ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Thursday, January 7, 2010

Peranan Ulama Silam Dalam Mempererat Hubungan Masyarakat di Kepulauan Nusantara: Tinjauan Indonesia dan Malaysia

Peranan Ulama Silam Dalam Mempererat Hubungan Masyarakat di Kepulauan Nusantara: Tinjauan Indonesia dan Malaysia [i]
Afriadi Sanusi [ii]

Abstrak
Hubungan benci-benci tapi rindu antara Indonesia-Malaysia kebanyakannya disebabkan oleh kepentingan dan keadaan politik semasa. Walaupun hubungan Indonesia-Malaysia mengalami masa “masam-masam manis”, namun hubungan kekeluargaan dan se-Islam nampaknya tidak begitu tercabar oleh pasang surutnya hubungan kedua-dua negara. Ukhuwah Islamiah yang dibawa dan disebarkan oleh para ulama Nusantara, memiliki ikatan yang kukuh dan terjalin dengan baik hingga saat ini. Waktu itu Ulama memiliki status dan kedudukan yang tinggi, terpandang dan dihormati. Sejarah mencatatkan beberapa nama besar tokoh-tokoh ulama melayu silam yang “dimiliki secara bersama” oleh umat Islam di kepulauan Nusantara ini. Mereka berdakwah tanpa mengenal batas sempadan wilayah, sosial, budaya, politik dan ekonomi ketika itu. Kertas kerja ini akan membahaskan tentang; apa dan bagaimana peranan ulama silam dalam mempererat tali persaudaraan di Nusantara, Siapa saja ulama itu dan apa kesannya hingga saat ini.

Kepulauan Melayu Sebelum Kemerdekaan

Orang Melayu merujuk kepada mereka yang bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat resam orang Melayu. Perkataan Melayu berasal daripada nama sebuah anak sungai yang bernama Sungai Melayu di hulu Sungai Batang Hari, Sumatera. Di sana letaknya Kerajaan Melayu sekitar 1500 tahun dahulu sebelum atau semasa adanya Kerajaan Sriwijaya. Sehubungan itu, dari segi etimologi, perkataan "Melayu" itu dikatakan berasal daripada perkataan Sanskrit "Malaya" yang bermaksud "bukit" ataupun tanah tinggi. Istilah "Melayu" ditakrifkan oleh UNESCO pada tahun 1972 sebagai suku bangsa Melayu di Brunei, Filipina, Indonesia, Madagaskar, Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand.

Kepulauan Melayu, Nusantara dan Asia Tenggara adalah istilah yang biasa digunakan oleh para ilmuan yang merujuk kepada tempat yang sama. Penulis kurang suka menggunakan istilah Indonesia dan Malaysia dalam kertas kerja ini, kerana ia berkonotasi politik. Sementara makalah ini banyak membicarakan perkara sebelum adanya istilah nama kedua-dua negara tersebut. Di sisi lain, terbentuknya negara Indonesia-Malaysia menjadi faktor penyebab yang membuat hubungan persaudaraan dan se-Islam antara kedua negara menjadi semakin renggang yang disebabkan oleh kepentingan politik dan fahaman nasionalisme yang sempit.

Sejarah pernah mengenal kerajaan Iskandar Muda (1607-1936) yang kekuasaannya meliputi Deli, Johor, Bintan, Pahang, Kedah sampai ke Semenanjung Melaka. Sejarah pula pernah mencatatkan sebuah kerajaan Melayu yang bernama Riau Lingga yang kekuasaanya meliputi Riau, Johor dan Pahang (abad ke 19). Dan sampai sekarang terdapat ikatan kekeluargaan yang kuat antara keluarga di Raja Riau, Bugis, Betawi, Johor, Pahang, Selangor, Jambi, Minangkabau, Negeri Sembilan dan sebagainya
Hijrah bererti Pindah. Hijrah merupakan satu cara yang dilakukan oleh para nabi untuk melepaskan diri dari alam kebatilan dan kerusakan menuju kebaikan dan kehidupan yang lebih baik. Hijrah pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Sebanyak dua kali, pertama ke Tha`if dan kedua ke Madinah. Hijrah tidak berarti lari dari masalah, tetapi menyusun strategi baru untuk menuju ke langkah selanjutnya yang lebih baik. Hijrah adalah sunnah yang harus ditempuh oleh setiap umat Islam disaat mereka menemukan hambatan spritual, ekonomi, sosial di tempat asalnya dan melihat ada peluang yang lebih baik ditempat lain. Hijrah dilakukan kerana dorongan iman atau percaya bahawa bumi Allah itu sangat luas. Maka dari itu konsekwensi dari berhijrah adalah iman dan berjihad, yakni memperjuangkan apa yang dipercayai itu.

Menurut Datuk Dr Muhammad Rais Abdul Karim, penghijrahan orang Sumatera ke tanah Melayu telah berlaku zaman berzaman dan jauh sebelum kedatangan Barat menjajah tanah Melayu. Ini bererti berbeda dengan kedatangan kaum China dan India ke tanah Melayu yang dilakukan atas keinginan dan keperluan penjajah. Penghijrahan masyarakat dari satu tempat ke tempat lain di Alam Melayu adalah perkara yang biasa berlaku jauh sebelum kemerdekaan lagi.

Di waktu itu Nusantara tidak dibatasi oleh sempadan dan batasan. Bahkan penghijrahan dari satu tempat ke tempat lain dalam wilayah Nusantara biasanya di alu-alukan dan disambut bagaikan menyambut sang pahlawan. Ini kerana setiap negeri memerlukan orang ramai untuk membuka tapak-tapak pertanian yang baru untuk menukar hutan belantara menjadi perkebunan, morodah segala macam bahaya untuk mencari sumber kehidupan. Setiap negeri memerlukan ramai penduduk untuk meramaikan negeri dan menjaga keselamatan negeri. Ini juga kerana yang hijrah dan yang menerima penghijrahan itu memiliki identiti yang sama. Kesamaan dari segi alam, ekonomi, politik, sejarah masa lalu, bentuk tubuh, warna kulit, budaya, bahasa, agama dan berbagai-bagai kesamaan lainnya membuat mereka merasa bersaudara antara satu dengan lainnya. Belum ada sistem pasport, visa dan fiskal ketika itu. Asia Tenggara pula pernah menjadi sebuah kesatuan disaat permukaan air laut turun.

Konflik Indonesia-Malaysia Pasca Kemerdekaan

Penulis melihat ada empat penyebab utama merenggangnya hubungan antara Indonesia-Malaysia pasca kemerdekaan. Iaitu disebabkan oleh rasa nasionalisme yang sempit dan kepentingan politik sesaat. Antara lain adalah; 1. Konfrontasi, 2. Gerakan Reformasi mahasiswa 1998, 3. Isu tenaga kerja Indonesia di Malaysia dan 4. Pertindihan tuntutan. Secara ringkas akan penulis kemukakan satu persatu iaitu;

1. Konfrontasi
2.
Konfrontasi antara Indonesia-Malaysia tahun 1963-1966 adalah idea yang dicetuskan oleh Soekarno. Disamping ada alasan lainnya, menurut penulis, ide itu bertujuan untuk mengembalikan populeriti Soekarno dimata rakyat. Ketika itu beliau tidak lagi mendapatkan sokongan padu dari tentera dan Masyumi sebagai parti yang sangat berpengaruh ketika itu. Gerakan ganyang Malaysia akan membangkitkan rasa nasionalisme yang akhirnya meningkatkan lagi populeriti dan sokongan rakyat kepada Soekarno. Ini terbukti kerana kebanyakan yang terlibat dalam konfrontasi itu adalah rakyat banyak dan bukannya tentera. Strategi ini juga nampaknya dipakai oleh Abdullah Ghul di Turki dengan menyerang puak Kurdis dan Perdana Menteri Thailand dengan membunuh tentera Kemboja yang menjaga perbatasan. Waktu itu media Indonesia dan Malaysia berperang habis-habisan dan terkadang sampai ke tahap yang tidak masuk akal sama sekali.

3. Gerakan reformasi
4.
Reformasi mahasiswa tahun 1998 di Indonesia telah berjaya menjatuhkan kepimpinan rejim diktator Soeharto bersama Orde Barunya. Rejim ini telah berkuasa selama 32 tahun dengan menyalahgunakan kekuatan tentera, fasiliti negara dan swasta lainnya untuk kepentingan status quo. Peristiwa ini dalam pengamatan penulis telah membuat kerajaan Malaysia mengambil kebijakan melakukan “perang dingin” secara besar-besaran kepada Indonesia melalui senjata media. Adanya penyaringan ketat atas setiap berita yang datangnya dari Indonesia, berlakunya larangan-larangan tidak rasmi terhadap aktivis gerakan reformasi untuk mengunjungi Malaysia seperti yang dialami oleh Amin Rais sebagai bapa reformasi Indonesia dan Adnan Buyung Nasution. Hubungan kedua negara kembali agak renggang, berlakunya serangan media secara besar-besaran dari pihak Malaysia terhadap negara dan warganegara Indonesia. matlamatnya adalah kerajaan Malaysia takut gerakan reformasi 1998 di Indonesia akan memberi ilham kepada rakyat Malaysia khasnya mahasiswa untuk melakukan demonstrasi menggulingkan kerajaan BN.

3. Tenaga kerja Indonesia (TKI)

Warganegara Indonesia yang bekerja di Malaysia saat ini berjumlah lebih 2 juta orang, baik yang legal mahupun yang illegal. Seperti yang dilaporkan oleh Nasrullah Ali Fauzi dari Kedutaan Republik Indonesia, Kuala Lumpur. Berlaku pemberitaan secara besar-besaran terhadap setiap kesalahan yang dilakukan oleh rakyat Indonesia di Malaysia. Kalau pelaku kejahatan adalah WNI, maka akan diberitakan di muka hadapan akhbar harian dengan menyebutkan RAKYAT INDONESIA dengan menggunakan huruf besar. Tetapi kalau warga negara lain yang melakukan kejahatan di Malaysia, maka dibahagian dalam akhbar dengan tajuk yang kecil disebut “rakyat asing.” tanpa menyebut nama negara asalnya. Padahal hasil pengamatan Persatuan Pelajar Indonesia, di ibu pejabat polis Bukit Aman tahun 2004, kadar jenayah yang dilakukan oleh warganegara Indonesia sangat sedikit bila dibandingkan dengan kadar peratusan jenayah yang dilakukan oleh rakyat malaysia dari bangsa lain seperti India, China, Melayu dan sebagainya.

Nasib pemberitaan yang kurang adil dan tidak seimbang oleh media Malaysia ini juga nampaknya dialami oleh negeri yang diperintah oleh parti oposisi seperti Kelantan. Setiap kejahatan, kemiskinan, pengangguran, penagihan dadah, gejala sosial dan perkara negatif lainnya akan dibesar-besarkan oleh media. Penulis telah berkunjung ke beberapa buah negeri di Malaysia seperti WP, Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Pahang, Johor dan sebagainya. Tujuannya untuk melihat secara langsung keadaan sosial, ekonomi dan budaya masyarakat tempatan untuk mengimbangi pemberitaan media semasa yang ada.

Dalam pengamatan penulis Isu ini sengaja diperbesar oleh media, dan dijadikan sebagai kambing hitam politik oleh penguasa. Pemberitaan media secara besar-besaran terhadap tenaga kerja Indonesia di Malaysia biasanya akan berlaku setiap kali menjelangnya pilihan raya umum di Malaysia. Gerakan itu juga nampak ketara semenjak berkurangnya pengaruh Barisan Nasional yang mula di cabar oleh parti oposisi. Dalam hal ini kerajaan menjadikan isu tenaga kerja Indonesia di Malaysia sebagai kambing hitam politik. Dalam berbagai media ahli politik Malaysia sering mengungkapkan kata-kata “Marilah kita terus mendukung kerajaan di bawah kepimpinan parti kerajaan (BN) sekarang ini yang telah berjaya memakmurkan rakyat Malaysia. Lihatlah rakyat negara lain, mereka terpaksa datang bersusah payah untuk bekerja dan mencari makan dinegara kita...”.
Ibarat gayung bersambut media pula menjadi kepanjangan tangan dalam memberitakan tentang TKI secara besar-besaran dalam berbagai kesempatan seperti acara 999, Siasat, Tiada sempadan, siaran berita dan sebagainya. Kedatangan rakyat Indonesia ke Malaysia bukan sepenuhnya kerana kerja yang tidak ada, tanaman yang tidak berbuah, nelayan yang tidak mendapat ikan di Indonesia. Tetapi lebih kepada kerana tingginya nilai Ringgit bila ditukarkan ke Rupiah. Nilai ringgit Malaysia kalau ditukar dengan rupiah akan menjadi tinggi (Saat ini RM 1 = Rp. 3000). Perbandingan ini hampir sama dengan nilai dolar Singapura bila ditukar dengan ringgit Malaysia. Ini juga membuat ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

5. Sengketa Sipadan, Ligitan, dan Ambalat
6.
Sengketa Sipadan, Ligitan, Ambalat dan sebagainya menurut penulis sengaja dibesar-besarkan oleh media Indonesia dan ia adalah isu politik dalam rangka meningkatkan populeriti pemerintah menjelang pilihan raya Indonesia dan untuk menaikkan kembali nama tentera Indonesia yang tercalar di mata rakyat semenjak dijatuhkannya orde baru pada 1998. Rakyat dibuat marah karena dipanaskan oleh media massa, mereka melakukan demonstrasi di kedutaan Malaysia dan sebagainya sehingga rakyat lupa bekerja untuk menghidupi keluarga mereka. Padahal apa yang mereka lakukan adalah kewajiban dan tugas pemerintah (Departemen Luar negeri) yang setiap tahun menghabiskan anggaran belanja Negara yang banyak dan mereka digaji dari wang rakyat.
Rakyat yang sudah menderita disuruh pula memikirkan pekerjaan pemerintah yang memang sudah ada gaji untuk melakukan pekerjaan itu. Pemberitaan secara besar-besaran mengenai sengketa pulau Ambalat di Indonesia jelas menguntungkan Presiden SBY sebagai calon Presiden yang berasal dari tentera. Seolah-olah media ingin memberi pengertian kepada rakyat Indonesia, agar terus memilih tentera sebagai Presiden agar batas wilayah NKRI tidak hilang seperti yang berlaku pada masa kepemimpinan sivil Habibi dan Megawati. Dalam kasus ini nampaknya media Indonesia melakukan serangan sepihak tanpa dilawan oleh media Malaysia.




Hubungan Kekeluargaan dan Ukhuwah Islamiyah

Hubungan non politik yang telah berjalanan ribuan tahun lamanya di kepulauan Nusantara dan jauh sebelum lahirnya negara Indonesia-Malaysia dapat digolongkan kepada dua bagian iaitu; 1. Hubungan kekeluargaan dan 2. Hubungan se-Islam.

A. Masyarakat Rao Malaysia Sebuah Perbandingan

Hubungan kekeluargaan dapat dilihat dari hubungan darah, persemendaan, hubungan suku kaum, dan adat budaya. Hubungan kekeluargaan yang baik antara Malaysia-Indonesia saat ini dapat dilihat dari lahirnya berbagai-bagai organisasi berdasarkan suku kaum yang ada di Malaysia, seperti Persatuan masyarakat Banjar, Boyan, Bugis, Jawa, Kampar, Kerinci, Mandailing, Minangkabau, Rao, Johor, Riau dan sebagainya. Cukup ramai yang penulis jumpai, orang Malaysia datang ke Indonesia dan orang Indonesia datang ke Malaysia semata-mata bertujuan untuk mengunjungi sanak saudaranya. Penulis sendiri memilih belajar di Malaysia kerana ayah penulis lahir di Malaysia dan mempunyai ramai sanak saudara di sini. Sebagai perbandingan penulis akan menceritakan tentang keturunan keluarga Rao di Malaysia secara ringkas;

Berbicara tentang penghijrahan masyarakat Rao ke tanah melayu, jangan dibayangkan dengan keadaan Malaysia yang sekarang ini. Ini karena menurut Jaringan Anak Rao Malaysia (JARO) yang bertugas mengumpulkan salasilah masyarakat Rao Malaysia, orang Rao telah datang ke tanah Melayu bermula semenjak abad ke 5 Masehi lagi. Penghijrahan secara besar-besaran bermula semenjak abad ke 16, 17 dan abad 18. Data itu juga didukung oleh Tengku Lukman Sinar, seorang sejarawan yang berasal dari Rao yang sekarang berada di Medan. Menurutnya Orang Rao dan Kampar dulunya menetap di Sungai Itek Gopeng Perak, Mantin Negeri Sembilan dan Raub Pahang pada abad ke 16.

Ini bermakna bahawa keadaan Malaysia sekarang sangat berbeda dengan keadaan dizaman dulu. Belum ada jalan raya, KLCC, KLIA, Sepang dan bangunan tinggi lainnya. Belum ada Malaysia dan Indonesia ketika itu, sebab Indonesia merdeka pada 17 Ogos 1945 dan Malaysia merdeka pada 31 Ogos 1957. Belum ada negara yang namanya Indonesia dan belum lahir kerajaan yang bernama Malaysia ketika masyarakat Rao datang ke Tanah Melayu waktu itu. Keadaan dizaman itu sangat berbeda dengan keadaan Malaysia saat ini.

Orang Rao pula tidak tinggal diperkampungan orang-orang tempatan, tetapi menetap dan membuka penempatan baru yang belum diterokai dan belum berpenghuni lagi. Membuka hutan, meredah denai, menyuluh arah, jalan beliku menurut lagu sekondakhati. Sejarah juga mengatakan bahawa masyarakat Rao menjadi pengasas perkampungan baru dan sebagai peneroka awal di beberapa tempat tanah Melayu. Ia tidak sama dengan masyarakat Felda yang diberi berbagai-bagai kemudahan untuk meneroka perkampungan dan lahan pertanian. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelang sahaja memakan masa 10 sampai lima belas hari lamanya.
Rao yang dimaksudkan dalam tulisan ini adalah daerah rawa-rawa yang meliputi berbagai-bagai daerah yang luas seperti Panti, Padang Gelugor, Sungai Ronyah, dan sebagainya yang terletak di pulau Sumatera. Di sebelah Utara, Rao bersempadan dengan Sumatera Utara, di sebelah Timur bersempadan dengan Riau Daratan, di Selatan, bersempadan Minangkabau manakala di sebelah Barat, terbuka dengan Selat Mentawai yang secara geografi membentuk permukaan bumi di daratan pulau Sumatera.
Menurut Arisal, salah seorang keturunan dan pengkaji Rao Pahang mengatakan; orang Rao telah datang ke Tanah Malayu bermula abad ke 5 Masehi lagi, terdiri daripada golongan petani dan pemburu emas. Tanah Melayu ketika itu terkenal dengan

Semenanjung emas. Mengikut sejarah, suku kaum Rao yang mula-mula sekali berhijrah ke Tanah Melayu ialah golongan petani. Ini berlaku sekitar abad ke 5 Masehi. Faktor perdagangan bebas semasa zaman Kesultanan Melaka di abad ke 15 Masehi telah menggalakkan Iebih ramai kaum Rao merantau, berdagang dan bermastautin di Tanah Melayu. Penghijrahan masyarakat Rao pula adalah penghijrahan melalui proses hijrah semula jadi kerana adanya persamaan sejarah, antropologi, linguistik dan budaya antara masyarakat Rao dengan masyarakat tempatan. Masyarakat rumpun Melayu pula memiliki adat kebiasaan merantau untuk mempertingkatkan imeg, status, taraf sosial dan ekonomi individu dan masyarakat.

Penghijrahan beramai-ramai suku kaum Rao ke Tanah Melayu berlaku semasa Perang Padri (1816-1833) di Indonesia semasa zaman pemerintahan penjajah Belanda. Sebahagian besarnya terdiri daripada golongan istana, para ulama, cendekiawan, pendekar, panglima dan sebagainya.

Masyarakat suku kaum Melayu Rao (Rawa) telah berhijrah ke Malaya mulai abad ke lima lagi. Perkampungan Rao banyak terdapat di Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Selangor dan Kelantan. Nama-nama kampong mereka dibawa dari nama kampong yang terdapat di Rao sendiri. Dalam kehidupan keseharian mereka, suku kaum ini masih mempertahankan bahasa, adat istiadat, budaya dan hubungan kekerabatan dengan kampong asal nenek moyang mereka di Rao

Faktor penghijrahan besar-besaran adalah disebabkan Rao ditakluk oleh Belanda pada tahun 1833. Faktor penghijrahan lainya adalah disebabkan meletusnya perang saudara antara Pemerintahan Revolusioner Republik Indonesia (PRRI) dengan tentera pusat di Sumatera Barat pada 15 Februari 1958, dan Rao adalah kubu terakhir PRRI ketika itu.
Usaha menyatukan kembali keluarga masyarakat Rao yang terpisah-pisah diserata dunia ini telah dilakukan dengan mendirikan Ikatan Keluarga Besar Rao (IKBR) di Medan, Jakarta dan berbagai-bagai tempat di Indonesia. Usaha serupa juga dilakukan di Malaysia dengan mendirikan persatuan Jaringan anak Rao Malaysia (JARO) yang dimulai di Pahang dan dilanjutkan di Perak. Bentuk aplikasi hubungan baik masyarakat Rao Malaysia dapat dilihat dari kunjungan Pada 26 februari 2002. Seramai 42 orang keturunan Rao Pahang telah berkunjung ke Rao dalam rangka mencari susur galur silsilah keturunan dan sanak saudara mereka disana.

Pada 27 November 2008 seramai 45 ahli Jaringan Anak Rao (JARO) telah berkunjung pula ke sana. Acara ini telah disambut secara besar-besaran di Rao tanah asal mereka dengan tangisan bahagia dan rindu kerana hanya dapat berjumpa setelah terputus bergenerasi lebih 200 tahun lamanya. Kunjungan individu, keluarga, penyelidik dan berbagai-bagai kunjungan lainnya juga banyak dilakukan selain kunjungan rombongan yang diungkapkan di atas. Pada bulan November 2009 nanti pula seramai 45 orang Rao akan berkunjung ke Rao dalam rangka tujuan yang sama. Walaupun yang dapat berjumpa itu ada yang 3 pupu dan 4 pupu, namun tali persaudaraan ibarat menebas air yang tak akan putus oleh perbedaan negara, aliran politik dan fahaman nasionalisme sempit.

B. Peranan Ulama dalam Mempereratkan Hubungan Masyarakat di Nusantara

Dalam sejarah kita mengenal beberapa ulama yang menyebarkan ajaran Islam di Semenanjung Malaysia yang berasal dari suku Melayu Banjar, Bugis, Mandailing, Minangkabau, Rao/Rawa, Johor, Riau dan sebagainya. Sebagai tokoh, mereka ini tentu sahaja memiliki pengaruh yang tiada terhingga di Malaysia hingga saat ini. Mereka melahirkan keturunan yang ramai dan berpengaruh, mereka meninggalkan ajaran, karya tulis dan murid-murid yang setia dan mereka meninggalkan jasa yang tidak terhingga nilainya. Wan Muhammad Shagir menuliskan beberapa orang ulama yang berasal dari suku kaum Melayu yang ikut aktif dalam penyebaran Islam di dunia Melayu, sebahagian dari mereka ialah:

1. Peranan Ulama Rao

Syeikh Muhammad Murid Rawa. Beliau ialah datuk nenek beberapa orang tokoh terkemuka di Malaysia, antaranya Tun Dr. Hamdan Syeikh Tahir, bekas Yang Dipertua Pulau Pinang.

Abdullah Nordin Ar-Rawa. Syarikat percetakan yang beliau dirikan bernama Mathba'ah Persama telah banyak berjasa kepada dunia keilmuan di tanah Melayu. Syarikat ini kemudiannya diuruskan oleh anaknya iaitu Haji Yusuf Rawa. Hingga kini syarikat tersebut masih beroperasi di Jalan Kampung Jawa, Bayan Baru dikenali sebagai Safir Ilmu Enterprise diurus oleh cucu Haji Abdullah Nordin sendiri iaitu Mujahid bin Yusuf ar-Rawa. Daripada percetakan tersebutlah bermula penggunaan istilah Rawa khususnya terhadap aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan percetakan serta penerbitan kitab. Dari mathba'ah tersebut melibatkan sumbangan masyarakat berketurunan Rao atau Rawa yang menetap di Semenanjung Tanah Melayu didokumen dalam bentuk cetakan nama pada kitab-kitab.

Haji Yusuf Rawa. (1922- 2000 M). Beliau pernah menjadi wakil Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menjadi duta Iran, Iraq, Afghanistan dan Turki.
Syeikh Muhammad Murid Rawa. Syeikh Abdullah Mirdad Abul Khair menyebut bahawa Syeikh Muhammad Shalih Rawa memperoleh dua anak iaitu Ahmad dan Muhammad. Ada pun Ahmad itu anaknya ramai, mereka melibatkan diri dalam pengurusan jemaah haji. Salah seorang Syeikh Haji pada beberapa waktu yang lalu bernama Syeikh Jamal Rawa dipercayai adalah keturunan Syeikh Muhammad Shalih Rawa yang diriwayatkan ini. Tahun wafat Syeikh Muhammad Shalih Rawa dalam lingkungan tahun 1272 H/1856 M. Beliau meninggal dunia di Mekah dan dikebumikan di perkuburan Ma’la, Mekah.

Tuanku Tambusai (1784-1882 M). Walaupun Tuanku Tambusai berasal dari Melayu Riau, namun penulis memasukkan namanya di sini kerana beliau adalah murid dan teman seperjuangan Tuanku Rao melawan Belanda. Banyak pengikut Tuanku Tambusai adalah orang Rao. Tuanku Tambusai adalah seorang ulama dan pahlawan yang telah menyemaikan benih anti penjajah di tanah melayu. Beliau terkenal dengan tiga serangkai pejuang bersama Tuanku Imam Bonjol dan Tuanku Rao di Sumatera Barat. Kerana tidak mahu tunduk kepada kehendak penjajah, akhirnya beliau terpaksa hijrah ke Negeri Sembilan dan meninggal dunia di sana. Muhammad Shalih mendapat pendidikan awal dan asas daripada ayahnya sendiri. Ketika Muhammad Shalih meningkat dewasa beliau dihantar ke Rao yang lokasinya berdekatan dengan Tambusai. Setelah mendapat pendidikan Islam di Rao dan Bonjol beliau lebih dikenali dengan nama “Faqih Shalih”. Setelah itu Tuanku Rao dan Tuanku Imam Bonjol menasihatkan supaya Faqih Shalih pergi haji ke Mekah untuk mendalami ilmu di sana. Setelah kembali dari Mekah, Faqih Shalih lebih dikenali "Haji Muhammad Shalih". Dan selanjutnya dalam Perang Imam Bonjol atau Perang Paderi, beliau lebih dikenali sebagai "Tuanku Tambusai". Tuanku Tambusai dan kawan-kawan bersamanya bergabung dalam satu wadah yang dinamakan "Kaum Paderi" yang dipimpin oleh Peto Syarif yang kemudian terkenal dengan sebutan Tuanku Imam Bonjol. Tuanku Tambusai beliau telah diberi gelaran, ‘Pahlawan Nasional Republik Indonesia’ dengan SK. No. 071/TK/Tahun 1995, Tanggal 7 Ogos 1995.

Mat kilau (1865-1970M). Mat Kilau adalah pahlawan terkenal Malaysia. Nama sebenarnya adalah Mat Kilau Bin Imam Perang Rasu Indera Gajah Pahang. Menurut Zaffuan Haji Manaf, Mat Kilau adalah cucu kepada Tengku Ali atau Tok Shaharom yang dikatakan berasal dari daerah Rao Tanjung Durian Sumatera Barat.

Imam Ishak Rawa (1908-1992). Nama lengkap beliau mengikut salasilah ayahnya ialah Tuan Guru Imam Tengku Haji Ishak bin Tengku Muhammad Arif bin Tengku Tan Joleng Tujuan Saka Mas bin Tengku Merah Laut Silingkar Alam @ Limbang Laut keluarga Yang Dipertuan Muda Tanjung Alai, Mapat Tunggul, Rao, Sumatera Barat. Keluarga tersebut ada pertalian dengan Syeikh Muhammad Murid Rawa. Pada 1932 Tuan Imam Haji Ishak telah diberi tauliah imam oleh Sultan Pahang Abu Bakar. Dalam usia 24 tahun, Tuan Imam Haji Ishak telah diberi kepercayaan menjadi imam di Masjid Lechar, Raub, Pahang Darul Makmur. Berbekalkan ilmu-ilmu keislaman yang dipelajarinya dari para ulama yang dipercayai, Tuan Imam Haji Ishak berjaya menyatupadukan penduduk di kampungnya. Seorang pengasas dan cikgu sekolah di Pahang yang berasal dari Rao pula namanya di abadikan menjadi nama sekolah hingga ke hari ini bernama Sekolah Kebangsaan Muhamad Jabar Dong Raub.




2. Peranan Ulama Riau

Tengku Ali Tengku Selat. (1869- 1955 M) lahir di Pulau Penyengat [iii] (Riau). Wafat di Pulau Midai, Kepulauan Riau. Di dunia Melayu hanya beliau seorang yang diberi gelar `Gembala Perniagaan Melayu' oleh pemerintah Belanda ketika itu. Kemuncak niaga yang diusahakannya ialah Al-Ahmadiah Press, 101 Jalan Sultan Singapura yang berjasa mencetak dan menerbitkan pelbagai jenis kitab, buku, majalah dan lain-lain yang melibatkan pelbagai disiplin keilmuan, budaya dan warisan Melayu dan Islam.

Raja Ali Kelana. (w. 1927) Beliau ialah Yamtuan Muda ke-10, 1858 Masihi - 1899 Masihi). Bernama Kerajaan Riau-Lingga-Johor dan Pahang dan takluknya. Mulai tahun 1844 Masihi sampai tahun 1911 Masihi bernama Kerajaan Riau-Lingga dan takluknya. Raja Ali Kelana wafat di Johor Bahru pada 10 Jamadilakhir 1346 Hijrah/4 Disember 1927 Masihi. Pendidikan asas Raja Ali Kelana dalam bidang Islam, bahasa Melayu, bahasa Arab, adat istiadat kebangsawanan Melayu dan undang-undang kepemerintahan adalah diperoleh di Riau dan dilanjutkan di Mesir. Kejatuhan perniagaan dan termasuk tekanan pihak penjajah Belanda terhadap Raja Ali Kelana merupakan sebab beliau pindah ke Johor. Di Johor beliau dilantik sebagai Syaikhul Islam Kerajaan Johor.

Raja Ali Haji. (1808-1873M.) Dilahirkan di Pulau Penyengat Indera Sakti yang ketika itu menjadi pusat pemerintahan Riau-Lingga-Johor dan Pahang. Ibunya, Hamidah binti Panglima Malik, Selangor. Namanya sangat terkenal dalam bidang bahasa dan kesusasteraan Indonesia dan Malaysia. Nama kerajaan Riau-Lingga-Johor dan Pahang bertambah masyhur dengan kemunculan Raja Ali Haji dengan pelbagai karangannya yang bercorak sejarah yang banyak dibicarakan oleh ahli bahasa dan sastera di Nusantara, bahkan menjadi perhatian yang serius oleh orientalis Barat”. Riau adalah pusat kebudayaan Melayu dan pusat perkembangan ilmu pengetahuan keislaman yang tiada tolok bandingnya di kala itu. Kitab karangannya “Gurindam Dua Belasnya” dan Kitab Salasilah Melayu dan Bugis banyak dibicarakan. Kandungan Salasilah Melayu dan Bugis ialah menceritakan asal usul keturunan Bugis di Luwu’ Sulawesi. Kemudian kejayaan di dalam pengembaraannya di bahagian Barat Nusantara setelah menghadapi pelbagai tentangan dan peperangan yang sangat hebat dan secara berentetan. Mereka dapat berkuasa di Riau, Selangor, Mempawah, dan tempat-tempat lainnya. Salasilah Melayu dan Bugis adalah sangat penting untuk menyusun sejarah Riau, Kalimantan Barat, Sulawesi Selatan dan Malaysia. Pengaruh Raja Ali Haji di alam melayu dapat dilihat dari karya-karyanya, pemikiran dan ahli keluarganya yang menyebar di alam melayu.

Raja Haji Ahmad (1874-1963). Lahir di Pulau Penyengat Indera Sakti, bekas pusat Kerajaan Riau-Lingga, Johor dan Pahang. Dan wafat di Pulau Midai dekat Laut Cina Selatan. Susur galur Raja Haji Ahmad dari pihak sebelah ayahnya adalah kaum raja-raja Riau-Lingga, Johor atau pun Selangor. Beliau adalah seorang ulama yang hijrah bersama Sultan Melaka ke Batu Sawar, Johor, selanjutnya ke Bintan, selanjutnya ke Minangkabau, selanjutnya ke Kampar. Beberapa orang keturunannya berpatah balik ke Johor, Pahang dan lainnya, ramai yang menjadi pembesar. Keturunan beliau juga menjadi pembesar-pembesar dalam beberapa kerajaan Melayu, termasuk Pontianak dan Cam yang menyatu dengan keturunan yang berasal dari Patani.
Raja Haji (1725-1784M). Raja Haji berperang melawan Belanda bermula di Riau melalui Lingga, Rembau dan lain-lain di beberapa tempat dalam Negeri Sembilan akhirnya tewas di Melaka sebagai seorang syahid fi sabilillah. Raja Haji ialah pahlawan dunia Melayu yang terbesar atau teragung dan terhebat yang memiliki daerah operasi di daratan dan maritim yang amat luas. Raja Haji lahir di Kota Lama, di Hulu Sungai Riau, pada tahun 1139 H/1727 M dan wafat pada hari Rabu di Teluk Ketapang, Melaka, 19 Rejab 1198 H/8 Jun 1784 M. Raja Haji menyandang pelbagai gelaran yang diberikan antaranya ialah Engku Kelana (1747M - 1777M), Pangeran Sutawijaya, Yang Dipertuan Muda Riau-Johor IV (1777M - 1784M), Raja Api, Marhum Teluk Ketapang, Marhum Asy-Syahid fisabilillah. Yang terakhir, secara rasmi atas nama sebuah pemerintahan, Raja Haji dianugerahi gelaran Pahlawan Nasional Indonesia memperoleh Bintang Mahaputera Adipradana oleh Presiden Republik Indonesia di Jakarta pada 11 Ogos 1997. Tahun 1756M - 1758M Raja Haji bersama sepupunya Daeng Kemboja memimpin Perang Linggi melawan Belanda. Perang Linggi melibatkan pasukan-pasukan Melayu yang berasal dari Linggi, Rembau, Klang, Selangor dan Siak. Raja Haji merupakan satu-satunya pahlawan Nusantara yang pernah menjejak kakinya hampir ke seluruh negeri-negeri Melayu. Di antaranya Terengganu, Pahang, Johor, Selangor, Kedah, Langkat, Inderagiri, Jambi, Muntok/Bangka, Pontianak, Mempawah dan lain-lain.

3. Peranan Ulama Minangkabau

Ilyas Ya’kub. (L. 1903M) lahir di Sumatera Barat, 1903. Beliau seorang ulama alumni Mesir. Diangkat menjadi pahlawan kemerdekaan Republik Indonesia, serta dianugerahi tanda kehormat Bintang Mahaputra Adipradana atas jasanya mempertahankan prinsip-perinsip kemerdekaan dari ancaman kolonialisme Belanda sekaligus menggerakkan kemerdekaan RI. Beliau dibuang Belanda ke Digul serta beberapa tempat di Malaysia, Singapura, Brunei, dan Australia. Pernah memimpin mahasiswa Malaysia-Indonesia di Mesir, juga pendiri Partai Politik PERMI (Persatuan Muslimin Indonesia, 1932). Haji Ilyas Ya’kub di Mesir juga aktif menulis artikel dan dipublikasi pada berbagai Surat Kabar Harian di Kairo. Bersama temannya Muchtar Luthfi ia mendirikan dan memimpin Majalah Seruan Al-Azhar dan majalah Pilihan Timur. Majalah Seruan Al-Azhar adalah majalah bulanan mahasiswa sedangkan majalah Pilihan Timur adalah majalah politik. Kedua produk jusnalistik ini banyak dibaca mahasiswa Indonesia – Malaysia di Mesir ketika itu.

Haji Utsman bin Abdullah (1850-1919). Ulama yang berasal dari Minangkabau ini di antara orang yang pertama tinggal di Kuala Lumpur awal-awal Bandar Kuala Lumpur diterokai. Beliau adalah Imam, Khatib dan Kadi Kuala Lumpur yang pertama. Dilahirkan di Batu Sangkar, Minangkabau, Sumatera Barat tahun 1267 H/1850 M. Wafat di Kuala Lumpur, 1337 H/Januari 1919 M. Dimakamkan di Perkuburan Islam Ampang, bersebelahan dengan saudaranya Syeikh Muhammad Saleh bin Abdullah al-

Minankabawi. Pendidikan asas diperoleh di Batu Sangkar dan seterusnya dilanjutkan di Mekah. Haji Abdullah Hukum murid beliau mencatatkan orang-orang kaya yang berasal dari Minangkabau yang sezaman dengan Haji Utsman bin Abdullah di Kuala Lumpur peringkat awal ialah Haji Abdus Samad, Haji Abdul Majid Panjang, Haji Abdus Samad Panjang, Haji Abdus Samad Kecil, Haji Muhammad Ali, Haji Utsman, Haji Zainal Abidin, Hajah Fatimah, Haji Abdullah Panjang, Hasyim, Banginda Kaya Haji Arsyad dan Datuk Maharaja. Dari kalangan orang Mandailing pula ialah Sutan Puasa. Orang Kerinci ialah Haji Arsyad. Orang Melaka ialah Datuk Abdullah dan mentua Haji Abdullah

Hukum. Orang Pulau Pinang ialah Che' Din, Encik Baki. Orang Aceh ialah Haji Saleh dan ada seorang orang Linggi. Orang Terengganu ialah Che' Soh. Selain sebagai seorang Imam dan Khatib Kuala Lumpur, kadi, serta terlibat sebagai seorang pengusaha, beliau juga giat mengajar. Di antara muridnya ialah Sultan Abdus Shamad Selangor, Raja Mahmud, Sutan Puasa, Haji Abdullah Hukum, dan ramai lagi. Sutan Puasa yang tersebut diriwayatkan berasal dari Mandailing, Sumatera Timur, beliau adalah Ketua Melayu (Dato' Dagang) yang pertama di Kuala Lumpur. Haji Utsman bin Abdullah al-Minankabawi memperoleh 7 orang anak iaitu;

1. Saodah binti Haji Utsman kahwin dengan Haji Abdur Rauf bin Syeikh Yusuf al-Minankabawi. Syeikh Yusuf al-Minankabawi adalah seorang ulama besar Minangkabau yang tinggal di Semenanjung. Salah seorang muridnya ialah Syeikh Abdul Wahhab Rokan yang sangat terkenal.

2. Haji Abdur Rahman bin Haji Utsman, salah seorang guru bahasa Melayu. Beliau mendapat pendidikan bahasa Melayu di Penyengat, Riau. Tahun 1903 menjadi Pengawas Sekolah-Sekolah Melayu di Singapura. Salah seorang muridnya ialah Tan Sri Mubin Sheppard. Haji Abdur Rahman bin Haji Utsman meninggal dunia pada 6 Februari 1975 M.

Dari maklumat anak-anak beliau yang tersebut di atas dapat diambil kesimpulan bahawa ramai keturunan Haji Utsman bin Abdullah al-Minankabawi tersebar di pelbagai negeri.
Haji Muhammad Nur (1879-1943 M). Lahir di Sumatera Barat dalam tahun 1296 H/1879 M. Beliau meninggal dunia di Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada

1362H/1943M, dalam usia 65 tahun. Dikebumikan di Perkuburan Islam Ampang, Kuala Lumpur. Haji Muhammad Nur mendapat pendidikan awal dari ayahnya sendiri Ismail al-Minankabawi. Ayahnya termasuk salah seorang pembesar di Kerajaan Langkat. Setelah banyak memperoleh ilmu dari ayah dan ulama-ulama di Langkat, Haji Muhammad Nur dihantar ke Mekah untuk lebih mendalami pelbagai bidang ilmu. Haji Muhammad Nur belajar di Mekah sekitar 10 tahun dengan Ulama-ulama seperti Syeikh Wan Ahmad al-Fathani, Syeikh Ahmad Khatib al-Minankabawi, Syeikh Ahmad bin Muhammad Yunus Lingga, Syeikh Wan Ali Kutan, Syeikh Mukhtar bin `Atharid Bogor, dan Syeikh Usman Sarawak. Selain mengajar di Langkat, setelah beliau pindah ke Kuala Lumpur,

sahabatnya Tengku Mahmud Zuhdi yang ketika itu sebagai Syeikh al-Islam Selangor, memberi tugas kepada beliau mengajar di beberapa tempat di Kuala Lumpur di antaranya di Masjid Jamik, di Kampung Baru, dan tempat-tempat lainnya. Di antara sekian ramai muridnya yang sangat terkenal termasuk tokoh besar Indonesia dan Malaya. Diantara keturunannya ialah; 1. Haji Zainal Ariffin Abbas, 2. Al-Ustaz Haji Abdul Halim Hasan 3. Haji Abdul Rahim Haitami 4. Syeikh Abdullah Afifuddi. 5. Tengku Amir Hamzah 6. Tengku Fakhruddin, 7. Ulama-ulama di Sumatera Timur. Haji Muhammad Nur juga menghasilkan beberapa buah karangan yang ditulis dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab. antaranya; 1. Ilmoe Tashauwoef, 2. Puasa. Perkawinan Haji Muhammad Nur dengan Hajah Nafiah binti Haji Abdur Rauf bin Tok Engku Syeikh Haji Muhammad Yusuf Minangkabau dikurniakan seramai 8 orang anak:

• Muhammad Kamil, salah seorang pejuang kemerdekaan Indonesia dan Malaya. Beliau pernah menjadi Ketua Umum Persatuan Indonesia Merdeka di Malaya (1946 - 1948). Meninggal dunia di Kampung Baru, Kuala Lumpur, 1396 H/1976 M.

• Hajah Halimah Nur, Pengasas Sekolah Taman Pendidikan Islam (TAPIS) di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Tokoh ini terkenal sekitar tahun 1950 an hingga 1960 an. Meninggal dunia di Jakarta pada 1424H/2003M.

• Abdullah Kamil, beliau ini juga seorang pejuang kemerdekaan. Beliau bersama-sama dengan Ibrahim Ya'qub, Ishak Haji Muhammad, Dr. Burhanuddin al-Helmi, Ahmad Boestamam dan Raja Haji Muhammad Yunus Ahmad pernah mengasaskan Kesatuan Melayu Muda (KMM). Selain itu, Abdullah Kamil juga melibatkan diri dalam kewartawanan. Di antara akhbar yang pernah ditanganinya ialah Pengarang Akhbar Perwata Deli, Majlis Berita Malaya dan Semangat Asia. Beliau juga pernah menjadi Duta Republik Indonesia ke PBB. Meninggal dunia di Jakarta pada tahun 1991.

• Abdul Hadi Nur, juga seorang pejuang kemerdekaan. Beliau pernah menjadi Setiausaha Agung Persatuan Indonesia Merdeka (1945 - 1949), wartawan Mimbar Umum (1947 - 1948) dan Times of Indoensia (1953-1959). Meninggal dunia di Jakarta. Dan lain-lain.
Keturunan daripada lapan orang anaknya itu dipercayai bahawa Haji Muhammad Nur mempunyai keturunan yang ramai dan bertebaran sekurang-kurangnya di Indonesia dan Malaysia.

Syeikh Muhammad Zain Simabur (w. 1957 M). Beliau dilantik oleh Sultan Iskandar menjadi Syeikh al-Islam Perak. Syeikh Muhammad Saleh al-Minankabawi memegang jawatan itu pada 6 Jamadilakhir 1343 H/1 Januari 1925 M. Beliau meninggal dunia di Pariaman, Sumatera Barat, tahun 1376 H/1957 M.

Syeikh Abdul Rahman Minangkabau (1777- 1899M). Dilahirkan pada tahun 1192 H/1777 M di Batuhampar, Payakumbuh, Sumatera Barat. Beliau mengajar di rumahnya di Mekah dan Masjid al-Haram Mekah, sedang Syeikh Abdur Rahman bin Abdullah Minangkabau hanya mengajar di negerinya sendiri. Selanjutnya Syeikh Ismail bin Abdullah Minangkabau membuka tempat suluk di Semabok, Melaka, Pondok Upih di Pulau Pinang dan juga membina tempat suluk di Kedah dan Perak.

Hamka. (1908-1981M) Haji Abdul Malik Karim Amrullah lahir di desa kampung Molek, Maninjau, Sumatera Barat dan meninggal di Jakarta. Beliau adalah seorang sastrawan Indonesia, sekaligus tokoh ulama dan aktivis politik. Hamka adalah seorang tokoh dalam berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan seperti falsafah, sastera, sejarah, sosiologi dan politik, baik politik Islam maupun Barat. Dengan kemahiran bahasa Arabnya yang tinggi, beliau dapat menyelidiki karya ulama dan pujangga besar di Timur Tengah seperti Zaki Mubarak, Jurji Zaidan, Abbas al-Aqqad, Mustafa al-Manfaluti dan Hussain Haikal. Melalui bahasa Arab juga, beliau meneliti karya sarjana Perancis, Inggeris dan Jerman seperti Albert Camus, William James, Sigmund Freud, Arnold Toynbee, Jean Paul Sartre, Karl Marx dan Pierre Loti. Beliau mengikuti pendirian Muhammadiyah mulai tahun 1925 untuk melawan khurafat, bidaah, tahayul dan kebatinan sesat di Padang Panjang. Hamka pernah menerima beberapa anugerah pada peringkat nasional dan antarabangsa seperti anugerah kehormatan Doctor Honoris Causa, Universiti al-Azhar, 1958; Doktor Honoris Causa, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1974; dan gelaran Datuk Indono dan Pengeran Wiroguno dari pemerintah Indonesia. Jasa dan pengaruhnya masih terasa sehingga kini dalam memartabatkan agama Islam. Beliau bukan sahaja diterima sebagai seorang tokoh ulama dan sasterawan di negara kelahirannya, malah jasanya di seluruh alam Nusantara, termasuk Malaysia dan Singapura. Pengaruh Hamka di Nusantara dapat dilihat dari tulisannya yang berjumlah sekitar 300 judul, menyebarkan dakwah Islamiyah ke berbagai kepulauan Melayu dan memiliki ahli keluarga di Nusantara termasuk Malaysia.

Syeikh Tahir Jalaluddin al-Azhari. (1869-1956M) lahir di Cangking, Minangkabau 1286 H/1869 M. Meninggal dunia di Kuala Kangsar, Perak, 1376H/1956M. Syeikh Tahir juga mencatat siri pengembaraan dan pengalaman nya di beberapa kerajaan Nusantara, seperti di Singapura 1305H/1888M. Kehadirannya di Singapura memberi inspirasi kelahiran Muhammadiyah disana [iv]. Pada 1310H/1892M pergi ke Riau, Pulau Penyengat. Di sana beliau berjumpa dengan Syeikh Muhammad Nur bin Syeikh Ismail al-Khalidi al-Minankabawi. Raja Muhammad Tahir Hakim bin al-Marhum Mursyid, Hakim Riau, menyarankan supaya Syeikh Tahir tidak meneruskan perjalanan kerana cerdik pandai Riau bermaksud bermuzakarah kitab falak berjudul ``At-Thal'us Said'', maka beliau tinggal di Pulau Penyengat itu hingga bulan Rabiulakhir. Pada 1321H/1903M., Syeikh Tahir ke Surabaya dan singgah di Bali, Boleleng dan Ampenan. Pada 9 Ramadan 1321 Hijrah/28 November 1903 Masihi, beliau sampai di Pulau Sumbawa. dari Sumbawa menuju ke Bima. Dari Bima menuju ke Makasar dan kemudian ke Goa. Pengaruh Syeikh Tahir di Nusantara dapat dilihat dari ajaran, anak murid dan keturunannya yang menyebar di tanah melayu seperti Muar, Perlis, perak dan sebagainya

Syeikh Sulaiman ar-Rasuli al-Minangkabawi (1871-1970M). Lahir di Candung, Sumatera Barat, 1287H/1871M, wafat pada 1390 H/1970M. Pendidikan terakhir Syeikh Sulaiman ar-Rasuli al-Minankabawi di Mekah. Ulama Malaysia yang seangkatan dengan beliau dan sama-sama belajar di Mekah di antaranya ialah Syeikh Utsman Sarawak, Tok Kenali dan ramai lagi. Yang berasal dari Indonesia pula di antaranya ialah KH. Ahmad Dahlan, KH. Hasyim Asy'ari, Jawa Timur, Syeikh Hasan Maksum, Sumatera Utara, Syeikh Khathib Ali al-Minankabawi, Syeikh Muhammad Zain Simabur al-Minankabawi, Syeikh Muhammad Jamil Jaho al-Minankabawi, Syeikh Abbas Ladang Lawas al-Minankabawi dan ramai lagi. Pengaruhnya dapat dilihat dari karya tulis, ahli keluarga dan murid-muridnya yang berasal dari berbagai tempat, termasuk dari Malaysia.

Syeikh Ismail al-Minangkabawi. (1125-1260H) Kedatangan Syeikh Ismail al-Minankabawi dari Mekah ke Kerajaan Riau-Lingga dan Semenanjung Tanah Melayu, pernah diungkapkan dengan panjang lebar oleh Raja Ali Haji dalam karyanya, Tuhfatun Nafis. Menurut Ensiklopedi Islam tersebut bahawa Syeikh Ismail al-Minankabawi lahir pada tahun 1125 Hijrah dan wafat pada tahun 1160 Hijrah. Murid Syeikh Ismail al-Minankabawi daripada golongan elit Kerajaan Riau-Lingga sangat ramai, sama ada pimpinan tertinggi kerajaan, golongan cerdik pandai mahu pun golongan lainnya. Di antara mereka seumpama Raja Haji Abdullah, Yang Dipertuan Muda Riau Lingga ke-IX, Raja Ali Haji, pengarang Melayu yang sangat terkenal dan lain-lain. Kemudian beliau sendiri datang mendirikan pusat-pusat penyebarannya di Istana Pulau Penyengat, Riau, di Istana Temenggung Ibrahim di Teluk Belanga, Singapura, di Kampung Semabok, Melaka dan Kampung Upih di Pulau Pinang dan tempat-tempat lainnya

Syeikh Ahmad Khatib al-Minangkabawi. (1860-1916M) Lahir di Bukit Tinggi Sumatera Barat tahun 1860 M [v]. Seorang ulama besar Minangkabau, ahli fiqih dan hukum Islam. Banyak menulis buku tentang agama Islam dan masalah kemasyarakatan. Ayahnya bernama Abdul Latif, dari pihak ayahnya, Ahmad Khatib masih sepupu dengan KH. Agus Salim, bapak cendekiawan muslim Indonesia dan pemimpin Islam yang cukup berpengaruh. Sedangkan Ibunya bernama Limbak Urai, anak Tuanku Nan Renceh, seorang ulama Paderi terkemuka. Dari pihak ibunya ini, Ahmad Khatib masih saudara sepupu dengan Syeikh Taher Jalaluddin, seorang ulama besar Minangkabau lainnya. Dari keturunan dan lingkungan keluarganya. Ahmad Khatib berasal dari keluarga terpandang. Dalam kehidupannya, Ahmad Khatib, lebih banyak mukim dan mengabdikan hidupnya di Mekah sebagai guru agama. Namun demikian ia selalu mengikuti perkembangan daerahnya melalui orang-orang yang menunaikan ibadah haji dan yang menjadi muridnya. Sebagai seorang guru, di Masjidil Haram, Ahmad Khatib banyak memiliki murid. Di antara muridnya yang kemudian berhasil menjadi orang terkemuka, antara lain: KH. Ahmad Dahlan (pendiri Muhammadiyah), KH Hasyim Asy’ari (pendiri NU), Syeikh Muhammad Nur (Mufti kerajaan Langkat), Syeikh Hasan Maksum (Mufti kerajaan Deli), Syeikh Muhammad Saleh (Mufti kerajaan Selangor), Syeikh Muhammad Zain (Mufti kerajaan Perak), HM. Nur Ismail (Kadi kerajaan Langkat). Syeikh Jamil Jaho (Pemimpin Perti), Syeikh Muhammad Jamil Jambek, Syeikh Ibrahim Musa. Dr. Abdullah Ahmad, Dr. H. Abdul Karim Amrullah dan Syeikh Sulaiman Ar-Rasuli.

4. Peranan Ulama Tanah Melayu

Haji Abdurrahman Limbong (1868-1929M). beliau ialah seorang pahlawan bangsa Melayu di Terengganu. Lahir tahun 1285H/1868M, wafat di Mekah, 1347 H/1929M. Datuk neneknya berasal dari Patani dan Terengganu. Beliau adalah seorang ulama yang suka mengembara atau merantau ke beberapa buah negeri. Pengembaraan yang dekat dengan Terengganu di antaranya ialah Pahang. Selanjutnya Kelantan, Patani, Kedah dan lain-lain. Negeri-negeri seberang laut yang pernah beliau merantau ialah Sambas, Jambi, Riau dan Brunei. Di negeri-negeri seberang laut itu juga terdapat murid-murid Haji Abdur Rahman Limbong.

Ismail Al-Kalantani (l. 1882-1951). Lahir di Kampung Labok, Macang, Kelantan pada tahun 1293 Hijrah/1876 Masihi. Setelah memperoleh pendidikan asas di Kelantan, dihantar belajar ke Mekah. Haji Ismail Kelantan mengikut gurunya Saiyid Abdullah az-Zawawi itu berhijrah dari Mekah ke Riau dan selanjutnya ke Pontianak. Sewaktu Saiyid Abdullah az-Zawawi menjadi Mufti Pontianak, Ismail Kelantan terus bersama gurunya itu. Ismail Kelantan pulang ke Kelantan lebih awal (1325H/1908M), dan selanjutnya pergi ke Kemboja. Ismail Kelantan adalah orang pertama yang menyebarluaskan ilmu falak di Pontianak, khususnya atau Kalimantan Barat umumnya. Selain bersama gurunya Saiyid Abdullah az-Zawawi di Pontianak, Ismail Kelantan pernah menziarahi Syeikh Muhammad Yasin, seorang ulama yang berasal dari Kedah, yang tinggal di Kuala Secapah, Mempawah. Pada tahun kedatangan Ismail Kelantan ke Kuala Secapah,

Mempawah itulah Syeikh Muhammad Yasin Kedah meninggal dunia. Ismail Kelantan juga menziarahi Wan Nik, seorang ulama sufi yang berasal dari Patani. Beliau tinggal dalam bandar Mempawah. Dalam waktu yang relatif singkat, kealiman Ismail Kelantan tersebar di sekitar Mempawah dan Pontianak. Oleh sebab itu Adam, seorang hartawan Bugis di Sungai Itik, Pontianak, menjemput Ismail Kelantan mengajar di rumahnya. Mula-mula beliau dilantik sebagai Naib Hakim di Rad Agama Pontianak mulai tarikh 12 Ogos 1920 Masihi. Pada tarikh penulisan surat 28 Februari 1924, kedudukan Ismail Kelantan adalah sebagai Mufti di Kerajaan Pontianak. Karya Tulis beliau antara lain’; 1. Fatwa Daripada as-Saiyid Abdullah Ibnu Almarhum as-Saiyid Muhammad Shalih az-Zawawi. 2. Risalah Pada Bicara Jum'at dan Sembahyang Zhuhur Mu'adah. 3. Pedoman Kemuliaan Manusia.

Haji Abu Bakar Al-Funtiani. Datuk neneknya berasal dari Melaka yang terpaksa berpindah ke Bentan, seterusnya ke Kampar dan Minangkabau dalam peristiwa kedatangan Portugis. Haji Muhammad Nur Putih setelah mengembara ke pelbagai tempat di dunia Melayu akhirnya membuka kampung yang dinamakan Kampung Kemboja di Pontianak. Seluruh kampung itu adalah milik beliau. Berdampingan dengan Kampung Kemboja dinamakan Kampung Saigon dimiliki oleh Haji Yusuf Saigon adalah keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Haji Muhammad Nur Putih berkahwin banyak kali dan dikatakan mempunyai anak 27 orang. Haji Abu Bakar bin Abdul Ghani al-Funtiani pernah mengajar di Masjidil Haram, Mekah, Pontianak dan tempat-tempat lain di Kalimantan Barat, Singapura, Tembilahan dan tempat-tempat lain di Riau Daratan, juga Kepulauan Riau di antaranya pernah tinggal di Pulau Midai dan Pulau Bunguran/Natuna. Karya; 1. Tafrihul Murid wal Ikhwan fi Tahshil Tajwidil Quran, 2. Al-Muna fi Asbabil Ghina, 3. Rajaul Mustarhim fit Takhtim wat Taslim wat Tarhim.

Abdul Rahman Al-Kalantani. (w. 1971M) beliau adalah ulama yang berasal dari Kelantan, Malaysia dan menyebarkan Islam di Kalimantan Barat, Indonesia. Beliau meninggal dunia pada tahun 1391H/1971 M dalam usia melebihi 80 tahun. Kuburnya terletak di Kampung Pulau Pedalaman, Mempawah. Terdapat beberapa ulama yang berasal dari Malaysia dan datang ke Kalimantan Barat sebelum Abdur Rahman, antara mereka ialah Tuan Guru Haji Muhammad Yasin yang berasal dari Kedah. Makamnya terletak di Kuala Secapah, Mempawah. Haji Ismail bin Abdul Majid berasal dari Kelantan dan pernah menjadi Mufti di Kerajaan Pontianak. Beliau meninggal di Kelantan. Abdur Rahman belajar sambil merantau di Mekah dan sekitarnya, sehingga ketika pulang ke Kelantan beliau tidak begitu mesra tinggal di Kelantan, negerinya sendiri. Menurutnya, pada mulanya beliau akan merantau ke Banjar, kerana di sana sangat terdapat ramai ulama. Perancangan awalnya, dari Banjar beliau akan ke pulau Jawa kerana sewaktu berada di Mekah beliau sempat belajar kepada beberapa orang ulama yang berasal dari Jawa, antaranya, Syeikh Mukhtar bin `Atharid Bogor. Dari Kelantan Abdur Rahman menuju ke Singapura dan selanjutnya belayar menuju Sambas. Pada zaman itu Sambas juga terkenal dengan ulamanya yang ramai. Karya yang sempat dihasilkannya iaitu Qawaninul Mubtadi fil Fiqh.

Syeikh Abdul Wahid al-Juhuri (abad ke-16). Beliau berhasil mengislamkan Raja Buton yang ke-6 sekitar tahun 948H/1538M. Syeikh Abdul Wahid merantau dari Patani, Johor ke Buton pada tahun 1564 M. Sultan Halu Oleo dianggap sebagai Sultan Kerajaan Islam Buton pertama, bergelar Sultan atau Ulil Amri dan menggunakan gelar yang khusus iaitu Sultan Qaimuddin. Maksud perkataan ini ialah Kuasa Pendiri Agama Islam. Dalam pengembaraanya bermula dari Patani singgah di Kepulauan Siantan, menetap di Johor dan selanjutnya ke Pulau Buton.

Sulthan sulaiman (1865-1938 M). lahir pada 1282 H/1865M dan meninggal pada 1357H/1938M. Sultan Sulaiman merupakan Sultan Selangor ke-5, yang bertahta pada tahun 1898 Masihi - 1938 Masihi, memerintah dalam masa lebih kurang 40 tahun. Memperhatikan jalur keturunan di atas dapat dipastikan bahawa dari sebelah ayah baginda, Sultan Sulaiman adalah keturunan anak Raja Bugis yang berasal dari Luwuk, Sulawesi dan dari sebelah ibu baginda adalah keturunan puteri Kerajaan Riau. Datuk neneknya, Raja Lumu adalah adik beradik dengan pahlawan Melayu yang terkenal, iaitu Raja Haji asy-Syahid fi Sabilillah yang meninggal dunia dalam peperangan melawan Belanda di Teluk Ketapang, Melaka pada 18 Jun 1784 Masihi. Karya-karya beliau; 1. Kitab Pohon Ugama Bahagian Rukun Iman. 2. Kitab Melatih Kanak-Kanak Laki-Laki Perempuan.

5. Peranan Ulama Kalimantan dan Sulawesi

Mufti Jamaluddin al-Banjari. (1710-1812M) Sewaktu kembali daripada menunaikan haji, berkahwin di Kedah dan memperoleh seorang putera, Mas`ud. Zuriatnya Tuan Husein Kedah, ulama yang terkenal di Malaysia. Tahun 1258 H./1842M. raja-raja Riau di Pulau Penyengat Indera Sakti meminta kesediaannya menjadi guru di Kerajaan Riau. Karya Mufti Haji Jamaluddin al-Banjari yang paling terkenal di seluruh dunia Melayu ialah `Perukunan Jamaluddin.

Muhammad Thaiyib al-Banjari. Beliau sama pegangannya dengan Syeikh Ismail bin Abdullah al-Khalidi (Minangkabau) yang kedua-duanya hidup sezaman yang menyebarkan Thariqat Naqsyabandiyah aliran al-Khalidiyah yang tersebut dalam kerajaan Riau-Lingga dan selanjutnya di Melaka dan Kedah. Datuknya bernama Qadhi Haji Abu Su'ud diceritakan bahawa beliau pulang dari Makkah untuk meneruskan perjalanannya pulang ke Banjar telah singgah di Kedah. Sultan Kedah telah meminta kepadanya supaya tinggal di Kedah saja untuk menjadi guru baginda dan rakyat Kedah. Peristiwa yang sama berlaku pula kepada saudara kandung Syeikh Qadhi Haji Abu Su'ud yang bernama Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari diminta oleh Sultan Riau-Lingga supaya menjadi Mufti, mengajar di istana dan rakyat Riau-Lingga dalam berbagai-bagai ilmu pengetahuan Islam. Ayah beliau berasal dari Banjar sedang sebelah ibunya berasal dari Kedah. Ada tiga risalah karya ulama yang berasal dari Banjar ini yang telah dijumpai, ialah: 1. Miftah al-Jannah fi Bayan al-'Aqidah, 2. Fat-hul Hadi, 3. Bidayah al-Ghilman fi Bayan Arkan al-Iman, 4. Bidayah al-Ghulam fi Bayan Arkan al-Islam. Risalah yang kedua, Fat-hul Hadi. Risalah yang ketiga (Bidayah al-Ghilman fi Bayan Arkan al-Iman).

Gusti Muhammad Taufiq Agamuddin. Beliau adalah raja terakhir yang memerintah Mempawah. Raja Ali Haji dan penulis-penulis lain pada masa dulu, selalu menyebut hubungan kekeluargaan antara Mempawah dan negeri-negeri Melayu di Riau, Johor, Pahang, Terengganu, Selangor dan lain-lain. Ulama yang datang dari Semenanjung ke Mempawah ketika baginda memerintah antaranya ialah Syeikh Muhammad Yasin yang berasal dari Kedah, Haji Abdur Rahman bin Husein berasal dari Kelantan dan Haji Muhammad Saleh Sarawak. Ulama yang datang dari Patani ialah Haji Wan Nik al-Fathani dan Syeikh Abdul Lathif al-Fathani. Selain itu ada juga dari Arab seperti Syeikh Yusuf al-Manshuri. Dari Banjar Haji Abdul Qadir bin Ahmad al-Banjari.

Syeikh Yusuf al-Makatsari. (1626-1699 M) Beliau adalah seorang pejuang dan ulama yang tersohor sampai ke manca negara. lahir di Moncong Loe, Gowa, Sulawesi Selatan, 1626H/1036M. Seorang Ulama besar, mufti, pendiri tariqat, dan juga penulis. Wafat dan dimakamkan di tempat pengasingannya Cape Tawn. Afrika Selatan tahun 1699 dalam usia 73 tahun. Tetapi atas permintaan Sultan Abdul Jalil kepada pemerintah kolonial Belanda, pada tahun 1703 kerangka Syeikh Yusuf dipindahkan ke Lakiung, Goa, Sulawesi Selatan. Kuburannya dikenal oleh masyarakat Sulewesi Selatan dangan nama Kobbang, (kubah). Perjalanan, pengaruh dan perjuangannya meliputi Indonesia, Malaysia, Srilanka, Afrika dan sebagainya.

6. Peranan Ulama Mandailing

Syeikh Abdul Ghani al-Mandaili berasal dari Kampung Cubadak, Mandailing, Sumatera Utara kemudian pindah ke Selangor. Kedatangan Syeikh Abdul Ghani bin Abdul Hamid al-Mandaili ke Selangor kemungkinan serentak dengan kedatangan sekian ramai orang-orang yang berasal dari Minangkabau dan Mandailing terutama sekali, sewaktu bandar Kuala Lumpur mula diteroka. Beliau berhasil membangun sebuah masjid di Kampung Selayang dalam tahun 1917M. Surat sebaran ditandatangani bersama oleh beliau dan Raja Ali, Penghulu Mukim Batu, Kuala Lumpur ketika itu. Masjid yang beliau bangun bersama murid-murid dan masyarakat tersebut masih wujud sampai sekarang. Tulisan beliau antara lain; 1.Aqidatul Iman. 2. Kitab Syair Nashihat. 3. Terjemah Nazam Akidah Awam dan Syair Nasihat. 4. Risalah Nasihat dan Jaga-jaga Hati. 5. Risalah Pohon Peringatan dan Jaga-jaga Hati Bagi Agama. 6. Kaifiyat Thariqatin Naqsyabandiyah.

Syeikh Junid Thala. (l.1897 M) Lahir tahun 1897M di Hutadolok, Kenegerian Maga, Kecamatan Kotanopan. Setelah belajar di Pondok Gajah Mati, Kedah, Syeikh Haji Junid Thala pindah pula ke Madrasah al-Masriyah asy-Syubbaniyah di Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang. Di sini, Syeikh Haji Junid Thala belajar daripada pengasas madrasah itu, iaitu Syeikh Mohd. Salleh al-Masri bin Baqi bin Lundang. Syeikh Mohd. Salleh al-Masri sebelum belajar ke tempat lain pernah belajar dengan Syeikh Abdul Wahhab Rokan di Besilam, Langkat. Syeikh Abdul Wahhab Rokan pula adalah salah seorang guru Syeikh Haji Junid Thala. Setelah belajar di Besilam belajar pula daripada Syeikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fathani. Ketika Syeikh Haji Junid Thala pulang dari Mesir beliau dilantik sebagai anggota Majlis Ulama Negeri Perak oleh Sultan Iskandar Syah. Ketika belajar di Mesir, beliau sempat menjadi imam dan kemudian mengajar di Masjid al-Haram di Mekah.

7. Peranan Ulama Aceh dan Sumatera Utara

Syeikh Syamsuddin al-Sumaterani. (abad ke 16) Beliau berasal dari Pasai. Tarikh wafatnya iaitu 1039 H/1630 M. Menjadi mufti Sulthan Iskandar Muda (1607-1636) Pengaruhnya dapat dilihat dari murid, ajaran dan Karya tulis beliau yang sangat banyak dan memiliki pengaruh yang besar di dunia melayu.

Syeikh Abdul Wahab Rokan (1826-1926 M). Babussalam, Langkat, Sumatera Utara merupakan pusat penyebaran Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah yang terbesar di Sumatera sesudah aktiviti Syeikh Ismail bin Abdullah al- Minankabawi. Mursyid Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah di Babussalam tersebut pada satu ketika sangat terkenal hingga ke Semenanjung Tanah Melayu terutama Johor dan Singapura. Syeikh Abdul Wahab Lahir pada 1242H/1826M). Wafat di Babussalam, Langkat, pada 1345H/1926M. Moyangnya Maulana Tuanku Haji Abdullah Tembusai adalah seorang ulama besar dan golongan raja-raja yang sangat berpengaruh pada zamannya. Selain pendidikan dari lingkungan keluarga sendiri Abdul Wahab belajar kepada Tuan Guru Haji Abdul Halim di Tembusai. Dalam 1846 M - 1848 M Abdul Wahhab merantau ke Semenanjung, pernah tinggal di Johor dan Melaka. Dalam tempoh lebih kurang dua tahun itu digunakannya kesempatan mengajar dan belajar. Di antara gurunya ketika berada di Malaya ialah Tuan Guru Syeikh Muhammad Yusuf seorang ulama yang berasal dari Minangkabau. Masih dalam tahun 1848 itu juga Abdul Wahhab meneruskan pengembaraannya menuju ke Mekah dan belajar di sana hingga tahun 1854M. Di antara gurunya sewaktu di Mekah ialah Syeikh Muhammad Yunus bin Syeikh Abdur Rahman Batu Bara, Asahan, dan lain-lain. Syeikh Abdul Wahhab Rokan pulang ke tanah air dalam tahun 1854M dan dalam tahun itu juga mengajar di Tanjung Mesjid, daerah Kubu Bagan Siapi-api, Riau. Dalam tahun 1856 M beliau juga mengajar di Sungai Mesjid, daerah Dumai, Riau. Selanjutnya mengajar di Kualuh, wilayah Labuhan Batu tahun 1860 M. Mengajar di Tanjung Pura, Langkat tahun 1865 M. Mengajar di Gebang tahun 1882 M, dan dalam tahun itu juga berpindah ke Babussalam, Padang Tualang, Langkat. Babussalam dijadikan sebagai pusat seluruh aktiviti, sebagai pusat tarbiyah zhahiriyah, ruhaniyah dan dakwah membina umat semata-mata mengabdi kepada Allah s.w.t. Murid Syeikh Abdul Wahhab Rokan sangat ramai: Di antara muridnya yang dianggap mursyid dan khalifah dan yang sangat giat menyebarkan Thariqat Naqsyabandiyah Khalidiyah di Batu Pahat, Johor ialah Syeikh Umar bin Haji Muhammad al-Khalidi. Muridnya yang lain ialah Syeikh Muhammad Nur Sumatera. Murid Syeikh Muhammad Nur Sumatera ialah Haji Yahya Laksamana al-Khalidi an-Naqsyabandi, Rambah, Sumatera. Beliau ini adalah penyusun buku berjudul Risalah.
Syeikh Abdul Rauf Fansuri (l.1615M). Lahir di Barus Sumatera. Ada beberapa ulama besar yang sangat terkenal menyebarkan Islam di beberapa tempat di seluruh dunia Melayu yang menjadi muridnya. Antara mereka ialah, Baba Daud bin Agha Ismail bin Agha Mustata al-Jawi ar-Rumi. Beliau ini berasal daripada keturunan ulama Rom yang berpindah ke Turki, keturunannya pula pindah ke Aceh sehingga menjadi ulama. Keturunan beliau pula ada yang berpindah ke Patani, sehingga menurunkan ulama terkenal iaitu Syeikh Daud bin Ismail al-Fathani. Murid Syeikh Abdur Rauf bin Alial-Fansuri di Semenanjung Tanah Melayu yang paling terkenal ialah Syeikh Abdul Malik bin Abdullah Terengganu atau lebih popular dengan gelar Tok Pulau Manis. Syeikh Abdul Rauf bin Ali al-Fansuri termasuk dalam golongan ulama dunia Melayu yang produktif dalam bidang karangan dalam bahasa Melayu.

Abd Al-Ra`uf Al-Sinkili` (1024-1615 M). Beliau adalah seorang melayu berasal dari Singkel Aceh. Beliau adalah seorang ulama mujaddid terpenting di Nusantara yang meninggalkan banyak karya tulis. Sinkili banyak meninggalkan murid di Nusantara antaranya Burhanuddin Ulakan di Sumatera Barat dan Tok Pulau Manis di Tanah melayu.

Syeikh Hamzah al-Fanzuri. (1592-1607 M) Lahir di Aceh tahun 1001H/1592M, wafat 1016H/1607M. Selain belajar di Aceh sendiri beliau telah mengembara ke pelbagai tempat, di antaranya ke Banten, Jawa, Semenanjung Tanah Melayu, India, Parsi dan Arab. Syeikh Hamzah al-Fansuri sangat mahir dalam ilmu-ilmu fikah, tasawuf, falsafah, mantiq, ilmu kalam, sejarah, sastera dan lain-lain. Dalam bidang bahasa pula beliau menguasai dengan kemas seluruh sektor ilmu Arabiyah, fasih dalam ucapan bahasa itu, berkebolehan berbahasa Urdu, Parsi, Melayu dan Jawa.

Syeikh Nuruddin ar Raniri (w. 1658 M). Beliau lama tinggal di Aceh, Pahang dan Kedah dalam rangka menyebarkan ajaran Islam disana dan beliau banyak mengarang kitab-kitab dalam bahasa Melayu. Selama menetap di Pahang atau pun setelah beliau pindah ke Aceh, ramai penduduk yang berasal dari dunia Melayu belajar kepada ulama besar itu diantaranya Syeikh Yusuf al-Makatsari. Menurut Hamka, diawal kemasukan Islam lagi bahasa Melayu telah mulai menjadi bahasa untuk ilmu pengetahuan agama yang mendalam.

Analisa dan Kesimpulan
Kesamaan dari segi alam, ekonomi, politik, sejarah silam. bentuk tubuh, warna kulit, budaya, bahasa, agama dan berbagai-bagai kesamaan lainnya membuat manusia di kepulauan Nusantara merasa bersaudara antara satu dengan lainnya. Belum ada mengenal sistem pasport, visa dan fiskal ketika itu. Asia Tenggara pula pernah menjadi sebuah kesatuan disaat permukaan air laut turun.

Berbagai-bagai kesamaan ini dimanfaatkan oleh para Ulama melayu silam dalam memainkan peranan untuk menjalin ukhuwah Islamiyah. Mereka menyatukan hubungan persaudaraan di kepualauan Melayu melalui hubungan perkahwinan, tali persaudaraan, ukhuwah Islamiyah, dan melalui karya-karya mereka baik berupa karya tulis mahupun ajaran buah pemikiran mereka. Ulama memiliki kedudukan yang tinggi dalam struktur masyarakat Melayu Silam dan masyaraka pula sangat menghormati ulama tanpa mengira asal dan batas geografi.

Nusantara adalah sebuah kesatuan yang tidak dapat dipisahkan bagi para ulama silam, sehingga mereka dengan selesa dan bebas melakukan dakwah islamiyah, berjuang mencerdaskan umat Islam dimanapun mereka berada. Bahkan didapati ramai para ulama tersebut tidak meninggal dunia dikampung halamannya, tetapi di tempat mana mereka berjuang dan berdakwah.

Hampir semua penyebab merenggangnya hubungan Indonesia-Malaysia adalah disebabkan oleh kepentingan politik penguasa yang berkuasa pada zaman setelah kemerdekaan. Media pula memiliki peranan yang kuat dalam mempererat atau merenggangkan hubungan persaudaraan di kepulauan Melayu. Keadaan ini diperburukan lagi dengan tidak merdekanya media dalam menyampaikan berita yang selalu menerima titipan-titipan dan bisikan-bisikan daripada ahli politik yang sedang berkuasa.
Bangsa melayu adalah bangsa besar seramai 300 juta melayu didunia. Jumlah yang besar itu hanya akan menjadi laksana buih di lautan yang selalu mengikuti kemana arah angin bertiup kalau persatuan dan kesatuan tidak dijaga dan kalau kepentingan-kepentingan sesaat mengalahkan kepentingan jangka panjang lainnya.

Umat Islam itu adalah bersaudara dan setiap orang Islam diwajibkan mendamaikan saudara mereka yang bertikai, bukan malah memecah belah antara satu dengan lainnya. Diharapkan hubungan kekeluargaan, suku kaum dan seagama yang telah terjalin ribuan tahun lalu di kepulauan Nusantara ini, tidak dicabikkan oleh kepentingan politik sesaat dan nasionalisme sempit yang baru lahir beberapa puluh tahun ini sahaja.

[i]Disampaikan dalam Persidangan Hubungan Indonesia dan Malaysia 2009 Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, 6-8 Ogos 09. Email: adirao76@gmail.com
[ii] PhD Student, Bahagian Sains Politik Islam, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia. (Untuk Kegunaan Blog ini, footnote sengaja Penulis hilangkan)
[iii] Pulau Penyengat adalah pusat kerajaan melayu Riau Lingga, Johor dan Pahang ketika dulu. Saat ini Pulau tersebut bagai museum hidup. Di sana masih tersimpan dan dijaga dengan baik berbagai peninggalan lama seperti masjid, istana, kuburan tokoh, kitab-kitab lama. Kunjungan dan wawancara penulis pada 17 June 2009 di Pulau Penyengat.
[iv] Wawancara dengan Presiden Muhammadiyah Singapura Shaik Hussain Shaik Yacob di Singapura pada 16/06/09 di Singapura.
[v] Tepatnya di Koto Tuo, tempat itu juga di lahirkan H. Agus Salim yang juga sepupu Ahmad Khatib. Hasil kunjungan penulis pada 23 Mei 2008 mendapati tempat itu sangat asri, tenang dan cantik yang berada diantara gunung merapi dan sunung singgalang. Ketenangan dan kecantikan tempat seperti Danau Maninjau dan Koto Tuo, Pulau Penyengat dan sebagainya mungkin mempengaruhi dalam pembentukan dan melahirkan tokoh.