ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Wednesday, August 14, 2013



PERKISAHAN SEJARAH RAWA RAUB:
KENAPA PERLU BELAJAR SEJARAH

Sejarah itu penting, dan ada beberapa sebab mengapa kita perlu belajar dan memahami sejarah, iaitu;

PERTAMA: Sejarah membantu kita mengenali asal-usul sesuatu perkara. Ramai yang memandang remeh perkara ini, dan hanya berminat untuk mengetahui asal-usul keluarga semata-mata (itu pun tidak ramai!). Apa perlu kita tahu asal-usul? Adakah perlu kita tahu dari mana nasi yang kita makan ditanam? Satu kata-kata sinis, tetapi amat dangkal. Mengetahui dari mana dia, peristiwa atau sesuatu benda itu datang itu penting kerana ia memberi kita satu keyakinan kerana kita tahu mengapa, di mana dan siapa yang melakukannya. Kita tidak akan mudah percaya kepada kata-kata, hasutan orang lain jika kita tahu dan faham sebab-musabab (sejarah) sesuatu perkara itu. Contoh mudah, ketika kontroversi lagu Negaraku kita dahulu dikatakan lagu ciplak, maka ramailah rakyat Malaysia yang bulat-bulat percaya dan mula memberi komen yang negatif kepada negara sendiri, tanpa mengkaji terlebih dahulu. Ini memberi peluang kepada musuh-musuh luar untuk menggoyangkan keyakinan kita, dan seterusnya menggugat keselamatan negara dan diri kita. Tidakkah anda sedar?

KEDUA: Sejarah dapat mengelakkan diri kita kita daripada melakukan kesilapan, terutamanya kesilapan yang bodoh. Sudah tercatat dalam SEJARAH bahawa banyak kesilapan manusia berlaku kerana tidak mengambil iktibar daripada SEJARAH terdahulu. Saya bukanlah orang yang begitu suka dengan politik, tetapi melihat kepada perkembangan politik semasa negara kita Malaysia, tindakan-tindakan sesetengah pemimpin dan pihak bertanggungjawab, tidak kira yang memerintah atau yang membangkang, bercanggah dan ini berlaku kerana tidak faham dan tidak belajar daripada sejarah. Begitu juga diri kita, ada yang tidak mengambil iktibar dari sesuatu peristiwa yang telah berlaku, terutamanya peristiwa yang kurang enak dan menyayat hati. Maka berulang-ulanglah kesilapan-kesilapan yang serupa berlaku, dan yang menerima akibat, siapa lagi?

KETIGA: Sejarah membantu kita bertindak secara bijak dan berfikir secara kritikal dan kreatif. Saya ada ungkapkan di atas berkenaan adakah perlu subjek sejarah di sekolah semasa kita bekerja, bekeluarga dan melakukan aktiviti-aktiviti umum yang tidak bercorak akademik? Perlu diingatkan sejarah itu tidak terbatas kepada ruang lingkup ketika peristiwa yang disebutkan itu berlaku, sejarah adalah rantaian peristiwa yang berterusan dan berkembang. Maka adalah salah untuk kita katakan sejarah itu bersifat statik. Peristiwa pemisahan Singapura dari Malaysia umpamanya, apakah intipati yang kita dapat pelajari daripadanya? Salah satunya adalah kadang-kala kawan kita boleh menjadi lawan kerana kepentingan diri! Moralnya? Semangat setiakawan dan berpasukan, toleransi dan persefahaman perlu ada untuk mengelakkan perpecahan dan saling bermusuhan. Amalan ini boleh dipraktikkan semasa di tempat kerja bukan? Anda tahu jalan itu mempunyai sejarah kemalangan akibat kecuaian manusia. Tindakan anda? Pandu laju?

Banyak lagi sebenarnya kepentingan mempelajari dan memahami sejarah itu sendiri. Saya hanya utarakan tiga sebab utama untuk mengajak anda sama-sama berfikir sejenak, dan sudah pasti, anda dapat mencari sebab-sebab yang lain bukan?

Credit Raja Teromba

No comments:

Post a Comment

KOMEN ANDA