ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Wednesday, June 11, 2008

Perubatan tradisional wajar dikomersialkan

Perubatan tradisional wajar dikomersialkan
Oleh Nazmi Yaakub





MELAPAH TEKS: Prof Hashim menghuraikan kandungan kitab tib yang menghimpunkan rahsia perubatan tradisional Melayu.


Perkara ini dibincangkan secara terperinci pada Seminar Ilmu Tabib Melayu di Universiti Malaya KEUPAYAAN Kitab Tib atau perubatan Melayu sebagai bahan rujukan kepada kajian ahli biologi dan kimia tempatan untuk membantu memperkembangkan perubatan tradisional mendapat perhatian pada Seminar Bulanan Naskhah Melayu: Ilmu Tabib Melayu. Justeru, ahli biologi dan kimia tempatan disaran mengenal pasti nama dan jenis tumbuhan yang dinyatakan dalam kitab tib dengan membuat rujukan silang terhadap maklumat sedia ada yang sudah tersebar di kalangan masyarakat awam dan mampu dilakukan kerana kebetulan juga tumbuhan berkenaan ada dalam persekitaran kini.

Pensyarah Jabatan Sosiobudaya, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Prof Dr Hashim Awang, meluahkan pandangannya itu pada seminar anjuran APM yang meskipun tidak menarik ramai peserta, tetapi berjaya membabitkan pertukaran maklumat berhubung perubatan tradisional di Indonesia, khususnya Riau. "Di Malaysia perubatan tradisional Melayu tidak mendapat perhatian untuk dikomersialkan sedangkan penggunaan jamu di Indonesia dieksploit dengan sebaik-baiknya sehingga menjadi suatu industri dan berjaya menembusi pasaran global," katanya pada seminar di Bilik Kiambang, APMUM, di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Perubatan tradisional di Malaysia turut berdepan dengan situasi merugikan apabila ahli biokimia menguji bahan yang menjadi ramuan dalam perubatan berkenaan secara satu persatu sedangkan sesuatu ramuan itu, khasiatnya terbukti apabila diadun dengan pelbagai bahan lain.
Prof Dr Ali Rahman
"Dalam ilmu tabib Melayu, sejenis bahan tidak boleh berdiri dengan sendiri dalam proses mengubat sesuatu penyakit kerana ia membabitkan sekurang-kurangnya dua bahan. Kunyit umpamanya ada khasiat tersendiri, tetapi penggunaannya adalah dengan mencampurkannya dalam ramuan yang mengandungi pelbagai bahan," katanya ketika membicarakan Ilmu Tabib Melayu: Sekilas Pandang. Selain itu, perubatan tradisional Melayu turut membabitkan proses bagaimana ia dicampur seperti direbus, digiling atau diperah di sam, selain turut perlu difikirkan adalah proses rawatannya sama ada secara meminum bahan itu atau pun menyapukannya pada tempat yang sakit. "Sekiranya proses rawatan itu secara meminum sukatan terbabit, kita berdepan dengan persoalan sama ada ia mungkin mendatangkan bahaya kepada pesakit sekiranya terlebih dos. Dalam perubatan tradisional Melayu, sukatan yang selalu digunakan ialah mengikut ukuran tubuh seperti segenggam atau seruas jari," katanya pada sesi yang dipengerusikan Pensyarah APMUM, Prof Datuk Dr Abu Hassan Sham. Prof Hashim mengakui jawapan terhadap risiko terlebih dos belum dibuktikan secara kimia, tetapi menganggap penggunaan ukuran berdasarkan tubuh badan pesakit adalah bertepatan dengan dos diperlukan kerana bahagian badan mempunyai nisbah kepada keperluan yang diperlukannya.
Tenas Effendy
Kebolehan dukun, pawang, bomoh dan tabib diraja atau kerajaan sebagai pengamal perubatan tradisional Melayu yang dimanfaatkan penduduk di Riau, Indonesia diperakukan Karyawan Tamu APMUM, (Dr) Tengku Nasaruddin Effendy Tengku Said Umar Muhammad atau lebih dikenali sebagai Tenas Effendy. Peserta seminar diberitahu, di Indonesia dukun mempunyai kebolehan untuk mengubati penyakit secara umum, manakala pawang pula memiliki pengkhususan dalam ilmu perubatan Melayu tradisional seperti pawang harimau, pawang bunian dan pawang buaya manakala bomoh hanya bertaraf tabib. Tenas Effendy berkata, kepakaran pengamal perubatan Melayu tradisional bergantung kepada unsur asas yang dikaji dan dikuasai, iaitu air, api, tanah dan angin, selain rujukan untuk mendapat serta memperoleh ramuan ubat untuk mengubati pesakit mereka. "Dalam konteks rujukan, ada dua aliran yang diikuti pengamal perubatan Melayu tradisional, sama ada berdasarkan jalan yang betul dan lurus dengan menggunakan al-Quran serta hadis atau jalan bercampur baur sehingga kita melihatnya tidak putih mahupun hitam. "Perubatan tradisional Melayu mempunyai konsep merujuk kepada rijalullah, iaitu rujukan berdasarkan jalan benar, manakala konsep rijal ghaib pula tidak terhad kerana ia boleh bermaksud makhluk yang dipanggil sebagai jin kafir, dewa, mambang dan jembalang api, air, tanah serta angin," ujarnya. Tenas turut mendedahkan, makhluk yang menjadi tempat rujukan pengamal perubatan tradisional Melayu. sebenarnya menjadi tempat meminta ubat untuk mengubati penyakit, sekali gus upacara memanggil boleh menentukan hubungannya dengan rujukan mereka. Dalam konteks Riau, khususnya Indonesia, tabib diraja atau kerajaan dianggap pengamal perubatan tradisional Melayu yang paling hebat dan menguasai ilmu serta menguasai disiplin berkenaan termasuk penggunaan ramuan ubat-ubatan tertentu. Profesor Pelawat APMUM, Dr Ali Rahman pula, berkata akademi pengajian itu sewajarnya mewujudkan titik pertemuan antara pengetahuan perubatan tradisional Melayu dengan perubatan moden kerana masyarakat Melayu kini masih mengamalkannya kerana ia sudah menjadi darah daging dalam kehidupan mereka. "Pengamalan perubatan tradisional daripada sudut kebudayaan memang hebat, terutamanya yang yang membabitkan herba. Di Bogor, Indonesia, hal ini berkembang dengan baik sehingga sudah ada kamus lengkap yang menyenaraikan produk hutan, tetapi persoalannya bagaimana proses pembinaan ramuan itu," katanya. Prof Ali melihat perubatan moden lebih berfungsi untuk menyembuhkan penyakit sedia ada, berbanding perubatan tradisional yang lebih banyak bertindak untuk mencegah seperti penggunaan jamu seperti diketahui adalah untuk memelihara kesihatan. Justeru, dua bidang perubatan ini sewajarnya dipadu kerana apabila kita sudah terkena penyakit terutama kronik sehingga proses mengubatinya menjadi sukar dan ada kalanya sampai ke tahap terpaksa dipotong kaki seperti terpaksa dihadapi pesakit kencing manis umpamanya. "Seingat saya pada 1990-an, bomoh orang Asli dibawa ke Kuala Lumpur sehingga banyak yang dapat kita pelajari daripada mereka disebabkan pengetahuan lingkungan persekitaran mereka di hutan, tetapi kini kita tidak lagi berbuat demikian," katanya. Beliau menyarankan APMUM untuk mewujudkan subjek perubatan tradisional dalam usaha memulihara warisan itu dan memudahkan proses penterjemahan dan transliterasi kerana falsafah perubatan tradisional terlalu besar lagi bermakna untuk dilepaskan begitu saja. "Apatah lagi bahan kimia dalam perubatan herba tidak setajam batan tiruan, selain mungkin dapat menjimatkan perbelanjaan sekiranya dapat dilaksanakan," katanya.

2 comments:

KOMEN ANDA