ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Thursday, December 25, 2008

PELUANG BN CERAH DI KUALA TERENGGANU

PEMIMPIN PAS CANGGAH PENDAPAT:
PELUANG BN CERAH DI KUALA TERENGGANU

KUALA ROMPIN – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis gembira dengan gelagat ketidaksefahaman pemimpin Pas dalam meletakkan calon di dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari 2009.

Katanya, ini telah menunjukkan parti itu goyah dan tidak mempunyai pendirian tetap dalam menentukan calon yang sesuai, berkaliber, anak tempatan dan boleh berkhidmat untuk rakyat bagi dipertandingkan di kerusi berkenaan.

Beliau berkata, cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahukan Mohamad Sabu terus dikekalkan sebagai calon dalam pilihan raya kecil itu mengundang percanggahan pendapat antara pemimpin Pas di Terengganu.

Menurutnya, cadangan yang dibuat Menteri Besar Kelantan itu ditolak Pas Terengganu kerana mereka merasakan bahawa ada calon anak tempatan yang lebih layak berbanding Naib Presiden Pas tersebut.

“Kita dapat lihat bahawa Pas masih bercanggah pendapat sesama mereka dan ini sudah tentu menunjukkan bahawa mereka gagal untuk putuskan siapakah calon yang sesuai untuk bertanding,

“ Ini adalah petanda awal bahawa Barisan Nasional (BN) yang akan mengemukakan calon dari UMNO mampu mempertahankan kerusi parlimen Kuala Terengganu” katanya..

Pilihan raya keci P.036 akan dijalankan ekoran kematian penyandangnya, Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail.

Pada pilihan raya umum lalu, Razali berjaya mengekalkan kerusi berkenaan apabila menewaskan, Mohamad Sabu dan Maimun Yusof dengan majoriti 628 undi.

Ditanya, sejauh mana BN mampu mempertahankan kerusi itu kerana Parlimen Kuala Terengganu dikenali sebagai lokasi ‘hitam’ setelah tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Batu Burok, Ladang dan Wakaf Mempelam dikuasai pembangkang, Jamaluddin menyuarakan keyakinan bahawa pengundi akan memilih BN.


Beliau turut percaya UMNO mempunyai undi yang mencukupi untuk membolehkan calon BN mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu berdasarkan perkhidmatan yang telah diberikan kepada rakyat tersebut sebelum ini.

“Orang Terengganu bijak buat pilihan kerana kita yakin atas mandat yang diberikan mereka, calon BN yang bakal bertanding di kawasan itu boleh bekerja untuk rakyat dan ini sudah tentu akan membela nasib mereka,” katanya.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.17, 21 - 27.12.3008

No comments:

Post a Comment

KOMEN ANDA