ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Wednesday, November 3, 2010

Sejarah bagaimana yang kita mahu?

Sejarah bagaimana yang kita mahu?
Oleh Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Utusan Online/4.11.2010

Selaku seorang akademia berbangsa Cina, saya amat sedih dengan pemikiran parti- parti politik seperti DAP, MCA dan Gerakan. Kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan amat menghiris hati iaitu mahu kerajaan mengkaji semula silibus sejarah yang akan diwajibkan ke atas pelajar sekolah rendah dan menengah tidak lama lagi.
Hujah mereka amat simplistik, sejarah yang sedia ada tidak mencerminkan sejarah sebenar. Sejarah sebenar mesti mempamerkan sumbangan dan kerjasama kaum. Pada mereka, sumbangan kaum bukan Melayu mesti dimasukkan dan dijadikan teras sejarah. Saya cuba elak menggunakan istilah ultra kiasu terhadap golongan ini, biarlah kita berbincang secara adik-beradik.
Saya tidak menafikan sejarah sumbangan bukan Melayu terhadap negara, tetapi perlu diingatkan bahawa sumbangan dan kerjasama kaum adalah sebahagian kecil sahaja dalam urutan sejarah Tanah Melayu dan Malaysia. Ada aspek lebih besar yang perlu ditonjolkan, seperti sejarah asal usul Tanah Melayu sebelum kedatangan imigran-imigran ke alam Melayu.
Sesiapa yang mengkaji dan faham sejarah Malaysia, ia mesti merangkumi asal-usul Tanah Melayu, zaman kegemilangan dan kejatuhan kesultanan Melayu, zaman penjajahan dan kemasukan imigran, kebangkitan nasionalisme Melayu, Malayan Union, Persekutuan Tanah Melayu, penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, kemerdekaan Tanah Melayu, sehinggalah membawa kepada penubuhan Malaysia.
Seterusnya, diikuti dengan dasar-dasar kerajaan selepas peristiwa 13 Mei 1969 sehinggalah hari ini. Kumpulan-kumpulan ekstrem ini asyik bercakap soal sumbangan bukan Melayu dan soal penentangan bukan Melayu terhadap Jepun 1942-1945. Sedangkan kita sedia maklum, sejarah penentangan terhadap Jepun penuh dengan kontroversi fakta dan dipertikaikan. Adakah benar orang Cina mempertahankan Tanah Melayu atau sekadar membalas dendam terhadap Jepun?
Berkali-kali saya telah nyatakan bahawa penentangan terhadap Jepun, tidak banyak kaitan dengan kemerdekaan, tetapi lebih kepada dendam kedua belah pihak yang telah mengalami perang sebelum ini. Sila rujuk sejarah Perang China-Jepun 1894-1895 dan 1937.
Jika benar orang bukan Melayu mahu memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu selepas pengunduran Jepun, kenapa Malayan Union yang cuba diperkenalkan British pada 1946, tidak ditentang? Kenapa hanya orang Melayu yang bangun menentang? Ini menunjukkan perjuangan menentang kemerdekaan amat diragui sebelum detik 31 Ogos 1957.
Pada saya, kita serahkan semua sejarah kita kepada ahli sejarah. Janganlah doktor perubatan dan ahli ekonomi memandai-mandai bercakap banyak dalam isu ini. Walhal ilmu sejarah mereka amat cetek, hanya berasaskan kepada pandangan dan laporan ibu bapa murid yang tidak puas hati dengan silibus yang sedia ada.
Mereka yang bukan berlatarbelakangkan sejarah, duduk diam-diam, tidak perlu berkokok keterlaluan. Bagaimana kita menghormati profesion orang lain, begitu juga orang lain mesti menghormati profesion kita, barulah itu dinamakan profesional. Janganlah terlalu bertindak ekstrem dalam hal ini. Banyak masa terbuang dan tidak banyak membawa faedah.
Pada saya, sejarah sistem kenegaraan sesebuah negara mesti diajar. Sama seperti negara China dan India yang mempunyai sejarah sistem kenegaraan sendiri. Begitu juga dengan sistem kenegaraan Melayu, mesti ada sejarahnya sendiri. Adakah silibus ini langsung tidak boleh disentuh atau dimasukkan sebagai teras sejarah negara ini? Sedangkan negara lain, silibus seperti ini yang menjadi asas. Negara Singapura sedang cuba dan telah pun memadamkan asas sebegini. Saya fikir MCA, DAP dan Gerakan, tidak perlu campur tangan dalam soal akademik. Biar orang akademik yang melakukannya. Orang politik, jaga saja kawasan dan kerusi masing-masing, serta tanggungjawab mereka terhadap rakyat.
Saya bukan bertujuan menjadi jaguh membela orang Melayu, sebab saya orang Cina. Tetapi saya suka berkata benar, sebab saya adalah seorang pengkaji.
Dalam konteks ini, Malaysia telah wujud hasil daripada cantuman tiga wilayah Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak kesultanan Melayu Melaka sebelum Melaka dijajah Portugis dalam tahun 1511. Perkataan "Negeri-Negeri Melayu Bersekutu" dan "Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu" dan "Persekutuan Tanah Melayu" masih wujud dalam undang-undang kita. Dengan lain- lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisme Melayu yang hidup subur dalam kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu.
Berdasarkan hakikat itulah, maka Perlembagaan Malaysia digubal (Firdaus Abdullah, 24 & 25 Jun 2009). Sejarah sistem kenegaraan Melayu adalah akar umbi kepada sejarah negara ini. Bermula dengan perkataan "Melayu" atau "Tanah Melayu" itu sendiri yang bermaksud wilayah dan kepulauan di rantau ini. Nama-nama ini terkenal di kalangan negeri-negeri China, India dan Barat seperti Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur (inskripsi Tanjore-Sanskrit di India), Ma-Li-Yu-R (Yuan Shih/Cina), Mailiur (Siam) dan Malayo (Albuquerque/ Portugis) (R. Suntharalingam dan Abdul Rahman Haji Ismail, 1985: 85).
Hujah ini menunjukkan bahawa dari abad ke-6 hingga ke-10, perkataan Melayu adalah nama tempat dan bukannya nama khusus bagi rumpun bangsa. Hanya pada abad ke-11, barulah perkataan Melayu mulai dipakai bagi menamakan rumpun bangsa. Ringkasnya, istilah-istilah Tanah Melayu, Melayu dan Malaysia serta Malaya jelas merujuk kepada negeri-negeri Melayu atau Tanah Melayu atau Land of the Malays. Fakta ini menunjukkan bahawa Tanah Melayu (Malaysia) adalah kepunyaan satu bangsa yang bernama Melayu (Suntharalingam dan Abdul Rahman Haji Ismail, 1985).
Namun, kedatangan penjajah British telah merubah landskap politik Tanah Melayu. Tanah Melayu yang dahulunya dihuni oleh orang Melayu di Kepulauan Melayu telah menjadi sebuah negara berbilang bangsa.
Tunku Abdul Rahman pernah berkata pada tahun 1953, orang Cina melalui MCA telah menerima dan mengiktiraf negara ini sebagai negara Melayu dan segala hak kepada orang Melayu tidak boleh dipersoalkan lagi. Tujuan Tunku meletakkan syarat ini adalah untuk menarik kesedaran pihak MCA tentang taraf orang Melayu yang sebenar, sambil menguji tentang kejujuran pemimpin-pemimpin MCA dalam perhubungannya dengan UMNO.
Akhirnya pihak MCA telah menerima dan mengakui hakikat itu serta bersetuju rundingan tersebut berjalan atas dasar yang telah ditetapkan (Mansor et al, 2006). Hujah ini diperkukuhkan lagi oleh Chandra Muzaffar dengan menyatakan, sebuah negara berbilang kaum yang wujud daripada konsep Malay polity atau sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan Persekutuan pada 1957 memberikan kewarganegaraan secara terbuka kepada mereka yang berhak tanpa mengira latar belakang.
Keterbukaan itu harus difahami oleh semua pihak kerana melalui proses akomodasi para pemimpin pada masa itu, lebih sejuta orang bukan Melayu, sebahagian besarnya imigran, diterima secara automatik sebagai warganegara dan diberikan jus soli. Ini sesuatu yang luar biasa.
Melalui proses kewarganegaraan yang dikatakan sebagai stroke of a pen ini, demografi negara berubah serta-merta. Hampir 40 peratus daripada warganegaranya ialah orang bukan Melayu. Sebuah negara Melayu tiba-tiba menjadi masyarakat berbilang kaum. Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah. Nasionalisme bangsa Filipina dan Vietnam melahirkan negara Filipina dan Vietnam tetapi nasionalisme Melayu yang diperjuangkan lama sebelum kemunculan UMNO sebaliknya tidak melahirkan sebuah negara Melayu. Inilah sifat negara ini yang harus kita fahami - berbilang kaum tetapi berakar umbi dalam sistem kenegaraan Melayu.
Perlu juga difahami bahawa Malaysia juga tidak sama dengan negara-negara lain yang menjadi berbilang kaum kerana tekanan kolonialisme. Ini kerana polity Melayu itu jauh lebih kukuh sebagai sistem kenegaraan. Kerajaan Melayu Melaka dan selepas itu Johor diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ciri-ciri polity itu diterima sebagai ciri-ciri sebuah negara dan sistem pemerintahan. Ini adalah sebahagian daripada ingatan kolektif masyarakat Melayu. Perkara ini tidak difahami bukan saja oleh ahli-ahli politik, malah sebahagian besar cendekiawan serta mereka yang boleh mempengaruhi pandangan umum termasuk media.
Itu sebabnya dari semasa ke semasa timbul isu-isu yang menjadi kontroversi menyentuh soal bahasa, agama dan sistem pendidikan. Ini kerana tidak ada kefahaman tentang latar belakang sejarah dan polity Melayu dan pengaruhnya terhadap sistem kenegaraan Melayu. Malangnya, tidak ada usaha di kalangan pemimpin masyarakat untuk memahami perkara ini, bahawa kita masyarakat berbilang kaum yang berakar umbi dalam polity Melayu.
Menurut Chandra lagi, Malaysia lebih mudah untuk menghadapi cabaran-cabaran dalam konteks masyarakat berbilang kaum sekiranya memahami sejarah ini. Jika ada yang menafikannya, sengaja tidak mahu memahami, sukar untuk menjalinkan hubungan kaum yang harmonis. Oleh kerana wujudnya polity Melayu dalam sejarah, maka bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, agama Islam sebagai agama rasmi dan raja-raja menjadi ketua negeri dan negara. Sejarah sebegini perlu difahami.
Oleh kerana adanya polity Melayu dan sebahagian besar masyarakat Melayu dan pribumi begitu miskin dan mundur pada 1957, dan dalam keadaan begitu, kewarganegaraan dianugerahkan dengan begitu liberal, masyarakat Melayu dan pribumi itu memerlukan perlindungan. Itu adalah tuntutan yang sah dalam konteks pembentukan negara. Perlindungan yang dipersetujui itu adalah untuk memperbaiki kedudukan masyarakat Melayu dari segi sosioekonomi.
Semua pandangan ini menunjukkan bahawa Malaysia tidak dapat lari daripada sistem kenegaraan Melayu. Justeru, tidak hairanlah bagi mereka yang memahami sejarah akan menghormati bukti-bukti dan seterusnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan lunak, berhikmah dan begitu bertoleransi.
Jika benar-benar kita ikhlas dalam memahamkan sejarah, jauhkan penglibatan orang politik, biarkan ilmuan dan ahli akademik yang berhujah dan menulis fakta. Keadaan hari ini menjadi kelam kabut kerana kita terlalu banyak berpolitik.
Setiap parti politik mahu menjadi jaguh bangsa, bukannya mahu berkata benar walaupun pahit.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia