ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Saturday, November 8, 2008

MESYUARAT PEMUDA UMNO BAHAGIAN TEMERLOH GEMPAR, LIMA KERUSI PATAH?

MESYUARAT PEMUDA UMNO BAHAGIAN
TEMERLOH GEMPAR, LIMA KERUSI PATAH?


TEMERLOH – Tiba-tiba ahli-ahli Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Temerloh yang sedang khusyuk mengikuti hujah para perwakilan dalam Persidangan Pemuda pada 2 November lalu di Dewan Sri Mentakab, dekat sini menjadi gempar diikuti dengan deraian ketawa terbahak-bahak.

Insiden ini bukan berpunca dari kejadian baling kerusi tetapi terdapat lima buah kerusi patah serentak menyebabkan para perwakilan yang duduk dikerusi berkenaan terjelipok ke lantai dewan lalu rakan-rakan mereka tergelak besar.

Akibat insiden berkenaan menyebabkan persidangan terbabit ditangguhkan beberapa minit dan selepas ahli-ahli perwakilan berkenaan diberikan kerusi yang baru, persidangan disambung semula.

Di dalam persidangan berkenaan, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Mahathir telah mendapat sokongan sebulat suara dari para perwakilan Pemuda UMNO Bahagian Temerloh untuk dicalonkan sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO.

Sementara Ahli Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim telah dicalonkan untuk bertanding jawatan Naib Kretua Pergerakan Pemuda UMNO, juga dengan sokongan sebulat suara.

Dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Temerloh, Megat Mohd. Asri Abd. Jalil berjaya merebut jawatan berkenaan setelah beliau meraih 102 undi menewaskan tiga lagi pencabarnya iaitu Riduan Hazimi Ramli, Mohd. Fadli Manaf dan Abdul Shukur Abdul Whab.

Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Temerloh, Rofaei Datuk Md Hamdan telah berjaya memenanginya. Seramai 261 ahli perwakilan Pemuda UMNO telah menghadiri persidangan berkenaan.

Dipetik dari Mingguan Wataan
Bil.11, 9 - 15 November 2008

PEMIMPIN DAN AHLI UMNO WAJAR LEBIH PROPESIONAL?

PEMIMPIN DAN AHLI UMNO WAJAR LEBIH PROPESIONAL?


KUANTAN – Pemimpin dan ahli UMNO diminta tidak membuat ugutan politik terutama menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan elok berdepan jika berani atau tidak berpuas hati dalam sesuatu perkara..

Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak berkata, pemimpin dan ahli UMNO perlu memiliki sikap profesional dalam melaksanakan tugas partai dan bukan bertindak mengikut perasaan semata-mata.

Menurut beliau, setiap ugutan berbau politik yang dibuat individu tertentu baik dikenali atau tidak oleh penerima SMS tidak akan mendatangkan sebarang manfaat, malah mengundang suasana tidak baik.

“Tidak perlu takut, lakukanlah perbincangan bersemuka bagi menyelesaikan sesuatu permasalahan berkait dengn UMNO dan kepimpinannya kerana itu adalah jalan terbaik,” katanya.

Baru-baru ini Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan perbuatan sedemikian adalah budaya buruk dan tidak sepatutnya terjadi sepanjang kempen pemilihan dalam UMNO.

Beliau mengulas kenyataan calon MKT UMNO, Datuk Shahrir Samad yang telah menerima ugutan berbau politik dari orang-orang yang tidak dikenali melalui SMS baru-baru ini.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.11, 9 - 15 November 2008

CINCIN RAJA KAYU JADI REBUTAN PELOBI POLITIK?

CINCIN RAJA KAYU JADI REBUTAN PELOBI POLITIK?

KUANTAN – Cincin berpermatakan teras kayu Kempas yang terkenal dengan gelaran Raja Kayu semakin menjadi popular dan dicari-cari oleh pelobi-pelobi politik terutama di kalangan orang-orang UMNO dalam persiapan mereka menjadi pelobi politik yang ampuh menjelang Perhimpunan Agung UMNO Mac depan.

Difahamkan mereka sanggup membayar antara RM300 dan RM1,500 bagi sebentuk cincin berpermatakan raja kayu, kerana percaya sesiapa yang memakai cincin berkenaan, cakap-cakap atau bujukan pemiliknya dapat melembutkan hati sesiapa saja yang mendengar omongannya.

Disamping cincin raja kayu, ianya perlu dipakai bersama dengan cincin berpermatakan teras kemuning hitam kerana khasiat kayu kemuning hitam boleh menjadi penawar racun atau terhindar dari anasir-anasir ilmu hitam, disamping pemiliknya mampu meningkatkan tenaga batin.

Perkara ini mula menjadi tajuk perbualan pelobi-pelobi politik di sini bila mana tersiar dalam internet di Bernama Online pada 24 Oktober lalu yang mengisahkan kenyataan tukang cincin, Badrulhisham Abdullah, 43, dipetik sebagai berkata, kayu yang diberi nama Raja Kayu mempunyai keajaiban yang boleh dibuktikan "in situ" di hadapan para pembeli kayu atau cincinnya.

Menurut Badrulhisham, hebat tidak hebatnya kayu dari hutan di Tanah Melayu ini, perhatikan saja masyarakat Orang Asli yang jarang jatuh sakit sedangkan mereka tinggal di hutan. Kayu dan akar dari hutan kitalah yang memberikan mereka segala keajaiban dan ubat-ubatan.

Menurut artikel Bernama Online itu lagi, keajaiban Raja Kayu itu apabila cahaya dari lampu suluh mampu menembusi kepingannya yang agak tebal sedangkan ujian yang serupa gagal apabila dibuat ke atas kayu lain yang lebih nipis termasuk Kokka.

Raja Kayu juga membuktikan keistimewaannya yang tersendiri apabila penulis artikel berkenaan meletakkan Raja Kayu bersaiz satu sen (sangat ringan) ke dalam air, ia akan tenggelam seperti batu.

Ujian ketiga dibuat apabila serbuk Raja Kayu digosokkan ke lengan seorang pelanggan, serbuk kayu dari Raja Kayu yang boleh bertindak sebagai ubat itu digosok dengan perlahan sehingga serbuk itu meresap ke dalam kulit pelanggan itu, perkara yang tidak mungkin berlaku pada serbuk kayu lain

Semasa Wartawan Mingguan Watan membuat tinjauan beberapa hari di Taman Kerang yang terletak di tengah-tengah bandar Kuantan mendapati penjual-penjual cincin mula memberitahu bahawa permata yang dibuat dari Raja Kayu memang dicari-cari oleh orang-orang yang sebelum ini bukan pengunjung biasa ke lokasi berkenaan.

Menurut mereka, tidak ramai tukang cincin yang berjualan ada menjual cincin berpermatakan Raja Kayu, dan jika adapun terus dibeli oleh pembeli yang tidak dikenali tanpa membuat sebarang tawar-menawar menyebabkan penjual-penjual cincin di sini menghubungi rakan-rakan mereka di Terengganu, Kelantan, Perak dan Kedah untuk datang berjualan di sini.

Seorang penjual cincin yang mahu dikenali dengan panggilan Pak Leman Tahi Besi, kerana beliau penjual batu cincin yang dibuat dari batu Tahi Besi yang khabarnya juga amat berkhasiat jika dibuat cincin, iblis dan syaitan akan menjauhi pemakainya,

Kata Pak Leman, apabila beliau bertanya kenapa mencari cincin raja kayu, mereka mengatakan sesiapa yang memakai cincin berpermatakan raja kayu, kebal dari dibakar oleh api disamping air rendaman cincin berkenaan boleh menawarkan pelbagai penyakit aneh.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.11, 9 - 15 November 2008

TENGKU AZLAN KEKAL JAWATAN

TENGKU AZLAN KEKAL JAWATAN


JERANTUT – Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar telah berjaya mengekalkan jawatan selama tiga penggal sebagai Ketua UMNO Bahagian Jerantut setelah menewaskan pencabarnya dalam satu pertandingan yang hebat.

Tengku Azlan telah berjaya meraih 246 undi menewaskan ADUN Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail yang hanya mendpat 201 undi dalam Persidangan UMNO Bahagian Jerantut pada 1 November lalu.

Bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jerantut, ADUN Tahan, Datuk Wan Amizan Wan Abdul Razak telah memenanginya setelah mendapat 282 undi menewaskan Datuk Azizan Yaakob dengan hanya mendapat 166 undi.

Sementara Datuk Nazri Ngah berjaya menyandang jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Jerantut setelah mendapat 299 undi menewaskan Mohd. Zukarmi Abu Bakar yang mendapat 121 undi dan Datuk Mohd. Taufek Abdul Razak yang hanya mendapat 26 undi.

Ketika berucap menutup Persidangan UMNO Bahagian Jerantut, Tengku Azlan berharap pemimpin dan ahli UMNO merapatkan semula barisan dan kerjasama dan jangan jadikan pertandingan dalam partai sebagai asas permusuhan berterusan.

” Saya amat berterima kasih kepada perwakilan yang telah memilih saya sekali lagi bagi menerajui UMNO Bahagian Jerantut dan kepercayaan yang diberi akan menjadi tanggungjawab saya mengukuhkan UMNO.

” Hari ini adlah satu sejarah di mana semua jawatan dalam UMNO Bahagian Jerantut dipertandingkan, selain menyerap perlakuan demokratis, keputusan dari pertandingan dapat memelihara demokrasi dalam UMNO, ” ucap beliau lagi.

Manakala Dr Ahmad Shukri dalam ucapannya berkata, penawaran dirinya untuk bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Jerantut kerana adanya rasa terpanggil mahu membawa perubahan.

Katanya, perubahan yang cuba dibawa belum lagi dapat diterima oleh ahli-ahli UMNO Jerantut dan saya berharap pimpinan yang baru dapat meningkatkan kembali sokongan orang Melayu di daerah ini kepada Barisan Nasional.

Dipetik dari Mingguan Watan,
Bil.11, 9 - 15 November 2008

MPK BERI AMARAN BATAL LESEN RUMAH URUT DAN PUSAT INTERNET?

MPK BERI AMARAN BATAL LESEN RUMAH URUT DAN PUSAT INTERNET?


KUANTAN – Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) memberi amaran membatalkan serta-merta lesen perniagaan pemilik rumah urut dan pusat internet yang didapati bersalah menjalankan kegiatan pelacuran dan judi haram.

Yang Dipertua MPK, Datuk Azizan Ahmad berkata, tindakan tegas itu perlu dikenakan bagi memastikan tidak berlaku kes pelacuran atau perjudian di kawasan bandar Kuantan.

“Kita tidak akan berkompromi dengan pemilik premis perniagaan yang menjalankan aktiviti pelacuran termasuk di kedai gunting rambut dan rumah urut dan tindakan menggantung lesen sudah dilaksanakan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, sebelum ini MPK hanya mengenakan kompaun bagi kesalahan kali pertama manakala menggantung lesen bagi kesalahan kedua dan lesen dibatalkan jika didapati mereka melakukan kesalahan kali ketiga.

Katanya, MPK akan sentiasa memantau pusat perniagaan terbabit kerana tidak mahu peluang mendapat lesen disalahgunakan pemilik premis dengan melakukan aktiviti haram sebalik perniagaan yang dijalankan.

“Kita sudah melakukan pemantauan ke atas premis terbabit dan hasil pemeriksaan mendapati ada yang melanggar syarat lesen seperti membenarkan kanak-kanak di bawah umur masuk ke tempat itu dan beroperasi lebih masa,” katanya.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.11, 9 - 15 N0vember 2008

JAGA PENGUNDI MUDA

JAGA PENGUNDI MUDA


KUANTAN – Bertambahnya bilangan pengundi muda di kawasan Parlimen Indera Mahkota perlu diberi perhatan serius dan saya berharap pemimpin dan ahli-ahli UMNO di cawangan-cawangan amat perlu menjaga minat dan perkembangan mirip politik mereka.

Jika dari sekarang kita masih gagal menjaga minat dan mirip politik mereka, saya percaya UMNO dan Barisan Nasonal (BN) tetap akan gagal merampas kembali kerusi Parlimen Indera Mahkota dan DUN Beserah dari tangan pembangkang.

Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Faisal Abdullah semasa berucap merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Indera Mahkota pada 2 Novemver lalu berkata, terdapat 51,235 orang pengundi dalam kawasan Parlimen Indera Mahkota pada tahun 2007.

Katanya, dari jumlah itu, seramai 13,378 orang adalah ahli UMNO yang berdaftar di 56 cawangan UMNO manakala selebihnya kita gagal mengenalpasti mirip mereka, apakah menyokong BN atau pembangkang.

” Saya jangka 40 peratus dari jumlah pengundi di kawasan ini adalah orang muda dan kita kena jaga mereka dari sekarang jika kita mahu melihat BN merampas semula kerusi Parlimen Indera Mahkota dan DUN Besereah kembali ke pangkuan kita.

” Semua pemimpin dan ahli-ahli baik di peringkat Bahagian mahupun Cawangan wajar mulai sekarang memula langkah segera membentuk rangkaian kerjasama untuk menarik golongan muda ini menyokong perjuangan kita.

” Apa yang berlaku dalam Pilihanraya Umum yang lalu harus dijadikan iktibar malah kita perlu meningkatkan komitmen dan kerjasama dari semua pemimpin dan ahli UMNO supaya perkara yang sama tidak berlaku pada Pilihanraya Umum ke-13 nanti, ucap Faisal semasa merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Indera Mahkota di Dewan Kastam, dekat sini.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.11, 9 - 15 November 2008

SEKATAN BERPOLITIK DARI PEGAWAI KERAJAAN

SEKATAN BERPOLITIK DARI PEGAWAI KERAJAAN
KUMPULAN ‘A’ PERLU DIMANSUHKAN!

JERANTUT – Kerajaan wajar memansuhkan peraturan yang menyekat pegawai-pogawai kerajaan dari Kumpulan ’A’ aktif berpolitik kerana sekatan sedemikian menyebabkan berlaku ketandusan pemimpin di peringkat akar umbi.

Keadaan ini semakin ketara sejak akhir-akhir ini dan sekatan berkenaan memungkinkan negara akan mengelami kemarau pemimpin berkualiti, terutama bagi mereka yang berminat untuk menjadi pemimpin politik di peringkat bawahan.

Di dalam Perintah Am Bab ’D’ memang sudah trermaktub larangan berpolitik kepada pegawai-pegawai Kerajaan yang memiliki ijazah dan keadaan ini menyebabkan pegawai-pegawai Kerajaan terbabit menjauhkan diri dari bergerak aktif dalam gerakan politik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail berkata, ketandusan pemimpin berkaliber dan berpotensi sudah lama dirasai hingga sampai ke peringkat membimbangkan kerana larangan itu seolah-olah memakan diri sendiri, terutama parti kerajaan yang diterajui UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, sekatan itu menyebabkan ramai pegawai-pegawai Kerajaan, terutama guru kumpulan A tidak boleh aktif dalam politik, walhal sejarah membuktikan guru sebagai pejuang bangsa dan negara.

“Jika diimbas kembali, ramai guru terbabit dalam politik secara langsung dan tidak langsung sebelum merdeka dahulu untuk turut memperjuangkan kemerdekaan, namun kebetulan pada masa itu guru memiliki sijil perguruan dan tidak di kategorikan Kumpulan A.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.11, 9 - 15 November 2008