ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Monday, May 10, 2010

Kembalikan perjuangan



Kembalikan perjuangan
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my
U/Malaysia – 11 Mei 2010

UMNO berusia 64 tahun hari ini. Selama usia itulah, iaitu sejak penubuhannya pada 1946, parti tertua negara ini berusaha untuk menjadi payung dan tempat bergantung kepada bangsa Melayu.

Namun, sama seperti sebuah kehidupan lainnya yang tidak pernah sunyi daripada pelbagai cabaran, UMNO juga tidak berbeza. Di sebalik sekian banyak catatan kejayaan yang dilakar parti ini, Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada Mac 2008 lalu bagaimanapun tercatat sebagai sisi hitam yang bakal dikenang sepanjang zaman.

Sebelum pilihan raya itu, parti ini dilihat terlalu selesa dan begitu berkeyakinan tinggi. Pelbagai masalah dalaman parti terutamanya politik wang dan kroni berlaku tanpa dapat diselindungkan kepada rakyat. Tanpa disedari, gerakan rakyat yang memberontak terhadap sistem elit di dalam UMNO menular begitu pantas.

Natijahnya, BN kehilangan sokongan rakyat dan orang Melayu juga mula menjauhi UMNO. Apa yang berlaku selepas pilihan raya itu juga adalah sesuatu yang terlalu pahit untuk dilalui bukan sahaja oleh UMNO malah orang Melayu keseluruhannya.

Penolakan orang Melayu terhadap parti yang memperjuangkan entiti Melayu dan agama Islam ini, diambil peluang oleh pihak-pihak tertentu untuk menyerang entiti Melayu. Hak-hak keistimewaan orang Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan seperti bahasa, biasiswa dan banyak lagi serta kesetiaan kepada Raja Melayu, diperlekehkan oleh pihak-pihak tertentu.

Untuk tempoh yang agak panjang, pertikaian hak-hak dan keistimewaan orang Melayu itu didendangkan. Tanpa boleh dinafikan, UMNO perlu berasa bertanggungjawab terhadap peristiwa ini kerana ia boleh disifatkan sebagai kegagalan dalam teras perjuangan mereka.

Begitu pun, UMNO tidak memerlukan masa yang panjang untuk menyedari kepincangan yang menjauhkan sokongan orang Melayu terhadap parti itu. Perhimpunan Agung UMNO Ke-58 yang berlangsung pada Oktober 2009 misalnya, adalah bukti bahawa UMNO boleh berubah untuk terus menaungi orang Melayu.

Perhimpunan agung pertama dengan Presiden baru iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak meniupkan semboyan transformasi yang sangat jelas. Ia menyaksikan beberapa usul Pindaan Perlembagaan UMNO dibentangkan selepas kali terakhir dibuat pada 2000.

Antara yang dipinda ialah proses pemilihan pemimpin tertinggi di dalam parti membabitkan lebih ramai pengundi. Ini sekali gus membuka lantai demokrasi yang lebih luas di dalam UMNO dan paling utama, menghapuskan gejala politik wang.

Pindaan yang tidak kurang pentingnya juga ialah penghapusan kuota bertujuan menjadikan UMNO lebih terbuka. Ini mempermudahkan mana-mana calon yang dilihat berkaliber menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti.

Selain transformasi dalaman, UMNO turut mengambil langkah drastik mendekatkan diri dengan rakyat kebanyakan. Program Juara Rakyat yang antara lain menjadi medan kepada pemimpin UMNO dan BN bertemu secara langsung dengan rakyat mendapat maklum balas positif.

Program itu sebenarnya mengambil semangat turun padang seperti yang dianjurkan oleh Najib yang kerap bertemu pelbagai golongan masyarakat sejak menjadi Perdana Menteri. Pendekatan Najib itu menjadi senjata utama kepada UMNO untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat.

Meskipun perlu menunggu pilihan raya kecil kesepuluh, iaitu di Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini untuk menang dalam erti kata yang sebenar, namun ia adalah penantian dan strategi yang berbaloi. Pilihan raya kecil itu memberi signifikan yang sangat besar kepada usaha transformasi yang dilakukan oleh UMNO dan ia boleh diibaratkan sebagai hadiah ulang tahun yang paling bermakna.

Namun tiada kegembiraan yang paling mengharukan bersempena ulang tahun UMNO yang ke-64 kali ini melainkan melihat parti ini terus kekal bertahan untuk orang Melayu di sebalik pelbagai dugaan yang dihadapi. Perasaan itu misalnya, dikongsi oleh veteran UMNO, Tan Sri Zaleha Ismail yang sangat berbangga dengan semangat juang UMNO dalam membangunkan bangsa, agama dan negara.

Kejayaan UMNO untuk kekal bertahan sehingga ke hari ini katanya, adalah kerana kejayaan pemimpin-pemimpinnya yang bersilih ganti meneruskan perjuangan hakiki pejuang-pejuang UMNO terdahulu.

''Saya sangat berkeyakinan dengan kepimpinan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak serta seluruh barisan kepimpinan UMNO hari ini. Saya juga berharap, seluruh rakyat Malaysia menyedari perjuangan UMNO serta parti komponen BN lainnya dan bersama-sama dengan perjuangan ini," katanya.

Tidak mahu terlalu larut dengan episod kekecewaan pada PRU12, Zaleha berkata, pasang surut serta turun naik sokongan rakyat terhadap UMNO sepanjang 64 tahun usia penubuhannya bukanlah sesuatu yang menghairankan. Ia adalah proses kematangan bagi membolehkan UMNO menilai kehendak rakyat dan berubah mengikut peredaran semasa.

''Sementelah, trend sokongan yang menurun itu juga tidak hanya berlaku terhadap UMNO, malah parti-parti komponen BN yang lainnya serta pembangkang ketika ini berdepan dengan situasi serupa. Apa yang lebih utama ialah bagaimana untuk UMNO bangkit semula dan membuktikan parti ini masih relevan untuk bersama-sama mencapai 1Malaysia," katanya.

Sudah semestinya, bekas Menteri Perpaduan Negara dan Pembangunan Masyarakat itu tidak berseorangan dalam menyimpan harapannya. Ia sudah semestinya turut dikongsi bersama oleh kira-kira 3.2 juta orang ahli UMNO yang akan meraikan ulang tahun penubuhan parti itu hari ini.

Apa yang pasti, ia bukanlah angan-angan yang kosong sekiranya seluruh ahli UMNO mengambil semula semangat perjuangan pemimpin terdahulu yang menjadikan agama, bangsa dan negara sebagai teras perjuangan.

Dengan teras perjuangan itu, orang Melayu keseluruhannya tidak akan berbelah bahagi menyatakan sokongan kepada parti keramat buat mereka ini.

No comments:

Post a Comment

KOMEN ANDA