ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Thursday, November 27, 2008

BAJET DEFISIT 2009 KERAJAAN PAHANG

BAJET DEFISIT 2009 KERAJAAN PAHANG
BEBANKAN RAKYAT?

KUANTAN – Pakatan Rakyat amat kecewa terhadap bajet defisit RM98.61 juta yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob bagi tahun 2009 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-12 itu akan membebankan rakyat.

Timbalan Pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azan Ismail berkata, bajet defisit itu memberi impak negatif kepada pertumbuhan ekonomi negeri terutamanya dari aspek pelaburan asing dan menjejaskan pelbagai sektor ekonomi lain.

Katanya, defisit untuk tahun 2009 yang dibentangkan Adnan itu akan memungkinkan Kerajaan Pahang terpaksa membuat pinjaman daripada kerajaan pusat sekali gus menambahkan jumlah hutang negeri yang sebelum ini masih belum berjaya dilangsaikan.

Menurutnya, perkara ini akan menjadi halangan kepada kerajaan negeri untuk membawa agenda pembangunan negeri termasuk menguruskan pentadbiran negeri dengan lancar dan rakyat berhak untuk melihat adanya inisiatif dan usaha untuk mengeluarkan negeri ini daripada belenggu hutang atau defisit.

“Defisit bermakna kerajaan negeri terpaksa mengurangkan beberapa cadangan yang sepatutnya dibuat terhadap kebajikan rakyat dan kemudahan asas yang sepatutnya dinikmati rakyat,” dipetik sebagai berkata.

Kata beliau lagi, dalam suasana ekonomi tahun 2009 seperti yang dibentangkan di Parlimen, pertumbuhan ekonomi negara dijangka tidak berapa baik dan rakyat mengharapkan kerajaan negeri mengambil inisiatif dengan berusaha mengurangkan impak kemelesetan di peringkat nasional.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, rakyat turut mengharapkan kerajaan negeri mengisytiharkan bajet untuk mengurangkan kadar kemelesetan di peringkat negeri.

Menurutnya lagi, rakyat mengharapkan kerajaan negeri dapat mengumumkan bajet yang jauh lebih baik daripada kerajaan pusat memandangkan negeri ini kaya dengan hasil buminya tetapi apa yang diumumkan Menteri Besar tidak menjadi kenyataan.

Menurut Azan lagi, implikasi paling besar daripada bajet defisit apabila harapan kerajaan negeri membuat pinjaman daripada kerajaan pusat tidak berlaku dan ini bermakna pentadbiran negeri akan menghadapi masalah membayar gaji kakitangan dan berdepan dengan mutu perkhidmatan penyampaian yang merosot.

Katanya, projek-projek pembangunan di bawah kerajaan negeri mungkin tertangguh atau dibatalkan sekiranya pinjaman tidak diluluskan dan keadaan ini akan menyebabkan ianya terus bergelumang hutang yang menjadi beban jangka panjang secara berterusan.

Ditanya apakah langkah mengurangkan defisit ini, Azan berkata, kerajaan negeri perlu mengkaji semula beberapa perbelanjaan kurang penting, dinilai semula jumlahnya dengan lebih menumpukan kepada peruntukan projek-projek kecil yang memberi faedah menguntungkan secara langsung kepada rakyat berpendapatan rendah.

Sementara itu semasa membentangkan bajet 2009, Adnan berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM925.27 juta bagi kos mengurus dan pembangunan dimana RM560.47 juta diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM364.4 juta lagi untuk perbelanjaan pembangunan.

Katanya, Peruntukan perbelanjaan mengurus tahun 2009 meningkat sebanyak RM49.5 juta disebabkan pembayaran imbuhan kakitangan awam dan peningkatan kos minyak serta tarif elektrik.

Beliau berkata demikian ketika semasa membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2009 pada Mesyuarat Penggal Pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 di Wisma Seri Pahang di sini Jumaat lalu.

Menurut beliau, peningkatan itu juga didorong usaha kerajaan negeri dalam menambah kecekapan jentera pelaksana di peringkat dasar melalui penstrukturan semula perjawatan dan penambahan kakitangan.

''Perbelanjaan pembangunan mengalami penurunan daripada RM382.74 juta pada tahun ini kepada RM364.8 juta tahun depan, daripada jumlah itu sebanyak RM185.5 juta diperoleh daripada punca dalam negeri manakala RM179.3 juta dipinjam dari Kerajaan Persekutuan bagi membiayai projek bekalan air.

Kerajaan negeri menganggarkan pertambahan hasil tahun depan berkurangan RM5.18 juta kepada RM461.9 juta berdasarkan kemampuan rakyat yang menurun dalam pembayaran cukai akibat kenaikan harga minyak dan barang makanan tahun ini.

Jumlah itu, katanya, hanya mampu menampung perbelanjaan mengurus (tanpa caruman) tahun depan dengan lebihan hanya RM36.7 juta dan sumber hasil utama negeri bertumpu kepada cukai tanah dan galian menyumbang RM162 juta, air (RM116.6 juta), perhutanan (RM77.9 juta), pemberian Kerajaan Persekutuan (RM56.3 juta) dan hasil lain (RM50 juta)..

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.14, 30 Nov - 6 Dis 2008

No comments:

Post a Comment

KOMEN ANDA