ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Thursday, December 25, 2008

PEMERINTAH PAKATAN RAKYAT DI LIMA NEGERI SEMAKIN RAPUH?

PEMERINTAH PAKATAN RAKYAT DI LIMA NEGERI SEMAKIN RAPUH?

KUANTAN – Pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) yang menguasai lima negeri selepas pilihan raya umum lalu didakwa semakin rapuh apabila corak pentadbiran yang dibawanya bercelaru, tidak sistematik dan setiakawan sesama mereka mulai terhakis.

Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail berkata, perpaduan dalam PR semakin lemah, rasa kecurigaan antara satu partai dengan partai yang lain kian melebar memandangkan dasar perjuangan yang dibawa oleh PKR, DAP dan PAS berbeza.

Menurut beliau, kemelut memilih barisan kepimpinan di setiap negeri khususnya Pulau Pinang dan Perak menunjukkan tiada keserasian antara mereka walaupun ia cuba disembunyikan.

”Walaupun mereka cuba menyembunyikan kemelut antara mereka, namun pertelagahan sesama sendiri jelas terutama ketika pemilihan barisan pemimpin di semua peringkat dari lantikan dalam majlis-majlis Kerajaan Tempatan hingga ke agensi Kerajaan Negeri terbabit.

”PR semakin lemah dengan sikap pemimpin sesebuah negeri yang secara jelas mahu memonopoli kepimpinan tertinggi sehingga menyebabkan ada anggota parti lain tersisih.

”Contohnya, Pulau Pinang kerana pemilihan Exco bagi memperuntukkan halal haram adalah dari kaum Cina, bagaimana empat Exco bukan Islam tentukan sesuatu itu haram atau halal,” katanya.

Beliau berkata, situasi itu jelas menunjukkan berlakunya keretakan dalam hubungan mereka dan rakyat akan membuat penilaian kelak memandangkan corak kepimpinan sedia ada dianggap berat sebelah.

Katanya, Barisan Nasional (BN) mengamalkan sikap adil dalam meletakan calon sebagai pemimpin di sesebuah negeri dan ia terbukti sejak BN memerintah negara ini.

"PR menunjukkan sikap sebenar mereka ketika menguasai lima negeri pada pilihan raya lalu. Itu adalah sikap sebenar mereka dan rakyat harus membuat penilaian.

”Berbanding BN, kita mengamalkan keadilan dan menilai keperluan pemimpin yang akan memberi manfaat kepada negeri dan rakyat. Bukannya mementingkan sikap pentingkan diri,” katanya.


Baginya, penguasaan PR akan lumpuh sekiranya perkara itu terus diamalkan dan BN sentiasa bersedia mengambil alih negeri yang jatuh ke tangan PR pada pilihan raya akan datang.

"BN akan berjuang untuk mendapatkan semula negeri yang jatuh kepada PR dan berharap rakyat menilai semula keperluan mereka pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.16, 14 - 20.12.2008

No comments:

Post a Comment

KOMEN ANDA