ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Saturday, May 30, 2009

Realiti, sejarah teras 1 Malaysia

Realiti, sejarah teras 1 Malaysia
Oleh ARMIZAN MOHD ALI
Mingguan Malaysia – 31 Mei 2009
Banyak pendapat telah dimajukan oleh pelbagai pihak tentang konsep 1 Malaysia yang telah perkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Abdul Razak apabila beliau mengambil alih teraju kepimpinan kerajaan pada 3 April yang lalu.
Matlamat konsep 1 Malaysia ini adalah murni iaitu bagi memupuk dan mengukuhkan perpaduan nasional satu matlamat yang telah menjadi keutamaan setiap Perdana Menteri Malaysia semenjak Almarhum Tunku Abdul Rahman lagi. Pemupukan dan pengukuhan perpaduan ini menjadi keutamaan kepada mereka kerana mereka sedar tanpa usaha tersebut mana mungkin Malaysia yang bersifat pelbagai kaum akan mampu mengekalkan kelangsungannya sebagai sebuah negara yang aman dan makmur. Hari ini misi dan visi mulia ini diteruskan pula oleh Najib.
Walaupun matlamatnya adalah murni namun ada pihak berkepentingan yang cuba memutarbelitkan hasrat beliau dengan menyamakan konsep ini dengan konsep Malaysian Malaysia atau Malaysia untuk orang Malaysia konsep yang menjadi teras perjuangan DAP. Penyamaan ini telah menimbulkan kegusaran kepada orang Melayu/bumiputera kerana ia satu konsep yang amat sensitif kepada mereka. Sensitiviti terhadap konsep ini terbentuk kerana walaupun konsep Malaysia untuk orang Malaysia ini berbunyi muluk dan bersifat halwa telinga kepada pendengarnya namun ia tidak berpijak di bumi nyata kerana gagal mengambil kira faktor sejarah dan realiti tempatan. Teras asas konsep ini ialah penolakan kepada sebarang bentuk tindakan afirmatif dan pelaksanaan prinsip meritokrasi sepenuhnya di dalam dasar-dasar negara terutamanya dasar sosioekonomi. Di dalam konteks Malaysia ketiadaan tindakan afirmatif dan pelaksanaan meritokrasi yang tidak mengambil kira realiti ketidakseimbangan sosioekonomi antara kaum akan hanya menghasilkan ketidakadilan serta ketidaksaksamaan yang akhirnya akan mengakibatkan diskriminasi minoriti ke atas majoriti.
Konsep 1 Malaysia berbeza dari Malaysian Malaysia kerana konsep ini bertunjangkan kepada realiti tempatan dan sejarah negara. Memahami dan menghayati sejarah amat penting kerana seperti mana kata seorang Ahli Falsafah Amerika berketurunan Sepanyol George Santayana, "Mereka yang tidak belajar dari sejarah akan disumpah mengulanginya". Jika kita mengikuti ucapan Najib semasa merasmikan Sambutan Minggu Perpaduan 2009 Peringkat Kebangsaan baru-baru ini kita akan mendapati beliau sebenarnya telah pun membezakan antara kedua-dua konsep ini apabila memperincikan tiga teras utama konsep 1 Malaysia iaitu penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial.
Teras pertama 1 Malaysia yang beliau nyatakan ialah mengubah asas perhubungan kaum di Malaysia dari konsep toleransi kepada konsep penerimaan. Transformasi dari toleransi kepada penerimaan ini amat penting kerana untuk Malaysia mencapai kemakmuran dan keharmonian ia memerlukan iltizam rakyat Malaysia dari pelbagai kaum. Ini termasuklah bagi merealisasikan matlamat untuk menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi serta bebas kemiskinan.
Untuk negara terus berada di hadapan keluk kejayaan semua rakyat Malaysia perlu terus membina di atas persamaan yang ada dan pada masa yang sama berlapang dada menerima perbezaan yang wujud di antara satu sama lain tanpa bersikap menghakimi atau menilai. Kita perlu meraikan perbezaan yang wujud sebagai sumber kekuatan bukannya terperangkap dengan polemik yang berpunca dari perkara titik bengik sehingga melupakan matlamat besar bersama.
Gundah-gulana
Teras kedua 1 Malaysia ialah kenegaraan yang bertunjangkan prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara. Perlembagaan Persekutuan adalah merupakan undang-undang tertinggi negara manakala lima prinsip Rukun Negara bertindak sebagai ideologi kebangsaan adalah asas yang terbaik untuk memupuk dan mengukuhkan Perpaduan Nasional. Oleh yang sedemikian janganlah mana-mana kaum menjadi gundah-gulana kerana 1 Malaysia tidak sekali-kali bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Orang-orang Melayu/bumiputera juga tidak perlu bimbang bahawa 1 Malaysia akan menyimpang dari peruntukan yang sudah sedia ada di dalam undang-undang tertinggi negara terutamanya Perkara 153 (Hak-hak Istimewa Melayu/bumiputera).
Teras ketiga 1 Malaysia seperti mana yang diterangkan oleh Perdana Menteri pula ialah keadilan sosial. Tragedi hitam 13 Mei 1969 mengejutkan rakyat Malaysia kepada realiti bahawa perpaduan nasional tidak boleh menyubur jika ketidakseimbangan sosioekonomi berlaku. Bagi memastikan tragedi tersebut tidak berulang maka Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah digubal dengan bermatlamatkan perpaduan dengan menggunakan dua strategi, pertama membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan kedua menyusun semula masyarakat. Walaupun DEB telah berakhir pada tahun 1990 semangatnya masih diteruskan melalui dasar-dasar pengganti sehingga hari ini. Hakikatnya tidak ada negara yang mampu maju dan makmur jika kaum majoriti terpinggir dan ketinggalan dari segi sosioekonomi jika adapun sejarah telah menunjukkan kemajuan dan kemakmuran tersebut bersifat sementara kerana negara berkenaan bukanlah sebuah negara yang stabil. Ia ibarat sebuah peti yang penuh dengan serbuk letupan yang tidak stabil dan hanya menunggu satu percikan untuk menyebabkannya meletup.
Namun semua pihak harus memahami hakikat bahawa dasar pengagihan yang adil melalui tindakan afirmatif tidak akan berjaya di dalam kek ekonomi yang gagal berkembang secara sihat dan mapan. Kita tidak boleh bersikap dogmatik di dalam mengurus ekonomi sebaliknya kita perlu bersikap pragmatik dan sanggup memikir di luar dari kotak kelaziman.
Malaysia hari ini berada di persimpangan jalan sementara kita bukan lagi sebuah pusat pelaburan menarik untuk sektor pembuatan yang berkos rendah namun kita juga belum mencapai tahap sebuah ekonomi yang mampu menarik pelaburan bernilai tinggi yang berasaskan inovasi dan kreativiti. Sehubungan dengan itu semua pihak mempunyai kepentingan di dalam memastikan ekonomi Malaysia meningkat ke rantaian seterusnya dan kekayaan negara bertambah.
1 Malaysia ini sebagai satu imperatif politik yang penting kepada perpaduan nasional. Janganlah kita membiarkan sentimen politik jangka pendek mewarnai cara kita berpolitik di bumi bertuah ini. Adalah satu kepelikan di negara ini apabila kita mendapati bahawa terdapat parti-parti politik yang kononnya mendakwa mereka bersifat pelbagai kaum dan memperjuangkan konsep Malaysia untuk orang Malaysia tetapi pada hakikatnya adalah jauh dari sifat kemajmukan. Jika parti-parti ini bersifat pelbagai kaum maka sudah tentu senarai keahlian dan kepimpinan mereka akan mencerminkan fakta tersebut. Kesimpulannya jika hampir keseluruhan ahli-ahli dan kepimpinan mereka datang dari satu kaum sahaja maka lebih eloklah parti politik ini menukar status mereka kepada parti satu kaum bukannya parti pelbagai kaum.
Adalah diharapkan bahawa usaha pemupukan dan pengukuhan perpaduan nasional akan mampu bergerak secara lebih terarah kemas dan jitu melalui inisiatif konsep 1 Malaysia. Kita semua adalah rakyat Malaysia yang lahir, mencari rezeki dan membina kehidupan di bumi bertuah ini. di sinilah bumi dipijak dan di sinilah juga langit dijunjung. Yakinlah bahawa pelaburan yang kita buat dalam usaha memupuk dan mengukuhkan perpaduan nasional adalah pelaburan yang berbaloi kerana masa depan anak-anak kita dan kelangsungan negara kita bergantung kepadanya.