WANITA WAJIB JAGA KESIHATAN DIRI
KUALA ROMPIN – Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Maznah Mazlan menyarankan semua golongan wanita wajib tahu dan faham mengenai sesuatu penyakit itu, sekurang-kurangnya dapat mengambil langkah pencegahan daripada peringat awal lagi.
Katanya, wanita tanpa mengira latar belakang kedudukan dan pendidikan perlu sentiasa mendalami isu-isu kesihatan, khususnya yang berkaitan dengan penyakit wanita yang mungkin boleh mengancam kesihatan mereka.
Menurutnya, perkongsian maklumat mengenai beberapa penyakit bahaya yang mungkin boleh terkena kepada ahli keluarga dan anggota masyarakat, sebenarnya bukan sahaja menyelamatkan nyawa orang yang disayangi, malah ia dapat mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian dalam institusi kekeluargaan itu sendiri.
“Sebagai wanita kita perlu bijak dan tahu menjaga kesihatan kerana wanita pada hari ini membuktikan mereka mempunyai peranan bukan saja terhadap soal rumah tangga tapi kerjaya mereka sendiri.
“Sudah tentu tanggungjawab dan amanah mereka amat besar dan ini mendorong mereka agar kelihatan anggun dan juga menarik meskipun mempunyai tanggungjawab yang besar.
“Sebaliknya pengetahuan itu juga boleh mengelakkan kita daripada terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak semata-mata untuk rawatan sedangkan kita boleh mencegahnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diadakan Program Nur Sejahtera yang bertemakan ‘Sihat dan Anggun’ anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Negeri Pahang dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Daerah Rompin, baru-baru ini.
Maznah yang juga ADUN Muadzam Shah meminta wanita supaya lebih peka mengenai tahap kesihatan mereka dan sentiasa berkongsi pengetahuan mengenai bahaya penyakit tertentu dengan keluarga masing-masing.
Beliau berkata, terdapat di kalangan ahli keluarga yang berasa malu memberi maklumat mengenai penyakit seperti barah payu dara kepada ahli keluarga yang berlainan jantina.
“Sikap ini perlu dikikis kerana hanya merugikan, sebaliknya mana-mana individu yang tahu mengenai penyakit tertentu melalui seminar dan ceramah perlu menyampaikannya kepada orang lain,” katanya.
Menurutnya, penjagaan kesihatan juga perlu diambil berat kerana ia turut menjamin kejayaan dan kebahagiaan seseorang, malah pembangunan sesebuah negara turut berjalan lancar jika rakyatnya sihat.
Beliau turut menasihati golongan gadis-gadis remaja agar dapat membudayakan amalan kehidupan yang sihat demi kesejahteraan mereka pada masa depan.
“Saya juga berharap golongan gadis-gadis remaja mengambil berat mengenai kesihatan mereka kerana jika mereka mengamalkan gaya hidup sihat sejak remaja, risiko untuk menghidap penyakit berbahaya ketika sudah tua agak tipis,” katanya.
Mengenai program Nur Sejahtera, Maznah berkata, program itu mengutamakan aspek kesihatan wanita dan keluarga kerana di samping sebagai ibu, wanita harus menjaga kesihatan diri dan keluarga dan ia dilihat satu pendekatan terbaik dalam memberi kesedaran kepada orang awam.
“Program Nur Sejahtera menumpukan aspek kesihatan termasuk menangani kanser payu dara, pemeriksaan kesihatan umum seperti tekanan darah, kencing manis dan jantung,” katanya.
Dipetik dari Mingguan Watan,
Bil.15, 7 - 13 Disember 2008
No comments:
Post a Comment
KOMEN ANDA