KETUA PEMUDA UMNO:
KHAIRY JAMALUDDIN MELALUI JALAN BERDURI?
KUANTAN – Nama Khairy Jamaluddin nampaknya kurang popular di Pahang bilamana 10 Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian telah selesai mengadakan Persidangan mereka masing-masing pada minggu lalu.
Hanya Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Raub, Rompin, Bera dan Jerantut telah mencalonkan Khairy manakala Pemuda UMNO Bahagian Cameron Highlands, Lipis, Bentong, Paya Besar dan Kuantan telah mencalon Mukriz Mahathir. Pemuda umno Bahagian Kuala Krau mencalonkan Mohd. Khir Toyo.
Antara sebab Khairy kurang popular kerana beliau didakwa hanya berlegar-legar sebagai pemimpin pemuda UMNO di awang-awangan dan tidak berjejak kaki bersama-sama dengan ahli-ahli pemuda di peringkat akar umbi.
Disamping itu Khairy dianggap bukan dari barisan yang melonjakkan Najib dan Muhyiddin di pucuk pimpinan UMNO membuatkan nama beliau semakin pudar, terutama bila Pemuda UMNO di Negeri Sembilan sendiri tidak sepenuhnya mencalonkan beliau sebagai Ketua Pemuda.
Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Temerloh, Megat Mohd. Asri Abdul Jalil yang akan bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Temerloh 2 November depan dan dicabar empat penjuru bersetuju dengan kenyataan di atas.
Kata Megat Mohd. Asri, pada peringkat awal beliau memang meminati gaya kepimpinan Khairy, tetapi kerana Khairy sejak akhir-akhir ini tidak menampakkan kredibliti kepimpinan yang dikehendaki golongan pemuda, mungkin Pemuda UMNO Temerloh tidak mencalonkan beliau.
Beliau memberitahu, janji-janji Khairy semasa berkempen merebut jawatan Naib Ketua Pemuda beberapa tahun yang lalu tidak pernah ditunaikan, malah beliau banyak memudarkan imej Pemuda UMNO semasa Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu.
Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.9, 26 Okt - 1 Nov 2008
No comments:
Post a Comment
KOMEN ANDA