ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Tuesday, April 21, 2009

``UTUSAN , SASTERA DAN SASTERAWAN’’


``UTUSAN , SASTERA DAN SASTERAWAN’’

Pembentang: Ku Seman Ku Hussain
(Penolong Editor Mingguan Malaysia)



Pendahuluan:
Saya sebenarnya tidak tahu apakah relevannya saya berada di depan saudara-saudara dalam majlis sastera seperti ini. Saya bukanlah aktivis sastera, bukan sasterawan atau bukan orang yang pernah menghasilkan karya-karya sastera. Saudara-saudara adalah orang yang berada ``di tengah padang’’ dan saudara-saudara adalah ``players’’ atau pemain yang mahir liuk lintuk dunia kesusasteraan. Katakan siapa lagi yang berhak mengaku menghidupkan, memasyarakatkan atau menyambung lidah sasterawan terdahulu? Kalau bukan saudara-saudara, siapa lagi?

Bukan saya sebenarnya yang menghidupkan dan menyemarakkan dunia kesusasteraan tanah air kita ini. Maka saya tertanya-tanya apakah yang sewajarnya saya perkatakan kepada pemain-pemain yang berada ``di tengah padang’’ ? Saya hanya orang di persisir yang tidak terlibat secara langsung. Tapi kerana saya diberi peluang untuk berdiri di depan saudara-saudara , saya cuba meletakkan diri dan posisi saya supaya ada relevan dengan majlis kesusasteraan ini.

Penganjur meminta saya bercakap perkara yang sesuai dengan posisi saya di akhbar saya Mingguan Malaysia, berkaitan dengan karya-karya sastera yang dipilih untuk disiarkan. Saya bukanlah Editor Sastera di Mingguan Malaysia. Jawatan Editor Sastera di Utusan telah ditiadakan sejak dua tahun lalu. Saya adalah Penolong pengarang Mingguan Malaysia. Cuma antara tugas saya ialah memilih karya-karya (cerpen , puisi dan esei) yang sesuai untuk disiarkan di Mingguan Malaysia.

Saya fikir adalah sedikit relevannya saya apabila diminta bercakap mengenai kriteria pemilihan karya-karya. Malah saya juga ada beberapa perkara yang mahu dipanjangkan kepada saudara-saudara. Kumpulan Utusan sebenarnya sangat signifikan dengan kesusasteraan. Ini bukan saja kerana penganjuran Hadiah Sastera Kumpulan Utusan yang akan masuk tahun ke 20 tahun depan.

Itu hanya salah satu. Yang lebih penting penyiaran hasil karya sastera sejak zaman awal yang berteraskan perjuangan kemerdekaan atau nasionalisme. Di Utusan, perjuangan ini didukung oleh golongan wartawan dan sasterawan. Akhbar Utusan Melayu yang ditubuhkan pada tahun 1939 didukung oleh golongan ini; wartawan dan sasterawan. Mereka menjadi wartawan dan pada masa yang sama menjadi sasterawan.

Nama-nama besar yang signifikan dengan perjuangan menuntut kemerdekaan antaranya Allahyarham Datuk Ishak Mohamad (Pak Sako), Allahyarham Datuk Usman Awang atau dikenali dengan nama Tongkat Warrant, Datuk A. Samad Said dan Tan Sri Samad Ismail. Memang benar antara kewartawanan dan kesusasteraan adalah dunia yang berbeza.

Wartawan bertolak daripada fakta sementara sasterawan bertolak daripada imaginasi kreatif. Tetapi kedua-dua bidang ini telah memberikan sumbangan yang besar kepada bangsa dan negara. Sasterawan dan wartawan meniupkan semangat perjuangan di kalangan rakyat.


Utusan wadah berkarya:

Sekali lagi saya bagi pihak Kumpulan Utusan mengucapkan terima kasih kepada saudara-saudara kerana mengisi halaman sastera yang diwujudkan di penerbitan Kumpulan Utusan. Tanpa komitmen, kesungguhan dan tidak rasa bosan saudara-saudara, sudah pasti saya ketandusan karya sastera untuk dimuatkan.

Saudara berhak untuk merasa bosan atau marah apabila karya-karya saudara tidak mendapat tempat. Saya tidak dapat membayangkan kalau saudara-saudara yang ada di sini bosan dan tidak mahu manulis lagi. Siapa yang akan melangsungkan tradisi Kumpulan Utusan sebagai syarikat akhbar yang turut sama membuka laluan kepada golongan sasterawan.

Sebenarnya berbanding karya-karya yang diterima saban hari, peluang pada relatifnya kecil. Di Mingguan Malaysia misalnya hanya memerlukan empat cerpen sebulan dan enam puisi seminggu. Untuk setahun, paling banyak 52 cerpen dan 120 puisi mendapat tempat.

Di Utusan Melayu Mingguan (Jawi) memerlukan hanya 52 cerpen setahun. Majalah URTV 100 cerpen dan lebih kurang 72 puisi setahun. Majalah Wanita 12 cerpen setahun. Untuk semua penerbitan Kumpulan Utusan lebih kurang 215 cerpen saja yang mendapat tempat. Bayangkan untuk Mingguan Malaysia saja saya menerima tidak kurang lima cerpen seminggu. Perangkaan ini barangkali boleh mengecewakan saudara-saudara. Tapi itulah kenyataannya yang saya dan saudara-saudara terpaksa terima.

Maka apabila karya-karya tidak disiarkan, tidak kiralah di penerbitan mana sekali pun, ia sama sekali bukan semata-mata kerana mutu karya saudara yang tidak mencapai tahap. Kerana itu jangan sama sekali merasa kecewa dan menganggap karya yang tidak disiarkan sebagai sub standard bagi editor yang membuat pemilihan. Memanglah dalam jumlah yang banyak itu, banyak juga yang sub standard dan tidak layak disiarkan. Ini bukanlah kenyataan yang luar biasa.

Penting juga saudara tahu di mana karya saudara hendak dihantar? Setiap penerbitan mempunyai kriteria tidak rasmi yang berbeza. Ini bukanlah garis panduan. Sebaliknya semuanya bertolak daripada siapakah khalayak penerbitan berkenaan. Ini juga ada kaitan dengan consumer cultural atau budaya kepenggunaan.

Pengguna Mingguan Malaysia tentu saja berbeza dengan majalah URTV yang berorientasi hiburan dan khalayaknya remaja. Ini bukan kerana karya yang baik atau tidak baik. Tapi yang sesuai dan tidak sesuai. Pengguna (pembaca) Mingguan Malaysia pula tentu berbeza dengan Dewan Sastera. Saya dan juga saudara wajar realistik dengan keadaan ini. Saya kena kenal siapa pembaca akhbar saya. Saudara juga kena kenal siapa khalayak saudara.


Karya bagaimana di Mingguan Malaysia:

Saya ingin memetik tulisan Datuk Johan Jaaffar (bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan) yang berbunyi;

``Cerpen yang saya tulis tidak berjudul Feminis, Tun Sri Tamlekha, Istidroj atau Penghulu Bulan. Judul yang saya berikan ialah Tiga Sahabat yang tentunya berbunyi konvensional, biasa dan tidak kontemporari. ‘’

``Cerpen-cerpen ini (Warkah Dari Kampung, Laluba Street Tokyo atau Di Sebuah Stesen Di Suatu Senja) saya akui tidaklah bertaraf Hadiah Sastera. Tapi cerpen-cerpen ini dekat dengan saya dan saya menganggap suara rasa kesenimanan saya yang sebenar. Penulis kalau tidak jujur pada dirinya, tidak seharusnya mendakwa dirinya penulis.’’

Datuk Johan menghantar secara pos cerpen Tiga Sahabat ke Mingguan Malaysia tahun 1996. Setahun kemudian Datuk Johan menulis catatan di atas selepas cerpen itu tidak disiarkan di Mingguan Malaysia yang beliau menjadi Ketua Pengarangnya.

Tulisan beliau sangat menyedarkan saya. Biar pun waktu itu saya tidak ada kena mengena dengan pemilihan cerpen di Mingguan Malaysia, tapi ia semacam satu panduan tentang siapakah khalayak Mingguan Malaysia. Apabila dua tahun lalu saya dipertanggungjawab untuk memilih karya, saya cuba memasyarakatkan cerpen Mingguan Malaysia. Saya cuba menjadikan cerpen Mingguan Malaysia dibaca oleh sejuta pembaca, kalau pun tidak tiga juta yang membaca Mingguan Malaysia.

Saya sama sekali tidak menolak bahawa genre cerpen yang khabarnya bermula sejak 30-an di negara ini telah melalui pelbagai proses perubahan. Tentulah cerpen zaman Rahim Kajai, Pak Sako atau A. Samad Ahmad berbeza dengan zaman ini.

Cerpen harus berkembang walau dalam apa bentuk dan kecenderungannya. Tapi jangan lupa bahawa cerpen juga harus relevan sekurang-kurangnya bagi penulis dan masyarakat yang menghasilkannya. Bukankah cerpen itu cerminan masyarakatnya?

Maka kelihatan cerpen-cerpen di Mingguan Malaysia tidak sekontemporari sebelumnya. Lebih konvensional dan tidak terlalu berselirat dengan falsafah seperti cerpen di Dewan Sastera. Ada yang berkata selera saya ketinggalan zaman apabila menyiarkan cerpen-cerpen yang senada dengan Tiga Sahabat karya Datuk Johan.

Barangkali juga ada kalangan saudara yang kurang selesa dengan pendekatan saya. Tapi saya percaya saudara menulis cerpen untuk dibaca. Selepas dibaca difahami kemudian pembaca dapat menangkap pemikiran saudara yang dituangkan dalam cerpen berkenaan. Inilah yang mendukung dan menjadi tunjang karya-karya saudara.

Ada penulis bertanya kepada saya adakah Mingguan Malaysia tidak menerima cerpen-cerpen kabur atau absurd? Saya berkata kepada penulis berkenaan kabur atau tidak bukan masalah bagi saya. Sama ada cerpen yang eksperimental atau konvensional, saya tetap percaya kepada seni bercerita. Buatlah eksperimental yang melanggar semua hukum hakam cerpen konvensional asalkan ada seni bercerita.

Tapi wajar diingat, menjadi sasterawan escapist tidak banyak faedahnya kepada masyarakat. Menjadi sasterawan sinis dan defeatist juga tidak menguntungkan diri sendiri. Ini kerana sastera hanya boleh difahami oleh segelintir khalayak akan menjadikan sastera itu elitis dan tanpa tunjang.

Selebihnya masalah saya adalah cerpen eksperimental yang sebenar-benarnya eksperimen. Baru cuba-cuba. Ada sesetengah cerpen yang sampai ke tangan saya sangat eksperimental tapi saya dapat mengagak bahawa penulis itu tidak terlebih dahulu menguasai seni bercerita konvensional.

Kesukaran memahami bukanlah ukuran tinggi atau rendahnya sesebuah karya eksperimental. Kalau saya menyiarkan juga karya begini, bukanlah bermakna saya orang yang berselera tinggi.

Nasihat saya yang dianggap berselera rendah ini, kalau mahu terlalu eksperimental saudara boleh memilih penerbitan yang mempunyai khalayak sastera yang khusus. Maknanya mereka yang mengeluarkan duit membeli penerbitan berkenaan memang telah menyiapkan minda untuk dicabar atau dikacau dengan karya-karya di luar daripada biasa. Tetapi untuk khalayak Mingguan Malaysia mungkin juga Berita Minggu, cerpen demikian adalah tidak adil kepada majoriti khalayak yang mungkin baru berjinak-jinak mahu menikmati karya sastera.

Suatu yang tidak kurang menganggu saya adalah karya sastera yang bertema musim tertentu. Kalau hampir ulang tahun kemerdekaan negara, bertimbunlah cerpen dan puisi mengenai kemerdekaan. Pendekatannya sangat retorik dan klise. Bagi saya kalau tema kemerdekaan tidak ada salahnya tapi biarlah diolah supaya tidak menjadi esei kemerdekaan. Kalau hampir hari raya, banyaklah cerpen yang kisahnya hari raya. Tulislah karya yang sesuai dan tidak ada sempadan masa tertentu.

Semasa meletusnya perang Amerika Syarikat (AS) ke atas Iraq, saya banyak menerima cerpen dan puisi mengenai peperangan di Iraq. Sememangnya isu perang wajar membenihkan karya. Apa lagi konflik kemanusiaanmnya yang sangat kompleks. Malangnya tidak banyak yang menggembirakan saya. Isi karya sangat stereotaip. Marahnya kepada AS berapi-api tapi selebihnya saya tidak menemui apa-apa. Kalau saudara mengulangi apa yang ditulis dalam artikel atau analisis, untuk apa saya membaca karya-karya saudara sebagai karya kreatif?

Saya juga menjadi keliru dengan cerpen-cerpen bertemakan Islam. Asal saja tema Islam, latarnya pasti di Asia Barat. Perkembangan ini semakin menjadi-jadi. Apakah Islam hanya di Asia Barat? Apakah cerpen yang ada nilai keislamannya mesti ada nama-nama Arab atau istilah-istilah Arab? Betulkan kalau saya tersalah. Apakah untuk menceritakan tentang Islam, kita tidak boleh mengambil latar yang dekat dengan kita? Apakah sebenarnya kita masih dalam kepompong dan mengajak khalayak sependapat dengan kita?


Saudara-saudara yang saya hormati.
Sebenarnya semua ini terletak di tangan saudara. Kalau saudara tidak mengubahnya, siapa lagi? Kalau saudara tidak mengajak khalayak melihat hidup dari galur-galur yang wajar, siapa lagi?

Karya sastera penting kepada pembinaan manusia. Sekali pun kita sudah mencapai kemerdekaan tetapi ini tidak bermakna kita tidak memerlukan lagi karya sastera. Tamadun kesusasteraan perlu terus dimantapkan dengan karya-karya yang bukan saja menongkah zaman.

Tetapi yang lebih penting dapat dimanfaatkan sebagai wadah yang menjulang nilai manusia. Kata orang bijak pandai, kalau mahu mengenali sesuatu bangsa, hayatilah karya-karya sastera mereka. Dengan sastera kita boleh melihat tinggi atau rendahnya tamadun sesuatu bangsa. Inilah tanggungjawab saudara-saudara yang ada di sini.

Sastera menjadi medium perjuangan nasionalisme dan sastera banyak menyumbang kepada perjuangan kita menuntut kemerdekaan. Dalam Anugerah Pulitzer yang diadakan tahun lalu misalnya , novel fiksyen The Know World karya Edward P. Jones telah dipilih memenangi anugerah berprestij itu. Sebuah lagi adalah karya non fiksyen Gulag: The History yang ditulis oleh Anne Applebaum.

Apabila bercakap mengenai sumbangan sasterawan dan karya kesusasteraan, saya melihat Anugerah Pulitzer tahun lalu suatu yang ada signifikan. Saya menyarankan supaya saudara juga melihat dan menghayati karya kesusasteraan dalam konteks yang lebih luas.

Saya sarankan kepada saudara-saudara mengambil iktibar daripada sasterawan besar dunia, Ernest Miller Hemingway. Beliau pernah memenangi Hadiah Nobel kategori sastera pada tahun 1954. Kawan saya pernah berkata, kalau mahu menjadi penulis yang hebat, ambillah Hemingway sebagai idola. Kita mungkin akan mengalami kegagalan tetapi tidak mengalami kekecewaan.

Antara novel Hemingway yang terkenal ialah Old Man and the Sea. Novel ini pernah memenangi Anugerah Pulitzer 1953. Tetapi banyak yang tidak tahu cabaran dan kegagalan sebelum beliau jadi terkenal. Semasa kanak-kanak Hemingway dalam markah D dalam pelajaran bahasa.

Sebabnya tulisan Hemingway terlalu buruk hingga gurunya tidak dapat membaca. Hingga dewasa tulisan tangannya buruk. Ada kalanya menghabiskan tujuh batang pensel sehari.

Sebelum kejayaan besar Old Man and the Sea, Hemingway pernah gagal dengan novelnya Across the River and into the Trees. Tetapi kejayaan dalam kesusasteraan bukan secara mutlaknya diukur pada kemenangan, kelarisan jualan dan populariti. Kejayaan sesebuah karya sastera akan kembali kepada sejauh mana ia mampu dimanfaatkan dan mampu mengubah sikap khalayak. Akhir sekali sama ada pupus atau tidaknya sastera Malaysia, saudara-saudaralah yang menentukan.
(Kertas kerja ini dibentangkan di Bengkel Kreatif dan Diskriptif
di Kota Bharu, Kelantan pada 30 Julai 2005)