ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Thursday, August 19, 2010

Menghormati ideologi negara


Menghormati ideologi negara
Oleh Asan Ali Golam Hassan
Utusan Online – 20.8.2010
DASAR Ekonomi Baru, iaitu bagaimana agihan kekayan ekonomi negara seharusnya dilaksanakan dengan matlamat akhirnya untuk mencapai perpaduan adalah sebahagian daripada ideologi negara yang wajar difahami dan dihormati oleh semua warganegara.
Tanpa adanya satu ideologi negara yang saling diterima dan dihormati, matlamat pertumbuhan ekonomi, pengagihan yang saksama, kestabilan politik dan perpaduan nasional tidak mungkin dapat dicapai.
Rukun Negara adalah ideologi Malaysia. Ia bermatlamat untuk menyatukan pelbagai kaum di Malaysia dalam satu ideologi nasional. Ia diisytiharkan kepada semua warganegara Malaysia pada sambutan Hari Kemerdekaan 1970 iaitu selepas peristiwa 13 Mei 1969 dan sebelum DEB itu dilaksanakan.
DEB dirangka sebagai alat pembangunan ekonomi kepada ideologi pembinaan negara Malaysian iaitu merupakan asas kesejahteraan ekonomi Rukun Negara. DEB tidak boleh bergerak tanpa semua rakyat memahami dan berazam untuk mencapai ideologi negara (Rukun Negara).
Matlamat pengagihan yang saksama terkandung dalam Rukun Negara “kekayaan negara akan dibahagikan secara saksama” dan mula dilaksanakan melalui DEB. Matlamat akhir DEB ialah perpaduan nasional, seperti yg digariskan dalam perisytiharan Rukun Negara, “berazam untuk mencapai perpaduan bagi semua rakyatnya”.
RUKUN NEGARA
Perisytiharan negara kita, Malaysia, berazam
* Untuk mencapai perpaduan bagi semua rakyatnya;
* Untuk mengekalkan cara hidup berdemokrasi;
* Untuk mewujudkan masyarakat yang adil di mana kekayaan negara akan dibahagikan secara saksama;
* Untuk memastikan pendekatan liberal kepada tradisi budayanya yang kuat dan pelbagai;
* Untuk membina masyarakat progresif yang menuju ke arah sains dan teknologi moden
KAMI, rakyatnya, berikrar menyatukan usaha untuk mencapai matlamat ini menurut prinsip-prinsip berikut;
Kepercayaan kepada Tuhan
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-Undang
Kesopanan dan Kesusilaan
“KAMI, berikrar menyatukan usaha untuk mencapai matlamat menurut” salah satunya ialah Keluhuran Perlembagaan”.
Jelas, Keluhuran Perlembagaan adalah satu idelogi negara yang menjadi pedoman dan dihormati oleh semua pihak. Maka isu pengagihan dan hak orang Melayu termasuk bumiputera Sabah, Sarawak dan masyarakat Orang Asli seperti yang dinyatakan dalam Perkara 153 tidak seharus dianggap sebagai satu diskriminasi kerana ia adalah sebahagian daripada Perlembagaan Malaysia yang merupakan salah satu daripada intipati ideologi negara yang kita telah berikrar untuk mencapainya.
Tun Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara (dalam buku Constitution, Law and Judiciary) ada menyebut, “bagi sesiapa yang tidak bersetuju dengan Perlembagaan Malaysia, dia akan sentiasa tidak bersetuju dengan Rukun Negara.”
Ideologi negara termasuk juga Perlembagaan Malaysia tidak menyebut dengan jelas bagaimana kaum pribumi akan dibantu dalam meningkatkan taraf hidup mereka. Oleh itu, Rangka Rancangan Jangka Panjang (RRJP) kerajaan diolah supaya seiring dengan apa yg telah ditetapkan oleh ideologi negara.
RRJP ini bermula dengan Dasar Ekonomi Baru (1971-1991) kemudian Dasar Pembangunan Nasional (1991-2000), Dasar Wawasan Negara (2001-2010) dan kini Model Baru Ekonomi (2011-2020).
DEB merupakan suatu proses “kejuruteraan sosial” berlandaskan kontrak sosial 1957 untuk mencapai matlamat perpaduan kaum melalui pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat.
Pencapaian matlamat DEB sangat bergantung kepada pertumbuhan ekonomi negara, iaitu bagaimana pertumbuhan itu kemudiannya akan diagihkan bagi mencapai matlamat pengagihan.
Sejak DEB dilancarkan, pembangunan kepada kepelbagaian ekonomi, penekanan kepada pembangunan luar bandar, pengurangan kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat telah menjadi objektif utama pembangunan ekonomi negara. Matlamat perancangan pembangunan ialah “pertumbuhan dan pengagihan yang saksama.
Untuk mencapai matlamat tersebut, perbagai agensi kerajaan (perusahaan awam) ditubuhkan khusus untuk membangunkan kawasan luar bandar.
Perancangan baru dan yang wujud sejak Rancangan Malaya Pertama dirancakkan lagi terutamanya melalui DEB.
Strategi utama pembangunan luar bandar telah dilaksanakan iaitu, pembukaan tanah (rancangan) baharu; pembangunan in-situ; pemodenan luar bandar dan penciptaan pesat pertumbuhan yang baru; serta strategi penyelarakan kawasan industri ke kawasan luar bandar.
Selain itu, Rancangan Buku Merah, konsep Saemaul Undong, pembangunan koperasi desa, dan pelbagai agensi kerajaan seperti Felda, Felcra, Risda, Kejora, Kesedar, Ketengah, Mada, Dara, Bank Bumiputera dan lain-lain diwujudkan khusus untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat luar bandar dan meningkatkan keupayaan mereka untuk bersaing dalam bidang ekonomi.
Tanpa bantuan agensi-agensi kerajaan ini, kaum pribumi sukar untuk bersaing kerana mereka bermula pada tahap perniagaan atau kemahiran yang berbeza. Pengerusi pertama Bank Bumiputera Datuk Roslan Abdullah pernah membandingkan apa yang berlaku dengan perumpamaan sebuah kereta Jaguar yang memotong Morris Minor dan terus hilang dari pandangan.
Matlamat ideologi negara juga diserapkan Misi Nasional iaitu satu rangka kerja dasar dan pelaksanaan bagi mencapai matlamat Wawasan 2020. Misi Nasional memberi penekanan kepada peningkatan keupayaan negara untuk bersaing di peringkat global, memperkukuh perpaduan negara serta pengagihan pendapatan serta kualiti hidup yang lebih baik.
Teras ketiga Misi Nasional ialah menangani masalah ketidaksamaan sosioekonomi secara membina dan produktif sangat berkait rapat dengan ideologi negara - “kekayaan negara akan dibahagikan secara saksama”.
Model Baru Ekonomi (2011-2020) dan Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015) juga terus memberi penekanan kepada meningkatkan potensi menjana pendapatan, pencapaian pendidikan dan kemahiran bagi isi rumah berpendapatan rendah.
Strategi juga dirangka bagi meningkatkan taraf hidup golongan yang terpinggir dari arus perdana pembangunan ekonomi negara yang meliputi kaum pribumi Sabah, Sarawak, masyarakat Orang Asli di Semenanjung, bantuan-bantuan kewangan dan meningkatkan akses kepada infrastruktur di kampung-kampung baru Cina dan pekerja ladang.
Tindakan afirmatif berhubung langkah membantu pribumi dalam Model Baru Ekonomi akan lebih berasaskan kepada mesra pasaran, lebih berasaskan merit, lebih telus dan berdasarkan keperluan.
Menurut Datuk Seri Najib Razak, semasa membentang Model Baru Ekonomi “objektif asalnya masih lagi relevan, namun, sudah tiba masanya untuk kita menilai kembali pelaksanaan DEB. Kita akan menyasarkan pencapaian matlamat yang sama tetapi dengan mengubah cara kita melaksanakannya.”
"1Malaysia” yang juga merangkumi “pertumbuhan dan pengagihan yang saksama” perlu diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan, iaitu bagaimana kesaksamaan, kesamarataan dan kekitaan akan diintegrasikan dengan ideologi negara terutamanya perkara-perkara yang jelas terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
Matlamat akhir "1Malaysia” ialah perpaduan yang berkaitan secara langsung dengan teras ketiga Misi Nasional, iaitu menangani masalah ketidaksamaan sosio ekonomi secara membina dan produktif.
Ia sangat berkait rapat dengan ideologi negara “kekayaan negara akan dibahagikan secara saksama” dan “berazam untuk mencapai perpaduan bagi semua rakyatnya” seperti yang terkandung dalam Rukun Negara.
Cabaran utama kini ialah bagaimana hendak mengintegrasikan budaya kecemerlangan, prinsip meritokrasi melalui agihan kek ekonomi dengan berkonsepkan peluang untuk semua dengan ideologi negara dalam merangka perancangan pembangunan dengan maltamat akhir, iaitu pencapaian taraf negara maju yang makmur tanpa membelakangkan ideologi negara iaitu RUKUN NEGARA.
Penulis ialah Prof. Madya di Kolej Sastera
dan Ekonomi, Universiti Utara Malaysia

Bersatu pertahan perpaduan


Bersatu pertahan perpaduan
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

KITA berkongsi usia kemerdekaan ke-53 dengan sebuah lagi negara di Afrika iaitu Ghana. Bezanya Ghana merdeka lebih awal iaitu pada 6 Mac 1957 manakala kemerdekaan Malaysia dicapai pada 31 Ogos 1957. Kemerdekaan Ghana dari penjajah British membawa pengaruh yang cukup besar di benua Afrika. Ghana menjadi negara sub sahara pertama yang berjaya membebaskan diri daripada cengkaman penjajah. Ia kemudiannya mendorong kebangkitan negara Afrika lain untuk turut menuntut kemerdekaan.
Setahun kemudiannya, Guinea mencapai kemerdekaan diikuti negara lain iaitu Republik Congo, Madagascar, Senegal, Cyprus dan Mauritania yang bebas daripada penjajah pada 1960. Algeria dan Kenya pula masing-masing mengecapi nikmat kemerdekaan pada 1962 dan 1963. Selain negara-negara di rantau Afrika, Malaysia juga berkongsi usia kemerdekaan yang sama atau hampir sama dengan sekurang-kurangnya 50 buah negara lain.
Negara-negara ini mengecapi kemerdekaan dalam tempoh 10 tahun antara tahun 1957 hingga 1966 daripada penjajahan Barat. Jadi, apa rasionalnya membandingkan kemerdekaan negara-negara ini dengan kemerdekaan Malaysia? Jika diperhatikan, Malaysia selepas 53 tahun merdeka jauh lebih maju dan membangun berbanding dengan kebanyakan negara-negara yang hampir sebaya itu.
Sama ada dari sudut ekonomi, pembangunan fizikal atau modal insan, kita jauh lebih baik dan terkehadapan. Ketika sebahagian besar daripada kita hidup berlimpahkan kesenangan, sebahagian besar rakyat Afrika pula masih bergelut untuk mencari sesuap makanan. Hampir separuh daripada rakyat di 53 buah negara benua itu juga menjadi pelarian, hidup merempat di kem-kem kemanusiaan dan mengharapkan belas ehsan masyarakat dunia untuk meneruskan kehidupan.
Begitu besarnya nikmat kemerdekaan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia jika dibandingkan dengan rakyat di sebahagian negara di benua Afrika itu. Perbandingan sebegini mungkin boleh dianggap keterlaluan, tetapi logiknya tetap ada. Benua Afrika adalah antara benua yang terkaya di dunia dengan beberapa buah negara terutamanya di wilayah utara merupakan antara pengimport utama minyak dunia.
Antaranya Nigeria, Uganda, Congo, Angola, Sudan serta beberapa buah negara lain. Selain minyak, negara-negara di benua Afrika juga kaya dengan sumber asli, selain antara pengeluar utama kepada beberapa jenis produk makanan. Malah jika boleh dibandingkan, kekayaan negara-negara ini jauh lebih besar daripada apa yang dimiliki dan tersimpan di bawah perut bumi Malaysia.
Namun, itu semua tidak menjanjikan apa-apa kelebihan kepada rakyat di negara benua tersebut. Halangan utama adalah perbezaan suku, etnik, ras, kaum, agama, kefahaman, budaya dan pelbagai lagi di kalangan rakyatnya.
Perbezaan itu begitu menebal sehingga menyebabkan berlakunya perang sesama sendiri atau perang saudara. Korupsi dalam pemerintahan negara serta ancaman kumpulan militan yang bersembunyi di sebalik agama juga menjadi ancaman utama kepada keamanan dan kestabilan di negara benua tersebut.
Malaysia juga sebenarnya boleh terjebak dalam kancah peperangan seperti negara-negara di benua Afrika itu sekiranya kita gagal meletakkan kepentingan negara dan bangsa mengatasi mana-mana kepentingan kaum. Ini kerana secara komposisinya, rakyat Malaysia yang berjumlah kira-kira 26 juta terbahagi kepada tiga kaum utama iaitu Melayu, India dan Cina. Selain itu, Malaysia juga menjadi negara kepada kaum-kaum lain terutamanya etnik di Sabah dan Sarawak.
Toleransi yang tinggi antara rakyat serta pemimpin pelbagai kaum di negara ini sepanjang lebih lima dekad lalu berjaya membentuk sebuah negara Malaysia yang aman, stabil dan maju. Namun semakin negara menginjak usia lebih dewasa, kematangan kemerdekaan dalam kalangan rakyat nampaknya semakin pudar. Perpaduan dan keharmonian antara kaum yang selama ini menjadi teras kepada pembangunan negara cuba diganggu-gugat dengan pelbagai anasir yang berbentuk hasutan.
Isu-isu yang menyentuh mengenai perasaan dan maruah kaum lain acapkali dijadikan perdebatan. Ia mendatangkan keresahan dan kegusaran di kalangan masyarakat dan menimbulkan rasa kurang senang dalam perhubungan antara pelbagai kaum. Malah, ada yang sehingga begitu terdesak merangka perlembagaan baru dan menafikan apa yang menjadi hak kepada kaum-kaum tertentu sebelum ini.
Ini adalah satu usaha yang sangat merbahaya dan boleh menjerumuskan negara kepada kancah perang saudara. Kita seolah-olah tidak mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku di negara Afrika serta negara-negara berkonflik lainnya. Memang pada zahirnya hubungan antara kaum ketika ini tidak memperlihatkan sebarang tanda-tanda kerosakan. Tetapi sampai bila ia mampu bertahan sekiranya saban hari diasak dengan pelbagai sentimen perkauman? Ibarat api yang membakar sekam, isu-isu perkauman sebegini lama-kelamaan boleh membakar perasaan rakyat secara diam.
Kita pernah diingatkan betapa sukarnya negara mengharungi detik-detik hitam 13 Mei 1969. Ia adalah satu catatan sejarah yang tidak boleh dibiarkan berulang. Kita tidak memerlukan sebuah hakikat yang pahit sekali lagi untuk diingatkan tentang nikmat mengecapi kebebasan dan kemerdekaan. Sementara nikmat itu masih berada dalam genggaman, bersama-samalah kita bersatu mempertahankannya.

Wednesday, July 14, 2010

Percubaan manipulasi fakta sejarah


Percubaan manipulasi fakta sejarah

Oleh IDRIS ABDUL HAMID /Utusan OnLine 15 Julai 2010

FAKTA tidak boleh dibahaskan… Itulah sanggahan daripada salah seorang peserta yang menegaskan bahawa sesuatu fakta sejarah tidak boleh dibahaskan. Ia sudah menjadi fakta, dari itu kita kena terima seadanya. Ini kerana topik yang dibahaskan adalah suatu yang sensitif dan diperakui sebagai sejarah.
Menarik penghujahan yang dilontarkan oleh peserta berkenaan. Bertambah menariknya apabila beliau mengakui telah mengajar subjek sejarah sejak 10 tahun lalu dan sekarang mengajar subjek kenegaraan pula.
Bagi menjawab persoalan itu, saya meletakkan sebotol air mineral di atas rostrum dengan labelnya mengadap saya lalu bertanya, apakah objek tersebut. Beliau menjawab, botol air minuman.
Apabila ditanya apa yang tertera di belakang botol tersebut, jawapannya tidak tahu kerana tidak nampak. Saya bertanya pada peserta yang berada di hujung kiri dan kanan dewan apa yang mereka lihat? Jawapannya berbeza antara satu sama lain. Masing-masing mendakwa apa yang dilihat itulah bahagian hadapan. Apabila ditanya perkataan apa yang tertulis di bahagian belakang yang mengadap saya? Mereka menjawab tidak tahu kerana tidak nampak.
Maka saya pusingkan botol dan bertanya adakah para hadirin nampak keseluruhan perkataan serta gambar yang tertera pada botol itu, jawapannya Ya.
Begitu juga sejarah, ia perlu dilihat dari pelbagai sudut barulah kita dapati perkara yang sebenarnya berlaku.
Bagaimanapun, peserta yang menggesa supaya fakta sejarah tidak dibahaskan masih bertegas dengan pendiriannya dengan mendakwa saya mengelirukan para hadirin. Keliru! Tiada niat sama sekali tetapi peserta itulah yang mengelirukan pemikiran dan bersifat tertutup untuk menerima sesuatu yang baru, kerana persepsi awalnya mendakwa saya yang berkelulusan jurutera tidak layak untuk membicarakan mengenai sejarah negara dan kenegaraan.
Sebagai seorang yang berkelulusan teknikal dan dilatih untuk melihat sesuatu itu dari pelbagai aspek, begitu juga apabila mengkaji sejarah negara, kita tidak boleh melihat ia dari satu sudut sahaja, sebaliknya ia perlu dilakukan secara menyeluruh, barulah mendapat gambaran yang sebenarnya.
Perdebatan ini berlaku dalam satu wacana ilmu mengenai sejarah penubuhan Malaysia yang dihadiri oleh golongan pendidik. Ia bermula apabila seorang peserta bukan Melayu menyatakan bahawa orang Melayu di Melaka pada zaman Kesultanan Melayu Melaka adalah masyarakat tertutup dan ketinggalan dalam pelbagai bidang.
Beliau mendakwa, Melaka maju hanya disebabkan kehadiran pedagang Cina dan India. Jika kedua-dua bangsa tidak membantu, orang Melayu Melaka akan terus berada dalam keadaan daif dan tidak bertamadun.
Tersentak saya dengan dakwaan tersebut. Saya bertanya jika Melaka tidak maju mana mungkin, pelabuhan Melaka yang dikendalikan oleh orang Melayu Melaka didatangi oleh pedagang-pedagang dari seluruh pelusuk dunia? Seperti yang ditulis sejarawan Portugis, Tome Pires di dalam bukunya Suma Oriental, antara negara yang datang berdagang di Melaka selain Portugis ialah Kaherah, Mekah, Aden, Malindi, Ormuz, Parsi, Rom, Turki, Turkomans, Armenia, Gujarat, Malabar, Klings, Ceylon, Bengala, Arakan, Pegu, Siam, Patani, Kambodia, Champa, China, Brunei, Lucoes, Laue, Banka, Linga, Banda, Bima, Timor, Madura, Jawa, Sunda, Palembang, Jambi, Tongkal, Indragiri, Minangkabau, Siak, Arqua, Aru, Bata,Tomjano, Pase, Pedir, Maldives dan banyak lagi.
Di dalam buku berkenaan juga mencatatkan terdapat 84 bahasa yang dipertuturkan sehari di pelabuhan Melaka, tetapi jika tidak tahu berbahasa Melayu mereka tidak dibenarkan berdagang. Ini menunjukkan sistem pentadbiran Melaka diterima pakai oleh masyarakat pedagang ketika itu.
Maknanya, pedagang Cina dan India sama peranannya seperti pedagang negara lain, cuma pedagang Cina dan India diberikan sedikit keistimewaan berbanding yang lain. Ini kerana berdasarkan sejarah, Melaka telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan China dan maharaja Ming telah memperakui Melaka sebagai sebuah negara di bawah naungannya.
Berdasarkan hubungan itu, orang Melayu Melaka telah 'mempelawa' orang Cina untuk bersama-sama memajukan ekonomi Melaka. Manakala India, antaranya berdasarkan pengembangan agama Islam dan percayanya orang Melayu ketika itu, turut meletakkan orang India di dalam sistem pentadbiran Istana Melaka. Mulia sungguh hati orang Melayu!
Adakah dengan alasan ini, bermakna orang Melayu tidak 'cerdik' dalam mengurus ekonomi dan pentadbiran negara, atau orang Melayu sebenarnya 'mengajar' pedagang-pedagang asing bagaimana untuk menjadi seorang pedagang dan pentadbir yang cemerlang termasuk kepada pedagang Cina dan India.
Cuba lihat kenyataan Damio de Geos di dalam bukunya Bibilotheca de Classicos Portuguezes, bab 1, m.s 117, perenggan 14; "Bandar Melaka terletak di tepi lautan Siam, di muara sebatang sungai yang kecil. Ia merentangi sepanjang pesisir pantai dan sempit. Terdapat dusun yang sangat subur dan air tawar yang begitu banyak. Sumber-sumber bekalan dibawa dari luar."
Begitu juga dalam Bab 1, m.s 117, Perenggan 13, Damio de Geos mencatatkan bahawa Melaka dikenali sebagai bandar yang terkaya di dunia memandangkan bahawa pedagang-pedagang yang menduduki bandar tersebut adalah sangat kaya.
Kekayaan mereka dinilai dari segi jumlah emas yang dimilikinya. Emas ditukar dalam bahar - satu bahar adalah sama dengan 4 quintaes (satu quintaes adalah sama dengan 100 kilogram). Terdapat pedagang di Melaka yang memiliki emas dan permata antara 10 hingga 12 bahar"
Jika dikaji kenyataan di atas, ia menyatakan bahawa Melaka dikenali sebagai bandar yang terkaya di dunia. Tiada perkataan 'antara' diletakkan. Ini bermakna Melaka adalah negara yang terkaya di dunia ketika itu, mengatasi negara-negara maju di Eropah. Tidak cerdikkah orang Melayu?
Damio de Geos, turut menyatakan "Terdapat rumah-rumah berbatu yang kelihatan indah dan terdapat istana-istana yang indah."
Juga seperti mana yang dikatakan oleh M.B. Lewis, pensyarah Bahasa Melayu Universiti London dalam A Handbook of Malay Script dicetak pada tahun 1954.
"Kalakian maka datang sebuah kapal Feringgi dari Goa maka ia berniaga di Melaka. Maka dilihat oleh Feringgi itu negeri Melaka terlalu baiknya dan bandarnya pun terlalu ramai,"
Secara logik apabila Melaka maju, bermakna orang Melayu ketika itu bukan sahaja bangsa yang kaya malahan bijak dari segi pentadbiran, ekonomi termasuklah hubungan antarabangsa. Itu sebab wujudnya Hukum Kanun Melaka dan Undang-Undang Laut Melaka.
Persoalannya, apabila ada dakwaan menyatakan bahawa orang Melayu tidak mampu berdikari tanpa bantuan orang bukan Melayu dari segi ekonomi, pendidikan mahupun pentadbiran, sejarah membuktikan sebaliknya. Adakah penanya berkenaan cuba memanipulasi fakta sejarah, supaya berpihak kepadanya?
Dilihat masa era penjajahan yang bermula pada 24 Ogos 1511 iaitu Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun, sistem atau ketamadunan Bangsa Melayu telah dimusnahkan. Dalam tempoh 446 tahun dijajah, siapa sebenarnya yang mendapat manfaat daripada penjajahan tersebut? Adakah orang Melayu atau bukan Melayu yang menerima 'laba' daripada penjajah?
Apabila dihujah sedemikian, para peserta berkata, mereka tidak tahu. Mereka tidak diajar di sekolah. Apa yang diajar sekarang? Pelik! Saya memperoleh fakta ini semua di dalam buku sejarah yang dibaca di peringkat sekolah, cuma saya kembangkan untuk mendapatkan fakta tambahan bagi mengesahkan apa yang sebenarnya berlaku.
Adakah benar fakta Sejarah tidak boleh dibahaskan? Adakah fakta yang disogokkan sekarang perlu dipertahankan, atau kebenaran perlu dicari! Fakta tetap fakta, yang perlu dicari ialah kaitan antara satu sama lain sehingga memberikan satu gambaran yang jelas berhubung sesuatu peristiwa itu.
Malangnya, terdapat segelintir mereka yang mempunyai kuasa, tidak membenarkan perkara-perkara sedemikian dibahaskan secara ilmiah dan yang lebih menyedihkan dengan kuasa yang mereka ada mengarahkan apa-apa yang melibatkan orang Melayu terutama konsep Ketuanan Melayu tidak boleh dibahaskan. Alasannya takut akan dianggap bersifat perkauman.
Jawapan saya mudah, mereka tiada roh Melayu Ultra. Jika benar mereka bangsa Melayu, fakta sejarah bangsa Melayu tidak harus 'disembunyikan'. Golongan inilah yang sebenarnya mengkhianati perjuangan nenek moyang mereka yang terkorban demi mempertahankan kewujudan bangsa iaitu bangsa Melayu. Sedarlah bangsa Melayu.

Penulis ialah penceramah motivasi.

Thursday, June 10, 2010

Menuju ke arah negara maju


Menuju ke arah negara maju
Utusan Malaysia/11.6.2010

UCAPAN Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak semasa membentangkan usul tentang Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) di Dewan Rakyat pada 10 Jun 2010, pukul 11.30 pagi.
Tuan Yang di-Pertua,
Dengan sukacita, saya berdiri di Dewan yang mulia ini untuk mengemukakan satu usul seperti berikut:
“Bahawa Dewan ini, menyedari akan cabaran pertumbuhan ekonomi serta pencapaian sosioekonomi semasa pelaksanaan RMK-9 dalam menghadapi persekitaran global yang begitu mencabar; merestui usaha kerajaan untuk terus melaksanakan Misi Nasional dengan disokong oleh Model Baru Ekonomi sebagai rangka dasar pembangunan bagi mencapai matlamat Wawasan 2020; meluluskan RMK-10 yang akan dilaksanakan berasaskan hala tuju strategik, program dan peruntukan yang diperlukan untuk merealisasikan Wawasan 2020 dan membawa negara ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang tahun 2020 seperti dibentangkan dalam Kertas Perintah CMD.3 Tahun 2010.
Bahawa dalam meluluskan RMK-10, Dewan yang mulia ini menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersatu padu dengan semangat “1Malaysia: Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan” dan mempunyai iltizam yang teguh bagi melaksanakan tanggungjawab yang murni untuk menjayakan pelan transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi dan maju, berdaya tahan dan berdaya saing, demi untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia.”
RANCANGAN KEMAKMURAN
EKONOMI DAN KEADILAN SOSIAL
Tuan Yang di-Pertua,
Alhamdulillah, dipanjatkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala lantaran izin dan rahmatNya jua, maka pada hari penuh bermakna ini, 10 Jun 2010 bersamaan 27 Jamadil Akhir 1431, saya akan membentangkan RMK-10 bagi tempoh 2011 hingga 2015. Rancangan ini adalah amat kritikal bagi meneruskan kesinambungan prakarsa nasional ke arah merealisasikan Wawasan 2020 menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.
Tuan Yang di-Pertua,
Sejak mencapai kemerdekaan lebih lima dekad lalu, Malaysia, sebagai sebuah negara majmuk telah meraih kejayaan demi kejayaan yang menakjubkan. Hakikatnya, ketika banyak pihak sibuk menulis belasungkawa tentang negara tercinta ini, kita telah berjaya mengesima ketidakyakinan serta kesinisan mereka.
Tidak keterlaluan untuk rakyat Malaysia mendabik dada dan membuktikan bahawa dengan kepimpinan serta persekitaran yang betul, pelbagai puncak berjaya ditawan, pelbagai pancang berjaya dicapai dan pelbagai tembok berjaya didaki. Hasilnya, dari sebuah negara pertanian berpendapatan rendah yang bergantung kepada getah dan bijih timah, Malaysia hari ini muncul menjadi sebuah negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi dengan asas ekonomi yang mantap.
Kejayaan yang digarap ini bukan datang bergolek dalam angan-angan tanpa perancangan mahupun tanpa usaha, sebaliknya ia hasil gigih kepimpinan kerajaan berwawasan dengan sokongan padu rakyat sejak merdeka. Dalam hal ini, kita amat terhutang budi kepada kepimpinan negara dan generasi terdahulu kerana faktanya, kita hari ini, membuat lonjakan di atas tapak yang telah mereka bina dengan segala jerih payah dan pengorbanan begitu besar. Secara sedar ataupun tidak, dua Rancangan Malaya, sembilan Rancangan Malaysia, tiga Rangka Rancangan Jangka Panjang serta satu Misi Nasional telah dan sedang dilalui sehingga kita tiba ke pusingan pada hari ini.
Pada titik ini, bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, saya ingin merakamkan rasa penghargaan tulus dan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada kelima-lima mantan Perdana Menteri sebermula daripada Tunku Abdul Rahman Putra sehinggalah Tun Abdul Razak Datuk Hussein, Tun Hussein Onn, Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kesemuanya, adalah wirawan nasional, yang mana jasanya akan tertulis dan tersepuh dek tinta emas dalam lebaran tawarikh negara. Kepada yang telah kembali menemui Pencipta, kita menadah kedua tangan memohon doa agar roh mereka dirahmati dan mendapat balasan yang sewajarnya di sisi Rabbul Jalil.
Tidak dapat dinafikan, rehlah negara ini meniti dan menongkah himpunan peristiwa serta pelbagai saat suka duka. Sejarah yang dilewati itu wajar dianggap sebagai teladan berguna kepada kita namun, janganlah menjadikan alasan sejarah sebagai sempadan yang memenjarakan pemikiran. Untuk berjaya, rakyat Malaysia perlu berani berfikir, di luar dari kotak penakulan yang lazim. Sehubungan itu, sekalipun kerajaan menjadikan detik-detik lalu sebagai panduan dan sempadan, kita tidak boleh sekali-kali terperangkap dengan sindrom penjara sejarah supaya tidak berlakunya paralisis dari segi tindakan yang dirancang dan apa ingin dilaksanakan.
Bagi tempoh RMK-9, ekonomi Malaysia dianggar berkembang pada kadar 4.2 peratus setahun dan pendapatan negara kasar per kapita akan mencecah RM26,420 atau AS$8,260 pada tahun 2010. Tambahan lagi, ia dicapai dalam suasana kadar inflasi yang rendah manakala, kadar pengangguran dijangka pada paras 3.6 peratus pada tahun 2010. Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan pula diunjur, mengecil kepada 5.3 peratus pada tahun ini, berbanding 7 peratus kepada KDNK pada tahun 2009.
Pelaksanaan program pembasmian kemiskinan untuk golongan sasar pula, telah berjaya mengurangkan kadarnya, kepada 3.8 peratus pada 2009, berbanding 5.7 peratus tahun 2005. Peratusan miskin tegar pula telah menurun daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus dalam tempoh yang sama.
Bagi menangani cabaran kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 2008 dan 2009, kerajaan telah memperkenalkan dua pakej rangsangan ekonomi bernilai RM67 bilion. Dengan izin Allah SWT, ekonomi negara telah semakin pulih dan mencatatkan pertumbuhan amat membanggakan pada kadar 10.1 peratus bagi suku pertama tahun ini. Ini merupakan kadar pertumbuhan tertinggi sejak 10 tahun yang lalu. Mudah-mudahan, bagi tahun 2010 ekonomi Malaysia akan kembali cergas dengan mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6 peratus.
Tuan Yang di-Pertua,
Di persada global, perjalanan kita ke arah Wawasan 2020 penuh dengan cabaran getir dan tidak menentu. Hari ini, pentas ekonomi dunia telah banyak berubah dan Malaysia tidak lagi boleh bergantung kepada struktur kos yang rendah untuk terus berdaya saing di peringkat antarabangsa. Arus globalisasi, liberalisasi dan negara-negara seperti China, India, Brazil, Rusia, Timur Tengah dan juga negara-negara jiran telah mewujudkan persaingan sengit kepada usaha untuk menarik lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan.
Selain daripada faktor persekitaran ekonomi dunia, Malaysia juga menghadapi pelbagai cabaran domestik dalam usaha melonjakkan pertumbuhan ekonomi ke tahap yang lebih tinggi, dan pada masa yang sama bertujuan melaksanakan dasar fiskal yang berhemah. Antara cabaran utama adalah untuk menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif dan membentuk gagasan modal insan berkualiti tinggi, bagi membolehkan anjakan ke tahap nilai ditambah dan produktiviti yang mantap.
RMK-10 MELANGKAH KE HADAPAN
Tuan Yang di-Pertua
RMK-10 telah dirangka dengan pelbagai pendekatan baru dalam perjalanan menuju ekonomi berpendapatan dan berproduktiviti tinggi sesuai dengan Model Baru Ekonomi yang diperkenalkan.
Dalam Rancangan ini, Pendapatan Negara Kasar per kapita telah disasar untuk meningkat kepada RM38,850, atau AS$12,140 pada tahun 2015. Ini memerlukan KDNK sebenar berkembang pada kadar 6 peratus setahun. Pertumbuhan akan diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan, di samping, menggiatkan semula sektor pertanian yang bernilai tambah tinggi, serta penyerapan kaedah ICT, bioteknologi serta pelantar teknologi yang berkaitan.
Cabaran besar rancangan ini adalah untuk memangkin pelaburan swasta ke tahap yang lebih cergas, di mana ia disasar berkembang 12.8 peratus atau RM115 bilion setahun. Pada masa yang sama, kerajaan komited untuk mengurangkan defisit fiskal daripada 5.3 peratus KDNK dalam tahun 2010 kepada kurang daripada 3 peratus pada tahun 2015. Selain itu, kerajaan akan berusaha tanpa jemu memastikan bahawa taraf serta kualiti hidup rakyat bertambah baik, terutamanya bagi golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah.
RMK-10: 10 PREMIS UTAMA
Tuan Yang di-Pertua
Sesungguhnya tumpuan mentransformasi negara ke arah mencapai Wawasan 2020 memerlukan kepada penekanan yang khusus dan menyeluruh. Seluruh tenaga dan fikiran perlu digembleng ke arah mencapai objektif ini. Rancangan ini digagaskan daripada 10 idea besar yang kini diterjemahkan sebagai 10 premis utama seperti berikut:
* Pertama: Memacu ekonomi domestik dengan kepekaan persekitaran luar negara.
* Kedua: Memanfaatkan dan menuas faktor kepelbagaian etnik sebagai satu elemen kejayaan di arena antarabangsa.
* Ketiga: Mentransformasi negara ke arah pendapatan tinggi menerusi pengkhususan.
* Keempat: Menjayakan pertumbuhan dipacu oleh produktiviti dan inovasi.
* Kelima: Memupuk, menarik dan mengekalkan modal insan unggul.
* Keenam: Memastikan peluang yang saksama dan melindungi golongan mudah terjejas.
* Ketujuh: Pertumbuhan bertumpu dan pembangunan inklusif.
* Kelapan: Menyokong perkongsian pintar yang efektif.
* Kesembilan: Menghargai khazanah alam sekitar.
* Kesepuluh: Kerajaan umpama syarikat yang berdaya saing.
RMK-10: LIMA TERAS STRATEGIK
Tuan Yang d-Pertua
Dalam menerajui hala tuju bagi mencapai aspirasi RMK-10, lima teras strategik utama telah dikenal pasti ke arah mencapai objektif dalam rancangan ini.
Lima teras tersebut adalah seperti berikut:
* Pertama: Menggubah falsafah dan pendekatan kerajaan ke arah mentransformasikan Malaysia dengan metodologi NKRA;
* Kedua: Mewujudkan persekitaran kondusif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi;
* Ketiga: Menuju ke arah pembangunan sosioekonomi secara inklusif;
* Keempat: Membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia; dan
* Kelima: Mewujudkan persekitaran kondusif ke arah mempertingkatkan kualiti hidup.
Tuan Yang di-Pertua,
Teras Strategik Pertama: Menggubah falsafah dan pendekatan kerajaan ke arah mentransformasikan Malaysia dengan metodologi NKRA. Proses transformasi negara menuntut kepada transformasi jentera kerajaan bagi menyokong peralihan ekonomi. Untuk muncul sebagai negara berdaya saing di peringkat global, kerajaan perlu berubah seumpama syarikat yang berdaya saing. Untuk meneruskan aspirasi kita bagi menjadi sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi, kita tidak boleh lagi mengambil langkah berdikit-dikit, malahkerajaan telah mula mengambil langkah transformasi, pada masa yang sama mempertahankan agenda keadilan sosial. Bagi maksud ini, kerajaan akan berpegang kepada 4 tiang utama yakni formula empat campur empat.
Dua komponen ini boleh dibahagikan kepada 4 tiang utama, terdiri daripada:
* Pertama: Falsafah induk “1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”; l Kedua: Program Transformasi Kerajaan atau GTP;
* Ketiga: Program Transformasi Ekonomi atau ETP yang bersandarkan Model Baru Ekonomi dan,
* Keempat: Dua rancangan pembangunan lima tahun yakni RMK-10 dan RMK-11. Empat tiang utama ini pula didokong oleh empat nilai asas pelengkap.
* Pertama: Membudayakan kreativiti dan inovasi.
* Kedua: Mementingkan kepantasan bertindak dan membuat keputusan.
* Ketiga: Nilai untuk wang dan,
* Keempat: Nilai integriti. Jadinya jika diibaratkan seumpama sebuah rumah, bumbungnya adalah falsafah induk “1Malaysia, Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”, dindingnya adalah GTP dan ETP serta lantainya yang sedang kita bina adalah RMK-10 dan RMK-11. Manakala ibaratnya lagi tangga menaiki rumah 1Malaysia ini adalah dasar-dasar keadilan sosial dan budaya pencapaian tinggi.
Selanjutnya, langkah transformasi kerajaan yang sedang dibuat bermula dengan pelaksanaan enam bidang keutamaan nasional atau yang lebih dikenali sebagai NKRA. Dengan NKRA tersebut, kerajaan bertekad untuk mengurangkan jenayah, membanteras rasuah, mempertingkat pencapaian pelajar, meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mempertingkat infrastruktur asas luar bandar dan menambah baik sistem pengangkutan awam bandar. Bagi memastikan kehendak dan keperluan rakyat diambil kira, pendekatan rundingan dengan pelbagai pihak termasuk sektor awam dan swasta serta badan bukan kerajaan (NGO) telah diguna pakai.
Sehingga kini, alhamdulillah, kebanyakan inisiatif di bawah NKRA telah membuahkan hasil. Sebagai contoh, bagi NKRA jenayah, kadarnya telah dikurangkan sebanyak 15 peratus pada suku tahun pertama berbanding sasaran sebanyak 5 peratus bagi tahun 2010. Dalam usaha untuk membanteras rasuah pula, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat telah diluluskan oleh Dewan Yang Mulia ini pada bulan April yang lalu. Manakala bagi NKRA pengangkutan awam bandar, usaha penyelarasan laluan bas awam di bandar-bandar utama telah berjaya menghasilkan peningkatan kadar pengguna bas awam bandar kepada 13 peratus. Bagi NKRA pendidikan pula, seramai 18,000 kanak-kanak menerima manfaat daripada 929 kelas prasekolah.
Inisiatif yang berterusan, telah dikenal pasti oleh PEMUDAH dalam usaha meningkatkan kecekapan dan menambah baik prosedur kerajaan. Ini telah membuahkan hasil yang ketara dalam beberapa bidang. Misalnya, bermula 1 April 2010, tempoh masa yang diperlukan untuk memulakan perniagaan telah dikurangkan kepada 3 hari berbanding 11 hari. Kini, pendaftaran pindah milik tanah boleh diselesaikan dalam tempoh satu hari, berbanding 30 hari sebelum ini.
Bermula 11 Mei 2010 pula, terdapat 26 lokasi di seluruh negara yang menawarkan kemudahan pemprosesan pasport antarabangsa Malaysia dalam tempoh satu jam.
TS1.1 Peralihan Tumpuan Kepada
Infrastruktur Bukan Fizikal Mara Ke Depan
Kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan infrastruktur bukan fizikal, termasuk pembangunan modal insan seperti pembangunan kemahiran, serta keupayaan inovasi yang lebih mantap. Dalam pada itu, peruntukan RMK-10 bagi infrastruktur bukan fizikal telah meningkat kepada 40 peratus, berbanding 21.8 peratus dalam RMK-9. Tumpuan akan diberikan kepada program pembangunan kemahiran dan juga aktiviti R&D dan modal teroka, ke arah memupuk tahap inovasi negara yang lebih memberangsangkan.
Pendekatan ini juga adalah selaras dengan usaha menggalakkan sektor swasta untuk turut serta melabur dalam infrastruktur fizikal dan juga menyediakan perkhidmatan seperti latihan kemahiran. Menyokong hasrat ini, kerajaan akan menyumbar pelaksanaan perolehan perkhidmatan daripada sektor swasta. Maksudnya, sektor swasta akan bersaing untuk menawarkan perkhidmatan latihan kemahiran pada kos yang kompetitif.
TS1.2 Menambah Baik Usaha Pembangunan
Modal Insan Dalam Sektor Awam
Kita maklum bahawa, penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cekap dan berkesan berkait rapat dengan kecemerlangan sumber manusia. Bagi mengekalkan bakat berkualiti dalam perkhidmatan awam, rangka kerja pengurusan sumber manusia dan pembangunan kerjaya akan ditambah baik. Peluang kepada penjawat awam untuk menambah ilmu dan kepakaran masing-masing juga akan diperluaskan. Dalam hal ini, sebuah institusi perkhidmatan awam bertaraf dunia akan diwujudkan untuk meningkatkan kompetensi mereka.
Tuan Yang di-Pertua,
Teras Strategik Kedua: Mewujudkan persekitaran kondusif bagi menggerakkan pertumbuhan ekonomi TS2.1 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).
Satu pendekatan utama dalam peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi adalah mengamalkan strategi berteraskan pengkhususan. Rancangan ini akan memberi tumpuan kepada 12 bidang ekonomi utama negara atau NKEA yang berpotensi untuk menjana pendapatan tinggi. Selain daripada 11 sektor ekonomi, Lingkungan Besar atau Greater Kuala Lumpur juga telah dipilih kerana ia berpotensi menjadi bandar bertaraf dunia yang boleh menjadi penggerak utama pertumbuhan ekonomi negara. Butiran terperinci NKEA bakal dimuktamadkan dengan Program Transformasi Ekonomi yang akan diumumkan pada Oktober ini.
Berikut adalah NKEA yang telah dikenal pasti:
(i) Minyak dan gas;
(ii) Minyak sawit dan produk berkaitan;
(iii) Perkhidmatan kewangan;
(iv) Pemborongan dan peruncitan;
(v) Pelancongan;
(vi) Teknologi maklumat dan komunikasi
(vii) Perkhidmatan pendidikan;
(viii) Elektrik dan elektronik;
(ix) Perkhidmatan perniagaan;
(x) Penjagaan kesihatan swasta;
(xi) Pertanian; dan
(xii) Greater Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, satu unit khas iaitu Unit Transformasi Ekonomi akan ditubuhkan untuk merancang, menyelaras pelaksanaan dan pembangunan NKEA tersebut.
Selain itu, penyerapan penggunaan kaedah berasaskan teknologi tinggi akan juga diberi tumpuan dalam perancangan dan penyelarasan NKEA. Pelantar teknologi seperti bioteknologi, nanoteknologi, dan kejuruteraan tinggi bakal melonjakkan impak pertumbuhan dari NKEA yang telah dikenal pasti.
Bagi sektor-sektor ekonomi yang tidak tersenarai di dalam NKEA pula, antaranya teknologi hijau, automotif, aeroangkasa dan logistik, usaha memajukan sektor-sektor ini akan terus dipandu oleh kementerian, agensi dan majlis-majlis yang berkaitan.
TS2.2 Mewujudkan Ekonomi Diterajui
Sektor Swasta 29
Sememangnya, sasaran pertumbuhan enam peratus setahun bagi tempoh rancangan ini memerlukan lonjakan ketara dalam kerancakan aktiviti pelaburan dengan diterajui oleh pelaburan swasta yang lebih cergas. Bagi mencapai maksud ini, Malaysian Investment Development Authority (MIDA) telah dikorporat dan dijenama semula dan diupayakan dengan kuasa tambahan. Di samping itu, peraturan perniagaan yang lapuk akan dilupuskan. Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) pula akan disusun kembali untuk menerajui kajian peraturan perniagaan secara menyeluruh bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor-sektor utama ekonomi.
Adalah lazim, persaingan sihat pasaran diperlukan untuk menjadikan ekonomi lebih efisien dan dinamik. Sehubungan itu, Undang-undang Persaingan sedang diberi penelitian untuk menyediakan rangka kawalan terhadap manipulasi pasaran dan kewujudan amalan kartel yang boleh menjejas kecekapan pasaran.
Suruhanjaya Persaingan dan Tribunal Rayuan akan ditubuhkan untuk memastikan pelaksanaan undang-undang lebih teratur dan berkesan. Di sudut lain, negara China, India dan Timur Tengah merupakan antara negara yang pesat membangun. Malaysia yang mempunyai hubungan sejarah, perdagangan dan kedudukan geografi strategik perlu mempereratkan lagi hubungan dengan negara-negara ini termasuklah Asia Timur. Oleh itu, Malaysia akan memberi tumpuan yang lebih untuk membangunkan pasaran serantau melalui promosi dan perjanjian perdagangan. Di samping itu, kita akan terus mengukuhkan hubungan ekonomi sedia ada seperti di Eropah dan Amerika Syarikat.
Saya yakin dengan usaha yang dibuat ini, akan menjadikan Malaysia antara destinasi terbaik untuk menjalankan perniagaan, terutamanya di rantau Asia. Mengikut laporan Bank Dunia, Malaysia kini berada pada kedudukan ke-23 teratas antara 183 negara di dunia dalam kecekapan urusan menjalankan perniagaan. Kerajaan percaya, Malaysia mampu berada di kedudukan antara negara ke-10 teratas menjelang 2015.
Hal tersebut bukanlah perkara yang mustahil kerana dalam tempoh satu tahun sahaja, kita telah berjaya berada antara 10 negara paling kompetitif di dunia seperti dilaporkan oleh Institute for Management Development. Apa yang dibanggakan adalah Malaysia merupakan satu-satunya negara OIC dan NAM yang tergolong dalam senarai ini. Namun begitu, kerajaan tidak akan berpeluk tubuh dan akan terus berusaha untuk meletakkan Malaysia di lima tangga terbaik dunia pada masa mendatang. Insya-Allah.
TS2.3 Perkongsian Awam-Swasta
Seterusnya, perkongsian pintar dan berkesan antara sektor awam dan swasta akan diamalkan sebagai mekanisme penggerak agenda transformasi ekonomi. Fasa baru perkongsian awam-swasta (PPP) akan dilangsungkan dengan memastikan perkongsian risiko dan pulangan saksama berimpak besar.
Tuan Yang di-Pertua
Setakat ini, 52 projek berimpak tinggi telah dikenal pasti untuk dilaksanakan yang bernilai RM63 bilion. Ini termasuklah:
l Pertama: Tujuh buah lebuh raya dengan anggaran kos sebanyak RM19 bilion. Projek termasuk Lebuh raya Pantai Barat, Lebuh raya Guthrie-Damansara, Lebuh raya Sungai Juru dan Lebuh raya Paroi-Senawang-KLIA;
* Kedua: Dua buah Projek Loji Jana Kuasa Elektrik Arang Batu dengan anggaran kos sebanyak RM7 bilion, dan
* Ketiga: Pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh, Selangor seluas lebih kurang 3,300 ekar dengan anggaran kos sebanyak RM10 bilion.
Pihak swasta juga akan berpeluang menyertai pembangunan beberapa projek lain yang dipimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Ini termasuk projek-projek, seperti Projek Pembangunan Strategik Kuala Lumpur oleh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) meliputi kawasan Lapangan Terbang Sungai Besi, dan KL International Financial District di Kuala Lumpur, pembinaan Loji Re-gasification Gas Asli Cecair (LNG) oleh Petronas di Melaka dengan anggaran kos RM3 bilion serta pelaburan dua relau pelebur aluminium di SCORE Sarawak berjumlah RM18 bilion.
Bagi memudahkan sektor swasta membiayai projek-projek ini, dana berjumlah RM20 bilion akan disediakan melalui Dana Mudahcara. Dana ini bertujuan membantu merapatkan jurang daya maju pelaburan swasta dalam melaksanakan projek bernilai tinggi dan mempunyai kesan limpahan ekonomi besar, dengan syarat projek tersebut mempunyai impak strategik tinggi dalam pembangunan ekonomi negara. Melalui dana ini, dijangkakan kerajaan dapat menarik pelaburan swasta berjumlah sekurang-kurangnya RM200 bilion dalam tempoh rancangan. Projek yang sedang dipertimbangkan untuk dibiayai di bawah dana ini termasuklah Penambakan Tanah di Westport, Pelabuhan Kelang, Pembangunan Malaysia Truly Asia Centre di Kuala Lumpur dan Taman Teknologi Tinggi Senai di Iskandar Malaysia, Johor.
TS 2.4 Pertumbuhan Dipacu Inovasi
Seperti yang diketahui, pertumbuhan ekonomi negara sudah sekian lama didorong oleh pertambahan faktor pengeluaran, dengan sumbangan besar pelaburan, tenaga dan pekerja. Kini, kita perlu beralih kepada pertumbuhan berasaskan produktiviti yang dipacu inovasi. Untuk maksud itu, kerajaan akan menubuhkan sebuah unit khas di bawah Jabatan Perdana Menteri yang akan memandu dan mengarah keberkesanan sistem inovasi negara serta program pembangunan inovasi sedia ada.
Satu langkah penting dalam rancangan ini adalah menambah baik kaedah pembiayaan bagi syarikat modal teroka awam. Pada masa ini, pembiayaan kerajaan kepada syarikat modal teroka awam, seperti Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) dan Malaysian Venture Capital (MAVCAP), disediakan melalui pinjaman jangka panjang. Dalam rancangan ini, pembiayaan akan berbentuk ekuiti dan bukan pinjaman. Pembiayaan ekuiti ini akan disepadan dengan profil risiko pelaburan modal teroka. Ke arah ini, Dana Inovasi Mudharabah (MIF) dengan peruntukan sebanyak RM500 juta akan diperkenal bagi menyediakan modal berisiko kepada syarikat modal teroka kerajaan. Bagi merapatkan jurang pembiayaan antara pengkomersialan peringkat awal dan pembiayaan modal teroka bagi produk berteknologi tinggi pula, kerajaan akan menubuhkan Dana Perkembangan Perniagaan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM150 juta. Matlamat dana ini, bertujuan menyokong syarikat sehingga mereka dapat menjana nilai komersial yang secukupnya bagi menarik pembiayaan modal teroka dan sumber pembiayaan lain.
Kita sedar, ramai usahawan telah gagal dek kerana terkesan oleh risiko perniagaan di luar jangkaan. Adalah merupakan satu tragedi jika seorang usahawan yang berkaliber dan berwibawa tidak diberi peluang kedua untuk bangkit semula dan menjadi usahawan berjaya. Kita juga sedar, banyak individu, perniagaan dan inisiatif inovasi yang telah gagal kali pertama, tetapi mampu berjaya kembali kemudiannya. Justeru, undang-undang kebankrapan akan dipermudah untuk menyokong budaya mengambil risiko terhitung, menghapuskan stigma kegagalan dan membenarkan usahawan berkaliber lagi wibawa yang gagal untuk kembali aktif.
TS2.5 Membina Infrastruktur
Bertaraf Dunia
RMK-10 akan terus memberi tumpuan kepada penyediaan prasarana untuk menyokong pertumbuhan negara, di samping memastikan kesejahteraan segenap lapisan rakyat. Pelaksanaan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi akan meliputi bandar-bandar besar, kawasan pertumbuhan ekonomi utama dan kawasan industri.
Usaha ini, akan dilengkapi dengan Jalur Lebar untuk orang awam yang akan memberi liputan ke kawasan pinggiran bandar dan luar bandar. Bagi penduduk di luar bandar, perkhidmatan rangkaian akses kepada jalur lebar akan disediakan melalui prasarana tanpa wayar dengan pakej mampu langgan yang pelbagai.
Pembangunan rangkaian pengangkutan multi modal yang lebih luas dan efisien juga diperlukan untuk menyokong pertumbuhan negara. Antara projek utama yang sedang dilaksanakan, termasuk Lebuh raya Pantai Timur dari Kuantan ke Kuala Terengganu dalam Fasa 2 akan disiapkan dalam tempoh rancangan ini, dengan kos keseluruhan sebanyak RM3.7 bilion. Lebuh raya tersebut juga, akan dihubungkan ke Pelabuhan Kuantan yang akan dinaik taraf. Ini akan menyumbang kepada pertumbuhan di Pantai Timur di samping meningkatkan jalan raya ke pedalaman, seperti jalan raya menghubungkan Kuala Lipis ke Cameron Highlands dan dari Jerantut ke Sungai Lembing. Selain itu, projek membina landasan elektrik berkembar dari Gemas ke Johor Bahru, dengan kos anggaran sebanyak RM8 bilion akan dilaksanakan sebagai pelengkap kepada sistem landasan elektrik berkembar dari Padang Besar di utara ke Johor Bahru di selatan. Projek lain pula melibatkan loji rawatan kumbahan yang menggunakan teknologi hijau di Lembah Pantai, Kuala Lumpur dan akan diperluaskan ke seluruh negara.
TS2.6 Dasar Baru Tenaga Dalam RMK-10
Bekalan tenaga juga akan terus diperkukuh ke arah mewujudkan pasaran yang lebih kompetitif dan mengurangkan tanggungan subsidi tenaga secara berperingkat.
Dasar Baru Tenaga telah mengenal pasti lima pendekatan yakni:
* Pertama: Merasionalkan harga tenaga mengambil kira faktor pasaran secara berperingkat selaras dengan kedudukan ekonomi semasa negara serta kemampuan rakyat;
* Kedua: Pembangunan bekalan tenaga secara lebih strategik dengan mempelbagaikan sumber tenaga, termasuk sumber tenaga boleh diperbaharui. Tenaga nuklear juga akan dipertimbangkan sebagai tenaga alternatif;
* Ketiga: Meningkatkan pelaksanaan inisiatif kecekapan tenaga di sektor industri, komersial, kediaman dan pengangkutan;
* Keempat: Menambah baik tadbir urus bagi menyokong peralihan kepada prinsip pasaran serta mewujudkan mekanisme penyaluran bantuan sosial kepada golongan berpendapatan rendah; dan
* Kelima: Memastikan Dasar Baru Tenaga dilaksana berdasarkan pendekatan bersepadu dalam tempoh yang ditetapkan supaya matlamat jaminan bekalan tenaga akan dapat dicapai.
TS2.7 Pembangunan Kluster
Seterusnya, pembangunan ekonomi wilayah akan memberi tumpuan kepada sebilangan kluster perbandaran berdensiti yang berteraskan industri bernilai tinggi untuk menarik pelaburan dan tenaga kerja mahir. Langkah ini bertujuan menjadikan beberapa bandar raya di Malaysia sebagai destinasi tarikan baru kepada pelabur dalam industri berteknologi tinggi serta tenaga kerja berbakat dan berpengetahuan.
Pendekatan pembangunan berasaskan kluster dalam koridor akan memanfaatkan potensi dan sumber yang ada bagi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan koridor berkenaan. Pembangunan kluster akan ditumpukan kepada sektor-sektor terpilih dengan mengenal pasti aktiviti dan pelabur utama, termasuk GLC dan syarikat swasta, untuk menerajui kemajuannya dalam pembangunan koridor berkenaan. Kemudiannya, pembangunan kelompok-kelompok ini di seluruh bandar di Malaysia dijangka diintegrasikan supaya kawasan-kawasan pinggir bandar dan luar bandar yang mengelilingi bandar-bandar besar akan mendapat manfaat secara langsung.
TS2.8 Membangunkan SME Sebagai
Jentera Pertumbuhan dan Inovasi
Aspek seterusnya, Industri Kecil dan Sederhana (SME) yang memainkan peranan penting dalam menerajui pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan akan terus menyokong pembangunan SME, termasuk syarikat-syarikat kecil yang masih di peringkat awal untuk berkembang sehingga ke tahap global. Di samping itu, kita juga perlu menggalakkan SME asing untuk bekerjasama dengan SME tempatan supaya sama-sama mendapat manfaat daripada peralihan teknologi dan membuka pasaran yang lebih luas, khususnya dalam sektor teknologi moden.
Untuk memastikan SME mendapat akses yang mudah kepada kemudahan pembiayaan, kerajaan telah menyediakan Skim Jaminan Modal Kerja berjumlah RM7 bilion dan Skim Jaminan Penstrukturan Semula Industri berjumlah RM3 bilion. Hal ini telah saya umumkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua.
Keseluruhan RM7 bilion di bawah Skim Jaminan Modal Kerja telah diluluskan. Memandangkan sambutan kepada Skim Jaminan Modal Kerja amat menggalakkan, kerajaan akan menambah RM3 bilion lagi, menjadikan jumlah semuanya kepada RM10 bilion.
Di sudut ini, kerajaan sedar bahawa terdapat SME tempatan yang telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa tetapi menghadapi masalah untuk bertapak di pasaran domestik. Terdapat juga SME yang telah memperoleh pengiktirafan tempatan atau anugerah antarabangsa dari segi kualiti dan inovasi. Sehubungan itu, SME tersebut akan diberi akses keutamaan dalam proses bidaan perolehan kerajaan mahupun syarikat berkaitan kerajaan.
Di samping itu, kerajaan juga memandang serius terhadap kesediaan kemudahan kredit supaya para usahawan dapat lebih giat lagi menceburi bidang SME. Sehubungan itu, kerajaan sedang mengkaji untuk mempertingkatkan lagi sumber kewangan SME dan Agro Bank supaya ia dapat memberikan perkhidmatan yang efektif kepada para usahawan SME nanti. Selain itu, SME Corp. pula akan diberi peruntukan yang secukupnya bagi memastikan SME yang berpotensi untuk berjaya dapat dibantu dengan sewajarnya.
Teras Strategik Ketiga: Pembangunan
Sosio-Ekonomi Secara Inklusif
Tuan Yang di-Pertua,
Sesungguhnya, keterangkuman merupakan pra-syarat bagi memastikan setiap rakyat dapat menikmati kemakmuran hasil pembangunan negara. Pendekatan ini akan menjamin keadilan sosial kepada golongan yang benar-benar memerlukan bantuan dan tidak akan ada sesiapa pun yang berasa terpinggir.
Kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah yang perlu bagi memastikan masa depan yang lebih baik untuk semua rakyat Malaysia. Prinsip progresif dan pragmatisme akan memandu dasar-dasar negara demi kepentingan rakyat. Namun, kita akan tetap akur kepada peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang akan sentiasa dijunjung dan dihormati.
TS3.1: Penyertaan Masyarakat
Bumiputera Dalam Ekonomi Negara
Agenda pembangunan Bumiputera pula akan terus diberi penekanan selaras dengan konsep pertumbuhan dengan pengagihan. Memandangkan persekitaran ekonomi global dan domestik yang lebih mencabar, tibalah masanya, untuk kita melaksanakan transformasi dalam agenda pembangunan Bumiputera bagi mewujudkan penyertaan syarikat Bumiputera yang berdaya saing dan berdaya maju. Pendekatan baru ini akan berasaskan kepada empat prinsip utama, iaitu mesra pasaran, berdasarkan keperluan, merit dan ketelusan.
Ertinya, keutamaan akan diberikan kepada aspek meningkatkan keupayaan syarikat Bumiputera. Dalam hal ini, tumpuan akan diberikan kepada usaha meningkatkan nilai ditambah dan membina ke atas kejayaan yang telah dicapai sebelum ini.
Syarikat Bumiputera berpotensi yang telah membuktikan kebolehan serta kewibawaan mereka akan disokong untuk maju ke tahap yang lebih tinggi selaras dengan hasrat kerajaan supaya syarikat-syarikat ini dapat merealisasikan kemampuan mereka secara optimum.
Jika diimbau, matlamat penstrukturan penyertaan syarikat Bumiputera pada awal tahun 1970-an telah memberi tumpuan kepada hak milik ekuiti. Pengukuran penyertaan Bumiputera kini akan diperluaskan kepada aset kewangan dan bukan kewangan, seperti hartanah dan premis perniagaan, termasuk juga guna tenaga profesional. Kaedah yang lebih holistik dan komprehensif ini memberi penekanan bukan sahaja kepada aspek pemilikan kekayaan, tetapi juga aspek peningkatan pendapatan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mencapai tahap negara berpendapatan tinggi. Pada masa yang sama, sasaran untuk mencapai sekurang-kurangnya 30 peratus pemilikan ekuiti korporat Bumiputera dan ekonomi di peringkat makro masih kekal.
Sehubungan itu, untuk memperkasakan agenda pembangunan Bumiputera, lima inisiatif strategik telah dikenal pasti untuk dilaksanakan seperti berikut:
* Pertama: Meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera melalui penginstitusian. Dalam hal ini, program ekuiti swasta dalam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan seperti PNB, Lembaga Tabung Angkatan Tentera dan Tabung Haji akan diperbaharui dan diperkukuh bagi menggembleng pelbagai dana dalam usaha memperluas pemilikan dan kawalan ekuiti Bumiputera.
Dalam konteks ini, kerajaan telah menubuhkan EKUINAS sebagai institusi pelaburan ekuiti swasta Bumiputera. Fungsi EKUINAS adalah mirip kepada Permodalan Nasional Berhad, dengan penekanan khusus untuk melabur ke dalam syarikat sederhana besar yang berpotensi tinggi, agar dapat disokong sehingga menjadi jaguh serta peneraju utama dalam sektor masing-masing.
EKUINAS membawa pendekatan baru yang lebih mesra pasaran dan berdasarkan merit. Sehubungan itu, kerajaan akan menyokong usahawan Bumiputera berwibawa dan golongan profesional Bumiputera berkeupayaan untuk mengembangkan syarikat masing-masing ke tahap yang lebih tinggi, bukan sahaja di peringkat domestik tetapi juga di arena serantau dan peringkat antarabangsa.
* Kedua: Mempertingkatkan pemilikan hartanah Bumiputera. Dalam konteks ini, Pelaburan Hartanah Berhad akan menubuhkan Tabung Pelaburan Amanah Hartanah bagi mengurangkan kekangan kepada Bumiputera untuk melabur dalam sektor hartanah komersial dan industri, serta mendapat faedah daripada peningkatan nilai hartanah tersebut. Selain itu, Kampung Baru merupakan aset Bumiputera yang berharga di tengah-tengah pusat bandar raya Kuala Lumpur perlu dibangunkan semula supaya pemilik tanah dapat merealisasikan nilai sebenar hartanah mereka tanpa menjejaskan kedudukan orang Melayu sebagai pemegang asal tanah-tanah di kawasan ini.
* Ketiga: Menambah baik program pembangunan kemahiran dan keusahawanan serta pembiayaan melalui pelbagai agensi pembangunan Bumiputera. Dalam hal ini, pakej secara bersepadu akan dilaksanakan bagi meningkatkan daya saing dan daya maju Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB), termasuk latihan keusahawanan, bantuan teknikal, pembiayaan, khidmat rundingan serta promosi dan pemasaran. Bagi meningkatkan akses kepada kemudahan pembiayaan, sebanyak RM1.5 bilion atau separuh daripada tambahan dana Skim Jaminan Modal Kerja sebanyak RM3 bilion, yang saya umumkan tadi akan diperuntukkan kepada usahawan Bumiputera.
Di samping itu, organisasi pembangunan keusahawanan seperti MARA dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) akan diperkukuhkan. Untuk itu, peruntukan sebanyak RM3 bilion akan disediakan.
l Keempat: Membangunkan guna tenaga profesional Bumiputera secara lebih tuntas. Dari segi pembangunan guna tenaga, kita telah berjaya melahirkan banyak profesional Bumiputera, termasuk ahli korporat, akauntan, jurutera, doktor pakar dan peguam.
Kini, tiada profesion di Malaysia yang tidak diceburi oleh Bumiputera. Malahan profesional Bumiputera telah menerajui profesion kejuruteraan, perubatan, guaman, juru ukur dan seni bina. Dalam tempoh 2000 hingga 2008, guna tenaga profesional Bumiputera telah meningkat daripada 56 peratus kepada 63 peratus, sementara di bidang pentadbiran dan pengurusan pula, daripada 46 peratus kepada 51 peratus.
* Kelima: Menubuhkan satu Majlis peringkat tertinggi untuk merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda pembangunan Bumiputera.
Majlis ini akan diketuai oleh saya sendiri, dan dianggotai oleh beberapa menteri Kabinet, pegawai kanan kerajaan serta pihak swasta. Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, akan menjadi urusetia kepada Majlis ini manakala Unit Pengurusan Projek, Kementerian Kewangan akan memantau program yang berkaitan untuk memastikan pelaksanaan efisien dan efektif.
TS3.2: Meneruskan Dasar Keadilan sosial
Kerajaan menyedari tanggungjawab dan komitmen dari kuasa politik yang diberikan oleh rakyat terhadap matlamat ini. Oleh itu, kerajaan bertekad akan memperhebat dasar-dasar yang mengutamakan keadilan sosial. Saya percaya masalah yang dihadapi oleh rakyat, sama ada di kampung pedalaman, estet atau kampung baru Cina, boleh diatasi sekiranya perhatian yang khusus diberikan untuk menanganinya. Oleh kerana itulah, melalui tinjauan mesra, saya juga sentiasa mendapat maklum balas tentang kesulitan yang dihadapi oleh rakyat.
RMK-10 ini juga akan memberi fokus kepada usaha meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup bagi kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah di mana Bumiputera merupakan bilangan terbesar, iaitu 73 peratus daripada 2.4 juta isi rumah dalam kumpulan ini.
Sebagai langkah meningkatkan daya saing dan kecekapan pasaran serta memastikan penggunaan sumber yang lebih optimum, kawalan harga dan subsidi perlu dirasionalkan secara berperingkat untuk menghapuskan pengherotan pasaran dan penyelewengan. Walau bagaimanapun, keputusan berhubung pengurangan subsidi akan dilaksanakan setelah mengambil kira maklum balas dan merundingi rakyat. Di atas segalanya, saya memberi jaminan, dalam usaha mengurangkan subsidi, golongan berpendapatan rendah dan mereka yang paling memerlukan akan terus diberi bantuan untuk meringankan impak pengurangan subsidi ke atas kos sara hidup masing-masing.
Fokus khusus akan diberi kepada golongan terpinggir yang tinggal di kawasan pedalaman, terutamanya yang mendiami rumah-rumah panjang di Sabah dan Sarawak, serta Orang Asli dan pekerja di estet di Semenanjung Malaysia. Masih terdapat mereka yang hidup tanpa bekalan elektrik dan air, dan jauh daripada kemudahan kesihatan.
Anak-anak bersekolah terpaksa berjalan jauh, merentasi jalan yang kadangkala berdebu atau berlumpur dan terdapat juga antara mereka terpaksa merentas sungai untuk menimba ilmu di sekolah.
Kerajaan akan membela mereka yang kurang bernasib baik ini untuk keluar daripada cengkaman kemiskinan. Saya ingin memastikan bahawa, kemakmuran pembangunan negara turut dinikmati oleh semua rakyat Malaysia. Sekadar memberi contoh, dari perkampungan Melayu di Grik, Perak; perkampungan Orang Asli di Pos Titom di Cameron Highlands; pekerja India di Ladang Mary, Kuala Selangor; masyarakat Kampung Baru Cina di Pasir Hitam, Perak; masyarakat Iban di Mujong Balleh, Sarawak; dan masyarakat Rungus di Kudat, Sabah.
Untuk ini, kerajaan akan mempergiatkan pelaksanaan pelbagai program ekonomi dan penyediaan kemudahan asas. Kerajaan juga sedang mempertimbangkan kaedah untuk memberi hak milik tanah kepada masyarakat Orang Asli dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak. Ini akan membolehkan mereka mendapat manfaat daripada program pembangunan pertanian secara bersepadu menggunakan pendekatan agropolitan dan contract farming. Mereka juga akan diberi akses yang lebih baik kepada infrastruktur dan kemudahan awam seperti jalan, pendidikan dan latihan kemahiran.
Tumpuan juga akan diberi untuk memperbaiki kualiti hidup pekerja ladang dan displaced estate workers. Sambungan bekalan air ke 182 estet yang mempunyai keluasan 1,000 ekar atau kurang dan terletak tidak melebihi 5 kilometer dari paip utama akan dilaksanakan dengan peruntukan sebanyak RM109 juta. Program latihan kemahiran pula akan disediakan, terutamanya kepada golongan muda pelbagai kaum yang tercicir dari persekolahan, bagi membolehkan mereka mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik. Bagi mereka yang berminat menjalankan perniagaan kecil-kecilan, akses kepada kemudahan mikro kredit AIM dan TEKUN akan disediakan dalam usaha menangani kemiskinan bandar. Kemudahan pinjaman ini akan dipakej bersama dengan latihan keusahawanan bagi membina keupayaan mereka dalam bidang seperti pengurusan kewangan, penyediaan rancangan perniagaan, pemasaran dan promosi. Latihan ini akan dijalankan di Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Pusat GiatMara dan Institut Kemajuan Desa (INFRA).
Penduduk yang tinggal di kawasan kampung baru Cina akan juga diberi bantuan. Kini, terdapat 280,000 isi rumah yang tinggal di kawasan kampung baru Cina. Untuk membantu mereka membuat pembayaran premium tanah bagi melanjutkan tempoh pajakan, pinjaman mudah akan disalurkan melalui Bank Simpanan Nasional.
Untuk ini, sebagai permulaan dana pembiayaan sebanyak RM100 juta akan disediakan. Selain itu, untuk menangani isu-isu masyarakat yang lain, Jawatankuasa-jawatankuasa Kabinet mengenai Hal Ehwal Kaum India dan Bumiputera Sabah dan Sarawak akan diteruskan.
Teras Strategik Keempat: Membangun Dan Mengekalkan Modal Insan Bertaraf Dunia
Tuan Yang di-Pertua,
Persaingan untuk modal insan juga semakin meningkat, di mana banyak negara, terutamanya negara maju, mengamalkan dasar keterbukaan yang komprehensif dalam usaha menarik modal insan yang cemerlang termasuk di kalangan rakyat Malaysia. Tenaga kerja mahir dan berpengetahuan tinggi merupakan cutting edge kepada daya saing negara. Dalam hal ini, kerajaan akan mengambil langkah holistik bagi memperkukuh sistem pendidikan dan latihan, bermula daripada pendidikan awal kanak-kanak sehingga peringkat pengajian tinggi. Di samping menyediakan infrastruktur pengajaran dan pembelajaran terbaik, kerajaan juga akan pastikan kualiti guru dan tenaga pengajar mencapai tahap yang sewajarnya.
TS4.1 Peningkatan Kualiti Pelajar
Untuk menambah baik kualiti pelajar, nisbah guru siswazah di sekolah rendah akan ditingkatkan daripada 28 peratus kepada 60 peratus. Prestasi pelajar dalam mata pelajaran kritikal, terutamanya bahasa Kebangsaan, bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, akan juga dipertingkatkan dengan menambah bilangan guru berkualiti.
Bagi mencapai matlamat ini, program pensiswazahan guru akan dipergiatkan. Bagi memperhebat kualiti guru prasekolah pula, syarat kelayakan pelantikan guru prasekolah akan ditingkatkan kepada Diploma dan Sarjana Muda. Kerajaan berhasrat menjadikan profesion perguruan sebagai kerjaya pilihan kepada calon yang cemerlang.
Bagi memenuhi keperluan guru bahasa Mandarin di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina serta Sekolah Kebangsaan, lulusan Unified Examination Certificate (UEC) yang telah memiliki sijil SPM akan diberi pertimbangan untuk mengikuti pengajian di institut pendidikan guru bagi program bahasa Cina. Pertimbangan yang sama juga akan diberi kepada lepasan Sijil Menengah Agama atau Sijil Tinggi Agama kelolaan Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam Negeri-negeri yang telah memiliki SPM untuk menjadi guru kepada program pendidikan agama Islam dan J-Qaf.
Dalam aspek ini juga, kerajaan telah menubuhkan Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) untuk membolehkan pelajar mencapai kecemerlangan dalam semua aspek pendidikan. Sejumlah 20 buah sekolah telah diberi status SBT berdasarkan pencapaian dan prestasi mereka. Bilangan SBT akan ditambah kepada 100 buah pada akhir tahun 2012. Sekolah-sekolah ini terdiri daripada sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah harian dan sekolah berasrama penuh.
Sekolah Amanah akan diperkenalkan untuk memudah cara perkongsian awam swasta dalam pengurusan sekolah-sekolah kerajaan yang terpilih. Sekolah-sekolah tersebut akan diberi kuasa autonomi oleh kerajaan dan dengan itu dipertanggungjawabkan bagi meningkatkan prestasi pelajar.
Autonomi yang akan diberikan termasuk keanjalan untuk mengubah suai kurikulum pembelajaran, menggunakan peruntukan mengikut keperluan, memberi insentif kepada guru mengikut tahap prestasi serta memilih guru dan staf sokongan.
Kerajaan akan terus membantu sekolah bantuan modal bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pihak pengurusan sekolah. Bagi tujuan mengubah suai dan menaik taraf sekolah bantuan modal, peruntukan sebanyak RM280 juta akan disalurkan bagi tempoh 2011 dan 2012. Dengan ini, setiap satu kategori sekolah bantuan modal, iaitu sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil, sekolah agama dan sekolah mubaligh akan memperoleh peruntukan tambahan sebanyak RM70 juta setiap satu dalam tempoh 2011 dan 2012. Tambahan lagi, bagi membiayai pembayaran utiliti, kerajaan akan memberi bantuan berdasarkan bil elektrik dan air sebenar sehingga RM2,000 sebulan bagi setiap sekolah bantuan modal. Peruntukan ini akan melibatkan hampir 1,900 buah sekolah keseluruhannya.
Tuan Yang di-Pertua,
Anak-anak adalah harta dan warisan paling berharga kepada manusia. Merekalah masa depan kita. Adalah menjadi komitmen kerajaan untuk memberikan aset negara ini segala kelebihan untuk mereka berjaya dalam hidup kemudian hari yang penuh persaingan dan cabaran. Pelaburan terhadap mereka adalah pelaburan terhadap masa depan negara. Untuk itu, kita telah menjadikan pendidikan awal kanak-kanak sebagai agenda penting nasional melalui program PERMATA.
Mengikut kajian pakar tentang kanak-kanak, secara amnya akan terdapat seorang yang pintar cerdas daripada kalangan 10,000 kanak-kanak. Mengikut statistik 2007, jumlah kanak-kanak di bawah umur 14 tahun di Malaysia adalah seramai 8.9 juta. Dari itu, berasaskan rasional ini, kita boleh menganggarkan terdapat sekurang-kurangnya 900 orang pintar cerdas dari kalangan kanak-kanak di Malaysia.
Penyertaan kanak-kanak yang berumur antara empat hingga lima tahun di peringkat prasekolah akan dipertingkatkan daripada 67 peratus pada tahun 2010 kepada 87 peratus pada tahun 2012.
Sasaran ini akan dicapai melalui penambahan kelas prasekolah di sekolah rendah kerajaan dan menggalakkan sektor swasta menyediakan pendidikan prasekolah. Insentif sebanyak RM10,000 akan diberi kepada sektor swasta yang menubuhkan institusi prasekolah swasta.
Selain memperkukuhkan program prasekolah itu, kerajaan sedang menimbang untuk mengurangkan umur persekolahan formal daripada 6 tahun kepada 5 tahun pada akhir tempoh rancangan ini tertakluk kepada kemampuan kerajaan.
Langkah ini akan meningkatkan akses kepada pendidikan formal ke arah memperkasakan pembangunan awal kanak-kanak.
TS4.2 Mengarusperdanakan Pendidikan
Teknikal dan Latihan Vokasional
Di negara maju, pendidikan teknikal dan latihan vokasional menjadi antara pilihan utama pelajar kerana ia menyediakan prospek kerjaya yang baik. Sebaliknya di negara kita, ia dilihat sebagai pilihan terakhir kerana persepsi prospek kerjaya yang terhad.
Andaian negatif ini harus disangkal. Pendidikan teknikal dan latihan vokasional sebenarnya menyediakan landasan alternatif yang baik bagi para pelajar merealisasikan potensi mereka. Seramai 100,000 lepasan SPM memasuki pasaran pekerjaan setiap tahun tanpa latihan kemahiran. Bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan teknikal dan latihan vokasional, kemudahan pendidikan teknikal dan latihan vokasional akan dipertingkatkan. Dalam hal ini, Jabatan Pembangunan Kemahiran akan dijadikan agensi tunggal dalam pembangunan dan pengesahan kualiti kurikulum pendidikan teknikal dan latihan vokasional. Sijil Kemahiran Malaysia pula akan dijadikan persijilan kebangsaan yang diiktiraf bagi kemasukan dalam perkhidmatan awam dan institusi pengajian tinggi. Saya percaya, bahawa hal ini akan meningkatkan keyakinan dan mendorong lebih ramai lepasan sekolah melanjutkan pengajian dalam bidang pendidikan teknikal dan latihan vokasional.
Berhubung tenaga kerja pula, kini, hanya terdapat 23 peratus sahaja daripada tenaga kerja kita merupakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi. Peratusan ini jauh lebih rendah berbanding dengan negara-negara maju lain. Kita perlu meningkatkan komposisi pekerja berkemahiran tinggi kepada sekurang-kurangnya 37 peratus menjelang tahun 2015 untuk menjadi sebuah negara maju. Bagi menggalakkan penglibatan sektor swasta dalam melatih pekerja berkemahiran tinggi, kerajaan akan mengambil langkah berikut:
* Pertama: Memperluas liputan geran sepadan Tabung Pembangunan Sumber Manusia serta Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana untuk membantu majikan industri kecil juga sederhana melatih pekerja mereka;
* Kedua: Menyediakan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman kepada pekerja bagi mengikuti latihan untuk peningkatan kelayakan. Sejumlah RM500 juta akan disediakan di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran dan dianggar memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 38,000 pekerja;
* Ketiga: Menubuhkan tabung untuk pembiayaan bersama, iaitu kerajaan dan majikan sama-sama membiayai pekerja melanjutkan pengajian di peringkat ijazah PhD dalam bidang yang berkaitan dengan industri di mana pekerja itu bekerja;
* Keempat: Memperluas pelaksanaan Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) yang melibatkan kandungan latihan sebanyak 70 peratus secara hands on di tempat kerja dan 30 peratus latihan teori di institusi latihan. Pada masa ini, SLDN disediakan kepada pekerja dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia sahaja. Melangkah ke hadapan, program ini akan juga merangkumi pelajar yang tidak menamatkan 11 tahun persekolahan;
* Kelima: Mempergiat pelaksanaan pengiktirafan pencapaian terdahulu iaitu menganugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia kepada 60,000 pekerja setahun dengan mengiktiraf pengetahuan, pengalaman dan kemahiran pekerja yang diperoleh di tempat kerja;
* Keenam:Menggalakkan sektor swasta dalam menyediakan latihan kemahiran dan vokasional menerusi kaedah PPP.
TS4.3 Peningkatan Kompetensi Graduan
Untuk meningkatkan kompetensi graduan pula, faktor boleh upaya diambil kerja graduan akan dijadikan satu daripada KPI universiti. Penyediaan peruntukan kewangan kepada universiti akan bergantung kepada sejauh mana universiti mencapai KPI yang ditetapkan. Di samping itu, kerajaan akan memberi autonomi kepada universiti secara berperingkat bagi mengukuhkan peranan dan prestasi universiti.
Untuk itu, kualiti staf akademik akan dipertingkatkan dengan menambah peratusan staf akademik berkelulusan PhD, iaitu 75 peratus bagi Universiti Penyelidikan dan 60 peratus bagi universiti awam lain. Bagi mencapai sasaran ini, pelaksanaan program MyBrain15, iaitu program pembiayaan pengajian di peringkat ijazah kedoktoran dengan matlamat meningkatkan jumlah pemegang PhD kepada 18,000 orang pada 2015, akan dipergiatkan. Di samping itu, pakej penggajian akan dikaji semula untuk menarik minat pensyarah asing dan staf akademik yang telah bersara.
IPT memainkan peranan utama dalam menggerakkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) di negara ini. Ahli akademik dalam pelbagai bidang kepakaran merupakan peneraju kepada penerokaan idea, konsep atau teori baru yang menjadi tunjang kepada penemuan baru, perkembangan ilmu dan ciptaan yang canggih lagi terkini. Terdapat hubungan yang signifikan di antara pertumbuhan ekonomi dan kegiatan R&D pengajian tinggi. Justeru, bagi menggalakkan kegiatan R&D, kerajaan telah mengiktiraf UM, UKM, UPM dan USM sebagai universiti penyelidikan. Bagi melonjakkan lagi R&D dalam tempoh rancangan ini terutamanya dalam bidang teknologi, saya dengan suka citanya mengumumkan secara rasmi bahawa sebuah lagi IPTA sudah diiktiraf sebagai universiti penyelidikan. Universiti tersebut ialah Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
TS4.4 Meningkat Kecekapan Pasaran
Tenaga Kerja
Melangkah lagi, kecekapan pasaran buruh negara perlu dipertingkatkan. Sehubungan itu, undang-undang perburuhan yang berkaitan akan dikaji semula bagi memastikan keseimbangan antara kelenturan pasaran buruh dan jaminan pekerjaan.
Pada masa ini, negara mempunyai seramai lebih kurang 1.9 juta pekerja asing. Memang tidak dinafikan, kita masih memerlukan mereka, khususnya dalam pekerjaan yang tidak diminati oleh pekerja tempatan. Bagaimanapun, kebergantungan secara terusan terhadap pekerja asing tidak mahir akan menghalang hasrat kita untuk beralih kepada aktiviti ekonomi bernilai tambah tinggi. Oleh itu, dasar penggajian pekerja asing akan diperkemas dengan memperkenal kadar levi berbeza mengikut nisbah pekerja asing kepada jumlah pekerja dalam syarikat, dan berbeza mengikut tahap kemahiran masing-masing. Kadar yang lebih tinggi akan dikenakan bagi pekerja kurang mahir. Kadar itu akan ditingkatkan pada setiap tahun.
Dalam konteks ini juga, untuk menarik lebih ramai tenaga kerja mahir ke negara ini, kerajaan akan menubuhkan Talent Corporation yang akan mengenal pasti kekurangan kemahiran di sektor-sektor utama, serta menarik dan mengekal modal insan berkemahiran yang diperlukan. Dalam kita berhadapan dengan masalah kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi, terdapat lebih 700,000 rakyat Malaysia yang berkemahiran masih bekerja di luar negara. Oleh itu, Talent Corporation juga akan meneraju inisiatif menarik rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi untuk menyumbang kepada keperluan tenaga kerja mahir negara.
Untuk ini, Talent Corporation akan menyediakan Rangka Tindakan Modal Insan Berkemahiran yang bersepadu dengan kerjasama sektor awam dan swasta. Di samping itu, Talent Corporation akan menjadi pusat sehenti bagi memudahkan urusan dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, termasuk urusan imigresen bagi kemasukan tenaga kerja mahir ke Malaysia.
Bagi menggembleng potensi intelektual dan kepakaran sedia ada di IPTA, kerajaan telah menubuhkan Majlis Profesor Negara yang telah saya lancarkan baru-baru ini. Kepakaran seramai lebih 1,400 profesor di IPTA seluruh negara akan dapat dimanfaatkan melalui prakarsa ini. Salah satu lagi agenda nasional bagi menjelmakan matlamat Malaysia sebagai sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi ialah penghasilan modal insan yang berkualiti. Untuk itu, kita mahukan institusi pengajian tinggi awam mempunyai murabbi yakni tenaga pengajar dan penyelidik yang terbaik dan bermotivasi.
Kerana itulah, kerajaan telah mengumumkan skim profesor di IPTA dan pensyarah Institut Perguruan. Di bawah penambahbaikan skim ini, satu kategori baru yakni Profesor Kanan telah diwujudkan dengan diletakkan di bawah tangga gaji Gred Turus. Pelantikan ke peringkat ini hanya akan dihadkan mengikut kelayakan dan keupayaan individu terbabit, tanpa ada sekatan angka siling tertentu. Tidak cukup dengan itu, kerajaan juga telah membuat keputusan untuk memperkasa gelaran Profesor Di Raja yang sedia ada dengan pakej remuneration yang lebih setimpal dengan wibawa pemegang gelaran ini.
Tuan Yang di-Pertua,
Teras Strategik Kelima: Mewujudkan persekitaran kondusif ke arah mempertingkatkan kualiti hidup pertumbuhan ekonomi negara yang kukuh dan mapan tiada maknanya jika kualiti hidup segenap lapisan masyarakat tidak turut meningkat. Oleh itu, selaras dengan konsep keadilan sosial yang diterapkan di dalam rancangan ini, kerajaan akan memastikan agar kemakmuran ekonomi negara diagihkan sebaiknya, supaya kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan.
TS5.1 Memastikan Kualiti Hidup
Yang Tinggi di Kawasan Bandar
Mutakhir ini, medan persaingan ekonomi tidak lagi terhenti hanya di peringkat negara tetapi antara bandar. Aktiviti ekonomi dengan sendirinya akan tertumpu di bandar dan kepadatan firma serta modal insan berpengetahuan mendorong produktiviti serta inovasi. Dengan itu, bandar merupakan pilihan pertama dalam perjuangan mencapai pendapatan tinggi. Cabaran yang dihadapi ialah untuk menyediakan kualiti hidup bandar dan memastikan bahawa faedah kepadatan tidak terjejas berikutan peningkatan jenayah, pencemaran dan kesesakan, atau crime, grime and time. Hakikatnya, trend urbanisasi di Malaysia semakin meningkat. Pada masa ini, 67 peratus daripada penduduk tinggal di kawasan bandar. Berdasarkan kepadatan tersebut, kerajaan akan berusaha memastikan bahawa kawasan bandar selesa didiami dengan liputan kemudahan asas yang mencukupi. Dalam hal ini, Pelan Fizikal Negara Ke-2, yang akan dimuktamadkan pada tahun ini, mempunyai perancangan strategik dan terurus, agar dapat mewujudkan kawasan bandar mampat dan efisien.
Selain itu, kerajaan ingin menyediakan suasana kehidupan yang menarik dan nyaman bagi warga bandar menjalankan pelbagai aktiviti seperti riadah dan rekreasi. Pewujudan kawasan lapang atau hijau akan diperbanyakkan. Antara contoh inisiatif yang akan dilaksanakan termasuklah merubah kawasan Taman Tasek Perdana, Kuala Lumpur kepada sebuah Taman Botanik dan juga pewujudan Pusat Pelancongan Malaysia Truly Asia di Kuala Lumpur. Selain itu, kawasan pinggiran sungai akan diindahkan sebagai kawasan rekreasi sepertimana yang telah dilaksanakan di Sungai Melaka.
TS5.2 Meningkatkan Liputan Kemudahan
Asas di Kawasan Luar Bandar
Tuan Yang di-Pertua,
Fokus juga akan diberikan kepada usaha meningkatkan liputan kemudahan asas seperti jalan, bekalan elektrik dan air, serta jaringan komunikasi kepada kawasan luar bandar. Kerajaan mensasarkan pembinaan sepanjang 6,300 kilometer jalan berturap di Semenanjung Malaysia, 2,500 kilometer di Sabah dan 2,800 kilometer di Sarawak yang akan memberi faedah kepada 3.3 juta penduduk. Liputan bekalan air luar bandar yang lebih berkualiti dan berterusan dengan sasaran liputan sebanyak 99 peratus di Semenanjung Malaysia, 98 peratus di Sabah dan 95 peratus di Sarawak juga sedang diusahakan. Ini melibatkan penyambungan bekalan air kepada sebanyak 117,000 rumah di Semenanjung Malaysia, 112,700 di Sabah dan 87,400 di Sarawak.
Kemudahan elektrik di kawasan luar bandar akan diperluaskan untuk meliputi penyambungan bekalannya ke 6,000 buah rumah di Semenanjung Malaysia, 59,000 di Sabah dan 76,000 di Sarawak.
Selain daripada infrastruktur dan utiliti asas, kerajaan juga akan menyediakan kemudahan ameniti sosial serta kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) kepada masyarakat luar bandar.
TS5.3 Meningkatkan Kecekapan
Pengangkutan Awam
Kerajaan juga sedang memberi keutamaan kepada usaha penambahbaikan sistem pengangkutan awam dalam negara. Dalam hal ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah ditubuhkan sebagai agensi tunggal yang bertanggungjawab bagi merancang, mengawal selia dan menguatkuasa sistem serta operasi pengangkutan awam darat. SPAD bertanggungjawab untuk menyediakan pengangkutan awam yang selamat, anjal dan dengan tambang yang berpatutan untuk menggalakkan lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam.
Selaras dengan pendekatan utama yang diberi kepada NKEA, Greater Kuala Lumpur, kerajaan akan memperkemas lagi juraian dan rangkaian perhubungan awam di Kuala Lumpur dengan pelaksanaan projek mega Mass Rapid Transit berkapasiti tinggi. Saya percaya, projek ini merupakan satu lagi ikon kepada ibu negara kita dan akan memberi impak yang meluas sebagai spillover kepada rangkaian perniagaan berkaitan. Apabila siap kelak, sistem yang bersepadu ini dijangka meliputi kawasan dalam lingkungan 20 km dari pusat bandar dan melibatkan pembinaan landasan sepanjang lebih kurang 150 km yang membolehkan dua juta perjalanan sehari berbanding dengan 480,000 perjalanan bagi sistem pengangkutan bandar masa kini.
Pembinaan terminal bas dan rel seperti Terminal Pengangkutan Bersepadu Gombak juga akan dilaksanakan bagi memastikan kelancaran perjalanan pengangkutan awam. Langkah-langkah ini dijangka akan meningkatkan peratus penggunaan pengangkutan awam dengan ketara di Greater Kuala Lumpur, iaitu daripada 12 peratus pada tahun 2009 kepada 30 peratus pada tahun 2015. Selain itu, usaha mempertingkatkan sistem pengangkutan awam darat akan diperluaskan kepada bandar raya lain. Untuk tujuan ini, sistem Bas Rapid Transit akan diperkenalkan di Wilayah Iskandar, Johor manakala bilangan bas awam akan ditambah sebanyak 200 buah di Pulau Pinang, untuk menampung 26 laluan dengan penambahan kapasiti sebanyak 75,000 penumpang sehari.
TS5.4 Rakyat Sihat, Masyarakat Produktif
Masyarakat yang sihat merupakan aset dan penyumbang kepada pembangunan negara dinamik lagi produktif. Justeru, aspek penambahbaikan tahap kesihatan rakyat akan diberi tumpuan khusus.
Akses, liputan serta kualiti penjagaan kesihatan akan terus dipertingkatkan. Antara inisiatif utama kerajaan dalam hal ini adalah pembinaan 8 hospital, termasuk hospital-hospital pakar, 197 klinik dan juga tambahan 50 klinik 1Malaysia yang akan disiapkan dalam tempoh separuh pertama rancangan ini.
Pujangga menyebut, bahawa akal yang sihat datangnya dari badan yang cergas. Masyarakat yang aktif bersukan akan menjadi masyarakat yang sihat dan produktif. Tambahan lagi, sukan bukan sahaja dapat menjulang dan mengharumkan nama negara tetapi juga menjadi wadah kepada perpaduan dan integrasi nasional.
Sehubungan itu, kerajaan, dengan kerjasama sektor swasta, akan memberi penekanan supaya aktiviti sukan dan rekreasi dijadikan aktiviti keluarga serta dibudayakan dalam kehidupan harian masyarakat. Justeru, kemudahan sukan dan rekreasi akan dibina serta dinaik taraf di kawasan strategik dan mudah diakses oleh orang ramai.
TS5.5 Perumahan Asas Kepada
Kesejahteraan Hidup Rakyat
Selain itu, hasrat utama kerajaan adalah untuk menyediakan perumahan mampu milik mencukupi bagi setiap segmen masyarakat, terutamanya yang berpendapatan rendah. Kerana itu, 78,000 buah rumah mampu milik akan dibina di bawah rancangan ini. Undang-undang berkaitan akan diketatkan dan penguatkuasaan ditingkatkan ke arah memastikan rumah mampu milik dibina dengan kualiti yang sewajarnya.
Satu dana berjumlah RM500 juta akan diperuntukkan bagi tujuan membiayai kerja-kerja baikpulih dan penyelenggaraan rumah mampu milik awam mahupun swasta. Dana ini didasarkan kepada kaedah geran sepadan, di mana separuh daripada kos akan disumbang oleh kerajaan, manakala separuh lagi oleh pihak pengurusan atau persatuan penduduk rumah berkenaan.
TS5.6 Mempertingkatkan Keyakinan
Rakyat Terhadap Keselamatan Awam
Berbicara tentang keselamatan dan ketenteraman awam, ia akan dipertingkatkan kerana hasilnya memberi manfaat yang begitu berharga kepada rakyat. Usaha dan strategi kerajaan dalam menjamin keselamatan awam telah menampakkan hasilnya berdasarkan pengurangan indeks keseluruhan jenayah bagi suku pertama tahun ini. Rondaan polis akan dipertingkatkan, terutamanya di 50 hot spots yang telah dikenal pasti untuk membendung aktiviti jenayah. Usaha ini dibantu oleh pihak RELA, Jabatan Pertahanan Awam dan sukarelawan awam yang lain. Tambahan lagi, sebanyak 496 CCTV sedang dipasang di seluruh negara bagi meningkatkan keupayaan pemantauan. Program Safe Cities juga terus dilaksanakan dengan menggembleng tenaga pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Di Raja Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
TS5.7 Pembangunan Masyarakat
Yang Progresif
Kata orang, tangan yang menghayun buai itu mampu menggegar dunia. Status wanita di dalam sesebuah masyarakat itu merupakan ukuran penting sama ada negara itu dinamik serta progresif. Wanita adalah batu asas keluarga yang sejahtera dan tunjang kepada negara yang berjaya. Langkah akan diambil untuk meningkatkan penyertaan wanita di pelbagai peringkat dalam sektor awam dan swasta, termasuk bidang keusahawanan. Undang-undang dan peraturan berkaitan sedia ada akan disesuaikan bagi mendorong penyertaan lebih besar daripada wanita. Jadinya, saya menyeru agar sektor swasta meningkatkan penglibatan wanita, terutamanya dalam jawatan peringkat tertinggi seperti Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah.
Di sudut lain, generasi muda adalah generasi yang penting kerana merekalah yang akan mencorakkan masa depan negara.
Kerajaan, akan bersifat akomodatif terhadap aspirasi mereka sebagai segmen terbesar warganegara. Kita akan menjadi pendengar dan rakan kongsi yang lebih baik serta konstruktif. Idealisme dan tenaga mereka amat diperlukan negara untuk merealisasikan masa depan yang lebih baik. Oleh itu, kerajaan akan memperkemas sistem penyampaian program pembangunan belia sedia ada bagi memastikan generasi muda lebih produktif dalam pembangunan sosio-ekonomi negara, terutamanya melalui aktiviti persatuan dan sukarelawan. Berikutan kejayaan sambutan Hari Belia yang diadakan baru-baru ini di Putrajaya, saya juga ingin mengumumkan bahawa bandar Putrajaya akan dijadikan bandar yang lebih mesra belia, sebagai lokasi tumpuan belia yang menyediakan ruang dan peluang bagi belia menjalankan aktiviti dan program bermanfaat dan bersesuaian.
Tidak dilupakan juga adalah golongan warga emas. Pada tahun 2020 dianggarkan akan terdapat 3.4 juta orang warga emas di negara ini. Kerajaan menyedari bahawa memanfaatkan golongan warga emas merupakan satu usaha yang bernilai. Golongan ini seharusnya diberi peluang untuk menghadapi penuaan yang aktif dan produktif. Selain itu, tumpuan akan diberikan kepada usaha meningkatkan infrastruktur yang lebih mesra warga emas, meningkatkan akses kepada kemudahan kesihatan yang mampu dibiayai, menyedia rumah perlindungan yang mencukupi dan mengukuhkan kewangan serta peluang pekerjaan. Oleh itu kerjasama antara kerajaan, badan bukan kerajaan dan pihak swasta perlu dipertingkatkan untuk membawa penglibatan aktif warga emas dalam aktiviti sosial dan ekonomi negara.
Tuan Yang di-Pertua,
Kerajaan komited untuk meningkatkan kesejahteraan orang kurang upaya. Langkah akan terus diambil untuk menyediakan pelbagai peluang termasuk latihan kemahiran, pekerjaan serta keusahawanan. Lebih banyak kemudahan mesra orang kurang upaya juga akan disediakan, terutamanya dari segi pengangkutan awam serta kemudahan di premis dan bangunan.
Tumpuan juga akan diberi kepada usaha untuk mengarus perdana OKU ke dalam masyarakat supaya mereka boleh berdikari, produktif dan menjadi penyumbang yang dihargai dalam pembangunan.
TS5.8 Kemapanan Alam Sekitar
Tanggungjawab Kita
Dalam tempoh rancangan ini lagi, pelbagai langkah akan dilaksanakan untuk memastikan kemapanan alam sekitar. Penekanan akan diberi kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan peningkatan kecekapan tenaga. Antara lain, kerajaan akan memperkenalkan Feed in Tariff dan Dana Tenaga Boleh Diperbaharui bagi menggalakkan perkembangan aplikasi tenaga boleh diperbaharui. Garis panduan, piawaian dan undang-undang berkaitan akan diperkenal bagi memastikan kecekapan penggunaan tenaga, termasuk penurunan tahap pelepasan gas rumah hijau.
Pendekatan kerajaan ini bukan dibuat atas dasar tanggungjawab beretika sahaja. Kerajaan akan menggalakkan pewujudan peluang ekonomi daripada usaha pemuliharaan alam sekitar. Sebagai contoh, eko-pelancongan menyediakan pelbagai peluang menjana pendapatan bagi masyarakat setempat untuk menggalakkan pemuliharaan flora dan fauna negara. Kita juga harus merebut peluang daripada arus perdana global, di mana permintaan bagi produk, perkhidmatan dan teknologi hijau semakin meningkat.
Dalam hal ini, saya menyeru pihak industri mengambil peluang dan menggunakan insentif yang telah disediakan oleh kerajaan melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau sebanyak RM1.5 bilion bagi mempertingkatkan aplikasi teknologi hijau dalam pengeluaran produk dan penyediaan perkhidmatan.
Kerajaan akan menggalakkan pewujudan perumahan mesra alam dengan memperkenalkan garis panduan serta sistem penarafan hijau. Putrajaya dan Cyberjaya akan dijadikan model perintis bagi bandar hijau contoh. Kerajaan juga akan menerajui usaha melaksanakan piawaian bangunan hijau. Bangunan baru kerajaan akan direka bina untuk mematuhi piawaian ini. Kecekapan tenaga bangunan sedia ada kerajaan juga akan ditambah baik, dan, sebagai contoh suri tauladan, bangunan Pejabat Perdana Menteri akan dinaik taraf untuk mematuhi penarafan hijau yang bertaraf Gold Standard.
PERUNTUKAN PEMBANGUNAN
Tuan Yang di-Pertua,
Mulai RMK-10, pelaksanaan program dan projek secara rolling plan akan diperkenalkan. Melalui pendekatan ini, peruntukan program dan projek pembangunan akan dibuat untuk setiap dua tahun bermula dengan 2011-2012. Pendekatan ini membolehkan komitmen dibuat berdasarkan keupayaan kewangan semasa kerajaan dan memberi fleksibiliti kepada kerajaan untuk mengambil kira keutamaan baru sesuai dengan perubahan persekitaran ekonomi domestik atau global.
Senarai terperinci program dan projek bagi rolling plan pertama akan dikeluarkan pada akhir Ogos nanti. Bagi melaksanakan program pembangunan RMK-10 ini, kerajaan akan menyediakan siling peruntukan sebanyak RM230 bilion bagi perbelanjaan pembangunan. Untuk tujuan ini, sebanyak 55 peratus akan diagihkan kepada sektor ekonomi, 30 peratus kepada sektor sosial, 10 peratus kepada sektor keselamatan dan 5 peratus kepada sektor pentadbiran am.
KESIMPULAN
Tuan Yang di-Pertua,
Merujuk semangat Piala Dunia yang akan bermula esok, kita bolehlah mengiaskan kejayaan untuk menterjemahkan sebuah negara Malaysia yang maju dengan rakyat berpendapatan tinggi kepada analogi sebuah pasukan bola yang berjaya.
Bagi sebuah pasukan bola, untuk berjaya, kesemua pemain daripada pasukan tersebut tanpa mengira posisi, perlu bekerjasama serta bermain sebagai satu pasukan. Jika tidak, mereka bukan sahaja tidak mungkin menang, malah boleh kalah teruk. Setiap pemain bermula daripada penjaga gol, pemain pertahanan, pemain tengah dan penyerang adalah sama pentingnya. Walau bagaimana hebat pun pemain secara individu namun, mereka hanya akan menggondol kemenangan sebenar jika bermain secara berpasukan.
Oleh itu, setiap ahli pasukan adalah berharga dan perlu dioptimumkan potensinya bagi mencapai kejayaan.
Jika sekalipun setiap pemain adalah sebaik Rooney, Messi atau Ronaldo yang umum mengetahui sebagai antara penyerang terulung dunia, akan tetapi, jika pemain pertahanan dan penjaga golnya lemah maka pasukan tersebut barangkali kalah kerana jumlah gol dijaringkan mungkin tidak akan dapat mengatasi jumlah gol yang dibolos lawan. Maka yang demikian, untuk berjaya, kita perlu bekerja sebagai pasukan 1Malaysia yang seia, sekata, sebaris, sederap dengan satu wawasan, satu matlamat dan satu citra, mempersembahkan yang terbaik kepada Malaysia dengan segala kudrat yang termampu.
Diakui orang Melayu, orang Cina, orang India, orang Iban, orang Kadazan, orang Dusun, orang Melanau, orang Murut, orang Sikh, orang Asli, orang Serani, orang Siam, pendek katanya setiap etnik di bumi tercinta ini telah menyumbang kepada terbangunnya sebuah negara bangsa Malaysia yang aman dan makmur seperti mana hari ini. Namun, harus diingat, ia tidak dapat menandingi potensi sumbangan yang mampu dihasilkan oleh semua kita seandai dan sekiranya dilakukan secara kolektif.
Lantaran itulah, saya ingin mengajak semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, anutan agama dan fahaman politik supaya bersama-sama dengan kerajaan untuk mencipta sebuah Malaysia yang lebih baik, Malaysia di mana semua mempunyai rasa kepunyaan, Malaysia di mana semua bakat dihargai dan digunakan sebaik-baiknya di mana yang mengehadkan adalah hanya, sejauh mana kesanggupan individu untuk bekerja keras bagi mencapai cita-cita.
Suka tidak suka, negara hari ini, berada di persimpangan antara masa depan yang gemilang atau masa depan yang suram.
Pilihan kini terletak di tangan setiap rakyat Malaysia. Hari ini, ibarat kita berada pada pusingan akhir lumba larian berganti-ganti dengan baton sudah berada di tangan hanya menanti tekad untuk menggapai kejuaraan.
Bermula detik ini, bersamalah kita mengorak perjalanan. Perjalanan yang bukan mengambil masa sehari, seminggu, sebulan mahupun setahun tetapi perjalanan yang bertali arus, sambung menyambung diwarisi pula dari satu generasi ke generasi yang seterusnya. Berusaha dan bertawakallah, mudah-mudahan kita bertemu jaya, Insya-Allah.

Monday, May 10, 2010

Kembalikan perjuangan



Kembalikan perjuangan
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my
U/Malaysia – 11 Mei 2010

UMNO berusia 64 tahun hari ini. Selama usia itulah, iaitu sejak penubuhannya pada 1946, parti tertua negara ini berusaha untuk menjadi payung dan tempat bergantung kepada bangsa Melayu.

Namun, sama seperti sebuah kehidupan lainnya yang tidak pernah sunyi daripada pelbagai cabaran, UMNO juga tidak berbeza. Di sebalik sekian banyak catatan kejayaan yang dilakar parti ini, Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada Mac 2008 lalu bagaimanapun tercatat sebagai sisi hitam yang bakal dikenang sepanjang zaman.

Sebelum pilihan raya itu, parti ini dilihat terlalu selesa dan begitu berkeyakinan tinggi. Pelbagai masalah dalaman parti terutamanya politik wang dan kroni berlaku tanpa dapat diselindungkan kepada rakyat. Tanpa disedari, gerakan rakyat yang memberontak terhadap sistem elit di dalam UMNO menular begitu pantas.

Natijahnya, BN kehilangan sokongan rakyat dan orang Melayu juga mula menjauhi UMNO. Apa yang berlaku selepas pilihan raya itu juga adalah sesuatu yang terlalu pahit untuk dilalui bukan sahaja oleh UMNO malah orang Melayu keseluruhannya.

Penolakan orang Melayu terhadap parti yang memperjuangkan entiti Melayu dan agama Islam ini, diambil peluang oleh pihak-pihak tertentu untuk menyerang entiti Melayu. Hak-hak keistimewaan orang Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan seperti bahasa, biasiswa dan banyak lagi serta kesetiaan kepada Raja Melayu, diperlekehkan oleh pihak-pihak tertentu.

Untuk tempoh yang agak panjang, pertikaian hak-hak dan keistimewaan orang Melayu itu didendangkan. Tanpa boleh dinafikan, UMNO perlu berasa bertanggungjawab terhadap peristiwa ini kerana ia boleh disifatkan sebagai kegagalan dalam teras perjuangan mereka.

Begitu pun, UMNO tidak memerlukan masa yang panjang untuk menyedari kepincangan yang menjauhkan sokongan orang Melayu terhadap parti itu. Perhimpunan Agung UMNO Ke-58 yang berlangsung pada Oktober 2009 misalnya, adalah bukti bahawa UMNO boleh berubah untuk terus menaungi orang Melayu.

Perhimpunan agung pertama dengan Presiden baru iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak meniupkan semboyan transformasi yang sangat jelas. Ia menyaksikan beberapa usul Pindaan Perlembagaan UMNO dibentangkan selepas kali terakhir dibuat pada 2000.

Antara yang dipinda ialah proses pemilihan pemimpin tertinggi di dalam parti membabitkan lebih ramai pengundi. Ini sekali gus membuka lantai demokrasi yang lebih luas di dalam UMNO dan paling utama, menghapuskan gejala politik wang.

Pindaan yang tidak kurang pentingnya juga ialah penghapusan kuota bertujuan menjadikan UMNO lebih terbuka. Ini mempermudahkan mana-mana calon yang dilihat berkaliber menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti.

Selain transformasi dalaman, UMNO turut mengambil langkah drastik mendekatkan diri dengan rakyat kebanyakan. Program Juara Rakyat yang antara lain menjadi medan kepada pemimpin UMNO dan BN bertemu secara langsung dengan rakyat mendapat maklum balas positif.

Program itu sebenarnya mengambil semangat turun padang seperti yang dianjurkan oleh Najib yang kerap bertemu pelbagai golongan masyarakat sejak menjadi Perdana Menteri. Pendekatan Najib itu menjadi senjata utama kepada UMNO untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat.

Meskipun perlu menunggu pilihan raya kecil kesepuluh, iaitu di Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini untuk menang dalam erti kata yang sebenar, namun ia adalah penantian dan strategi yang berbaloi. Pilihan raya kecil itu memberi signifikan yang sangat besar kepada usaha transformasi yang dilakukan oleh UMNO dan ia boleh diibaratkan sebagai hadiah ulang tahun yang paling bermakna.

Namun tiada kegembiraan yang paling mengharukan bersempena ulang tahun UMNO yang ke-64 kali ini melainkan melihat parti ini terus kekal bertahan untuk orang Melayu di sebalik pelbagai dugaan yang dihadapi. Perasaan itu misalnya, dikongsi oleh veteran UMNO, Tan Sri Zaleha Ismail yang sangat berbangga dengan semangat juang UMNO dalam membangunkan bangsa, agama dan negara.

Kejayaan UMNO untuk kekal bertahan sehingga ke hari ini katanya, adalah kerana kejayaan pemimpin-pemimpinnya yang bersilih ganti meneruskan perjuangan hakiki pejuang-pejuang UMNO terdahulu.

''Saya sangat berkeyakinan dengan kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak serta seluruh barisan kepimpinan UMNO hari ini. Saya juga berharap, seluruh rakyat Malaysia menyedari perjuangan UMNO serta parti komponen BN lainnya dan bersama-sama dengan perjuangan ini," katanya.

Tidak mahu terlalu larut dengan episod kekecewaan pada PRU12, Zaleha berkata, pasang surut serta turun naik sokongan rakyat terhadap UMNO sepanjang 64 tahun usia penubuhannya bukanlah sesuatu yang menghairankan. Ia adalah proses kematangan bagi membolehkan UMNO menilai kehendak rakyat dan berubah mengikut peredaran semasa.

''Sementelah, trend sokongan yang menurun itu juga tidak hanya berlaku terhadap UMNO, malah parti-parti komponen BN yang lainnya serta pembangkang ketika ini berdepan dengan situasi serupa. Apa yang lebih utama ialah bagaimana untuk UMNO bangkit semula dan membuktikan parti ini masih relevan untuk bersama-sama mencapai 1Malaysia," katanya.

Sudah semestinya, bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu tidak berseorangan dalam menyimpan harapannya. Ia sudah semestinya turut dikongsi bersama oleh kira-kira 3.2 juta orang ahli UMNO yang akan meraikan ulang tahun penubuhan parti itu hari ini.

Apa yang pasti, ia bukanlah angan-angan yang kosong sekiranya seluruh ahli UMNO mengambil semula semangat perjuangan pemimpin terdahulu yang menjadikan agama, bangsa dan negara sebagai teras perjuangan.

Dengan teras perjuangan itu, orang Melayu keseluruhannya tidak akan berbelah bahagi menyatakan sokongan kepada parti keramat buat mereka ini.

Saturday, March 27, 2010

mengenali masyarakat Rao..

mengenali masyarakat Rao..
Nurul Farhana Binti Sulaiman"

Assalamualaikum, en.ariselba. saya Nurul Farhana binti Sulaiman pelajar dari AKADEMI SENI BUADAYA DAN WARISAN KEBANGSAAN. Saya ada terbaca tentang masyarakat Rao yang terdapat di Malaysia. saya juga telah ditugaskan untuk menyiapkan projek akhir untuk subjek penulisan skrip dokumentari saya bagi semester ini. saya tertarik dengan masyarakat Rao ini. saya ingin membuat satu kajian untuk mengenali dengan lebih dekat tentang masyarakat ini. Jadi saya memerlukan pertolongan daripada encik. saya dapati masyarakat Rao berada di sekitar Kuala Lumpur dan beberapa negeri lagi. jadi disini saya memohon jasa baik dari encik untuk mendapatkan nombor telefon dan alamat mereka. saya dapati juga masyarakat ini berada di sungai cincin Gombak. saya memerlukan alamat mereka yang berada di sekitar Kuala Lumpur ini. hal ini kerana, saya mengalami pelbagai masalah untuk keluar daripada kawasan Kuala Lumpur. kerjasama daripada pihak encik sangatlah diharapkan.