ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Friday, December 31, 2010

Bukan masa eksperimen


Bukan masa eksperimen
2011/01/01/BHarian Online

Perdana Menteri dalam perutusan Tahun Baru 2011, berkata ini bukan masa bereksperimen tetapi waktu memperbaharui kepercayaan dan mengukuhkan keyakinan kepada apa yang sudah terbukti berkesan.

“Janganlah kita hanya berpuas hati dan berpeluk tubuh menjadi pengkritik di tepian, tetapi marilah kita corakkan masa depan generasi hari muka kepada yang lebih baik daripada hari ini.

“Kuasa membentuk adalah di tangan rakyat. Tunaikan tanggungjawab ini sebaik-baiknya,” katanya.

Najib juga mengingatkan generasi kini supaya tidak memperdagangkan atau mempertaruhkan nasib generasi akan datang dengan membuat keputusan yang salah.

Katanya, dalam menguruskan negara, terutama ekonomi, kerajaan sentiasa mengamalkan sikap penuh kebertanggungjawaban.
“Sebagai kerajaan yang begitu prihatin dalam meresapi nadi dan naluri rakyat, kita tidak sekali-kali akan membelakangkan kepentingan orang ramai dengan menjanjikan sesuatu atau mengambil sebarang keputusan yang pada mata kasarnya popular, namun hakikatnya menjejaskan kepentingan semua kaum pada kemudian hari," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan yang menggubal atau menjanjikan dasar bersifat popular, tetapi tidak bertanggungjawab mungkin mendapat pengiktirafan atau sanjungan jangka pendek, tetapi bagi tempoh masa panjang, rakyat akan menderita.

"Mengambil iktibar daripada kekhilafan sekeliling, sepanjang 2010, kita sudah merancang asas yang kukuh bagi menentukan keseluruhan potensi dan sumber negara mampu dirangsang serta diaturgerakkan ke arah tercapainya wawasan kebangsaan," katanya.

Antara yang diperkenalkan termasuk pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP) bersama enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan 12NKEAnya, sebagai teras kepada Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia Ke-10 dan Bajet 2011 – yang akan mengangkat taraf dan mutu hidup rakyat.

“Sejak sekian lama, kerajaan yang diberi mandat telah mentadbir dan berusaha dengan ikhlas untuk memberikan yang terbaik kepada keperluan rakyat serta kemajuan negara.

“Sayangnya ada pihak menangguk di air keruh dengan sewenang-sewenangnya menuduh kerajaan hanya berminat terhadap projekmega yang sesungguhnya tidak benar sama sekali,” katanya.

Sinis menepis kritikan beberapa pihak, khususnya pembangkang, mengenai pembinaan beberapa projek seperti Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Menara Berkembar Petronas dan Jabatan Pulau Pinang, Najib berkata, pihak sama kini tersipu-sipu malu dan terkesima untuk mengakui kesilapan mereka kerana terbukti projek itu memberi manfaat kepada rakyat.

"Persoalannya jika pendapat mereka terbukti salah dalam perkara yang sebegitu besar, bagaimanakah mungkin rakyat boleh mempercayai lagi sebarang janji mereka?

"Apatah lagi baru-baru ini janji 100 hari mereka yang hanya menambah perbelanjaan tanpa mengambil kira realiti pendapatan serta punca kewangan negara," kata Perdana Menteri.

Najib yang berharap rakyat mampu melihat dan menilai ‘yang mana kaca, yang mana permata’, berkata kerajaan sejak dulu memberi perhatian untuk memastikan pertumbuhan ekonomi mapan. – BERNAMA

Najib ajak rakyat Malaysia corak masa depan lebih baik
Agenda Daily OnLine 31.12.2010

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyeru seluruh masyarakat Malaysia untuk menunaikan tanggungjawab bagi mencorakkan masa depan yang lebih baik demi generasi akan datang, serta meletakkan negara di kedudukan yang sepatutnya.
Najib, dalam perutusan Tahun Baru 2011 berkata, tanpa sokongan dan kerjasama rakyat, segala yang dirancang dan mahu dilaksanakan oleh kerajaan tidak akan menemui kejayaan.

"Janganlah kita hanya berpuas hati dan hanya berpeluk tubuh menjadi pengkritik di tepian. Marilah kita corakkan masa depan generasi hari muka kepada yang lebih baik daripada hari ini.

"Kuasa membentuk adalah di tangan rakyat. Tunaikanlah tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya," katanya.

Bernama melaporkan Najib juga mengingatkan generasi kini supaya tidak memperdagang atau mempertaruhkan nasib generasi akan datang dengan membuat keputusan yang salah.

"Ini bukanlah masa untuk bereksperimen tetapi waktu untuk memperbaharui kepercayaan dan mengukuhkan keyakinan kepada apa yang telah terbukti berkesan," katanya.

Kata Najib, dalam menguruskan negara, terutamanya ehwal ekonomi, kerajaan sentiasa mengamalkan sikap penuh kebertanggungjawaban.

"Sebagai kerajaan yang begitu prihatin dalam meresapi nadi dan naluri rakyat, kita tidak akan sekali-kali membelakangkan kepentingan orang ramai dengan menjanjikan sesuatu atau mengambil sebarang keputusan yang pada mata kasarnya popular namun hakikatnya bersifat amat menjejaskan kemudian hari terhadap kepentingan semua," katanya.

Perdana Menteri berkata sememangnya mana-mana kerajaan yang menggubal atau menjanjikan dasar-dasar sekadar bersifat popular tetapi tidak bertanggungjawab mungkin akan mendapat pengiktirafan atau sanjungan jangka pendek tetapi untuk tempoh masa panjang, rakyat yang sebenarnya akan menderita.

"Mengambil iktibar daripada kekhilafan-kekhilafan sekeliling, sepanjang 2010, kita telah merancang asas-asas yang kukuh bagi menentukan keseluruhan potensi dan sumber negara mampu dirangsang serta diaturgerakkan ke arah tercapainya wawasan kebangsaan," katanya.

Antara yang diperkenalkan termasuk pelancaran Program Transformasi Kerajaan (GTP) bersama enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan 12 NKEAnya, sebagai teras kepada Model Baru Ekonomi, Rancangan Malaysia ke-10 dan Bajet 2011 - yang merupakan peta laluan komprehensif untuk mengangkat taraf dan mutu hidup lebih tinggi kepada seluruh rakyat Malaysia.

"Sejak sekian lama, kerajaan yang diberi mandat telah mentadbir dan berusaha dengan ikhlas untuk memberikan yang terbaik kepada keperluan rakyat serta kemajuan negara.
"Sayangnya terdapat pihak-pihak yang menangguk di air keruh dengan sewenang-sewenangnya menuduh bahawa kerajaan hanya berminat terhadap projek-projek tertentu terutamanya yang berbentuk mega.

Sesungguhnya lemparan kata-kata itu tidak benar sama sekali," tegasnya.
Sinis menepis kritikan beberapa pihak, khususnya pembangkang, mengenai pembinaan beberapa projek seperti pembinaan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Menara Berkembar Petronas dan Jabatan Pulau Pinang, Najib berkata pihak sama kini tersipu-sipu malu dan terkesima untuk mengakui kesilapan mereka kerana terbukti projek-projek yang dilaksanakan kerajaan itu telah memberi manfaat kepada rakyat terbanyak.

"Persoalannya jika pendapat mereka terbukti salah dalam perkara yang sebegitu besar, bagaimanakah mungkin rakyat boleh mempercayai lagi sebarang janji mereka?

"Apatah lagi baru-baru ini janji 100 hari mereka yang hanya akan menambahkan lagi perbelanjaan tanpa mengambil kira realiti pendapatan serta punca kewangan negara," soal Perdana Menteri.

Berharap rakyat Malaysia mampu melihat dan menilai "yang mana kaca, yang mana permata", Najib menegaskan bahawa kerajaan sejak dahulu telah memberi perhatian kepada matlamat untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan.
Ini kerana katanya lonjakan kekayaan negara akan membolehkan peningkatan untuk perbelanjaan dan terlaksananya keadilan sosial.

"Ia berkadar terus, ertinya, semakin meningkat pendapatan kerajaan, maka semakin meningkat perbelanjaan untuk kesejahteraan rakyat," katanya yang menyeru seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama untuk menyahut seruan untuk menuju ke puncak kejayaan. – 31/12/2010

Saturday, December 4, 2010

ucapan PM pada Konvensyen BN


ucapan PM pada Konvensyen BN
05/12/2010 1:59pm/Utusan Online

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Yi ge Malaysia [Cina],...
Oray Malaysia [Tamil],...
Ndi Malaysia [kata Bidayuh],...
Ji Malaysia [kata Orang Ulu],...
Ise’ Malaysia [kata Kadazan & Dusun],...
Saumi Malaysia [kata orang Murut],...
atau kata orang Iban pula Sato Malaysia
YAB Tan Sri Muhyiddin Hj. Mohd Yassin
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional
Naib-Naib Pengerusi Barisan Nasional
Ahli-Ahli Dewan Tertinggi Barisan Nasional
Ahli-Ahli Majlis Tertinggi parti-parti komponen Barisan Nasional
Menteri-Menteri
Timbalan-Timbalan Menteri
Ahli-Ahli Yang Berhormat
Presiden dan wakil-wakil dari Friends of Barisan Nasional, KIMMA, IPF, Makkal Sakti dan MIUP
Para perwakilan Barisan Nasional terdiri daripada 13 parti komponen
Para Pemerhati
Wakil-wakil media
Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,
1.Pertama sekali, marilah kita sama-sama mengucapkan rasa syukur yang tidak terhingga kerana kita semua dapat berkumpul pada pagi ini di Dewan San Choon yang indah, dalam penuh kesepakatan, dengan kebulatan tekad dan suasana yang begitu harmonis.
2.Sesungguhnya, perhimpunan pada hari ini, membuktikan kepada dunia bahawa, sebagai rakyat Malaysia, we stand united, indivisible with one purpose, that, of building a better future. Apa yang penting kepada kita, yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan budaya, semua dapat berkumpul beramai-ramai, tanpa rasa takut, tanpa rasa bimbang mahupun gundah gulana terhadap keselamatan diri masing-masing.
3.Ia sekali gus menjadikan telahan para prophets of doom and gloom yang telah meramal dan menujumkan kemusnahan Malaysia selama ini oleh sebab faktor kepelbagaian kita, terbukti salah sama sekali.
4.Sesungguhnya, walau apa warna kulit kita, walau apa anutan kepercayaan kita, walau apa pun taraf sosioekonomi dan di mana sekalipun berada, kita tetap teguh berpadu di bawah payung 1Malaysia.
5.Ternyata pula, Malaysia telah dikurniakan dengan segala nikmat dan kedamaian, sehingga kita mampu berjalan sejauh ini. Dalam keadaan banyak negara majmuk lain di dunia, ditandai dengan bermacam krisis dan konflik, jalan yang dilalui Malaysia jelas istimewa. Kita telah merintis jalan yang panjang dan berjaya menguruskan kepelbagaian yang ada dengan begitu baik.
Tuan-tuan dan puan-puan,
6.Kejayaan terbesar kita adalah menukarkan kerumitan pelbagai yang wujud atau “a potential achilles heel” kepada kelebihan persaingan atau “competitive advantage”. Di sini, sama ada kita sedar atau tidak, ia bukanlah pencapaian yang kecil mahupun lazim, sebaliknya ia adalah satu pencapaian yang amat signifikan serta begitu monumental dalam sejarah pembikinan Malaysia.
7.Pendek kata, kejayaan ini begitu mengkagumkan kerana kita tidak mengambil jalan mudah mengamalkan kaedah ‘kawah pelakuran’ atau ‘melting pot’ dalam membina sebuah negara, di mana perbezaan yang wujud terpaksa dikorbankan manakala identiti tunggal perlu pula dicipta. Waima, kita tidak pernah berusaha melenyapkan mana mana budaya, tidak juga pernah cuba menukar asal usul sesiapa. Hatta sampai sekarang ini, masing-masing bebas mengekalkan jati diri.
8.Misalnya, kalau nama Samy Vellu, tak payah tukar jadi Suhaimi atau Sazali. Kalau Chua Soi Lek, tak payah tukar jadi Salleh, So ud atau Ayoub, kalau John Ambrose tu John Ambrose lah, tak payahlah jadi Johan Ambrose. Sehinggakan, orang Asli sekalipun bebas mengekalkan identiti mereka. Bahkan, kita harus berbangga bahawa kita satu-satunya negara di dunia, membenarkan kewujudan sekolah jenis kebangsaan yang mengekalkan bahasa ibunda masing masing sebagai bahasa pengantar.
9.Ini jelas memperlihatkan bahawa, rakyat Malaysia bukan setakat toleran terhadap kemajmukan, malah kita sesungguhnya melangkah setahap lagi dengan meraikan kepelbagaian itu. Kita telah memilih jalan yang wajar dengan mengaplikasi kaedah integrasi di mana perbezaan yang unik digabungkan dalam sebuah keluarga besar, saling mengukuh dan menyokong, bukannya untuk memusnahkan identiti mana-mana bangsa.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10.Hari ini, pagi ini, sekali lagi setelah konvensyen lalu pada tahun 1995, perwakilan tiga belas buah parti komponen dari kesemua tiga belas Negeri dan Wilayah Persekutuan seluruh Malaysia, duduk berhimpun, terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan, berkumpul, dengan satu tekad, satu hati dan satu matlamat yakni untuk memastikan kesejahteraan rakyat didahulukan.
11.Tambahan pula, konvensyen kali ini berlangsung di Wisma MCA, sebagai satu tanda bahawa kita adalah rakan kongsi saksama dalam mengkhidmati rakyat. Indeed, we are committed partners in our endeavour to serve the Malaysian people.
12.Kata orang, we stand on the shoulder of giants, bapa-bapa kita selaku para pendahulu. Mereka telah merintis warisan paling agung yakni mekanisme perkongsian kuasa dan kerjasama politik antara kaum yang telah terbukti paling berkesan, paling praktikal dan kekal merentasi masa.
13.Sudah barang pasti, pendahulu-pendahulu kita adalah political geniuses yang berwawasan. Mereka telah berjaya mengatasi muslihat dan helah penjajah Inggeris dengan dasar pecah perintahnya. Secara sedar atau tidak, sepanjang tempoh penjajahan, rakyat telah diasingkan mengikut kaum dari segi tempat tinggal, jenis pekerjaan dan aliran pelajaran secara halus. Matlamat penjajah sebenar adalah, agar perbezaan ini, akan akhirnya, menyebabkan semua kaum terpaksa bergantung kepada mereka sebagai kononnya the impartial referee.
14.Jadinya, pada waktu itu, pemimpin seperti Allahyarham Dato’ Onn menyedari hakikat dan cuba mengatasinya dengan membuka keahlian UMNO kepada pelbagai kaum, namun percubaan pertama tersebut dan kemudiannya pula melalui Parti Kemerdekaan Tanah Melayu yakni IMP yang dipimpinnya juga, tidak berjaya.
15.Lalu, menyedari bahawa rakyat belum bersedia menerima sebuah parti yang bersifat pelbagai kaum tetapi menginsafi bahawa inilah jalan ke hadapan untuk mencapai kemerdekaan dan membina masa depan yang lebih baik, maka, mereka telah mencipta suatu kaedah kerjasama politik dan perkongsian kuasa melalui konsep Parti Perikatan yang sangat unik dengan mengambil kira persekitaran dan realiti yang ada.
Tuan-tuan dan puan-puan,
16.Jika diimbau peristiwa lalu, benih-benih Perikatan ini telah bermula melalui kerjasama UMNO dan MCA semasa pemilihan Majlis Bandaran Kuala Lumpur pada tahun 1952. Perikatan kedua-dua parti ini telah berjaya memenangi 9 daripada 12 kerusi yang dipertandingkan. Kerjasama ini kemudiannya, telah diperluaskan ke peringkat nasional melalui penyertaan MIC pada tahun 1954 bagi menghadapi pemilihan Majlis Perundangan Persekutuan pada tahun berikutnya.
17.Seperti pucuk dicita ulam mendatang, kaedah kerjasama politik dan perkongsian kuasa, antara kaum melalui kerjasama antara tiga parti UMNO, MCA dan MIC ini telah diterima rakyat terbanyak apabila Parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihanraya tahun 1955.
18.Seterusnya, konsep dan keanggotaan Parti Perikatan ditambah baik selepas Tragedi 13 Mei 1969 apabila pintu keahliannya dibuka kepada parti-parti yang sebelum ini berada di luar. Malah ada parti-parti yang dahulunya sebagai pembangkang, telah mengiktiraf dan memilih jalan ke arah kesatuan nasional.
19.Ini kerana, mereka mempercayai bahawa, masa depan negara yang terjamin hanya mampu dibela oleh Barisan Nasional. Selanjutnya, Barisan Nasional juga mengembangkan keanggotaan kepada parti-parti di Sabah dan Sarawak, sekali gus menjelmakan era baru integrasi kebangsaan apabila Barisan Nasional menjadi jambatan politik yang merantau jauh, merentasi Laut Cina Selatan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
20.Berbanding Pilihanraya Umum 2008, Barisan Nasional yang cuba dimomok-momok, sebagai sudah suram, Alhamdulillah, kini, nampaknya semakin hari sudah semakin pulih. Begitulah, episod merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor dan Dewan Undangan Negeri Galas telah meraih kemenangan besar. Serentak dengan itu, kejayaan mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi mengaut majoriti, hampir sekali ganda, menunjukkan, sokongan rakyat kepada kita telah berputik dan mekar kembali.
21.Justeru, tahniah dan syabas diucapkan kepada semua yang telah membantu kita mencapai kejayaan manis semasa pilihanraya-pilihanraya kecil tersebut. Jelas sekali, ini adalah kejayaan semua pihak, kemenangan demi kemenangan milik kita bersama. Kata-kata tersohor orang Iban “Agi idup agi ngelaban”. Selagi hidup, selagi itu kita berjuang. Kata orang Bajau di Sabah pula “Mangan niak mangan, asal kurung, kurung”. Maksudnya, makan atau tidak makan, asal kita masih hidup bersama-sama. Pastinya, mengambil semangat itu, sama ada dalam keadaan susah atau senang, suka atau duka, kita mesti tetap bersama demi Barisan Nasional.
Tuan-tuan dan puan-puan,
22.Memang benar, dikatakan bahawa politik itu penuh dengan percaturan persepsi dan permainan angka. Namun begitu, ia tidak akan berlaku dengan sendirinya. Sebetulnya lagi, bukan sekadar cukup dengan persepsi positif, akan tetapi kepercayaan sebenar rakyat terhadap Barisan Nasional perlulah terus dipupuk dan dibaja dengan jalan bekerja keras serta usaha yang bersungguh-sungguh.
23.Maka, saya ingin sentiasa mengingatkan bahawa kejayaan-kejayaan awal ini perlu dijadikan asas kepada kemenangan yang lebih memberangsangkan kelak. Dalam kata lain, jangan kita leka dan mudah terpesona. Sifirnya, untuk Barisan Nasional terus menerajui kepemimpinan negara dan negeri-negeri, setiap parti komponen perlu diperkukuh dan diperkuat.
24.Sebab itulah, pasca Pilihanraya Umum 2008, semasa merasmikan Persidangan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO pada tahun tersebut, saya telah dengan tegas mengingatkan bahawa UMNO harus berubah atau berisiko untuk rebah. Saya membunyikan semboyan tersebut kerana menyedari empat penyakit lazim sering melanda parti-parti yang sudah lama berkuasa.
25.Empat penyakit tersebut ialah delusion atau khayalan, amnesia atau kelupaan, inertia atau kejumudan dan arrogance atau keangkuhan. Hakikatnya, parti yang terlampau lama berkuasa jarang melakukan muhasabah atau introspeksi terhadap kelemahan diri.
26.Pertama, penyakit delusion kerana berasa khayal dan terawang-awang bahawa sokongan yang diterima daripada rakyat akan berterusan; kedua, penyakit amnesia kerana sudah terlupa akan sebab musabab atau tujuan perjuangan asal; ketiga pula, penyakit inertia yang terjadi apabila enggan membuat pembaharuan dan perubahan. Seterusnya pula, yang keempat, adalah penyakit arrogance yang mencerminkan sikap tidak boleh menerima teguran ramai. Sesungguhnya, semua penyakit tersebut terutamanya keangkuhan akan hanya menyebabkan rakyat benci dan merasa menyampah.
27.Oleh itu, tidak dapat tidak, keempat-empat gejala penyakit ini perlu dielak, dibuang jauh dan dikikis sebelum rasa sayang berubah menjadi benci, harapan menjadi kemarahan, sokongan menjadi penentangan. Untuk bangun kembali, kita mesti mencari formula pemulihan dan melaksanakan pelan tersebut secara konsisten. Itulah yang sedang kita usaha dan sedang kita lakukan. Barulah nanti akan memperoleh kemenangan besar yang diidam-idamkan.
28.Syukur kepada Tuhan kerana kita melihat perkembangan-perkembangan positif yang memberangsangkan di dalam parti-parti komponen semenjak 2 tahun yang lalu. Perubahan-perubahan yang berlaku menunjukkan bahawa kita, sedia mendengar suara rakyat dan akan terus menggarap aspirasi mereka.
Tuan-tuan dan puan-puan,
29.Sememangnya seperti yang saya sebutkan tadi, kisah-kisah kejayaan Malaysia ini terhasil tidak lain dan tidak bukan, di atas satu formula perkongsian politik antara kaum dicetus oleh our forefathers dan terserlah sebagai satu resipi penerajuan negara yang sangat mujarab.
30.Oleh itu, kita akan sentiasa mengenang jasa-jasa pemimpin utama Barisan Nasional seperti bekas Pengerusi Parti Perikatan dan Barisan Nasional iaitu Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pemimpin pemimpin parti komponen pula seperti Tun Tan Cheng Lock, Tun V.T. Sambanthan, Tun Tan Siew Sin, Tun Temenggung Jugah Anak Barieng, Tun Datu Mustapha, Tun Fuad Stephen dan ramai lagi pimpinan pelbagai kaum yang tidak terhitung di sini, namun pasti kita tidak pernah lupakan.
31.Sehubungan itu juga, dengan perasan sedih dan rasa belasungkawa, baru-baru ini kita telah kehilangan seorang lagi negarawan tulen dan bekas pemimpin yang bersifat ikonik yakni mendiang Tun Dr. Lim Chong Eu. Sesungguhnya, beliau merupakan salah seorang pemimpin yang penuh percaya kepada gagasan serta perjuangan Barisan Nasional dan mendiang telah banyak membantu parti bagi membina negara ini.
32.Pastinya segala khidmat dan bakti para pemimpin ini kekal terpahat dengan tinta emas dalam lembaran sejarah negara sebagai muliawan muliawan yang telah berjuang demi membina tamadun rakyat Malaysia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
33.Dari dahulu sampailah sekarang dan mudah-mudahan dengan izin Tuhan hingga selamanya, suara Barisan Nasional adalah suara keramat rakyat, berbicara dan berganding atas nama rakyat. Dari Perlis sampailah ke Sabah, Barisan Nasional menjiwai degupan nubari dan hati rakyat, menjadi penyambung rasa, penyambung cita, penyambung lidah serta aspirasi rakyat Malaysia.
34.Pucuk pangkalnya, Barisan Nasional telah sentiasa mendahulukan rakyat, mampu mengota apa yang dijanjikan kepada rakyat, sekali gus mengangkat negara kita ke satu tahap yang sungguh membanggakan. Hakikatnya pun, bukankah Parti Perikatan, yang telah berjuang bagi mencapai kemerdekaan? Bukankah muafakat murni ini, yang sedang mengisi kemerdekaan itu? Dan bukankah barisan ini, yang diberi mandat oleh rakyat, untuk menerajui negara?
35.Jelas sekali, orang lain hanya mampu memperdagangkan mimpi, traders of dreams, mencanangkan angan-angan, mencetak khayalan, walhal parti kita lah sebenarnya menjadi barisan pejuang tulen untuk rakyat, merchant of realities, yang berpasak di bumi, bersandarkan perancangan jitu, serta pelaksanaan kerja yang tersusun.
Tuan-tuan dan puan-puan,
36.Oleh sebab itulah, saya suka mengulang-ulangkan bahawa antara nilai paling penting yang telah menjadi penguat kepada Barisan Nasional adalah sifat kebijaksanaan, keikhlasan dan kemampuan kita, untuk memimpin berbekalkan wawasan serta kepentingan yang jauh lebih besar.
37.Kepentingan itu, adalah mewujudkan sebuah negara yang aman, stabil, maju lagi makmur di mana rendangnya, semua dapat berlindung dan berteduh, di mana limpahan nikmat alamnya, semua dapat mencari rezeki, di mana keamanannya, semua dapat membina kehidupan yang bahagia.
38.Furthermore, when the time comes where each of us can rest assured, that our children and grandchildren and in turn their children will have a better future, a higher standard of living, a better quality of live, able to realise their dreams and their God given potential.
Tuan-tuan dan puan-puan,
39.Seperti yang saya katakan, perhubungan kaum dan cara kita menguruskannya di Malaysia adalah sesuatu hal yang boleh kita banggakan. Cara kita menangani realiti kemajmukan yang wujud adalah secara realistik dan berpegang kepada prinsip universal bahawa semua makhluk dicipta sama oleh Maha Pencipta, dengan hak-hak yang tidak dapat dinafikan. Sejarah menunjukkan bahawa kita tidak pernah sekali-kali mengapi-apikan sentimen perkauman atau menjadikan rasisme teras pengurusan perhubungan kaum di negara ini.
40.Jika kita meninjau di Amerika Syarikat, kononnya sebagai negara yang dijadikan contoh kepelbagaian demokrasi pun, telah mengambil masa lama yakni 87 tahun dari tarikh pengisytiharan kemerdekaan yang menyatakan “semua manusia diciptakan sama” atau “all men are created equal” kepada emansipasi menghapuskan perhambaan. Manakala ia memakan tempoh 102 tahun lagi selepas itu, apabila semua diskriminasi dalam pendaftaran pengundi diharamkan.
41.Namun, di Malaysia ini, semenjak merdeka kerajaan tidak pun menjadikan isu kaum dan warna kulit sebagai alasan untuk menghadkan hak kelayakan mendaftar mengundi. Apatah lagi, bagi menentukan tempat duduk di restoran dan kenderaan awam, serta mengasing penggunaan bilik air, sebagaimana berlaku di negara-negara lain.
42.Lantaran itu, janganlah ada mana-mana pihak yang cuba menafikan peranan Barisan Nasional, sebagai parti pelbagai kaum sebenar, yang memperjuangkan kesejahteraan hidup antara kaum di Malaysia selama ini. Kita dianggotai oleh pelbagai jenis parti berasaskan kaum, dan ada yang bersifat pelbagai kaum. Bersatu dan bersama-sama mewakili kepentingan semua pihak. Sedangkan di pihak pembangkang, tidak terjamin suara kaum minoriti akan sampai ke peringkat perbincangan kepimpinan tertinggi mereka, simply because they, are not adequately represented.
Tuan-tuan dan puan-puan,
43.Kita adalah parti yang progresif, bersatu secara ikhlas dengan matlamat dan nilai yang dikongsi bersama. Kita bergabung secara sah dari segi undang-undang, mempunyai perlembagaan, lagu dan lambang sendiri sebagai panji-panji yang mana kita berdiri megah di belakangnya.
44.Telah terbukti, kerajaan Perikatan dan kemudiannya, Barisan Nasional, berjaya merubah sebuah negara pertanian yang berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, dalam masa hanya lima puluh tahun. Kita telah bukan sahaja berjaya menguruskan sebuah negara multi-racial dengan baik, malah, kita telah berjaya memajukan bidang sosioekonomi dan memastikan keselamatan serta ketenteraman nasional.
45.Barisan Nasional telah mencipta kemakmuran melalui rancangan pembangunan lima tahun, rangka rancangan jangka panjang, reformasi tanah besar-besaran, perang terhadap kemiskinan, dasar ekonomi baru, dasar pembangunan nasional, dasar pembangunan wawasan, dan hari ini kita telah menggariskan laluan-laluan besar seperti Government Transformation Programme atau GTP, Economic Transformation Programme atau ETP dan mutakhir adalah Political Transformation Programme atau PTP.
46.Antara contoh PTP terkini, adalah perubahan bersejarah dalam Barisan Nasional sejak ia ditubuhkan yakni berkaitan keahlian. Atas prinsip keterangkuman dan berjiwa besar, seberapa ramai rakyat, NGO, persatuan, penyokong dan generasi muda supaya dapat bersama dalam perjuangan ini, maka kita bersetuju untuk mewujudkan empat jenis keahlian baru. Pertama, keahlian secara bersekutu; kedua, keahlian secara bergabung; ketiga, friends of Barisan Nasional dan keempat, kelab rakan muda Barisan Nasional. Kita akan terus bergerak dan berusaha agar dasar keahlian terus Barisan Nasional ini akan menjadi realiti yang membawa manfaat kepada parti dan rakyat.
47.As a matter of fact, we have never rested on our laurel or taken things for granted. We have toiled together with our constituency of one and many, you the people. These are exciting times, these are interesting and challenging times. We are a nation and a people at the crossroad of history, on the verge of the promised future.
48.Ladies and gentlemen, the clarion call of manifest destiny is beckoning upon us to bring this great nation, Malaysia, to its fullest potential, to take its’ rightful place in the community of nations with dignity and pride, holding our head up high, thankful in the blessings of providence.
Tuan-tuan dan puan-puan,
49.Apa yang menghairankan, adalah parti pembangkang cuba mendakwa bahawa merekalah pembawa obor perubahan dan pembaharuan. Betulkah begitu? Bahawa merekalah kononnya manifestasi demokrasi dan segala yang demokratik. Betulkah begitu?
50.Apa yang jelas, parti pembangkang cuba meniru kita dari segi kerjasama. Pada hemah saya, usaha ini sia-sia sahaja, kerana mereka tidak mempunyai ramuan keikhlasan, wawasan dan nilai yang dikongsi bersama. Gagasan Rakyat, Angkatan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat atau atas nama apapun yang dicipta adalah hanya percubaan-percubaan pembangkang yang hendak bersatu tetapi tidak mungkin berkekalan kerana masing-masing bersikap talam dua muka. Simpulan bahasa menyebut, mereka ini, telunjuk sahaja lurus tapi kelingking berkait.
51.Antara DAP dan PAS misalnya, hanya boleh tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain. Mereka nampak seolah-olah bersatu semata-mata kerana ada orang ketiga. Maksud saya, kalau dahulu Parti Melayu Semangat 46, hari ini peranan tersebut diambil alih Parti Keadilan Rakyat. Sejarah jelas menunjukkan kerjasama seumpama ini tidak akan berpanjangan, kerana matlamat mereka hanyalah untuk menipu atau menyeleweng rakyat.
52.Mereka juga mendabik dada kononnya, sebagai parti demokratik yang mewakili semua kaum. Realiti sebenarnya jauh berbeza. Lihat sahaja parti PKR, daripada barisan tujuh orang kepemimpinan tertinggi mereka, hanya seorang sahaja, yang mewakili kaum Cina. Manakala kaum India yang membentuk keahlian kedua terbesar dengan lebih satu perlima ahli, tidak mempunyai seorang pun perwakilan di peringkat tertinggi parti.
53.Contohnya lagi, apabila UMNO memperkenalkan corak pemilihan kepemimpinan yang baru mereka pun nak meniru juga. Kita faham mungkin mereka ikut kata pepatah Inggeris “imitation is the best form of flattery”. Tampak jelas, apabila kita buat perubahan dan pembaharuan politik yang bersifat dalaman, ia telah menggerunkan mereka, sehingga kelam-kabut dan melilau ingin menciplak. Pengajarannya di sini, kalau ada orang mahu meniru, sudah tentu apa yang sedang kita lakukan ini, ada kebenarannya.
54.Lagipun, jika hanya 7 peratus, yakni lebih kurang 30,000 orang dari kononnya ratusan ribu ahli parti yang merasa terpanggil dan bertanggungjawab, untuk keluar memilih barisan kepemimpinan mereka, maka, ia membawa dua konotasi.
55.Pertama, parti ini adalah parti yang tidak mendapat sokongan massa. Maksud saya, kepemimpinan parti ini sebenarnya hanya mewakili kepentingan tertentu yang mengejar kuasa serta terikat untuk menyelesaikan masalah peribadi sehingga sanggup memperdayakan rakyat. Berhati-hatilah semua, berwaspadalah semua, mereka ini amat-amat merbahaya. Mereka sanggup menjual apa sahaja, termasuk memburukkan nama Malaysia di luar negara. Saya mahu jelaskan di sini bahawa, mereka ini anti nasional. Kita mesti tentang habis-habisan dan pastikan negara ini tidak akan diporak peranda oleh kegiatan durjana mereka.
Tuan-tuan dan puan-puan,
56.Konotasi kedua adalah integriti dan kewibawaan parti tersebut sebenarnya disangsikan oleh ahli-ahli mereka. Ahli-ahli mereka sendiri yang telah mengamuk, tidak berpuas hati, memberontak, kecewa, membuat kecoh, membaling kerusi dan ramai yang telah membawa pelbagai isu parti ke mahkamah. Selain itu, amat pelik bin ajaib, keputusan pemilihan boleh berubah dengan drastik, lantas mencemarkan kebolehpercayaan kepada proses yang dijalankan.
57.Laginya, seperti kita tahu dan terpampang di dada-dada akhbar, ramai pimpinan utama mereka sendiri yang telah keluar dari parti antara lain ialah Timbalan Presiden, Naib Presiden, Setiausaha Agung, Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda, Ketua Penerangan, Pengerusi Negeri, Ketua Cabang termasuk Cabang Permatang Pauh, Bekas Timbalan Ketua Menteri 5 orang ADUN dan 5 Ahli Parlimen. Lantaran itu, amatlah pantas jika PKR itu kita katakan sebagai Parti Keluar Ramai-Ramai.
58.Baru-baru ini pula, tampaknya PKR menjadi begitu terdesak untuk meraih simpati rakyat sehinggakan Presidennya terpaksa mengutarakan, bahawa, Ketua Umum mereka adalah anugerah Tuhan. Ya, kita faham kesetiaan dan kekaguman seorang isteri terhadap “ke...he..ba..tan” suaminya itu. Namun rakyat Malaysia ingin bertanya, berdasarkan nas atau hadith mana pendapat itu boleh dibuat? Berbekalkan justifikasi hukum atau istinbat mana sehingga penyataan begini sanggup dikeluarkan?
59.Adakah ini ijtihad baru atau lebih tepat sebenarnya satu lagi ajaran songsang. Cukup-cukuplah sandiwara dan drama yang songsang-songsang itu! Saya harap rakyat janganlah mudah terpengaruh dengan perkara yang karut-marut seperti ini. Mustahak untuk diingat, bukanlah rakyat yang bertanggungjawab untuk menyelesai dan menanggung beban pemimpin. Sebaliknya, pemimpinlah yang wajib hadir dalam kehidupan rakyat bagi menyelesaikan masalah mereka. Tuan-tuan dan puan-puan, inilah perbezaan paling ketara dan besar antara kita dan parti lawan kerana Barisan Nasional adalah parti sebenar yang merasai denyut nadi dan menjuarai keluh-kesah rakyat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
60.Hakikatnya, ketiga-tiga parti lawan kita yang mendakwa bersifat pelbagai kaum ini, merekalah parti yang didominasi oleh satu kaum sahaja. Jika adapun kaum-kaum lain, hanyalah bersifat token atau sekadar kosmetik. Sebenarnya, mereka bukan Pakatan Rakyat tetapi hanyalah pakatan tiga empat kerat rakyat, atau tiga empat kepala, atau tiga empat orang sahaja.
61.Lebih tepat dikatakan, mereka adalah parti dua buah keluarga dengan satu pihak lagi sekadar menjadi pak turut atau kuda tunggangan. Di sinilah lainnya dengan konsep Barisan Nasional yang memang dari segi hakiki dan maknawinya benar-benar berdasarkan perkongsian sejati rakyat dengan mengiktiraf realiti kepelbagaian kaum.
62.Di dalam sistem Barisan Nasional, setiap parti mempunyai perwakilan yang sama rata dalam Dewan Tertinggi, tidak kira parti itu besar atau kecil. UMNO mempunyai perwakilan yang serupa dengan parti-parti komponen yang lain. Paling mustahak, semua keputusan dibuat secara musyawarah dan konsensus. Ini bagi menjamin, walaupun sebahagian parti yang menganggotai Barisan Nasional adalah berasaskan kaum, akan tetapi, kepentingan semua, tetap dipelihara, dilindungi, diambil kira dan terus dipertahankan sampai bila-bila.
63.Hal yang sebaliknya berlaku di sebelah sana, keputusan pemilihan parti lawan baru-baru ini menyaksikan Ketua Umum, Presiden dan Naib Presiden parti datang dari satu keluarga. Sungguh lucu rasanya apabila mereka pula yang berani menuduh kita sebagai pengamal nepotisme. Saya nak tanya, siapakah pengamal nepotisme yang sebenar di sini? Seperti kata Legal Maxim, justice must not only be done it must seen to be done. Moreover, it must not only be proper it must also be seen to be proper.
Tuan-tuan dan puan-puan,
64.Satu lagi parti pula adalah parti Anak Beranak Sendirian Berhad. Dengan hegemoni dua dinasti, satu keluarga dengan kuasa, dan satu lagi keluarga tanpa kuasa, actually, all are merely ceremonial. Sebabnya, dalam sistem parti ini Setiausaha Agung lebih berkuasa daripada Pengerusi. Mereka ini, tak henti-henti berkokok dan menjerit mendakwa parti mereka adalah berbentuk pelbagai kaum.
65.Namun begitu, jika dikaji daripada senarai kepimpinan pusat, kita dapat lihat, orang Melayu dan Bumiputera yang membentuk hampir enam puluh tujuh peratus rakyat, hanya setakat mempunyai dua orang wakil. Lebih dahsyat lagi, kelompok Bumiputera Sabah dan Sarawak langsung tidak diwakili. Adakah itu namanya demokrasi dan parti bersifat terbuka?
66.Dari sebab itu, saya berpendapat parti ini seharusnya mengamalkan apa yang mereka khutbahkan. They should uphold what they so sanctimoniously preach to others with righteous indignation. Di sini, saya ingin katakan kepada mereka, mengakulah, bersikap teluslah. Jika didedahkan statistik kepimpinan serta keahlian sebenar parti mereka mengikut kaum, maka sangat terang lagi bersuluh, bahawa, merekalah parti satu kaum yang menjadikan cauvinisme sebagai falsafah perjuangan dari dahulu sampailah sekarang.
Tuan-tuan dan puan-puan,
67. Di sudut yang lain pula, kalau kita lihat tentang PAS, amat pelik jika diamati, apabila PAS sebagai sebuah parti yang kononnya mendokong pegangan menurut ajaran Islam, boleh pula bekerjasama dengan para pembohong besar, pemalsu dokumen-dokumen, petualang bangsa dan pengkhianat negara. Apa yang boleh kita katakan, adalah sepatutnya PAS bertindak lebih bijak dari itu dan menyedari hal tersebut serta eloklah saja terus berpegang teguh kepada apa yang kononnya menjadi prinsip mereka selama ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
68.Bercita-cita untuk menjadi parti pemerintah bagi sebuah parti politik bukanlah perkara yang luar biasa, namun yang perlu direnungkan oleh rakyat ialah kesannya kelak. Rakyat mesti sedar dan faham bahawa parti-parti lawan ini mempunyai maksud yang tidak ikhlas, sangat oportunis dan penuh hipokrasi.
69.Kita tahu, mereka teringin sangat nak ada pejabat di Putrajaya, teringin sangat nak tinggal di Seri Perdana. Kerana itulah, mereka sanggup berbuat apapun, hanya untuk merampas kuasa dan dari semasa ke semasa bersifat biadab, rakus lagi haloba. Dalam hal ini, seluruh Malaysia tahu, bahkan satu dunia tahu bahawa angan-angan 16 September oleh pihak pembangkang telah menjadi satu pembohongan terbesar dalam sejarah politik tanah air.
Tuan-tuan dan puan-puan,
70.Berbanding dengan Barisan Nasional, kita tidak pernah mengambil apa-apa langkah semata-mata kerana ianya popular tanpa memikirkan secara mendalam akibat jangka panjang kepada rakyat yang telah menaruhkan kepercayaan mereka kepada kita.
71.Kesimpulan yang boleh dibuat, Barisan Nasional adalah parti yang bertanggungjawab. Barisan Nasional adalah parti yang melaksanakan amanah rakyat. Barisan Nasional adalah parti di mana rakyat boleh meletakkan kepercayaan dan pengharapan. The people can trust us to do, not only what is right, but what is in their best interest, and what is in the best interest of this beloved nation of ours.
72.Selanjutnya, sebagai pemimpin, saya mahukan semua dalam Barisan Nasional hendaklah memikirkan kepentingan rakyat lebih daripada kepentingan diri sendiri. Saya ingin memetik satu falsafah Cina yang sangat sesuai dijadikan pengajaran kepada kita. Dalam bahasa Mandarin berbunyi:
“Xian tian xia zhi you er you, hou tian xia zhi le er le ”
(“先天下之忧而忧,后天下之乐而乐” )
Saya difahamkan ia bermaksud “Selesaikanlah masalah rakyat sebelum kesusahan menimpa mereka, Bahagiakanlah hidup rakyat sebelum semua dapat hidup bahagia“.
73.Itulah syarat-syarat yang diwajibkan seorang mahaguru dan ahli falsafah pada zaman Dinasti Sung beribu tahun dahulu kepada pemimpin yang hendak mentadbir negara. Saya berpendapat, bahawa, walaupun ajaran tersebut sudah muncul sekian lama, tetapi, ianya sangatlah sesuai dijadikan pegangan para pemimpin Barisan Nasional yang mendahulukan rakyat dan mempertamakan kepentingan rakyat.
74.Satu falsafah dalam bahasa Tamil pula, menyeru dengan tegas supaya kita berjuang dengan sepenuh jiwa bagi memastikan kemenangan. Dalam bahasa Tamil disebut:
“Yipadai thorkin, yeapadai vehlum”
(Ertinya: “If this team cannot win the battle, no other team can”).
This is the team, this is the Barisan Nasional team!
“Yipadai thorkin, yeapadai vehlum”
Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,
75.Pokoknya, kita telah meletakkan asas-asas konkrit yang perlu untuk membawa Malaysia ke arah status negara maju berpendapatan tinggi menjelang fajar 2020. Pada waktu itu nanti, kita ingin semua bangsa menjadi maju. Orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Kadazan, orang Murut, orang Dusun, orang Iban, orang Bidayuh, orang Ulu, orang Asli, orang Sikh termasuk orang Siam dan semua suku kaum yang ada untuk menikmati sinar bahagia, dalam negara Malaysia yang maju.
76.Di sinilah tanah tumpah darah kita, di sinilah, kita dilahirkan dan dibesarkan, di sinilah kita menghirup udara segar sebagai nikmat dan rahmat dari Tuhan, di sinilah kita hidup aman merdeka dan di sinilah satu hari yang ditakdir dan ditentukan kelak, kita akan kembali menemui Yang Maha Esa dan dipusarakan.
77.Makanya, mahu tidak mahu, jangan sekali-kali biarkan apa yang telah kita bina dan bangunkan selama ini diruntuhkan oleh puak-puak yang hanya ingin memenuhi nafsu serakah dan tamakkan kuasa semata-mata. Oleh sebab itu, walau apa pun terjadi, kita perlu pertahankan Putrajaya bukan kerana ego atau kepentingan diri yang sempit, akan tetapi demi kepentingan rakyat Malaysia seluruhnya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
78.Simbol kapal layar dan kini dacing sebagai logo parti kita adalah perlambangan Barisan Nasional sebagai bahtera gagah serta neraca keadilan yang akan terus menakhoda Malaysia ke ambang kejayaan. Justeru, saya berdiri dan berpidato sebagai Perdana Menteri kepada seluruh rakyat Malaysia yang terdiri daripada semua kaum, ingin berpesan, janganlah terpukau oleh helah pihak pembangkang yang penuh tipu daya, janganlah sekali-kali menumpang atau menaiki sampan rosak dan bocor, pakatan palsu mereka, yang makin hanyut dilanda badai.
Seperti diingatkan dalam pantun Melayu:
Kalau belayar perahunya senget,
Memang susah hendak kemudi,
Usah berharap guruh di langit,
Kilat memancar hujan tak jadi.
79.Oleh itu, kepada semua saya mengajak;
Marilah bersama-sama barisan yang telah terbukti jasanya ini,
marilah mempertahankan masa depan tanah air kita daripada ancaman pendusta dan pelelong nusa,
marilah membina sebuah masa depan yang lebih baik bukan sahaja untuk kita, tetapi untuk anak-anak kita dan juga anak-anak mereka,
tampillah, seluruh pemuda-pemudi negara,
di sini dan di luar sana,
dengan tangan terbuka, kita ingin menyambut semua,
inilah saat dan waktunya, bergerak bersama saya, berjuang dalam barisan,
menumpah khidmat, menggembleng kudrat.
Dakaplah barisan ini, yang selama lima dekad telah mencipta kejayaan bagi rakyat Malaysia.
Dukunglah barisan ini, dengan kepercayaan baru apabila tiba masanya nanti.
Moga-moga ditunjang sokongan saudara dan saudari, rakyat Malaysia, kita bakal menempa lima puluh tahun lagi yang lebih gilang-gemilang.
80. We will always put you, the people first in our priority, in our heart and our every action,
we shall stand by and with you, for we are part of you, and for you,
we are born out of your yearning for a better life and for a better future.
Barisan Nasional will always fight for your welfare and your wellbeing, every step of the way in this great national journey of ours.
This, is our promise to you, the people of Malaysia.
Let there be enough food on the table,
decent roof above every head,
well paying jobs for all who want to work,
a country where everybody feels safe and secure,
access to quality and affordable healthcare,
an education system that is able to optimise the potential of each and every Malaysian.
Let us go forth and strive for a developed and prosperous Malaysia with opportunities for all, a nation standing tall among the community of nations.
History has proven that Barisan Nasional has always delivered on its commitment and we will continue to deliver,
we have upheld your trust in us, and, we will continue to do so.
81. Bersatu dan bermuafakat, pasti membawa rahmat. Barisan Nasional, barisan menjuarai rakyat.
barisan perpaduan,
barisan keamanan,
barisan kemakmuran,
barisan 1Malaysia.
Dengan kata-kata semangat itu, saya merasmikan Konvensyen Barisan Nasional tahun 2010.
Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Wednesday, November 3, 2010

Sejarah bagaimana yang kita mahu?

Sejarah bagaimana yang kita mahu?
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Utusan Online/4.11.2010

Selaku seorang akademia berbangsa Cina, saya amat sedih dengan pemikiran parti- parti politik seperti DAP, MCA dan Gerakan. Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan amat menghiris hati iaitu mahu kerajaan mengkaji semula silibus sejarah yang akan diwajibkan ke atas pelajar sekolah rendah dan menengah tidak lama lagi.
Hujah mereka amat simplistik, sejarah yang sedia ada tidak mencerminkan sejarah sebenar. Sejarah sebenar mesti mempamerkan sumbangan dan kerjasama kaum. Pada mereka, sumbangan kaum bukan Melayu mesti dimasukkan dan dijadikan teras sejarah. Saya cuba elak menggunakan istilah ultra kiasu terhadap golongan ini, biarlah kita berbincang secara adik-beradik.
Saya tidak menafikan sejarah sumbangan bukan Melayu terhadap negara, tetapi perlu diingatkan bahawa sumbangan dan kerjasama kaum adalah sebahagian kecil sahaja dalam urutan sejarah Tanah Melayu dan Malaysia. Ada aspek lebih besar yang perlu ditonjolkan, seperti sejarah asal usul Tanah Melayu sebelum kedatangan imigran-imigran ke alam Melayu.
Sesiapa yang mengkaji dan faham sejarah Malaysia, ia mesti merangkumi asal-usul Tanah Melayu, zaman kegemilangan dan kejatuhan kesultanan Melayu, zaman penjajahan dan kemasukan imigran, kebangkitan nasionalisme Melayu, Malayan Union, Persekutuan Tanah Melayu, penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, kemerdekaan Tanah Melayu, sehinggalah membawa kepada penubuhan Malaysia.
Seterusnya, diikuti dengan dasar-dasar kerajaan selepas peristiwa 13 Mei 1969 sehinggalah hari ini. Kumpulan-kumpulan ekstrem ini asyik bercakap soal sumbangan bukan Melayu dan soal penentangan bukan Melayu terhadap Jepun 1942-1945. Sedangkan kita sedia maklum, sejarah penentangan terhadap Jepun penuh dengan kontroversi fakta dan dipertikaikan. Adakah benar orang Cina mempertahankan Tanah Melayu atau sekadar membalas dendam terhadap Jepun?
Berkali-kali saya telah nyatakan bahawa penentangan terhadap Jepun, tidak banyak kaitan dengan kemerdekaan, tetapi lebih kepada dendam kedua belah pihak yang telah mengalami perang sebelum ini. Sila rujuk sejarah Perang China-Jepun 1894-1895 dan 1937.
Jika benar orang bukan Melayu mahu memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu selepas pengunduran Jepun, kenapa Malayan Union yang cuba diperkenalkan British pada 1946, tidak ditentang? Kenapa hanya orang Melayu yang bangun menentang? Ini menunjukkan perjuangan menentang kemerdekaan amat diragui sebelum detik 31 Ogos 1957.
Pada saya, kita serahkan semua sejarah kita kepada ahli sejarah. Janganlah doktor perubatan dan ahli ekonomi memandai-mandai bercakap banyak dalam isu ini. Walhal ilmu sejarah mereka amat cetek, hanya berasaskan kepada pandangan dan laporan ibu bapa murid yang tidak puas hati dengan silibus yang sedia ada.
Mereka yang bukan berlatarbelakangkan sejarah, duduk diam-diam, tidak perlu berkokok keterlaluan. Bagaimana kita menghormati profesion orang lain, begitu juga orang lain mesti menghormati profesion kita, barulah itu dinamakan profesional. Janganlah terlalu bertindak ekstrem dalam hal ini. Banyak masa terbuang dan tidak banyak membawa faedah.
Pada saya, sejarah sistem kenegaraan sesebuah negara mesti diajar. Sama seperti negara China dan India yang mempunyai sejarah sistem kenegaraan sendiri. Begitu juga dengan sistem kenegaraan Melayu, mesti ada sejarahnya sendiri. Adakah silibus ini langsung tidak boleh disentuh atau dimasukkan sebagai teras sejarah negara ini? Sedangkan negara lain, silibus seperti ini yang menjadi asas. Negara Singapura sedang cuba dan telah pun memadamkan asas sebegini. Saya fikir MCA, DAP dan Gerakan, tidak perlu campur tangan dalam soal akademik. Biar orang akademik yang melakukannya. Orang politik, jaga saja kawasan dan kerusi masing-masing, serta tanggungjawab mereka terhadap rakyat.
Saya bukan bertujuan menjadi jaguh membela orang Melayu, sebab saya orang Cina. Tetapi saya suka berkata benar, sebab saya adalah seorang pengkaji.
Dalam konteks ini, Malaysia telah wujud hasil daripada cantuman tiga wilayah Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak kesultanan Melayu Melaka sebelum Melaka dijajah Portugis dalam tahun 1511. Perkataan "Negeri-Negeri Melayu Bersekutu" dan "Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu" dan "Persekutuan Tanah Melayu" masih wujud dalam undang-undang kita. Dengan lain- lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dalam kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu.
Berdasarkan hakikat itulah, maka Perlembagaan Malaysia digubal (Firdaus Abdullah, 24 & 25 Jun 2009). Sejarah sistem kenegaraan Melayu adalah akar umbi kepada sejarah negara ini. Bermula dengan perkataan "Melayu" atau "Tanah Melayu" itu sendiri yang bermaksud wilayah dan kepulauan di rantau ini. Nama-nama ini terkenal di kalangan negeri-negeri China, India dan Barat seperti Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur (inskripsi Tanjore-Sanskrit di India), Ma-Li-Yu-R (Yuan Shih/Cina), Mailiur (Siam) dan Malayo (Albuquerque/ Portugis) (R. Suntharalingam dan Abdul Rahman Haji Ismail, 1985: 85).
Hujah ini menunjukkan bahawa dari abad ke-6 hingga ke-10, perkataan Melayu adalah nama tempat dan bukannya nama khusus bagi rumpun bangsa. Hanya pada abad ke-11, barulah perkataan Melayu mulai dipakai bagi menamakan rumpun bangsa. Ringkasnya, istilah-istilah Tanah Melayu, Melayu dan Malaysia serta Malaya jelas merujuk kepada negeri-negeri Melayu atau Tanah Melayu atau Land of the Malays. Fakta ini menunjukkan bahawa Tanah Melayu (Malaysia) adalah kepunyaan satu bangsa yang bernama Melayu (Suntharalingam dan Abdul Rahman Haji Ismail, 1985).
Namun, kedatangan penjajah British telah merubah landskap politik Tanah Melayu. Tanah Melayu yang dahulunya dihuni oleh orang Melayu di Kepulauan Melayu telah menjadi sebuah negara berbilang bangsa.
Tunku Abdul Rahman pernah berkata pada tahun 1953, orang Cina melalui MCA telah menerima dan mengiktiraf negara ini sebagai negara Melayu dan segala hak kepada orang Melayu tidak boleh dipersoalkan lagi. Tujuan Tunku meletakkan syarat ini adalah untuk menarik kesedaran pihak MCA tentang taraf orang Melayu yang sebenar, sambil menguji tentang kejujuran pemimpin-pemimpin MCA dalam perhubungannya dengan UMNO.
Akhirnya pihak MCA telah menerima dan mengakui hakikat itu serta bersetuju rundingan tersebut berjalan atas dasar yang telah ditetapkan (Mansor et al, 2006). Hujah ini diperkukuhkan lagi oleh Chandra Muzaffar dengan menyatakan, sebuah negara berbilang kaum yang wujud daripada konsep Malay polity atau sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan Persekutuan pada 1957 memberikan kewarganegaraan secara terbuka kepada mereka yang berhak tanpa mengira latar belakang.
Keterbukaan itu harus difahami oleh semua pihak kerana melalui proses akomodasi para pemimpin pada masa itu, lebih sejuta orang bukan Melayu, sebahagian besarnya imigran, diterima secara automatik sebagai warganegara dan diberikan jus soli. Ini sesuatu yang luar biasa.
Melalui proses kewarganegaraan yang dikatakan sebagai stroke of a pen ini, demografi negara berubah serta-merta. Hampir 40 peratus daripada warganegaranya ialah orang bukan Melayu. Sebuah negara Melayu tiba-tiba menjadi masyarakat berbilang kaum. Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah. Nasionalisme bangsa Filipina dan Vietnam melahirkan negara Filipina dan Vietnam tetapi nasionalisme Melayu yang diperjuangkan lama sebelum kemunculan UMNO sebaliknya tidak melahirkan sebuah negara Melayu. Inilah sifat negara ini yang harus kita fahami - berbilang kaum tetapi berakar umbi dalam sistem kenegaraan Melayu.
Perlu juga difahami bahawa Malaysia juga tidak sama dengan negara-negara lain yang menjadi berbilang kaum kerana tekanan kolonialisme. Ini kerana polity Melayu itu jauh lebih kukuh sebagai sistem kenegaraan. Kerajaan Melayu Melaka dan selepas itu Johor diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ciri-ciri polity itu diterima sebagai ciri-ciri sebuah negara dan sistem pemerintahan. Ini adalah sebahagian daripada ingatan kolektif masyarakat Melayu. Perkara ini tidak difahami bukan saja oleh ahli-ahli politik, malah sebahagian besar cendekiawan serta mereka yang boleh mempengaruhi pandangan umum termasuk media.
Itu sebabnya dari semasa ke semasa timbul isu-isu yang menjadi kontroversi menyentuh soal bahasa, agama dan sistem pendidikan. Ini kerana tidak ada kefahaman tentang latar belakang sejarah dan polity Melayu dan pengaruhnya terhadap sistem kenegaraan Melayu. Malangnya, tidak ada usaha di kalangan pemimpin masyarakat untuk memahami perkara ini, bahawa kita masyarakat berbilang kaum yang berakar umbi dalam polity Melayu.
Menurut Chandra lagi, Malaysia lebih mudah untuk menghadapi cabaran-cabaran dalam konteks masyarakat berbilang kaum sekiranya memahami sejarah ini. Jika ada yang menafikannya, sengaja tidak mahu memahami, sukar untuk menjalinkan hubungan kaum yang harmonis. Oleh kerana wujudnya polity Melayu dalam sejarah, maka bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, agama Islam sebagai agama rasmi dan raja-raja menjadi ketua negeri dan negara. Sejarah sebegini perlu difahami.
Oleh kerana adanya polity Melayu dan sebahagian besar masyarakat Melayu dan pribumi begitu miskin dan mundur pada 1957, dan dalam keadaan begitu, kewarganegaraan dianugerahkan dengan begitu liberal, masyarakat Melayu dan pribumi itu memerlukan perlindungan. Itu adalah tuntutan yang sah dalam konteks pembentukan negara. Perlindungan yang dipersetujui itu adalah untuk memperbaiki kedudukan masyarakat Melayu dari segi sosioekonomi.
Semua pandangan ini menunjukkan bahawa Malaysia tidak dapat lari daripada sistem kenegaraan Melayu. Justeru, tidak hairanlah bagi mereka yang memahami sejarah akan menghormati bukti-bukti dan seterusnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan lunak, berhikmah dan begitu bertoleransi.
Jika benar-benar kita ikhlas dalam memahamkan sejarah, jauhkan penglibatan orang politik, biarkan ilmuan dan ahli akademik yang berhujah dan menulis fakta. Keadaan hari ini menjadi kelam kabut kerana kita terlalu banyak berpolitik.
Setiap parti politik mahu menjadi jaguh bangsa, bukannya mahu berkata benar walaupun pahit.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Saturday, October 23, 2010

UMNO dahulukan rakyat


UMNO dahulukan rakyat
Utusan online 24.10.2010

Bismillahirrahmanirahim
Sidang perwakilan, sidang pemerhati, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian, Syukur Alhamdulillah kita panjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberi taufik dan inayahnya kepada kita semua sehingga Perhimpunan Agung kali ke-61 ini dapat dirangkum dan disempurnakan dengan selamat sampai kepada penghujungnya.
Seperti mana yang saya sebut dalam ucapan dasar saya bahawa Perhimpunan Agung UMNO di Dewan Merdeka ini dilangsungkan sebanyak 25 kali. Pada kali ini perhimpunan ini mencatat beberapa perkembangan yang amat signifikan lagi bersejarah.
Yang pertama ialah buat kali pertama dalam sejarah UMNO solat Jumaat telah diadakan di dalam bangunan UMNO sendiri. Moga-moga petanda ini akan membawa keberkatan yang berkekalan. Insya-Allah.
Dan saya ucap terima kasih kepada semua pihak yang telah berusaha memberi kebenaran untuk solat Jumaat diadakan di dalam bangunan UMNO yang keramat lagi bersejarah ini.
Yang kedua ialah buat kali pertama sebelum perhimpunan ini diadakan satu forum antarabangsa yang bertajuk ‘Pembentukan Masyarakat Global: Liberalisasi Media dan Realiti Politik Baru’ yang melibatkan 400 peserta dari dalam dan luar negara. Sekaligus kita telah dapat mengetengahkan UMNO, usaha-usaha murni UMNO memimpin negara kita, memaju negara kita dan membawa perubahan yang besar kepada negara kita. Biar dunia lihat bahawa kejayaan ini kerana kemajuan UMNO selama ini.
Saudara saudari sekalian,
Pada awal ucapan, saya nak menyelesaikan urusan yang biasa saya buat pada penghujung ucapan saya. Saya ucap terima kasih pada Datuk Pengerusi Tetap Persidangan UMNO yang telah mempengerusikan persidangan ini dengan gayanya tersendiri dan amat menarik.
Dan saya nak mengesahkan, saya turun bawah tadi jumpa dengan reporter akhbar Cina, saya tanya, “Betul ke Pengerusi Tetap kita cakap bahasa Hokkien?”’ Dia kata betul. Walaupun bahasa Hokkien pasar tapi betul. Tahniah juga kepada Timbalan Pengerusi Tetap yang cekap membantunya.
Saya juga ucap terima kasih kepada urus setia ibu pejabat, Setiausaha Agung (Datuk Tengku Adnan Mansor). Terima kasih kepada Setiausaha Kerja yang sihat walafiat, tak berhenti bekerja. Dan kepada semua kakitangan ibu pejabat, semua pihak, media, segala-galanya yang telah membantu persidangan kita berjalan dengan baik.
Saudara saudari sekalian,
Saya berasa begitu terharu bahawa ucapan Presiden saya pada kali ini mendapat sambutan yang sangat hangat di kalangan para perwakilan.
Saya ucap terima kasih kepada Timbalan Presiden yang telah menyatakan bahawa ucapan itu ucapan yang tegas dan berani.
Ada dua reaksi yang agak menarik perhatian saya. Yang pertama bila saya sedang ambil gambar dengan Exco Wanita, ramai wanita yang kata, ‘‘Datuk, kami wanita puas dengar ucapan.’’ Dia punya puas panjang sikit. Puas....Ini isteri saya tak marah. Bab ini dia tak marah. Bab lain jangan cuba.
Yang kedua bila saya balik rumah, ada seorang teman lama dari Pahang tunggu tercegat di luar pagar rumah saya. Jadi saya gamit dia bila saya masuk. Saya kaji apa hajatnya. Tak ada. Dia kata selama ini dia bimbang masa depan anak cucu dia. Tapi bila dengar ucapan saya dia kata dia yakin masa depan anak cucu dia terbela.
Dan itulah sebenarnya hakikatnya bahawa peruntukan-peruntukan yang menyangkut tentang kepentingan orang Melayu, bumiputera, yang melibatkan soal keistimewaan orang Melayu sudah pun terpateri kemas, telah terkunci, tersimpul mati dalam Perlembagaan negara kita. Yang tak boleh dipinda melainkan dengan persetujuan Raja-Raja Melayu dan saya tak nampak Raja-Raja Melayu akan pinda peruntukan Perlembagaan ini.
Namun ada juga pihak, inilah kata kumpulan yang sebelah sana, dia pakar pusing. Dia pusing bab itu, dia pusing. Orang putih kata spinning. Dia very good at spinning. Dia kata kalau sudah terkunci, tersimpul mati, jadi tak perlulah UMNO berkuasa sebab orang Melayu kalau ada kuasa pun orang lain boleh pertahankan sebab sudah ada peruntukan dalam Perlembagaan.
Ini adalah satu pandangan yang tidak benar sama sekali. Ini kerana walhal peruntukan itu sudah terkunci kemas tapi kuasa politik perlu di dalam tangan UMNO untuk menterjemahkan prinsip semangat peruntukan Perlembagaan. Sebab itulah dalam ucapan saya, bab kedua ketiga penghujungnya sekali saya tutup ucapan saya dengan mengatakan dalam apa juga keadaan, mesti kita pertahankan apa mesej itu.
Jangan sampai dia benak. Dia benak ataupun orang Negeri Sembilan kata bangang. Saya tanya isteri saya, bangang itu apa. Bangang itu paling teruk sekalilah ataupun dia faham sengaja tak nak buat faham. Inilah masalah kita berdepan dengan pembangkang yang selalu memutar sesuatu kenyataan untuk mengelirukan rakyat jelata. Kita beritahu bahawa UMNO akan menyelamatkan masa depan Melayu dan negara kita yang tercinta. Tak ada orang lain boleh, nak kata dia boleh? Dulu sibuk dengan reformasi, sekarang ini sibuk baling kerusi. Saya tak sebut, dia tau, dia faham.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Dalam perhimpunan ini, soal Perlembagaan tak usah bangkit pada sesiapa lagi, habis tutup cerita, kita mara ke depan. Orang putih kata let’s move on. Dalam perhimpunan ini saya lihat memang hasrat kita, hasrat saudara-saudara sekalian bahawa soal agenda Melayu, kedudukan bumiputera akan terus diperjuangkan oleh pimpinan UMNO dan kerajaan.
Saya nak beritahu bahawa hal ini memang akan terus diperjuangkan oleh kita. Malah dalam persidangan MCA baru-baru ini, bila saya rasmikan, sebelah saya semua pimpinan MCA. Apa saya kata? Saya kata sekiranya majoriti dalam sebuah negara itu memiliki sebahagian kecil daripada kekayaan, itu tidak adil dan tidak menyumbang kepada kestabilan politik tanah air kita.
Saya kata depan Presiden MCA, depan pimpinan MCA saya terangkan dengan jelas. Dalam UMNO, MCA dan MIC, dalam apa jua keadaan, kita mesti menegakkan keadilan sosial di dalam negara kita. Terima kasih perwakilan mengingatkan siapa pencetus Dasar Ekonomi Baru. Takkan saya, anakandanya, darah yang mengalir dalam badan saya, tidak akan meneruskan semangat dan prinsip perjuangan itu.
Dalam majlis ini, saya nak bagi tahu, bahawa hasrat saudara-saudara sekalian supaya kita tubuhkan apa yang dikatakan Majlis Tertinggi Agenda Bumiputera atau pun MTAB. Saya nak beritahu bahawa pada hakikat sebenarnya, Majlis Tertinggi mengangkat agenda bumiputera sudah pun diwujudkan oleh kerajaan. Malah mesyuarat pertama telah diadakan sebulan yang lalu. Saya jadi Pengerusi, Timbalan Perdana Menteri jadi Timbalan Pengerusi, menteri-menteri yang berkenaan menganggotai termasuk tiga-tiga Naib Presiden, hak Jawa, hak Turki, hak lanun, semua ada. Ketiga-tiga ini sekarang saya tak panggil nama dia. Saya panggil dia Jawa, Turki, lanun, biar lekat triple ini, semua ada.
Kami akan pastikan agenda bumiputera terus diperjuangkan. Malah ada satu perkembangan yang saya nak terangkan. Ini juga kaitan dengan program kita untuk menambah lagi penyertaan bumiputera yakni Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJJB) yang sekretariat dia bawah Datuk Dr. Awang Adek Hussin.
Saya nak beritahu bahawa pada tahun sudah dan tahun 2010, empat buah syarikat bumiputera yang market capitalisation berjumlah RM411 juta sudah pun disenaraikan di Bursa Saham. Syarikat-syarikat ini kami tak kenal siapa dia. Syarikat-syarikat ini diproses berdasarkan kepada kebolehannya untuk disenaraikan.
Tetapi untuk disenaraikan dia mesti ada rekod baik lima tahun keuntungan dan Suruhanjaya Sekuriti nak tengok dari segi keuntungan akan datang. Jadi, apa yang diperlukan oleh syarikat-syarikat bumiputera ini bantuan sedikit oleh kerajaan, dalam bahasa Inggeris disebutkan The Last Mile, ini penghujungnya. Jadi, kita bantu, bila kerajaan bantu penghujungnya syarikat-syarikat ini boleh disenaraikan di Bursa Saham dan tahun sudah RM411 juta.
Tahun akan datang insya-Allah 11 buah syarikat bumiputera dijangka disenaraikan dengan pasarannya hampir RM2 bilion. Memang seperti mana perwakilan kata, kita tak marah orang lain dapat keuntungan, kita tak marah orang lain kaya malah yang kaya itu pun kerana UMNO juga mereka kaya. Betul tak? Siapa bagi lesen beras? Siapa bagi lesen gula? Siapa bagi lesen IPP (projek loji tenaga bebas)? Siapa bagi lesen satelit? Tidakkah UMNO yang bagi. Kalau kita nak tolong bumiputera, jangan pula mereka marah kita nak tolong bumiputera, ini baru adil. Hak orang lain dapat dia senyap, hak kita nak bagi dia komplen, tak bolehlah macam itu, adilkah semua ini?
Ini yang kita hendak, itu satu 1Malaysia. Terima kasih semua kerana sudah terima 1Malaysia sekarang ini sampai ada seorang perwakilan pakai 1Malaysia dekat songkok dia, ada keluar dalam gambar, ini jelas.
Saudara-saudari sekalian,
Kita pun ada program lain macam Ekuinas. Kita sudah labur dalam tiga syarikat bumiputera dengan nilai sebanyak RM350 juta. Malah dalam
Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan RMK-11, kerajaan memperuntukkan RM5 bilion untuk Ekuinas. Kalau ada syarikat bumiputera yang berpotensi jadi lebih besar, sampai ke peringkat persada antarabangsa, kita akan bantu Melayu Ekuinas. Ini supaya syarikat bumiputera bukanlah syarikat yang kecil, kerdil tapi syarikat besar bertaraf dunia global. Ini hasrat kita supaya Melayu berjaya, bumiputera berjaya di persada antarabangsa.
Kita tidak lupa. Bukan sahaja orang usahawan, bukan sahaja golongan korporat tetapi perjuangan kita bak kata pemimpin-pemimpin tadi berbentuk inklusif, keterangkuman. Jadi, hak yang bawah pun kita mesti jaga sebab itulah kita perkenalkan gaji minimum. Siapa untung? Yang pertama posmen dah untung. Posmen dahulu hampir dekat paras kemiskinan. Sekarang ini dapat RM1,300, RM1,400 sebulan. Perjuangan siapa? Perjuangan UMNO. Bukan orang lain, UMNO.
Siapa lagi? Imam masjid pun terkejut, tersentak, tidak terfikir-fikir boleh dapat RM750. Sebab itu ada imam yang dah letak jawatan hendak ambil semula itu. Datuk Seri Jamil Khir Baharom kata ada, ada dia hendak minta balik jadi imam.
Siapa lagi? Guru-guru KAFA dapat, ketua kampung pun dapat, siapa ketua kampung? Separuh daripada ketua cawangan. Ketua Bahagian kena jaga ketua cawangan betul tak? Kalau tidak dia tidak sokong undi.
Mulai tahun depan siapa lagi, pengawal-pengawal keselamatan yang kebanyakannya bekas tentera, ini Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dapat gaji RM700 insya-Allah dapat RM1,000 ke atas. Ini perjuangan UMNO. Ini kena beritahu, jangan sebab nak bagi air 20 milimeter padu percuma, besarnya punya cerita. Macam wakil Pulau Pinang sebut nak bagi RM50 guru KAFA pun macam nak tenggelam Pulau Pinang punya ceritalah. Tapi kita mesti tahu, mesti beritahu, mesti uar-uarkan bahawa segala-galanya adalah kerana hasil perjuangan UMNOlah memungkinkan perkara ini jadi kenyataan, bukan orang lain.
Wakil Pemuda cadangkan supaya golongan muda yang baru keluar, baru nak kahwin, tak sabar nak kahwin tapi nak rumah (tetapi) tidak mampu, kerajaan telah isytiharkan bahawa kalau beli rumah bawah RM220,000 ke bawah tak payah bayar wang pendahuluan, dapat pinjaman 100 peratus.
Wakil Pemuda cadangkan supaya hak RM3,000 itu jangan kira pendapatan sekeluarga, tapi kalau seorang RM3,000 ke bawah pun tak apa. Boleh saya nak kata, saya setuju dengan syor Pemuda.
Inilah yang kita kata inklusif. Jangan jaga orang di atas sahaja, jaga di bawah, jangan main di atas sahaja, hak belakang pun jangan (Pengerusi Tetap mencelah), jangan itu, tak boleh lalu, tak boleh. Inilah yang kata UMNO ini keindahan. Cuma kita ini UMNO tidak pandai nak bawa cerita. Itu saja, tak pandai nak jual cerita, kurang sikit mahir, sebab apa? Kita ini mesti uar-uarkan di kampung, di bandar, di semua tempat, beritahu ini semua perjuangan UMNO. Bukan orang lain.
Saudara saudari sekalian,
Ramai yang sebut tentang transformasi UMNO. Jadi, saya nak sebut di sini bahawa model transformasi UMNO apa temanya. Saya fikir waktu persidangan ini, jurucakap, pensyarah semua saya menghayati hujah-hujah mereka. Saya tilik-tilik dan saya rasakan bahawa tema yang sesuai model transformasi UMNO ialah ‘UMNO Dahulukan Rakyat’. Ini dia. Jadi sebenarnya, proses transformasi ini dah mula. Dia mula seperti yang Datuk Hishammuddin (Hussein) kata tadi dari waktu kita meminda Perlembagaan pada tahun sudah. Kita tidak tahu sangat signifikannya. Tapi dalam sejarah UMNO, ada tiga peristiwa yang sangat besar ertinya iaitu penubuhan UMNO, UMNO diharamkan dan pindaan Perlembagaan UMNO pada tahun sudah. Ini tiga. Sebab apa? (Kerana) ia menukar sama sekali asas pemilihan, proses menentukan pemilihan UMNO yang lebih demokratik dan lebih inklusif termasuk jawatan Presiden UMNO pun. Nasib Presiden UMNO di tangan 140,000 perwakilan tidak boleh bersandar lagi kepada kuota. Dulu ada kuota. Ada 58 bahagian mencalonkan baru layak lawan Presiden. Tuan-tuan ingat senang dapat 58 bahagian. Berani 58 bahagian calon orang lain lawan Presiden? Tak ada, tak jadi. Saya betul-betul menyerah nasib saya, Tan Sri Muhyiddin (Yassin), naib-naib Presiden pada saudara-saudara sekalian.
Untuk menentukan ini, kita kembalikan kepercayaan kepada ahli supaya ahli akan menentukan dia boleh buat kerja atau tidak boleh buat kerja. Kalau tidak boleh buat kerja, dia akan hantar signal. Kami tidak mahu terus berkuasa tanpa dilihat, dinilai sebagai pemimpin yang boleh berjasa dan berbakti kepada agama, bangsa dan tanah air.
Saya nak sebut sekali lagi, empat tonggak utama kemenangan kita. Satu, kepimpinan Barisan Nasional dengan dasarnya dan hala tujunya mesti diterima rakyat. Kedua, kepimpinan di peringkat negeri pun penting juga. Ketiga ialah parti sama ada parti kita dalam keadaan disenangi, diterima oleh rakyat. Keempat ialah calon, saya kata minta ‘winable candidate’. Empat ini mesti. Ingat, kalau keempat-empat ini jadi positif macam bah besar di Pekan, Pahang. Tuan-tuan dan puan-puan tahu bila bah besar di Pekan, Pahang? Tahu? Tak tahu? Ia jadi besar bila air turun dari hulu bertembung dengan laut air pasang, ia jadi limpahan banjir besar. Kalau kita nak menang besar, keempat-empat ini mesti menjurus kepada yang positif, baru kita menang besar macam bah besar di Pekan. Saya tahulah, saya ahli Parlimen Pekan.
Air naik berapa kaki? (Pengerusi Tetap mencelah): Naik tinggi...(ketawa) banyak kaki... Datuk. Belah Yan (Kedah) dulu, air naik empat kaki saja. Pahang lagi besar.
Jadi, kita mesti lihat dan saya cuba fikir apa dia elemen-elemen model transformasi. Saya tak nak kata ini Presiden punya idea atau Timbalan Presiden sama dengan Presiden punya idea.
Jadi kita mesti lihat dan saya cuba fikir apa agaknya elemen-elemen model transformasi. Saya tak nak kata ini Presiden punya idea atau Timbalan Presiden sama dengan Presiden punya idea.
Saya nak cantumkan, adunkan dengan perwakilan kerana kawan saya wakil Melaka kata, percayalah kepada kami. Betul tak? Betul.
Saya nak percaya pada perwakilan dan ahli UMNO. Saya nak gariskan berdasarkan pada intipati ucapan saudara-saudari dalam perhimpunan ini.
Yang pertama, nilai elemen yang pertama ialah tentukan bahawa maruah parti, kepentingan parti lebih besar, lebih tinggi daripada maruah kepentingan diri.
Wakil Kelantan contohnya katanya Tok Pa (Mustapa Mohamed) Pengerusi Perhubungan Negeri Kelantan, tapi bila kita ambil keputusan lantik Tengku Razaleigh sebagai pengarah Pilihan Raya DUN Galas, Tok Pa jadi timbalan kepada Tengku Razaleigh, kerana apa? Kerana dia nak menang.
Maknanya bukan soal maruah diri. Bukan soal status diri, bukan soal kepentingan diri tapi diutamakan parti mesti menang.
Nilai elemen kedua, saya ambil wakil dari Sabah, sahabat saya juga. Dia kata bahawa dalam parti ini yang penting bukan kumpulan tapi pasukan. Banyak beza kumpulan dan ‘team’. Makna bila ada team adalah pemain, posisi kita tahulah, bola sepakkan. Semua orang tahu macam mana kita nak menang dalam bola sepak, cuma pasukan kita tak boleh nak menang. Itu saja.
Maknanya kita mesti ada penyerang, menyerang. Jangan sumbat gol sendiri. Ada orang dia ‘score’ gol sendiri. Pilihan raya (umum) ada, pilihan raya kecil ada. Ada setiausaha bahagian, pilihan raya tak jadi calon pukul 10 malam dah tidur. Ada yang tak ada di kawasan pun ada. Betul tak? Betul. Tak jadi calon tak nampak muka. Langsung tak nampak. Cari, hilang. Ada yang sponsor pergi Medan.
Itulah kata ada yang bentes kaki. Orang Kelantan kata ‘cah keting’. Kalau tidak kita menang di Manek Urai. Belum masuk bab Datuk Seri Shafie (Apdal) kata banyak yang tak daftar. Yang tak daftar inilah bentes kaki, cah keting. Yang hilangkan diri, yang merajuk semua ada. Sebab itulah kita belum ada lagi aspek ‘esprit de corps’ yang kuat. Dalam transformasi model ini kita mesti memperkukuhkan ‘esprit de corps’ dalam parti kita di semua peringkat.
Janganlah kalau kerja dalam kumpulan kalau tidak ikut rentak, geng atau ‘clique’ kita, kita nak cantas dia. Walhal dia boleh buat sumbangan pada parti, betul tak? Ini jadi perangai kita. Jadi transformasi model politik jangan pakai lagi perangai macam ini.
Yang ketiga, saya ambil daripada perwakilan juga. Memenangi pemikiran, hati dan jiwa rakyat. Sebab itu kita buat program Juara Rakyat. Kita nak bersifat inklusif. Juara rakyat jangan kita sama kita geng kita. Ada satu bahagian buat kejohanan boling sesama dia. Tak jadi juara rakyatlah. Jadi juara boling saja. Tapi claim pada UMNO. Jadi macam mana rakyat?
Kita mesti macam perwakilan kata jangan menunjuk-nunjuk. Dia kata jangan nak buat sekelip mata tukar rumah besar, kereta besar, cuma isteri tak nak besar. Ini perwakilan cakap. Bukan saya cakap. Jadi inilah yang mesti kita buat. Biar rakyat pandang dia suka tengok pemimpin UMNO. Kita dapat memenangi hati dan pemikiran rakyat.
Keempat, zaman ini zaman moden. Kita mesti jadi juara dalam media baru juga. Jangan puak-puak sana saja. Kita mesti ada facebook. Mesti ada Twitter. Macam-macam mesti buat. Sebab itu saya kata kerajaan Melaka tumbang pada Portugis kenapa? Kerana dia dengan dia punya tombak, keris dan kapak. Portugis dengan meriam, senapang. Kalahlah kita.
Zaman sekarang ini kita pakai facebook sebagai social network. Kita mesti jadi juara social network.
Saya pun cubalah walaupun tak mahir sangat. Alhamdulillah facebook saya sudah setengah juta. Tun Dr. Mahathir (Mohamad) yang veteran pun dah mahir blog, facebook. Dia buat transformasi juga.
Yang kelima, orang muda. Empat juta pengundi baru. Yang lama dah masuk dalam kotak, dalam bakul UMNO, bakul Pas atau bakul apa. Yang baru empat juta ini mesti jadi sasaran kepada UMNO menjurus kepada PRU-13. Itulah kita hendak. Bila Ketua Pemuda cadang buat think tank, saya setuju dan kita bantu.
Yang keenam, UMNO mesti menuju sifar masalah. Ada masalah lagi? Ada. Dalam perhimpunan ini pun ada. Ramai. Ada juga bahagian yang datang jumpa saya sebab masalah bahagian. Sebab apa? Sebab ada dua kumpulan. Bahagian yang boleh kita menang. Kerusi yang boleh kita menang. Tapi kita kalah. Sebab apa? Sebab UMNO tidak dapat menyelesaikan masalah dalaman di peringkat bahagian itu. Jadi, saya mintalah kita semua bantu cari penyelesaian. Yang kaki hantuk, kaki batu ‘ronson’, jawatankuasa mandi, tak usah buat kerja ini.
Dan yang ketujuh, UMNO mesti dahulukan rakyat, saya sebut tadi. Ini penting sangat, dahulukan rakyat. Tengoklah, kalau kita buat apa-apa bantuan, nak bagi saham Felcra di bahagian ini pun tengoklah, jangan bagi anak saudara kita.
Anak saudara kita yang dah jadi peguam nak saham Felcra, nak buat apa? Bagi kepada orang yang memerlukan bantuan, biar UMNO dilihat parti yang adil dan inklusif, dahulukan rakyat, rakyat sentrik. Insya-Allah, UMNO akan berjaya kalau kita letakkan rakyat yang kita dahulukan rakyat sepanjang masa.
Saudara-saudari sekalian,
Saya dah cuba gariskan bahawa transformasi politik amat perlu kita lakukan. Mulai tahun hadapan, saya ambil keputusan, sama-sama dengan Timbalan Presiden, kami akan turun ke negeri-negeri. Kami akan berjumpa dengan UMNO dan rakyat. Saya hendak UMNO sediakan yang sebaik-baiknya. Sediakan untuk lawatan kami berdua supaya mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan. Boleh ke tidak? Balik ini buat persiapan. Kita nak tengok persiapan yang diberi. Saya nak belek, saya nak tilik, saya nak tengok.
Saya nak beritahu bahawa dalam masa yang terdekat ini, saya akan buat perubahan kepada kepimpinan UMNO di peringkat tertentu. Mula dengan susunan yang akan datang ini, akan lengkaplah persediaan kita. Saya akan runding dengan Timbalan Presiden, runding dengan Jawa, Turki, lanun apa formula yang sebaik-baiknya. Saya nak kita bekerja kuat, sebab orang Melayu dan negara tak boleh harap pada orang lain melainkan UMNO sahaja. Jadi, kita turun padang dan sentiasa berada atas padang.
Jadi rajin, jangan malas,
Boleh menang kita di Galas.
Jangan jadi batu api,
Boleh menang di Batu Sapi.
Bersusah-susah mendaki bukit,
Tanah yang kontang digali lembah,
Walau berkecai bumi di langit,
Hak Melayu takkan dirubah.
Nyiur gading puncak mahligai,
Ketupat pulut berisi inti,
Biar bergoncang dihentam badai,
Bahtera UMNO tak kan berhenti.
Demi Islam, demi Melayu, demi Malaysia.
Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Thursday, October 21, 2010

Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran


Mendaya Bangsa Meneraju Kemakmuran
Utusan Online 22.10.2010

MENGAWALI ucapan, marilah kita bersama-sama merenung dua firman Allah SWT. Dalam surah al-Baqarah, ayat 143, berbunyi:
“Dan demikian pula kami telah menjadikan kamu umat Islam ‘umat pertengahan’ agar kamu menjadi saksi atas perbuatan manusia dan agar Rasul yakni Muhammad menjadi saksi atas perbuatan kamu”.
Dalam surah Ali Imran, ayat 159 pula terkandung firman yang menyebut:
“Maka disebabkan rahmat dari Allah, kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka akan menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu, maafkanlah mereka. Mohonkanlah ampun bagi mereka dan bermusyawarah dengan mereka dalam urusan itu”.
Alhamdulillah, kita merafakkan sepenuh rasa syukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberi izin dan inayah-Nya supaya kita berkumpul sekali lagi dalam dewan yang penuh bermakna ini. Ucapan selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW selaku pemimpin yang dimuliakan dan sentiasa diambil pengajarannya.
Jika dihitung dan dicongak, Perhimpunan Agung kali ke-61 menandakan Dewan Merdeka yang bertuah ini, telah menyaksikan persidangan dilangsungkan sebanyak 25 kali semenjak tahun 1985. Begitulah, UMNO telah bertatih dan berjalan begitu jauh didewasakan oleh waktu.
Dalam pada itu, secara sedar atau tidak, selama lebih enam dekad UMNO telah berada di lapangan, menyalakan obor kebangkitan orang-orang Melayu dan membela untung nasib bangsa. Sehubungan itu, dengan tegas kita mahu menyatakan bahawa sepanjang 64 tahun ini, United Malays National Organization atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yakni UMNO, adalah satu-satunya, suluh yang terang-benderang kepada cita rasa dan nurani orang-orang Melayu.
Kerana itulah, tidak ada seorang pun dapat menafi apatah lagi menidakkan betapa besarnya pengaruh dan peranan parti keramat ini yang sejak turun-temurun kepimpinannya telah menongkah arus, menghilir pasang, sebagai teraju perubah tanah air.
TALI-TEMALI WAWASAN NEGARA
Apa yang kita perjuangkan hari ini, bukanlah sesuatu yang baru. Sebaliknya ia adalah penerusan kepada aspirasi bangsa Melayu serta rakyat Malaysia di kala kita membuat keputusan untuk menuntut kemerdekaan. Begitulah, semenjak dahulu, tiga prinsip dan pegangan utama kita yang sentiasa konsisten yakni pertama, kesatuan Melayu sebagai teras perpaduan nasional. Kedua, Islam sebagai Addin dan ketiganya kemakmuran negara bertonggakkan keadilan sosial.
Jika diimbau sebenarnya, pada awal tahun 50-an, Presiden UMNO ketika itu, Allahyarham Datuk Onn Jaafar telah mengenengahkan idea untuk membuka pintu keahlian parti kepada orang bukan Melayu kerana beliau melihat realiti, bahawa kemerdekaan, tidak mampu dicapai tanpa kaum-kaum yang ada bersetuju berkongsi kuasa.
Namun, rancangan Onn pada masa itu adalah terlalu progresif bagi ahli UMNO yang merasakan kedudukan bangsa Melayu masih belum kuat. Hasilnya, ia telah ditentang oleh majoriti ahli dan pemimpin UMNO. Akibat dari itu, Onn telah keluar meninggalkan UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Tanah Melayu bagi meneruskan cita-citanya.
Kendatipun begitu, kita orang-orang UMNO ini bak kata pantun:
Hidup sebumbung, di bawah teratak,
Berlain bantal, satu hati,
Bercerai kasih, bertalak tidak,
Ibarat rambut, bersimpul mati.
Di sudut lain, sekalipun idea Onn pada masa itu tidak dapat diterima UMNO, penggantinya, Almarhum Tunku Abdul Rahman yang telah dipilih menggantikan beliau, menyedari peri pentingnya kerjasama politik pelbagai kaum untuk mencapai kemerdekaan. Tunku Abdul Rahman kemudiannya mengambil strategi yang pada pandangannya adalah lebih realistik dan mampu diterima majoriti orang-orang Melayu serta pelbagai ras dengan mempelopori satu gabungan bitara antara kaum.
Kerjasama ini, telah dizahirkan buat kali pertama pada tahun 1955, melalui perkongsian kuasa Parti Perikatan yang mengumpulkan UMNO, MCA dan MIC, masing-masing mewakili kaum Melayu, Cina dan India. Kemudian pula, pasca tragedi 13 Mei 1969, kepimpinan negara menyedari bahawa perpaduan tidak mampu dipupuk dengan hanya menggunakan mekanisme politik tanpa disertai asas sosioekonomi bertunjangkan keadilan sosial.
Oleh kerana itu, selanjutnya, Allahyarham Tun Abdul Razak telah menggubal dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru dengan matlamat membaik pulih ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum yang sebelum itu hampir memusnahkan keutuhan perpaduan nasional. Pendekatan baru ekonomi ini, sebetulnya telah dimungkinkan dengan kedinamikan sistem pasaran yang dibina oleh Tunku Abdul Rahman sebelum itu.
Di sini, suka saya menarik kembali perhatian sebahagian daripada kita dan pihak-pihak yang barangkali terlepas pandang bahawa, matlamat Dasar Ekonomi Baru sebenarnya adalah untuk membina perpaduan nasional. Cumanya, alat dasar yang telah digunapakai bersifat sosioekonomi, bukannya politik semata-mata sepertimana yang dilakukan pimpinan terdahulu melalui penubuhan Parti Perikatan.
Dalam helaan nafas yang sama, Tun Razak tidak melupakan kepentingan mekanisme siasah sebagai alat memupuk perpaduan. Beliau telah memperbesarkan Parti Perikatan dan membentuk tapaknya melalui penubuhan Barisan Nasional. Menerusi landasan kerjasama serta perkongsian kuasa antara kaum, ia diperluaskan melalui negeri-negeri Sabah dan Sarawak.
Hendaklah jangan kita lupa, jambatan pertama yang dibina antara negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak merentasi Laut China Selatan adalah jambatan politik Barisan Nasional, yakni 11 tahun selepas penubuhan Malaysia. Ia dimantapkan lagi kemudiannya, dengan kehadiran UMNO di Sabah, bumi di bawah bayu, pada tahun 1991.
Sejurus apabila Dasar Ekonomi Baru tamat pada tahun 1990, Tun Dr. Mahathir, Perdana Menteri pada ketika itu telah memperkenalkan penyataan arah tuju kebangsaan Malaysia sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Melalui kertas kerja bertajuk Malaysia; Melangkah ke Hadapan yang disampaikannya semasa melancarkan Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991, beliau mevisikan bahawa, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju dalam tempoh tiga dasawarsa.
Pada saat itu, diimpikan menjelang tahun 2020, Malaysia akan menikmati taraf hidup yang sama dengan Amerika Syarikat. Pendapatan perkapita Amerika Syarikat pada masa itu adalah kira-kira dua puluh ribu dolar. Sungguhpun kita tahu, ada pihak yang mengatakan matlamat ini adalah angan-angan Mat Jenin, alasan Tun Dr. Mahathir adalah begitu kemas sekali. Beliau menyatakan dalam tempoh Dasar Ekonomi Baru, pukul rata pertumbuhan tahunan negara adalah 6.7 peratus. Jika dalam tempoh 30 tahun hingga 2020, pertumbuhan boleh ditingkatkan kepada tujuh peratus yakni perpuluhan tiga peratus lebih tinggi daripada pukul rata tahun-tahun 1971 hingga 1990, maka wawasan yang dicitakan tidak mustahil untuk dicapai.
Di samping aspek ekonomi, beliau telah menggariskan sembilan lagi cabaran sosiopolitik yang perlu dihadapi sebelum Wawasan 2020 boleh direalisasikan. Paling utama adalah, mengukuhkan perpaduan nasional atau matlamat untuk membentuk bangsa Malaysia. Pengalaman Dasar Ekonomi Baru menunjukkan bahawa pengagihan saksama hanya akan berlaku dalam ekonomi yang teguh.
Apa yang sangat jelas di sini, bagi memastikan perpaduan nasional, kedua-dua mekanisme politik dan sosioekonomi harus diguna dan dipertemukan. Ertinya, perpaduan nasional tidak akan ampuh tanpa keadilan sosial manakala keadilan sosial pula tidak mampu dicipta tanpa kestabilan politik serta kemakmuran ekonomi yang berteraskan perpaduan nasional. Ringkasnya, ketiga-tiga elemen tersebut adalah saling melengkapi, saling berkait dan saling mengukuhkan antara satu sama lain.
Setelah diamanahkan untuk memimpin parti dan negara kira-kira lapan belas bulan yang lepas, dengan penuh tradisi kesinambungan kepimpinan UMNO yang diserahkan oleh Tun Abdullah, saya telah membuat keputusan untuk tidak mencipta semula roda tetapi untuk mengambil teladan akan kebijaksanaan dan pandangan jauh pendahulu kepimpinan parti dan negara melalui formula yang dicuba serta telah teruji oleh zaman.
Maka, lahirlah falsafah induk 1Malaysia yang merupakan penerusan kepada wawasan pragmatik bapa-bapa kita dalam parti dan kerajaan. Perpaduan nasional adalah sesuatu yang dinamik. Ia harus sentiasa dibajai dan dijaga, jika tidak, ia akan hancur berkecai. Parti Perikatan terbentuk diambang Merdeka bertepatan waktunya, namun pasca tragedi 13 Mei 1969, menyaksikan model ini perlu dipulih rawat melalui Barisan Nasional dan elemen keadilan sosial melalui Dasar Ekonomi Baru.
Kesimpulannya, susur galur dan tali-temali usaha yang dipasak oleh Almarhum Tunku disambung oleh Allahyarham Tun Razak melalui Barisan Nasional dan Dasar Ekonomi Baru. Allahyarham Tun Hussein pula dikenali sebagai Bapa Perpaduan yang tegas dan tulus dalam melaksanakan khidmatnya. Kemudiannya Tun Dr. Mahathir meneruskannya dengan konsep Bangsa Malaysia. Disusuli Tun Abdullah yang membina usaha memantapkan modal insan dan mengolah Misi Nasional dalam meneraju negara.
Sekiranya perpaduan nasional, kemakmuran dan keadilan sosial adalah saling mengikat dan berpilin, maka, selain 1Malaysia, kita memperkenalkan inisiatif Pelan Transformasi Kerajaan atau GTP dan Enam NKRAnya serta Pelan Transformasi Ekonomi atau ETP untuk membina kemakmuran demi kesejahteraan rakyat.
Seperti yang telah dibentangkan sebelum ini, ETP adalah satu pelan yang komprehensif, merangkumi garis-garis besar Model Baru Ekonomi dan lapan prakarsa strategik. Ia juga mengandungi arah tuju yang jelas dengan 12 NKEAnya serta mekanisme pelaksanaan jitu melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh dan Rancangan Malaysia Kesebelas.
Dalam hubungan ini lagi, Gagasan 1Malaysia juga adalah selaras dengan nilai-nilai Islam dan semangat yang ditunjukkan sirah Rasulullah SAW dalam pembentukan negara dan ketamadunan Islam terawal di Madinah. Masyarakat yang berada di Madinah pada waktu itu, terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, hidup penuh rukun lagi harmoni, berasaskan Perlembagaan yang mengutamakan serta mempertahankan agama serta keadilan kepada semua pihak. Perlembagaan itu juga melindungi kaum minoriti serta memberi kebebasan mengamalkan agama kepada orang-orang bukan Islam.
Jelasnya, ini bukanlah impian baru. Inilah impian abadi negara dari dahulu dan selamanya. Ia adalah gagasan Allahyarham Dato’ Onn, cita-cita Almarhum Tunku Abdul Rahman, harapan Allahyarham ayahanda saya, kemahuan Allahyarham Tun Hussein, aspirasi Tun Dr. Mahathir dan kehendak Tun Abdullah Badawi. Pastinya, ia kini menjadi wawasan saya, bersama Tan Sri Muhyiddin dan rakan-rakan dalam UMNO, Barisan Nasional dan juga kerajaan.
Saya penuh yakin dan percaya, ia adalah hasrat murni didokong tuan-tuan dan puan-puan yang berada di dalam dewan dan di luar dewan, serta semua rakyat negara tercinta ini. Pendek kata, biar siapa pun kita, di mana jua berada, kita adalah 1Malaysia.
KEPIMPINAN DALAM BUDAYA MELAYU DAN UMNO
Di atas semua ini, jika diteliti, dalam budaya Melayu, hal kepimpinan amatlah pelbagai. Mulai daripada kepimpinan rumah tangga, dusun dan kampung sampailah kepada kepimpinan bangsa dan negara. Oleh sebab besar dan pentingnya pengaruh dalam kehidupan, maka para pemimpin diberi kepercayaan dan tanggungjawab memandu umat seperti mana tercermin dalam ungkapan “adat memegang kepercayaan orang, jangan sekali-kali menikam belakang, adat memegang kekuasaan, jangan sekali-kali merosak binasakan, adat memegang kebebasan, jangan sekali-kali lupa batasan”.
Makanya, di saat ini, biar apa sekali pun suka duka, pahit maung, kritik cela yang dihadapkan lawan kepada UMNO, tawarikh jelas memperlihatkan bahawa, kita sudah bertahan lebih daripada enam puluh tahun dengan khidmat, jasa dan bakti yang mendalam kepada pembangunan umat Melayu juga negara. Tambahan lagi, kebolehan dan kewibawaan UMNO telah tersanjung tinggi bukan sahaja di rantau sebelah sini malah menjangkau ke seantero dunia.
Sememangnya lagi, sejak puluhan tahun, apa yang diperkatakan bukanlah omongan kosong. Terakam jelas dalam catatan negara, parti inilah yang telah menukar perpecahan kepada perpaduan, daripada pemikiran terjajah kepada pemikiran merdeka, daripada tidak percaya kepada kebolehan masing-masing kepada keyakinan mandiri yang membanggakan, daripada berputus asa kepada penuh harapan.
Jangan kita lupa, parti inilah yang berperanan merubah orang Melayu daripada bangsa yang tidak berkesedaran politik sebelum Perang Dunia Kedua kepada bangsa yang mampu merebut kemerdekaan dengan siasah hujung lidah menundukkan kuasa besar dunia iaitu pihak British.
Tidak cukup dengan itu, tersusun kemas dalam rekod negara, parti UMNOlah yang telah menggerakkan kesedaran nasionalisme, semangat patriotisme dan demokrasi politik. Dalam gambaran besarnya, terbukti utuh bahawa, kepimpinan UMNO telah berjaya sebagai teraju ulung yang mentransformasikan Malaysia dengan begitu pantas seperti apa yang kita kecapi hari ini.
Menyongsong kisah-kisah pencapaian itu, kita ingin bertanya, apakah jenis bangsa yang berjaya menunjangi perjuangan hebat ini? Apakah sistem nilai yang dipegang? Persoalannya di sini, bukanlah kita ingin termanggu dengan kejayaan-kejayaan lalu, namun, marilah kita menyingkap apakah kekuatan dan apakah faktor yang menjadi asas kepada keutuhan pertubuhan yang bermakna ini.
Dalam konteks ini, sesuai jika saya mengungkap beberapa baris puisi indah oleh Sasterawan Negara, Allahyarham Usman Awang serta bait-bait coretan gurindam daripada seorang tokoh persuratan, Tenas Effendy yang membicarakan tentang Melayu.
Pertama sekali dari segi usul dan asalnya disebut:
Melayu itu, kaya falsafahnya
Melayu itu, orang yang bijaksana
Akal budi bersulamkan daya
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Tidak lengkap lagi senarai ini sebenarnya:
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah muallaf bertakrif Melayu
Mendakap realiti semasa Malaysia pula:
Kadazan, Bajau, India Muslim dan Siam,
Melanau, Bidayuh dan berpuluh suku kaum,
Kita bersama dalam serumpun,
Di sudut perpaduan dan agama dinyatakan bahawa:
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Seterusnya dari perspektif kepimpinan dan amanah, Melayu dimadahkan:
Menjadi pemimpin sifatnya agung
Syarak dipakai adat dijunjung
Hidupnya mengabdi kepada rakyat
Taat setia membela umat
Akhirnya, disimpulkan Melayu itu:
Dijadikan induk kuat berdiri
Umat sentosa bertuahlah negeri.
Berdasarkan baris-baris yang saya lafazkan, begitu langsung memperlihatkan betapa, dalam sifat, psikologi, dan sikap atau perwatakan Melayu itu terpamer asas-asas yang membenih nilai kepimpinan murni. Jika digarap lagi, demikianlah orang Melayu, meletakkan martabat tinggi kemuliaan sikap pemimpin dan kepimpinan dalam masyarakat.
Terbukti, di sudut leluhurnya, bangsa Melayu itu, sejak sekian lama telah merentas ujian waktu. Keperibadian inilah juga yang menyebabkan Melayu diterima sebagai pemimpin dalam sebuah masyarakat majmuk. Sikap inilah juga menjadi bekal sebagai bangsa yang diamanah menggalas kepimpinan negara.
Lebih indah pula, ciri kepimpinan Melayu yang saya utarakan ini, telah dimurnikan dengan tibanya ajaran Islam yang menyeru, mendidik dan mendokong pendekatan wasatiyah.
Wasatiyah, adalah suatu kaedah mengamalkan kehidupan individu mahupun masyarakat secara berimbang dan syumul dalam segenap bidang terutamanya dalam soal-soal yang menyangkut perpaduan dan kenegaraan.
Sesudah itu, dari masa hingga masa, ajaran al-Quran serta sunnah disulam dan dijalin kemas dalam anyaman hidup seharian orang Melayu. Sejak itulah juga hingga kini, nilai orang Melayu, padat diwarnai dengan hala cara wasatiyah atau pertengahan.
Merujuk para ulama tafsir, disyarahkan bahawa, umat wasatiyah secara tuntasnya adalah umat yang adil lagi berdaya maju, bekerja keras untuk kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.
KEPIMPINAN UMNO - SATU TANGGUNGJAWAB MORAL DALAM PENGURUSAN KAUM
Lanjutan dari itu, seperkara yang amat mustahak untuk diingat adalah dalam menentukan jatuh bangun sesebuah negara, kita memerlukan corak kepimpinan yang betul dan pemahaman jujur pada wacananya, apatah lagi dalam sebuah negara bitara seperti Malaysia.
Sehubungan itu, bersyukurlah bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, kekal stabil serta bebas daripada sebarang konflik besar. Sayugia, setiap orang perlu menerima hakikat bahawa kepelbagaian kaum adalah satu rahmat dan aset anugerah dari Allah SWT.
Sesungguhnya, kemajmukan adalah sumber kekuatan kita selama ini. Begitulah dunia tercipta dan akan kekal selamanya begitu. Apa yang mustahak adalah, bagaimana kita memanfaatkan aset ini bagi menunjangi kejayaan negara.
Berkait perkara itulah, semua pihak perlu mengambil sikap berlapang dada, kerana sekalipun kita mengamalkan tindakan afirmatif untuk menjamin keadilan sosial, kejayaan seseorang nyatanya, hanyalah dihadkan oleh kreativiti, inovasi dan kesanggupan individu itu sendiri, untuk bekerja keras serta mengambil risiko.
Misalnya, kaum bukan Bumiputera, setelah 39 tahun dasar afirmatif dilaksanakan, masih lagi merupakan kaum yang memiliki kekayaan terbesar. Kita menyedari, ada pihak mendakwa tindakan afirmatif itu sendiri yang mendatangkan kesusahan, akan tetapi, bukti empirikal menunjukkan sebaliknya. Sebenarnya, sikap penerima bantuan, cara pelaksanaan dan landskap di mana tindakan itulah yang menjadi punca masalah.
Sementelah itu, apabila ada pihak yang mula mempersoalkan tentang kedudukan bangsa Melayu sebagai bangsa yang dilindungi dengan hak-hak tertentu, ia telah menimbulkan kegusaran serta rasa tidak puas hati, kepada kita yang amat terkenal dengan sikap dan sifat akomodatifnya. Ibarat api dalam sekam, perasaan ini telah mula membara dan mungkin menular sehingga berupaya merosakkan keharmonian perhubungan ras yang telah terjalin semenjak dahulu.
Sayang seribu kali sayang juga, setelah lima puluh tiga tahun kita merdeka, hari ini, rakyat Malaysia sedang berhadapan dengan asakan bertalu-talu terhadap teras-teras utama perhubungan kaum yang wujud selama ini. Jika polemik nasional ini tidak ditangani dengan baik, kita berasa amat cuak, kerana ia berkemungkinan menjadi ancaman kepada perpaduan negara.
Sebab itulah, saudara dan saudari, kita perlu sentiasa berwaspada, kita perlu terus mengingatkan diri masing-masing bahawa, kejayaan pertiwi tercinta sememangnya dimungkinkan oleh sumbangan, idea dan pengorbanan pelbagai kaum. Hakikatnya pun, ia bukanlah jasa, mahupun ikhtiar eksklusif satu kaum semata-mata, akan tetapi segalanya merupakan hasil mahsul, tuaian kudrat oleh semua kaum secara kolektif.
Apa yang menjadi masalah dalam keadaan ini, ketegangan akan timbul apabila sejarah dienteng atau dilupakan akibat perjalanan masa, atau juga, apabila ada pihak-pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mentafsir semula semua itu, supaya sesuai dengan kepentingan serta agenda sempit kelompok masing-masing.
Kerana yang demikianlah, pemimpin oportunis, menangguk di air keruh, sebenarnya musang berbulu ayam, bermain api permusuhan dan memanipulasi keadaan, sangat ditolak dalam kepimpinan. Mereka tidak layak digelar pemimpin.
Awaslah, awaslah kita, terhadap saudagar mimpi yang membuai dengan dogengan, menjadi petualang memintal kepalsuan, menenun kebencian, memperdagang fitnah, mengadun madu dengan tuba, meleceh pengorbanan dan tanpa segan silu, mengajak kita menikmati buah khuldi yang bergentayangan di pohon rendah, sehingga sanggup menggadai segala-galanya.
Bertolak dari situlah, bagi bangsa Melayu khususnya, perasaan mereka amat terhiris kerana ikrar budiman yang telah dipateri di ambang merdeka kini diungkit kembali. Sedangkan, berpayung sumpah dan janji itulah kita sanggup membuat pengorbanan terbesar bagi mencapai sebuah kemerdekaan, yakni berkongsi pemilikan Tanah Melayu dengan kaum-kaum yang lain.
Serentak dengan itu, penerimaan kerakyatan yang berasaskan prinsip jus soli atau hak tempat kelahiran berbanding prinsip jus sanguinis yakni hak darah dengan sekelip mata telah mentransformasikan landskap sosio-politik Tanah Melayu untuk selama-lamanya.
Dek kerana itu, kita tidak boleh lagi hidup terpenjara kisah nan lalu tanpa melihat ke hadapan. Pokoknya di sini, seperti mana prinsip keutuhan sebarang kontrak yang dibuat di bawah lembayung kedaulatan undang-undang, jika tidak dihormati, maka tiadalah kepastian, walaupun bagi perkara-perkara asas yang telah dipersetujui bersama. Analoginya di sini, jika ia berlaku dalam bidang perniagaan, maka pihak yang berbuat demikian akan mendapati diri mereka, tidak lagi dipercayai oleh sesiapa pun, apabila memungkiri janji.
Seterusnya lagi, jika ikrar setia yang telah diwaad, dilanggar sewenang-wenangnya apabila tidak sesuai dengan selera atau kepentingan tertentu, akan hancurlah kepercayaan dan rapuhlah rasa penghormatan di antara kita, kerana, masing-masing akan dihidapi penyakit kesangsian terhadap motif, kejujuran serta keikhlasan terhadap satu sama lain. Hal yang membarah sebegini berbahaya, saya ulang, amat berbahaya kepada sebuah negara berbilang kaum, agama dan budaya seperti Malaysia kerana ia berpontensi menghancurkan segala apa yang dibina sejak lebih lima puluh tahun yang lalu.
Satu hal yang pasti, timbal balas dipersembahkan bukan sahaja oleh bangsa Melayu, tetapi juga oleh kaum lain. Ia dimanifestasi melalui muafakat murni iaitu bagi memperoleh kerakyatan, orang bukan Melayu telah sanggup menerima prinsip hak keistimewaan sebagaimana termaktub di bawah peruntukan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Kemudian itulah, kewarganegaraan Malaysia pada dasarnya bukan lagi bersifat sama rata dan sama rasa tetapi telah disesuaikan dengan realiti yang ada demi matlamat dan kepentingan jangka panjang nasional.
Inilah sebenarnya asas teras kepada kontrak yang telah dimuafakat bapa-bapa pengasas mewakili kaum masing-masing di ambang kemerdekaan. Ia kemudiannya telah dimaktubkan sebagai kontrak sosial nasional, tertinta dalam perkara dan fasal Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara. Mahu tidak mahu, kita sewajibnya menghormati persepakatan mulia yang telah dilakukan kerana itulah kunci kepada kelangsungan dan survival kebangsaan.
Kini pula, sebagai generasi kepimpinan mutakhir, kita telah diamanahkan untuk menghadapi tuntutan zaman monumental ini sebagaimana generasi kepimpinan pertama yang telah dihadapkan dengan cabaran untuk membina asas kepelbagaian. Oleh itu, adalah amat tidak bertanggungjawab jika kita memilih jalan berpeluk tubuh dan duduk bersimpuh tanpa berbuat apa-apa. Lebih teruk lagi jika ditanggungkan pula beban ini kepada generasi kepimpinan akan datang.
Demikian itulah, kita harus membina landasan baru perhubungan kaum di Malaysia dengan mengambil kira dua prinsip penting. Pertamanya, ia haruslah berasaskan masa depan yang dikongsi bersama dan kedua, ia harus mengambil kira faktor sejarah tanpa mengenepikan realiti hari ini serta potensi masa depan.
Sememangnya, manusia tidak wujud dan hidup dalam sebuah utopia. Manusia tidak dapat lari dari realiti dan persekitaran. Malaysia adalah sebuah negara berasaskan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang seperti mana ideologi kebangsaan yang ternukil dalam panca prinsip Rukun Negara.
Seperti yang kita maklum, kedudukan orang Melayu serta Bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain dari segi politik telah termaktub jelas dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia terkunci kemas dalam artikel-artikel Bahagian 3 mengenai kewarganegaraan, Perkara 38 berkait Majlis Raja-Raja, Perkara 152 tentang Bahasa Kebangsaan dan Perkara 153 mencakupi antara lain Perezaban kuota perkhidmatan dan permit untuk orang Melayu.
Seterusnya, saudara dan saudari, kita mesti memahami dan mengetahui bahawa, pindaan terhadap artikel-artikel ini tidak boleh dilakukan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja mengikut Perkara 159 Perlembagaan Persekutuan. Ia ditambah kukuh pula oleh Perkara 10 Fasal 4, yang memberi kuasa kepada Parlimen, bagi menggubal undang-undang, melarang perbuatan mempersoal apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau hak kedaulatan yang ditetapkan atau diperlindung oleh peruntukan Bahagian 3, Perkara 152, 153 dan Perkara 181.
Sehubungan hal ini, hendaklah kita mengetahui bahawa apa yang menjadi polemik hebat hari ini, sama ada tentang kerakyatan selepas merdeka atau hak istimewa orang Melayu sebenarnya, sudah menjadi perdebatan akademik. Ini kerana, dari segi perundangan, peruntukan-peruntukannya sudah pun tersurat dan sekali gus terpateri kemas.
Seandainya mempunyai majoriti dua pertiga dalam Parlimen pun, tidak akan mampu mengubah setitik apa jua, tanpa kebenaran Majlis yang dianggotai sembilan orang Raja-Raja Melayu. Dalam kata lain, sia-sia sahaja jerit pekik untuk menggunakan peruntukan tentang kerakyatan bagi mengancam kaum lain kerana peruntukan yang tertulis ini begitu konkrit sekalipun darurat diisytiharkan, ia tetap tidak boleh disinggung.
Di sebalik semuanya, suka tidak suka, ada sebab yang amat kuat mengapa perkara-perkara ini tidak dibenarkan untuk dipinda kecuali dengan perkenan Majlis Raja-Raja. Hikmahnya, adalah supaya peruntukan-peruntukan tersebut di letakkan luar daripada forum perbincangan. Jika dibuka juga kepada perbahasan, maka kita bimbang, kita khuatir, ia akan membangkitkan keresahan serta mengapi-apikan “primordial instinct” atau naluri asal wujud antara etnik.
Di atas segalanya, rakyat Malaysia perlu sedar bahawa sejarah telah menunjukkan tidak kira betapa majunya sesebuah ekonomi, betapa berevolusinya sesebuah tamadun, betapa terpelajarnya manusia dan betapa tinggi tahap toleransi, seandai dan sekiranya naluri asal wujud ini tidak diurus dengan baik, kesannya kelak, kita mungkin menyaksikan kezaliman yang sangat dahsyat bakal terjelma, dinyalakan oleh sikap dan disemarakkan sifat tabie manusiawi itu sendiri.
Apa yang saya perkatakan ini tidak menghairankan. Di abad ke-20 kita telah dipampangkan dengan kes-kes hukuman tanpa perbicaraan di Amerika Syarikat, tragedi “holocoust” di Benua Eropah, penyembelihan rakyat Palestin di Asia Barat serta penghapusan etnik di Bosnia dan Rwanda. Jadi, bayangkanlah, apakah kesudahannya, jika setiap generasi rakyat Malaysia mengambil pendirian untuk mempersoal kewajaran kontrak sosial kebangsaan yang telah dimuafakatkan pendahulu mereka sebelum ini.
Akibatnya, akan lebih pantas terutama dalam dunia tanpa sempadan dengan kecanggihan sistem teknologi maklumat dan komunikasi yang sentiasa berkembang. Pucuk pangkalnya, saudara dan saudari, mengapa mahu diubah apa yang telah berjalan dengan begitu baik. Janganlah yang elok menjadi retak, janganlah yang bersambung menjadi putus.
Merentasi situasi ini, sebagai orang Melayu yang merupakan kaum majoriti, kita mempunyai tanggungjawab kepimpinan untuk ditunaikan. Satu tanggungjawab moral kepimpinan yang melangkaui kepentingan kaum kita sendiri. Tanggungjawab ini secara alami telah tertakdir dan tertanggung ke atas orang-orang Melayu disebabkan kita adalah dalam rumpun majoriti yang membentuk 67 peratus daripada penduduk Malaysia. Seperti yang telah saya bicarakan di awal ucapan tadi, ketentuan ini disahihkan lagi oleh faktor sejarah serta sikap dalaman bangsa itu sendiri.
Begitulah, suratan satu bangsa yang terpilih menerajui kemajmukan. Kepercayaan yang terus-terusan diberi oleh kaum-kaum lain sewajibnya menjadi perangsang agar orang-orang Melayu sentiasa memperbaiki diri dan terkedepan sebagai pemudah cara antara kaum.
Dalam pengertian lain, di arus kemodenan dan kerancakan globalisasi, soal hak, harga diri dan asal-usul tidak lagi membawa apa-apa makna jika bangsa kita mundur dan ketinggalan. Secara automatis, rasa hormat, rasa menaruh harap oleh pihak lain kepada kita juga akan luntur. Dek yang demikian, pada saat ini juga kita perlu bingkas bangun dan berlari deras bagi menggapai justifikasi peranan umat Melayu dengan penuh berhemah lagi profesional.
GERAK KERJA UMNO
Menjengah ke hadapan, sebermula Perhimpunan Agung Mac 2009, pelbagai rencana dan perancangan rapi serta strategi telah disusun. Jadinya, kita tidak boleh lagi berlengah-lengah dan membuang masa. Mengatasi semua perkara, tumpuan kita sekarang ini adalah terhadap gerak kerja parti. Gerak kerja UMNO sebagai sebuah parti siasah mesti berubah. Kendati begitu, UMNO harus kekal berpegang teguh kepada tujuan asalnya, sebagai sebuah parti Melayu massa yang mampu mengungkap aspirasi bangsa.
Laksamana Hang Tuah menyebut, ‘Takkan Melayu hilang di dunia.” Begitulah, bangsa Melayu terutamanya di rantau ini, telah menjelajah zaman dan menempuh rangkaian suka duka. Ketahuilah, tahun 2011 yang bakal menjelang bukanlah sembarangan. Ia menandakan genapnya tempoh lima ratus tahun, semenjak kejatuhan empayar Melayu Melaka. Di sini, kita harus mengambil pengajaran kenapa sebuah empayar begitu hebat di Kepulauan Melayu yang menjadi persinggahan perdagangan dua benua telah rebah dijajah Portugis.
Ironisnya, banyak pihak hanya menumpukan kepada runtuhnya empayar Melayu ini kerana pengkhianatan dari dalam. Ya, memang benar ini sebahagian sebabnya. Tetapi fakta yang tidak kurang penting untuk diambil iktibar ialah ehwal tentera kedua-dua pihak, masing-masing ternyata memperlengkap persenjataan peperangan untuk era yang berlainan.
Maksud saya, pihak Portugis menggunakan senjata yang moden untuk zamannya, dengan senapang dan meriam sedangkan pertahanan Melaka waktu itu masih menggunakan senjata yang sesuai dengan zaman yang telah berlalu. Walaupun keris, tombak dan lembing menjadi lambang kepahlawanan, namun ia ternyata tidak mampu menewaskan bedil dan meriam. Begitulah resam dan ketetapan, sunnah putaran alam.
Oleh yang demikian amatlah mustahaknya Melayu alaf ke-3, Melayu abad ke-21 dipersediakan untuk eranya. Dari begitu obsesi terhadap hak, sebaliknya Melayu abad ke-21 wajib mempersiap siagakan dirinya untuk memanfaatkan hak yang ada. Apa gunanya kuota, rizab dan permit jika segalanya dipersiakan. Apa gunanya peluang jika ia digadai demi keuntungan jangka pendek.
Lalu, Melayu abad ke-21 harus gigih membina keupayaan dan kemampuan, bukannya sekadar mendabik perabung-perabung dada bahawa mereka harus berjaya kerana ia adalah hak mereka untuk berjaya. Mahu tidak mahu, Melayu abad ini harus berdepan realiti untuk meraih kejayaan.
Kita harus menjadi Melayu yang glokal. Saudara dan saudari, saya ingin bertanya, apa kurangnya bangsa Melayu? Melayu... seharusnya mampu bersaing dengan yang terbaik. Melayu... seharusnya mampu bertarung dengan yang paling kuat. Melayu... mesti menjadi yang terhebat di pentas antarabangsa.
Justeru, saya sebagai Presiden UMNO... tidak mahu... menerima alasan bahawa anak Melayu masih lemah kesan penjajahan hampir lima kurun. Saya sebagai Presiden UMNO beserta rakan-rakan pimpinan dalam parti juga tidak rela... melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang meminta-minta, kita tidak mahu... melihat bangsa Melayu menjadi bangsa yang berpuas hati dengan momokan rezeki secupak tak kan jadi segantang.
Dengan tegas, saya ingin ingatkan semua bahawa, pertarungan hari ini adalah pertarungan minda dan kemahiran. Siapa yang berilmu, siapa yang menguasai maklumat, dialah kudrat yang mempengaruhi persekitaran. Oleh itu, janganlah kita mengambil jalan mudah dengan bersifat dogmatik dan berpuas hati dengan bentuk berbanding isinya.
Kepada semua pihak hendaklah menyedari, bukankah apa yang Malaysia capai selama lima puluh tiga tahun kemerdekaan adalah juga hasil usaha dan penerajuan bangsa Melayu? Lantas, kita menjadi lemas dan rimas dewasa ini, apabila kedengaran suara-suara sumbang yang cuba memperlecehkan pencapaian orang Melayu. Benar sekali, amat mudah bagi lidah tidak bertulang membuat nista. Mereka dengan suka-suka menuduh perkhidmatan awam sebagai lubuk ketidakcekapan.
Walhal, jika perkhidmatan awam negara tidak kompeten, sudah lama kita menjadi negara gagal, tidak mungkin pula akan berjaya berkembang sebegini dari negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian moden.
Terbukti lagi selama ini, kita telah berjaya tanpa perlu ada pangkalan tentera asing di bumi bertuah ini untuk memberi payung keselamatan. Kita juga berjaya... tanpa perlu keabsahan sebagai negara bangsa yang merdeka dan berdaulat dipertikaikan. Kita juga telah berjaya... bersama pelbagai kaum membina tanah air keramat ini.
Diperakui, kita ada kelemahan, namun kita tetap mampu pada setiap masa bangkit mengatasi cabaran kelemahan yang dihadapkan dengan kudrat, acuan dan cara kita sendiri tanpa bergantung kepada negara lain.
Mendepani segalanya, UMNO akan tetap menunaikan amanahnya untuk memartabatkan bangsa, agama dan negara. Kita melakukannya bukan sahaja semata-mata melalui kata puitis yang muluk-muluk bahkan dengan inisiatif, program dan dasar yang konkrit.
UMNO tidak sekali-kali akan membiarkan bangsa Melayu menjadi bangsa yang melukut ditepi gantang, bangsa yang menjadi dagang di negeri sendiri. Kita komited untuk melakukan bukan sahaja apa yang terbaik, tetapi apa yang betul demi untuk rumpun Melayu. Kita tidak mampu untuk tenggelam dalam keasyikan lampau. Nyatanya, kita bukan sahaja berhadapan dengan cabaran luar tetapi juga cabaran segelintir anak-anak bangsa yang nampaknya sanggup menggadai segala demi kuasa.
Sebagai pengajaran dari semua ini, orang UMNO tidak boleh hilang harapan atau bergundah gulana. Ajaran agama Islam juga sangat melarang kita berputus asa. Kita sebagai ahli parti dan orang UMNO tidak mampu untuk terumbang-ambing di kubang kecewa dalam kekalahan, malah kita juga tidak semudah-mudah nak membiarkan UMNO musnah.
Demi, membina masa depan, demi terus mendaya bangsa ini, kita harus melalui tiga fasa pemulihan. Fasa pertama dan terpenting adalah memperakui kelemahan dan masalah yang kita hadapi. Fasa kedua adalah untuk membuat muhasabah dan mencari penawar-penawar yang mustajab memperbaiki kekurangan-kekurangan itu. Fasa ketiga pula adalah memulakan gerak kerja. Apa yang penting, ketiga-tiga fasa ini wajib dilalui dengan penuh ketertiban. Jika tidak, rencana perubahan dan pembaharuan tidak akan berjaya.
PENUTUP
UMNO bukanlah sebarang parti, UMNO lahir daripada suara hati dan aspirasi orang Melayu. Menelusuri perjalanannya, UMNO telah dilanda rentetan dugaan yang besar. Tahun 1951, Presiden dan Pengasas UMNO telah meninggalkan parti. Kemudiannya, PAS telah ditubuhkan oleh salah seorang calon Presiden yang tewas kepada Almarhum Tunku dalam pertandingan menggantikan Dato’ Onn sebagai pemimpin baru UMNO.
Menjelang 1969, UMNO dan rakan-rakannya telah hilang buat kali pertama majoriti dua pertiga dalam Dewan Rakyat, sekali gus kita dihadapkan dengan rusuhan kaum dan demokrasi terpaksa digantung. Dunia ketika itu, sudah seperti melambai selamat tinggal kepada UMNO. Detik cemas 1987 pula menyaksikan parti berpecah dua dan negara menghadapi insiden ketegangan kaum.
Setahun kemudian, pada 1988, kita berasa amat pilu dan begitu bersedih hati, bagai kilat turun menyambar, bagai garuda datang menyerang, hilang sudah tempat berteduh, patah ranting tempat berpaut, dengan sungguh rasa berhiba-hiba dan pilu, kita terpaksa menerima keputusan dan berita, bahawa, parti UMNO yang sangat berjasa dan menggala baktinya ini telah diharamkan.
Selanjutnya, di akhir tahun 90-an, kita bukan sahaja menghadapi krisis kewangan antarabangsa, kita turut mengalami kemuraman politik apabila ramai orang Melayu telah tidak lagi memberi sokongan. Kita kemudiannya dilintangi oleh tsunami politik pada tahun 2008 yang amat mendebarkan.
Alhamdulillah, walau apa pun jua rintangan, walau apa pun jua dugaan, pada setiap yang terus berusaha, tabah dan bertawakal kepada Allah Yang Maha Kuasa, kemenangan pasti tiba. Syukur, dalam setiap krisis, UMNO telah berjaya bangkit kembali dan pulih dalam keadaan di mana segala faktor yang ada seolah-olah tidak langsung berpihak kepada kita.
Semuanya ini kerana ahli-ahli dan pemimpin UMNO terus berpijak di bumi nyata. Semuanya ini juga dimungkinkan kerana ahli-ahli dan pemimpin UMNO tidak pernah sedetik pun pudar keyakinannya terhadap perjuangan benar ini, tidak pernah pula sesaat pun luluh harapan kepada pucuk pimpinan. Pokoknya, pegangan mulia UMNO telah memanfaatkan bukan sahaja orang Melayu tetapi seluruh rakyat Malaysia.
Hakikatnya, kitalah parti politik pertama yang berani meluaskan medan pemilihan sehingga melibatkan 140,000 orang ahli. Sebelum kita meminda perlembagaan pun, kita terkenal dengan parti politik yang amat kompetitif pertandingannya.
Demikianlah murninya impian kita. Demikianlah tulusnya langkah keramat UMNO. Demikianlah menggunungnya harapan orang- orang Melayu.
Makanya, bolehkah kita percaya kemakmuran Malaysia akan terus terpelihara sekiranya parti-parti lawan yang kelam kabut, babrak dan goyah memegang tampuk kuasa? Bolehkah rakyat Malaysia meletakkan kepercayaan terhadap mereka ini yang saban waktu dan saban masa hanya mengidam menduduki pusat pemerintahan? Sanggupkah kita menyerahkan Malaysia tercinta ini kepada pengkhianat bangsa dan tanah air?
Sesungguhnya, kepada saudara dan saudarilah nasib parti kita dipertaruhkan. Dalam genggaman saudara dan saudarilah pembelaan UMNO kita dambakan. Di bahu saudara dan saudari sekelianlah, tergalas, warisan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu ini.
Ayuh...
Jangankan gerimis, hujan pun mari kita redahi..
Jangankan ribut, taufan pun mesti kita harungi..
Jangankan air bah, gelombang badai pun harus berani kita renangi..
Jangankan gerhana, kelam gelita pun pasti kita terangi..
Maka, kepada semua saya berpesan, kepada semua saya beri pedoman, janganlah kita terpalit damak beracun sandiwara lawan yang hanya menempah alam kegagalan. Berpasaklah kepada parti UMNO. Bertetaplah kepada panji-panji Barisan Nasional. Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan!
Demi Islam, Demi Melayu dan Demi Malaysia.
Bersamalah Mendaya Bangsa, Meneraju Kemakmuran.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Perhimpunan Agung UMNO kali ke-61, tahun 2010.