ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Thursday, April 16, 2009

Najib warisi kecemerlangan kepemimpinan Tun Razak


Najib warisi kecemerlangan kepemimpinan Tun Razak
Oleh Jami'ah Shukri
jamia@bharian.com.my
Berita Harian/16.4.2009

PERDANA Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein seorang pemimpin yang sangat komited dengan kerja untuk membangunkan bangsanya tanpa mengira siang dan malam. Beliau meredah seluruh pelusuk kampung untuk melihat sendiri kehidupan rakyat sebelum membuat pelbagai perancangan bagi memperbaiki kehidupan mereka.

"Tun bekerja sepanjang masa, dari pagi hingga ke malam, tidur pun apabila sudah lewat pagi," kata bekas Pegawai Pengiringnya (ADC), Datuk Mohd Nordin Idris.

Sikap prihatin terhadap masalah rakyat jelas pada diri anak sulung Allahyarham, Datuk Seri Najib Razak, yang baru mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri keenam.
"Ini terbukti apabila Najib membuat lawatan mengejut ke kawasan Brickfields, Jalan Petaling dan Kerinchi sebaik saja dilantik sebagai Perdana Menteri," katanya pada forum 'Hubungan Kekeluargaan dan Sahabat Era Tun Abdul Razak,' di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan di Kuala Lumpur, kelmarin.

Katanya, daya kepemimpinan, semangat serta perjuangan yang mengalir dalam darah dan nadi Tun Razak memimpin negara ke arah kecemerlangan pemerintahannya memberikan aura kepada pemimpin selepasnya untuk mengangkat martabat agama, bangsa dan tanah air.

Beliau berkata, dasar yang dilaksanakan pada zaman kepemimpinan Bapa Pembangunan itu dianggap luar biasa dalam segenap segi untuk memastikan kestabilan politik, ekonomi, sosial, budaya dan perpaduan kaum terus terpelihara.
Dengan kebijaksanaannya, isu paling kritikal seperti peristiwa 13 Mei 1969 yang mengundang pertelingkahan kaum serta tercatat dalam sejarah hitam negara juga berjaya dikendurkan dengan penyelesaian bentuk baru.

Justeru, semua sumbangannya bukan saja perlu dihayati, malah disemarakkan supaya generasi sekarang tahu untuk menilai dasar yang dilaksanakan pada zamannya.

Tun Razak juga seorang pemimpin yang dapat menyatupadukan perpaduan di bawah Barisan Nasional (BN), Dasar Ekonomi Baru (DEB) dibentuk untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat tanpa mengira bangsa, memperkasakan dasar luar dan hubungan antarabangsa, menubuhkan Felda, Felcra, UDA, Tabung Haji dan lain-lain.

Mohd Nordin mengakui Tun Razak adalah negarawan terulung, 'versatile' dan begitu disenangi rakyat pelbagai kaum selain amat berpengalaman serta berpengetahuan luas dan mengetahui segala-galanya sehingga disegani, digeruni dan dihormati.
"Apa saja yang berlaku pada peringkat bawah dia tahu dan membuat sesuatu keputusan dengan pantas. Jika seseorang datang kepadanya menceritakan sesuatu masalah dan belum habis bercakap, Tun Razak sudah tahu punca dan terus membuat keputusan dengan segera," katanya.

Beliau berkata, Tun Razak yang sentiasa menggunakan tongkat dan songkok yang kebanyakannya dihadiahkan orang kampung dan menjadi imejnya, ketika melakukan lawatan ke luar bandar adalah pemimpin tegas serta kuat bekerja.

"Saya percaya beliau terlalu menghargai pemberian orang kampung yang memberikannya tongkat, antaranya diperbuat daripada kayu dan rotan."

Mohd Nordin berkata, Tun Razak dan isterinya Tun Rahah Mohd Noah adalah orang yang baik, lembut, penyayang dan begitu mengambil berat kebajikan, pendidikan serta pergaulan anak-anak mereka. Tidak ada kuasa luar biasa digunakan dalam mendidik anak-anak selain ketegasan dan hasilnya anak-anak mereka berjaya dalam bidang masing-masing termasuk Najib yang sekarang mengikut jejak bapanya, sebagai Perdana Menteri.

Sementara itu, bekas Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin yang menyampaikan ceramah mengenai 'Dasar dan Pemikiran, Tun Abdul Razak dalam Politik dan Hubungan Antarabangsa' berkata, zaman kepemimpinannya penuh dengan warna-warni termasuk peristiwa 13 Mei.

Malah, katanya, banyak perkara yang berlaku memberi ruang anjakan paradigma serta membuka peluang kepada Tun Razak secara bijaksana mengambil alih pemerintahan negara dan mengemukakan strategi dan pelan pembangunan hala tuju negara dengan melakukan suntikan terhadap nasionalisme ekonomi.

Zainuddin yang juga bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Malaysia, turut sependapat dengan Mohd Nordin, gaya kepemimpinan Tun Razak amat terserlah dan mempunyai aura tersendiri sehingga ia digeruni oleh pelbagai pihak.

"Tun Razak mempunyai pendekatan dalam mengatasi krisis 13 Mei, selain mengambil langkah drastik untuk memberi keyakinan kepada rakyat terhadap isu itu yang menimbulkan kegelisahan kepada semua pihak dan memastikan supaya tidak berulang," katanya.

Katanya, sumbangan paling ketara Tun Razak, adalah memartabatkan kedudukan orang Melayu dalam pelbagai bidang ekonomi, pendidikan dan pekerjaan hingga memberi impak yang besar sehingga sekarang.

Sebagai contoh dalam bidang pelajaran, Tun Razak memberi penekanan untuk memperbanyakkan pelajar Melayu di institusi pengajian tinggi supaya lebih seimbang dengan bangsa lain.

Justeru, pada 1970, Tun Razak mengarahkan supaya diwujudkan keseimbangan terhadap kemasukan pelajar luar bandar ke Universiti Malaya (UM) dan Maktab Teknik.

Jika dilihat dari segi statistik, pada tahun sama, bilangan siswazah Melayu dalam Fakulti Sains hanya 20 daripada 493 orang; hanya seorang daripada tujuh di Fakulti Kejuruteraan; 15 daripada 140 di Fakulti Pertanian dan empat daripada 60 pelajar di Fakulti Perubatan.

Tun Razak juga mengarahkan penubuhan Pusat Bina Negara, Dusun Tua bertujuan mengambil pelajar sekolah menengah Melayu yang tidak mendapat pekerjaan dan tidak berkeupayaan dalam bahasa Inggeris untuk mendapat latihan kemahiran dalam pelbagai bidang.

Pada 1971, Tun Razak mengarahkan supaya pengambilan pelajar Melayu di Maktab Teknik Jalan Gurney ditambah daripada 57 peratus kepada 91 peratus dan itu dianggap sebagai drastik sehingga mendatangkan kesan cukup besar ke atas kejayaan Melayu.

"Ini adalah tindakan yang dianggap dinamik, progresif, inovatif dan radikal apabila Tun Razak mengambil alih pemerintahan negara untuk menyeimbangkan kedudukan orang Melayu di negara ini dalam bidang pelajaran," katanya.

Dari kaca mata seorang wartawan, Zainuddin berkata, Tun Razak digeruni oleh pelbagai pihak termasuk kalangan wartawan.

"Kalangan wartawan perlu mengikuti enam atau tujuh program lawatan sehari yang dilakukan Tun Razak hingga ada kalanya tidak terkejar. Tetapi ucapannya sentiasa konsisten di setiap kawasan dilawati. Karektor berbeza jika dibandingkan dengan Tuanku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri pertama.

"Kalangan wartawan sentiasa bertolak-tolak untuk menemuramah, selain terpaksa berdepan dengan kawalan ketat daripada pegawainya. Walaupun Tun Razak seorang pemimpin yang mudah didekati, kami tetap berasa gerun dan tidak begitu berani," katanya.

Di samping itu, langkah memartabatkan Melayu juga dilakukan ke atas media pada zaman itu termasuk menyusun semula akhbar The New Straits Times (NST) secara drastik untuk jabatan editorial dipimpin orang Melayu.

Oleh itu, Tun Razak melantik Tan Sri Samad Ismail (Pak Samad) sebagai Ketua Pengarang NST bagi mengurangkan dominasi pegawai dagang yang memimpin akhbar berkenaan ketika itu.