ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Sunday, October 18, 2009

Sedutan ucapan penggulungan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak: Bangkit bersama kekuatan baru



Sedutan ucapan penggulungan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak: Bangkit bersama kekuatan baru

BH/17.10.2009

SAYA ingin menyatakan bahawa Perhimpunan Agung ke-60 ini adalah antara yang terbaik pernah saya hadir kerana saya lihat kita telah menghadapi ujian yang begitu besar dan selama setahun saya berasa agak sukar, agak gundah gulana juga hati saya melihat bahawa sama ada anggota parti kita sudah pulih dari segi semangat atau tidak, sudah boleh bangkit semula atau tidak, sudah sedar atau tidak, sudah benar-benar insaf atau tidak.

Maka hari ini bila saya berdiri di hadapan tuan-tuan dan puan-puan, segala kesangsian itu sudah luput sama sekali, saya berani menyatakan dan saya cukup yakin bahawa Umno pada saat ini, ketika ini, bersedia untuk bangkit, bangun sebagai satu kekuatan baru.

Tuan-tuan dan puan-puan,


Pada mula perhimpunan ini, hadir seorang mantan presiden kita (Tun Dr Mahathir Mohamad), maka perhimpunan kita ini ditutup dengan dihadiri seorang lagi mantan Presiden Umno.

Saya sesungguhnya ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berbahagia Pak Lah bukan saja kerana dia hadir dalam perhimpunan ini, bukan saja kerana dia pilih tak mahu duduk tempat VVIP di atas, tapi duduk di bawah sebagai Ketua Umno bahagian Kepala Batas, tetapi dia juga telah melafazkan dua janji kepada saya.

Bila Pak Lah berhenti, dia janji dua perkara kepada saya. Yang pertama, dia janji bahawa dia tidak akan kritik saya. Saya nak kata Pak Lah bukan saja tak kritik saya, tapi dalam apa hal juga saya buat, dia jadi penyokong kuat saya.
Yang kedua, dia janji pada saya, dia kata buatlah yang terbaik, malah dia kata kalau saya buat lebih baik daripada dia, dia lebih suka dan dia tetap akan sokong apa yang saya lakukan.

Jadi, hari ini dalam perhimpunan ini saya nak melahirkan penghargaan Umno dan penghargaan saya, penghargaan saf kepemimpinan kepada Pak Lah.

Sidang perwakilan sekalian,

Perhimpunan kita pada kali ini bersejarah kerana sejak penubuhan Umno pada 1946, perhimpunan kali ini membuat satu perubahan dari segi perlembagaannya. Perubahan perlembagaan pada kali ini yang paling signifikan, paling radikal, paling besar pernah dilakukan dalam sejarah perjuangan parti keramat kita ini.
Ya, kita pernah pinda perlembagaan dulu, malah Umno pernah diharamkan pada 1987, kita buat Umno baru, tapi kita memperketatkan proses pemilihan dalam parti kita, kita tentukan sistem bonus, kita tentukan sistem kuota, kita buat ini kerana kita tak cukup yakin akan kestabilan dalam parti, tetapi kali ini kita ambil keputusan hapuskan sistem kuota sama sekali dalam parti ini.

Sistem kuota ini kita hapuskan bukan untuk jawatan ketua bahagian saja... Saya kira tak adil kalau ketua bahagian saja sistem kuota kita hapuskan, tetapi jawatan presiden, timbalan, naib dan ahli Majlis Tertinggi (MT) kita ada sistem kuota.

Kita seolah-olah nak melindungi kepentingan kita dan jawatan tinggi di sebalik sistem kuota. Maka, bila perkara ini dibincang dalam Mesyuarat Biro Politik Umno, saya dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden, kami berdua kata kami rela tidak berselindung di sebalik sistem kuota ini.

Ada orang kata Datuk tak takut ke tak ada perlindungan? tak ada perisai lagi, saya kata perisai saya ialah ahli-ahli Umno semua sekali. Kalau saya seorang presiden yang bekerja dengan baik, yang dapat berkhidmat kepada parti, yang dapat membela dan menjadi juara kepada rakyat, yang dapat bangunkan negara kita, maka nasib saya, saya serah kepada ahli Umno untuk tentukan.

Saya boleh cari jalan mudah sebab dalam perlembagaan sebelum ini, kuota untuk (bertanding) presiden berapa?... 58 bahagian mesti calonkan seseorang sebelum seseorang itu layak bertanding jawatan presiden. Cuba fikirkan, boleh dapat 58 bahagian bukan mudah, biasanya dapat satu, dua... dua pun susah.

Jadi kalau saya nak jadi presiden sampai bila?, presiden seumur hidup?... saya tentu sekali akan kekalkan perlembagaan lama, tetapi pada saya, biarlah saya serahkan untung nasib saya kepada ahli Umno untuk tentukan dan semangat yang sama juga ada pada timbalan presiden.

Kita nak berkhidmat selagi khidmat diperlukan ahli parti dan khidmat kami diperlukan kalau kami dapat menentukan kepemimpinan yang membawa kepada keberhasilan, kepada 'outcome', kepada 'success', kepada kejayaan, kepada pencapaian dan itulah yang jadi dorongan paling kuat untuk kami berdua dan rakan lain untuk bekerja lebih kuat dan bersungguh lagi.

Tak mahu lagi orang kata, orang di bawah kerja, kami di atas ini tak buat kerja. Kami di atas ini duduk atas kerusi empuk, melunjur kaki. Kami mahu menjadi pemimpin teladan yang baik, kalau kami suruh orang bawah kerja, kami juga akan bekerja sepenuh hati dengan komitmen tidak berbelah bahagi.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada ketua bahagia Umno yang selama ini orang cap sebagai 'warlord', maknanya nak jaga kedudukan masing-masing, pertahankan kedudukan masing-masing.

Datuk Hisham (Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein) punya panik sampai jam 2, 3 pagi tak tidur buat pindaan perlembagaan, takut ketua bahagian tak setuju, tetapi saya berterima kasih dan melahirkan penghargaan kepada semua ketua bahagian sebab dalam hal ini, apa yang diuar-uarkan sebenarnya ketua bahagian bukan 'warlord', tapi inginkan perubahan supaya Umno lebih demokratik, lebih terbuka.

Apa lagi signifikan dengan perubahan perlembagaan?, kita nak sifat lebih inklusif, kita nak terima semua golongan dalam parti kita supaya parti kita lebih kuat, jadi kita permudahkan siapa nak masuk.

Sekarang ini, ketua cawangan boleh `sign (luluskan permohonan keahlian Umno), ketua Pemuda boleh sign, ketua Wanita boleh sign, ketua Puteri pun boleh sign. Jadi, Umno jadi parti yang membuka pintu seluas-luasnya kepada sesiapa yang ingin jadi ahli Umno.

Jadi kita kembali kepada asal Umno ditubuhkan, Umno kuat pada awal penubuhannya kerana Umno parti pergerakan massa... 'mass involvement', bukan parti elitis, bukan kepunyaan mana-mana golongan, bangsawan, tetapi parti perhimpunan segala kepemimpinan Umno dari semua latar belakang boleh berhimpun, bernaung dan bergerak sebagai satu pergerakan yang mencerminkan hati nurani orang Melayu... ini kekuatan kita.

Jadi jangan lagi kita nak sekat, jangan ada cerita orang hilang... macam saya sebut dalam taklimat presiden... pegawai di pejabat saya ada kelulusan baik, integriti, graduan... tiga kali memohon (jadi ahli Umno), tiga kali borang hilang. Jadi Umno hilang dia, nasib baik dia masih lagi sokong kita, nak sokong Umno.

Cuba kalau puak sebelah sana pelawa dia, bila-bila masa boleh masuk. Bukan saja tempat, boleh bagi jawatan. Ini sebabnya kita hilang orang yang patut berjuang untuk Umno kerana kita tidak bersifat terbuka kepada mereka.

Sekarang ini, kita tinggalkan... Tan Sri Muhyiddin sebut fiil, kelakuan, perangai yang tak baik ini kita buang. Sempena perlembagaan baru ini, kita buang... kita lakukan pembaharuan. Pembaharuan bukan bersifat perlembagaan saja, tetapi juga bersifat dari segi budaya, sikap kita.

Jadi kita bersifat inklusif, jaga semua. Perlembagaan baru ini kita bagi kedudukan istimewa pada Wanita. Wanita dapat perwakilan tambahan seorang lagi di peringkat bahagian supaya Wanita jadi nadi, penggerak kepada parti.

Waktu pilihan raya, jentera utama ialah jentera Wanita. Mesyuarat cawangan kalau tak ada Wanita, tak cukup korum... betul tak?. Jadi jangan sampai kita tak ada sikap sedemikian rupa. Selain Wanita, kita juga mesti jaga Pemuda.

Saya nak berkongsi cerita, saya punya rakan sejawat waktu jadi Menteri Pertahanan ialah Menteri Pertahanan Afrika Selatan, saya nak kongsi cerita ini sebab besar maknanya.

Dia dipenjarakan di Robin Island, Cape Town bersama Nelson Mandela. Waktu musim sejuk, terlalu sejuk... bila terpaksa berada di luar penjara, mereka buat dua bulatan. Satu bulatan luar, satu bulatan dalam, tapi yang menariknya, bulatan luar itu siapa dia... orang lama duduk di bulatan luar, yang muda ada di dalam bulatan, kenapa?... sebab kepada mereka yang berjuang atas nama perjuangan, yang penting ialah perjuangan. Jadi kalau orang muda boleh hidup lama, maka selama mereka hidup itulah perjuangan dapat diteruskan.

Pada mereka, mereka korbankan diri. Yang lama korbankan diri untuk menjamin kelangsungan perjuangan mereka menentang dasar Apartheid. Jadi inilah pemikiran orang perjuangan, ini orang yang pentingkan perjuangan. Dia memikirkan kejayaan matlamat perjuangannya, bukan kedudukan dia.

Kalau bukan orang perjuangan... eh saya dululah, saya utamakan saya. Maknanya pernah saya sebut maruah saya, kepentingan saya, walaupun saya sudah lama, saya nak lagi (jawatan), tak bagi peluang kepada orang lain.

Kita tak jaga generasi baru... inilah yang menyebabkan generasi baru jauh dari kita. Mereka jauh dari kita bukan kerana tak mahu sokong Umno, kerana tak bagi tempat kepada mereka, tak iktiraf mereka.

Mereka berjaya menumbangkan apartheid kerana bila orang lama tumbang, orang baru akan gantikan mereka. Jadi ini pemikiran baru kita yang mesti ada dengan perubahan ini. Bukan pinda perlembagaan, selepas itu fiil yang dulu lagi.

Walaupun lebih susah lagi... 146,000 (perwakilan) nak pilih kita (pemimpin), bukan 2,500. Kalau 2,500 orang, kita boleh kenal, boleh hafal nama, yang bertanding semua hafal nama dia, tahu nombor telefon, tahu belaka.

Kita nak ubah orang susah, cuba nak ubah manusia... manusia biasa nak ubah manusia lain tak boleh. Jadi kita buat satu sistem lebih ketat, kita menjuruskan orang ke arah perubahan, lambat laun akan jadi orang baik, insya-Allah.

Kalau dari malaikat jadi syaitan, dari syaitan jadi malaikat sebab sistem ini akan paksa dia ikut peraturan. Saya beritahu jangan sesekali cuba merosakkan sistem baru ini.

Kita serius kali ini, minta maaf kalau ada yang cuba (merosakkan), cuba eksploitasi sistem ini, masing-masing tanggung. Kita nak tampilkan imej Umno yang bersih, integriti, disenangi rakyat, ini juga perubahan kita.

Bila rakyat tengok kita, dia tengok parti ini betul-betul nak tolong kita, Umno ini nak bantu kita, nak jadi juara rakyat... bukan kalut sesama kita, bukan berbalah sesama kita, bukan he he dapat kontrak, surat coklat... tolong tenyeh (sokong) sikit Datuk. Jumpa saya boleh, tapi kita mesti buat kerja, paling penting buat kerja. Saya nak Umno jadi juara kepada rakyat, kita jadi parti juara rakyat, tak payah sangat formula roket sains.

Ada banyak orang sebut mengenai peruntukan, semua nak peruntukan... perlukah peruntukan. Tapi saya nak beritahu ada yang tak perlu peruntukan, banyak yang tak perlu peruntukan kalau kita buat.

Kita berubah dari malas jadi rajin, perlu peruntukan?... tak perlu. Yang bersifat malas selama ini, tiba-tiba dia rajin, siang malam turun bawah jumpa rakyat, perlu peruntukan?.... tak perlu, dia boleh kerja. Lepas itu kalau dia jenis sombong atau action, jadi dia sifat rendah diri, perlu peruntukan?... tak perlu. Daripada suka berdebat kepada suka bekerja, tak perlu (peruntukan). Daripada suka mencari kesalahan orang... ada sesetengah orang semua orang buat tak betul, dia saja yang betul. Kalau ubah fiil itu, perlu peruntukan?.

Kepada yang suka mencetuskan perselisihan... batu api, batu 'ronson', suka kipas, kalau tak jadi lagu (macam) itu, perlu peruntukan?... tak perlu. Kalau dari sikap menjauhi rakyat ubah kepada dekati rakyat, perlu peruntukan?... tak perlu.

Tapi kalau aktiviti Umno, nak tambah aktiviti, kita sanggup beri peruntukan tambahan. Aktiviti saya sebut program... tapi (peruntukan) tak boleh serah bulat-bulat, dia tunggu masa nak pakai. Buat program, tambah pengundi, kita bagi peruntukan.

Saya sudah berjanji di Janda Baik (pusat latihan Umno), banyak kita janji di Janda Baik ini. Ya kita bagi peruntukan tapi buat kerjalah, pergi cari pengundi baru.

Kita dok gaduh memang betul parti lawan buat kerja tak senonoh, memang betul... tapi apa ke hal Umno ini. Saya nak beritahu dalam setahun ini tak buat kerja tambah pengundi pun. Mengikut rekod, Umno kaku tak bergerak tambah pengundi. Jadi mulai hari ini, kita buat kerja tambah pengundi, tambah ahli Umno... baru kita kuat.

Saya nak beritahu dalam sistem demokrasi berparlimen ini, ada dua benda. Satu, politik 'is a game of numbers', ingat itu... bilangan. Kalau lebih (bilangan), kita menang, itu saja.

Masa saya mula masuk politik, masa (Umno) kuat dulu, saya tak fikir banyak... pergi rasmi cawangan pun sudah cukup, pilihan raya gerenti menang. Sekarang tak boleh macam itu lagi. Sebab itu kita mesti ada program 'outreach' supaya NGO (badan bukan kerajaan) dalam kawasan kita mesti sokong kita, setiap PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) mesti sokong kita, mereka yang menentang kita kalau kita dekatkan diri dengan mereka, silap-silap mereka sokong kita.

Namun, bukan semua menentang kita... Pas pun bukannya semua hitam legam, walaupun ada hitam tapi boleh kikis, kita berus kikis... hilang hitam itu atau hijau dan boleh jadi warna kita nanti.

Sebab itu, dalam pertandingan ada yang sokong kerana parti dan ada yang sokong kerana peribadi. Maka, personaliti calon itu penting, kalau kadang-kadang kita letak calon atas nama parti tapi mereka tak suka parti, boleh jadi mereka tak undi kita.

Tapi, kalau mereka suka calon, suka parti, mereka akan undi kita, kita menang. Sebab itu saya pilih Tan Sri Isa (Samad) di Bagan Pinang. Saya kata, kalau nak diikutkan Tan Sri Isa dari segi kesalahan, kita sudah hukum dia. Dalam sistem undang-undang negara, orang kena hukum dan cukup edahnya, kita tak boleh hukum sekali lagi.

Malah, dalam undang-undang Islam pun, seseorang sudah jalani hukum di dunia, akhirat dia terlepas. Jika Tan Sri Isa walaupun dia kena hukum, hilang jawatan, dia taat setia kepada parti. Dia tidak merajuk.

Puak sebelah sana (pembangkang) jangan cakap besar. Ada orang kena hukum, hari ini macam dia yang hebat sangat. Yang dikenakan tindakan disiplin kewangan pun ada sebelah sana, baru masuk baru-baru ini. Dulu dia kena tindakan disiplin kerana politik wang, dia terpaksa lepas jawatan. Sekarang dia berada di sebelah sana. Jadi, jangan cakap besar.

Yang penting, kita mesti berlaku adil. Yang penting, kalau orang itu sudah dijalankan hukuman, dia masih taat kepada parti dan kawasan itu orang hendak dia, tak ada orang lain, kita patut bagi dia. Itu sebab saya pilih Tan Sri Isa jadi calon.

Bila kerja satu pasukan, bila bahagian berjalan baik, calon baik dan badan perhubungan baik... Datuk Mat Hasan (Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan) kita pun kerja kuat juga. Jentera di bawah Tan Sri Muhyiddin kerja kuat, kita menang di Bagan Pinang dengan majoriti berganda 132 peratus lebih besar daripada pilihan raya 2004.

Sebab itulah satu sebab ada suntikan semangat bila masuk dewan ini. Cuba kita kalah di Bagan Pinang, macam mana rupa perwakilan... monyok, muram, jalan pun satu macam, rasa nak marah.

Bila menang, semua ceria... perlembagaan pun lulus. Cuba kalah, barangkali lulus juga tapi buat pindaan atas pindaan lagi. Ini sebab saya kata saya setuju selepas dapat semangat dari Kampung Janda Baik. Saya setuju sangat kursus di Janda Baik itu bagus sebab kita sama taraf, bercampur menteri dan bukan menteri supaya lebih kenal satu sama lain. Kita nak semangat itu.

Saya pun basuh pinggan (sepanjang berkursus), saya tak beritahu orang rumah sayalah... sekarang dia sudah tahu. Kita beratur basuh pinggan, senam pun kita bersenam, kursus kita bagus, semangat bagus. Sebab itu, enam bulan lagi, kita balik semula (berkursus) dan setiap kali MT bermesyuarat, kita nak laporan daripada pengerusi perhubungan... buat kerja ke tak buat, jangan sedap jadi pengerusi perhubungan tak buat kerja, kena buat kerja... kalau nak kekallah.

Jangan harap orang bawah saja buat kerja... semua kena buat kerja, pengerusi perhubungan buat kerja, pengerusi biro buat kerja, barulah kepemimpinan kita ada dinamik, segar. Kita suruh dia buat kerja, OK Tok... inilah semangat yang kita nak, jadi banyak signifikan perhimpunan kita ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Semangat kita sudah cukup kuat, berkobar-kobar. Saya nak tanya apakah tuan-tuan sedia untuk berubah, adakah sedia untuk bekerja, adakah akan mendekati rakyat, adakah sedia jadi parti yang kuat, adakah sedia berkhidmat untuk rakyat (sambil disambut dengan sahutan sedia oleh perwakilan).

Jadi, kita sudah bersedia, semboyan sudah berbunyi... kita bingkas bangun balik ke kota dan desa, tebarkan Umno. Kuatkan semangat kita, berjuang habis-habisan, insya-Allah Umno akan jadi parti yang kuat nanti... insya-Allah.

Hidup Umno, Hidup Umno, Hidup Umno, sekian terima kasih, Assalamualaikum WBT.

Thursday, October 15, 2009

Tradisi dijunjung perubahan dizahir



Tradisi dijunjung perubahan dizahir
(Ucapan Dasar Pertama Najib, Presiden UMNO)
Berita Harian/16.10.2009

Umno terus bangkit bina keagungan bangsa yang cemerlang

SEAWALNYA saya ingin berkongsi Firman Allah SWT dalam surah As-Saff ayat yang ke-4:

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berjuang di jalan-Nya, dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti satu 'bun-ya-nun-marsus' yakni bangunan yang tersusun kukuh."

Kemudian, pesan daripada Saidina Ali bahawasanya: "Sesuatu yang benar dan hak namun tidak tersusun akan dikalahkan oleh yang batil dan salah, tetapi diatur dengan tersusun."

Pertama sekali, seperti lazimnya, marilah kita mengangkat rasa syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT, Tuhan seru sekalian alam, yang mana dengan keredaan-Nya jua, dapat kita sekali lagi berhimpun pada pagi yang mulia ini.

Sesungguhnya Dewan Merdeka ini telah beberapa dekad menjadi saksi kepada pelbagai peristiwa, silih berganti, perjalanan suka duka, pahit maung dan manisnya sebuah parti keramat yakni Umno, parti kita semua.
Perhimpunan pada pagi ini juga penuh bermakna dan bertuah, kerana di bawah bumbung Umno, hadir dua mantan Presiden yang kita kasihi. Marilah kita sambut dan raikan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Demikianlah contoh semangat juang dalam jiwa pemimpin Umno yang tidak pernah pudar; bahkan terus mekar, terus bersedia untuk bersama-sama dalam sebuah perjuangan yang belum selesai, demi membina bangsa yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Dengan semangat dan kekuatan inilah, kita akan bangkit kembali membina keagungan bangsa yang sungguh banyak jasanya pada negara tercinta.

Perhimpunan Agung kali ini mencatat beberapa mercu tanda. Bagi diri saya pertamanya, satu sejarah secara peribadi kerana inilah ucapan dasar sulung saya, selaku Presiden Umno sejak mengambil alih pucuk pimpinan, secara rasmi pada Mac lalu. Syukur, peralihan kuasa yang tertib, lagi licin bersandarkan tradisi mulia Umno telah berlangsung dan dimungkinkan oleh Tun Abdullah.

Keduanya, perhimpunan kali ini hanya dalam jangka masa enam bulan saja dari tarikh perhimpunan yang lalu, menyaksikan satu langkah yang amat berani Umno membuat pindaan sangat besar terhadap perlembagaan parti seraya membuktikan Umno tidak jumud dan bukanlah parti yang lapuk. Sebaliknya, dengan pindaan ini, jelas memperlihatkan kesungguhan Umno untuk menjadi sebuah parti yang dinamik, progresif dan responsif kepada kehendak semasa.
Ketiganya, perhimpunan ini akan menjadi titik monumental, kepada Umno yang akan meninta perjalanan di atas lembaran baru, dengan semangat baru, pendekatan baru dan hala tuju yang baru.

Begitulah, pada pagi bermakna ini, dalam keceriaan Syawal yang mulia, meraikan kemenangan, menentang kehendak hawa nafsu di Ramadan lalu, kita sewajarnya dengan penuh rasa syukur mengucapkan pula ungkapan Alhamdulillah, ke hadrat Yang Maha Kuasa atas kejayaan kita, mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang dengan lonjakan majoriti yang berganda.

Sayugia, saya merakamkan sekalung kata terima kasih kepada semua pimpinan di setiap peringkat yang telah bertungkus lumus, bekerja keras serta orang ramai terutama pengundi dalam menggondol kemenangan bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden parti. Sememangnya kejayaan ini, membenarkan hakikat bahawa, Umno masih parti pilihan orang Melayu dan masih parti pilihan rakyat.

Ini membuktikan juga bahawa rakyat tempatan dari semua kaum dan semua lapisan telah menyuarakan keinginan mereka dengan jelas untuk terus berlindung di bawah naungan Barisan Nasional. Kenapakah, pilihan ini dibuat, tuan-tuan dan puan-puan? Sudah terang lagi bersuluh, kerana Barisan Nasional parti yang terbukti kecemerlangannya dalam pentadbiran negara, kerana Barisan Nasional yang sebenarnya menjadi pembela rakyat selama ini.

Walau apa pun, kita harus menerima kemenangan ini dengan tenang, penuh tawaduk dan rasa kerendahan hati. Seperti kata pepatah Inggeris one swallow does not make a summer, takkanlah dek kerana seekor burung lelayang, kita merasakan musim panas sudah tiba, atau, disesuaikan dalam simpulan bahasa Melayu 'Janganlah kerana mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan'. Kita tidak boleh mudah berasa selesa atau lega bahawa kita menjadi parti pilihan rakyat, hanya kerana tiada parti lain yang boleh diharapkan, atau dengan kata lainnya, yang terbaik antara yang buruk ataupun kurang baik.

Di Bagan Pinang, kita dapati orang bukan Melayu menerima Umno dengan hati yang terbuka. Jelasnya, di kawasan pilihan raya yang pengundinya terdiri daripada masyarakat majmuk seperti ini, kita mahukan Umno diterima rakyat sebagai sebuah parti yang memperjuangkan bukan saja untung nasib Melayu dan Bumiputera akan tetapi menjangkau semua kumpulan etnik di Malaysia.

Ini bertepatan dengan Surah Al-Maidah ayat kelapan, di mana Allah SWT menyeru kita, supaya menjadi orang yang berlaku adil, serta menegakkan kebenaran kepada semua kaum dan bangsa, kerana berlaku adil itu dekat kepada taqwa. Kalau kita menjaga kebajikan semua rakyat, maka pastinya rakyat, tanpa mengira bangsa dan keturunan, akan dengan relanya menyokong serta mengangkat kepimpinan parti kita.

Dalam hal ini, mahu tidak mahu, Umno perlu menjadi parti yang lebih terbuka pendekatannya. Umno perlu dipilih atas sebab parti kita adalah yang terbaik, sama ada dari sudut organisasi, gerak kerja, matlamat, ataupun sistem nilai yang mendasari pertubuhan ini. Kalau inilah resipi kejayaan kita baru-baru ini di Bagan Pinang, yang telah meraih majoriti besar, maka saya yakin dan percaya dengan mengguna pakai ramuan ini di tempat lain pun, selepas ini, kita akan menikmati kejayaan yang sama atau lebih besar lagi, insya-Allah.

Sejarah adalah guru yang terbaik. Musim dan masa terus berlalu tanpa menunggu sesiapa. Kata George Santayana, seorang pemikir tersohor bahawa: "mereka yang ingkar dari memahami dan tidak belajar daripada sejarah akan dihukum dengan mengulangi kesalahan dan kesilapan yang sama". Pokoknya, peristiwa sejarah bukan saja untuk dicontohi untuk diikuti, tetapi, ia menunjang sebagai peringatan dan sempadan terbaik kepada umat Islam bagi mengurus realiti semasa untuk melakar hari muka dengan lebih berjaya.

Jelas sekali, manusia yang mendapat pengajaran betul serta benar daripada peristiwa sejarah, boleh mengelak daripada melakukan kesilapan dan tindakan yang akan membawa kepada kejatuhan sesebuah negara mahupun tamadun. Maknanya, untuk menongkah masa depan yang cemerlang, kita perlu berakar teguh, dengan beriktibar daripada sejarah dan sistem nilai. Barulah kita berupaya untuk tegak menghadapi masa mendatang, dengan persediaan yang rapi serta serasi menurut hambatan zaman. Oleh kerana itulah, saya memilih tajuk ucapan pagi ini sebagai "Menjunjung Tradisi, Menzahir Perubahan."

Jadinya tuan-tuan dan puan-puan, menyonsong tawarikh, jika diamati, tahun ini adalah tahun yang signifikan bukan saja dalam susur galur negara tetapi juga susur galur Umno. Sekitar tempoh ini, 50 tahun yang lalu, Malaysia mula mengamalkan demokrasi berparlimen secara mutlak, apabila pilihan raya umum pasca merdeka yang pertama diadakan pada 1959. Sekitar waktu ini juga, 40 tahun yang lalu yakni 1969, Umno telah mengepalai usaha untuk menyelamatkan negara dari ambang kehancuran, natijah konflik antara kaum.

Kira-kira kala ini juga, 20 tahun lalu yakni 1989, Umno telah menerajui usaha untuk keluar dari kemelesetan ekonomi dan memulakan proses industrialisasi negara. Manakala masih segar terakam dalam ingatan ramai, pada detik-detik ini pulalah, 10 tahun dulu yakni 1999, Umno sekali lagi bingkas beraksi, menyelamatkan negara daripada jatuh merudum ke dalam cerun krisis kewangan Asia.

Sekali lagi, apa yang mustahak untuk diketahui adalah, semua tindakan hebat yang dinyatakan ini, nakhodanya adalah kepemimpinan Umno, berlandaskan kebijaksanaan pemikiran yang kreatif lagi berinovatif. Segala-galanya dilakukan, atas nama kepentingan dan kesejahteraan rakyat.

Mengenang peristiwa dan kejadian juga, jangan mudah kita lupa bahawa selepas tragedi 13 Mei 1969, pemimpin Umno boleh memilih untuk tidak meneruskan demokrasi yang digantung. Umno juga boleh memutuskan untuk menubuhkan kerajaan satu parti atau mungkin menyokong saja pihak angkatan tentera melakukan kudeta.

Akan tetapi, harus barang diingat, itu semua tidak dilakukan, malah Umno berusaha keras untuk mengembalikan demokrasi dalam masa 18 bulan. Ini jelas mempamerkan bahawa, Umno bukan sebuah parti yang mabuk kuasa, jauh sekali sebuah parti yang bersifat perkauman.

Sehubungan itu, jika kita ingin tahu apakah maksud perkauman yang sebenar, lihat saja, sejarah Afrika Selatan, sewaktu dicengkam aparteid. Bahkan di Amerika Syarikat pun, amalan perkauman secara terang-terangan berlaku sehingga pertengahan tahun 60-an. Sekolah, bilik air, tempat makan di restoran malah tempat duduk dalam bas antara kaum ternyata dibeza-bezakan.

Semuanya ini, hanya berakhir selepas keputusan pengasingan kaum, institusi pendidikan tahun 1954 oleh Mahkamah Agong melalui kes Brown lawan Lembaga Pendidikan Kansas, Akta Hak Sivil 1964 dan Akta Hak Mengundi 1965 digubal.

Dalam konteks ini, nampaknya berbeza benar, keadaan kita di Malaysia dengan realiti di dunia luar. Ehwalnya, orang Melayu adalah bangsa yang bersifat amat inklusif dan merangkumi. Jelasnya lagi, jika orang Melayu bersikap dan bersifat perkauman mana mungkin Melaka boleh menjadi sebuah pelabuhan entrepot yang makmur pada abad ke-15.

Bersabit isu ini juga, kalaulah ada mana-mana pihak yang tanpa usul periksa, begitu semberono menempelak Umno sebagai sebuah parti perkauman harus terlebih dulu mencermin diri secara ikhlas. Mereka harus sedar akan realiti komposisi kaum dalam parti mereka sendiri. Adakah ia benar-benar melambangkan keterbukaan yang mereka jerit dan laung-laungkan?

Sedangkan, jika betullah orang Melayu rasis bagai didakwa, tidak mungkin kita bersifat amat bertolak ansur terhadap budaya etnik lain seperti yang diamalkan, tak mungkin juga kita benarkan sekolah aliran kebangsaan diwujudkan, bahkan mustahil pula untuk bekerjasama dengan begitu akrab bersama parti komponen lain dalam Barisan Nasional sejak berdekad lamanya.

Oleh itu, kepada pihak tertentu, janganlah angkuh mengaku bahawa merekalah kononnya sebuah parti pelbagai kaum yang mempunyai keabsahan moral dan keikhlasan intelektual untuk memimpin rakyat di negara ini.

Lumrahnya, kita dapati bahawa, sesuatu matlamat yang baik saja tanpa diseimbangi pengalaman, dihiasi kesederhanaan serta dipimpin bersandarkan perspektif sejarah, jika pun betul, bukan saja tidak akan menghasilkan yang baik, sebaliknya boleh pula menyebabkan berlakunya ketidakadilan dan kezaliman.

Berasas legenda silam, Umno perlu juga menggali dan mencontohi kekayaan tradisi pemikiran strategik era keagungan kerajaan Melayu Melaka. Keagungan empayar Melaka di tengah-tengah dua kuasa besar ketika itu, yakni China dan Siam mempertontonkan bahawa kuasa minda mampu mengatasi dan menundukkan semua. Justeru itulah, saya sering menekankan, pertarungan sebenar masa kini dan pertarungan sebenar masa depan adalah pertarungan minda.

Begitu terserlah di era itu, Bendahara Tun Perak yang arif lagi bijaksana dengan menggunakan kehebatan mindanya penuh berhemah dan berhelah, berjaya menjulang Melaka ke tempat yang tinggi. Sekalipun Melaka adalah kuasa kecil berbanding China dan Siam, ia berjaya bukan saja mengekalkan kemerdekaannya selama lebih satu kurun tetapi juga mampu berkembang menjadi kuasa rantau yang ternama.

Menjengah kembali perjuangan parti, untuk sentiasa memperoleh sokongan massa, Umno harus dilihat, ditanggap serta diyakini sebagai parti yang ampuh membela untung nasib rakyat. Umno tidak boleh dilihat sebagai sebuah parti yang hanya ghairah memperjuangkan kelompok yang sedikit. Sebaliknya, kita mahu Umno dilihat, dirasai serta diyakini sepenuhnya sebagai sebuah parti inklusif yang mendahulukan rakyat dan bukannya mendahulukan diri sendiri. Maka itu, persepsi Umno sebagai parti untuk cari makan mesti dibuang jauh-jauh, mesti ditinggalkan.

Amat mustahak lagi, Umno menjadi parti yang berpegang kepada falsafah 'wasatan' yakni bersederhana, atau, dengan apa yang disifatkan oleh ilmu sains politik sebagai "centrist party". Kita tidak boleh menjadi parti yang ultra kiri atau ultra kanan. Waima, fahaman Umno sejak penubuhannya bukanlah condong sama ada kepada fahaman liberal mahupun konservatif.

Hakikat yang jelas, Umno adalah parti siasah yang semesta. Semua pihak mempunyai tempat dan peranan di bawah lembayung Umno. Malah, sejak penubuhannya lebih 60 tahun lalu, Umno telah dianggotai mereka yang berfahaman kiri dan kanan, golongan nasionalis mahupun agamawan.

Termasuklah juga lapis golongan pemikir dan pedagang, pendidik dan pejuang serta pelbagai latar sosio ekonomi. Semuanya dialu-alukan dalam Umno. Tuan-tuan dan puan-puan, inilah kekuatan Umno inilah lambang kebitaraan perjuangan Umno yang sebenar, sebagai sebuah parti tercinta yang menjiwai keluh kesah, denyut nadi dan nurani semua golongan masyarakat.

Wadihnya, dalam usia lebih enam dekad, Umno adalah parti yang sarat dengan pengalaman. Umno bukan sebuah parti yang baru tetapi kaya dengan warisan. Pelbagai denai, onak dan duri telah ditempuhi. Bak kata orang, perjalanan ini menjadi rahmat dan sekali gus juga bebanan. Ia adalah rahmat kerana kita bukannya parti yang hanya pandai berkata-kata tanpa mempunyai rantaian rekod yang boleh menyokong janji tersebut kepada rakyat. Bebanan pula timbul apabila kita berhadapan dengan pelbagai isu legasi yang mengancam survival bangsa dan negara.

Selama ini, Umno dihormati dan disegani sebagai sebuah parti politik oleh kawan mahupun lawan disebabkan Umno adalah sebuah parti yang mendapat sokongan majoriti orang Melayu dan Bumiputera. Seandai dan sekiranya, sokongan ini terhakis, maka Umno tidak akan disegani kawan dan tidak lagi dihormati lawan.

Lantaran itulah, suka atau tidak, kekuatan Umno sebagai sebuah organisasi politik amat bergantung kepada kemampuannya untuk memahami kehendak ahli. Manakala, kerelevanan Umno sebagai sebuah parti pemerintah pula bergantung kepada sejauh mana ia berjaya menangkap imaginasi bukan saja di kalangan orang Melayu tetapi juga yang lebih utama kepada seluruh rakyat Malaysia.

Ertinya di sini, Umno akan terus mendapat tempat sebagai sebuah parti, selama mana kehendak dan kemahuan rakyat dapat dizahirkan dalam perjuangan parti, seterusnya dimanifestasikan pula dalam gerak kerja penggubalan dasar kerajaan demi kepentingan rakyat menyeluruh.

Di persimpangan ini, masalah tidak akan timbul apabila aspirasi Umno dan aspirasi majoriti rakyat Malaysia adalah satu. Kekalutan hanya akan wujud jika tasawwur Umno tidak lagi mewakili tasawwur rakyat terbanyak. Hal ini ditambah burukkan lagi oleh persepsi di kalangan orang Melayu bahawa Umno tidak bersedia untuk mengambil langkah pembetulan secara pantas.

Jika perkara itu berlaku, maka rakyat akan menganggap bahawa Umno bukan saja parti yang tidak berpijak di bumi nyata, malahan bersikap angkuh serta kelihatan tidak acuh dan tidak peduli. Jadi, janganlah hairan jika perkara ini terjadi nanti, ramai rakyat Malaysia akan melihat Umno bukan lagi sebagai sebahagian daripada penyelesaian, sebaliknya ia sudah berubah menjadi sebahagian daripada masalah.

Oleh sebab itu, untuk terus lestari, Umno tidak ada pilihan melainkan perlu membumi dan mendakap realiti. Umno perlu terus membuka rongga dan ruang pembaikan. Kuak dan kembangkanlah seluas-luasnya wadah perjuangan kita kepada semua yang ingin membantu memperkukuhkan lagi parti.

Selaku Presiden Umno, saya dengan ikhlas menyeru kepada semua orang Melayu, demi maslahah ummah, marilah bersama-sama membentuk satu saf yang berasaskan pertautan pemikiran dan tindakan untuk merungkai kekusutan, memulihkan silaturrahim serta memacu kepentingan bersama. Seperti pepatah lama, air dicincang tidak akan putus, buanglah yang keruh, kita ambillah yang jernih, agar bangsa yang mulia ini terus dimartabatkan.

Dalam masa yang sama, ahli-ahli Umno baik di peringkat kepimpinan tertinggi mahu pun ahli biasa, perlu kerap melakukan muhasabah. Kita perlu bersedia untuk menilik ke dalam diri, melihat kelemahan dan memperbetulkan kekhilafan. Seterusnya, mengambil langkah untuk memperbaiki kelemahan dan kekurangan tersebut. Apa yang penting, ahli Umno perlu mewajahkan peri laku mulia dan nilai murni sebagai asas jati diri dan kekuatan parti.

Pada hemat saya, dalam perkara ini, antara sifat pemimpin yang paling didambakan dan digemari rakyat adalah sifat merendah diri dan tawaduk. Ingatlah bahawa, dalam negara demokrasi seperti ini, rakyatlah yang memilih pemimpin. Pemimpin yang mereka mahukan adalah pemimpin yang sentiasa bersedia memberikan khidmat.

Saya ingin berpesan, janganlah segan untuk turun ke bawah dan merapatkan diri dengan akar umbi sekali pun kita menyandang jawatan tinggi. Bak kata pepatah, ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Malah rakyat akan membenci pemimpin yang memisahkan diri dari mereka, sukar didekati, apatah lagi pemimpin yang sombong dan bongkak. Mereka yang menunjukkan keikhlasan dan merasai keseronokan menabur bakti kepada rakyat akan menjadi pemimpin yang disanjung.

Selain itu, pimpinan Umno dan ahli-ahli seharusnya terkenal dengan integriti apabila diberikan tugas dan amanah. Ini amat mustahak dalam meyakinkan rakyat untuk terus bersama Umno. Jika persepsi negatif tentang integriti dan etika pemimpin Umno menular, ia dengan sendirinya akan menjadi faktor utama menjauhkan sokongan rakyat terhadap kita.

Tambahan lagi, untuk mengukuhkan kepercayaan rakyat tentang kewibawaan dan integriti Umno, ia bukan saja setakat dilaungkan, tetapi ia juga mesti dipampang dengan jelas dalam bentuk amalan, tindak tanduk dan aktiviti juga gerak kerja semua ahli dan pemimpin. Insya-Allah nantinya rakyat akan dapat menerima semula, secara sepenuh hati, parti kita ke pangkuan mereka.

Gila ada pelbagai jenis gila. Kata orang bila seseorang itu bercakap sendirian, belum lagi dianggap gila. Bila dia mula berceloteh sendiri, dan kemudian menjawab balik kepada dirinya sendiri, itu namanya separuh gila. Peringkat kedua, bila dia membebel dan mengomel sendiri, kemudian menjawab balik dan percaya pula pada yang dia jawab kembali itu, tandanya memang dah sah lah dia gila.

Satu lagi jenis gila, adalah berbuat sesuatu secara berulang kali dengan tatacara yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza. Dalam melaksanakan sesuatu dasar misalnya, kita tidak boleh terlalu dogmatik sehingga yang menjadi tumpuan adalah wahana atau pendekatan digunakan berbanding keberhasilan atau 'outcome'.

Ini kerana, alat dan pendekatan boleh berubah dek perjalanan masa. Wahana dan kaedah yang sesuai hari ini mungkin akan lapuk 10 tahun dari sekarang. Begitulah kereta kuda dan mesin telegraf yang suatu ketika dulu adalah alat dan pendekatan yang terbaik pada zaman bahari, kini, sudah tidak atau sudah jarang digunakan.

Contohnya, apabila mula digubal, Dasar Ekonomi Baru mensasarkan peningkatan pemilikan ekuiti Melayu dan Bumiputera dari 2.4 peratus kepada 30 peratus, dalam tempoh masa 20 tahun. Namun begitu, sehingga Dasar Ekonomi Baru tamat pun, matlamat ini masih belum dapat diterjemahkan. Pemilikan ekuiti orang Melayu dan Bumiputera hanya mencapai 19.2 peratus saja. Oleh itu, matlamat ini diteruskan di bawah Dasar Pembangunan Nasional, Dasar Pembangunan Wawasan dan kini, Misi Nasional menggunakan pendekatan yang tidak jauh berbeza.

Namun, masa berlalu menyaksikan ekonomi Malaysia berubah haluan dan bergantung kepada pelaburan asing serta hasil eksport, manakala ekonomi negara kita kini lebih terbuka dan mudah terkesan dengan perkembangan ekonomi global. Mengikut laporan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) 2008, Malaysia adalah negara pengeksport barangan yang ke-21 terbesar di dunia.

Hakikatnya, cabaran ekonomi masa depan yang menanti kita lebih rumit dan hebat. Landskap ekonomi dunia juga sudah berubah. Formula semalam belum tentu lagi masih mujarab. Jika dalam tempoh hampir empat dekad kita gagal mencapai matlamat dengan menggunakan kaedah sama, bukankah sudah sampai masanya kita memikirkan strategi baru yang lebih relevan dengan masa dan zaman untuk mencapai cita-cita yang diimpikan?

Berikutan hal ini, Melayu perlu sedar bahawa salah satu sebab yang memungkinkan kejayaan Dasar Ekonomi Baru ialah kerana ia dilaksanakan di tengah pertumbuhan ekonomi yang mapan. Perangkaan menunjukkan bahawa, pukul rata pertumbuhan ekonomi negara di antara tahun 1971-1990 adalah pada kadar 7.1 peratus.

Justeru, menyedari peri mustahaknya pertumbuhan ekonomi, apabila Malaysia menghadapi kemelesetan pertengahan 80-an akibat kejatuhan harga komoditi dunia, kepimpinan Umno dan negara ketika itu mengambil tindakan di luar kotak kelaziman. Telah ditangguhkan ketika itu, elemen utama Dasar Ekonomi Baru bagi mengembalikan ekonomi negara ke landasan pertumbuhan. Ini dibuat melalui pewujudan persekitaran yang subur untuk pelaburan terus asing, terutamanya, dalam bidang pembuatan.

Strategi ini ternyata telah berjaya. Kutipan cukai kerajaan bertambah, peluang pekerjaan melata, dan ekonomi negara berjaya pulih dari kemelesetan. Hasilnya pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru telah dapat diteruskan. Bersandarkan faktor inilah, maka, kerajaan hari ini telah mula meliberalisasikan sektor tertentu di samping melihat semula dengan komprehensif cara penciptaan dan pegangan kekayaan Melayu dan Bumiputera agar ia lebih mapan serta lebih bermakna.

Di sudut lain, bukan saja Umno yang harus berubah dan melakukan proses transformasi ke arah kebaikan generasi pewaris negara, yang terlebih penting adalah orang Melayu seluruhnya perlu berubah corak pemikirannya. Hari ini, kita melihat bagaimana produk tindakan afirmatif serta Dasar Ekonomi Baru begitu gah dan bangga mendabik dada bahawa mereka tidak perlu lagi topang dan sangga. Katanya, mereka boleh berdiri di atas kaki sendiri tanpa perlu bergantung kepada pertolongan kerajaan.

Tampaknya, golongan ini lupa kepada satu hakikat yang besar. Maksud saya, jika benar pun mereka telah cukup berupaya untuk membuang topang yang menyangga mereka selama ini, bagaimana pula halnya dengan orang Melayu lain yang masih memerlukan bantuan. Adakah adil namanya jika topang ini dinafikan kepada kumpulan yang layak menerima, hanya kerana orang yang sudah mendapat bantuan tidak lagi bergantung padanya.

Di atas segalanya, tiada siapa yang dapat menafikan bahawa, nikmat tersurat hari ini adalah, orang Melayu telah mempunyai kelas menengah yang besar. Keadaan ini hampir tidak wujud tatkala Dasar Ekonomi Baru dilancarkan pada 1971. Siapakah juga yang dapat menafikan bahawa, hari ini ada golongan profesional Melayu dalam skala yang besar sebagai mahsul daripada langkah Dasar Ekonomi Baru.

Oleh sebab itu, kita perlu faham bahawa, isunya di sini bukanlah soal bantuan, tetapi soal pengurusan dan pentadbiran bantuan tersebut. Faktanya, orang Melayu dilihat dari lensa keseluruhan, masih ketinggalan dan memerlukan bantuan. Itulah sebenarnya yang menjadi perhitungan utama.

Kita semua tahu bahawa, Umno telah didirikan atas falsafah perjuangan, keikhlasan dan pengorbanan serta roh patriotik yang tinggi. Inilah asas tersirat yang selama ini memanggu kekuatan parti. Sayangnya, ramai daripada generasi kini mengambil enteng akan jerih payah pendahulu menubuhkan Umno.

Ambillah pengajaran daripada kesungguhan dan kemuliaan generasi yang terdahulu. Contohnya, pengorbanan ikhlas golongan wanita dalam parti. Tercatat dalam sejarah, kaum ibu yang rela melurut cincin, gelang dan rantai demi membiayai rombongan pimpinan Tunku ke London bagi merundingkan kemerdekaan. Inilah sikap mulia dan murni wanita Umno sejak berpuluh tahun. Sifat yang sungguh kita sanjung tinggi.

Saya juga masih ingat cerita pimpinan lalu yang sanggup berlebih kurang dalam serba kepayahan dan kesederhanaan berjuang untuk parti. Kata mereka, kalau dulu tidak macam sekarang, semuanya nakkan yang empuk dan semuanya nakkan yang mewah. Dulu, kalau ke persidangan Umno, siapa yang tak kenal New Hotel dan King Hotel di Batu Road. Untung-untung pun dapatlah merasa Majestic Hotel. Sekarang ini, kalau tak dapat hotel lima bintang, ramai yang mengeluh sakit badan. Tak standard dan tak kelas katanya.

Apa yang cuba saya utarakan di sini adalah, ke manakah hilangnya budaya khidmat dan kesukarelawanan dalam Umno? Kalau hendak diikutkan, begitu ramai golongan profesional seperti peguam, doktor, akauntan dan jurutera yang menjadi ahli. Malangnya, di saat kita memerlukan kerja sukarela umpamanya, pada musim pilihan raya, begitu sedikit yang tampil membantu dengan ikhlas tanpa mengharapkan balasan. Barangkali, mereka ini tidak mendapat tempat di cawangan atau mungkin borang keahlian mereka hilang di tengah jalan.

Makanya, saya menyeru agar ahli Umno menyegarkan kembali budaya khidmat dan kesukarelawanan dalam parti. Ikhlaskan diri untuk menumpah bakti dan jasa tanpa disuruh demi kepentingan parti dan rakyat Malaysia. Sesungguhnya tuan-tuan dan puan-puan yang dilimpah kurnia serta kelebihan oleh Allah SWT, dalam kehidupan masing-masing, sewajarnya kembali menyumbang kepada masyarakat. Barulah nanti akan datang keberkatan dalam berparti dan dirahmati oleh Allah SWT. Seperti kata lagu, berkorban apa saja, harta ataupun nyawa, itulah perjuangan sebenar, sejati dan mulia.

Berkaitan hal yang berkaitan juga, untuk menjadi parti yang berjaya, kita tidak boleh terpisah daripada arus pemikiran dan aspirasi rakyat. Kini, rakyat mahukan parti dan kerajaan memahami kehendak mereka dan mereka mahu lebih dirundingi dan didampingi secara langsung. Realitinya, rakyat mahukan pandangan mereka diambil kira dalam menentukan hala tuju negara.

Untuk itu, kita mesti meneruskan proses islah dan menzahirkan perubahan yang sesuai dengan masa. Kita mesti dikenali sebagai parti yang bukan sekadar mampu melakar perubahan tetapi berupaya pula menzahirkan perubahan itu.

Menuju ke arah ini, pertamanya, Umno telah bertindak berani meminda perlembagaan parti untuk menjadikannya lebih telus, inklusif dan demokratik. Nampaknya, langkah kita telah menyebabkan pihak tertentu melatah, hingga ada yang tanpa segan silu cuba meniru dan sekonyong-konyong meminda perlembagaan parti mereka, sekalipun tanpa perincian yang rapi. Inilah tembelang, aliran dan gaya sebenar mereka, suka membuat janji umum yang tidak pula ada susulan tertentu.

Berbanding pindaan yang kita lakukan ini, bukan sekadar bersifat kosmetik mahu pun tempel-tempelan, sebaliknya ia perubahan secara tuntas dan signifikan. Ia akan meluaskan bilangan ahli yang terbabit sama secara langsung untuk memilih kepimpinan parti. Ia membabitkan anjakan angka daripada sejumlah 2,500 perwakilan kepada lebih 146,000 orang. Inilah petanda, bahawa semangat demokrasi hidup segar dan hidup subur dalam Umno. Nyatanya, tiada mana-mana parti politik di Malaysia yang berani bertindak sedemikian rupa. Dengan itu, saya ingin mengingatkan kepada semua pihak, setelah pindaan kita lakukan, berhijrahlah meninggalkan gejala negatif seperti politik wang, supaya kita menjadi parti yang bersih dan dihormati.

Keduanya, berkaitan cara parti memilih calon. KPI atau Petunjuk Prestasi Utama termustahak bagi sesebuah parti politik ialah untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan yang kuat serta stabil. Dalam memenuhi maksud ini, kita perlu mencari calon yang betul. Untuk itu, kita akan mengubah kriteria menentukan calon.

Maknanya, dalam memilih calon, individu itu perlulah seseorang yang diterima masyarakat tempatan di samping mempunyai kualiti untuk berkhidmat kepada tiga peringkat penting, yakni, peringkat rakyat, peringkat parti dan peringkat negara. Pada analisis akhir, inilah calon yang dikehendaki rakyat dan akan memenangi pilihan raya.

Ketiganya, budaya berparti dalam Umno haruslah bersifat inklusif dan bukannya insular atau, terpulau. Lebih banyak program penataran yakni 'outreach' harus dilaksanakan. Dalam konteks ini, seperkara yang harus diingat, ia tidak seharusnya terbatas kepada ahli Umno semata-mata bahkan hendaklah melebar luas kepada semua orang Melayu dan bukan Melayu.

Sebagai rentetan daripada ucapan saya tadi, jika ditoleh sejarah, sejak mula patriot memperjuangkan kemerdekaan tanah air hingga ke hari ini, usaha mencapai perpaduan nasional, telah, sedang dan tetap menjadi prioriti utama. Ini kerana, semua pihak sedar bahawa tanpa perpaduan yang mantap dan jitu, tidak mungkin segala matlamat dan wawasan nasional akan dapat diterjemahkan.

Kerana itulah pentadbiran kerajaan telah memperkenalkan gagasan 1Malaysia. Sesungguhnya, 1Malaysia bukanlah konsep atau formula baru. Sebaliknya, matlamat akhir 1Malaysia iaitu perpaduan nasional juga merupakan wawasan utama pemimpin Umno terdahulu, yang diterjemahkan dalam pelbagai rupa bentuk jelmaan prakarsa sepanjang lebih lima dekad.

Konsep 1Malaysia ini ditiangi oleh beberapa teras utama, antaranya, penghijrahan daripada perpaduan yang berpaksikan toleransi kepada yang berlandaskan penerimaan, keadilan sosial dan nilai dikongsi bersama yang mengambil kira realiti sejarah berpandukan keluhuran Perlembagaan serta prinsip Rukun Negara.

Wajarlah saya pertegaskan di sini bahawa konsep 1Malaysia tidak sekali-kali menyimpang daripada roh Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang negara sama ada secara tersurat atau secara tersirat. Malah, kita kekal menjunjung semua peruntukan teras seperti perkara 3, perkara 4, perkara 152, perkara 153, bahagian 2 dan bahagian 3 seperti ditintakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh yang demikian, janganlah mana-mana pihak berasa gundah gulana atau menaruh syak jua bimbang bahawa konsep ini akan terpesong dari apa yang sudah dipersetujui dan dimuafakatkan oleh bapa-bapa pada suatu ketika yang lalu. Sesungguhnya matlamat akhir 1Malaysia adalah untuk meraikan kemajmukan dan kepelbagaian kita di Malaysia sebagai senjata dan kekuatan demi kemajuan bersama.

Pokok pangkalnya, Umno harus kekal menjunjung tradisi perjuangan. Oleh kerana itulah, Umno akan terus menjuarai soal kebajikan dan periuk nasi semua rakyat. Saya mahukan gerak kerja parti selari dengan tuntutan zaman. Umno tidak boleh lagi kelihatan sebagai parti yang hanya dilihat condong kepada satu pihak saja. Sebagai tonggak parti pemerintah, kita tidak mampu ditanggap hanya sebagai bertumpu kepada inisiatif niaga besar-besaran atau projek mega semata-mata, tetapi sebaliknya kita mesti menjadi parti yang menjuarai rakyat.

Khidmat Umno harus merata. Kita akan tetap menjadi parti yang pro kepada pertumbuhan ekonomi berdaya tahan, pengagihan kekayaan yang adil, jaringan keselamatan sosial menyeluruh dan kos hidup terkawal.

Kesimpulannya, Umno adalah sebuah parti massa yang lahir menjunjung aspirasi akar umbi bangsa untuk menebus maruah yang tergadai. Sejarah telah menunjukkan apabila Umno dekat dengan rakyat, apabila Umno menyelami denyut nadi mereka, maka rakyat akan memberikan sokongan kepada Umno. Itulah sebabnya apabila Umno mempelopori penubuhan Felda, Mara, Tabung Haji, LPP, LKIM dan lain-lain agensi yang bermatlamat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat, kita dijulang menjadi parti yang kuat.

Oleh kerana itulah, tanpa kunjung jemu, Umno meneruskan tradisi membela rakyat. Bagi tahun 2009 saja, kerajaan yang diterajui Umno telah memperuntukkan sebanyak RM22 bilion untuk membiayai pelbagai subsidi, insentif dan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung rakyat. Perkara ini mampu dilakukan kerana kita telah mengurus kewangan dengan baik tanpa perlu menaik mahupun mengenakan cukai tambahan.

Dari itu, janganlah kita mudah terpesona dan terpukau dengan pihak pembangkang semata-mata kerana, air percuma dan sedikit kenaikan elaun. Setidak-tidaknya ingatlah sedikit, akan jasa kerajaan pimpinan Umno yang telah berbudi selama puluhan tahun. Kata orang, janganlah kerana kemarau sehari, rezeki hujan yang setahun sudah dilupakan.

Faktanya, secara sedar atau tidak, sudah banyak yang pihak kerajaan lakukan demi kesejahteraan hidup rakyat. Misalnya, di bawah sektor pengangkutan dan tenaga, kerajaan telahpun menyediakan subsidi sebanyak RM9 bilion untuk petrol, LPG dan diesel; RM2 bilion untuk program rebat tunai, lebih RM600 juta untuk pampasan tol; RM150 juta untuk kadar elektrik dan RM45 juta lagi untuk pengangkutan udara luar bandar serta rel pantai timur.

Berkaitan hal yang tersebut juga, kita adalah kerajaan yang empati dan prihatin dengan keadaan sebenar hidup seharian rakyat, bukan saja di desa, sementelahan juga kehidupan rakyat di kota kerana ada antaranya yang masih kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Pokoknya, rakyat berasa lega bahawa mereka tidak sendirian dalam keluh kesah tentang makan pakai, kos sewa rumah mereka, susu dan kain lampin anak, membawa kepada perbelanjaan pengangkutan seharian yang ditanggung.

Apa yang pasti kerajaan faham dan maklum isu ini. Misalannya, di bawah sektor pertanian dan makanan, sejumlah hampir RM600 juta diperuntukkan untuk subsidi padi, RM400 juta untuk beras, RM375 juta untuk gula; RM275 juta untuk baja, RM210 juta untuk tepung gandum; dan RM89 juta untuk roti.

Selanjutnya, menyedari kepentingan pendidikan dan ilmu pengetahuan sebagai kandil generasi masa depan, sejumlah RM2 bilion lagi telah diagih-agihkan dalam bentuk bantuan kepada pelajar sekolah terutama untuk projek pelajar miskin. RM411 juta pula untuk bantuan pelajar IPTA; RM374 juta untuk guru atau penyelia Kafa, tidak ditinggalkan elaun guru takmir termasuk elaun imam serta elaun ketua kampung. Sebahagian lagi yakni RM159 juta untuk kanak-kanak prasekolah dan RM36 juta pula diperuntukkan untuk masyarakat Orang Asli.

Tidak dilupakan sebanyak RM850 juta lagi untuk menyediakan jaringan keselamatan khusus kepada keluarga miskin, orang kurang upaya dan warga emas. Selain itu, dari November 1997 hingga Ogos 2009, kerajaan melalui PTPTN telah mengeluarkan lebih RM19 bilion kepada 1.4 juta peminjam terdiri daripada pelajar IPTA dan IPTS dengan ujarah yang sangat rendah. Bersyukurlah kita atas kesemuanya ini.

Sejak pasca pilihan raya ke-12, musuh politik Umno telah mula meramalkan kejatuhan parti keramat ini. Hatta banyak pihak yang tidak sabar untuk menalqinkan Umno. Kata mereka, Umno sudah nazak dan hanya menanti waktu. Sebenarnya ini bukan kali pertama perkara ini berlaku. Jangkaan ini juga dibuat apabila Parti Kemerdekaan Tanah Melayu dan Parti Islam seMalaya (Pas) tertubuh akibat perpecahan dalam Umno.

Telahan juga dilontar selepas tragedi 13 Mei 1969 apabila kerajaan Perikatan kehilangan majoriti dua pertiga di mana banyak pemuka Umno tewas dan kecundang. Andaian sebegini juga dibuat selepas pemilihan Umno pada 1987 dan kemudian apabila terbentuk Parti Melayu Semangat 46 (S46). Ia juga dicanang dengan kencang di pilihan raya umum 1999. Kendatipun begitu, Alhamdulillah setiap kali ramalan ini timbul Umno bangkit kembali sebagai organisasi yang lebih kuat dan berpadu.

Merujuk keputusan pilihan raya umum ke-12, rakyat telah memberi mesej yang jelas kepada kita. Justeru, kita sedar dan insaf. Kita tahu rakyat masih sayangkan Umno. Apa yang mereka inginkan hanyalah, agar Umno berubah. Nyatanya, kita mendengar hasrat rakyat ini. Kita akan berubah.

Apa yang pasti, kelangsungan parti begitu penting, bukan untuk pemimpin Umno tetapi untuk bangsa, agama, negara dan rakyat seluruhnya. Hakikatnya, setiap generasi kepimpinan Umno menghadapi cabaran yang tersendiri sesuai dengan masa dan zaman. Alhamdullilah, setiap cabaran berjaya diatasi dengan perpaduan dan semangat yang kental. Sememangnya pun, penubuhan Umno merupakan hasil doa ulama, pendidik, petani, nelayan, peniaga dan para mustada'afin serta rakyat keseluruhannya yang mahukan kebebasan bermaruah.

Kata orang, jika kita bersatu hati, bersatu tekad dan membulatkan usaha, maka kita akan berupaya bersama-sama mendaki ke puncak yang paling tinggi menuruni cerun yang paling curam dan menyelami lautan yang paling dalam.

Bahkan, sejarah menjadi saksi, orang Umno tidak pernah gagal melakukan sesuatu tindakan hanya kerana ia sukar. Sebaliknya, kita telah berjaya, menggapai apa yang mustahil dengan berbekalkan semangat.

Siapa sangka bangsa yang pernah dimomok-momokkan sebagai lemah dan tidak bersedia untuk bebas kendiri telah berjaya merebut kemerdekaan dari kuasa besar dunia, bukan dengan jalan hujung senjata tetapi menggunakan akal dan hujung lidah, berdiplomasi serta berunding dengan Inggeris. Siapa sangka bangsa ini kemudian berjaya mengisi erti kemerdekaan sehingga Malaysia muncul sebagai negara membangun yang termaju di dunia.

Sesungguhnya, amanah besar ini tidak boleh dipikul oleh seorang. Ia perlu dijinjing oleh satu jemaah, satu barisan yang tersusun rapi. Oleh itu, saya menyeru dan mengajak kepada Timbalan Presiden, kepada Naib-Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Puteri, kepada saf kepimpinan yang berada di atas, pejuang Umno di bawah, pejuang Umno di bahagian, pendokong Umno di cawangan, seluruh warga Umno yang baru dan yang lama, di kota dan di desa, bangkitlah semua bersama-sama saya. Marilah kita bersama. Bangkitlah bersama saya. Rapatkanlah barisan. Sahutlah panggilan. Marilah kita martabatkan warisan ini.

Yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang betul, yakinlah, perjuangan kita adalah perjuangan yang haq. Kitalah, Umno satu-satunya parti yang membawa obor harapan dan mampu meneroka masa depan penuh gilang-gemilang.

Walau apa pun dugaan, walau apa pun rintangan, bersama segunung harapan, perjalanan ini kita teruskan, bersama menggenggam keyakinan, segala impian pasti dilunaskan, setitik dijadikan laut, segumpal dijadikan gunung. Tradisi tetap kita junjung, perubahan tetap kita zahirkan.

Kendati tergantung awan di langit,
Telah terlanjur kubentangkan layar,
Walau badai datang menggulung,
Walau berdentum guruh di langit,
Walau bumi berkeping dua,
Takkan mungkin ku berbalik haluan.

Hidup Umno! Hidup Melayu!

Wednesday, October 14, 2009

Musibah Padang: Tazkirah daripada Allah



Musibah Padang: Tazkirah daripada Allah
Oleh MOHD. NORZI NASIR/Utusan Malaysia 15.10.2009

HAMPIR dua minggu berlalu namun memori hitam di sebalik bencana tragis gempa bumi berkekuatan 7.9 pada skala Ricther yang memusnahkan bumi Minang Padang, Pariaman Sumatera Barat, Indonesia pasca musibah pada 30 September 2009 seolah-olah sukar dilupakan.
Gempa bumi yang berlaku bukan sahaja meragut nyawa, memusnahkan harta benda, malah mengundang kesengsaraan umat Islam yang tidak dapat digambarkan melalui luahan perasaan.
Mungkinkah masih wujud ruang dan peluang, bagi mengembalikan jati diri umat Islam lainnya sebagai seorang Muslim, bermuhasabah diri dan bersikap empati serta simpati terhadap nasib masyarakat Padang?
Sabda Rasulullah SAW: Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, nescaya Allah SWT akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Sesiapa yang memudahkan urusan orang lain, nescaya Allah SWT akan memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat. Sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim nescaya Allah SWT akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat kelak. Allah SWT sentiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya. (riwayat Muslim)
Namun bagi sebahagian umat Islam yang telah kehilangan gagasan dan pola pemikiran Islam yang sebenar dan produktif, tatkala mendengar permasalahan baru perasaan mereka nyata tidak tersentuh, nurani mereka tidak terusik terhadap musibah dan bencana yang menimpa saudara mereka iaitu umat Islam sendiri.
Mereka bagai kehilangan penyertaan untuk memberi bantuan. Adakalanya tidak memberi perhatian sama ada dalam bentuk sumbangan kemanusiaan seperti derma kilat, bantuan makanan, pakaian atau mendoakan kesejahteraan mangsa musibah.
Terpaterikah di dalam sanubari mereka akan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga dia mencintai saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Musibah: Peringatan bagi sekelian hamba-Nya
Allah SWT Maha Mengetahui terhadap semua yang dilaksanakan dan ditetapkan.
Mengingatkan mereka terhadap kewajipan sebagai seorang Muslim, yang merupakan hak Allah SWT dan mengingatkan mereka dari perbuatan syirik dan melanggar perintah serta melakukan yang dilarang.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
lDan tidaklah Kami memberi tanda-tanda itu melainkan untuk menakut-nakuti. (al-Israk: 59).
lDan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau Dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu Kami menghancurkannya sehancur-hancurnya. (al-Israk: 16)
lDan tiada sesebuah negeri pun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami menyeksa penduduknya Dengan azab seksa Yang berat; Yang demikian itu adalah tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz). (al-Israk: 58)
Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan: "Pada suatu ketika, Allah SWT memberi keizinan kepada bumi untuk bernafas, lalu berlakulah gempa bumi yang dahsyat. Lantas akhirnya, timbullah rasa takut yang mencengkam dalam diri hamba-hamba Allah.
"Semua yang berlaku merupakan peringatan agar mereka bersegera bertaubat, berhenti daripada berbuat maksiat, tunduk dan patuh kepada Allah SWT serta menyesali atas segala dosa yang telah lalu".
Simpati dan empati
Empati adalah kemampuan seseorang individu untuk peka, menyelami dan merasai serta mengambil tahu apa jua perasaan yang dilalui oleh sahabatnya dalam apa jua situasi dan keadaan.
Sikap empati menjadikan seseorang mudah untuk menterjemahkan apa yang dirasai dalam bentuk tindakan.
Sikap ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Perumpamaan orang mukmin dalam berkasih-sayang, kasihan dan simpati adalah ibarat satu jasad. Apabila satu anggota merasa sakit, maka seluruh anggota lain turut berjaga malam dan demam. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ukhuwah bertaut kasih bersemi
Islam menekankan prinsip dan hubungan saling tolong menolong di dalam lingkungan kehidupan manusiawi.
Allah SWT memerintahkan hamba-Nya saling bekerjasama di dalam perkara kebajikan dan ketakwaan, dan melarang dari saling bekerjasama di dalam perkara dosa dan permusuhan. Ia beradasrkan ayat 2 surah al-Maidah.
Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat di atas menyebut, Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya yang mukmin agar saling tolong-menolong di dalam perkara kebaikan. Tolong-menolong merupakan kebajikan dan agar meninggalkan kemungkaran yang mana hal ini merupakan al-takwa.
Allah SWT melarang mereka daripada saling bantu-membantu dalam perkara dan tolong menolong dalam perkara dosa dan permusuhan. (Tafsir al-Quran al-Azim 2/7)
Sabda Rasulullah SAW: Tiga perkara yang barang siapa mendapatinya, dia akan merasakan manisnya iman, iaitu dia mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi daripada kecintaan kepada selain keduanya, dia mencintai saudaranya dan dia tidak mencintainya melainkan kerana Allah, dia membenci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana dia membenci untuk dilemparkan ke dalam api neraka. (riwayat al Bukhari dan Muslim)
Mengambil hikmah atas setiap musibah
Firman Allah SWT yang bermaksud: Muhasabah diri merupakan satu cara atau alternatif untuk menyelamatkan seseorang daripada ditimpa bencana dan kesusahan hidup di dunia demi keselamatan hidup di akhirat.
Muhasabah diri mempunyai beberapa kelebihan kepada individu Muslim. Seseorang yang sentiasa bermuhasabah diri akan segera menginsafi kesalahan dan kekurangan lantas melakukan perubahan ke arah kebaikan.
Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengatakan, "Seandainya kita dapat merungkai dan mengetahui hikmah Allah yang terkandung dan tersirat dalam setiap ciptaan dan urusan-Nya, nescaya kita akan temui betapa banyak hikmah.
"Sayangnya akal kita (manusia) sangat terbatas, pengetahuan kita amat sedikit dan ilmu semua makhluk akan sia-sia jika dibandingkan dengan ilmu Allah, sebagaimana sinar lampu yang sia-sia di bawah sinar matahari. Dan ini pun hanya kira-kira, yang sebenarnya tentu lebih dari sekadar gambaran ini". (Syifa' Alil fi Masail al-Qada wal al-Qadr wa Hikmah wa Ta'lil: 452).
Allah SWT Maha Mengetahui atas apa jua musibah yang berlaku tersirat di sebaliknya hikmah yang tidak mampu diketahui oleh sekelian manusia.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu, pada hal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu pada hal ia jahat (buruk) bagi kamu. dan (ingatlah) Allah jualah yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah: 216)
Nikmat sabar dan reda
Kesejahteraan bagi setiap hamba-Nya yang menemui ajalnya di saat musibah melanda dalam keadaan husnul khatimah (penghujung yang baik) hasil ketaatan, keimanan dan bekalan ketakwaan dan sifat sabar yang dimiliki.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, 'Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji'uun'. Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk. (al-Baqarah: 153)
Sebaliknya, kecelaan dan kerugian adalah bagi setiap hamba yang menemui ajalnya dalam keadaan su'ul khatimah (penghujung yang tidak baik) sebelum dan ketika musibah melanda lantaran alpa lalai bergelumang dengan maksiat dan mengingkari akan perintah-Nya.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung kepada besarnya sesuatu ujian. Jika Allah menyayangi suatu kaum, maka Dia akan menguji mereka. Sesiapa yang reda maka baginya keredaan, dan sesiapa yang murka (ingkar) maka baginya kemurkaan Allah SWT". (riwayat al-Tirmidzi dan Ibn Majah).
Pendek kata Allah SWT telah berfirman yang bermaksud: Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya. (al-A'raaf: 96)
Di antara runtuhan dan air mata jangan kita hanyut dalam duka, jadikan musibah ini sebagai pengikat persaudaraan, buktikan kita berdaya, tunjukkan kita punya cinta.

Monday, September 28, 2009

RAHIM BAKAR DALAM KENANGAN


RAHIM BAKAR DALAM KENANGAN
AHAD, SEPTEMBER 27, 2009



Apakah satu satu nya ingatan yang kebanyakan dari kami, jenerasi immediately selepas Dato Rahim Bakar ada tentang beliau? Dalam tahun2 akhir 70an, saya baru hendak memasuki university Malaya. Rahim Bakar ketika itu sudah pun jadi menteri Besar Pahang. Memory yang terpahat dalam ingatan kami dan memberi impression kepada pelajar pelajar university ialah Rahim Bakar adalah jebat moden.

Beliau lah orang yang di katakan 'mendurhaka' kepada Sultan Pahang melalui keengganan beliau meluluskan kawasan balak tambahan kepada pihak Istana. Tapi ramai orang hanya menumpukan kepada aspek ini sahaja didalam menilai Rahim Bakar. Walhal, Dato Rahim Bakar lebih ketara dalam perwatakan nya sebagai seoang yang mempunyai no-nonsence dalam mentadbir negeri Pahang. Sebelum memasuki lapangan polituik, Rahim Bakar sudah pun mejadi pengurus besar PKNP ketika itu. Bakat pengurusan nya di 'lihat' oeh Hussein Onn yang menjadi PM. Hussein Onn sebagai mana yang kita tahu ialah seorang yang hidup dengan disiplin. Dalam Rahim Bakar, Hussein Onn melihat ujud suatu 'kindered spirit'. Rahim Bakar di lihat sebagai seorang yang mahu menjalankan kerja yang betul dan betul betul kerja.

Kehadiran Rahim Bakar dalam senario politik Pahang yang di ramaikan dengan tokoh tokoh yang melihat tugas wakil rakyat dan ahli politik sebagai suatu kerjaya yang hanya untuk mengisi masa dengan keraian dan suka ria, tentulah mengjengkilkan Rahim Bakar yang berperwatakan ' a man in a hurry'. Terlalu banyak perkara yang di lihatnya perlu di tukar. Working ethics sang wakil rakyat, cara negeri memantau pengurusan syarikat syarikat milik kerajaan dan yang terlebih penting, bagaimana kerajaan negeri menjalankan amanah mengurus harta benda milik rakyat.

Saya berpeluang berjumpa dengan Dato Rahim Bakar beberapa kali. Dato Rahim Bakar merupakan seorang sahabat karib kepada rakan saya, Wan Iqbal Wan Hamid. Wan Iqbal seperti saya, merupakan bekas ADUN dalam satu kawasan di Parlimen Pekan. Rahim Bakar banyak menhadhiri majlis majlis yang di adakan oleh Wan Iqbal sama ada bersifat rasmi atau secara informal seperti majlis makan makan di rumah Wan Iqbal. Rahim Bakar has no problem interacting with a younger and crtical generation.

Maka di rumah saudara Wan Iqbal inilah saya berkesempatan bertemu dengan Dato Rahim Bakar dan berpeluang mendengar dan menimbang 'kedalaman' fikiran Dato Rahim Bakar. Kali terakhir saya berjumpa dengan Rahim Bakar ialah kira kira 5-6 bulan yang lalu di rumah Wan Iqbal. Kebetulan waktu itu, hanya kami bertiga sahaja yang ada dan kami telah dapat bercakap secara terbuka dan candid.

Dato Rahim Bakar ada menyentuh mengenai pergeseran dengan pihak Istana. Cerita nya tidak lah seperti yang di gambarkan oleh pihak media. Diantara beliau dengan pihak Istana tidak ada pergeseran yang fundamental. Rahim Bakar terus dan secara konsisten, mendaulatkan institusi Istana. Dia hanya berbeza pendapat apabila kepentingan rakyat tidak sehaluan dengan kepentingan Istana. Dan apabila kepentingan rakyat bertembung dengan kepentingan Istana, kepentingan rakyat di dahulukan. Ertinya, Rahim Bakar melihat tugas primary nya ialah menjadi menteri besar kepada rakyat. Dia tidak berkonflik dengan pihak Istana- dia hanya tidak berkompromi diatas kepentingan rakyat.

Konflik yang terurai ke pengetahun umum dan di dramakan oleh pihak media, adalah suatu konflik yang di reka oleh petualang petualang politik. Rahim Bakar menerangkan bahawa kehendak pihak istana semua di selesaikan setakat yang di perbolehkan. Selebih yang di perbolehkan, Rahim Bakar bertegas dalam hal tersebut. Yang tak boleh, tetap tidak di bolehkan. Dan dia tidak buat keputusan sendiri. Kesemua di bincang dalam exco. Dan Rahim Bakar menerangkan dalam banyak kes, exco bersetuju dengan tindakan yang di ambil. Mistake Rahim Bakar ialah membuat andaian semua orang ikhlas seperti nya. Sebab ada dalam barisan exco dan ADUN2 ketika itu yang bermuka muka. Mereka lah yang berkejaran ke istana menambahkan cerita bahawa Rahim Bakar lah ketua pendurhaka.

Apa yang saya hendak nyatakan disini, ialah Rahim Bakar tidak berkonflik dengan istana. Aspek ini sengaja di gembar gemburkan oleh musuh poilitik nya. Apa yang dia ada, yang tersangat kurang pada diri kebanyakan pimpinan UMNO hari ini ialah tidak berkompromi diatas prinsip.

Ada dua perkara yang saya ingat daripada pertemuan saya dan rakan rakan lain dengan Rahim Bakar. Kali pertama saya berjumpa dengan Rahim Bakar ialah sebaik sahaja pilihanraya ke 12 berlansung. Kami telah bertemu di rumah Wan Iqbal untuk bertukar tukar pendapat mengenai masa depan UMNO.

Dalam pertemuan yang pertama ini, beberepa bakas ADUN yang di gugurkan hadir sama. Majlis kali pertama di hadiri 7-8 orang. Terdapat 2 atau 3 orang yang telah memutuskan untuk berkerat arang dan berpatah rotan dengan UMNO. Mereka telah memberi alasan mengapa UMNO yang menyepak mereka keluar, harus di tinggalkan.

Rahim Bakar yang merupakan bekas MB dan bekas Ahli MKT UMNO mendengar dengan penuh perasaan 'kebapaan' terhadap rintihan bekas bekas ADUN.

Pada penghujung perbincangan Rahim Bakar telah bertanya satu soalan. Sudahkah anda semua fikirkan mengenai alternative kepada UMNO?

Soalan tersebut disambut dengan beberapa jawapan yang tidak bersemangat dan kurang meyakinkan. Rahim Bakar meneruskan- with respect kepada perasaan yang menyerlah pada hari ini, kita semua kena fikirkan mengenai alternative kepada UMNO.

UMNO itu, landasan perjuangan nya apa? Jawapan nya ialah Melayu dan Islam. Ini prinsip asas UMNO. Melayu erti nya, UMNO itu tempat suaka tenteram orang Melayu. Itulah tempat bergantung harap orang Melayu ketika susah dan perlindungan kepada malapetaka. Bagaimana status sebagai tempat bergantung harap dan bentuk mana perlindungan di beri tertakluk kepada kualiti kepimpinan UMNO. Bahagian itu kita boleh berbeza pendapat tapi bahagian fundamentals dan asas kita tidak berkompromi. UMNO tidak boleh meningalkan dua perkara ini- iaitu peranan nya sebagai tempat bergantung orang Melayu dan pendukung agama Islam.

Saya faham saudara saudara semua tengah marah- tapi fikirkan hal ini. Boleh kah PKR memainkan peranan ini? Saya tidak fikir mereka boleh lakukan ini. Kepada saya, UMNO sudah pun nazak, kerana ia sudah tidak faham fundamentals perjuangan UMNO. Alternative yang paling serious saya lihat ialah PAS. Sama ada saudara boleh melanggani prinsip perjuangan PAS, saya tidak tahu.

Saya tidak menyokong atau suruh saudara saudara menyokong PAS. Tapi lihat secara rasional- jika UMNO gagal, alternative nya hanya satu- PAS. Saya tak cadang kita semua berbondong bondong masuk PAS- tapi think of the possibility of aligning with PAS.

Rahim Bakar telah berjaya mengutarakan satu persoalan yang membuat ramai antara kami melupakan tujuan kami bertemu pagi itu. Secara kebetulan, dalam pertemuan itu, seorang emissary dari PKR juga turut hadir. Kami telah memberi dia peluang untuk berkempen mengapa PKR pilihan lebih baik dari UMNO.


You tahu, Ariff, Musa Hitam once told me- penyakit UMNO ni ialah penyakit tua. Ubat nya ialah meremajakan UMNO.

Saya tak tahu macam mana Musa Hitam berfikir, tapi pada saya, penghujung sakit tua ialah mati. Ini yang saya tengok berlaku pada UMNO. Tengok saja kualiti pimpinan UMNO. Ada setengah nya( identity di lindungi) entah apa apa cakap nya? Saya sendiri pun pernah menyergah pemimpin ini- apa yang kau cakap ini? Berbelit belit lah- kalau aku tak faham, orang lain lagi tak faham.

Saya lihat masaalah UMNO sekarang ialah masaalah mutu kepimpinan. Tak de prinsip. Sebab itu negeri Pahang ni tergadai. You tengok, berapa bayak harta benda negeri ini yang tergadai. Saya pergi ke Rompin tempoh hari, saya lalu ikut jalan Kuantan-Segamat. Tiba tiba saya tengok ladang IOI. Aik, saya tanya dalam hati- bila pulak IOI ini ada kat Pahang? Saya rasa masa saya dulu, saya lulus tanah ini kepada LKPP. Saya tanya rakan saya dalam kerajaan- macam mana ni terjadi. Bukan kah taanah ni LKPP punya dulu? Oh- LKPP kena paksa jual ke satu pihak, pihak ini yang jual ke IOI.

You tengok pula Berjaya Resort di Tioman. Ini dulu LKPP juga yang punya. Apa pasal LKPP jual ke Berjaya. It's the same modus operandi , kata Dato Rahim Bakar.

What's wrong with UMNO sekarang? You ada so many fronts to lawan. Tekanan Islam, pressure dari jenerasi muda, dari UMNO warlords,. Dalam keadaan begini, you perlu ketegasan. Don't compromise.

Saya nak beritau you satu wisdom yang saya sendiri belajar dari Hussein Onn. You tahu, dia ini bekas askar. Penuh disiplin dan ada ilmu ketenteraan. Dia kata pada saya- Rahim, you remember this- you want to go into battle, don't open up so many fronts.
Itulah beberapa perkara yang saya dapat ingat dari perbualan saya dengan Dato Rahim Bakar. Setelah bersalaman dan berassalamualaikum, kami pun beredar dari rumah Wan Iqbal. Rahim Bakar drove off in his trusted old Benz with the number plate 55. Alfatihah- semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas roh nya.

(dipetik dari blog sakmongkol ak47)

Saturday, September 26, 2009

Abdul Rahim tegas, pentingkan rakyat


Abdul Rahim tegas, pentingkan rakyat
Oleh YULPISMAN ASLI
utusanpahang@utusan.com.my

PEMERGIAN ke rahmatullah Bekas Menteri Besar Pahang, Datuk Abdul Rahim Abu Bakar yang dikenali sebagai seorang yang tegas di kalangan pemimpin dan rakan-rakannya, meninggalkan banyak jasa kepada rakyat dan negeri Pahang.
"Allahyarham seorang pemimpin yang tegas dalam membuat keputusan, tetapi mudah didekati," kata Presiden Majlis Wakil Rakyat (Mubarak) Cawangan Pahang, Datuk Abdul Jabbar Ibrahim.
Allahyarham meninggal dunia di kediamannya di Jalan U-Than, Kuala Lumpur pada pukul 7.10 petang kelmarin dipercayai akibat serangan jantung, ketika menunggu azan untuk berbuka puasa.
Dalam arena politik jelas Abdul Jabbar, sikap tegas Allahyarham itu mewujudkan perasaan kurang senang kepada pihak tertentu.
Namun apa yang pasti katanya, Allahyarham mencipta banyak kejayaan dalam kerjayanya meliputi pelbagai bidang termasuk politik, sukan, pertubuhan belia, koperasi dan juga pembangunan bahasa.
Walaupun Allahyarham menjadi Menteri Besar hanya dalam waktu yang singkat, namun beliau berjaya mewujudkan kawasan penempatan penting di Kuantan iaitu Bandar Atabara yang kini dikenali sebagai Indera Mahkota, jelas Abdul Jabbar.
Menurut beliau lagi, Allahyarham juga banyak membangunkan tanah di Pahang untuk kepentingan rakyat dan negeri semasa mengetuai Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP).
Dalam bidang koperasi pula, antara kejayaan besar Allahyarham ialah 'menyelamatkan' Koperasi Shamelin yang ketika itu berdepan bebanan hutang.
Allahyarham merupakan Pengerusi Shamelin Holding Sdn. Bhd. dan Koperasi Shamelin Berhad sejak 1991 sehingga kini.
"Di bawah kepimpinannya, beliau berjaya melangsaikan hutang koperasi berkenaan sehingga mampu pula memberi dividen," jelas Abdul Jabbar yang juga bekas Timbalan Menteri Besar Pahang ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Datuk Faisal Abdullah pula menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang tegas dan berani mengambil keputusan yang difikirkannya baik.
"Beliau seorang yang mempunyai pendirian dan cara serta gayanya sukar difahami," katanya.
Menurut Faisal, semasa hayatnya Allahyarham adalah antara orang yang terlibat dalam penubuhan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang kini menjadi pertubuhan belia disegani sama di dalam dan luar negara.
Katanya, sepanjang menjadi Menteri Besar walaupun dalam waktu yang singkat, Allahyarham terlibat dalam rancangan mewujudkan bandar dan pusat perniagaan baru di seluruh Pahang antaranya di Chenor, Maran dan Bentong.
Seorang lagi bekas ADUN Beserah, Datuk Mohd. Fauzi Abdul Rahman turut menyifatkan Allahyarham seorang tokoh yang berjiwa rakyat dan pemergian beliau merupakan satu kehilangan buat negeri Pahang.
Mohd. Fauzi yang kini Pengerusi PKR Pahang turut menyifatkan Allahyarham sebagai seorang pemimpin yang cemerlang kerana sangat memahami aspirasi rakyat.
"Semasa hayatnya, Allahyarham sangat memahami naluri rakyat. Beliau sangat sederhana dan tidak kekok untuk turun padang bagi melihat sendiri masalah rakyat.
"Beliau benar-benar seorang pemimpin yang pentingkan rakyat dan seorang yang tegas. Tetapi politik tidak adil kepada Allahyarham," katanya.
Sememangnya, pemergian beliau merupakan satu kehilangan kepada Pahang sebagaimana ditegaskan oleh Exco Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin.
"Pahang kehilangan tokoh berwibawa yang banyak berjasa kepada pembangunan negeri seperti pembinaan bandar Indera Mahkota ketika di zamannya," katanya.
Bagi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang itu, Allahyarham juga merupakan seorang pejuang bahasa dan rakyat Pahang harus mengenang beliau sebagai 'pejuang rakyat.'

Thursday, September 17, 2009

selamat hari raya, maaf zahir batin


SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN

Daripada Ismail @ Subari Ahmad ar-Rawi @ Arisel Ba dan Keluarga

Tuesday, September 8, 2009

SELAMAT HARI RAYO, MAAF ZOHIR DAN BoTIN


Salam sejahtera


تاكربو ﷲا ةمحرو مكيلع مﻼسلا / Salam sejahtera

Kubur itu gelap , cahayanya ialah Laa Ilaaha illAlLah .
Jika diletakkan langit dan bumi di sebelah dacing,
dan kalimah ini di sebelah yang satu lagi,
pasti lebih berat lagi nilai kalimah ' Laa ilaaha illAlLah ' ini .

Rasulullah saw. bersabda ( mafhumnya ):
" Wahai manusia ! Ucaplah ' Laa ilaahaillalLah' , kamu pasti berjaya!"
Marilah kita ucapkan kalimah ini : " Laa ilaaha illallah !" x 10

Setelah ucapkannya sebanyak 10 kali,
fowardkan email ini kepada sekurang - kurangnya 10 orang rakan-rakan anda .
Bayangkan betapa besarnya pahala yang Allah sediakan,
hanya untuk usaha kita yang sedikit ini
Laa ilaaha illalLah !

Selamat Hari Raya
Aidil Fitri ,
Maaf Zahir Batin .

Drpd: Ismail @ Subari ar-Rawi dan keluarga

Sekian terima kasih
Wassalam.

Saturday, August 8, 2009

7 wasiat Raja Melayu jamin keharmonian Malaysia


7 wasiat Raja Melayu jamin keharmonian Malaysia
Oleh Rohaniza Idris /Berita Minggu – 9 Ogos 2009
roha@bharian.com.my

SELEPAS negara merdeka lebih 50 tahun, sudah kedengaran suara halus dan lantang mempertikaikan beberapa perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti hak kedaulatan dan kebesaran Raja Melayu, hak keistimewaan Melayu, agama Islam, bahasa Melayu dan adat istiadat Melayu.

Perkara ini lebih ketara apabila lima negeri dikuasai pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-12, (Perak kemudian dikuasai semula Barisan Nasional, Februari lalu) dan diburukkan lagi dengan beberapa isu dan 'politiking' yang dimainkan ahli politik, termasuk mereka yang pertama kali dan tiada pengalaman menjadi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Seperti kata seorang pensyarah politik, ketidakstabilan dan krisis politik tanah air selepas pilihan raya umum berlaku kerana ahli politik terlalu 'berpolitiking' selain latar belakang mereka sebagai 'bidan terjun' dalam bidang politik.
Malah, kebanyakan Ahli Parlimen atau Adun yang ada kini, pertama kali bertanding dan menang, mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk di kalangan peniaga kecil atau penganggur yang tiada pengalaman dalam politik. Lebih teruk lagi ada yang tidak bersedia kerana tidak jangka menang.

Ada yang menyatakan ahli politik yang ada, (pertama kali menjadi Ahli Parlimen dan Adun) mengalami kejutan budaya dan tidak pandai menguruskan kemenangannya.

Lantaran itu, wujudlah pelbagai pertikaian dan tuntutan yang mencabar Perlembagaan Persekutuan kononnya diperjuangkan atas nama keadilan dan suara rakyat.
Pelbagai usaha dilaksanakan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik untuk menyedarkan rakyat bahawa tuntutan dan pertikaian yang dibangkitkan ahli politik berkenaan tidak boleh dipersoalkan kerana ia sudah termaktub dan dipersetujui semua kaum dalam Perlembagaan Persekutuan hasil Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Pengisytiharan Kemerdekaan 1957.

Tidak cukup dengan itu, Raja-Raja Melayu mula bersuara dan mengingatkan rakyat tidak lagi mempertikaikan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan walaupun pada hakikatnya perkara itu tidak perlu diingatkan kerana Raja-Raja Melayu mempunyai kedaulatan yang sepatutnya difahami setiap warga negara.

Terbaru, sekali lagi peringatan diberikan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah yang membentangkan tujuh wasiat Raja-Raja Melayu sebagai peringatan yang perlu diambil berat setiap rakyat.

Ada suara yang menyatakan sebagai Raja, perkara berkenaan tidak perlu dibangkit dan dibentangkan kerana rakyat sepatutnya faham bahawa Raja-Raja Melayu itu ada daulatnya.
Namun, nampaknya ramai yang tidak faham atau sengaja tidak mahu faham mengenai konsep kedaulatan Raja dan Raja yang menaungi dan memayungi rakyat.

Ahli sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam, berkata beliau tidak pernah mengetahui mengenai wasiat berkenaan kerana ia adalah dokumen rasmi yang disimpan Majlis Raja-Raja dan pendedahan Raja Muda Perak perlu dipandang serius setiap warga negara.

"Ia bukan satu peringatan biasa tetapi penuh makna tersirat dan tersurat yang perlu diberi perhatian. Ramai yang lupa bahawa Raja-Raja mempunyai daulat yang menjadi tonggak keamanan dan kesejahteraan di negara ini sejak merdeka," katanya.

Sebelum 1948, negara yang dinamakan Tanah Melayu ini milik Raja-Raja Melayu dan kuasa Raja-Raja adalah mutlak bermakna apa saja yang diperintahkan baginda perlu dipatuhi kerana ia adalah undang-undang dan tidak boleh dibantah.

Namun, apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Raja-Raja Melayu dengan rela hati mengurangkan kuasanya dan wujudlah sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan yang mana sedikit kuasa diserahkan kepada rakyat dan pentadbiran serta pengurusan negara atau negeri diserahkan kepada wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya yang dilantik sebagai Kabinet (Kerajaan Persekutuan) dan barisan Exco (kerajaan negeri).

Prof Ramlah berkata, apabila sistem pemerintahan Raja mutlak ditukarkan kepada Raja Berperlembagaan, maka Raja-Raja Melayu tidak lagi dilihat kerap dalam masyarakat walaupun sering menemui rakyat jelata.

Keadaan berkenaan menjadikan ramai tidak faham bahawa Raja-Raja mempunyai fungsi dan ada yang menyatakan Raja-Raja Melayu hanya mendapat elaun walaupun hakikatnya Raja-Raja yang menaungi dan memayungi rakyatnya.

Kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak orang Melayu sudah banyak diajar di sekolah, namun rakyat sering lupa apabila tamat persekolahan dan lebih menyedihkan apabila berada dalam masyarakat mereka disogok dengan maklumat salah atau yang dipesongkan mengenai Perlembagaan Persekutuan, Kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu.

Suasana politik tanah air dan kewujudan kelompok yang menggelarkan diri sebagai pejuang sosial (sosialis) menjadikan keadaan sedia ada lebih parah apabila mereka cuba menukarkan sistem pemerintahan sekarang menjadi seperti republik yang mana tiada lagi kuasa Raja yang memerintah.

Sering kali orang lupa, demokrasi yang diamalkan tidak bermakna seseorang itu bebas mengeluarkan apa saja perasaan tanpa memikirkan keselamatan rakyat umum.

Kelompok ini berasakan jika kedaulatan Raja-Raja Melayu dikikis, lebih mudah usaha mereka mewujudkan kesamarataan rakyat dan hak orang Melayu dibuang.

Pandangan itu dipersetujui Pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof Madya Dr Zainal Abidin Borhan yang berpendapat tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang dikemukakan Raja Muda Perak itu kerana Raja-Raja Melayu nampak sudah ada usaha menggugat kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja Melayu serta apa saja yang ada Melayu.

"Pada saya, ia satu peringatan penting untuk menyedarkan orang Melayu dan peribumi serta rakyat seluruhnya mengenai asal usul mereka, juga bagaimana Raja-Raja Melayu itu memayungi dan menaungi rakyat supaya negara ini sentiasa sejahtera, damai dan aman.

"Lebih penting lagi, wasiat itu jelas memberitahu bahawa negara ini adalah miliki Raja-Raja Melayu. Malah, Britain yang pernah menjajah negara ini pun menyerahkan Tanah Melayu kepada Raja-Raja Melayu pada 31 Ogos 1957 kerana mereka tahu wilayah ini milik Raja-Raja Melayu dan baginda dapat menyatupadukan rakyat dan keamanan dapat dicapai," katanya.

Peringatan berkenaan juga bertepatan situasi terkini di dalam negara, yang mana sudah ada usaha pihak tertentu yang didalangi orang asing untuk menggugat institusi diraja dan kerajaan dengan membangkitkan apa saja isu yang berkaitan orang Melayu seperti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negara Malaysia (SPRM).

Jelas sekali, kata Dr Zainal Abidin, Raja-Raja Melayu amat bertanggungjawab dalam memayungi dan menaungi rakyatnya.

Beliau yang juga Setiausaha Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena) berkata, wasiat itu juga mengingatkan rakyat yang dinaungi Raja-Raja Melayu bahawa Malaysia tanah berdaulat dan rakyat jangan sesekali menderhaka dengan mewujudkan ketidakselesaan dan suasana kacau-bilau di negara ini.

"Kelompok yang menjadi 'kitol' (penderhaka), 'Raja Mandeliar' (petualang) serta 'patih' (orang asing) sentiasa mencari jalan supaya orang Melayu Islam tidak mendominasi negara ini kerana ia akan membantutkan usaha mereka mahu menjadikan Malaysia seperti Singapura dan Indonesia yang kini tiada raja dan menjadi republik.

"Kelompok ini tidak kira didalangi parti pembangkang atau tidak, sebenarnya tahu mereka boleh berkuasa dan menafikan hak orang Melayu sekiranya kuasa Raja-Raja Melayu dihapuskan di bumi bertuah ini, jadi ini memang masa sesuai untuk Raja-Raja Melayu membentangkan wasiat itu," katanya.

Apa yang jelas, satu persatu bukti dan butiran sejarah yang dikeluarkan institusi diraja sejak kebelakangan ini perlu diberikan perhatian dan siapa pun tidak tahu ada banyak lagi dokumen penting di dalam simpanan Raja-Raja Melayu mengenai tanah air ini.

Bagi puak yang berasakan sudah dapat 'kuasa' jangan sesekali cuba mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu dan hak keistimewaan orang Melayu kerana bumi bertuah ini memang milik Raja-Raja Melayu, hatta Britain pun memulangkannya ketika Tanah Melayu mahu diisytiharkan merdeka.

Sebagai penamat, hayati titah Raja Nazrin Shah pada Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas di Dewan Bahasa dan Pustaka, Khamis lalu;

"Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaulatan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal tertentu."

INFO
7 wasiat Raja Melayu
• Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia)
• Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama kaum lain
• Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman luar
• Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah negara ini
• Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan
• Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu
• Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum lain. (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak)

Thursday, August 6, 2009

Rakyat diingatkan 7 wasiat Raja-raja Melayu



Rakyat diingatkan 7 wasiat Raja-raja Melayu
06/08/2009 5:03pm

KUALA LUMPUR 6 Ogos — Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah hari ini mengingatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.
Menurut baginda, wasiat yang disampaikan semasa Raja-Raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 ialah :
• Kami namakan dan kami panggil dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung PERSEKUTUAN TANAH MELAYU (sekarang dikenali dengan nama Malaysia);
• Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, TANAH SIMPANAN MELAYU sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain;
• Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kamu serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan REJIMEN ASKAR MELAYU selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara;
• Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan RAJA-RAJA MELAYU memerintah negara ini;
• Kami isytiharkan ISLAM adalah Agama Persekutuan;
• Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah BAHASA MELAYU;
• Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi KEDUDUKAN ISTIMEWA ORANG MELAYU dan KEPENTINGAN SAH KAUM-KAUM LAIN.
(Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Saraak).
Raja Nazrin Shah bertitah demikian semasa melancarkan tiga buku Allahyarham Prof Datuk Dr Syed Hussein Alatas, berjudul Mitos Peribumi Malas, Intelektual Masyarakat Membangun, dan Rasuah : Sifat, Sebab dan Fungsi, sempena Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Syed Hussein Alatas yang bermula Selasa lepas di Dewan Bahasa dan Pustaka di sini.
Menurut baginda, wasiat sembilan Raja Melayu terdiri dari empat negeri Melayu bersekutu dan lima yang tidak bersekutu itu, disampaikan sebelum Merdeka kepada rakyat Melayu, yang merupakan rakyat asal dan subjek Raja-Raja Melayu.
“Wasiat ini dihasilkan atas kehendak Raja-Raja Melayu untuk mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan, dan kuasa politik Melayu (yang terletak pada Raja-Raja Melayu) kepada kesinambungan kedaultan negara kepada Raja-Raja Melayu serta mendapat penerimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi, maka Perlembagaan Persekutuan mempunyai fasal-fasal tertentu,” titah Raja Nazrin Shah, merujuk kepada Perkara 3 (1) (2) (3) dan (5); Perkara 11, Perkara 12; Perkara 38 (5); Perkara 152; Perkara 153 dan Perkara 181 (1).
Menurut Raja Nazrin Shah fasal-fasal ini memerlukan izin Majlis Raja-Raja Melayu untuk sebarang pindaan.
“Sempena ulang tahun kemerdekaan negara ke-52 pada 31 Ogos ini, sewajarlah fakta-fakta utama dalam perjalanan menuju kemerdekaan itu dipastikan tidak terpendam dari sejarah,” titah baginda.
Mengenai Syed Hussein Alatas, yang meninggal dunia kerana serangan jantung pada 23 Jan 2007, Raja Nazrin Shah bertitah bahawa Allahyarham sering membangkitkan mengenai kejijikan rasuah, dan dihuraikannya dalam buku tulisan beliau “Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi.” “Walaupun ianya kotor dan jijik, ironinya semakin ramai yang berlumba untuk mendapatkan kuasa supaya berpeluang melakukannya, malah melakukannya dengan penuh tipu muslihat untuk terlepas dari undang-undang dan hukum dunia,” titah baginda.
Raja Nazrin Shah bertitah bahawa ramai yang bercakap tentang rasuah, malah seruan untuk memeranginya ada kalanya bergema lebih nyaring daripada kalangan mereka yang tidak bebas daripada melakukannya.
“Lalu tenggelamlah kesungguhan usaha untuk memerangi rasuah dalam retorik kepura-puraan. Akibatnya takhta runtuh, pemimpin jatuh, negara lebur dan rakyat melarat,” titah baginda.
Baginda bertitah rasuah berlaku di mana-mana termasuk di istana, dalam sektor awam, swasta, organisasi politik, malah dalam badan-badan agama, kerana rasuah merupakan candu yang mengasyikkan dan yang menanggung derita bukan dalam kalangan pengamal dan penerima rasuah.
“Sebenarnya rasuah merendahkan martabat seseorang insan ke taraf abdi, menjadikan insan hamba kepada harta, kepada kekayaaan, kepada kebendaan dan kepada jawatan yang diperoleh secara haram,” titah Raja Nazrin Shah.
Menurut baginda, rasuah adalah instrumen yang membunuh jiwa merdeka, pemikiran merdeka, sifat merdeka dan watak merdeka dalam diri seseorang insan yang terjebak dengannya.
— BERNAMA