya, mahu tidak mahu, kita mesti berubah untuk kepentingan rakyat. Berubah dari sikap-sikap mazmumah kepada sikap-sikap mahmudah.
Berubah daripada kurang mesra kepada mesra, daripada mementingkan diri kepada mementingkan rakyat, daripada malas kepada rajin kerja, berubah daripada kurang berkhidmat kepada suka berkhidmat. Berubahlah, jika tidak, kita rebah.
Patah tumbuh hilang berganti. Di sini, saya bagi pihak UMNO ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada Presiden parti yang telah memimpin UMNO sepanjang lima tahun lalu. Yang Amat Berhormat, Datuk Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi, dalam rangka mempertingkatkan keyakinan terhadap institusi kehakiman, telah menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Hakim. Begitu juga usaha berterusan beliau memerangi rasuah dengan penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Kita turut berterima kasih kepada Pak Lah di atas segala sumbangan khususnya dalam menyediakan jaringan keselamatan sosial daripada segi memerangi kemiskinan tegar dan memperkasakan industri pertanian negara.
Menjadi asas kepada semua ini adalah pemerkasaan modal insan yang sering ditekankan oleh YAB Perdana Menteri. Pak Lah melihat bahawa menjelang separuh abad kita merdeka, negara telah pun memiliki prasarana fizikal yang moden dan bertaraf antarabangsa.
Kemajuan fizikal ini tidak lengkap tanpa dikendalikan oleh modal insan yang berdaya saing dan berkemahiran tinggi. Usaha memperkasakan modal insan ini telah dijadikan teras seperti yang digaris dalam Misi Nasional dan akan kita teruskan dalam perjalanan menuju wawasan negara.
Menoleh perjalanan politik saya, sudah lebih 33 tahun saya bersama dengan sayapsayap UMNO setiap kali persidangan. Alangkah hiba rasanya, malam ini, saya berdiri di hadapan saudara dan saudari buat kali terakhir sebagai Timbalan Presiden merasmikan persidangan serentak Wanita, Pemuda dan Puteri. Saya juga berasa terharu dan tawaduk kerana diri ini diamanahkan dengan kepercayaan padu akar umbi untuk memimpin parti dan seterusnya negara.
Sesungguhnya, saya diperinsafkan oleh hakikat bahawa laluan kepimpinan yang bakal diwarisi ini telah dirintis oleh pemukapemuka bangsa yang agung, bermula dari Allahyarham Datuk Onn Jaafar diikuti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, kemudian pula ayahanda saya yang dikasihi, Allahyarham Tun Abdul Razak.
Berikutnya beliau disusuli Allahyarham Tun Hussein Onn sebelum diambil alih oleh Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kini amanah yang dipikul oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan diserah pula kepada saya.
Maka kini, dalam suasana yang begitu mencabar kepada parti dan negara, tergalas di bahu ini satu tugas besar bagi meneruskan tanggungjawab mulia parti UMNO membela untung nasib rakyat.
Di sini, dengan ikhlas dirakamkan penghargaan peribadi kepada setiap ahli UMNO yang telah menyokong saya. Saya juga ingin memahatkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri kerana telah memberi kerjasama sepenuhnya selama saya memegang jawatan Timbalan Presiden UMNO.
Adalah diharapkan agar permuafakatan yang sebegini diteruskan apabila saya memegang jawatan Presiden nanti. Saya juga percaya sokongan yang seumpamanya jua akan diberikan kepada Timbalan Presiden UMNO baru yang bakal dipilih kelak.
Dengan penuh semangat saya yakin bahawa, jika kita semua terus bersatu dan berganding bahu, yang berat akan tetap mampu dipikul, yang ringan dapat pula dijinjing bersama menakhoda zaman.
Akhir kata, safkanlah kepada saya sekumpulan pimpinan yang ampuh dan padu. Bariskanlah kepada saya satu pasukan yang setia, berintegriti, berkebolehan lagi berdedikasi.
Dipanjatkan doa kepada Tuhan Yang Maha Esa, insya-Allah, laungan perjuangan UMNO sebagai pembela nasib rakyat akan terus bersemarak dan bergema di Dewan Merdeka ini. Patah sayap bertongkat paruh, gunung nak didaki, didaki jua.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Persidangan Serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2008.

Monday, March 23, 2009

TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD


UCAPAN OLEH
YABHG TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD
DI PERHIMPUNAN DAN SIDANG KEMUNCAK PRIBUMI PERKASA NEGARA
DI KOMPLEKS SUKAN TNB, JALAN BANGSAR, KUALA LUMPUR
PADA HARI AHAD, 22 MAC 2009-
JAM 10.00 PAGI

--------------------------------

Terlebih dahulu saya ucap terima kasih kepada penganjur perhimpunan ini kerana menjemput saya dan memberi peluang kepada saya untuk berucap kepada hadirin.

Saya yakin ramai daripada kita yang hadir, terutamanya orang Melayu dan bumiputra lain, hadir kerana kita berasa kita berada dalam keadaan cemas, keadaan yang merbahaya, keadaan terancam.

Kenapa tidak? Kita kini diserang berkali-kali oleh berbagai pihak.

Ramai daripada orang lain berkata Melayu adalah kaum pendatang.

Melayu mengamalkan apartheid ala kulit putih Afrika Selatan.

Melayu tidak adil, suka menidakkan hak kaum-kaum lain.

Melayu sudah cukup kaya dan tidak perlu dasar Ekonomi Baru lagi.

Semua peluang perniagaan dan pelajaran diberi hanya kepada orang Melayu.

Kuasa politik dibolot oleh orang Melayu dan lain-lain.

Berhadapan dengan tuduhan dan tohmahan ini Melayu sekarang tidak boleh mempertahankan diri, bahkan tidak boleh bercakap berkenaan dengan bangsa mereka tanpa dituduh sebagai racist. Mereka harus terima sahaja semua tuduhan/tohmahan ini dan berdiam diri atau bersetuju sahaja. Mereka juga boleh tambah tokok kepada kecaman ini dan mereka ini akan dianggap liberal dan disanjung tinggi oleh orang lain. Sebenarnya orang Melayu sekarang berada dalam ketakutan, tidak mempunyai pemimpin yang sanggup pertahankan mereka. Sebaliknya pemimpin mereka mengerohkan lagi keadaan dengan memohon maaf walaupun kesalahan dilaku oleh orang lain.

Demikianlah situasi yang mereka hadapi sehingga mereka berasa mereka bersalah, tergamam dan tak dapat berkata apa-apa.

Keadaan hari ini lebih merbahaya daripada keadaan semasa British merancang untuk menakluk negeri-negeri Melayu dengan perancangan Malayan Union. Pada masa itu kita boleh cakap berkenaan Melayu dan tidak ada sesiapa yang akan tuduh kita sebagai racist. British pun tidak panggil kita racist. Mereka akui memang pun hak orang Melayu menuntut negeri-negeri Melayu sebagai hak orang Melayu. Semua perjanjian berkenaan dengan negeri-negeri di semenanjung mesti dibuat dengan Raja-Raja Melayu. Tidak ada siapa dari kaum laim yang berhak membuat apa-apa perjanjian.

Sekarang orang Melayu tidak pun boleh berkata negeri ini negeri Melayu, tidak boleh sebut negeri ini dikenali sebagai Tanah Melayu. Negeri Jepun boleh dikatakan negeri orang Jepun, negeri Korea – negeri orang Korea, negeri China – negeri orang Cina, negeri India – negeri orang India. Tetapi negeri Melayu – bukan negeri orang Melayu. Dahulu mungkin. Tetapi tidak sekarang. Sekarang Malaysia, hak orang Malaysia dan bukan hak orang Melayu. Kesanggupan dan kerelaan orang Melayu berkongsi milik negara ini tidak sedikit pun dihargai. Pemberian satu juta kerakyatan oleh Tunku Abdul Rahman Putra kepada kaum lain tidak dihargai bahkan tidak diingati, dilupakan dengan begitu sahaja.

Orang Melayu dikatakan kaum pendatang di negaranya sendiri. Dan kaum pendatang lain tidak boleh dipanggil kaum pendatang. Jika sesiapa berbuat demikian, mereka mesti minta maaf. Tidak perlu sesiapa minta maaf jika berkata Melayu kaum pendatang.

Namun saya memberanikan diri untuk bercakap sedikit berkenaan orang Melayu di Malaysia walaupun akan dituduh sebagai racist. Saya beranikan diri kerana sesungguhnya orang Melayu berada dalam keadaan cemas, dilanda oleh bermacam-macam masalah dan ancaman. Jika orang Melayu tidak dibenar bercakap berkenaan masalah mereka, maka mereka mungkin jadi kaum yang terlucut hak (dispossessed) di negara mereka sendiri. Bahaya ini benar kerana kita sudah lihat tekanan dan kehinaan terhadap bangsa kita apabila mereka dijadikan bangsa minoriti di wilayah yang dahulu adalah sebahagian daripada negeri-negeri Melayu.

Keadaan ini boleh berlaku kepada orang Melayu bukan sahaja kerana orang lain tetapi kerana orang Melayu sendiri. Mereka suka membinasakan diri mereka.

Mereka tidak mahu merebut peluang yang disedia bagi mereka. Tempat di universiti tidak diambil. Peluang perniagaan diselewengkan. Belia Melayu tidak ingin belajar, lebih berminat dengan melepak atau jadi Mat Rempit.

Majoriti daripada rakyat Malaysia yang terlibat dengan dadah terdiri daripada orang Melayu, yang mendapat penyakit HIV Aids kebanyakan adalah Melayu, kes rogol dan jenayah lain juga ramai orang Melayu.

Yang gagal dalam perniagaan juga Melayu, tidak bayar hutang Melayu, tak selesaikan kontrak juga Melayu.

Gejala jualan AP pun melibatkan Melayu.

Kita tak suka dengar semua ini. Kita malu. Tetapi jika tidak disuarakan masalah tidak akan hilang dengan sendirinya. Orang lain tahu juga. Lebih baik malu jika kita dapat sedarkan beberapa kerat daripada kita dan mereka mengubah tabiat supaya tidak melakukan yang salah lagi. Yang lain tak malu tak mengapa. Tak mungkin kita dapat sedarkan semua. Yang kena akan terus kena.

Dasar Ekonomi Baru dibentuk supaya dalam jangkamasa 20 tahun kita akan dapat bahagian kita sebanyak 30%. Tetapi sekarang sudah hampir 40 tahun. 20% yang dikatakan kita dapat pun dapat kerana badan-badan yang mewakili Melayu, bukan orang Melayu sendiri. Kita hendak supaya DEB diteruskan. Apa gunanya jika kita tidak mahu guna peluang yang diwujudkan? Apakah kita mahu DEB kerana nak jual AP, kontrak, lesen dan sebagainya? Lebih baik DEB tidak diteruskan dan kita tidak dapat selewengkannya. Sekurang-kurangnya kita tak akan malu kerana pelbagai ejekan yang akan dibuat kepada kita.

Kita bernasib baik kerana dalam bidang politk kita cekap, kita kuat, kita dapat menguasai Kerajaan selama 50 tahun. Walaupun Melayu berpecah kepada beberapa parti, bermusuh sesama sendiri, tetapi majoriti Melayu masih dapat kekalkan kuasa mereka. Mereka dihormati dan disegani.

Tetapi itu pun sudah terlepas daripada genggaman kita. Sekarang kita tidak kuat lagi. Parti Melayu yang terkenal sudah kalah dalam Pilihanraya Umum ke-12. Parti Melayu yang menangpun berada dalam ketakutan jika parti rakan mereka menolak mereka. Sekarang orang tidak lagi hormat kita. Apa sahaja yang dituntut orang lain, baik yang menang, baik yang kalah akan kita layan. Kita yang perlu hormati orang lain. Tersilap sikit kita minta maaf bagi pihak semua bangsa Melayu.

Sesungguhnya pemimpin kita yang perjuangkan kemerdekaan, yang menebus maruah kita sudah kita khianati. Mereka berjuang bermati-matian supaya kita hidup bahagia. Mereka korbankan apa sahaja yang ada pada mereka. Pemimpin Melayu hari ini, pengikut –pengikut mereka tidak tahu mengenang budi. Mereka khianati pejuang-pejuang dahulu dengan melupakan perjuangan asal kerana utamakan kepentingan diri sendiri. Biar bangsa hancur asalkan dapat kemenangan bagi diri sendiri, dapat jadi Menteri, Perdana Menteri, dapat kontrak, dapat duit.

Kononnya nak jadi Perdana Menteri termuda. Bukan nak majukan bangsa dan negara, hanya jawatan tertinggi untuk diri sendiri seawal mungkin. Dengan apa cara sekalipun, halal atau haram, tak mengapa asalkan boleh jadi Perdana Menteri termuda.

Jika kita sudah sanggup jual bangsa kita, kita jual untuk dapat duit sedikit, untuk jawatan kecil dan besar, untuk isi temolok kita, alamatnya apa? Yang dikejar tidak akan dapat, yang dikilik akan berciciran. Lepas itu kita tidak ada apa-apa yang boleh diraih lagi. Semuanya akan dikuasai orang. Pada masa itu kita jadi hamba sahaja, kita akan meminta-minta sepanjang masa.

Ada pula yang dibawah bertanya, orang yang mereka sokong dapat jadi Perdana Menteri, Menteri, Menteri Besar – dapat kereta, dipanggil Yang Berhormat, elaun besar, terbang sana, terbang sini.

Kita dapat apa? Duduk di takuk tu juga. Lebih baik kita ambil sedikit bagi diri kita, sementara ada peluang.

Salahkah kalau kita terima duit sedikit? Mungkin kita tidak undi orang yang menyogok. Dia bukan tahu. Tetapi Tuhan tahu. Kamu membuat sesuatu yang haram. Kamu bukan sahaja jual bangsa. Kamu menolak agama kamu yang melarang, yang mengharamkan perbuatan kamu. Kamu berdosa.

Tapi tak mengapa. Masih muda, tak akan mati lagi. Bila dekat nak mati pakai kopiah putih dan sembahyang kuat-kuat.

Tetapi yang haram, haram juga. Kalau makan daging bibi haram, makan duit rasuah lebih haram, kerana ia akan binasakan bukan kita sahaja, tetapi kaum bangsa kita yang semuanya beragama Islam.

Pengundi salah, samada undi penyogok atau tidak. Salah kerana sudah terima jenayah rasuah sebagai budaya kamu. Apabila rasuah dibudayakan, percayalah bangsa dan negara mungkin dijajah oleh penyogok secara langsung atau tidak langsung. Bangsa akan dihina oleh dunia, akan dipandang rendah, akan dipermainkan orang. Akhirnya yang makan suap, mereka sendiri akan jadi mangsa, mereka sendiri akan terpaksa hulur untuk mendapat apa yang sebenarnya hak mereka. Inilah nasib bangsa yang menjadikan rasuah sebagai budaya biasa.

Sesungguhnya Melayu mudah lupa. Kita lupa betapa kita dijajah dahulu, kita terpaksa panggil tuan orang yang menjajah kita, orang yang menghina kita. Tak boleh cakap berkenaan ketuanan Melayu. Kamu jadi hamba dahulu, bukan Tuan, layak hanya untuk tanam padi, tangkap ikan, jadi kuli orang, bawa kereta orang, tukang masak orang.

Selama 450 tahun kita dijajah, hidup sebagai hamba, dianggap tidak layak mentadbir negara sendiri, tidak layak merdeka.

Kita terpaksa letak diri kita dibawah naungan negara-negara jiran yang lebih kuat.

Tiap tahun kita usung bunga emas dan perak untuk dipersembahkan kepada negara penaung-penaung kita.

Kadang-kadang Raja kita pun pergi bersama, untuk membukti kesetiaan diri dan negeri kepada negara penanung.

Kata orang Kedah “Terkerempun-kerempun” apabila berhadapan dengan orang asing. Mungkin ramai yang tidak faham. Tanyalah orang Kedah. Itulah “body language” kita dahulu walaupun hari ini ada juga, tetapi pada Raja yang tak bertakhta.

Saya biasa lihat seorang orang tua Melayu berbasikal di tendang jatuh oleh askar Siam semasa Kedah diberi kepada Siam oleh Jepun. Kesalahan orang tua ini ialah kerana tidak berhenti dan menghormati lagu kebangsaan Siam.

Saya biasa lihat orang Melayu ditempeleng dan disuruh panjat pohon kelapa seperti kera oleh Jepun. Inilah nasib orang yang tidak merdeka, tidak memerintah negara sendiri. Boleh ditendang, boleh ditempeleng.

Dan yang lihat diam sahaja, tak dapat buat apa-apa, termasuk saya. Dalam kehinaan ini muncul kesedaran dan semangat untuk menebus balik maruah bangsa. Dan bergabunglah orang Melayu untuk menangkis rancangan Malayan Union British, untuk mengekalkan perhambaan orang Melayu. Tidak siapa yang bertanya “apa yang saya akan dapat bagi diri saya” pada ketika itu. Yang kita tumpukan ialah untuk membebaskan bangsa dan negara daripada dijajah dan dihina. Kalau dalam proses ini kita terkorban, atau kita berada seperti biasa, itu tidak mengapa. Yang kita utamakan ialah maruah bangsa kita, tidak lagi akan ditendang, tidak lagi akan ditempeleng – tetapi akan dihormati oleh kawan dan lawan.

Sekarang kita merdeka. Perjuangan pengasas negara telah berjaya. Kita tidak akan ditendang dan ditempeleng lagi. Kita bebas daripada kehinaan. Memang pun keadaan terhormat ini sudah menjadi perkara biasa bagi kita. Bagi ramai dari kita ia datang bergolek. Ia datang melayang. Ia tidak akan dipisah dari kita.

Perjuangan orang dahulu adalah perkara lama, tidak perlu diingati. Yang jelas kita sudah merdeka, dapat pelajaran dan kaya sedikit. Soal tendang, tempeleng, itu cerita lama. Pepatah Melayu berkata sekali merdeka, selama-lamanya merdeka. Apa pun kita buat merdeka tetap merdeka. Sekarang ialah masa untuk kita “enjoy”. Kita kecap sepenuhnya nikmat yang ada pada kita.

Apa dianya semangat ke-Melayuan? Apa relevannya? Bukankah kita sudah berjaya? Hendak semangat buat apa lagi? Masuk parti untuk apa? Perjuangan sudah selesai dengan jayanya.


Tidak bermakna masuk parti jika tidak dapat sesuatu bagi diri sendiri. Kita sokong orang dapat jadi Yang Berhormat, jadi Menteri, dapat peluang raih duit kerajaan dan lain-lain. Kita tak bolehkah dapat sikit bagi diri kita.

Tetapi benarkah kita akan merdeka selama-lamanya? Memang benar. Walaupun kita tidak buat apa-apa untuk mengekalkan kemerdekaan, bukankah sudah 50 tahun kita merdeka? Apa yang hendak dikhuatirkan? Lima puluh tahun, 100 tahun lagi pun kita akan merdeka walau apa pun kita lakukan. Takkanlah kerana kita ambil 100 Ringgit duit sogokan maka akan hilanglah kemerdekaan kita? Kita boleh sembahyang hajat dan terima 100 Ringgit lagi. Orang lain terima lebih daripada kita., katanya satu juta. Masih kita merdeka. Tidak benar kerana sedikit rasuah kemerdekaan akan hilang.

Tetapi ingatlah penjajahan tidak selalu berbentuk penaklukan secara langsung. Penjajahan boleh berlaku walaupun kita miliki pemerintahan sendiri. Ia boleh berlaku apabila pemerintah kita yang dipilih dan diberi kuasa oleh kita sudah menjual diri mereka kepada orang lain, samada dari dalam negeri atau dari luar. Atau takut jiran marah.

Pemerintah yang mengikut telunjuk orang lain bukan bebas lagi. Pemerintah yang menjadi pemerintah melalui rasuah akan benar diri mereka disogok kerana perlu mendapat kewangan yang cukup untuk membeli sokongan lagi supaya kedudukan mereka sebagai pemerintah akan kekal.

Untuk mendapat sogokan yang cukup mereka akan sanggup ikut arahan penyogok. Dengan perkataan lain mereka akan jadi alat pada penyogok.

Kepentingan penyogok tidak sama dengan kepentingan kita, atau kepentingan bangsa dan negara.

Kita sudah lihat hanya kerana hendak kekal sebagai pemerintah, ada yang sanggup layan apa sahaja arahan, tuntutan, desakan oleh pihak yang menentukan jawatan bagi kita. Kalau pun apa yang dituntut merugikan orang Melayu, itu tidak mengapa asalkan kita dapat jawatan, walaupun sebagai “figurehead”, patung sahaja, tidak berkuasa pun.

Jika kita terjemah keadaan ini kepada jawatan yang didapati kerana disogok apakah yang tidak sanggup kita buat? Jual bangsa, jual negara pun kita sanggup.

Apabila kita sudah jual bangsa dan negara apakah kita merdeka lagi? Sudah tentu tidak.

Justeru itu tidak benar kepercayaan kita bahawa sekali merdeka selama-lamanya merdeka. Pada permukaannya kita merdeka tetapi pada hakikatnya kita sudah kembali dijajah. Apabila kita kembali dijajah maka kita sudah khianati pejuang-pejuang kemerdekaan kita dahulu.

Itulah kenyataan yang sebenar.

Melayu mudah lupa. Kata seorang ahli falsafah; “Mereka yang lupa akan sejarah mereka akan didera dengan mengulangi kesalahan mereka berkali-kali”.

Inilah hasil daripada mudah lupa. Kita lupa bahkan kita tidak suka diperingati akan sejarah kita. Apa kena-mengena peristiwa 50 tahun dahulu? Apa kena-mengena dengan kita akan kemiskinan Melayu, dengan kedaifan mereka dalam bidang ilmu dan profesyen di masa dahulu? Itu dahulu, ini sekarang. Sudah tentu sejarah penjajahan kita dahulu tidak ada kena mengena dengan keadaan kita sekarang. Tidak ada pelajaran yang akan kita dapati daripada sejarah 100, 500 tahun dahulu. Itu semua cerita dongeng.

Apa yang kita lakukan sekarang, kita lakukan kerana kita sudah merdeka dan selamat. Buatlah apa pun kita tetap selamat, tetap merdeka.

Jadi penagih dadah, jadi pelepak, jadi “Mat Rempit”, jadi penjenayah pun tak mengapa.

Bukankah kita yang memilih dan membentuk Kerajaan? Kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap kita. Jika kerana amalan buruk kita, sesuatu yang tidak baik menimpa kita, bukankah menjadi tanggungjawab Kerajaan pilihan kita untuk menyelamatkan kita?

Jika kita diserang orang bukankah menjadi tanggungjawab Kerajaan yang kita pilih untuk menangkis serangan ini?

Jika kerana Kerajaan yang kita pilih terdiri daripada orang yang sogok duit pada kita dan mereka pula disogok oleh orang lain dan mereka berasa lebih terikat kepada yang menyogok mereka dan kurang bertanggungjawab kepada kita kerana sokongan kita mereka dapati kerana kita terima sogokan, apakah yang dapat kita buat? Tak banyak. Hanya menerima sahaja.

Akan menjadi lebih buruklah nasib kita sepanjang masa.

Hakikat yang sebenar ialah sokongan kita, undi kita yang kita jual tidak lagi mengikat mereka yang kita pilih untuk jadi Kerajaan.

Mereka akan anggap balasan kepada sokongan kita sudah pun dibuat melalui wang sogokan daripada mereka.

Sesungguhnya nasib kita ada di tangan kita. Jika nasib ini tidak baik kitalah yang harus berusaha untuk memperbaikinya. Ingatlah, Tuhan telah berfirman yang Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan kaum itu sendiri berusaha mengubah nasibnya.

Apakah kita sedang berusaha untuk memperbaiki nasib kita? Tidak ternampak satu pun usaha ke arah ini. Yang kita lihat ialah perbuatan merosakkan lagi keadaan nasib yang sudah buruk ini.

Kita tahu yang kita lakukan bukan untuk memperbaiki keadaan. Tetapi kita lakukan juga untuk kepentingan semasa kita. Masa depan soal lain.

Pejuang-pejuang kemerdekaan telah pilih demokrasi sebagai cara kita memerintah. Kenapa?

Sebabnya ialah kerana mereka percaya majoriti daripada rakyat tentulah bijak dalam amalan mereka, tentulah tahu antara yang baik dengan yang buruk, tentulah bijak semasa membuat pilihan.

Pengasas kemerdekaan percaya majorti akan tahu pilih apa yang baik bagi mereka. Sudah tentu mereka akan menolak orang yang hanya bergantung kepada sogokan untuk dipilih.

Tetapi mereka tidak sangka pewaris mereka, sebilangan yang tidak kecil akan tolak kebaikan dan mengutamakan sogokan untuk menentukan siapa akan memerintah mereka.

Pejuang kemerdekaan yang sedar betapa sukarnya bagi orang Melayu mendapat peluang dan bantuan dahulu dan dengan kerana itu Melayu tidak berjaya.

Dengan kesedaran ini mereka merangka untuk mengadakan lebih banyak peluang dan sokongan kepada bangsa mereka supaya bangsa mereka boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum-kaum lain, bahkan dengan bangsa-bangsa lain di dunia. Mereka percaya semua peluang dan sokongan akan direbut oleh pewaris daripada bangsa mereka.

Ya, mereka ini kebanyakan sudah tidak ada, sudah tinggal kita. Tetapi jika mereka ada apakah perasaan mereka? Tentulah mereka akan kecewa dan hampa amat sangat kerana segala-gala yang mereka ilhamkan sudah dipermainkan oleh pewaris mereka, tidak dihargai oleh pewaris mereka.

Mereka melihat bagaimana peluang dan bantuan disalahgunakan atau ditolak dengan begitu sahaja. Sepatutnya dengan peluang belajar di semua peringkat bangsa mereka sudah jadi bangsa yang berilmu. Dengan peluang berniaga mereka sudah jadi kaya, atau sekurang-kurangnya tidak miskin.

Tetapi tidak. Peluang bukan sahaja tidak direbut tetapi peluang digunakan secara yang boleh merosakkan bangsa. Mereka lepak, mereka jadi Mat Rempit, yang lakukan jenayah yang kadang-kadang menyebabkan kematian mangsa mereka.

Diberi peluang berniaga, diberi modal, diberi latihan tetapi kerana ingin kaya cepat mereka memperdagangkan peluang, kontrak, lesen, permit dan sebagainya.

Modal mereka guna untuk belanja bagi memenuhi nafsu, hutang mereka tidak dibayar. Kerana kelakuan beberapa daripada mereka, bangsa mereka dicap sebagai bangsa yang tidak beramanah, dan tidak boleh dilayan, tidak boleh diharap dengan duit ringgit.

Dan banyaklah lagi perbuatan mereka yang tetap mengecewakan pejuang bangsa dahulu.

Kata mereka, jangan buka pekong di dada.

Malu kata mereka.

Tetapi tidakkah lebih malu apabila mereka lakukan apa yang telah saya sebutkan. Tak buka pekong pun busuk juga. Biarlah pekong di dada dibuka supaya kerana bau terlalu busuk kita akan cuba melepaskan diri daripadanya. Jika tidak ia akan menjadi lebih busuk di dalam dan akan bunuh kita.

Semua yang disebut ini menjadi pengkhianatan kepada pejuang bangsa dahulu. Kerosakan kerana ini lambat laun akan merosakkan masa depan kita.

Tetapi yang terdahsyat diantara amalan buruk kita ialah rasuah, terutama rasuah politik. Politiklah yang dapat memberi kuasa walaupun pada yang lemah dan miskin. Politik kita sewaktu perjuangan untuk kemerdekaan berjaya memberi kekuatan kepada Melayu sehingga mereka yang daif ini dapat mengalahkan kuasa besar dunia. Hanya dengan bersatu dan bertindak bersama, hanya dengan pendirian yang tegas kelemahan dapat diatasi dan kejayaan dicapai. Sesungguhnya kuasa politik kuasa ajaib.

Selagi ada kuasa ini kepada kita, percayalah kita akan dapat pulih segala-galanya, kita akan dapat mengatasi kelemahan kita, kita akan dapat tentukan masa depan kita.

Tidakkah kita lihat bagaimana daripada bangsa yang dijajah dan dihina, kuasa politik sudah mengubah nasib kita demikian sehingga kita dianggap sebagai contoh kepada bangsa-bangsa lain di dunia.

Bandingkan negara kita 50 tahun dahulu di waktu kita mencapai kemerdekaan dan negara kita sekarang. Negara dagang yang ke-17 terbesar di dunia. Kemiskinan dikurangkan daripada 70 peratus kepada lima peratus. Bandar sebesar bandar di negara maju, penuh dengan pencakar langit. Bekalan air, api dan kenderaan yang terkini.

Pendapatan per kapita yang 20 kali lebih tinggi dari 50 tahun dahulu dan lain-lain.

Semua ini adalah hasil kuasa politik semata-mata. Kerana kuasa politik, negara berbilang kaum, ugama, budaya dan bahasa dapat distabilkan. Dan sesungguhnya kita sudah dapat berdiri hampir sama tinggi dengan kaum-kaum lain dan bangsa-bangsa lain.

Tetapi sekarang kita lakukan perbuatan untuk menghakis dan menghapus kuasa politik kita.

Kerana wang yang sedikit, kerana 100-200 Ringgit kita jual kuasa politik, kita serah nasib kita kepada perasuah, perasuah yang akan jual bangsa dan negara.

Apakah akan jadi kepada kita apabila kuasa politik terlucut daripada kita? Apakah kita akan terus merdeka? Saya fikir tidak.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan

Perhimpunan Melayu hari ini memang menjadi hak bagi kita kerana kita menghadapi masalah-masalah yang besar-besar, bukan satu tetapi banyak masalah.

Kita semua berasa cemas. Di mana-mana sahaja orang Melayu sedang berhimpun untuk membincang masalah mereka, kecemasan yang mereka rasai.

Jika pada hari ini kita dapat menyedarkan akan musibah yang sedang dan akan timpa keatas kita, jika kesedaran ini akan menyebabkan kita bertindak keras terhadap mereka diantara kita yang mencetuskan masalah ini, jika kita dapat bandingkan gejala rasuah yang menjadi ancaman terhadap kita yang terbesar sekali, maka ralatlah perhimpunan ini, berjayalah perhimpunan ini.

Saya tak salahkan orang lain. Saya salahkan kita sendiri. Tak mungkin orang lain menguasai kita jika kita tegas dan tidak membenarkan mereka.

Maju mundurnya bangsa kita terpulanglah kepada kita. Ingatlah Tuhan tidak akan ubah nasib kita melainkan kita berusaha mengubah nasib kita sendiri.

Oleh itu berusahalah mengubah nasib diri sendiri setelah kita berhimpun di sini untuk membincang masalah yang kita hadapi. Saya percaya perbincangan kita akan membuahkan pemikiran dan tindakan yang boleh menyelamatkan kita.

Wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.