Bersatulah bangsa Melayu
Oleh ANUAR AHMAD
Utusan Melayu/14.2.09
BANGSA Melayu kini menghadapi krisis perpaduan yang paling kritikal dan mencabar. Ia lebih hebat daripada tsunami PRU 12 pada Mac tahun lalu. Ia adalah senario yang menyedihkan sekali. Seboleh-bolehnya kita cuba menafikan tetapi itulah hakikatnya.
Tsunami pilihan raya Mac 2008 bukanlah akar sebenar kepada perpecahan Melayu. Tetapi ia berupa isyarat untuk menyedarkan para pemimpin tentang gentingnya perpaduan Melayu ketika ini.
Krisis perpaduan Melayu berlaku apabila kita mula lupa sejarah bangsa. Usaha ke arah itu sedang dilakukan oleh banyak pihak. Maka tidak hairanlah apabila pelbagai muzakarah dan perbincangan dianjurkan sejak kebelakangan ini.
Pelbagai pihak kini mula bercakap soal institusi beraja yang satu ketika dulu tidak ada yang berminat untuk membincangkannya. Begitu juga soal ketuanan Melayu dan keagungan Islam serta kedaulatan bahasa Melayu sendiri.
Sejarah Melayu dikatakan bermula sejak 1400. Walaupun ada yang mengatakan sejarah orang Melayu bermula lebih awal tetapi dengan mengambil kira definisi Melayu berasaskan adat resam, raja dan agama Islam maka tidak syak lagi sejarah Melayu hanya bermula sekitar kurun ke-15 itu.
Jika dihitung, sejarah orang Melayu tidaklah begitu panjang berbanding sejarah bangsa utama dunia lain yang menjangkau ribuan tahun. Sejarah kita baru bermula 600 tahun dahulu.
Mengimbau sejarah, orang Melayu bertuah kerana dianugerahkan Tuhan dengan tanah air yang dinamakan Tanah Melayu (dan kemudian menjadi Malaysia). Orang Melayu, walaupun terjajah ratusan tahun masih bertuah kerana tidak perlu berperang dan berkorban nyawa sepanjang 600 tahun itu.
Orang Melayu juga sungguh bertuah kerana kemerdekaan tanah air berlaku di meja rundingan dan bukannya di medan peperangan. Lebih bertuah jika difikirkan bagaimana orang Melayu hari ini masih terus kekal memerintah tanah air sendiri walaupun pernah dijajah dalam tempoh ratusan tahun.
Namun tuah tidak akan selalu menjadi milik orang Melayu. Tuah itu pun bukannya datang bergolek tetapi berkat semangat, doa dan permuafakatan Melayu.
Apalah maknanya ketuanan Melayu yang sering diuar-uarkan kalau orang Melayu langsung tidak memahami bagaimana ketuanan itu diperolehi. Ketuanan Melayu hanya hasil tetapi sejarah bangsa Melayu adalah prosesnya.
Pada setiap zaman, orang Melayu pasti mengalami perubahan. Ia berlaku sejak era tradisional ke penjajahan dan kemudian era modenisasi sebelum ke alaf globalisasi sekarang. Pada setiap era, orang Melayu sentiasa berusaha untuk menguasai perubahan demi menjadi bangsa yang lebih baik.
Tetapi fakta sejarah menunjukkan sebaik manapun pencapaian kita, pastinya ada bangsa lain mendapat pencapaian lebih baik. Sebagai contoh, walaupun kerajaan Melayu Melaka dipimpin oleh Kesultanan Melayu dengan para pembesar terdiri daripada orang Melayu, yang mengaut laba di Melaka ialah pedagang Arab, Cina dan India.
Penjajah Inggeris membantu membangunkan sekolah Melayu tatkala masyarakat bukan Melayu berhempas pulas membangunkan sistem pendidikan sendiri. Sepatutnya pendidikan orang Melayu jauh lebih maju, tetapi sebaliknya lebih ramai yang berpendidikan tinggi ialah bukan Melayu.
Bila universiti mula ditubuhkan oleh kerajaan dengan memperkenalkan sistem kuota demi bangsa Melayu, masih ramai graduan terbaik adalah bukan Melayu.
Apabila Dasar Ekonomi Baru diberikan kepada kalangan bumiputera khususnya Melayu sebagai satu keistimewaan, yang menjadi kaya raya kebanyakannya bukan Melayu. Walaupun politik dipegang oleh orang Melayu, pimpinan Melayu terpaksa merayu dan melobi pengundi bukan Melayu untuk memerintah. Ia berlaku tidak kira di kalangan parti kerajaan atau pembangkang.
Memikirkan hal ini sudah cukup memenatkan. Jelas sekali orang Melayu semakin lupa sejarah bangsa. Mereka, khususnya para pemimpin mula lupa hakikat bahawa sebagai pemimpin, mereka datang dan pergi.
Hari ini dengan kudrat dan tenaga yang ada mereka membangunkan anak bangsa, sampai masanya orang lain akan menggantikan mereka. Yang penting ialah perjuangan membangunkan anak bangsa, tidak berpecah-belah tetapi sentiasa bertimbang tara dan berbincang.
Mereka yang berpengalaman sepatutnya memberi nasihat sementara yang muda menimbangkannya. Akhirnya bangsa Melayu tidak akan rugi dan terus maju.
Sejarah bangsa Melayu nampaknya tidak begitu dihayati oleh bangsa kita. Rasuah, penyalahgunaan kuasa, nepotisme dan kronisme, berfoya-foya menjadi amalan. Ramai yang suka memegang kuasa walaupun terpaksa bersengketa sesama sendiri. Amalan itu nampaknya masih kuat menguasai sebahagian pemimpin Melayu.
Nasihat cendekiawan agar keadaan ini diperbetulkan nampaknya gagal. Ramai pemimpin dan sebahagian besar bangsa Melayu masih tidak belajar mengenai tragedi kejatuhan Melaka kepada Portugis. Ia berpunca daripada perbuatan khianat pembesar Melayu.
Bangsa Melayu telah lupa Perjanjian Pangkor. Kealpaan kepemimpinan Melayu ketika itu membuatkan seluruh negeri tergadai kepada penjajah Barat. Pimpinan Melayu juga mungkin sudah lupa bagaimana sukarnya orang Melayu menentang Malayan Union.
Apakah para pemimpin Melayu tidak ingin menjadi seperti Tok Janggut, Mat Kilau, Tok Bahaman atau Dol Said. Semua tokoh pejuang itu sanggup berkorban nyawa semata-mata untuk bangsa Melayu.
Janganlah kerana kita sudah pandai memakai kot dan bertali leher atau selesa berucap dalam bahasa asing, menaiki kereta mewah dan tinggal di rumah cantik, agenda bangsa Melayu tidak lagi menjadi keutamaan.
Mungkin di kalangan pemimpin Melayu kita hari ini sudah tidak boleh menterjemahkan semangat perjuangan bangsa. Pemimpin yang ikhlas untuk menjulang perjuangan bangsa akan sentiasa bersatu, tidak berpecah belah dan amanah dalam perjuangan. Golongan ini tidak berharap kepada kedudukan dan pangkat. Mereka komited dengan perjuangannya membela Melayu.
Malangnya apa yang kita lihat sekarang ialah wujudnya ramai pemimpin Melayu yang semakin lupa sejarah. Kita mungkin biasa mendengar ucapan hebat pemimpin Melayu. Tetapi yang nampak di luar belum tentu sama dengan apa yang ada di dalam hati mereka.
Semoga Allah sahaja yang mengetahui apa yang ada di dalam hati dan sanubari para pemimpin Melayu. Rakyat hanya boleh berdoa agar pemimpin mereka benar-benar ikhlas dalam perjuangan.
Orang Melayu mungkin bukan sahaja lupa kepada sejarah bangsa, tetapi gagal menterjemahkan ajaran Islam yang begitu sempurna.
Jelas begitu tebalnya masalah bangsa Melayu. Cuba kita teliti satu persatu segmen kehidupan kita dan di mana letaknya kedudukan bangsa Melayu yang berjumlah tidak sampai 15 juta ini.
Dalam bidang ekonomi, secara umum kita hanya menguasai 18 peratus agihan kekayaan negara. Selebihnya dimonopoli oleh bangsa bukan Melayu serta syarikat konglomerat antarabangsa. Lihat juga sektor pekerjaan, hampir keseluruhan pekerjaan profesional dikuasai oleh bukan bangsa Melayu seperti doktor, jurutera, akauntan serta peguam. Begitu juga sektor ICT, perbankan dan pembinaan.
Sektor sosial pula menunjukkan begitu banyak kewujudan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di kalangan masyarakat Melayu. NGO Melayu masih terikat kepada soal sukan, hiburan dan politik.
Sektor politik walaupun dikuasai oleh bangsa Melayu tetapi bentuknya bukanlah mutlak tetapi atas dasar tolak ansur dan ihsan bangsa lain. Jelas walaupun sebagai bangsa majoriti daripada segi penduduk, pencapaian bangsa Melayu masih jauh di belakang.
Banyak usaha dan tenaga perlu ditumpukan untuk maju. Berpecah belah dan bersengketa sesama pimpinan Melayu bukan sahaja melambatkan usaha memajukan bangsa tetapi menolak bangsa lebih jauh ke belakang. Kita perlu insaf, perkara itu sangat merugikan orang Melayu.
Bangsa Melayu tentu ingin maju dan mahu menjadi bangsa lebih hebat 100 tahun akan datang. Tetapi sejarah 600 tahun dahulu perlu diinsafi terlebih dahulu sekiranya kita mahu menjadi lebih hebat.
Anak-anak kita diajar di sekolah tentang bersatu padu, cintakan bangsa dan negara tetapi di luar bilik darjah mereka melihat tokoh kebanggaan mereka berpecah-belah. Ironinya, keadaan ini tidak menguntungkan sesiapa khususnya bangsa Melayu itu sendiri.
Pemimpin dan masyarakat Melayu seharusnya lebih menilai dan menginsafi sejarah bangsa sendiri. Percayalah, pemimpin Melayu yang sedar mengenai sejarah bangsanya akan berjuang untuk menjadikan bangsa ini lebih hebat dan berdaulat.
PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.
No comments:
Post a Comment
KOMEN ANDA