ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Thursday, December 25, 2008

MAKNA SEBENAR KETUANAN MELAYU

MAKNA SEBENAR KETUANAN MELAYU
MENURUT MENTERI BESAR PAHANG


KUANTAN – Semua pemimpin yang mewakili pelbagai kaum di negara ini diminta memahami makna sebenar ’Ketuanan Melayu’ dan bukannya menjadikan isu itu untuk merebut pengaruh dari kaum masing-masing atau cuba mahu meruntuhkan perpaduan dan hubungan berbaiksangka antara kaum di negara ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakub dipetik sebagai berkata, ’Ketuanan Melayu’ bukan membawa makna bahawa Melayu sebagai tuan manakala kaum lain sebagai hamba tetapi ianya bermaksud raja-raja Melayu sebagaimana jelas tercatat melalui catatan-catatan sejarah silam.

Katanya, janganlah kaum Cina dan kaum India tersilap memahami makna sebenar ’Ketuanan Melayu’ sebagaimana dibangkitkan oleh pihak-pihak yang sengaja tidak mahu memahami persejarahan negara sehingga isu terbabit dibangkitkan semula menyebabkan ianya menjadi hangat.

” Kita semua kena faham makna sebenar ’Ketuanan Melayu’. Saya rasa ramai yang salah anggap. Mereka fikir Melayu sebagai tuan kepada semua. Tanggapan itu tidak benar sama sekali.

” Ketuanan Melayu merujuk kepada Raja-Raja Melayu yang perlu dihormati oleh semua kaum di negara ini. Ianya bukan dirujuk kepada Melayu sehingga kaum lain tersalah anggap. Kita tidak pernah membezakan antara kaum di negara ini dalam menlaksanakan pentadbiran di peringkat negeri. Semua warganegara adalah sama, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah.

” Semua rakyat di negara ini yang menikmati taraf warganegara diberi layanan seadilnya dan sama rata sama rasa, tetapi apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara seperti Hak Istimewa Orang Melayu tetap perlu dihormati,” katanya memberikan penjelasan.

Sementara itu Penasihat Partai Keadilan Rakyat (PKR) Indera Mahkota, Datuk Fauzi Abdul Rahman diminta mengulas mengenai isu ’Ketuanan Melayu’, dipetik sebagai berkata, interpretasi Menteri Besar Pahang mengenai isu itu adalah tepat mengikut konsep isu berkenaan yang wujud dalam semangat Perlembagaan Negara.

Katanya, walaubagaimanapun, masih ada sebilangan besar ahli-ahli UMNO yang jahil dan bongkak serta mudah melatah yang mengatakan Melayu adalah tuan kepada masyarakat lain sedang itu adalah tafsiran kolot dan bertentangan dengan semangat Kontrak Sosial dan Perlembagaan Negara.

Beliau berkata, kenyataan Adnan itu tepat kerana pemimpin dari UMNO atau partai lain yang dilantik sebagai Menteri Besar di sesebuah negeri adalah Ketua Kerajaan di negeri berkenaan manakala Yang DiPertuan Agong sebagai Ketua Negara dan Sultan atau Raja di peringkat negeri sebagai Ketua Negeri.

Katanya, tepat sekali bahawa Ketuanan Melayu adalah dirujuk kepada Raja Melayu dan dalam konteks berkenaan tidak ada mana-mana pihak baik orang Melayu, orang China atau orang India boleh mempertikaikan kedudukan Raja-Raja Melayu di negara ini.

” Pakatan Rakyat setuju dengan apa yang termaktub dalam Perlembagan Negara termasuk Hak Istimewa Orang Melayu, dan kedudukan agama Islam dan Raja-Raja Melayu sebagaimana ditegaskan oleh Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail pada Kongres PKR di Shah Alam, baru-baru ini.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil. 16, 14 - 20.12.2008

No comments:

Post a Comment

KOMEN ANDA