ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Saturday, March 7, 2009

Selesai segera isu PPSMI


Selesai segera isu PPSMI
Oleh Zulkofli Jamaludin dan Anwar Hussin
bhnews@bharian.com.my

PM jamin ambil kira desakan rakyat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Kementerian Pelajaran mengambil keputusan segera berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bagi mengelakkan isu lebih besar tercetus.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menyedari ada desakan kuat daripada rakyat, khususnya orang Melayu supaya isu PPSMI diselesaikan segera.
"Isu PPSMI ini sudah menjadi isu yang besar dan sensitif. Kerajaan mengakui desakan rakyat dan mengambil perhatian terhadapnya.

"Saya berharap Kementerian Pelajaran mengambil keputusan segera kerana jika tidak, tekanan dan tindakan NGO (badan bukan kerajaan) akan berterusan dan menjadi lebih besar lagi," katanya pada sidang media selepas melancarkan novel fantasi Dragonfire Hammer karya penulis muda berusia 14 tahun, Adam Umemoto, di sini semalam.

Petang semalam, perhimpunan membantah pelaksanaan PPSMI di ibu kota yang disertai ribuan penyokong, bertukar kecoh apabila kumpulan berkenaan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan, walaupun Polis Kuala Lumpur sebelum ini hanya membenarkan mereka berkumpul di Masjid Negara.
Kumpulan terbabit yang pada awalnya berkumpul di perkarangan masjid berkenaan, Pasar Seni dan Kompleks Sogo, untuk mengadakan bantahan secara aman, mengingkari arahan polis dengan berarak beramai-ramai ke arah Istana Negara.

Bagaimanapun, selepas keadaan terkawal, Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said serta beberapa ahli jawatankuasa lain, dibenar menyerahkan memorandum itu kepada wakil Istana Negara.

Abdullah berkata, Kementerian Pelajaran sudah menemui beberapa NGO berhubung isu berkenaan, tetapi beliau difahamkan kementerian belum bersedia mengumumkan keputusan yang akan diambil.

Katanya, kajian mengenai pelaksanaan PPSMI sudah dilakukan Kementerian Pelajaran, termasuk mengambil kira keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
"Saya percaya keputusan peperiksaan itu akan memberi asas kepada Kementerian Pelajaran untuk membuat keputusan. Saya percaya keputusan itu akan mengukuhkan kepentingan rakyat dan masa depan kita," katanya.

Sementara itu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kertas Kabinet PPSMI sudah siap untuk dibawa kepada Jemaah Menteri dengan menjurus melihat dasar pelaksanaan di peringkat sekolah rendah dan kawasan luar bandar.

"Pandangan mereka (pakar pendidikan dan pencinta bahasa) yang sudah diluahkan pada sesi meja bulat dan melalui memorandum, adalah pandangan yang boleh dan sudah kita ambil kira.

"Sekali lagi menjadi tanda tanya, mengapa enam tahun selepas pelaksanaannya baru hendak buat laporan polis dan mempertikaikan perkara ini dalam konteks Perlembagaan. Selepas enam tahun baru hendak buat perhimpunan," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak memberitahu bila kertas Kabinet itu akan dibincangkan Jemaah Menteri.

Hishammuddin berkata, apa pun keputusan Kabinet, pelaksanaannya hanya boleh dilakukan tahun depan bermula dengan murid Tahun Satu.

Beliau berkata, pihak yang terbabit membangkitkan isu PPSMI perlu berhenti seketika melihat keadaan sebenar yang berlaku di negara ini dan tanya siapa sebenarnya menimbulkan isu berkenaan.

Kekecohan mungkin didalangi pihak ketiga – GMP
Utusan Malaysia/8.3.09

KUALA LUMPUR 7 Mac - Kekecohan yang berlaku ketika perhimpunan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di ibu negara hari ini kemungkinan dicetuskan oleh pihak ketiga.

Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Dr. Hassan Ahmad berkata, perarakan itu tidak dijangka kerana perjanjian awal dengan polis ialah mereka dibenarkan berhimpun di Masjid Negara tetapi bukan untuk berarak ke Istana Negara.

"Saya dan tujuh wakil lain sepatutnya diiringi polis untuk menyerahkan memorandum itu di Istana Negara. Tetapi orang muda tetap hendak berarak. Jadi mereka pun beraraklah.

"Mereka faham, mengikut perjanjian dengan polis sepatutnya tidak boleh berarak. Apa yang jadi, itulah (insiden) yang jadi. Ada orang kata ia provokasi pihak lain. Saya tidak tahu. Tetapi itu mungkin," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Istana Negara di sini petang ini.

Menurut Hassan, polis telah memberi layanan yang baik kepadanya sepanjang proses penyerahan memorandum itu.

Dalam pada itu, insiden hari ini sudah pasti terpahat dalam hati Sasterawan Negara Datuk A Samad Said buat selama-lamanya.

Ini kerana A. Samad merupakan antara mereka yang terkena gas pemedih mata yang dilepaskan pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk menyuraikan kira-kira 5,000 penyokong PPSMI.

"Saya kena dekat hidung, mata dan juga kena tolak. Rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa.

"Ini merupakan kali pertama saya terkena gas pemedih mata dan ia mungkin akan berlaku lagi kerana saya akan terus memperjuangkan misi membantah PPSMI selagi kerajaan tidak memansuhkannya," kata penasihat gerakan itu.

Thursday, March 5, 2009

Kepemimpinan Najib bakal corak masa depan negara


Kepemimpinan Najib bakal corak masa depan negara
Oleh Abdul Rahman Sulaiman/ Berita Harian 5.3.2009

Pengalaman dimiliki Timbalan Perdana Menteri dijangka bantu hadapi ancaman kemelesetan, masalah politik

JIKA tiada aral merintang, insya-Allah Datuk Seri Najib Razak akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri selepas Perhimpunan Agung Umno hujung bulan ini. Timbalan Perdana Menteri itu akan mengambil alih jawatan daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengetuai kerajaan sejak Oktober 2003.

Pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam adalah kemuncak kepada satu pelan peralihan rapi yang diputuskan oleh kedua-dua pemimpin berkenaan dengan persetujuan Majlis Tertinggi Umno kira-kira 10 bulan lalu.

Sebelum itu, Najib yang juga calon tunggal mengisi jawatan Presiden Umno berikutan keputusan Abdullah tidak mempertahankan jawatan, akan diumumkan secara rasmi sebagai memenangi kerusi Presiden secara tidak bertanding. Perhimpunan Agung Umno tahun ini dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 28 Mac ini.

Seperti yang terbukti setakat ini, semua rancangan yang dipersetujui dalam pelan peralihan kuasa itu berjalan dengan lancar dan teratur sesuai dengan tradisi Umno dan adat istiadat orang Melayu, walaupun ada percubaan untuk menggelincirkannya oleh pihak tertentu, terutama pembangkang.

Antara usaha yang dijalankan untuk menggagalkan pelan peralihan kuasa itu ialah penyebaran pelbagai teori serta khabar angin kononnya Abdullah mengubah fikiran dan ingin terus kekal memimpin kerajaan.
Beberapa siri kekacauan seperti protes jalanan oleh golongan tertentu akhir-akhir ini juga dipercayai sebagai sebahagian daripada usaha terancang untuk menggagalkan pelan berkenaan.

Mujurlah ahli Umno dan sebahagian besar orang ramai tidak mudah termakan dengan dakyah itu yang tujuannya tidak lain dan tidak bukan semata-mata melemahkan kerajaan dengan menghakis keyakinan orang ramai terhadap Najib dan merosakkan kredibiliti Perdana Menteri.

Abdullah pasti dapat menghidu niat tidak baik di sebalik permainan politik ini, sehingga beliau terpaksa membuat penjelasan secara umum.

Beliau memberitahu pemberita di Hua Lin, Thailand, baru-baru ini bahawa tiada apa-apa yang berubah mengenai pelan peralihan kuasa yang dipersetujui itu.
Malah, Abdullah menegaskan beliau tetap berpegang pada rancangan untuk menyerahkan jawatannya kepada timbalan beliau selepas pemilihan Umno hujung bulan ini.

Katanya, soal mengubah pelan berkenaan tidak timbul kerana persetujuan sudah dibuat oleh beliau untuk menyerahkan kuasa.

Dengan penjelasan Abdullah itu, orang ramai terutama anggota Umno serta kakitangan kerajaan tidak akan lagi mempercayai cakap-cakap kosong yang disebarkan di seluruh negara yang jika dibiarkan tentu boleh menjejaskan kestabilan politik, sekali gus mengekang usaha menangani krisis ekonomi global yang turut melanda negara sekarang.

Sebaliknya, seluruh tumpuan perlu diberikan kepada usaha mengurangkan tekanan yang dihadapi dalam kehidupan harian akibat krisis sekarang.

Kalau boleh tumpuan dan masa yang kini nampaknya begitu banyak diberikan terhadap soal politik patut dikurangkan untuk memberi peluang kepada usaha menangani krisis ekonomi.

Pelbagai petunjuk mutakhir ekonomi yang dikeluarkan setakat ini tidak memberikan isyarat yang menggalakkan bagi ekonomi negara untuk tahun ini dan tahun depan. Kerajaan yang menyedari hakikat itu mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan beban rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan kurang mampu dalam menghadapi zaman sukar ini.

Antara lain, pakej rangsangan bernilai RM7 bilion dilancarkan Julai lalu untuk menggerakkan pertumbuhan.

Minggu depan satu lagi stimulus yang bernilai lebih besar dalam bentuk 'bajet mini' akan dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat.

Seperti yang dijelaskan, semua langkah rangsangan ekonomi yang diperkenalkan itu bertujuan untuk mengurangkan beban rakyat, bukan untuk sama sekali mengelakkan mereka daripada terjejas daripada krisis sekarang.

Tidak siapa mampu mengelakkan diri sama sekali daripada krisis sekarang kerana ia adalah fenomena global yang menimpa hampir semua negara di dunia. Tiada siapa yang boleh meramalkan secara tepat bila krisis ini akan berlalu dan rakyat dapat hidup seperti sedia kala.

Sebagai sebuah negara kecil yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia cuma mampu untuk bertahan dan berharap agar keadaan kembali normal secepat mungkin.

Najib yang akan mengambil alih sebagai ketua kerajaan menyedari hakikat ini. Beliau juga menyedari bahawa beliau akan mengambil alih ketika negara berada dalam situasi paling sukar dalam sejarah kewujudannya.

Paling ketara ialah beliau akan dibebani dengan pelbagai masalah yang belum selesai – daripada masalah ekonomi sehinggalah kepada masalah politik, sosial, keselamatan dan sebagainya.

Untuk itu, beliau sudah menyiapkan diri sebaik mungkin untuk melaksanakan amanah yang berat itu. Menurut pegawai yang rapat dengan beliau, sejak beberapa bulan lalu, Najib berkerja cukup keras sehingga kadang-kadang tidak tidur sehingga subuh.

Beliau menghabiskan masa yang ada untuk berbincang dengan pegawai, pakar, perunding dan kawan-kawan di samping membaca pelbagai laporan dan cadangan.

Oleh kerana sering tidur lewat ini, untuk beberapa ketika beliau diserang selesema.

Semua pihak, tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum boleh menyumbang ke arah memperbaiki keadaan sekarang dengan tidak banyak menimbulkan masalah kepada kerajaan.

Paling tidak, Najib sebagai Perdana Menteri perlu diberikan peluang untuk mengeluarkan negara daripada kemelut ekonomi dan politik yang dihadapi sekarang.

Semua ini bukan untuk Najib, Umno, Barisan Nasional atau kerajaan. Ia adalah untuk negara dan seluruh penduduk yang tinggal di dalamnya.

Penulis adalah bekas Ketua Pengarang Bernama

Sunday, March 1, 2009

Pelaksanaan PPSMI ganggu Perlembagaan, cendekiawan Melayu tak dipeduli: Gapena


Pelaksanaan PPSMI ganggu Perlembagaan, cendekiawan Melayu tak dipeduli: Gapena

Berita Minggu/1.3.2009

Page anggap serampang dua mata mempertingkatkan bahasa saintifik dedahkan anak kepada bahasa Inggeris perbualan

Pandangan Gapena

KENAPA Gapena menentang pelaksanaan PPSMI?
Kita menolak dan menentang sejak dulu tetapi tidak mendapat perhatian. Jika tanya saya, memang saya bantah, malah ramai cendekiawan Melayu termasuk yang popular seperti Profesor Emeritus Abdullah Hassan; Profesor Diraja Ungku Aziz, Datuk Profesor Dr Nik Safiah Karim dan ramai lagi turut menolak pelaksanaannya.

Kami yang mewakili pelbagai gabungan dan perwakilan, terkilan kerana tidak pernah dipedulikan. Kami menulis surat kepada kerajaan supaya pandangan dan idea bijak pandai diambil kira.

Keputusan (hasil kajian hala tuju pelaksanaan PPSMI) yang bakal dicapai pada akhir tahun ini bukannya untuk zaman kami tetapi generasi akan datang. Kita lihat masyarakat Cina, mereka gunakan kesatuan guru untuk mendapatkan maklum balas atau melalui MCA. Sebaliknya kerajaan langsung tak mahu dekat dengan kami terutama dengan orang yang berfikir. Bagi saya, orang seperti Ungku Aziz adalah orang yang berfikir.
Dia (Ungku Aziz) tak minta apa-apa pun. Dia kata, ini (PPSMI) tak menguntungkan bangsa Melayu dan kami pun fikir macam itu. Kita akan sentiasa kalah kalau kita teruskan. Nasib baik budak-budak sekolah tak buat demonstrasi membantah sejak enam tahun dulu.

Masyarakat Cina gunakan gagasan guru (Dong Jiao Zong) untuk pertahankan hak mereka dalam isu ini, bagaimana dengan orang Melayu?

Keadaan berbeza apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Sebelum itu, guru Melayu sentiasa berhubungan dengan rakyat, penuh pengorbanan dan cita-cita. Sebaliknya pada 1980-an Dr Mahathir mewujudkan golongan perniagaan Melayu dan Umno dikawal oleh teknokrat dan ahli perniagaan.

Mereka berfikiran ‘cetek’ menyebabkan hilang segala idealisme. Mereka kata budayawan macam kami cuma golongan bermimpi, hanya pandai bercakap. Kesulitan Umno sekarang ialah mereka bunuh golongan pemikir.
Adakah guru sekarang tidak mempunyai pandangan sendiri (mengenai pelaksanaan PPSMI) atau tidak mahu ambil tahu apa yang berlaku?

Guru dalam perkhidmatan terikat dengan peraturan. Kalau mahukan pandangan mengenai PPSMI, tanyalah guru pencen kerana mereka ada persatuan.

Sebenarnya, pada peringkat bawahan, tak ada guru yang sokong. Mereka merana dan kecewa tetapi tidak boleh berbuat apa-apa sebab orang tak mahu dengar pandangan mereka.

Kenapa sekarang baru bertindak dan membuat laporan polis?

Kita sabar, rendah diri dan ia adalah kemuncak. Disebabkan pandangan kami tidak pernah didengari, kami berasa perlu mengambil tindakan tegas kerana pelaksanaan PPSMI mencabar Perlembagaan.

Ada dakwaan guru tidak mencapai standard untuk mengajar mengikut PPSMI dan ia satu faktor kegagalan dalam pengajaran. Apa komen Tan Sri?

Kita kena ingat sejarah kemerdekaan 50 tahun, Malaysia harmoni dari segi budaya, kemewahan, kegagahan hinggakan negara jiran terpegun melihat kejayaan kita, itu semua siapa yang buat, semua kerajaan ditunjangi Melayu. Zaman 1960-an di Universiti Malaya, kami jadi ‘Red Indian’ kerana bilangan terlalu kecil dan bangsa lain mempersoal, memperlekeh bagaimana kami boleh layak masuk universiti. Apabila Tun Abdul Razak (bekas Perdana Menteri) ambil alih, beliau tukar banyak perkara dan fokus kepada bahasa, budaya Melayu, itu yang mengubah banyak perkara. Itu yang menimbulkan keyakinan. Bagi saya, 50 tahun kemegahan kemerdekaan adalah atas dasar yang diperkenalkan Tun Razak sejak berpuluh-puluh tahun dulu.

Apa rancangan yang pernah dikemukakan kepada kerajaan?

Inilah masalah besar. Sepatutnya ada pihak berbincang dengan cendekiawan Melayu. Jangan tanya bangsa lain, jangan hanya bawa isu ini ke Kabinet kerana nak dapatkan sokongan. Akan ada pihak menggunakan peluang ini untuk menghancurkan bahasa, budaya, institusi Raja Melayu, kerajaan Melayu dan apa saja berkaitan Melayu.

Saya sendiri pernah hantar surat kepada Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) untuk jumpa, bincang soal bangsa Melayu. Kalau Umno fikir mereka parti Melayu, mereka perlu bergabung fikiran dengan Melayu di luar parti macam kami untuk cari idea dan dapatkan pandangan.

Adakah Umno juga perlu berubah dan mewujudkan jawatankuasa bagi mempertahankan hak orang Melayu?

Saya rasa itu memang patut. Dalam Perlembagaan ada dua usul iaitu agama Islam dan bahasa Melayu. Dalam laporan polis kami, ia merujuk kepada menyentuh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kalau nak buat apa pun, buatlah tetapi jangan kacau Perlembagaan dan bagi kami pelaksanaan PPSMI jelas mengganggu Perlembagaan. Sebab sekarang ini semuanya cuba guna bahasa Inggeris.

Kalau kita laksanakan PPSMI, kita mengabaikan budaya Melayu. Padahal kalau bahasa Melayu digunakan di Malaysia, ia masih tidak menyeluruh, contohnya masih ada masyarakat Cina di Ipoh dan Pulau Pinang belum fasih berbahasa Melayu. Masih ramai yang tak gunakan bahasa Melayu dan tak tahu berbahasa Melayu, ada yang tak boleh baca papan tanda jalan dalam bahasa Melayu, inikan pula kalau kita gunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama di sekolah, kesannya lagi teruk.

Bagi kami kalau nak pandai, kami sokong bahasa Inggeris ditingkatkan bagi orang Melayu tetapi orang bukan Melayu patut tingkatkan bahasa Melayu supaya seimbang.

Ada dakwaan tindakan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Gapena menentang dan membuat laporan polis didalangi pihak berkepentingan. Adakah ia benar?

Anda sendiri tengok kami di sini, ada dalang ke? Kami katakan Melayu adalah dalang, nak katakan dalang kamilah dalang dan kita bersubahat dengan kawan-kawan yang bersimpati dengan perjuangan kami, itu orang lain tak boleh kata apa. Kalau orang politik nak sokong, kami terima.

Masalah penguasaan bahasa Inggeris di luar bandar dikatakan tidak seimbang sekolah bandar. Adakah melalui PPSMI ini, ia boleh dijadikan satu pendekatan baik mencapai matlamat itu?

Bukan hanya melalui PPSMI, ada seribu cara dan kami sendiri akan tolong. Kita akan lebih pandaikan budak Melayu melalui cara yang lebih baik.

Kalau semua budayawan, cendekiawan Melayu berada di belakang kerajaan, ia akan berjaya. Kita boleh tolong dari segi buah fikiran, macam-macam idea boleh timbul. Pelajar di bandar, ada kelas tambahan, tuisyen, tapi budak kampung nak buat apa. Di bandar, bahasa perbualan harian pun guna bahasa Inggeris tetapi di kampung, keadaan jauh berbeza. Sekarang jelas, budak Melayu dianggap bodoh dan jadi bahan ketawa, kita tengok keputusan peperiksaan.

Pencapaian dan keputusan peperiksaan tanpa mengira kaum dipaparkan untuk memperlihatkan prestasi PPSMI, itu tak betul, kena buat ikut kaum. Kalau boleh buktikan 90 peratus Melayu masuk universiti, itu memang bukti baik. Kalau betul (berjaya), universiti akan kembali dikuasai anak Melayu. Ini bukan masalah 30 peratus penguasaan ekonomi tetapi soal pembelajaran.

Pandangan Page

Apa yang mendorong Page bertindak?

Kita bertindak untuk generasi akan datang, bukan saja untuk pelajar bandar tetapi luar bandar. Dakwaan kami hanya mewakili kawasan bandar, tidak benar. Pada peringkat awal, kami disokong ibu bapa daripada sekolah di Lembah Klang, Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Rawang, Kulai, Pangkalan Chepa, Sarawak dan kini, setiap negeri ada wakil yang menyokong. Mereka yang menyokong bukan semua boleh bertutur bahasa Inggeris.

Mereka tahu kebaikan menguasai bahasa Inggeris dan mahu anak mereka mahir. Isu ini dibangkitkan pada 2007 dan sebelum pilihan raya lalu. Pada Mei 2008, laporan akhbar berbahasa Cina mengatakan sistem lama akan diguna pakai semula. Menteri minta pandangan dan kita tunggu PIBG kebangsaan buat pendirian tetapi tiada apa-apa. Pakatan PIBG pun senyap, kami mula risau sebab ini krisis negara.

Ketika persidangan meja bulat pada Ogos 2008, PIBG kebangsaan diberi masa 20 minit untuk buat pembentangan tetapi presiden pun tak datang, cuma diwakili naib presiden yang mengatakan PIBG tiada pendirian, cuma beliau nyatakan pandangan peribadi. Dari situ kami rasakan ada sesuatu yang tidak kena. Beliau mengatakan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), semua nak kembali kepada sistem asal sedangkan MRSM sendiri adalah lambang pendidikan tinggi. Kami dapatkan mandat dan jemput wakil PIBG, sekolah di Lembah Klang dan bincang bagaimana nak bertindak. Dalam tempoh dua bulan kita dapat sokongan 2,000 individu dan 240 sekolah yang minta PPSMI dikekalkan.

Pihak yang menolak pelaksanaan PPSMI menggunakan alasan mempertahankan martabat bahasa Melayu. Komen Page?

Mempraktikkan PPSMI tidak bermakna menjatuhkan martabat bahasa ibunda kerana masih tetap digunakan dalam pembelajaran. Hakikatnya soal itu tidak timbul langsung. Pada kami ia cukup mudah, bandingkan masa subjek mata pelajaran di sekolah rendah mengikut jam. Analisisnya ialah Bahasa Inggeris (BI) mencatatkan 15 peratus, Bahasa Melayu (BM) pula 21 peratus dan subjek lain yang diajar dalam bahasa Melayu, 38 peratus.

Matematik dan Sains pula 26 peratus dan secara keseluruhannya, pendedahan masa kini pada 2008 ialah BI, 41 peratus dan BM sebanyak 59 peratus. Itu belum termasuk perbualan harian, perhimpunan mingguan dalam BM dan ia sebenarnya lebih 59 peratus, jadi tanggapan PPSMI mengabaikan BM adalah tidak tepat. Di sekolah menengah pun sama, jika termasuk pecahan Sains, Biologi, Fizik dan Kimia, peratusan pengajaran dalam bahasa Inggeris ialah 37.5 peratus, manakala bahasa Melayu 62.5 peratus. Itu semua analisis asas dan soal mengabaikan bahasa Melayu sebenarnya tidak wujud.

Pejuang bahasa melaungkan bahasa Inggeris tidak boleh dipelajari menerusi subjek Sains dan Matematik?

PPSMI sebenarnya serampang dua mata kerana ia adalah cara memperbaiki dan mempertingkatkan bahasa Inggeris saintifik di kalangan pelajar, di samping mendedahkan anak kepada bahasa Inggeris perbualan.

Lingua franca am dunia, mempelajari Sains dan Matematik ialah bahasa Inggeris. Hujahnya mudah, iaitu istilah dalam bahasa Inggeris lengkap berbanding bahasa Melayu yang masih kekurangan dan terhad; bahan rujukan dalam bahasa Inggeris lebih meluas; pelajaran seterusnya dalam bidang ini adalah bahasa Inggeris, bahkan universiti terbaik, sama ada untuk sarjana muda atau sarjana atau pun kedoktoran menggunakan bahasa Inggeris.

Ada yang cadangkan jika PPSMI dihapuskan, sastera Inggeris khas diajar untuk tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi masa mana yang perlu digantikan, adakah dengan masa BM, sedangkan jika Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris, pelajar akan mendapat dua manfaat serentak. Kita bukan nak membesarkan bahasa Inggeris, cuma nak ilmunya.

Bagaimana nasib murid yang bersekolah dan tinggal di pedalaman yang dikatakan ketinggalan dalam bahasa Inggeris?

Mereka selalu menggunakan alasan anak di kampung kurang faham bahasa Inggeris. Itu memperlekehkan kemampuan mereka. Harus diingat, tiada murid yang bodoh, cuma pengajarnya yang lemah, persekitarannya perlu diperbaiki. Anak kita bukanlah punca masalah apa-apa polisi kerana kajian saintifik menunjukkan umur paling baik untuk menyerap dan belajar sesuatu bahasa adalah dua hingga tujuh tahun. Jadi, kita mesti mengambil peluang ini untuk memastikan anak kita mempelajari bahasa Inggeris di samping mengekalkan dan memartabatkan bahasa Melayu.

Profesor Shichida menggunakan metodologi ini untuk mengasuh minda muda menyerap bahasa, angka dan daya ingatan iaitu ‘dedah, dedah, dedah. Berlatih, berlatih, berlatih, dan pendekatan ini juga diamalkan dalam cara pembelajaran Professor T Kumon. Cadangan Page ialah bahasa Inggeris harus diperkenalkan pada peringkat tadika dan tenaga bekas guru digunakan kerana mereka mempunyai pengalaman dan kemahiran yang perlu dikongsi.

Bagaimana masalah kekurangan guru yang kurang fasih dalam bahasa Inggeris dalam melaksanakan PPSMI?

Antara cadangan yang mungkin kita serap dalam mengkaji semula metodologi yang dipakai untuk mengasuh guru mengajar di sekolah ialah mempertingkatkan kualiti guru maktab perguruan. Kerajaan melabur begitu banyak untuk menyediakan guru mengajar dalam bahasa Inggeris dan ia perlu diteliti untuk memastikan pelaburan itu meraih keputusan positif.

Kerajaan membelanjakan RM5.2 bilion untuk peralatan dan penyediaan termasuk menghantar guru ke luar negara. Mereka masih belum pulang. Itu semua pelaburan, takkan kita nak kembali kepada sistem asal, apa akan jadi dengan peruntukan besar yang sudah dibelanjakan.

Kita perlu belajar daripada pengalaman Negeri Sembilan. Melalui Yayasan Negeri Sembilan, Keluarga Diraja Negeri Sembilan membiayai projek ‘PIERS’ untuk melatih dan melengkapkan guru di 34 sekolah di negeri itu. Seramai 300 guru dilatih sambil bekerja dan tambahan untuk mengajar dalam bahasa Inggeris dalam masa setahun. Apabila kembali bertugas, mereka mengajar guru lain bagaimana mengajar dalam bahasa Inggeris.

Keputusan menunjukkan mereka berjaya menguasai bahasa Inggeris dan mencapai peningkatan tinggi dalam kebolehan mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Malah, mereka menjadi guru yang penuh motivasi, kreatif dan berkeyakinan. Proses itu sangat berjaya dan sedang diteruskan hinggakan mereka dihantar ke Sabah dan Sarawak untuk gunakan kaedah sama.

Ada dakwaan keputusan peperiksaan merosot disebabkan Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Komen Page?

Itu tidak benar. Kumpulan perintis PPSMI baru saja menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan belum menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mereka adalah pramatang. Kesimpulannya keputusan PMR dan SPM yang digunakan sebagai dasar hujah ini tidak boleh dipakai kerana anak ini tidak diajar dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah.

Hakikatnya PPSMI diwujudkan pada 2003 bagi murid Darjah Satu dan Tingkatan Satu. Pada 2008, perintis pertama menduduki UPSR dan 2007 adalah generasi pertama menduduki SPM bermula di Tingkatan Satu. Dakwaan keputusan menurun tidak tepat kerana ia berdasarkan PMR dan SPM bukannya UPSR kerana ia masih menggunakan separuh daripada sistem lama iaitu belajar bahasa ibunda di sekolah rendah dan bahasa Inggeris di sekolah menengah. Itu masalahnya kerana ia bercampur dan tidak sepenuhnya di bawah PPSMI.

Kajian antarabangsa dibuat kepada pelajar berusia 14 tahun memang menurun tetapi generasi pertama yang gunakan sepenuhnya PPSMI baru pada tahap Darjah Lima, sedangkan itulah sasaran kita sebenarnya. Mereka belum lengkap dan masih jauh untuk dinilai, jadi penilaian kepada pelajar 14 tahun itu tidak tepat kerana mereka adalah generasi campuran, iaitu hanya menggunakan BI di sekolah menengah. Tarikh paling awal membuat perbandingan keberkesanan dasar PPSMI adalah berdasarkan tiga tahun keputusan PMR iaitu pada 2013 dan lima tahun berdasarkan keputusan PMR dan SPM pada 2016.

Mengapa kita tidak mencontohi Jepun dan Korea yang mengutamakan bahasa ibunda tetapi tetap maju, berdaya saing dan menjadi negara industri?

Kita rujuk kepada sejarah. Sejarah revolusi industri bermula di Eropah dan Britain pada akhir abad ke-19, disusuli Jepun, Korea dan kemudiannya Taiwan. Proses perindustrian di Malaysia hanya bermula pada 1970-an dan diperkembangkan sepenuhnya pada 1980-an. Ia mencatatkan perbezaan kira-kira 100 tahun selepas zaman industri Eropah dan Jepun, manakala kita ketinggalan 40 tahun di belakang Korea dan Taiwan. Adakah bahasa Malaysia dikategorikan bahasa pengetahuan industri, sudah tentu tidak dan di manakah kedudukannya. Satu contoh mudah di kilang Proton, bahan rujukan seperti manual dan garis panduan adalah dalam bahasa Inggeris.

Negara seperti Jepun adalah negara pembuat, sudah tentu mereka menggunakan bahasa ibunda sedangkan kita negara pengguna. Bagi kes Dong Jiao Zong yang memperjuangkan penghapusan PPSMI, mereka sedar yang mereka masih beruntung dengan bahasa Mandarin tetapi bagaimana pula dengan anak kita di sekolah kebangsaan kalau tidak bahasa Inggeris?

Daripada dunia industri, sekarang beralih kepada dunia maklumat. Di dalam dunia internet, jika kita mencari rencana melalui google atau yahoo dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, kita akan mendapati perbezaan jelas. Contohnya merujuk kepada istilah matematik dan mathematics, apa yang akan kita temui ialah rencana matematik dalam bahasa Melayu cuma 0.3 peratus dan rencana dalam bahasa Inggeris 97.7 peratus. Hakikat sama dalam rencana sains merujuk kepada penemuan 99.9 peratus dalam bahasa Inggeris dan cuma 0.1 peratus dalam bahasa Melayu.

Ibu Bapa Untuk Pendidikan (Page):

Apa yang mendorong Page bertindak?

Kita bertindak untuk generasi akan datang, bukan saja untuk pelajar bandar tetapi luar bandar. Dakwaan kami hanya mewakili kawasan bandar, tidak benar. Pada peringkat awal, kami disokong ibu bapa daripada sekolah di Lembah Klang, Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Rawang, Kulai, Pangkalan Chepa, Sarawak dan kini, setiap negeri ada wakil yang menyokong. Mereka yang menyokong bukan semua boleh bertutur bahasa Inggeris.

Mereka tahu kebaikan menguasai bahasa Inggeris dan mahu anak mereka mahir. Isu ini dibangkitkan pada 2007 dan sebelum pilihan raya lalu. Pada Mei 2008, laporan akhbar berbahasa Cina mengatakan sistem lama akan diguna pakai semula. Menteri minta pandangan dan kita tunggu PIBG kebangsaan buat pendirian tetapi tiada apa-apa. Pakatan PIBG pun senyap, kami mula risau sebab ini krisis negara.

Ketika persidangan meja bulat pada Ogos 2008, PIBG Kebangsaan diberi masa 20 minit untuk buat pembentangan tetapi presiden pun tak datang, cuma diwakili naib presiden yang mengatakan PIBG tiada pendirian, cuma beliau nyatakan pandangan peribadi. Dari situ kami rasakan ada sesuatu yang tidak kena. Beliau mengatakan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), semua nak kembali kepada sistem asal sedangkan MRSM sendiri adalah lambang pendidikan tinggi. Kami dapatkan mandat dan jemput wakil PIBG, sekolah di Lembah Klang dan bincang bagaimana nak bertindak. Dalam tempoh dua bulan kita dapat sokongan 2,000 individu dan 240 sekolah yang minta PPSMI dikekalkan.

Pihak yang menolak pelaksanaan PPSMI menggunakan alasan mempertahankan martabat bahasa Melayu. Komen Page?

Mempraktikkan PPSMI tidak bermakna menjatuhkan martabat bahasa ibunda kerana masih tetap digunakan dalam pembelajaran. Hakikatnya soal itu tidak timbul langsung. Pada kami ia cukup mudah, bandingkan masa subjek mata pelajaran di sekolah rendah mengikut jam. Analisisnya ialah Bahasa Inggeris (BI) mencatatkan 15 peratus, Bahasa Melayu (BM) pula 21 peratus dan subjek lain yang diajar dalam bahasa Melayu, 38 peratus.

Matematik dan Sains pula 26 peratus dan secara keseluruhannya, pendedahan masa kini pada 2008 ialah BI, 41 peratus dan BM sebanyak 59 peratus. Itu belum termasuk perbualan harian, perhimpunan mingguan dalam BM dan ia sebenarnya lebih 59 peratus, jadi tanggapan PPSMI mengabaikan BM adalah tidak tepat. Di sekolah menengah pun sama, jika termasuk pecahan Sains, Biologi, Fizik, Kimia, peratusan pengajaran dalam bahasa Inggeris ialah 37.5 peratus, manakala Bahasa Melayu 62.5 peratus. Itu semua analisis asas dan soal mengabaikan bahasa Melayu sebenarnya tidak wujud.

Pejuang bahasa melaungkan bahasa Inggeris tidak boleh dipelajari menerusi subjek Sains dan Matematik?

PPSMI sebenarnya serampang dua mata kerana ia adalah cara memperbaiki dan mempertingkatkan bahasa Inggeris saintifik di kalangan pelajar, di samping mendedahkan anak kepada bahasa Inggeris perbualan.

Lingua franca am dunia, mempelajari Sains dan Matematik ialah bahasa Inggeris. Hujahnya mudah, iaitu istilah dalam bahasa Inggeris lengkap berbanding bahasa Melayu yang masih kekurangan dan terhad; bahan rujukan dalam bahasa Inggeris lebih meluas; pelajaran seterusnya dalam bidang ini adalah bahasa Inggeris, bahkan universiti terbaik, sama ada untuk sarjana muda atau sarjana atau pun kedoktoran menggunakan bahasa Inggeris.

Ada yang cadangkan jika PPSMI dihapuskan, sastera Inggeris khas diajar untuk tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi masa mana yang perlu digantikan, adakah dengan masa BM, sedangkan jika Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris, pelajar akan mendapat dua manfaat serentak. Kita bukan nak membesarkan bahasa Inggeris, cuma nak ilmunya.

Bagaimana nasib murid yang bersekolah dan tinggal di pedalaman yang dikatakan ketinggalan dalam bahasa Inggeris?

Mereka selalu menggunakan alasan anak di kampung kurang faham bahasa Inggeris. Itu memperlekehkan kemampuan mereka. Harus diingat, tiada murid yang bodoh, cuma pengajarnya yang lemah, persekitarannya perlu diperbaiki. Anak kita bukanlah punca masalah apa-apa polisi kerana kajian saintifik menunjukkan umur paling baik untuk menyerap dan belajar sesuatu bahasa adalah dua hingga tujuh tahun. Jadi, kita mesti mengambil peluang ini untuk memastikan anak kita mempelajari bahasa Inggeris di samping mengekalkan dan memartabatkan bahasa Melayu.

Profesor Shichida menggunakan metodologi ini untuk mengasuh minda muda menyerap bahasa, angka dan daya ingatan iaitu ‘dedah, dedah, dedah. Berlatih, berlatih, berlatih, dan pendekatan ini juga diamalkan dalam cara pembelajaran Professor T Kumon. Cadangan Page ialah bahasa Inggeris harus diperkenalkan pada peringkat tadika dan tenaga bekas guru digunakan kerana mereka mempunyai pengalaman dan kemahiran yang perlu dikongsi.

Bagaimana masalah kekurangan guru yang kurang fasih dalam bahasa Inggeris dalam melaksanakan PPSMI?

Antara cadangan yang mungkin kita serap dalam mengkaji semula metodologi yang dipakai untuk mengasuh guru mengajar di sekolah ialah mempertingkatkan kualiti guru maktab perguruan. Kerajaan melabur begitu banyak untuk menyediakan guru mengajar dalam bahasa Inggeris dan ia perlu diteliti untuk memastikan pelaburan itu meraih keputusan positif.

Kerajaan membelanjakan RM5.2 bilion untuk peralatan dan penyediaan termasuk menghantar guru ke luar negara. Mereka masih belum pulang. Itu semua pelaburan, takkan kita nak kembali kepada sistem asal, apa akan jadi dengan peruntukan besar yang sudah dibelanjakan.

Kita perlu belajar daripada pengalaman Negeri Sembilan. Melalui Yayasan Negeri Sembilan, Keluarga Diraja Negeri Sembilan membiayai projek ‘PIERS’ untuk melatih dan melengkapkan guru di 34 sekolah di negeri itu. Seramai 300 guru dilatih sambil bekerja dan tambahan untuk mengajar dalam bahasa Inggeris dalam masa setahun. Apabila kembali bertugas, mereka mengajar guru lain bagaimana mengajar dalam bahasa Inggeris.

Keputusan menunjukkan mereka berjaya menguasai bahasa Inggeris dan mencapai peningkatan tinggi dalam kebolehan mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Malah, mereka menjadi guru yang penuh motivasi, kreatif dan berkeyakinan. Proses itu sangat berjaya dan sedang diteruskan hinggakan mereka dihantar ke Sabah dan Sarawak untuk gunakan kaedah sama.

Ada dakwaan keputusan peperiksaan merosot disebabkan Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Komen Page?

Itu tidak benar. Kumpulan perintis PPSMI baru saja menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan belum menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mereka adalah pramatang. Kesimpulannya keputusan PMR dan SPM yang digunakan sebagai dasar hujah ini tidak boleh dipakai kerana anak ini tidak diajar dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah.

Hakikatnya PPSMI diwujudkan pada 2003 bagi murid darjah satu dan tingkatan satu. Pada 2008, perintis pertama menduduki UPSR dan 2007 adalah generasi pertama menduduki SPM bermula di tingkatan satu. Dakwaan keputusan menurun tidak tepat kerana ia berdasarkan PMR dan SPM bukannya UPSR kerana ia masih menggunakan separuh daripada sistem lama iaitu belajar bahasa ibunda di sekolah rendah dan bahasa Inggeris di sekolah menengah. Itu masalahnya kerana ia bercampur dan tidak sepenuhnya di bawah PPSMI.

Kajian antarabangsa dibuat kepada pelajar berusia 14 tahun memang menurun tetapi generasi pertama yang gunakan sepenuhnya PPSMI baru pada tahap darjah lima, sedangkan itulah sasaran kita sebenarnya. Mereka belum lengkap dan masih jauh untuk dinilai, jadi penilaian kepada pelajar 14 tahun itu tidak tepat kerana mereka adalah generasi campuran, iaitu hanya menggunakan BI di sekolah menengah. Tarikh paling awal membuat perbandingan keberkesanan dasar PPSMI adalah berdasarkan tiga tahun keputusan PMR iaitu pada 2013 dan lima tahun berdasarkan keputusan PMR dan SPM pada 2016.

Mengapa kita tidak mencontohi Jepun dan Korea yang mengutamakan bahasa ibunda tetapi tetap maju, berdaya saing dan menjadi negara industri?

Kita rujuk kepada sejarah. Sejarah revolusi industri bermula di Eropah dan Britain pada akhir abad ke-19, disusuli Jepun, Korea dan kemudiannya Taiwan. Proses perindustrian di Malaysia hanya bermula pada 1970-an dan diperkembangkan sepenuhnya pada 1980-an. Ia mencatatkan perbezaan kira-kira 100 tahun selepas zaman industri Eropah dan Jepun, manakala kita ketinggalan 40 tahun di belakang Korea dan Taiwan. Adakah bahasa Malaysia dikategorikan bahasa pengetahuan industri, sudah tentu tidak dan di manakah kedudukannya. Satu contoh mudah di kilang Proton, bahan rujukan seperti manual dan garis panduan adalah dalam bahasa Inggeris.

Negara seperti Jepun adalah negara pembuat, sudah tentu mereka menggunakan bahasa ibunda sedangkan kita negara pengguna. Bagi kes Dong Jiao Zong yang memperjuangkan penghapusan PPSMI, mereka sedar yang mereka masih beruntung dengan bahasa Mandarin tetapi bagaimana pula dengan anak kita di sekolah kebangsaan kalau tidak bahasa Inggeris?

Daripada dunia industri, sekarang beralih kepada dunia maklumat. Di dalam dunia internet, jika kita mencari rencana melalui google atau yahoo dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, kita akan mendapati perbezaan jelas. Contohnya merujuk kepada istilah matematik dan mathematics, apa yang akan kita temui ialah rencana matematik dalam bahasa Melayu cuma 0.3 peratus dan rencana dalam bahasa Inggeris 97.7 peratus. Hakikat sama dalam rencana sains merujuk kepada penemuan 99.9 peratus dalam bahasa Inggeris dan cuma 0.1 peratus dalam bahasa Melayu.

Saturday, February 21, 2009

Isu derhaka, krisis moral dan tuntutan kewarasan

Di luar lingkaran: Isu derhaka, krisis moral dan tuntutan kewarasan
Oleh Johan Jaaffar/Berita Minggu 22.2.2009
Bangsa Melayu semakin kurang dihormati

ISU penderhakaan tiba-tiba meledak. Sudah sekian lama kita tidak mendengar perdebatan mengenai soal derhaka. Derhaka merupakan perkataan yang membawa makna yang besar dalam budaya Melayu. Malah ada semacam perhitungan tidak bertulis bahawa ia menjadi tabu pertama dalam masyarakat Melayu. Derhaka menjadi sebahagian psyche Melayu dalam konteks sistem sosial mereka.

"Orang Melayu pantang derhaka" menjadi ungkapan yang diguna pakai dalam mendefinisikan "persetiaan" di antara Raja dan rakyat. Mungkin ada benarnya ungkapan itu dicipta bagi memberikan legitimasi pada kekuasaan Raja-Raja selama ini. Malah seperti banyak mitos, lagenda dan konsep yang membabitkan institusi Raja sejak zaman berzaman, sebahagian besarnya diwujudkan bagi menandakan kelainan, keistimewaan dan keunikan golongan yang memerintah.
Konsep kesetiaan dalam masyarakat Melayu turut membentuk sikap, nilai dan citra bangsa itu. Dalam masyarakat yang berpegang pada prinsip kepatuhan nilai-nilai bermasyarakat, perlu wujud sistem hukuman dan balasan yang setimpal pada setiap perlakuan dan salah laku. Kawalan atau sanction ke atas masyarakat dicorakkan oleh hukum agama dan adat selain undang-undang atau hukum kanun.

Dalam kaitan ini wujud juga pengertian adab, tata susila dan akhlak. Masyarakat Melayu berpegang pada nilai-nilai sedemikian bagi memastikan kelangsungan atau survivalnya sebagai bangsa. Tanpa semua itu, mereka sedar masyarakat akan binasa, berpecah belah dan menuju anarki. Isunya bukan sangat mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu tetapi untuk memastikan bangsa itu mempunyai peraturan dan perundangan yang jelas. Tidak ada bangsa yang dapat bertahan sekiranya nilai-nilai kepatuhan bersama itu dirosakkan.

Memang orang Melayu pernah menderhaka. Atau menunjukkan penentangan terhadap Raja. Tetapi berdasarkan catatan sastera, akibat perbuatan itu langsung dan serta-merta.
Kitab Sejarah Melayu dan kitab-kitab Melayu yang lain sememangnya berlaku adil dalam soal ini. Malah dari Sejarah Melayu kita mengetahui bagaimana bermulanya "persetiaan" di antara Raja dengan rakyat di Bukit Seguntang. Sang Sapurba yang mewakili Raja-Raja Melayu meminta orang Melayu jangan derhaka pada anak cucu baginda sementara Demang Lebar Daun yang mewakili rakyat memohon agar anak cucunya jangan dizalimi oleh Raja-Raja Melayu.

Dalam sejarah bangsa Melayu Raja zalim mendapat pembalasan seperti juga hamba rakyat yang menderhaka. Maka itu ungkap "Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah" menjadi semacam pedoman bagi Raja-Raja Melayu. Dari kisah kezaliman Sultan Mahmud Melaka hinggalah peristiwa Sultan Mahmud di Johor yang membunuh isteri panglimanya kerana buah nangka, prinsip itu diguna pakai zaman berzaman. Dalam konteks Laksamana Bentan yang menikam Raja yang sedang dijulang, sumpahnya dikatakan berkekalan tujuh keturunan. Banyak insiden yang menunjukkan bagaimana persetiaan ini mengekalkan kelangsungan sistem sosial yang ada.

Sistem beraja yang menjadi teras masyarakat feudal mampu bertahan kerana hal ini. Mana Raja-Raja Melayu yang menzalimi rakyatnya biasanya tidak bertahan malah kerajaan baginda akan tumbang. Hamba yang menderhaka pula, walaupun apa alasannya tidak ada tempatnya dalam masyarakat Melayu.

Apakah maknanya cerita sejarah berbaur mitos mengenai Raja-Raja Melayu diceritakan terus menerus sebagai sebahagian daripada cerita rakyat? Ia merupakan proses sosialisasi yang juga bertujuan memberi pemahaman dan pendidikan secara halus. Kisah keajaiban, kehebatan dan kegemilangan sedemikian boleh menaikkan semangat dan kekuatan selain memberikan iktibar dan nasihat.
Memang ada pihak yang mulai mentafsir perlakuan derhaka dalam masyarakat Melayu. Hang Jebat, Laksamana Bentan atau Si Bongkok Tanjung Puteri memang diberikan tafsiran baru. Memang ada kecenderungan untuk menilai semula konsep wira dalam masyarakat Melayu. Kecenderungan pemikiran kiri dan aliran sosialisme satu masa dulu membaca Jebat sebagai hero baru. Memang ada kritikan terhadap sikap Hang Tuah yang setia membabi buta. Memang orang Melayu sedar tentang wujudnya "budak-budak Raja" yang berkuasa besar dalam istana Raja Melayu. Merekalah yang membuat onar dan angkara lalu memporak peranda istana. Watak seperti ini ditempelak dan diberikan gambaran hitam seperti juga perbuatan Si Kitul dan Raja Mudaliar yang dikatakan bertanggungjawab memporak peranda dan menghancurkan empayar Melayu Melaka.

Sistem beraja tidak berakhir dengan kemerdekaan. Kita masih menjunjung sistem beraja dengan penyesuaian. Perlembagaan Persekutuan menjamin kelangsungan sistem itu, cuma kali ini disangkutkan pada Perlembagaan lalu muncullah ungkapan sistem Raja Berperlembagaan. Maka itu Raja-Raja Melayu memainkan peranan yang tersendiri dalam sistem pemerintahan negara. Pandangan bahawa mereka hanya ketua adat dan agama tentulah tidak sepenuhnya tepat apa lagi jikalau mereka hanya dilihat sebagai simbol dan lambang semata-mata. Mereka juga bukan berperanan hanya dalam upacara dan ritual negara saja.

Apabila kita merangka Rukunegara yang menjadi prinsip sebuah negara bermaruah, kita meletakkan kesetiaan pada Raja sebagai teras yang penting. Walau bagaimanapun cara kita menilai konsep setia itu, terasnya ialah bagi menjunjung kemuliaan dan memartabatkan institusi itu. Sekiranya kita menghormati Perlembagaan, maka institusi beraja harus juga dilindungi dan dipertahankan.

Oleh yang demikian derhaka tentunya tidak ada dalam perbendaharaan kata mana-mana individu yang menjunjung sistem Raja berperlembagaan. Apatah lagi jikalau alasan sembah derhaka itu kerana enggan menerima kenyataan perubahan politik semasa atau kepentingan peribadi seseorang. Sekiranya perisytiharan kedudukannya sebagai Menteri Besar dibuat melalui sistem beraja yang sedia ada mengapakah perlucutan jawatannya oleh institusi yang sama tidak boleh diterima? Apakah sistem itu hanya diwajarkan apabila untuk tujuan melantik tetapi apabila kerajaan pimpinannya tumbang maka penubuhan kerajaan baru dicabar sekali gus dengan institusi yang menabalkannya? Institusi Raja itu sendiri dipersoalkan. Malah ada cadangan pihak-pihak tertentu untuk membawa Baginda Sultan Perak di mahkamah.

Apakah yang sebenarnya berlaku? Apakah kita terbayang akan melihat episod malang ini berlaku di hadapan mata kita? Apakah ini penanda perubahan dalam sistem nilai orang Melayu sendiri? Apakah pemikiran anak-anak Melayu hari ini sudah dikelabui oleh kepentingan politik semata-mata? Maka pertimbangan adab dan budaya tidak ada maknanya lagi?

Kita boleh menghujahkan secara panjang lebar drama di Perak itu. Tetapi satu hal adalah jelas: Anak-anak Melayu menghantar mesej yang salah pada bangsanya dan orang lain: Bahawa derhaka diwajarkan. Dalam konteks perpecahan serius di kalangan orang Melayu sekarang, keadaan ini akan lebih mempersulitkan. Krisis ini menjadi krisis memalukan membabitkan orang Melayu, walaupun mungkin ada dalang lain di belakangnya. Melihat kemarahan segelintir anak-anak Melayu yang jelas memancarkan imej sebuah parti politik, orang mulai bertanya, apakah ini protes Melayu terhadap orang Melayu sahaja?

Bagi saya ini krisis baru dalam masyarakat Melayu. Itu belum lagi ukuran double standard sesetengah pihak dalam soal yang membabitkan perilaku seorang wakil rakyat. Isu moral ialah isu peribadi. Bagaimanapun kita harus meletakkan kriteria yang sama dalam menentukan penanda aras moral di negara ini. Apabila wakil BN atau UMNO khususnya terbabit maka tuduhan tidak bermoral riuh rendah kedengaran tetapi apabila orang mereka sendiri terlibat, tiba-tiba muncul pula tuduhan mengenai pola konspirasi untuk menjatuhkan nama baik mereka.

Isu moral seperti juga soal yang membabitkan kesetiaan harus berlandaskan norma yang sedia ada. Soal derhaka tidak boleh ditafsir mengikut selera seperti juga perbuatan tidak bermoral mana-mana individu. Sekiranya kita memilih untuk menyerang peribadi orang, satu hari nanti orang akan menempelak perilaku salah kita.

Orang Melayu yang bijaksana ada mengatakan, mengata dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih.

Friday, February 13, 2009

Bersatulah bangsa Melayu

Bersatulah bangsa Melayu
Oleh ANUAR AHMAD
Utusan Melayu/14.2.09

BANGSA Melayu kini menghadapi krisis perpaduan yang paling kritikal dan mencabar. Ia lebih hebat daripada tsunami PRU 12 pada Mac tahun lalu. Ia adalah senario yang menyedihkan sekali. Seboleh-bolehnya kita cuba menafikan tetapi itulah hakikatnya.
Tsunami pilihan raya Mac 2008 bukanlah akar sebenar kepada perpecahan Melayu. Tetapi ia berupa isyarat untuk menyedarkan para pemimpin tentang gentingnya perpaduan Melayu ketika ini.
Krisis perpaduan Melayu berlaku apabila kita mula lupa sejarah bangsa. Usaha ke arah itu sedang dilakukan oleh banyak pihak. Maka tidak hairanlah apabila pelbagai muzakarah dan perbincangan dianjurkan sejak kebelakangan ini.
Pelbagai pihak kini mula bercakap soal institusi beraja yang satu ketika dulu tidak ada yang berminat untuk membincangkannya. Begitu juga soal ketuanan Melayu dan keagungan Islam serta kedaulatan bahasa Melayu sendiri.
Sejarah Melayu dikatakan bermula sejak 1400. Walaupun ada yang mengatakan sejarah orang Melayu bermula lebih awal tetapi dengan mengambil kira definisi Melayu berasaskan adat resam, raja dan agama Islam maka tidak syak lagi sejarah Melayu hanya bermula sekitar kurun ke-15 itu.
Jika dihitung, sejarah orang Melayu tidaklah begitu panjang berbanding sejarah bangsa utama dunia lain yang menjangkau ribuan tahun. Sejarah kita baru bermula 600 tahun dahulu.
Mengimbau sejarah, orang Melayu bertuah kerana dianugerahkan Tuhan dengan tanah air yang dinamakan Tanah Melayu (dan kemudian menjadi Malaysia). Orang Melayu, walaupun terjajah ratusan tahun masih bertuah kerana tidak perlu berperang dan berkorban nyawa sepanjang 600 tahun itu.
Orang Melayu juga sungguh bertuah kerana kemerdekaan tanah air berlaku di meja rundingan dan bukannya di medan peperangan. Lebih bertuah jika difikirkan bagaimana orang Melayu hari ini masih terus kekal memerintah tanah air sendiri walaupun pernah dijajah dalam tempoh ratusan tahun.
Namun tuah tidak akan selalu menjadi milik orang Melayu. Tuah itu pun bukannya datang bergolek tetapi berkat semangat, doa dan permuafakatan Melayu.
Apalah maknanya ketuanan Melayu yang sering diuar-uarkan kalau orang Melayu langsung tidak memahami bagaimana ketuanan itu diperolehi. Ketuanan Melayu hanya hasil tetapi sejarah bangsa Melayu adalah prosesnya.
Pada setiap zaman, orang Melayu pasti mengalami perubahan. Ia berlaku sejak era tradisional ke penjajahan dan kemudian era modenisasi sebelum ke alaf globalisasi sekarang. Pada setiap era, orang Melayu sentiasa berusaha untuk menguasai perubahan demi menjadi bangsa yang lebih baik.
Tetapi fakta sejarah menunjukkan sebaik manapun pencapaian kita, pastinya ada bangsa lain mendapat pencapaian lebih baik. Sebagai contoh, walaupun kerajaan Melayu Melaka dipimpin oleh Kesultanan Melayu dengan para pembesar terdiri daripada orang Melayu, yang mengaut laba di Melaka ialah pedagang Arab, Cina dan India.
Penjajah Inggeris membantu membangunkan sekolah Melayu tatkala masyarakat bukan Melayu berhempas pulas membangunkan sistem pendidikan sendiri. Sepatutnya pendidikan orang Melayu jauh lebih maju, tetapi sebaliknya lebih ramai yang berpendidikan tinggi ialah bukan Melayu.
Bila universiti mula ditubuhkan oleh kerajaan dengan memperkenalkan sistem kuota demi bangsa Melayu, masih ramai graduan terbaik adalah bukan Melayu.
Apabila Dasar Ekonomi Baru diberikan kepada kalangan bumiputera khususnya Melayu sebagai satu keistimewaan, yang menjadi kaya raya kebanyakannya bukan Melayu. Walaupun politik dipegang oleh orang Melayu, pimpinan Melayu terpaksa merayu dan melobi pengundi bukan Melayu untuk memerintah. Ia berlaku tidak kira di kalangan parti kerajaan atau pembangkang.
Memikirkan hal ini sudah cukup memenatkan. Jelas sekali orang Melayu semakin lupa sejarah bangsa. Mereka, khususnya para pemimpin mula lupa hakikat bahawa sebagai pemimpin, mereka datang dan pergi.
Hari ini dengan kudrat dan tenaga yang ada mereka membangunkan anak bangsa, sampai masanya orang lain akan menggantikan mereka. Yang penting ialah perjuangan membangunkan anak bangsa, tidak berpecah-belah tetapi sentiasa bertimbang tara dan berbincang.
Mereka yang berpengalaman sepatutnya memberi nasihat sementara yang muda menimbangkannya. Akhirnya bangsa Melayu tidak akan rugi dan terus maju.
Sejarah bangsa Melayu nampaknya tidak begitu dihayati oleh bangsa kita. Rasuah, penyalahgunaan kuasa, nepotisme dan kronisme, berfoya-foya menjadi amalan. Ramai yang suka memegang kuasa walaupun terpaksa bersengketa sesama sendiri. Amalan itu nampaknya masih kuat menguasai sebahagian pemimpin Melayu.
Nasihat cendekiawan agar keadaan ini diperbetulkan nampaknya gagal. Ramai pemimpin dan sebahagian besar bangsa Melayu masih tidak belajar mengenai tragedi kejatuhan Melaka kepada Portugis. Ia berpunca daripada perbuatan khianat pembesar Melayu.
Bangsa Melayu telah lupa Perjanjian Pangkor. Kealpaan kepemimpinan Melayu ketika itu membuatkan seluruh negeri tergadai kepada penjajah Barat. Pimpinan Melayu juga mungkin sudah lupa bagaimana sukarnya orang Melayu menentang Malayan Union.
Apakah para pemimpin Melayu tidak ingin menjadi seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Tok Bahaman atau Dol Said. Semua tokoh pejuang itu sanggup berkorban nyawa semata-mata untuk bangsa Melayu.
Janganlah kerana kita sudah pandai memakai kot dan bertali leher atau selesa berucap dalam bahasa asing, menaiki kereta mewah dan tinggal di rumah cantik, agenda bangsa Melayu tidak lagi menjadi keutamaan.
Mungkin di kalangan pemimpin Melayu kita hari ini sudah tidak boleh menterjemahkan semangat perjuangan bangsa. Pemimpin yang ikhlas untuk menjulang perjuangan bangsa akan sentiasa bersatu, tidak berpecah belah dan amanah dalam perjuangan. Golongan ini tidak berharap kepada kedudukan dan pangkat. Mereka komited dengan perjuangannya membela Melayu.
Malangnya apa yang kita lihat sekarang ialah wujudnya ramai pemimpin Melayu yang semakin lupa sejarah. Kita mungkin biasa mendengar ucapan hebat pemimpin Melayu. Tetapi yang nampak di luar belum tentu sama dengan apa yang ada di dalam hati mereka.
Semoga Allah sahaja yang mengetahui apa yang ada di dalam hati dan sanubari para pemimpin Melayu. Rakyat hanya boleh berdoa agar pemimpin mereka benar-benar ikhlas dalam perjuangan.
Orang Melayu mungkin bukan sahaja lupa kepada sejarah bangsa, tetapi gagal menterjemahkan ajaran Islam yang begitu sempurna.
Jelas begitu tebalnya masalah bangsa Melayu. Cuba kita teliti satu persatu segmen kehidupan kita dan di mana letaknya kedudukan bangsa Melayu yang berjumlah tidak sampai 15 juta ini.
Dalam bidang ekonomi, secara umum kita hanya menguasai 18 peratus agihan kekayaan negara. Selebihnya dimonopoli oleh bangsa bukan Melayu serta syarikat konglomerat antarabangsa. Lihat juga sektor pekerjaan, hampir keseluruhan pekerjaan profesional dikuasai oleh bukan bangsa Melayu seperti doktor, jurutera, akauntan serta peguam. Begitu juga sektor ICT, perbankan dan pembinaan.
Sektor sosial pula menunjukkan begitu banyak kewujudan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kalangan masyarakat Melayu. NGO Melayu masih terikat kepada soal sukan, hiburan dan politik.
Sektor politik walaupun dikuasai oleh bangsa Melayu tetapi bentuknya bukanlah mutlak tetapi atas dasar tolak ansur dan ihsan bangsa lain. Jelas walaupun sebagai bangsa majoriti daripada segi penduduk, pencapaian bangsa Melayu masih jauh di belakang.
Banyak usaha dan tenaga perlu ditumpukan untuk maju. Berpecah belah dan bersengketa sesama pimpinan Melayu bukan sahaja melambatkan usaha memajukan bangsa tetapi menolak bangsa lebih jauh ke belakang. Kita perlu insaf, perkara itu sangat merugikan orang Melayu.
Bangsa Melayu tentu ingin maju dan mahu menjadi bangsa lebih hebat 100 tahun akan datang. Tetapi sejarah 600 tahun dahulu perlu diinsafi terlebih dahulu sekiranya kita mahu menjadi lebih hebat.
Anak-anak kita diajar di sekolah tentang bersatu padu, cintakan bangsa dan negara tetapi di luar bilik darjah mereka melihat tokoh kebanggaan mereka berpecah-belah. Ironinya, keadaan ini tidak menguntungkan sesiapa khususnya bangsa Melayu itu sendiri.
Pemimpin dan masyarakat Melayu seharusnya lebih menilai dan menginsafi sejarah bangsa sendiri. Percayalah, pemimpin Melayu yang sedar mengenai sejarah bangsanya akan berjuang untuk menjadikan bangsa ini lebih hebat dan berdaulat.
PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Wednesday, February 11, 2009

Sultan tentukan siapa MB


Sultan tentukan siapa MB

Oleh KAMILIA IBRAHIM
Utusan Malaysia/11 Febuari 2009

Undang-Undang Tubuh Negeri Perak memberi kuasa mutlak Sultan sebagai penentu kuasa pemerintahan mutakhir kerajaan negeri.

Perak ditadbir di bawah sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Mengikut Perlembagaan Negeri Perak, Sultan mempunyai kuasa memerintah tertakluk di bawah peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak. Mengikut Perkara 7 undang-undang tersebut, Sultan memerintah mengikut undang-undang dan dikehendaki berlaku adil terhadap semua rakyat.

Perkara 10 pula menyatakan, baginda mempunyai kuasa eksekutif tertakluk kepada peruntukan undang-undang tersebut dan juga Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11 pula menyebut, semua tindakan eksekutif yang diambil oleh kerajaan negeri Perak hendaklah disebut di atas nama Sultan.

Dalam melaksanakan pemerintahan, Sultan hendaklah melantik seorang Menteri Besar seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 12. Baginda mempunyai kuasa mutlak menentukan siapa yang akan menerajui pucuk kepimpinan pemerintahan negerinya. Ia bermaksud, pelantikan Menteri Besar Perak akan ditentukan oleh Sultan. Ketetapan itu diperuntukkan dalam Perkara 16 (2) (a) dan perkara 18 (2) (a).

Dalam melaksanakan kuasa pelantikan di bawah Perkara 16 (2), Sultan hendaklah melantik seorang Menteri Besar daripada kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang pada pendapatnya akan mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN lain.

Beliau sudah pasti telah mendapat kepercayaan rakyat kerana menang pada pilihan raya menerusi proses demokrasi. Majoriti ADUN juga perlu menyokong dan memberi kepercayaan. Sultan juga melantiknya kerana yakin beliau akan mendapat kepercayaan tersebut.

Dalam keadaan di Perak pada 4 Februari lalu, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin telah tidak mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN apabila dua ADUN-nya diminta mengosongkan kerusi. Dengan sendirinya kepercayaan terhadap beliau terhakis kerana Nizar menjadi Menteri Besar pada Mac 2008 berdasarkan kepercayaan 31 ADUN. Jumlah itu tinggal 29 dan kemudiannya merosot kepada 28.

Apabila keadaan itu berlaku, beliau mengumumkan pembubaran DUN dan kemudian memohon menghadap Sultan untuk mendapatkan persetujuan bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri Perak itu.
Mengikut Perkara 18 (2) (b), Sultan boleh bertindak menurut budi bicaranya untuk tidak mempersetujui permintaan bagi membubarkan DUN tersebut. Seperti yang termaktub dalam Perkara 7, Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Sultan akan bertindak adil terhadap rakyatnya berdasarkan undang-undang.

Sultan perlu mempertimbangkan sedalam-dalamnya dan mengambil kira permohonan itu sebagai permintaan adil bukan sahaja kepada DUN tetapi juga rakyat.

Seorang Menteri Besar hanya akan memohon pembubaran DUN apabila tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN. Apabila seseorang Menteri Besar tidak lagi mendapat kepercayaan, maka ia bermakna beliau tidak lagi boleh menjadi Menteri Besar.

Secara automatik kerajaan dan jemaah exconya tidak lagi berfungsi melainkan diberi mandat baru oleh rakyat pada pilihan raya baru.

Baginda Sultan mempunyai kuasa untuk tidak mempersetujui pembubaran DUN. Apabila baginda tidak memperkenankan pembubaran itu, maka secara automatik, jawatan Menteri Besar dan jemaah exco akan digugurkan. Peraturan ini bertepatan dengan Perkara 16 (6).
Mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, jelas Sultan mempunyai kuasa bertindak untuk melantik Menteri Besar baru dan sekali gus penubuhan kerajaan negeri yang baru. Jelas juga bahawa kuasa Menteri Besar dan Exco lama akan gugur dengan sendirinya.

Setelah Menteri Besar tidak lagi boleh berfungsi maka Sultan boleh melantik Menteri Besar baru. Dalam situasi di Perak, jumlah ADUN BN ialah 28 dan tiga lagi ADUN mengisytiharkan keluar dari barisan pembangkang berdiri atas tiket Bebas serta menyokong BN.

Apabila Sultan mendapati seorang ADUN BN boleh mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN lain maka baginda membuat pelantikan baru. Pelantikan Menteri Besar baru adalah sah di sisi undang-undang Perlembagaan dan juga aspek prosedur.

Maka tidak timbul persoalan Perlembagaan dan undang-undang tidak dipatuhi. Apa yang berlaku pada Mac 2008 ialah Nizar menghadap dan memberitahu Sultan bahawa beliau mendapat kepercayaan 31 ADUN. Sultan telah melantik beliau sebagai Menteri Besar dan jawatan itu dipegangnya sehingga beliau hilang kepercayaan tersebut.

Apabila BN pula mendapat kepercayaan 31 ADUN, maka Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir telah dilantik sebagai Menteri Besar mengikut kaedah dan peraturan yang sama bagi memenuhi peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Malah Sultan telah berjumpa dan menemu bual semua ADUN Bebas yang secara peribadi memberi pengakuan menyokong BN untuk menerajui kerajaan Perak.

Tambahan pula Sultan telah mengambil kira keadaan politik semasa yang mana pilihan raya umum baru diadakan dan telah yakin tentang perlunya penubuhan segera kerajaan baru. Ia bertujuan untuk tidak menangguh dan melewatkan jentera kerajaan berjalan demi kestabilan dan kesejahteraan rakyat. Ini kerana Sultan berkuasa dan bertanggungjawab memastikan negeri Perak dalam aman dan sejahtera.

Dalam keadaan itu, Sultan tidak perlu membubarkan DUN walaupun Nizar mengemukakan permintaan itu. Sultan boleh menolak mengikut undang-undang Perak. Ia adalah hak dan kuasa mutlak Sultan.

Tidak perlu undi tidak percaya di DUN sebelum pelantikan Menteri Besar baru kerana Nizar sendiri telah menghadap Sultan menyatakan sudah tidak ada kepercayaan untuk dirinya terus menjadi Menteri Besar apabila beliau sendiri memohon membubarkan DUN.

Nizar tidak perlu meletak jawatan kerana perbuatan memohon pembubaran DUN itu sendiri dianggap satu peletakan jawatan kerana beliau dengan sendirinya sudah tidak ada mandat untuk berfungsi sekali gus turut menggugurkan jawatan kesemua exconya.

Namun Nizar berdegil menyatakan beliau masih Menteri Besar Perak. Sebenarnya daripada sudut undang-undang beliau tidak lagi menjadi Menteri Besar. Zambry kini sah menjadi Menteri Besar Perak. Perintah mahkamah boleh diambil terhadap Nizar kerana melanggar perintah Sultan.

Adalah malang apabila kuasa Sultan dicabar. Mengikut undang-undang Perak, Sultan mempunyai enam prerogative dalam Perkara 10 Bahagian ll yang jelas menunjukkan kuasa Sultan dalam isu penghormatan, keadilan, keampunan, agama, adat Melayu dan tanah. Kuasa Sultan jelas dan nyata serta sedia tertulis.

Satu perlembagaan bertulis adalah undang-undang yang sangat jelas dan mudah dilaksanakan berbanding perlembagaan di England yang tidak bertulis dan perlu mengikut konvensyen. Justeru, kita amat mudah untuk melaksanakan semua tindakan dan perintah Sultan.

Sebagai anak negeri Perak saya amat kesal dengan tindak-tanduk Nizar dan segelintir orang Melayu yang tidak menghormati Sultan. Ia dijelaskan dengan insiden di depan Istana Iskandariah, Jumaat lalu.

Oleh itu saya rasakan kita perlu mewujudkan satu sekretariat untuk memastikan institusi kesultanan Melayu terus dipelihara dan dipertahankan agar tidak digugat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Sekretariat ini juga akan memastikan kedaulatan serta martabat kesultanan Melayu tidak tercemar dan dipersenda. Selain itu kewibawaan institusi tersebut sebagai pemutus kata dalam hal penubuhan kerajaan serta pelantikan ketua kerajaan berasaskan demokrasi berperlembagaan terus kekal, tidak boleh disangkal dan dipersoalkan.

Penubuhan sekretariat itu juga penting untuk mempertahankan institusi kesultanan Melayu sebagai pelindung hak orang Melayu dan kepentingan semua kaum, menegakkan kesultanan Melayu sebagai penaung dan pelindung agama Islam sebagai agama rasmi negeri dan Persekutuan yang kini dipertikai serta diragui. Ia juga akan berfungsi untuk mengembalikan kepercayaan kepada institusi Sultan sebagai institusi tertinggi negara.

Apa yang nyata rakyat Perak perlu faham tentang kedudukan Sultan yang tinggi dan perintah Sultan perlu dipatuhi tanpa dipersoal atau diragui. Kita tidak boleh membawa isu institusi kesultanan ke jalanan.

DATUK KAMILIA IBRAHIM ialah Pengerusi Biro Undang-Undang, Wanita UMNO Malaysia.

Friday, February 6, 2009

Adakah Cerita "Doolittle" Memberi Ilham Kepada Taktik BN Di Perak?


Adakah Cerita "Doolittle" Memberi Ilham Kepada Taktik BN Di Perak?
Oleh Alan Ting

IPOH, 6 Feb (Bernama) -- Adakah Barisan Nasional (BN) mendapat inspirasi dari cerita "Doolittle" yang membantu parti itu mencatat kemenangan politik di Perak?

Menurut sesetengah orang yang biasa dengan "strategi politik" BN, cerita "Doolittle" itu telah membantu memberi sedikit pemahaman mengenai bagaimana BN berupaya untuk menangkis serangan politik daripada Pakatan Rakyat di Perak selepas pilihan raya umum tahun lepas dan seterusnya mengubah keadaan menjadi sebaliknya ke atas pembangkang.

Cerita "Doolittle" adalah kisah benar mengenai serangan udara pertama Amerika Syarikat ke atas kepulauan Jepun di Honshu pada 18 April, 1942 semasa Perang Dunia Kedua. Serangan itu menunjukkan bahawa Jepun sendiri mudah terdedah kepada serangan udara pihak bersekutu dan menyediakan tindakan yang wajar untuk Amerika membalas balik sebagai respons terhadap serangan awal Jepun ke atas Pearl Harbour di Hawaii pada 7 Dis, 1941.

Serangan itu dirancang dan diketuai oleh Left Kolonel James "Jimmy" Doolittle, yang kemudian menulis di dalam autobiografinya bahawa serangan itu bertujuan untuk menyebabkan Jepun sangsi dengan kepimpinan mereka dan bagi meningkatkan semangat yang amat diperlukan rakyat Amerika.

Sehingga itu, rakyat Jepun diberitahu bahawa mereka tidak terdedah kepada bahaya tetapi serangan ke atas bumi Jepun menimbulkan kekeliruan di fikiran mereka sehingga ramai yang berasa sangsi dengan kemampuan pucuk pimpinan mereka.

Seorang pakar strategi politik, yang enggan dikenali berkata pasukan pemikir BN mungkin mendapat inspirasi itu dari cerita "Doolittle" begitu juga dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak habis-habis berharap untuk menjatuhkan kerajaan BN pada 16 Sept tahun lepas.

Katanya BN memutuskan untuk bertindak selepas senario politik semakin buruk bagi BN di Perak apabila Datuk Nasaruddin Hashim, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bota, yang pada mulanya menyertai PKR.

"Apabila sesetengah ADUN Pakatan Rakyat (PR) di Perak kelihatan tidak suka dengan kerajaan negeri PR atau pemimpin tertentu, mereka (BN) nampak mereka patut merebut peluang yang ada.

"Dengan menawan kerajaan negeri Perak, BN berupaya meniup semangat di peringkat akar umbi dan pada masa sama menghantar isyarat kuat kepada pesaingnya bahawa BN masih kukuh dan boleh membalas balik.

"Sebab itu, saya percaya, idea itu datang dari cerita "Doolittle" apabila BN mampu melahirkan tindakan politik yang bernas sehingga dapat mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Perak," katanya.

Tindakan pertama kerajaan negeri Pakatan Rakyat telah memperoleh laba politik apabila Nasaruddin secara mengejut berpaling tadah kepada PKR sehari sebelum Tahun Baru Cina yang mencetuskan tanggapan bahawa BN akan terus kecundang.

Tindakan itu adalah sama dengan serangan mengejut Jepun ke atas Pearl Harbour yang memerangkap ahli politik dan pegawai tertinggi tentera Amerika yang membawa kesan ke atas kekuatan ketenteraan Amerika di Lautan Pasifik.

Bagaimanapun, Amerika masih mampu menghasilkan pelan serangan balas dengan mengumpulkan pasukan pejuang berani mati dalam satu misi rahsia melintasi Pasifik bagi serangan pengeboman jarak jauh ke atas Tokyo lima bulan kemudian. Krew udara Amerika dipaksa melancarkan misi lebih awal selepas pesawat pengangkut mereka dikesan kapal Jepun, yang sudah sedia maklum bahawa mereka mungkin tidak mempunyai bekalan minyak yang mencukupi untuk membantu mereka mendarat di zon yang ditentukan di China selepas misi pengeboman.

Rancangan itu selari dengan tindakan BN yang memaksa parti itu melancarkan pelan pengambilan alih kerajaan negeri Perak selepas seorang dari wakil rakyatnya melompat parti menyertai PR dan ini terlaksana selepas tiga wakil rakyat PR meninggalkan parti mereka dan menjadi wakil rakyat Bebas dan berikrar menyokong BN.

Setakat ini, BN dan PR masing-masing mempunyai 28 kerusi dan BN mempunyai kelebihan apabila tiga wakil rakyat Bebas itu berikrar untuk menyokong BN maka ia membantu menumbangkan kerajaan negeri pimpinan PR yang memerintah selama 11 bulan.

Daripada latihan itu, BN mahu membuktikan kepada PR bahawa pakatan itu juga terdedah kepada bahaya dan dalam kes ini, mungkin dapat menghantar isyarat yang jelas bahawa kerajaan negeri lain di bawah pakatan itu juga boleh bergoyang.

Selepas kekalahan BN pada 8 Mac, 2008 dan pilihan raya kecil di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, pengambilan alih kerajaan negeri Perak walaupun apa jua perdebatan seseorang itu mungkin ada, merupakan satu perangsang psikologi yang amat diperlukan BN.

-- BERNAMA