AMARAN TENGKU MAHKOTA PAHANG:
JANGAN HERET ISTANA DALAM KANCAH POLITIK!
RAUB – Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Haji Ahmad Shah memberi amaran kepada calon-calon UMNO di negeri ini yang akan bertanding pelbagai jawatan peringkat Bahagian pada bulan Oktober depan tidak mengheret istana dalam kancah politik mereka bagi mencari sokongan dalam pemilihan tersebut.
Baginda berkata, tindakan pihak tertentu yang cuba mengaitkan istana dalam pemilihan pelbagai jawatan dalam UMNO boleh mengeruhkan keadaan dan membuat ahli UMNO berada dalam keadaan serba salah untuk memilih pemimpin.
Tengku Abdullah berkata, mereka yang menawarkan diri bertanding jawatan dalam UMNO di peringkat Bahagian perlu bertindak waras dan bertanding atas kekuatan serta kewibawaan diri sendiri, bukannya mengaitkan istana untuk mendapatkan undi dan sokongan.
“Saya tidak nafikan terdapat pihak tertentu yang bertanding merebut jawatan dalam UMNO di negeri ini datang bertemu saya tetapi itu tidak bermakna saya memberi restu atau perkenan kepada mereka.
“Sehubungan itu, saya berharap mereka yang terlibat dapat bertanding secara sihat dan bukannya mendakwa dia mendapat restu istana dan si polan yang bertanding jawatan sama pula tidak digemari istana,'' kata baginda lagi selepas menghadiri perjumpaan dengan pemimpin tempatan, ahli politik, ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kakitangan kerajaan Daerah Raub di sini, baru-baru ini.
Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.7, 12 - 18 Okt 2008
No comments:
Post a Comment
KOMEN ANDA