ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Saturday, December 27, 2008

Almarhum Tuanku Ja'afar Raja Berjiwa Rakyat


Almarhum Tuanku Ja'afar Raja Berjiwa Rakyat



SEREMBAN, 27 Dis (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang kembali ke Rahmatullah hari ini, seorang raja yang berjiwa rakyat dan sentiasa prihatin dengan nasib rakyat.

Menantu Almarhum, Datuk Seri Tengku Azlan Almarhum Sultan Abu Bakar, 59, berkata Almarhum seorang raja yang baik dan sentiasa memikirkan mengenai pembangunan Negeri Sembilan selain mempunyai minat mendalam terhadap bidang sukan dan sentiasa mahu melihat generasi muda bergiat aktif dalam bidang itu.

Sebagai seorang ketua keluarga, Almarhum sentiasa mengingatkan anak-anak baginda supaya menjadi seorang yang bertanggungjawab dan bekerja keras, kata Tengku Azlan yang juga Anggota Parlimen Jerantut dan bekas Timbalan Menteri Pengangkutan.

Beliau berkata Almarhum amat disenangi oleh rakyat dan orang di sekeliling baginda kerana sikap Almarhum yang penuh diplomasi dan tertib.

"Cara Almarhum berpakaian amat segak setiap masa dan amat jarang untuk melihat baginda murka. Memang saya merasakan kehilangan seorang yang saya kagum bukan sahaja sebagai seorang bapa mertua tetapi sebagai seorang raja, seorang bapa dan insan yang baik. Negeri Sembilan kehilangan seorang pemerintah yang hebat," katanya kepada Bernama di sini.

Tuanku Ja'afar, 86, mangkat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini kira-kira 11.45 pagi ini selepas mengadu sakit kepala dan tidak selesa.

Tengku Azlan, yang dimaklumkan mengenai kemangkatan Almarhum oleh isterinya iaitu puteri kedua Almarhum, Tunku Puteri Jawahir, ketika sedang bersarapan, amat terkejut dengan berita itu memandangkan Almarhum selama ini kelihatan sihat dan tiada tanda-tanda gering.

Sementara itu, bekas pengawal peribadi Almarhum, Ismail Maidin, 62, berkata Almarhum Tuanku Ja'afar seorang yang suka merendah diri walaupun menjadi pemerintah negeri.

Masih kekal dalam ingatan Ismail peristiwa ketika beliau mengiringi Almarhum ke London suatu masa dahulu apabila ada seorang wanita tua di situ menegur baginda.

"Sir, from your style (pakaian) you must be somebody, kata perempuan itu dan baginda menjawab, No, I'm only a train driver on holiday," katanya.

Ismail, yang lebih dikenali sebagai Pak Tam berkata Almarhum sangat disegani kerana selalu berpakaian kemas dan menghormati sesiapa sahaja yang baginda temui.

"Almarhum sentiasa tersenyum dan bersalaman dengan semua rakyat jelata dan pemimpin negeri. Sangat merendah diri dan susah hendak marah orang lain.

"Kenangan saya bersama baginda yang sukar dilupakan ialah ketika saya melakukan kesilapan ketika bertugas, namun Almarhum dengan lembutnya berkata, jangan buat lagi, itu sahaja tahap kemarahannya," katanya yang bertugas bersama Almarhum dari 1984 hingga 2003.

Sambil menyifatkan negara kehilangan seorang pemimpin berjiwa rakyat dan berbudi pekerti tinggi, Pak Tam berkata kali terakhir beliau menemui Almarhum ialah kira-kira dua minggu lepas sekembalinya Almarhum pulang bercuti dari luar negara.

"Ketika itu baginda kelihatan seperti biasa, sihat dan riang menemui kenalan dan rakyat jelata. Tiada tanda yang menunjukkan baginda sakit pun selama ini," katanya.

Bagi bekas pemandu Almarhum, Koperal (B) Mohd Isa Othman 56, Almarhum bukan sahaja seorang raja yang prihatin tetapi juga seorang yang amat dihormati oleh rakyat.

Mohd Isa yang berkhidmat dengan Almarhum dari tahun 1990 sehingga 1994 menyifatkan Almarhum bukan sahaja sebagai seorang raja tetapi juga seorang sahabat dan majikan yang prihatin tentang kebajikan pekerja.

"Saya selalu membawa Almarhum, adakalanya baginda akan memandu, untuk bersiar-siar dan saya akan duduk di sebelah baginda sambil bersembang mengenai kemajuan Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila bapanya sakit dan Almarhum menyuruhnya membawa bapanya (bapa Mohd Isa) berjumpa dengan doktor peribadi Almarhum.

"Almarhum juga amat prihatin dengan pendidikan anak-anak pekerja. Almarhum pernah menyumbangkan bantuan untuk pendidikan anak-anak saya," katanya.

-- BERNAMA

SEMBAH TAKZIAH



SEMBAH TAKZIAH




Patik merafak sembah dengan sedih menyembahkan ucapan takziah ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Negeri Sembilan,Tuanku Najihah Binti Tuanku Burhanuddin dan semua kerabat DiRaja Negeri Sembilan di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada 27 Disember 2008. Semoga Allah SWT merahmati roh Almarhum, Al-Fatihah.

Thursday, December 25, 2008

UMNO PAHANG SEDIA BANTU CALON BARISAN NASIONAL KUALA TERENGGANU

UMNO PAHANG SEDIA BANTU
CALON BARISAN NASIONAL KUALA TERENGGANU

KUANTAN - Pengerusi UMNO Perhubungan Negeri Pahang, Datuk Serri Adnan Yaakub berkata, UMNO Pahnag sedia memberi bantuan tenaga kempen, lojistik dan semangat juang kepada calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihanraya Kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari depan bagi mempastikan kerusi patlimen berkenaan dapat dipertahankan.

Beliau dipetik sebagai berkata demikian semasa ditanya pemberita di Majlis Pelancaran Prospektus Perniagaan Projek Berimpak Besar Zon Industri Akuakultur (HIP-ZIA) Pahang, baru-baru ini. Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Mustapha Muhamad turut hadir di majlis berkenaan.

Kata Adnan, kesediaan tersebut adalah bergantung sepenuhnya kepada permintaan dan keperluan UMNO Bahagian Kuala Terengganu sendiri disamping kemampuan yang kita ada, terutama petugas-petugas kempen dari Wanita UMNO Pahang.

Menurut beliau lagi, adalah menjadi tanggungjawab semua pemimpin dan ahli UMNO menggalas peranan dan berjuang berhabis-habisan bagi memenangkan calon parti BN disamping mempertahankan maruah parti, ianya adalah satu perjuangan ke arah menstabilkan politik negara.

” Kita tidak boleh terburu-buru dalam soal ini, namun UMNO Pahang sentiasa akan membantu parti di mana-mana pilihanraya kecil yang diadakan, kerana ini bukan sahaja tanggungjawab bersama, malah ianya merupakan satu perjuangan kepada maruah dan martabat UMNO seluruhnya.

” UMNO Terenganu umumnya sudah pasti adalah cara-cara mereka tersendiri dalam menentuykan calon BN dalam merancang kempen di sana, ” layanya lagi.

Dalam majlis yang sama, Adnan melahirkan sokongan peribadinya kepada Datuk Mustapha bagi bertanding jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada Mac depan.

Beliau meluahkan pandanagannya dengan mengatakan Datuk Mustapha adalah seorang pemimpin yang berkaliber, berkebolehan memberikan idea bernas kepada parti dan mampu bersama Presiden UMNO dalam mentadbir UMNO seluruhnya.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.18, 28 Dis 2008 - 3 Jan 2009

Bukit Tinggi bakal jadi Gerbang Pelancongan Pahang

Bukit Tinggi bakal jadi Gerbang Pelancongan Pahang

BENTONG – Bukit Tinggi yang terletak berhampiran Genting Sempah dan Genting Highlands akan dimajukan sebagai Gerbang Pelancongan Pahang baik pelancong domestik mahupun pelancong dari luar negara ke arah meningkatkan potensi kawasan agro-pelancongan tinggi menjadi salah satu Pusat Pelancongan direalisasikan tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Bentong, Datuk Liow Tiong Lai berkata, keistimewaan dimiliki kawasan ini berupaya menarik pelancong dengan memberi penekanan terhadap pertanian dan kemudahan infrastruktur yang baik di samping daya tarikan alam semula jadi yang berhawa dingin..

Menurutnya, menyedari potensi ini pihaknya akan berusaha berbincang dengan Kementerian Pelancongan untuk memastikan lebih banyak program dijalankan dalam usaha menjadikan kawasan ini sebagaimana kawasan tumpuan pelancong di seperti mana apa yang diadsakan di tempat-tempat lain.

“ Bukit Tinggi adalah kawasan pintu masuk ke negeri Pahang bagi mereka yang berkenderaan untuk ke Kuantan, Kuala Terenggani dan Kota Bharu, dan beberapa deretan kedai untuk menampung tujuan itu telah siap dibina.

” Sehingga kini terdapat tanah di kawasan ini dibangunkan untuk menjadi tempat tanaman sayur-sayuran sebagaimana terdapat di Cameron Highlands.

“Tambahan pula, hasil keluaran kawasan ini, terutama halia antara terbaik di dunia,” katanya.

Tiong Lai berkata, selain menekankan aspek pertanian penduduk di kawasan ini juga perlu membabitkan diri dalam menyediakan kemudahan homestay termasuk di Kampung Janda Baik dan Kampung Lentang, untuk menarik lebih ramai pelancong ke kawasan ini.


Menurutnya, melalui kemudahan homestay masyarakat setempat dapat menonjolkan budaya dan cara hidup seharian kepada pelancong.

“Penduduk di kawasan ini perlu bijak memainkan peranan supaya pembangunan di rancang dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.

Tiong Lai yang juga Menteri Kesihatan berkata, keindahan alam semula jadi kawasan ini perlu terus dipelihara supaya tarikan sedia ada dapat dikekalkan.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.18, 28.12.2008 - 3 Jan 2009

PELUANG BN CERAH DI KUALA TERENGGANU

PEMIMPIN PAS CANGGAH PENDAPAT:
PELUANG BN CERAH DI KUALA TERENGGANU

KUALA ROMPIN – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis gembira dengan gelagat ketidaksefahaman pemimpin Pas dalam meletakkan calon di dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari 2009.

Katanya, ini telah menunjukkan parti itu goyah dan tidak mempunyai pendirian tetap dalam menentukan calon yang sesuai, berkaliber, anak tempatan dan boleh berkhidmat untuk rakyat bagi dipertandingkan di kerusi berkenaan.

Beliau berkata, cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahukan Mohamad Sabu terus dikekalkan sebagai calon dalam pilihan raya kecil itu mengundang percanggahan pendapat antara pemimpin Pas di Terengganu.

Menurutnya, cadangan yang dibuat Menteri Besar Kelantan itu ditolak Pas Terengganu kerana mereka merasakan bahawa ada calon anak tempatan yang lebih layak berbanding Naib Presiden Pas tersebut.

“Kita dapat lihat bahawa Pas masih bercanggah pendapat sesama mereka dan ini sudah tentu menunjukkan bahawa mereka gagal untuk putuskan siapakah calon yang sesuai untuk bertanding,

“ Ini adalah petanda awal bahawa Barisan Nasional (BN) yang akan mengemukakan calon dari UMNO mampu mempertahankan kerusi parlimen Kuala Terengganu” katanya..

Pilihan raya keci P.036 akan dijalankan ekoran kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail.

Pada pilihan raya umum lalu, Razali berjaya mengekalkan kerusi berkenaan apabila menewaskan, Mohamad Sabu dan Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi.

Ditanya, sejauh mana BN mampu mempertahankan kerusi itu kerana Parlimen Kuala Terengganu dikenali sebagai lokasi ‘hitam’ setelah tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Batu Burok, Ladang dan Wakaf Mempelam dikuasai pembangkang, Jamaluddin menyuarakan keyakinan bahawa pengundi akan memilih BN.


Beliau turut percaya UMNO mempunyai undi yang mencukupi untuk membolehkan calon BN mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu berdasarkan perkhidmatan yang telah diberikan kepada rakyat tersebut sebelum ini.

“Orang Terengganu bijak buat pilihan kerana kita yakin atas mandat yang diberikan mereka, calon BN yang bakal bertanding di kawasan itu boleh bekerja untuk rakyat dan ini sudah tentu akan membela nasib mereka,” katanya.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.17, 21 - 27.12.3008

KEGANJILAN DALAM WANITA UMNO PAHANG

KEGANJILAN DALAM WANITA UMNO PAHANG

KUANTAN – Pemilihan 14 orang Ketua Wanita UMNO dari bahagian-bahagian telahpun selesai baru-baru ini dan siapakah yang akan dilantik oleh Ketua Wanita UMNO Pusat untuk menjadi Ketua Wanita UMNO Perhubungan Negeri Pahang masih menjadi tanda tanya dikalangan ahli-ahli wanita UMNO di negeri ini.

Sebelum ini sejak tahun 2000, Datuk Maznah Mazlan telah dilantik oleh Tan Sri Rafidah Aziz untuk mengetuai Wanita UMNO Pahang dan jelas atas perlantikan beliau membuatkan ramai ahli-ahli Wanita UMNO di bahagian-bahagian berasa tidak berpuashati kerana sepatutnya salah seorang daripada Ketua Wanita UMNO Bahagian dilantik.

Walaubagaimanapun, sejak Maznah mengetuai Wanita UMNO Perhubungan Pahang, kepimpinan beliau telah dapat diterima oleh majoriti ahli-ahli Wanita UMNO di negeri ini yang telah membawa banyak kemajuan dalam memperjuangkan nasib wanita baik dalam politik, ekonomi mahupun sosial dan disenangi atas kebijaksanaan beliau meminpim.

Selepas Persidangan Wanita UMNO Bahagian-bahagian yang baru selesai, seramai 13 Ketua Wanita UMNO Bahagian yang lama kekal mempertahankan jawatan masing, antaranya Ramiza Mohd. Hussein di Cameron Highlands, Siti Fatimah Yahya di Lipis, Jariah Hashim di Raub, Roslin Abdul Rahman di Bentong,

Norehan Abu Bakar di Kuala Krau, Senator Siti Rokiah Mohd. Zabidin di Temerloh, Manila Abdul Latif di Bera, Datuk Rosni Zahari di Maran, Zaiton Mat di Kuantan, Datuk Dr Siti Zaharah Sulaiman di Paya Besar, Dato Ramlah Kassim di Indera Mahkota, Dato Halimah Hamzah di Pekan dan Shamsiah Haji Arshad di Rompin.

Manakala seorang pendatang baru yang akan menganggotai Wanita Perhubungan Negeri Pahang iaitu Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerantut, Norhelan Mahmud yang berjaya menewaskan Nazilah Abdul Latiff dengan majoriti yang kecil dalam satu pertandingan sengit dan dramatik.

Mingguan Watan difahamkan, tokoh yang berminat untuk dilantik sebagai Ketua Wanita UMNO Perhubungan Pahang ialah Datuk Rosni, dan sejak beliau digugurkan bertanding dalam Pilihanraya Umum ke 12 di DUN Kuala Sentul menambahkan lagi penentangannya terhadap Rafidah dan Maznah.

Beliau difahamkan memberi sokongan kepada Datuk Shahrizat Abdul Jalil dalam perebutan jawatan Ketua Wanita UMNO Pusat menentang Rafidah dengan hasrat jika Shahrizat menang, beliau yang akan dilantik sebagai Ketua Wanita UMNO Perhubungan Negeri Pahang.

Sementara itu Ketua Wanita UMNO Bahagian Paya Besar, Dr. Zaharah tetap senada dengan 13 lagi Ketua-Ketua Wanita UMNO Bahagian-Bahagian di negeri ini untuk terus menyokong pelan peralihan kuasa yang disetujui pada bulan Jun 2009, dan mereka tetap akan memberi sokongan yang padu terhadap Rafidah.

Dalam tinjauan rambang kepada wakil-wakil dari Wanita UMNO 14 bahagian di negeri ini, Rafidah dijangka akan mendapat sokongan 60 peratus, 30 peratus lagi memberi sokongan kepada Shahrizat, lagi 10 peratus akan tunggu dan lihat, ini bermakna peluang Rafidah untuk kekal sebagai Ketua Wanita UMNO Pusat adalah cerah.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.17, 21 - 27.12.3008

PKR TAWAN 30 AHLI UMNO DI KUANTAN?

PKR TAWAN 30 AHLI UMNO DI KUANTAN?

KUANTAN – Parti Keadilan Rakyat (PKR) berjaya menawan seramai 30 ahli UMNO sebagai ahli baru pada majlis ringkas yang berlangsung di pejabat cawangan Peramu, dekat sini, baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang menerima borang keahlian itu turut menyatakan rasa bangganya di atas sokongan ahli-ahli baru itu kepada perjuangan dan hala tuju PKR.

“Kita sentiasa mengalu-alukan ahli baru dan berharap lebih ramai lagi dapat direkrut dalam usaha mencapai wawasan yang dikehendaki rakyat,” katanya.

Menurut veliau lagi, sehingga kini sebanyak 200 borang keahlian diterima melalui cawangan Peramu dan ini membuktikan PKR semakin relevan dengan kehendak rakyat yang mahukan pembaharuan.

Katanya, PKR kini bukan sahaja diterima baik bekas ahli-ahli UMNO malah daripada parti lain yang sudah memberi sokongan kepada beberapa negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Sementara itu, 30 ahli baru yang diterima melahirkan rasa gembira mereka kerana dapat bekerjasama membawa perubahan dan bersama merealisasikan hasrat PKR dalam membentuk kerajaan baru.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.16, 14 - 20.12.2008

ISU KONTRAK SOSIAL SENGAJA DIHEBOHKAN OLEH TOKOH UMNO

ISU KONTRAK SOSIAL SENGAJA DIHEBOHKAN OLEH TOKOH UMNO

JERANTUT – Isu Kontrak Sosial yang dihebohkan oleh tokoh-tokoh UMNO melalui media arus perdana sengaja dibesar-besarkan bagi mengabui fikiran pembaca supaya kemelut dalam pemilihan pucuk pimpinan partai berkenaan disembunyikan.

Diharapkan tokoh-tokoh Pakatan Rakyat terutama PAS tidak mudah melatah dengan cepat menyampuk kesan dari perdebatan mengenai kontrak sosial yang diberi liputan meluas media milik UMNO itu..

Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, media UMNO yang dilihat banyak memainkan peranan dalam menentukan percaturan politik partai itu dalam iklim politik negara ketika ini.

Menurut beliau, peranan media yang lebih memihak kepada UMNO membuatkan perasaan tidak puas hati dan rungutan rakyat mula kedengaran memperkatakan pelbagai isu yang dibangkitkan.

“Apa yang berlaku kini di kalangan orang Melayu sering digembar-gemburkan menjadi suatu isu besar, padahal isu-isu itu sekadar gimik pemimpin-pemimpin UMNO untuk meraih sokongan ahli-ahli UMNO di musim pemilihan pucuk pimpinan UMNO..

“Isu kontrak sosial yang diperkatakan contohnya, tidak dipertikaikan oleh bangsa lain malahan mereka berdiam diri,” katanya ketika ditemui di Kompleks Imam Al Shafie (KIAS) di sini, baru-baru ini.

Tuan Ibrahim berkata, suasana yang menuntut pelbagai komen diberikan mengenai kontrak sosial ini hanyalah bersifat sementara saja dan ianya sebahagian sandiwara tokoh-tokoh UMNO, dan janganlah kita ikut melatah..

“Pastinya isu-isu yang sengaja diadakan itu akan hilang dan tidak diulas lagi apabila sesi pemilihan pucuk pimpinan UMNO selesai pada Mac tahun depan..

“Seharusnya, pemimpin Pakatan Rakyat tidak terikut-ikut untuk memperkatakan mengenai isu-isu itu, namun harus menumpukan kepada gerak kerja mengukuhkan pergerakan untuk kita menerajui negeri Pahang selepas Pilihanraya Umum ke 13 kelak,” katanya.

Di[etik dari Mingguan Watan
Bil.16, 14 - 20.12.2008

PEMERINTAH PAKATAN RAKYAT DI LIMA NEGERI SEMAKIN RAPUH?

PEMERINTAH PAKATAN RAKYAT DI LIMA NEGERI SEMAKIN RAPUH?

KUANTAN – Pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) yang menguasai lima negeri selepas pilihan raya umum lalu didakwa semakin rapuh apabila corak pentadbiran yang dibawanya bercelaru, tidak sistematik dan setiakawan sesama mereka mulai terhakis.

Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, perpaduan dalam PR semakin lemah, rasa kecurigaan antara satu partai dengan partai yang lain kian melebar memandangkan dasar perjuangan yang dibawa oleh PKR, DAP dan PAS berbeza.

Menurut beliau, kemelut memilih barisan kepimpinan di setiap negeri khususnya Pulau Pinang dan Perak menunjukkan tiada keserasian antara mereka walaupun ia cuba disembunyikan.

”Walaupun mereka cuba menyembunyikan kemelut antara mereka, namun pertelagahan sesama sendiri jelas terutama ketika pemilihan barisan pemimpin di semua peringkat dari lantikan dalam majlis-majlis Kerajaan Tempatan hingga ke agensi Kerajaan Negeri terbabit.

”PR semakin lemah dengan sikap pemimpin sesebuah negeri yang secara jelas mahu memonopoli kepimpinan tertinggi sehingga menyebabkan ada anggota parti lain tersisih.

”Contohnya, Pulau Pinang kerana pemilihan Exco bagi memperuntukkan halal haram adalah dari kaum Cina, bagaimana empat Exco bukan Islam tentukan sesuatu itu haram atau halal,” katanya.

Beliau berkata, situasi itu jelas menunjukkan berlakunya keretakan dalam hubungan mereka dan rakyat akan membuat penilaian kelak memandangkan corak kepimpinan sedia ada dianggap berat sebelah.

Katanya, Barisan Nasional (BN) mengamalkan sikap adil dalam meletakan calon sebagai pemimpin di sesebuah negeri dan ia terbukti sejak BN memerintah negara ini.

"PR menunjukkan sikap sebenar mereka ketika menguasai lima negeri pada pilihan raya lalu. Itu adalah sikap sebenar mereka dan rakyat harus membuat penilaian.

”Berbanding BN, kita mengamalkan keadilan dan menilai keperluan pemimpin yang akan memberi manfaat kepada negeri dan rakyat. Bukannya mementingkan sikap pentingkan diri,” katanya.


Baginya, penguasaan PR akan lumpuh sekiranya perkara itu terus diamalkan dan BN sentiasa bersedia mengambil alih negeri yang jatuh ke tangan PR pada pilihan raya akan datang.

"BN akan berjuang untuk mendapatkan semula negeri yang jatuh kepada PR dan berharap rakyat menilai semula keperluan mereka pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.16, 14 - 20.12.2008

PENGKID TIDAK BAHAYAKAN MASYARKAT?

PENGKID TIDAK BAHAYAKAN MASYARKAT?

KUANTAN – Di Pahang, pengkid tidak bahayakan masyarakat kerana gejala ini tidak serius dan hanya kes terpencil dan iaitu berlaku dalam kelompok yang sangat kecil.

Mufti Negeri Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman dipetik sebagai berkata, tiada laporan yang diterima berkaitan gejala perempuan yang menyerupai lelaki atau lebih dikenali sebagai pengkid.

“Saya merasakan kelompok ini tidak bahaya kepada masyarakat, namun ia perlu diberi perhatian dengan pengawasan tertentu agar tidak terus mempengaruhi dan menular.

“Jika hendak melihat golongan pengkid berdua-duaan pun susah sama ada di bandar atau pun di kampung,” katanya.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada 24 Oktober lalu mengharamkan tingkahlaku dan perbuatan perempuan yang membuat penampilan seperti orang lelaki.

Fatwa itu dikeluarkan setelah melihat gejala itu dalam kalangan remaja perempuan Islam semakin menular dan membimbangkan.

“Bukan sahaja gerak laku, berpakaian, penampilan, percakapan dan rupa seolah-olah lelaki, malah mereka tidak berminat kepada lelaki tetapi berminat kepada kaum sejenis atau lesbian.

“Perkara ini perlu disekat kerana hukumnya adalah haram dan bercanggah dengan tabii dan fitrah kehidupan manusia dan dalam agama Islam jelas tidak boleh,” katanya.

Abdul Rahman berkata, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) boleh mempertimbangkan bagi memperuntukkan undang-undang khas berkaitan isu tersebut.

Menurut beliau, kawalan dan pemantauan perlu dilakukan berasaskan adanya rasa kebimbangan berkaitan generasi muda yang sering bertindak mengikut hawa nafsu semata-mata.

“Jika seseorang itu masih bergelar pelajar, menjadi tanggungjawab ibu bapa mengawal perlakuan anak-anak mereka.

“Namun jika sudah bekerja, majikan memainkan peranan membantu kerana pergaulan yang membentuk cara hidup seseorang itu,” katanya.

Beliau menasihati masyarakat untuk mengikut perintah Allah SWT dan patuhi larangan-Nya dengan menegaskan yang amalan songsang itu dilaknati.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.16, 14 - 20.12.2008

PEMUDA UMNO CAWANGAN PERLU ADA PELAPIS

PEMUDA UMNO CAWANGAN PERLU ADA PELAPIS

TEMERLOH – Pimpinan Pemuda UMNO di Cawangan-Cawangan dalam Bahagian Temerloh perlu menyediakan pelapis bagi menggantikan pimpinan yang ada apabila usia mereka melewati 40 tahun disamping pelapis berkenaan memiliki pelbagai pengelaman, latar belakang dan kemahiran.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Temerloh, Megat Mohd. Asri Abdul Jalil berkata, mulai sekarang pimpinan pemuda UMNO cawangan perlu segera mendaftar ahli-ahli baru berusia 18 tahun ke atas di tempat mereka sebelum golongan muda ini direkrut oleh pihak pembangkang.

Katanya, semua pimpinan pemuda UMNO Cawangan segera bergerak lebih agresif dalam mendaftar ahli-ahli baru seberapa ramai yang mungkin terutama golongan muda yang memiliki pelbagai kemahiran terutama kemahiran komputer dan berkomunikasi supaya mereka dapat diberi latihan untuk membantu UMNO dalam kerja-kerja partai.

” Kita perlu bergerak sekarang dan bersedia menghadapi pilihanraya umum akan datang dengan mengukuhkan kekuatan yang ada, ” ujar Megat Mohhd Asri semasa ditemui selepas majlis penyerahan borang keahlian baru Pemuda UMNO Cawangan Tanjung Batu dekat sini, baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, setiap cawangan pemuda UMNO boleh mengadakan pelbagai aktiviti disamping pendaftaran ahli baru, aktiviti lain yang digalakkan ialah melalui sukan, gotong-royong atau hal-hal kebajikan keperluan masyarakat setempat.

” Dengan adanya program dan aktiviti khusus untuk keperluan minat golongan muda, ianya diharap dapat juga disertai oleh masyarakat setempat, dan apa yang penting melalui program yang dirancang akan menjadi wadah untuk pimpinan UMNO Bahagian turun padang.

” Kejayaan sesebuah Cawangan Pemuda UMNO melaksanakan program kemasyarakatan memberi motivasi kepada Cawangan Pemuda yang lain terutama dalam mendaftar ahli baru UMNO dan pendaftaran pengundi yang sudah berusia 21 tahun ke atas, ” katanya.

Pada majlis itu Pemuda UMNO Cawangan Tanjung Batu berjaya mendaftar 50 orang ahli baru dari golongan muda di kampung berkenaan dan kampung-kampung yang berdekatan, dan majlis penyerahan borang ahli UMNO telah dilakukan oleh Ketua Pemuda UMNO Cawangan Tanjung Batu, Ahmad Kamal Abdullah.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.16, 14 - 20.12.2008

SIKAP MEMBISU PEJABAT AGAMA ISLAM TEMERLOH

SIKAP MEMBISU PEJABAT AGAMA ISLAM TEMERLOH:
PEMUDA PAS BANTAH

TEMERLOH – Pemuda Pas membantah sikap Pejabat Agama Daerah Temerloh yang masih belum menyiasat dan mengambil tindakan mengikut Undang-Undang sedia ada di atas isu pengedaran nombor ekor semasa Mesyuarat UMNO Bahagian Temerloh 9 November lalu.

Ketuanya, Jauhari Ishak memberitahu, memorandum bantahan telah dihantar malangnya sehingga hari ini masih tidak ada tindakan diambil Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) yang bertanggungjawab memelihara kesucian agama Islam berhubung isu berkenaan.

Menurut beliau lagi, Pemuda Pas meminta JAIP menyiasat dan mengambil tindakan mengikut Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam dan Adat Resam Melayu Pahang kerana tindakan itu secara terang menghina Islam.

“Apa yang kami perhatikan masih tidak ada tindakan diambil berhubung perkara tersebut dan ini sangat mengecewakan,” katanya.

Beliau berkata demikian di Pejabat Agama Daerah Temerloh selepas menghantar memorandum anti kemungkaran dan maksiat di sini, baru-baru ini.

Hadir sama Pembantu Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Kuala Semantan, Fairuz Hisham Nordin, Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Temerloh Hashim Abdullah dan Peguam Syarie Abdullah Abd Karim.

Jauhari berkata, memorandum itu juga bertujuan membantah gejala maksiat dan kemungkaran yang berlaku dalam negeri yang dilakukan umat Islam termasuk pemimpin UMNO.

Katanya, Pas menganggap ia satu bentuk penghinaan terhadap Islam yang dilakukan baik secara terang mahupun tersembunyi yang boleh menjejaskan akidah umat Islam.

“Segala macam kemungkaran dan maksiat yang berlaku di depan mata jika tidak dicegah secara bersungguh-sungguh boleh mengundang kemurkaan Allah SWT,” katanya.

Juahari bersama Pemuda Pas Temerloh mendesak pihak JAIP yang mempunyai kuasa dan pengaruh supaya mengambil tindakan mengenai isu pengedaran ‘nombor ekor’ terbabit.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.16, 14 - 20.12.2008

MAKNA SEBENAR KETUANAN MELAYU

MAKNA SEBENAR KETUANAN MELAYU
MENURUT MENTERI BESAR PAHANG


KUANTAN – Semua pemimpin yang mewakili pelbagai kaum di negara ini diminta memahami makna sebenar ’Ketuanan Melayu’ dan bukannya menjadikan isu itu untuk merebut pengaruh dari kaum masing-masing atau cuba mahu meruntuhkan perpaduan dan hubungan berbaiksangka antara kaum di negara ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub dipetik sebagai berkata, ’Ketuanan Melayu’ bukan membawa makna bahawa Melayu sebagai tuan manakala kaum lain sebagai hamba tetapi ianya bermaksud raja-raja Melayu sebagaimana jelas tercatat melalui catatan-catatan sejarah silam.

Katanya, janganlah kaum Cina dan kaum India tersilap memahami makna sebenar ’Ketuanan Melayu’ sebagaimana dibangkitkan oleh pihak-pihak yang sengaja tidak mahu memahami persejarahan negara sehingga isu terbabit dibangkitkan semula menyebabkan ianya menjadi hangat.

” Kita semua kena faham makna sebenar ’Ketuanan Melayu’. Saya rasa ramai yang salah anggap. Mereka fikir Melayu sebagai tuan kepada semua. Tanggapan itu tidak benar sama sekali.

” Ketuanan Melayu merujuk kepada Raja-Raja Melayu yang perlu dihormati oleh semua kaum di negara ini. Ianya bukan dirujuk kepada Melayu sehingga kaum lain tersalah anggap. Kita tidak pernah membezakan antara kaum di negara ini dalam menlaksanakan pentadbiran di peringkat negeri. Semua warganegara adalah sama, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah.

” Semua rakyat di negara ini yang menikmati taraf warganegara diberi layanan seadilnya dan sama rata sama rasa, tetapi apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara seperti Hak Istimewa Orang Melayu tetap perlu dihormati,” katanya memberikan penjelasan.

Sementara itu Penasihat Partai Keadilan Rakyat (PKR) Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abdul Rahman diminta mengulas mengenai isu ’Ketuanan Melayu’, dipetik sebagai berkata, interpretasi Menteri Besar Pahang mengenai isu itu adalah tepat mengikut konsep isu berkenaan yang wujud dalam semangat Perlembagaan Negara.

Katanya, walaubagaimanapun, masih ada sebilangan besar ahli-ahli UMNO yang jahil dan bongkak serta mudah melatah yang mengatakan Melayu adalah tuan kepada masyarakat lain sedang itu adalah tafsiran kolot dan bertentangan dengan semangat Kontrak Sosial dan Perlembagaan Negara.

Beliau berkata, kenyataan Adnan itu tepat kerana pemimpin dari UMNO atau partai lain yang dilantik sebagai Menteri Besar di sesebuah negeri adalah Ketua Kerajaan di negeri berkenaan manakala Yang DiPertuan Agong sebagai Ketua Negara dan Sultan atau Raja di peringkat negeri sebagai Ketua Negeri.

Katanya, tepat sekali bahawa Ketuanan Melayu adalah dirujuk kepada Raja Melayu dan dalam konteks berkenaan tidak ada mana-mana pihak baik orang Melayu, orang China atau orang India boleh mempertikaikan kedudukan Raja-Raja Melayu di negara ini.

” Pakatan Rakyat setuju dengan apa yang termaktub dalam Perlembagan Negara termasuk Hak Istimewa Orang Melayu, dan kedudukan agama Islam dan Raja-Raja Melayu sebagaimana ditegaskan oleh Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pada Kongres PKR di Shah Alam, baru-baru ini.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil. 16, 14 - 20.12.2008