ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Saturday, November 8, 2008

CINCIN RAJA KAYU JADI REBUTAN PELOBI POLITIK?

CINCIN RAJA KAYU JADI REBUTAN PELOBI POLITIK?

KUANTAN – Cincin berpermatakan teras kayu Kempas yang terkenal dengan gelaran Raja Kayu semakin menjadi popular dan dicari-cari oleh pelobi-pelobi politik terutama di kalangan orang-orang UMNO dalam persiapan mereka menjadi pelobi politik yang ampuh menjelang Perhimpunan Agung UMNO Mac depan.

Difahamkan mereka sanggup membayar antara RM300 dan RM1,500 bagi sebentuk cincin berpermatakan raja kayu, kerana percaya sesiapa yang memakai cincin berkenaan, cakap-cakap atau bujukan pemiliknya dapat melembutkan hati sesiapa saja yang mendengar omongannya.

Disamping cincin raja kayu, ianya perlu dipakai bersama dengan cincin berpermatakan teras kemuning hitam kerana khasiat kayu kemuning hitam boleh menjadi penawar racun atau terhindar dari anasir-anasir ilmu hitam, disamping pemiliknya mampu meningkatkan tenaga batin.

Perkara ini mula menjadi tajuk perbualan pelobi-pelobi politik di sini bila mana tersiar dalam internet di Bernama Online pada 24 Oktober lalu yang mengisahkan kenyataan tukang cincin, Badrulhisham Abdullah, 43, dipetik sebagai berkata, kayu yang diberi nama Raja Kayu mempunyai keajaiban yang boleh dibuktikan "in situ" di hadapan para pembeli kayu atau cincinnya.

Menurut Badrulhisham, hebat tidak hebatnya kayu dari hutan di Tanah Melayu ini, perhatikan saja masyarakat Orang Asli yang jarang jatuh sakit sedangkan mereka tinggal di hutan. Kayu dan akar dari hutan kitalah yang memberikan mereka segala keajaiban dan ubat-ubatan.

Menurut artikel Bernama Online itu lagi, keajaiban Raja Kayu itu apabila cahaya dari lampu suluh mampu menembusi kepingannya yang agak tebal sedangkan ujian yang serupa gagal apabila dibuat ke atas kayu lain yang lebih nipis termasuk Kokka.

Raja Kayu juga membuktikan keistimewaannya yang tersendiri apabila penulis artikel berkenaan meletakkan Raja Kayu bersaiz satu sen (sangat ringan) ke dalam air, ia akan tenggelam seperti batu.

Ujian ketiga dibuat apabila serbuk Raja Kayu digosokkan ke lengan seorang pelanggan, serbuk kayu dari Raja Kayu yang boleh bertindak sebagai ubat itu digosok dengan perlahan sehingga serbuk itu meresap ke dalam kulit pelanggan itu, perkara yang tidak mungkin berlaku pada serbuk kayu lain

Semasa Wartawan Mingguan Watan membuat tinjauan beberapa hari di Taman Kerang yang terletak di tengah-tengah bandar Kuantan mendapati penjual-penjual cincin mula memberitahu bahawa permata yang dibuat dari Raja Kayu memang dicari-cari oleh orang-orang yang sebelum ini bukan pengunjung biasa ke lokasi berkenaan.

Menurut mereka, tidak ramai tukang cincin yang berjualan ada menjual cincin berpermatakan Raja Kayu, dan jika adapun terus dibeli oleh pembeli yang tidak dikenali tanpa membuat sebarang tawar-menawar menyebabkan penjual-penjual cincin di sini menghubungi rakan-rakan mereka di Terengganu, Kelantan, Perak dan Kedah untuk datang berjualan di sini.

Seorang penjual cincin yang mahu dikenali dengan panggilan Pak Leman Tahi Besi, kerana beliau penjual batu cincin yang dibuat dari batu Tahi Besi yang khabarnya juga amat berkhasiat jika dibuat cincin, iblis dan syaitan akan menjauhi pemakainya,

Kata Pak Leman, apabila beliau bertanya kenapa mencari cincin raja kayu, mereka mengatakan sesiapa yang memakai cincin berpermatakan raja kayu, kebal dari dibakar oleh api disamping air rendaman cincin berkenaan boleh menawarkan pelbagai penyakit aneh.

Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.11, 9 - 15 November 2008

1 comment:

KOMEN ANDA