ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Saturday, February 21, 2009

Isu derhaka, krisis moral dan tuntutan kewarasan

Di luar lingkaran: Isu derhaka, krisis moral dan tuntutan kewarasan
Oleh Johan Jaaffar/Berita Minggu 22.2.2009
Bangsa Melayu semakin kurang dihormati

ISU penderhakaan tiba-tiba meledak. Sudah sekian lama kita tidak mendengar perdebatan mengenai soal derhaka. Derhaka merupakan perkataan yang membawa makna yang besar dalam budaya Melayu. Malah ada semacam perhitungan tidak bertulis bahawa ia menjadi tabu pertama dalam masyarakat Melayu. Derhaka menjadi sebahagian psyche Melayu dalam konteks sistem sosial mereka.

"Orang Melayu pantang derhaka" menjadi ungkapan yang diguna pakai dalam mendefinisikan "persetiaan" di antara Raja dan rakyat. Mungkin ada benarnya ungkapan itu dicipta bagi memberikan legitimasi pada kekuasaan Raja-Raja selama ini. Malah seperti banyak mitos, lagenda dan konsep yang membabitkan institusi Raja sejak zaman berzaman, sebahagian besarnya diwujudkan bagi menandakan kelainan, keistimewaan dan keunikan golongan yang memerintah.
Konsep kesetiaan dalam masyarakat Melayu turut membentuk sikap, nilai dan citra bangsa itu. Dalam masyarakat yang berpegang pada prinsip kepatuhan nilai-nilai bermasyarakat, perlu wujud sistem hukuman dan balasan yang setimpal pada setiap perlakuan dan salah laku. Kawalan atau sanction ke atas masyarakat dicorakkan oleh hukum agama dan adat selain undang-undang atau hukum kanun.

Dalam kaitan ini wujud juga pengertian adab, tata susila dan akhlak. Masyarakat Melayu berpegang pada nilai-nilai sedemikian bagi memastikan kelangsungan atau survivalnya sebagai bangsa. Tanpa semua itu, mereka sedar masyarakat akan binasa, berpecah belah dan menuju anarki. Isunya bukan sangat mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu tetapi untuk memastikan bangsa itu mempunyai peraturan dan perundangan yang jelas. Tidak ada bangsa yang dapat bertahan sekiranya nilai-nilai kepatuhan bersama itu dirosakkan.

Memang orang Melayu pernah menderhaka. Atau menunjukkan penentangan terhadap Raja. Tetapi berdasarkan catatan sastera, akibat perbuatan itu langsung dan serta-merta.
Kitab Sejarah Melayu dan kitab-kitab Melayu yang lain sememangnya berlaku adil dalam soal ini. Malah dari Sejarah Melayu kita mengetahui bagaimana bermulanya "persetiaan" di antara Raja dengan rakyat di Bukit Seguntang. Sang Sapurba yang mewakili Raja-Raja Melayu meminta orang Melayu jangan derhaka pada anak cucu baginda sementara Demang Lebar Daun yang mewakili rakyat memohon agar anak cucunya jangan dizalimi oleh Raja-Raja Melayu.

Dalam sejarah bangsa Melayu Raja zalim mendapat pembalasan seperti juga hamba rakyat yang menderhaka. Maka itu ungkap "Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah" menjadi semacam pedoman bagi Raja-Raja Melayu. Dari kisah kezaliman Sultan Mahmud Melaka hinggalah peristiwa Sultan Mahmud di Johor yang membunuh isteri panglimanya kerana buah nangka, prinsip itu diguna pakai zaman berzaman. Dalam konteks Laksamana Bentan yang menikam Raja yang sedang dijulang, sumpahnya dikatakan berkekalan tujuh keturunan. Banyak insiden yang menunjukkan bagaimana persetiaan ini mengekalkan kelangsungan sistem sosial yang ada.

Sistem beraja yang menjadi teras masyarakat feudal mampu bertahan kerana hal ini. Mana Raja-Raja Melayu yang menzalimi rakyatnya biasanya tidak bertahan malah kerajaan baginda akan tumbang. Hamba yang menderhaka pula, walaupun apa alasannya tidak ada tempatnya dalam masyarakat Melayu.

Apakah maknanya cerita sejarah berbaur mitos mengenai Raja-Raja Melayu diceritakan terus menerus sebagai sebahagian daripada cerita rakyat? Ia merupakan proses sosialisasi yang juga bertujuan memberi pemahaman dan pendidikan secara halus. Kisah keajaiban, kehebatan dan kegemilangan sedemikian boleh menaikkan semangat dan kekuatan selain memberikan iktibar dan nasihat.
Memang ada pihak yang mulai mentafsir perlakuan derhaka dalam masyarakat Melayu. Hang Jebat, Laksamana Bentan atau Si Bongkok Tanjung Puteri memang diberikan tafsiran baru. Memang ada kecenderungan untuk menilai semula konsep wira dalam masyarakat Melayu. Kecenderungan pemikiran kiri dan aliran sosialisme satu masa dulu membaca Jebat sebagai hero baru. Memang ada kritikan terhadap sikap Hang Tuah yang setia membabi buta. Memang orang Melayu sedar tentang wujudnya "budak-budak Raja" yang berkuasa besar dalam istana Raja Melayu. Merekalah yang membuat onar dan angkara lalu memporak peranda istana. Watak seperti ini ditempelak dan diberikan gambaran hitam seperti juga perbuatan Si Kitul dan Raja Mudaliar yang dikatakan bertanggungjawab memporak peranda dan menghancurkan empayar Melayu Melaka.

Sistem beraja tidak berakhir dengan kemerdekaan. Kita masih menjunjung sistem beraja dengan penyesuaian. Perlembagaan Persekutuan menjamin kelangsungan sistem itu, cuma kali ini disangkutkan pada Perlembagaan lalu muncullah ungkapan sistem Raja Berperlembagaan. Maka itu Raja-Raja Melayu memainkan peranan yang tersendiri dalam sistem pemerintahan negara. Pandangan bahawa mereka hanya ketua adat dan agama tentulah tidak sepenuhnya tepat apa lagi jikalau mereka hanya dilihat sebagai simbol dan lambang semata-mata. Mereka juga bukan berperanan hanya dalam upacara dan ritual negara saja.

Apabila kita merangka Rukunegara yang menjadi prinsip sebuah negara bermaruah, kita meletakkan kesetiaan pada Raja sebagai teras yang penting. Walau bagaimanapun cara kita menilai konsep setia itu, terasnya ialah bagi menjunjung kemuliaan dan memartabatkan institusi itu. Sekiranya kita menghormati Perlembagaan, maka institusi beraja harus juga dilindungi dan dipertahankan.

Oleh yang demikian derhaka tentunya tidak ada dalam perbendaharaan kata mana-mana individu yang menjunjung sistem Raja berperlembagaan. Apatah lagi jikalau alasan sembah derhaka itu kerana enggan menerima kenyataan perubahan politik semasa atau kepentingan peribadi seseorang. Sekiranya perisytiharan kedudukannya sebagai Menteri Besar dibuat melalui sistem beraja yang sedia ada mengapakah perlucutan jawatannya oleh institusi yang sama tidak boleh diterima? Apakah sistem itu hanya diwajarkan apabila untuk tujuan melantik tetapi apabila kerajaan pimpinannya tumbang maka penubuhan kerajaan baru dicabar sekali gus dengan institusi yang menabalkannya? Institusi Raja itu sendiri dipersoalkan. Malah ada cadangan pihak-pihak tertentu untuk membawa Baginda Sultan Perak di mahkamah.

Apakah yang sebenarnya berlaku? Apakah kita terbayang akan melihat episod malang ini berlaku di hadapan mata kita? Apakah ini penanda perubahan dalam sistem nilai orang Melayu sendiri? Apakah pemikiran anak-anak Melayu hari ini sudah dikelabui oleh kepentingan politik semata-mata? Maka pertimbangan adab dan budaya tidak ada maknanya lagi?

Kita boleh menghujahkan secara panjang lebar drama di Perak itu. Tetapi satu hal adalah jelas: Anak-anak Melayu menghantar mesej yang salah pada bangsanya dan orang lain: Bahawa derhaka diwajarkan. Dalam konteks perpecahan serius di kalangan orang Melayu sekarang, keadaan ini akan lebih mempersulitkan. Krisis ini menjadi krisis memalukan membabitkan orang Melayu, walaupun mungkin ada dalang lain di belakangnya. Melihat kemarahan segelintir anak-anak Melayu yang jelas memancarkan imej sebuah parti politik, orang mulai bertanya, apakah ini protes Melayu terhadap orang Melayu sahaja?

Bagi saya ini krisis baru dalam masyarakat Melayu. Itu belum lagi ukuran double standard sesetengah pihak dalam soal yang membabitkan perilaku seorang wakil rakyat. Isu moral ialah isu peribadi. Bagaimanapun kita harus meletakkan kriteria yang sama dalam menentukan penanda aras moral di negara ini. Apabila wakil BN atau UMNO khususnya terbabit maka tuduhan tidak bermoral riuh rendah kedengaran tetapi apabila orang mereka sendiri terlibat, tiba-tiba muncul pula tuduhan mengenai pola konspirasi untuk menjatuhkan nama baik mereka.

Isu moral seperti juga soal yang membabitkan kesetiaan harus berlandaskan norma yang sedia ada. Soal derhaka tidak boleh ditafsir mengikut selera seperti juga perbuatan tidak bermoral mana-mana individu. Sekiranya kita memilih untuk menyerang peribadi orang, satu hari nanti orang akan menempelak perilaku salah kita.

Orang Melayu yang bijaksana ada mengatakan, mengata dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih.