ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Wednesday, March 11, 2009

Pertahan resipi kekuatan Melayu


Pertahan resipi kekuatan Melayu

Beta bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya, beta dan Raja Puan Besar dapat berangkat ke majlis pelancaran buku The Malays hasil kajian Profesor Anthony Milner, Profesor of Asian History, Australian National University.
Majlis pagi ini memaparkan lima elemen yang amat signifikan.
Pertama: The Malays' dihasilkan dalam bahasa Inggeris oleh seorang ahli akademik Australia, pelancarannya dilangsungkan dalam bahasa yang memberikan penghormatan kepada bahasa Melayu, bahasa yang termaktub dalam Perlembagaan negara sebagai bahasa kebangsaan.
Perjuangan menobatkan bahasa Melayu telah melalui perjalanan yang jauh dan memakan masa yang lama. Raja-Raja Melayu dalam mesyuarat Durbar pada 1903 di Kuala Lumpur telah membangkitkan soal pengiktirafan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Usaha menobatkan bahasa Melayu mencapai kemuncak apabila bahasa Melayu dilaksanakan sepenuhnya menjadi bahasa ilmu di pusat-pusat pengajian tinggi dan menjadi lengkap apabila terlaksana penggunaannya di kamar mahkamah di negara ini.
Dalam ucapan di Malam Teguh Bahasa pada 11 September 2005, Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein mengingatkan, daripada 6,000 bahasa yang dipertuturkan, hanya 300 sahaja yang dituturkan oleh lebih sejuta orang, 5,700 bahasa dituturkan oleh kurang daripada sejuta orang. Dijangkakan separuh dari 5,700 bahasa ini akan pupus dalam tempoh seabad lagi kerana tidak dipertuturkan dan tidak diajar kepada golongan muda.
Sejarah menunjukkan, untuk sesuatu bahasa itu pupus, ia mengambil masa antara 50 ke 100 tahun, tetapi dengan keganasan gelombang globalisasi, kadar kebinasaan bahasa boleh berlaku dalam tempoh satu generasi sahaja. Bahawa globalisasi boleh mempercepatkan kepupusan bahasa, jika langkah-langkah bijak lagi tegas tidak dilakukan untuk memastikan bahasa milik bangsa Melayu ini tidak akan berakhir dengan nasib yang menimpa bahasa Latin.
Kedua: Majlis pelancaran ini dilangsungkan di Universiti Kebangsaan Malaysia; sebuah universiti yang dilahirkan sebagai puncak manifestasi perjuangan memartabatkan bahasa Melayu. Universiti Kebangsaan merupakan universiti pertama yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penyampaian ilmu di peringkat pengajian tinggi, sekali gus membuktikan keupayaan bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa perantaraan ilmu.
Universiti Kebangsaan adalah manifestasi kesungguhan negara bangsa melaksanakan Dasar Bahasa Kebangsaan dan melaluinya, telah membantu meningkatkan tahap pencapaian ilmu di kalangan rakyat jelata, berupaya menjadi cerdik pandai di samping mengembangkan daya intelek di kalangan warga.
Ketiga: Walaupun bilangan orang Melayu di Malaysia hanya dalam lingkungan 15 juta orang, kurang dari 0.5 peratus daripada jumlah 350 juta orang yang tergolong dalam rumpun Melayu, namun Profesor Anthony Milner telah memberikan pengiktirafan kepada bumi Melayu di negara yang bernama Malaysia ini untuk dilangsungkan pelancaran The Malays. Halaman 151, The Malays, mencatatkan:
Although Malaya (and its expanded form Malaysia) has in many ways been the 'Malay' success story -- an experiment in nation building founded (at least in large part) on 'Malay' ethnic sentiment -- this outcome was not inevitable.'' Anthony Milner, The Malays, muka surat 151.
Milner turut merakamkan antara peristiwa yang memperlihatkan keyakinan rumpun Melayu terhadap kepimpinan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) seperti yang terkandung di halaman 168.
"Some 250,000 people signed a petition to the United Nations with the aim of incorporating Pattani and other southern Muslim provinces (Yala, Nrathiwat and Satun) in the emerging Malaya.'' Anthony Milner, The Malays, muka surat 168.
Huraian dan analisis Milner dalam penerbitan beliau sebahagian besarnya ditumpukan kepada Malaysia, serta dinamik politik yang berlaku di Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang komposisi warganya terdiri daripada pelbagai agama, kumpulan etnik dan budaya tetapi termaktub di dalam Perlembagaan negara status agama Islam, bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu serta keistimewaan dan perlindungan kepada bangsa Melayu.
Keempat: Pengiktirafan yang diberikan oleh Profesor Anthony Milner kepada Kesultanan Melayu apabila beliau merafakkan sembah jemputan kepada beta untuk berangkat bagi melafazkan titah menyempurnakan pelancaran The Malays'. Beta mentafsirkan, pengiktirafan tersebut adalah pengiktirafan beliau, bukan atas batang tubuh peribadi beta, tetapi pengiktirafan yang didedikasikan kepada institusi Kesultanan Melayu. Ini adalah selaras dengan kupasan-kupasan kajian beliau akan peranan penting Raja-Raja dan Kerajaan di kalangan rumpun Melayu. Di halaman 233, Anthony Milner mencatatkan:
"The Sultan could be presented as 'cement' helping to bond the bangsa, or as the 'symbol' of the Malay race." Anthony Milner, The Malays, muka surat 233.
Di halaman 177, Anthony Milner turut memetik tulisan Wan Syaifuddin pada tahun 2003, berjudul Kronik Mahkota Kesultanan Serdang terbitan Yandira Agung, Medan.
"One prominent development in post-Suharto Indonesia has been a widespread revival of sultanates, including many described as 'Malay'. Among these are Landak, Mempawah, Puntianak and Sambas (West Kalimantan); Bulungan, Kutei, and Pasir (East Kalimantan); and Serdang (north Sumatra). There is even a new interest in the Pagaruyung monarchy.... The Sultan of Mempaweh in Kalimantan is reported to have declared that in times of uncertainty, 'Dayaks' run to the long house but 'Malays' run to the palace;.... Anthony Milner, The Malays, muka surat 177.
Milner turut memetik manuskrip tulisan Gerry van Klinken, bertajuk Return of the Sultans: The Communitarian Turn in Local Politics.
"The Sultans have formed a 'Communication Forum for the Kratons (royal palaces) of Indonesia...'' Anthony Milner, The Malays, muka surat 177.
Beta menghargai pendirian Profesor Anthony Milner mengiktiraf bahawa Raja Melayu itu adalah institusi penting warisan bangsa Melayu. Sesungguhnya sejarah mencatatkan Istana Raja Melayu itu berperanan sebagai pusat berkembangnya tamadun bangsa. Istana memperlihatkan sehalus budaya - mencerminkan secantik bahasa, melindungi khazanah tamadun bangsa - menyimpan kekayaan budaya bangsa.
Raja Melayu itu adalah lambang kedaulatan negara - simbol kekuatan warga - payung mahkota negara tempat rakyat tumpang berteduh. Raja Melayu itu memberi identiti kepada negara bangsa. Raja itu adalah lambang Kerajaan. Rakyat yang memahami 'budaya rakyat beraja - negeri bersultan' memahami akan falsafah pemerintahan beraja, akan peranan Raja secara tersirat di sebalik yang tersurat, melindungi kepentingan bangsa Melayu.
Dalam puisi Korban Hang Tuah penyair Zurinah Hassan cuba menyelami gelombang serba salah yang menghempas dada Hang Tuah ketika terpaksa membuat perhitungan untuk memilih antara kesetiaan kepada sahabat dan kesetiaan kepada Raja. Hang Tuah akhirnya terpaksa memilih, mengorbankan sahabat kesayangannya walaupun dituduh melakukan kesetiaan melulu. Zurinah menghuraikan Hang Tuah sebenarnya tidak sekadar membunuh Hang Jebat tetapi menentang satu penderhakaan - menentang perebutan kuasa. Bagi Zurinah, Hang Tuah bukan bukan sekadar mempertahankan seorang Raja tetapi mempertahankan lambang negara kepada sebuah kerajaan demi memastikan bahawa Melayu tidak akan hilang di dunia. Tanpa kerajaan apalah ertinya lagi sebuah negara.
Milner mencatat, kerajaan-kerajaan berpaksikan Melayu itu adalah kerajaan yang mempunyai raja baik di Riau, Lingga, Deli, Siak, Langkat, Kampar dan Inderagiri di Sumatera begitu juga di negeri-negeri Kutei, Bulangan, Puntianak, Landak, Mempawah dan Sambas di Kalimantan. Di Persekutuan Tanah Melayu, Raja-Raja Melayu diiktiraf bukan sahaja menjadi asas berkerajaan malah terlibat langsung dalam gerakan menentang Malayan Union. Demikian juga berperanan penting dalam usaha memperjuangkan dan mencapai kata sepakat menuntut kemerdekaan. Kesembilan Raja Melayu memberikan perkenan untuk ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu dan turut berkenan untuk dilantik salah seorang daripada baginda-baginda itu menjadi Ketua Negara secara bergilir-gilir dengan gelaran Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.
Kelima: Karya Anthony Milner menimbulkan semula catatan-catatan sejarah tentang bangsa Melayu di samping mengemukakan penemuan-penemuan baru. Profesor Milner dalam tahun 1982 telah menghasilkan penerbitan berjudul "Kerajaan: Malay Political Culture On The Eve of Colonial Rule" dan pada tahun 1995 menghasilkan penerbitan berjudul "The Invention of Politics in Colonial Malaya''. Bibliografi yang disenaraikan oleh Milner memperlihatkan senarai panjang, kumpulan penyelidik, pengkaji dan penulis tentang bangsa Melayu.
Beta percaya terdapat banyak lagi bahan penyelidikan dan penulisan tentang bangsa Melayu yang telah, sedang dan akan terus dilakukan. Minat di kalangan bukan Melayu melakukan penyelidikan terhadap bangsa Melayu memperlihatkan bahawa Melayu itu adalah satu bangsa yang sentiasa mendapat perhatian dari pelbagai pihak.
Definisi "Melayu" itu tidak terhenti daripada terus menjadi bahan diskusi dan subjek kajian. Definisi bangsa Melayu itu tidak terbatas kepada satu definisi sahaja. Tergabung dalam rumpun Melayu itu himpunan kekayaan pelbagai suku keturunan yang juga menguasai pelbagai dialek dan pelbagai subbudaya.
Alam Melayu itu merentasi kawasan geografi yang luas dari Filipina ke Madagascar, dengan saiz komuniti berjumlah 350 juta. Melalui perdagangan dan penghijrahan, rumpun Melayu itu turut merentasi kawasan geografi yang luas, mengembara jauh di luar gugusan kepulauan Melayu.
Terdapat pelbagai deskripsi menggambarkan watak Melayu. Melayu digambarkan bangsa yang bertoleransi, penuh beradat - sangat bersopan, juga digambarkan suka melatah, mudah mengamuk. Dalam hikayathikayat lama dan cerita-cerita rakyat, terkandung pula sifat-sifat dendam, khianat, dengki, menipu, zalim, bodoh dan malas yang diimbangkan pula dengan sifat-sifat mulia, adil, ikhlas, jujur, cerdik, rajin, tekun, taat dan setia.
Jika demikian pelbagai deskripsi tentang bangsa Melayu ini, rumusan yang dapat disimpulkan ialah bangsa Melayu itu adalah insan yang bernama dan bersifat manusia, kerana sifat dan karakter manusia yang pelbagai itu, terdapat di kalangan semua bangsa dan tamadun lain, baik di Barat mahupun di Timur.
Gugusan kepulauan Melayu itu berada di antara dunia barat dan dunia timur, demikian juga antara Asia barat dan Asia Timur. Ia merupakan gugusan yang amat terdedah kepada dunia. Pelbagai agama, budaya dan bahasa sampai ke gugusan kepulauan Melayu, lalu berlaku proses integrasi dan asimilasi pengaruh daripada pelbagai agama, budaya dan bahasa. Bahasa Sanskrit dan Arab sebagai contoh telah mempengaruhi pemikiran dan tahap literasi bangsa.
Perkataan daripada bahasa-bahasa Parsi, Mandarin, Tamil dan Portugis, turut terdapat dalam perbendaharaan kata Melayu. Pengaruh bahasa Inggeris begitu dominan, susulan daripada pengembangan sistem pendidikan serta kemajuan sains dan teknologi.
Ini telah mempengaruhi Bahasa Melayu itu berubah secara dinamik dengan perbendaharaan kata yang semakin bertambah. Bahasa Melayu telah melalui proses transformasi, berasal dengan bahasa lisan, diperkaya dan diperkembangkan melalui adaptasi penulisan, bermula dengan tulisan jawi, disusuli dengan tulisan rumi. Perkembangan bahasa Melayu itu telah berperanan penting dalam meningkatkan daya intelek dan daya analisis bangsa.
Demikian juga proses penyerapan, pengubahsuaian, percantuman yang berlaku dalam budaya Melayu. Nyatalah Melayu sebagai satu rumpun bangsa, sebagai satu budaya kehidupan, tidak statik. Rumpun Melayu itu berupaya melakukan adaptasi kepada dinamik yang berlaku di persekitaran kehidupannya dan berupaya melakukan perkasaan sosial dan penyesuaian ideologi. Namun bangsa itu juga secara bijaksana berupaya mempertahankan identiti asas bangsanya, secara bijaksana berupaya mengimbangkan antara yang lama dengan yang baru, antara tradisi dan modenisasi, antara lokal dan global. Bangsa Melayu yang memiliki jati diri yang tinggi telah berjaya melakukan perubahan tanpa melupakan tradisi dan nilai kesinambungan.
The Malays memetik dan mengulas kata-kata hikmat pesanan Hang Tuah, "Tak kan Melayu Hilang Di Dunia". Kemudian mencatatkan peringatan Munsyi Abdullah bahawa survival bangsa sebenarnya bergantung pada pelajaran, dan merakamkan kebimbangan Ishak Haji Mohamad bahawa "Melayu itu boleh hilang di dunia".
Berlaku pertentangan ungkapan antara pahlawan Melayu bernama Hang Tuah dan nasionalis Melayu bernama Ishak Haji Mohamad, di tengah-tengah peringatan seorang Munsyi bernama Abdullah.
Sewaktu menyampaikan titah di International Conference on Malay Civilization pada 30 September 2002, beta pernah memajukan persoalan menyentuh perkembangan antara tuntutan tradisi (claims of tradition) dan permintaan terhadap kemodenan (demands of modernity) dalam masyarakat pada hari ini. Dikatakan bahawa budaya yang progresif menekankan kepada masa depan sementara budaya yang statik menekankan sejarah lama dan suasana semasa.
Peringatan beta, jangan bangsa sampai ke peringkat keterlaluan. Bahawa tidak semua yang berbentuk tradisi itu menghalang kemajuan kerana tradisi yang berjaya ditafsir secara bijak dan dilaksanakan secara arif dapat berfungsi sebagai pemudah cara memajukan bangsa. Bahawa elemen-elemen yang berperanan sebagai faktor penyatuan bangsa selama hari ini, adalah modal sosial yang amat berharga yang wajib dipertahankan.
Dalam konteks bangsa Melayu di Malaysia, elemen-elemen tersebut terdiri daripada faktor-faktor agama, bahasa dan budaya yang berada di bawah payung naungan dan perlindungan Raja-Raja Melayu mengikut yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara. Klausa-klausa menyentuh agama Islam, institusi Raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu dimaktubkan di dalam Perlembagaan Negara.
Takrif bangsa Melayu diperkemas, diikat dengan adat, disimpul dengan bahasa, disalut dengan agama. Itulah resipi kekuatan Melayu di bumi ini. Hari ini telah timbul usaha-usaha radikal daripada kalangan yang tidak mendalami muslihat di sebalik yang tersirat yang mahu mengubah resipi tersebut.
Survival Melayu sebagai satu bangsa bergantung kepada beberapa faktor yang telah selama hari ini memberikannya identiti dalam bentuk agama, bahasa dan budaya, termasuk budaya bernegara dan berkerajaan berpegang kepada prinsip rakyat beraja - negeri bersultan.
Betapa malangnya bangsa apabila berlakunya tindakan-tindakan yang mahu menghapuskan tradisi dan meruntuhkan institusi Melayu. Betapa terancamnya survival bangsa apabila tradisi dan institusi sudah tidak lagi dihormati dan disifatkan sebagai antitesis kepada pemikiran rasional, modeniti dan sains. Betapa malangnya apabila generasi yang cetek terhadap latar belakang sejarah mengaitkan 'tradisi' sebagai amalan jahiliah, tahyul dan dogmatik.
Bahawa tidak ada tamadun agung yang dapat dibina tanpa menghargai, mengiktiraf dan meneruskan kesinambungan tamadun dengan sejarah masa lalu - merangkaikan antara satu generasi dengan generasi yang lain, mengkhazanahkan himpunan pengalaman dan pengetahuan bangsa untuk dijadikan "memori sosial" bangsa lalu dijadikan asas utama dalam membina identiti sebuah negara bangsa.
Setiap negara bangsa memerlukan minda sejarah dan penghargaan terhadap sejarah yang telah membina tamadun bangsa dan memberikan identiti kepada bangsa. Negara China sebagai contoh telah melalui proses evolusi dan juga revolusi budaya yang hebat, dari sebuah negara Maharaja menjadi negara komunis. Tetapi memori sosial dan memori budaya bangsa China tidak terpadam. Acara pembukaan Sukan Olimpik Beijing 2008, memperlihatkan bukti kebanggaan satu bangsa terhadap sejarah dan tamadun zaman silamnya.
Dalam mengharungi gelombang globalisasi dan dalam menghadapi dinamik politik yang sedang berlaku di negara ini, bangsa Melayu berada di persimpangan jalan - bangsa Melayu menghadapi dua kemungkinan. Kemungkinan pertama, bangsa Melayu itu akan terus survive, berkembang dan kuat, serta dihormati dan diiktiraf sebagai rumpun bangsa yang agung di dunia global, atau kemungkinan kedua, barang dijauhkan AIlah daripada berlaku, bahawa bangsa Melayu itu akan hanyut dalam gelombang globalisasi, menjadi lemah kerana akar budaya dan tradisinya telah dicabut.
Pemikiran, gaya hidup dan nilai-nilai budaya bangsa makin disisihkan. Akhirnya Melayu itu akan pupus dan tinggal sebagai nama dan cerita yang terkandung dalam hikayat-hikayat lama.
Ketika itu tidak akan ada lagi minat untuk dilakukan kajian sosiopolitik dan sosioekonomi bangsa Melayu secara dinamik. Kalau masih ada yang berminat mengkaji bangsa Melayu, ia mungkin terbatas kepada sejarah kejatuhan bangsa ini ataupun lebih tertumpu kepada aspek antropologi dan arkeologi bangsa Melayu yang hanya tinggal dalam sejarah. Untuk itu perlulah bangsa mengambil renungan akan kisah kebodohan Pak Kaduk, memiliki ayam sabung yang hebat, lalu dipermainkan oleh pihak lawan; akhirnya Pak Kaduk menyerahkan ayam sabungnya kepada lawan; Pak Kaduk sekadar bersorak menang sabung sedangkan kampungnya telah digadai.
Beta menzahirkan ucap tahniah kepada Profesor Anthony Milner atas daya usaha melakukan kajian mendalam dan komprehensif. Penemuan dan kupasan beliau pastinya akan menjemput pelbagai ulasan dan diskusi untuk mencambahkan perkembangan ilmu dan perkembangan intelek. Usaha-usaha beliau sewajarnya diberikan penghargaan oleh bangsa Melayu, paling minimumnya menjadikan The Malays sebagai teks yang wajib dirujuk oleh para pelajar sosiopolitik Melayu.
Dengan kebesaran dan semoga mendapat keberkatan kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, beta dengan sukacitanya merasmikan pelancaran buku The Malays.

Monday, March 9, 2009

PPSMI: GMP Nafi Didalangi Pihak Tertentu



KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP) menafikan didalangi pihak tertentu termasuk pembangkang dalam usaha gerakan itu membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad berkata apa yang berlaku pada perhimpunan membantah PPSMI Sabtu lepas adalah di luar bidang kuasa GMP dan "GMP menganggap mereka yang datang adalah untuk menyatakan sokongan mereka".

"Tiada dalang di sebalik apa yang berlaku, kami bukan wayang kulit yang dimainkan oleh tukang cerita...yang datang (berhimpun) sebagai penyokong, saya tak mahu dikatakan boneka, ia seperti menghina (saya)," katanya pada sidang akhbar di Rumah Pena di sini, hari ini.

Hassan berkata demikian bagi mengulas mengenai kenyataan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam bahawa perhimpunan Sabtu lepas didalangi pembangkang berdasarkan penyertaan beberapa pemimpin mereka pada demonstrasi jalanan itu.

Perhimpunan anjuran GMP yang asalnya bertujuan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong turut disertai beberapa pemimpin pembangkang termasuk Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, selain segelintir peserta perarakan yang dilihat memakai pakaian dan membawa logo beberapa parti pembangkang.

Hassan berkata gerakan itu bukan sebuah gerakan yang berunsurkan politik malahan mempunyai prinsip asas iaitu mengembalikan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia.

Sehubungan itu, GMP akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam masa terdekat sebelum Perhimpunan Agung Umno hujung bulan ini bagi menjelaskan pendirian gerakan itu sebagai sebuah jawatankuasa yang aman.

"Kami mahu Pak Lah selesaikan isu PPSMI segera sebelum isu ini jadi lebih berat, kami berniat baik dalam memperjuangkan prinsip mahu mengembalikan dasar lama yang tiada masalah dalam sistem pendidikan negara.

"Kita tidak menentang penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu tetapi ingin menuntut apa yang termaktub di dalam Perlembagaan iaitu Bahasa Malaysia sebagai bahasa yang menyatu-padukan rakyat yang berbilang kaum di negara ini," katanya.

Beliau berkata apa yang patut dilakukan kerajaan ialah mengembalikan pengajaran mata pelajaran itu dalam Bahasa Melaysia di sekolah kebangsaan dan bahasa ibunda Mandarin dan Tamil di Sekolah Jenis Kebangsaan selain meningkatkan kualiti Bahasa Inggeris di kalangan guru dan pelajar.

Pelaksanaan PPSMI sejak tahun 2003 telah mencetuskan kontroversi dan perdebatan, dan kebelakangan ini ia berkisar mengenai rasional sama ada dasar itu patut diteruskan atau sebaliknya termasuk ahli akademik serta sasterawan menyertai ahli politik dalam menyuarakan bantahan mengenai penerusan dasar itu.

-- BERNAMA

Saturday, March 7, 2009

Selesai segera isu PPSMI


Selesai segera isu PPSMI
Oleh Zulkofli Jamaludin dan Anwar Hussin
bhnews@bharian.com.my

PM jamin ambil kira desakan rakyat

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu Kementerian Pelajaran mengambil keputusan segera berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bagi mengelakkan isu lebih besar tercetus.

Perdana Menteri berkata, kerajaan menyedari ada desakan kuat daripada rakyat, khususnya orang Melayu supaya isu PPSMI diselesaikan segera.
"Isu PPSMI ini sudah menjadi isu yang besar dan sensitif. Kerajaan mengakui desakan rakyat dan mengambil perhatian terhadapnya.

"Saya berharap Kementerian Pelajaran mengambil keputusan segera kerana jika tidak, tekanan dan tindakan NGO (badan bukan kerajaan) akan berterusan dan menjadi lebih besar lagi," katanya pada sidang media selepas melancarkan novel fantasi Dragonfire Hammer karya penulis muda berusia 14 tahun, Adam Umemoto, di sini semalam.

Petang semalam, perhimpunan membantah pelaksanaan PPSMI di ibu kota yang disertai ribuan penyokong, bertukar kecoh apabila kumpulan berkenaan berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan, walaupun Polis Kuala Lumpur sebelum ini hanya membenarkan mereka berkumpul di Masjid Negara.
Kumpulan terbabit yang pada awalnya berkumpul di perkarangan masjid berkenaan, Pasar Seni dan Kompleks Sogo, untuk mengadakan bantahan secara aman, mengingkari arahan polis dengan berarak beramai-ramai ke arah Istana Negara.

Bagaimanapun, selepas keadaan terkawal, Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said serta beberapa ahli jawatankuasa lain, dibenar menyerahkan memorandum itu kepada wakil Istana Negara.

Abdullah berkata, Kementerian Pelajaran sudah menemui beberapa NGO berhubung isu berkenaan, tetapi beliau difahamkan kementerian belum bersedia mengumumkan keputusan yang akan diambil.

Katanya, kajian mengenai pelaksanaan PPSMI sudah dilakukan Kementerian Pelajaran, termasuk mengambil kira keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
"Saya percaya keputusan peperiksaan itu akan memberi asas kepada Kementerian Pelajaran untuk membuat keputusan. Saya percaya keputusan itu akan mengukuhkan kepentingan rakyat dan masa depan kita," katanya.

Sementara itu, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kertas Kabinet PPSMI sudah siap untuk dibawa kepada Jemaah Menteri dengan menjurus melihat dasar pelaksanaan di peringkat sekolah rendah dan kawasan luar bandar.

"Pandangan mereka (pakar pendidikan dan pencinta bahasa) yang sudah diluahkan pada sesi meja bulat dan melalui memorandum, adalah pandangan yang boleh dan sudah kita ambil kira.

"Sekali lagi menjadi tanda tanya, mengapa enam tahun selepas pelaksanaannya baru hendak buat laporan polis dan mempertikaikan perkara ini dalam konteks Perlembagaan. Selepas enam tahun baru hendak buat perhimpunan," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak memberitahu bila kertas Kabinet itu akan dibincangkan Jemaah Menteri.

Hishammuddin berkata, apa pun keputusan Kabinet, pelaksanaannya hanya boleh dilakukan tahun depan bermula dengan murid Tahun Satu.

Beliau berkata, pihak yang terbabit membangkitkan isu PPSMI perlu berhenti seketika melihat keadaan sebenar yang berlaku di negara ini dan tanya siapa sebenarnya menimbulkan isu berkenaan.

Kekecohan mungkin didalangi pihak ketiga – GMP
Utusan Malaysia/8.3.09

KUALA LUMPUR 7 Mac - Kekecohan yang berlaku ketika perhimpunan membantah dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di ibu negara hari ini kemungkinan dicetuskan oleh pihak ketiga.

Pengerusi Gerakan Memansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Dr. Hassan Ahmad berkata, perarakan itu tidak dijangka kerana perjanjian awal dengan polis ialah mereka dibenarkan berhimpun di Masjid Negara tetapi bukan untuk berarak ke Istana Negara.

"Saya dan tujuh wakil lain sepatutnya diiringi polis untuk menyerahkan memorandum itu di Istana Negara. Tetapi orang muda tetap hendak berarak. Jadi mereka pun beraraklah.

"Mereka faham, mengikut perjanjian dengan polis sepatutnya tidak boleh berarak. Apa yang jadi, itulah (insiden) yang jadi. Ada orang kata ia provokasi pihak lain. Saya tidak tahu. Tetapi itu mungkin," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Istana Negara di sini petang ini.

Menurut Hassan, polis telah memberi layanan yang baik kepadanya sepanjang proses penyerahan memorandum itu.

Dalam pada itu, insiden hari ini sudah pasti terpahat dalam hati Sasterawan Negara Datuk A Samad Said buat selama-lamanya.

Ini kerana A. Samad merupakan antara mereka yang terkena gas pemedih mata yang dilepaskan pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) untuk menyuraikan kira-kira 5,000 penyokong PPSMI.

"Saya kena dekat hidung, mata dan juga kena tolak. Rupanya begini caranya untuk menyelamatkan bahasa.

"Ini merupakan kali pertama saya terkena gas pemedih mata dan ia mungkin akan berlaku lagi kerana saya akan terus memperjuangkan misi membantah PPSMI selagi kerajaan tidak memansuhkannya," kata penasihat gerakan itu.

Thursday, March 5, 2009

Kepemimpinan Najib bakal corak masa depan negara


Kepemimpinan Najib bakal corak masa depan negara
Oleh Abdul Rahman Sulaiman/ Berita Harian 5.3.2009

Pengalaman dimiliki Timbalan Perdana Menteri dijangka bantu hadapi ancaman kemelesetan, masalah politik

JIKA tiada aral merintang, insya-Allah Datuk Seri Najib Razak akan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri selepas Perhimpunan Agung Umno hujung bulan ini. Timbalan Perdana Menteri itu akan mengambil alih jawatan daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mengetuai kerajaan sejak Oktober 2003.

Pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam adalah kemuncak kepada satu pelan peralihan rapi yang diputuskan oleh kedua-dua pemimpin berkenaan dengan persetujuan Majlis Tertinggi Umno kira-kira 10 bulan lalu.

Sebelum itu, Najib yang juga calon tunggal mengisi jawatan Presiden Umno berikutan keputusan Abdullah tidak mempertahankan jawatan, akan diumumkan secara rasmi sebagai memenangi kerusi Presiden secara tidak bertanding. Perhimpunan Agung Umno tahun ini dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 28 Mac ini.

Seperti yang terbukti setakat ini, semua rancangan yang dipersetujui dalam pelan peralihan kuasa itu berjalan dengan lancar dan teratur sesuai dengan tradisi Umno dan adat istiadat orang Melayu, walaupun ada percubaan untuk menggelincirkannya oleh pihak tertentu, terutama pembangkang.

Antara usaha yang dijalankan untuk menggagalkan pelan peralihan kuasa itu ialah penyebaran pelbagai teori serta khabar angin kononnya Abdullah mengubah fikiran dan ingin terus kekal memimpin kerajaan.
Beberapa siri kekacauan seperti protes jalanan oleh golongan tertentu akhir-akhir ini juga dipercayai sebagai sebahagian daripada usaha terancang untuk menggagalkan pelan berkenaan.

Mujurlah ahli Umno dan sebahagian besar orang ramai tidak mudah termakan dengan dakyah itu yang tujuannya tidak lain dan tidak bukan semata-mata melemahkan kerajaan dengan menghakis keyakinan orang ramai terhadap Najib dan merosakkan kredibiliti Perdana Menteri.

Abdullah pasti dapat menghidu niat tidak baik di sebalik permainan politik ini, sehingga beliau terpaksa membuat penjelasan secara umum.

Beliau memberitahu pemberita di Hua Lin, Thailand, baru-baru ini bahawa tiada apa-apa yang berubah mengenai pelan peralihan kuasa yang dipersetujui itu.
Malah, Abdullah menegaskan beliau tetap berpegang pada rancangan untuk menyerahkan jawatannya kepada timbalan beliau selepas pemilihan Umno hujung bulan ini.

Katanya, soal mengubah pelan berkenaan tidak timbul kerana persetujuan sudah dibuat oleh beliau untuk menyerahkan kuasa.

Dengan penjelasan Abdullah itu, orang ramai terutama anggota Umno serta kakitangan kerajaan tidak akan lagi mempercayai cakap-cakap kosong yang disebarkan di seluruh negara yang jika dibiarkan tentu boleh menjejaskan kestabilan politik, sekali gus mengekang usaha menangani krisis ekonomi global yang turut melanda negara sekarang.

Sebaliknya, seluruh tumpuan perlu diberikan kepada usaha mengurangkan tekanan yang dihadapi dalam kehidupan harian akibat krisis sekarang.

Kalau boleh tumpuan dan masa yang kini nampaknya begitu banyak diberikan terhadap soal politik patut dikurangkan untuk memberi peluang kepada usaha menangani krisis ekonomi.

Pelbagai petunjuk mutakhir ekonomi yang dikeluarkan setakat ini tidak memberikan isyarat yang menggalakkan bagi ekonomi negara untuk tahun ini dan tahun depan. Kerajaan yang menyedari hakikat itu mengambil pelbagai langkah untuk mengurangkan beban rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan kurang mampu dalam menghadapi zaman sukar ini.

Antara lain, pakej rangsangan bernilai RM7 bilion dilancarkan Julai lalu untuk menggerakkan pertumbuhan.

Minggu depan satu lagi stimulus yang bernilai lebih besar dalam bentuk 'bajet mini' akan dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan di Dewan Rakyat.

Seperti yang dijelaskan, semua langkah rangsangan ekonomi yang diperkenalkan itu bertujuan untuk mengurangkan beban rakyat, bukan untuk sama sekali mengelakkan mereka daripada terjejas daripada krisis sekarang.

Tidak siapa mampu mengelakkan diri sama sekali daripada krisis sekarang kerana ia adalah fenomena global yang menimpa hampir semua negara di dunia. Tiada siapa yang boleh meramalkan secara tepat bila krisis ini akan berlalu dan rakyat dapat hidup seperti sedia kala.

Sebagai sebuah negara kecil yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia cuma mampu untuk bertahan dan berharap agar keadaan kembali normal secepat mungkin.

Najib yang akan mengambil alih sebagai ketua kerajaan menyedari hakikat ini. Beliau juga menyedari bahawa beliau akan mengambil alih ketika negara berada dalam situasi paling sukar dalam sejarah kewujudannya.

Paling ketara ialah beliau akan dibebani dengan pelbagai masalah yang belum selesai – daripada masalah ekonomi sehinggalah kepada masalah politik, sosial, keselamatan dan sebagainya.

Untuk itu, beliau sudah menyiapkan diri sebaik mungkin untuk melaksanakan amanah yang berat itu. Menurut pegawai yang rapat dengan beliau, sejak beberapa bulan lalu, Najib berkerja cukup keras sehingga kadang-kadang tidak tidur sehingga subuh.

Beliau menghabiskan masa yang ada untuk berbincang dengan pegawai, pakar, perunding dan kawan-kawan di samping membaca pelbagai laporan dan cadangan.

Oleh kerana sering tidur lewat ini, untuk beberapa ketika beliau diserang selesema.

Semua pihak, tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum boleh menyumbang ke arah memperbaiki keadaan sekarang dengan tidak banyak menimbulkan masalah kepada kerajaan.

Paling tidak, Najib sebagai Perdana Menteri perlu diberikan peluang untuk mengeluarkan negara daripada kemelut ekonomi dan politik yang dihadapi sekarang.

Semua ini bukan untuk Najib, Umno, Barisan Nasional atau kerajaan. Ia adalah untuk negara dan seluruh penduduk yang tinggal di dalamnya.

Penulis adalah bekas Ketua Pengarang Bernama

Sunday, March 1, 2009

Pelaksanaan PPSMI ganggu Perlembagaan, cendekiawan Melayu tak dipeduli: Gapena


Pelaksanaan PPSMI ganggu Perlembagaan, cendekiawan Melayu tak dipeduli: Gapena

Berita Minggu/1.3.2009

Page anggap serampang dua mata mempertingkatkan bahasa saintifik dedahkan anak kepada bahasa Inggeris perbualan

Pandangan Gapena

KENAPA Gapena menentang pelaksanaan PPSMI?
Kita menolak dan menentang sejak dulu tetapi tidak mendapat perhatian. Jika tanya saya, memang saya bantah, malah ramai cendekiawan Melayu termasuk yang popular seperti Profesor Emeritus Abdullah Hassan; Profesor Diraja Ungku Aziz, Datuk Profesor Dr Nik Safiah Karim dan ramai lagi turut menolak pelaksanaannya.

Kami yang mewakili pelbagai gabungan dan perwakilan, terkilan kerana tidak pernah dipedulikan. Kami menulis surat kepada kerajaan supaya pandangan dan idea bijak pandai diambil kira.

Keputusan (hasil kajian hala tuju pelaksanaan PPSMI) yang bakal dicapai pada akhir tahun ini bukannya untuk zaman kami tetapi generasi akan datang. Kita lihat masyarakat Cina, mereka gunakan kesatuan guru untuk mendapatkan maklum balas atau melalui MCA. Sebaliknya kerajaan langsung tak mahu dekat dengan kami terutama dengan orang yang berfikir. Bagi saya, orang seperti Ungku Aziz adalah orang yang berfikir.
Dia (Ungku Aziz) tak minta apa-apa pun. Dia kata, ini (PPSMI) tak menguntungkan bangsa Melayu dan kami pun fikir macam itu. Kita akan sentiasa kalah kalau kita teruskan. Nasib baik budak-budak sekolah tak buat demonstrasi membantah sejak enam tahun dulu.

Masyarakat Cina gunakan gagasan guru (Dong Jiao Zong) untuk pertahankan hak mereka dalam isu ini, bagaimana dengan orang Melayu?

Keadaan berbeza apabila Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri. Sebelum itu, guru Melayu sentiasa berhubungan dengan rakyat, penuh pengorbanan dan cita-cita. Sebaliknya pada 1980-an Dr Mahathir mewujudkan golongan perniagaan Melayu dan Umno dikawal oleh teknokrat dan ahli perniagaan.

Mereka berfikiran ‘cetek’ menyebabkan hilang segala idealisme. Mereka kata budayawan macam kami cuma golongan bermimpi, hanya pandai bercakap. Kesulitan Umno sekarang ialah mereka bunuh golongan pemikir.
Adakah guru sekarang tidak mempunyai pandangan sendiri (mengenai pelaksanaan PPSMI) atau tidak mahu ambil tahu apa yang berlaku?

Guru dalam perkhidmatan terikat dengan peraturan. Kalau mahukan pandangan mengenai PPSMI, tanyalah guru pencen kerana mereka ada persatuan.

Sebenarnya, pada peringkat bawahan, tak ada guru yang sokong. Mereka merana dan kecewa tetapi tidak boleh berbuat apa-apa sebab orang tak mahu dengar pandangan mereka.

Kenapa sekarang baru bertindak dan membuat laporan polis?

Kita sabar, rendah diri dan ia adalah kemuncak. Disebabkan pandangan kami tidak pernah didengari, kami berasa perlu mengambil tindakan tegas kerana pelaksanaan PPSMI mencabar Perlembagaan.

Ada dakwaan guru tidak mencapai standard untuk mengajar mengikut PPSMI dan ia satu faktor kegagalan dalam pengajaran. Apa komen Tan Sri?

Kita kena ingat sejarah kemerdekaan 50 tahun, Malaysia harmoni dari segi budaya, kemewahan, kegagahan hinggakan negara jiran terpegun melihat kejayaan kita, itu semua siapa yang buat, semua kerajaan ditunjangi Melayu. Zaman 1960-an di Universiti Malaya, kami jadi ‘Red Indian’ kerana bilangan terlalu kecil dan bangsa lain mempersoal, memperlekeh bagaimana kami boleh layak masuk universiti. Apabila Tun Abdul Razak (bekas Perdana Menteri) ambil alih, beliau tukar banyak perkara dan fokus kepada bahasa, budaya Melayu, itu yang mengubah banyak perkara. Itu yang menimbulkan keyakinan. Bagi saya, 50 tahun kemegahan kemerdekaan adalah atas dasar yang diperkenalkan Tun Razak sejak berpuluh-puluh tahun dulu.

Apa rancangan yang pernah dikemukakan kepada kerajaan?

Inilah masalah besar. Sepatutnya ada pihak berbincang dengan cendekiawan Melayu. Jangan tanya bangsa lain, jangan hanya bawa isu ini ke Kabinet kerana nak dapatkan sokongan. Akan ada pihak menggunakan peluang ini untuk menghancurkan bahasa, budaya, institusi Raja Melayu, kerajaan Melayu dan apa saja berkaitan Melayu.

Saya sendiri pernah hantar surat kepada Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) untuk jumpa, bincang soal bangsa Melayu. Kalau Umno fikir mereka parti Melayu, mereka perlu bergabung fikiran dengan Melayu di luar parti macam kami untuk cari idea dan dapatkan pandangan.

Adakah Umno juga perlu berubah dan mewujudkan jawatankuasa bagi mempertahankan hak orang Melayu?

Saya rasa itu memang patut. Dalam Perlembagaan ada dua usul iaitu agama Islam dan bahasa Melayu. Dalam laporan polis kami, ia merujuk kepada menyentuh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kalau nak buat apa pun, buatlah tetapi jangan kacau Perlembagaan dan bagi kami pelaksanaan PPSMI jelas mengganggu Perlembagaan. Sebab sekarang ini semuanya cuba guna bahasa Inggeris.

Kalau kita laksanakan PPSMI, kita mengabaikan budaya Melayu. Padahal kalau bahasa Melayu digunakan di Malaysia, ia masih tidak menyeluruh, contohnya masih ada masyarakat Cina di Ipoh dan Pulau Pinang belum fasih berbahasa Melayu. Masih ramai yang tak gunakan bahasa Melayu dan tak tahu berbahasa Melayu, ada yang tak boleh baca papan tanda jalan dalam bahasa Melayu, inikan pula kalau kita gunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama di sekolah, kesannya lagi teruk.

Bagi kami kalau nak pandai, kami sokong bahasa Inggeris ditingkatkan bagi orang Melayu tetapi orang bukan Melayu patut tingkatkan bahasa Melayu supaya seimbang.

Ada dakwaan tindakan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Gapena menentang dan membuat laporan polis didalangi pihak berkepentingan. Adakah ia benar?

Anda sendiri tengok kami di sini, ada dalang ke? Kami katakan Melayu adalah dalang, nak katakan dalang kamilah dalang dan kita bersubahat dengan kawan-kawan yang bersimpati dengan perjuangan kami, itu orang lain tak boleh kata apa. Kalau orang politik nak sokong, kami terima.

Masalah penguasaan bahasa Inggeris di luar bandar dikatakan tidak seimbang sekolah bandar. Adakah melalui PPSMI ini, ia boleh dijadikan satu pendekatan baik mencapai matlamat itu?

Bukan hanya melalui PPSMI, ada seribu cara dan kami sendiri akan tolong. Kita akan lebih pandaikan budak Melayu melalui cara yang lebih baik.

Kalau semua budayawan, cendekiawan Melayu berada di belakang kerajaan, ia akan berjaya. Kita boleh tolong dari segi buah fikiran, macam-macam idea boleh timbul. Pelajar di bandar, ada kelas tambahan, tuisyen, tapi budak kampung nak buat apa. Di bandar, bahasa perbualan harian pun guna bahasa Inggeris tetapi di kampung, keadaan jauh berbeza. Sekarang jelas, budak Melayu dianggap bodoh dan jadi bahan ketawa, kita tengok keputusan peperiksaan.

Pencapaian dan keputusan peperiksaan tanpa mengira kaum dipaparkan untuk memperlihatkan prestasi PPSMI, itu tak betul, kena buat ikut kaum. Kalau boleh buktikan 90 peratus Melayu masuk universiti, itu memang bukti baik. Kalau betul (berjaya), universiti akan kembali dikuasai anak Melayu. Ini bukan masalah 30 peratus penguasaan ekonomi tetapi soal pembelajaran.

Pandangan Page

Apa yang mendorong Page bertindak?

Kita bertindak untuk generasi akan datang, bukan saja untuk pelajar bandar tetapi luar bandar. Dakwaan kami hanya mewakili kawasan bandar, tidak benar. Pada peringkat awal, kami disokong ibu bapa daripada sekolah di Lembah Klang, Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Rawang, Kulai, Pangkalan Chepa, Sarawak dan kini, setiap negeri ada wakil yang menyokong. Mereka yang menyokong bukan semua boleh bertutur bahasa Inggeris.

Mereka tahu kebaikan menguasai bahasa Inggeris dan mahu anak mereka mahir. Isu ini dibangkitkan pada 2007 dan sebelum pilihan raya lalu. Pada Mei 2008, laporan akhbar berbahasa Cina mengatakan sistem lama akan diguna pakai semula. Menteri minta pandangan dan kita tunggu PIBG kebangsaan buat pendirian tetapi tiada apa-apa. Pakatan PIBG pun senyap, kami mula risau sebab ini krisis negara.

Ketika persidangan meja bulat pada Ogos 2008, PIBG kebangsaan diberi masa 20 minit untuk buat pembentangan tetapi presiden pun tak datang, cuma diwakili naib presiden yang mengatakan PIBG tiada pendirian, cuma beliau nyatakan pandangan peribadi. Dari situ kami rasakan ada sesuatu yang tidak kena. Beliau mengatakan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), semua nak kembali kepada sistem asal sedangkan MRSM sendiri adalah lambang pendidikan tinggi. Kami dapatkan mandat dan jemput wakil PIBG, sekolah di Lembah Klang dan bincang bagaimana nak bertindak. Dalam tempoh dua bulan kita dapat sokongan 2,000 individu dan 240 sekolah yang minta PPSMI dikekalkan.

Pihak yang menolak pelaksanaan PPSMI menggunakan alasan mempertahankan martabat bahasa Melayu. Komen Page?

Mempraktikkan PPSMI tidak bermakna menjatuhkan martabat bahasa ibunda kerana masih tetap digunakan dalam pembelajaran. Hakikatnya soal itu tidak timbul langsung. Pada kami ia cukup mudah, bandingkan masa subjek mata pelajaran di sekolah rendah mengikut jam. Analisisnya ialah Bahasa Inggeris (BI) mencatatkan 15 peratus, Bahasa Melayu (BM) pula 21 peratus dan subjek lain yang diajar dalam bahasa Melayu, 38 peratus.

Matematik dan Sains pula 26 peratus dan secara keseluruhannya, pendedahan masa kini pada 2008 ialah BI, 41 peratus dan BM sebanyak 59 peratus. Itu belum termasuk perbualan harian, perhimpunan mingguan dalam BM dan ia sebenarnya lebih 59 peratus, jadi tanggapan PPSMI mengabaikan BM adalah tidak tepat. Di sekolah menengah pun sama, jika termasuk pecahan Sains, Biologi, Fizik dan Kimia, peratusan pengajaran dalam bahasa Inggeris ialah 37.5 peratus, manakala bahasa Melayu 62.5 peratus. Itu semua analisis asas dan soal mengabaikan bahasa Melayu sebenarnya tidak wujud.

Pejuang bahasa melaungkan bahasa Inggeris tidak boleh dipelajari menerusi subjek Sains dan Matematik?

PPSMI sebenarnya serampang dua mata kerana ia adalah cara memperbaiki dan mempertingkatkan bahasa Inggeris saintifik di kalangan pelajar, di samping mendedahkan anak kepada bahasa Inggeris perbualan.

Lingua franca am dunia, mempelajari Sains dan Matematik ialah bahasa Inggeris. Hujahnya mudah, iaitu istilah dalam bahasa Inggeris lengkap berbanding bahasa Melayu yang masih kekurangan dan terhad; bahan rujukan dalam bahasa Inggeris lebih meluas; pelajaran seterusnya dalam bidang ini adalah bahasa Inggeris, bahkan universiti terbaik, sama ada untuk sarjana muda atau sarjana atau pun kedoktoran menggunakan bahasa Inggeris.

Ada yang cadangkan jika PPSMI dihapuskan, sastera Inggeris khas diajar untuk tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi masa mana yang perlu digantikan, adakah dengan masa BM, sedangkan jika Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris, pelajar akan mendapat dua manfaat serentak. Kita bukan nak membesarkan bahasa Inggeris, cuma nak ilmunya.

Bagaimana nasib murid yang bersekolah dan tinggal di pedalaman yang dikatakan ketinggalan dalam bahasa Inggeris?

Mereka selalu menggunakan alasan anak di kampung kurang faham bahasa Inggeris. Itu memperlekehkan kemampuan mereka. Harus diingat, tiada murid yang bodoh, cuma pengajarnya yang lemah, persekitarannya perlu diperbaiki. Anak kita bukanlah punca masalah apa-apa polisi kerana kajian saintifik menunjukkan umur paling baik untuk menyerap dan belajar sesuatu bahasa adalah dua hingga tujuh tahun. Jadi, kita mesti mengambil peluang ini untuk memastikan anak kita mempelajari bahasa Inggeris di samping mengekalkan dan memartabatkan bahasa Melayu.

Profesor Shichida menggunakan metodologi ini untuk mengasuh minda muda menyerap bahasa, angka dan daya ingatan iaitu ‘dedah, dedah, dedah. Berlatih, berlatih, berlatih, dan pendekatan ini juga diamalkan dalam cara pembelajaran Professor T Kumon. Cadangan Page ialah bahasa Inggeris harus diperkenalkan pada peringkat tadika dan tenaga bekas guru digunakan kerana mereka mempunyai pengalaman dan kemahiran yang perlu dikongsi.

Bagaimana masalah kekurangan guru yang kurang fasih dalam bahasa Inggeris dalam melaksanakan PPSMI?

Antara cadangan yang mungkin kita serap dalam mengkaji semula metodologi yang dipakai untuk mengasuh guru mengajar di sekolah ialah mempertingkatkan kualiti guru maktab perguruan. Kerajaan melabur begitu banyak untuk menyediakan guru mengajar dalam bahasa Inggeris dan ia perlu diteliti untuk memastikan pelaburan itu meraih keputusan positif.

Kerajaan membelanjakan RM5.2 bilion untuk peralatan dan penyediaan termasuk menghantar guru ke luar negara. Mereka masih belum pulang. Itu semua pelaburan, takkan kita nak kembali kepada sistem asal, apa akan jadi dengan peruntukan besar yang sudah dibelanjakan.

Kita perlu belajar daripada pengalaman Negeri Sembilan. Melalui Yayasan Negeri Sembilan, Keluarga Diraja Negeri Sembilan membiayai projek ‘PIERS’ untuk melatih dan melengkapkan guru di 34 sekolah di negeri itu. Seramai 300 guru dilatih sambil bekerja dan tambahan untuk mengajar dalam bahasa Inggeris dalam masa setahun. Apabila kembali bertugas, mereka mengajar guru lain bagaimana mengajar dalam bahasa Inggeris.

Keputusan menunjukkan mereka berjaya menguasai bahasa Inggeris dan mencapai peningkatan tinggi dalam kebolehan mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Malah, mereka menjadi guru yang penuh motivasi, kreatif dan berkeyakinan. Proses itu sangat berjaya dan sedang diteruskan hinggakan mereka dihantar ke Sabah dan Sarawak untuk gunakan kaedah sama.

Ada dakwaan keputusan peperiksaan merosot disebabkan Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Komen Page?

Itu tidak benar. Kumpulan perintis PPSMI baru saja menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan belum menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mereka adalah pramatang. Kesimpulannya keputusan PMR dan SPM yang digunakan sebagai dasar hujah ini tidak boleh dipakai kerana anak ini tidak diajar dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah.

Hakikatnya PPSMI diwujudkan pada 2003 bagi murid Darjah Satu dan Tingkatan Satu. Pada 2008, perintis pertama menduduki UPSR dan 2007 adalah generasi pertama menduduki SPM bermula di Tingkatan Satu. Dakwaan keputusan menurun tidak tepat kerana ia berdasarkan PMR dan SPM bukannya UPSR kerana ia masih menggunakan separuh daripada sistem lama iaitu belajar bahasa ibunda di sekolah rendah dan bahasa Inggeris di sekolah menengah. Itu masalahnya kerana ia bercampur dan tidak sepenuhnya di bawah PPSMI.

Kajian antarabangsa dibuat kepada pelajar berusia 14 tahun memang menurun tetapi generasi pertama yang gunakan sepenuhnya PPSMI baru pada tahap Darjah Lima, sedangkan itulah sasaran kita sebenarnya. Mereka belum lengkap dan masih jauh untuk dinilai, jadi penilaian kepada pelajar 14 tahun itu tidak tepat kerana mereka adalah generasi campuran, iaitu hanya menggunakan BI di sekolah menengah. Tarikh paling awal membuat perbandingan keberkesanan dasar PPSMI adalah berdasarkan tiga tahun keputusan PMR iaitu pada 2013 dan lima tahun berdasarkan keputusan PMR dan SPM pada 2016.

Mengapa kita tidak mencontohi Jepun dan Korea yang mengutamakan bahasa ibunda tetapi tetap maju, berdaya saing dan menjadi negara industri?

Kita rujuk kepada sejarah. Sejarah revolusi industri bermula di Eropah dan Britain pada akhir abad ke-19, disusuli Jepun, Korea dan kemudiannya Taiwan. Proses perindustrian di Malaysia hanya bermula pada 1970-an dan diperkembangkan sepenuhnya pada 1980-an. Ia mencatatkan perbezaan kira-kira 100 tahun selepas zaman industri Eropah dan Jepun, manakala kita ketinggalan 40 tahun di belakang Korea dan Taiwan. Adakah bahasa Malaysia dikategorikan bahasa pengetahuan industri, sudah tentu tidak dan di manakah kedudukannya. Satu contoh mudah di kilang Proton, bahan rujukan seperti manual dan garis panduan adalah dalam bahasa Inggeris.

Negara seperti Jepun adalah negara pembuat, sudah tentu mereka menggunakan bahasa ibunda sedangkan kita negara pengguna. Bagi kes Dong Jiao Zong yang memperjuangkan penghapusan PPSMI, mereka sedar yang mereka masih beruntung dengan bahasa Mandarin tetapi bagaimana pula dengan anak kita di sekolah kebangsaan kalau tidak bahasa Inggeris?

Daripada dunia industri, sekarang beralih kepada dunia maklumat. Di dalam dunia internet, jika kita mencari rencana melalui google atau yahoo dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, kita akan mendapati perbezaan jelas. Contohnya merujuk kepada istilah matematik dan mathematics, apa yang akan kita temui ialah rencana matematik dalam bahasa Melayu cuma 0.3 peratus dan rencana dalam bahasa Inggeris 97.7 peratus. Hakikat sama dalam rencana sains merujuk kepada penemuan 99.9 peratus dalam bahasa Inggeris dan cuma 0.1 peratus dalam bahasa Melayu.

Ibu Bapa Untuk Pendidikan (Page):

Apa yang mendorong Page bertindak?

Kita bertindak untuk generasi akan datang, bukan saja untuk pelajar bandar tetapi luar bandar. Dakwaan kami hanya mewakili kawasan bandar, tidak benar. Pada peringkat awal, kami disokong ibu bapa daripada sekolah di Lembah Klang, Petaling Jaya, Subang Jaya, Shah Alam dan Rawang, Kulai, Pangkalan Chepa, Sarawak dan kini, setiap negeri ada wakil yang menyokong. Mereka yang menyokong bukan semua boleh bertutur bahasa Inggeris.

Mereka tahu kebaikan menguasai bahasa Inggeris dan mahu anak mereka mahir. Isu ini dibangkitkan pada 2007 dan sebelum pilihan raya lalu. Pada Mei 2008, laporan akhbar berbahasa Cina mengatakan sistem lama akan diguna pakai semula. Menteri minta pandangan dan kita tunggu PIBG kebangsaan buat pendirian tetapi tiada apa-apa. Pakatan PIBG pun senyap, kami mula risau sebab ini krisis negara.

Ketika persidangan meja bulat pada Ogos 2008, PIBG Kebangsaan diberi masa 20 minit untuk buat pembentangan tetapi presiden pun tak datang, cuma diwakili naib presiden yang mengatakan PIBG tiada pendirian, cuma beliau nyatakan pandangan peribadi. Dari situ kami rasakan ada sesuatu yang tidak kena. Beliau mengatakan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), semua nak kembali kepada sistem asal sedangkan MRSM sendiri adalah lambang pendidikan tinggi. Kami dapatkan mandat dan jemput wakil PIBG, sekolah di Lembah Klang dan bincang bagaimana nak bertindak. Dalam tempoh dua bulan kita dapat sokongan 2,000 individu dan 240 sekolah yang minta PPSMI dikekalkan.

Pihak yang menolak pelaksanaan PPSMI menggunakan alasan mempertahankan martabat bahasa Melayu. Komen Page?

Mempraktikkan PPSMI tidak bermakna menjatuhkan martabat bahasa ibunda kerana masih tetap digunakan dalam pembelajaran. Hakikatnya soal itu tidak timbul langsung. Pada kami ia cukup mudah, bandingkan masa subjek mata pelajaran di sekolah rendah mengikut jam. Analisisnya ialah Bahasa Inggeris (BI) mencatatkan 15 peratus, Bahasa Melayu (BM) pula 21 peratus dan subjek lain yang diajar dalam bahasa Melayu, 38 peratus.

Matematik dan Sains pula 26 peratus dan secara keseluruhannya, pendedahan masa kini pada 2008 ialah BI, 41 peratus dan BM sebanyak 59 peratus. Itu belum termasuk perbualan harian, perhimpunan mingguan dalam BM dan ia sebenarnya lebih 59 peratus, jadi tanggapan PPSMI mengabaikan BM adalah tidak tepat. Di sekolah menengah pun sama, jika termasuk pecahan Sains, Biologi, Fizik, Kimia, peratusan pengajaran dalam bahasa Inggeris ialah 37.5 peratus, manakala Bahasa Melayu 62.5 peratus. Itu semua analisis asas dan soal mengabaikan bahasa Melayu sebenarnya tidak wujud.

Pejuang bahasa melaungkan bahasa Inggeris tidak boleh dipelajari menerusi subjek Sains dan Matematik?

PPSMI sebenarnya serampang dua mata kerana ia adalah cara memperbaiki dan mempertingkatkan bahasa Inggeris saintifik di kalangan pelajar, di samping mendedahkan anak kepada bahasa Inggeris perbualan.

Lingua franca am dunia, mempelajari Sains dan Matematik ialah bahasa Inggeris. Hujahnya mudah, iaitu istilah dalam bahasa Inggeris lengkap berbanding bahasa Melayu yang masih kekurangan dan terhad; bahan rujukan dalam bahasa Inggeris lebih meluas; pelajaran seterusnya dalam bidang ini adalah bahasa Inggeris, bahkan universiti terbaik, sama ada untuk sarjana muda atau sarjana atau pun kedoktoran menggunakan bahasa Inggeris.

Ada yang cadangkan jika PPSMI dihapuskan, sastera Inggeris khas diajar untuk tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi masa mana yang perlu digantikan, adakah dengan masa BM, sedangkan jika Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris, pelajar akan mendapat dua manfaat serentak. Kita bukan nak membesarkan bahasa Inggeris, cuma nak ilmunya.

Bagaimana nasib murid yang bersekolah dan tinggal di pedalaman yang dikatakan ketinggalan dalam bahasa Inggeris?

Mereka selalu menggunakan alasan anak di kampung kurang faham bahasa Inggeris. Itu memperlekehkan kemampuan mereka. Harus diingat, tiada murid yang bodoh, cuma pengajarnya yang lemah, persekitarannya perlu diperbaiki. Anak kita bukanlah punca masalah apa-apa polisi kerana kajian saintifik menunjukkan umur paling baik untuk menyerap dan belajar sesuatu bahasa adalah dua hingga tujuh tahun. Jadi, kita mesti mengambil peluang ini untuk memastikan anak kita mempelajari bahasa Inggeris di samping mengekalkan dan memartabatkan bahasa Melayu.

Profesor Shichida menggunakan metodologi ini untuk mengasuh minda muda menyerap bahasa, angka dan daya ingatan iaitu ‘dedah, dedah, dedah. Berlatih, berlatih, berlatih, dan pendekatan ini juga diamalkan dalam cara pembelajaran Professor T Kumon. Cadangan Page ialah bahasa Inggeris harus diperkenalkan pada peringkat tadika dan tenaga bekas guru digunakan kerana mereka mempunyai pengalaman dan kemahiran yang perlu dikongsi.

Bagaimana masalah kekurangan guru yang kurang fasih dalam bahasa Inggeris dalam melaksanakan PPSMI?

Antara cadangan yang mungkin kita serap dalam mengkaji semula metodologi yang dipakai untuk mengasuh guru mengajar di sekolah ialah mempertingkatkan kualiti guru maktab perguruan. Kerajaan melabur begitu banyak untuk menyediakan guru mengajar dalam bahasa Inggeris dan ia perlu diteliti untuk memastikan pelaburan itu meraih keputusan positif.

Kerajaan membelanjakan RM5.2 bilion untuk peralatan dan penyediaan termasuk menghantar guru ke luar negara. Mereka masih belum pulang. Itu semua pelaburan, takkan kita nak kembali kepada sistem asal, apa akan jadi dengan peruntukan besar yang sudah dibelanjakan.

Kita perlu belajar daripada pengalaman Negeri Sembilan. Melalui Yayasan Negeri Sembilan, Keluarga Diraja Negeri Sembilan membiayai projek ‘PIERS’ untuk melatih dan melengkapkan guru di 34 sekolah di negeri itu. Seramai 300 guru dilatih sambil bekerja dan tambahan untuk mengajar dalam bahasa Inggeris dalam masa setahun. Apabila kembali bertugas, mereka mengajar guru lain bagaimana mengajar dalam bahasa Inggeris.

Keputusan menunjukkan mereka berjaya menguasai bahasa Inggeris dan mencapai peningkatan tinggi dalam kebolehan mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Malah, mereka menjadi guru yang penuh motivasi, kreatif dan berkeyakinan. Proses itu sangat berjaya dan sedang diteruskan hinggakan mereka dihantar ke Sabah dan Sarawak untuk gunakan kaedah sama.

Ada dakwaan keputusan peperiksaan merosot disebabkan Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris. Komen Page?

Itu tidak benar. Kumpulan perintis PPSMI baru saja menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan belum menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mereka adalah pramatang. Kesimpulannya keputusan PMR dan SPM yang digunakan sebagai dasar hujah ini tidak boleh dipakai kerana anak ini tidak diajar dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah.

Hakikatnya PPSMI diwujudkan pada 2003 bagi murid darjah satu dan tingkatan satu. Pada 2008, perintis pertama menduduki UPSR dan 2007 adalah generasi pertama menduduki SPM bermula di tingkatan satu. Dakwaan keputusan menurun tidak tepat kerana ia berdasarkan PMR dan SPM bukannya UPSR kerana ia masih menggunakan separuh daripada sistem lama iaitu belajar bahasa ibunda di sekolah rendah dan bahasa Inggeris di sekolah menengah. Itu masalahnya kerana ia bercampur dan tidak sepenuhnya di bawah PPSMI.

Kajian antarabangsa dibuat kepada pelajar berusia 14 tahun memang menurun tetapi generasi pertama yang gunakan sepenuhnya PPSMI baru pada tahap darjah lima, sedangkan itulah sasaran kita sebenarnya. Mereka belum lengkap dan masih jauh untuk dinilai, jadi penilaian kepada pelajar 14 tahun itu tidak tepat kerana mereka adalah generasi campuran, iaitu hanya menggunakan BI di sekolah menengah. Tarikh paling awal membuat perbandingan keberkesanan dasar PPSMI adalah berdasarkan tiga tahun keputusan PMR iaitu pada 2013 dan lima tahun berdasarkan keputusan PMR dan SPM pada 2016.

Mengapa kita tidak mencontohi Jepun dan Korea yang mengutamakan bahasa ibunda tetapi tetap maju, berdaya saing dan menjadi negara industri?

Kita rujuk kepada sejarah. Sejarah revolusi industri bermula di Eropah dan Britain pada akhir abad ke-19, disusuli Jepun, Korea dan kemudiannya Taiwan. Proses perindustrian di Malaysia hanya bermula pada 1970-an dan diperkembangkan sepenuhnya pada 1980-an. Ia mencatatkan perbezaan kira-kira 100 tahun selepas zaman industri Eropah dan Jepun, manakala kita ketinggalan 40 tahun di belakang Korea dan Taiwan. Adakah bahasa Malaysia dikategorikan bahasa pengetahuan industri, sudah tentu tidak dan di manakah kedudukannya. Satu contoh mudah di kilang Proton, bahan rujukan seperti manual dan garis panduan adalah dalam bahasa Inggeris.

Negara seperti Jepun adalah negara pembuat, sudah tentu mereka menggunakan bahasa ibunda sedangkan kita negara pengguna. Bagi kes Dong Jiao Zong yang memperjuangkan penghapusan PPSMI, mereka sedar yang mereka masih beruntung dengan bahasa Mandarin tetapi bagaimana pula dengan anak kita di sekolah kebangsaan kalau tidak bahasa Inggeris?

Daripada dunia industri, sekarang beralih kepada dunia maklumat. Di dalam dunia internet, jika kita mencari rencana melalui google atau yahoo dalam bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, kita akan mendapati perbezaan jelas. Contohnya merujuk kepada istilah matematik dan mathematics, apa yang akan kita temui ialah rencana matematik dalam bahasa Melayu cuma 0.3 peratus dan rencana dalam bahasa Inggeris 97.7 peratus. Hakikat sama dalam rencana sains merujuk kepada penemuan 99.9 peratus dalam bahasa Inggeris dan cuma 0.1 peratus dalam bahasa Melayu.

Saturday, February 21, 2009

Isu derhaka, krisis moral dan tuntutan kewarasan

Di luar lingkaran: Isu derhaka, krisis moral dan tuntutan kewarasan
Oleh Johan Jaaffar/Berita Minggu 22.2.2009
Bangsa Melayu semakin kurang dihormati

ISU penderhakaan tiba-tiba meledak. Sudah sekian lama kita tidak mendengar perdebatan mengenai soal derhaka. Derhaka merupakan perkataan yang membawa makna yang besar dalam budaya Melayu. Malah ada semacam perhitungan tidak bertulis bahawa ia menjadi tabu pertama dalam masyarakat Melayu. Derhaka menjadi sebahagian psyche Melayu dalam konteks sistem sosial mereka.

"Orang Melayu pantang derhaka" menjadi ungkapan yang diguna pakai dalam mendefinisikan "persetiaan" di antara Raja dan rakyat. Mungkin ada benarnya ungkapan itu dicipta bagi memberikan legitimasi pada kekuasaan Raja-Raja selama ini. Malah seperti banyak mitos, lagenda dan konsep yang membabitkan institusi Raja sejak zaman berzaman, sebahagian besarnya diwujudkan bagi menandakan kelainan, keistimewaan dan keunikan golongan yang memerintah.
Konsep kesetiaan dalam masyarakat Melayu turut membentuk sikap, nilai dan citra bangsa itu. Dalam masyarakat yang berpegang pada prinsip kepatuhan nilai-nilai bermasyarakat, perlu wujud sistem hukuman dan balasan yang setimpal pada setiap perlakuan dan salah laku. Kawalan atau sanction ke atas masyarakat dicorakkan oleh hukum agama dan adat selain undang-undang atau hukum kanun.

Dalam kaitan ini wujud juga pengertian adab, tata susila dan akhlak. Masyarakat Melayu berpegang pada nilai-nilai sedemikian bagi memastikan kelangsungan atau survivalnya sebagai bangsa. Tanpa semua itu, mereka sedar masyarakat akan binasa, berpecah belah dan menuju anarki. Isunya bukan sangat mempertahankan kedudukan Raja-Raja Melayu tetapi untuk memastikan bangsa itu mempunyai peraturan dan perundangan yang jelas. Tidak ada bangsa yang dapat bertahan sekiranya nilai-nilai kepatuhan bersama itu dirosakkan.

Memang orang Melayu pernah menderhaka. Atau menunjukkan penentangan terhadap Raja. Tetapi berdasarkan catatan sastera, akibat perbuatan itu langsung dan serta-merta.
Kitab Sejarah Melayu dan kitab-kitab Melayu yang lain sememangnya berlaku adil dalam soal ini. Malah dari Sejarah Melayu kita mengetahui bagaimana bermulanya "persetiaan" di antara Raja dengan rakyat di Bukit Seguntang. Sang Sapurba yang mewakili Raja-Raja Melayu meminta orang Melayu jangan derhaka pada anak cucu baginda sementara Demang Lebar Daun yang mewakili rakyat memohon agar anak cucunya jangan dizalimi oleh Raja-Raja Melayu.

Dalam sejarah bangsa Melayu Raja zalim mendapat pembalasan seperti juga hamba rakyat yang menderhaka. Maka itu ungkap "Raja adil Raja disembah, Raja zalim Raja disanggah" menjadi semacam pedoman bagi Raja-Raja Melayu. Dari kisah kezaliman Sultan Mahmud Melaka hinggalah peristiwa Sultan Mahmud di Johor yang membunuh isteri panglimanya kerana buah nangka, prinsip itu diguna pakai zaman berzaman. Dalam konteks Laksamana Bentan yang menikam Raja yang sedang dijulang, sumpahnya dikatakan berkekalan tujuh keturunan. Banyak insiden yang menunjukkan bagaimana persetiaan ini mengekalkan kelangsungan sistem sosial yang ada.

Sistem beraja yang menjadi teras masyarakat feudal mampu bertahan kerana hal ini. Mana Raja-Raja Melayu yang menzalimi rakyatnya biasanya tidak bertahan malah kerajaan baginda akan tumbang. Hamba yang menderhaka pula, walaupun apa alasannya tidak ada tempatnya dalam masyarakat Melayu.

Apakah maknanya cerita sejarah berbaur mitos mengenai Raja-Raja Melayu diceritakan terus menerus sebagai sebahagian daripada cerita rakyat? Ia merupakan proses sosialisasi yang juga bertujuan memberi pemahaman dan pendidikan secara halus. Kisah keajaiban, kehebatan dan kegemilangan sedemikian boleh menaikkan semangat dan kekuatan selain memberikan iktibar dan nasihat.
Memang ada pihak yang mulai mentafsir perlakuan derhaka dalam masyarakat Melayu. Hang Jebat, Laksamana Bentan atau Si Bongkok Tanjung Puteri memang diberikan tafsiran baru. Memang ada kecenderungan untuk menilai semula konsep wira dalam masyarakat Melayu. Kecenderungan pemikiran kiri dan aliran sosialisme satu masa dulu membaca Jebat sebagai hero baru. Memang ada kritikan terhadap sikap Hang Tuah yang setia membabi buta. Memang orang Melayu sedar tentang wujudnya "budak-budak Raja" yang berkuasa besar dalam istana Raja Melayu. Merekalah yang membuat onar dan angkara lalu memporak peranda istana. Watak seperti ini ditempelak dan diberikan gambaran hitam seperti juga perbuatan Si Kitul dan Raja Mudaliar yang dikatakan bertanggungjawab memporak peranda dan menghancurkan empayar Melayu Melaka.

Sistem beraja tidak berakhir dengan kemerdekaan. Kita masih menjunjung sistem beraja dengan penyesuaian. Perlembagaan Persekutuan menjamin kelangsungan sistem itu, cuma kali ini disangkutkan pada Perlembagaan lalu muncullah ungkapan sistem Raja Berperlembagaan. Maka itu Raja-Raja Melayu memainkan peranan yang tersendiri dalam sistem pemerintahan negara. Pandangan bahawa mereka hanya ketua adat dan agama tentulah tidak sepenuhnya tepat apa lagi jikalau mereka hanya dilihat sebagai simbol dan lambang semata-mata. Mereka juga bukan berperanan hanya dalam upacara dan ritual negara saja.

Apabila kita merangka Rukunegara yang menjadi prinsip sebuah negara bermaruah, kita meletakkan kesetiaan pada Raja sebagai teras yang penting. Walau bagaimanapun cara kita menilai konsep setia itu, terasnya ialah bagi menjunjung kemuliaan dan memartabatkan institusi itu. Sekiranya kita menghormati Perlembagaan, maka institusi beraja harus juga dilindungi dan dipertahankan.

Oleh yang demikian derhaka tentunya tidak ada dalam perbendaharaan kata mana-mana individu yang menjunjung sistem Raja berperlembagaan. Apatah lagi jikalau alasan sembah derhaka itu kerana enggan menerima kenyataan perubahan politik semasa atau kepentingan peribadi seseorang. Sekiranya perisytiharan kedudukannya sebagai Menteri Besar dibuat melalui sistem beraja yang sedia ada mengapakah perlucutan jawatannya oleh institusi yang sama tidak boleh diterima? Apakah sistem itu hanya diwajarkan apabila untuk tujuan melantik tetapi apabila kerajaan pimpinannya tumbang maka penubuhan kerajaan baru dicabar sekali gus dengan institusi yang menabalkannya? Institusi Raja itu sendiri dipersoalkan. Malah ada cadangan pihak-pihak tertentu untuk membawa Baginda Sultan Perak di mahkamah.

Apakah yang sebenarnya berlaku? Apakah kita terbayang akan melihat episod malang ini berlaku di hadapan mata kita? Apakah ini penanda perubahan dalam sistem nilai orang Melayu sendiri? Apakah pemikiran anak-anak Melayu hari ini sudah dikelabui oleh kepentingan politik semata-mata? Maka pertimbangan adab dan budaya tidak ada maknanya lagi?

Kita boleh menghujahkan secara panjang lebar drama di Perak itu. Tetapi satu hal adalah jelas: Anak-anak Melayu menghantar mesej yang salah pada bangsanya dan orang lain: Bahawa derhaka diwajarkan. Dalam konteks perpecahan serius di kalangan orang Melayu sekarang, keadaan ini akan lebih mempersulitkan. Krisis ini menjadi krisis memalukan membabitkan orang Melayu, walaupun mungkin ada dalang lain di belakangnya. Melihat kemarahan segelintir anak-anak Melayu yang jelas memancarkan imej sebuah parti politik, orang mulai bertanya, apakah ini protes Melayu terhadap orang Melayu sahaja?

Bagi saya ini krisis baru dalam masyarakat Melayu. Itu belum lagi ukuran double standard sesetengah pihak dalam soal yang membabitkan perilaku seorang wakil rakyat. Isu moral ialah isu peribadi. Bagaimanapun kita harus meletakkan kriteria yang sama dalam menentukan penanda aras moral di negara ini. Apabila wakil BN atau UMNO khususnya terbabit maka tuduhan tidak bermoral riuh rendah kedengaran tetapi apabila orang mereka sendiri terlibat, tiba-tiba muncul pula tuduhan mengenai pola konspirasi untuk menjatuhkan nama baik mereka.

Isu moral seperti juga soal yang membabitkan kesetiaan harus berlandaskan norma yang sedia ada. Soal derhaka tidak boleh ditafsir mengikut selera seperti juga perbuatan tidak bermoral mana-mana individu. Sekiranya kita memilih untuk menyerang peribadi orang, satu hari nanti orang akan menempelak perilaku salah kita.

Orang Melayu yang bijaksana ada mengatakan, mengata dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih.

Friday, February 13, 2009

Bersatulah bangsa Melayu

Bersatulah bangsa Melayu
Oleh ANUAR AHMAD
Utusan Melayu/14.2.09

BANGSA Melayu kini menghadapi krisis perpaduan yang paling kritikal dan mencabar. Ia lebih hebat daripada tsunami PRU 12 pada Mac tahun lalu. Ia adalah senario yang menyedihkan sekali. Seboleh-bolehnya kita cuba menafikan tetapi itulah hakikatnya.
Tsunami pilihan raya Mac 2008 bukanlah akar sebenar kepada perpecahan Melayu. Tetapi ia berupa isyarat untuk menyedarkan para pemimpin tentang gentingnya perpaduan Melayu ketika ini.
Krisis perpaduan Melayu berlaku apabila kita mula lupa sejarah bangsa. Usaha ke arah itu sedang dilakukan oleh banyak pihak. Maka tidak hairanlah apabila pelbagai muzakarah dan perbincangan dianjurkan sejak kebelakangan ini.
Pelbagai pihak kini mula bercakap soal institusi beraja yang satu ketika dulu tidak ada yang berminat untuk membincangkannya. Begitu juga soal ketuanan Melayu dan keagungan Islam serta kedaulatan bahasa Melayu sendiri.
Sejarah Melayu dikatakan bermula sejak 1400. Walaupun ada yang mengatakan sejarah orang Melayu bermula lebih awal tetapi dengan mengambil kira definisi Melayu berasaskan adat resam, raja dan agama Islam maka tidak syak lagi sejarah Melayu hanya bermula sekitar kurun ke-15 itu.
Jika dihitung, sejarah orang Melayu tidaklah begitu panjang berbanding sejarah bangsa utama dunia lain yang menjangkau ribuan tahun. Sejarah kita baru bermula 600 tahun dahulu.
Mengimbau sejarah, orang Melayu bertuah kerana dianugerahkan Tuhan dengan tanah air yang dinamakan Tanah Melayu (dan kemudian menjadi Malaysia). Orang Melayu, walaupun terjajah ratusan tahun masih bertuah kerana tidak perlu berperang dan berkorban nyawa sepanjang 600 tahun itu.
Orang Melayu juga sungguh bertuah kerana kemerdekaan tanah air berlaku di meja rundingan dan bukannya di medan peperangan. Lebih bertuah jika difikirkan bagaimana orang Melayu hari ini masih terus kekal memerintah tanah air sendiri walaupun pernah dijajah dalam tempoh ratusan tahun.
Namun tuah tidak akan selalu menjadi milik orang Melayu. Tuah itu pun bukannya datang bergolek tetapi berkat semangat, doa dan permuafakatan Melayu.
Apalah maknanya ketuanan Melayu yang sering diuar-uarkan kalau orang Melayu langsung tidak memahami bagaimana ketuanan itu diperolehi. Ketuanan Melayu hanya hasil tetapi sejarah bangsa Melayu adalah prosesnya.
Pada setiap zaman, orang Melayu pasti mengalami perubahan. Ia berlaku sejak era tradisional ke penjajahan dan kemudian era modenisasi sebelum ke alaf globalisasi sekarang. Pada setiap era, orang Melayu sentiasa berusaha untuk menguasai perubahan demi menjadi bangsa yang lebih baik.
Tetapi fakta sejarah menunjukkan sebaik manapun pencapaian kita, pastinya ada bangsa lain mendapat pencapaian lebih baik. Sebagai contoh, walaupun kerajaan Melayu Melaka dipimpin oleh Kesultanan Melayu dengan para pembesar terdiri daripada orang Melayu, yang mengaut laba di Melaka ialah pedagang Arab, Cina dan India.
Penjajah Inggeris membantu membangunkan sekolah Melayu tatkala masyarakat bukan Melayu berhempas pulas membangunkan sistem pendidikan sendiri. Sepatutnya pendidikan orang Melayu jauh lebih maju, tetapi sebaliknya lebih ramai yang berpendidikan tinggi ialah bukan Melayu.
Bila universiti mula ditubuhkan oleh kerajaan dengan memperkenalkan sistem kuota demi bangsa Melayu, masih ramai graduan terbaik adalah bukan Melayu.
Apabila Dasar Ekonomi Baru diberikan kepada kalangan bumiputera khususnya Melayu sebagai satu keistimewaan, yang menjadi kaya raya kebanyakannya bukan Melayu. Walaupun politik dipegang oleh orang Melayu, pimpinan Melayu terpaksa merayu dan melobi pengundi bukan Melayu untuk memerintah. Ia berlaku tidak kira di kalangan parti kerajaan atau pembangkang.
Memikirkan hal ini sudah cukup memenatkan. Jelas sekali orang Melayu semakin lupa sejarah bangsa. Mereka, khususnya para pemimpin mula lupa hakikat bahawa sebagai pemimpin, mereka datang dan pergi.
Hari ini dengan kudrat dan tenaga yang ada mereka membangunkan anak bangsa, sampai masanya orang lain akan menggantikan mereka. Yang penting ialah perjuangan membangunkan anak bangsa, tidak berpecah-belah tetapi sentiasa bertimbang tara dan berbincang.
Mereka yang berpengalaman sepatutnya memberi nasihat sementara yang muda menimbangkannya. Akhirnya bangsa Melayu tidak akan rugi dan terus maju.
Sejarah bangsa Melayu nampaknya tidak begitu dihayati oleh bangsa kita. Rasuah, penyalahgunaan kuasa, nepotisme dan kronisme, berfoya-foya menjadi amalan. Ramai yang suka memegang kuasa walaupun terpaksa bersengketa sesama sendiri. Amalan itu nampaknya masih kuat menguasai sebahagian pemimpin Melayu.
Nasihat cendekiawan agar keadaan ini diperbetulkan nampaknya gagal. Ramai pemimpin dan sebahagian besar bangsa Melayu masih tidak belajar mengenai tragedi kejatuhan Melaka kepada Portugis. Ia berpunca daripada perbuatan khianat pembesar Melayu.
Bangsa Melayu telah lupa Perjanjian Pangkor. Kealpaan kepemimpinan Melayu ketika itu membuatkan seluruh negeri tergadai kepada penjajah Barat. Pimpinan Melayu juga mungkin sudah lupa bagaimana sukarnya orang Melayu menentang Malayan Union.
Apakah para pemimpin Melayu tidak ingin menjadi seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Tok Bahaman atau Dol Said. Semua tokoh pejuang itu sanggup berkorban nyawa semata-mata untuk bangsa Melayu.
Janganlah kerana kita sudah pandai memakai kot dan bertali leher atau selesa berucap dalam bahasa asing, menaiki kereta mewah dan tinggal di rumah cantik, agenda bangsa Melayu tidak lagi menjadi keutamaan.
Mungkin di kalangan pemimpin Melayu kita hari ini sudah tidak boleh menterjemahkan semangat perjuangan bangsa. Pemimpin yang ikhlas untuk menjulang perjuangan bangsa akan sentiasa bersatu, tidak berpecah belah dan amanah dalam perjuangan. Golongan ini tidak berharap kepada kedudukan dan pangkat. Mereka komited dengan perjuangannya membela Melayu.
Malangnya apa yang kita lihat sekarang ialah wujudnya ramai pemimpin Melayu yang semakin lupa sejarah. Kita mungkin biasa mendengar ucapan hebat pemimpin Melayu. Tetapi yang nampak di luar belum tentu sama dengan apa yang ada di dalam hati mereka.
Semoga Allah sahaja yang mengetahui apa yang ada di dalam hati dan sanubari para pemimpin Melayu. Rakyat hanya boleh berdoa agar pemimpin mereka benar-benar ikhlas dalam perjuangan.
Orang Melayu mungkin bukan sahaja lupa kepada sejarah bangsa, tetapi gagal menterjemahkan ajaran Islam yang begitu sempurna.
Jelas begitu tebalnya masalah bangsa Melayu. Cuba kita teliti satu persatu segmen kehidupan kita dan di mana letaknya kedudukan bangsa Melayu yang berjumlah tidak sampai 15 juta ini.
Dalam bidang ekonomi, secara umum kita hanya menguasai 18 peratus agihan kekayaan negara. Selebihnya dimonopoli oleh bangsa bukan Melayu serta syarikat konglomerat antarabangsa. Lihat juga sektor pekerjaan, hampir keseluruhan pekerjaan profesional dikuasai oleh bukan bangsa Melayu seperti doktor, jurutera, akauntan serta peguam. Begitu juga sektor ICT, perbankan dan pembinaan.
Sektor sosial pula menunjukkan begitu banyak kewujudan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kalangan masyarakat Melayu. NGO Melayu masih terikat kepada soal sukan, hiburan dan politik.
Sektor politik walaupun dikuasai oleh bangsa Melayu tetapi bentuknya bukanlah mutlak tetapi atas dasar tolak ansur dan ihsan bangsa lain. Jelas walaupun sebagai bangsa majoriti daripada segi penduduk, pencapaian bangsa Melayu masih jauh di belakang.
Banyak usaha dan tenaga perlu ditumpukan untuk maju. Berpecah belah dan bersengketa sesama pimpinan Melayu bukan sahaja melambatkan usaha memajukan bangsa tetapi menolak bangsa lebih jauh ke belakang. Kita perlu insaf, perkara itu sangat merugikan orang Melayu.
Bangsa Melayu tentu ingin maju dan mahu menjadi bangsa lebih hebat 100 tahun akan datang. Tetapi sejarah 600 tahun dahulu perlu diinsafi terlebih dahulu sekiranya kita mahu menjadi lebih hebat.
Anak-anak kita diajar di sekolah tentang bersatu padu, cintakan bangsa dan negara tetapi di luar bilik darjah mereka melihat tokoh kebanggaan mereka berpecah-belah. Ironinya, keadaan ini tidak menguntungkan sesiapa khususnya bangsa Melayu itu sendiri.
Pemimpin dan masyarakat Melayu seharusnya lebih menilai dan menginsafi sejarah bangsa sendiri. Percayalah, pemimpin Melayu yang sedar mengenai sejarah bangsanya akan berjuang untuk menjadikan bangsa ini lebih hebat dan berdaulat.
PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.