ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Saturday, December 27, 2008

Almarhum Tuanku Ja'afar Raja Berjiwa Rakyat


Almarhum Tuanku Ja'afar Raja Berjiwa Rakyat



SEREMBAN, 27 Dis (Bernama) -- Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman yang kembali ke Rahmatullah hari ini, seorang raja yang berjiwa rakyat dan sentiasa prihatin dengan nasib rakyat.

Menantu Almarhum, Datuk Seri Tengku Azlan Almarhum Sultan Abu Bakar, 59, berkata Almarhum seorang raja yang baik dan sentiasa memikirkan mengenai pembangunan Negeri Sembilan selain mempunyai minat mendalam terhadap bidang sukan dan sentiasa mahu melihat generasi muda bergiat aktif dalam bidang itu.

Sebagai seorang ketua keluarga, Almarhum sentiasa mengingatkan anak-anak baginda supaya menjadi seorang yang bertanggungjawab dan bekerja keras, kata Tengku Azlan yang juga Anggota Parlimen Jerantut dan bekas Timbalan Menteri Pengangkutan.

Beliau berkata Almarhum amat disenangi oleh rakyat dan orang di sekeliling baginda kerana sikap Almarhum yang penuh diplomasi dan tertib.

"Cara Almarhum berpakaian amat segak setiap masa dan amat jarang untuk melihat baginda murka. Memang saya merasakan kehilangan seorang yang saya kagum bukan sahaja sebagai seorang bapa mertua tetapi sebagai seorang raja, seorang bapa dan insan yang baik. Negeri Sembilan kehilangan seorang pemerintah yang hebat," katanya kepada Bernama di sini.

Tuanku Ja'afar, 86, mangkat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini kira-kira 11.45 pagi ini selepas mengadu sakit kepala dan tidak selesa.

Tengku Azlan, yang dimaklumkan mengenai kemangkatan Almarhum oleh isterinya iaitu puteri kedua Almarhum, Tunku Puteri Jawahir, ketika sedang bersarapan, amat terkejut dengan berita itu memandangkan Almarhum selama ini kelihatan sihat dan tiada tanda-tanda gering.

Sementara itu, bekas pengawal peribadi Almarhum, Ismail Maidin, 62, berkata Almarhum Tuanku Ja'afar seorang yang suka merendah diri walaupun menjadi pemerintah negeri.

Masih kekal dalam ingatan Ismail peristiwa ketika beliau mengiringi Almarhum ke London suatu masa dahulu apabila ada seorang wanita tua di situ menegur baginda.

"Sir, from your style (pakaian) you must be somebody, kata perempuan itu dan baginda menjawab, No, I'm only a train driver on holiday," katanya.

Ismail, yang lebih dikenali sebagai Pak Tam berkata Almarhum sangat disegani kerana selalu berpakaian kemas dan menghormati sesiapa sahaja yang baginda temui.

"Almarhum sentiasa tersenyum dan bersalaman dengan semua rakyat jelata dan pemimpin negeri. Sangat merendah diri dan susah hendak marah orang lain.

"Kenangan saya bersama baginda yang sukar dilupakan ialah ketika saya melakukan kesilapan ketika bertugas, namun Almarhum dengan lembutnya berkata, jangan buat lagi, itu sahaja tahap kemarahannya," katanya yang bertugas bersama Almarhum dari 1984 hingga 2003.

Sambil menyifatkan negara kehilangan seorang pemimpin berjiwa rakyat dan berbudi pekerti tinggi, Pak Tam berkata kali terakhir beliau menemui Almarhum ialah kira-kira dua minggu lepas sekembalinya Almarhum pulang bercuti dari luar negara.

"Ketika itu baginda kelihatan seperti biasa, sihat dan riang menemui kenalan dan rakyat jelata. Tiada tanda yang menunjukkan baginda sakit pun selama ini," katanya.

Bagi bekas pemandu Almarhum, Koperal (B) Mohd Isa Othman 56, Almarhum bukan sahaja seorang raja yang prihatin tetapi juga seorang yang amat dihormati oleh rakyat.

Mohd Isa yang berkhidmat dengan Almarhum dari tahun 1990 sehingga 1994 menyifatkan Almarhum bukan sahaja sebagai seorang raja tetapi juga seorang sahabat dan majikan yang prihatin tentang kebajikan pekerja.

"Saya selalu membawa Almarhum, adakalanya baginda akan memandu, untuk bersiar-siar dan saya akan duduk di sebelah baginda sambil bersembang mengenai kemajuan Negeri Sembilan," katanya.

Beliau berkata antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila bapanya sakit dan Almarhum menyuruhnya membawa bapanya (bapa Mohd Isa) berjumpa dengan doktor peribadi Almarhum.

"Almarhum juga amat prihatin dengan pendidikan anak-anak pekerja. Almarhum pernah menyumbangkan bantuan untuk pendidikan anak-anak saya," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

KOMEN ANDA