JABATAN BEKALAN AIR PAHANG DIKORPORATKAN FEBRUARI 2009
KUANTAN . - Jabatan Bekalan Air (JBA) Pahang akan dikorporatkan menjelang Febuari 2009 bagi mempertingkat dan memperbaiki mutu perkhidmatan bekalan air kepada rakyat di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Pusat Pertumbuhan Desa, Datuk Mohd. Sofi Razak berkata, kerajaan negeri kini dalam proses untuk mengkorporatkan JBA Pahang bagi memperbaiki mutu perkhidmatan bekalan air.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Mohd. Fadzil Osman (BN-Kemayan), berhubung kos dan masa yang diperlukan untuk menukar keseluruhan paip air lama di Pahang pada mesyuarat penggal pertama Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-12 di Wisma Sri Pahang, di sini Selasa lalu.
Terdahulu, Leong Ngah Ngah (DAP-Triang) mengemukakan soalan mengapa kejadian paip air bocor dan pecah sering berlaku walaupun telah dibaiki banyak kali dan adakah kerajaan bersedia melantik kontraktor yang lebih profesional untuk menangani masalah tersebut.
Pada menjawabnya, Mohd. Sofi berkata, Pahang memiliki lebih 8,000 paip air berusia di antara 40 hingga 50 tahun yang sering terdedah kepada pelbagai permasalahan termasuk bocor dan pecah.
Menurutnya, JBA mengalami kesukaran untuk mengatasi masalah itu ekoran kekurangan kakitangan, peralatan serta peruntukan yang terhad dan terpaksa melantik kontraktor yang pakar sekiranya ia melibatkan sebuah kerja yang agak besar.
''Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), kita telah memohon peruntukan sebanyak RM1.7 biliion, tetapi yang diluluskan adalah RM687,000.
''Maka, jumlah itu kurang daripada separuh sedangkan kerja-kerja mengganti paip lama sahaja sudah menjangkau RM1 billion," jelasnya.
Oleh itu, katanya, sebuah program menggantikan paip lama bernilai RM30 kini sedang dilaksanakan dan tempoh yang diperlukan untuk menyelesaikan program tersebut mungkin agak lama.
Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.14, 30 Nov - 6 Dis 2008
No comments:
Post a Comment
KOMEN ANDA