RAJA AHMAD ANAK
DATUK BENDAHARA PUTIH
TUAN TITAH KE-10:
NENEK MOYANG KETURUNAN
RAO PERSEMENDAAN
DI RAUB ABAD KE-17
Oleh: Subari Ahmad Jaafar ar-Rawi, BCOMM (UPM),
ABSTRAK
Makalah
ini bertajuk “RAJA AHMAD ANAK DATUK BENDAHARA PUTIH TUAN TITAH KE-10: NENEK
MOYANG KETURUNAN RAO PERSEMENDAAN DI RAUB ABAD KE-17. Kajian ini cuba
menggunakan metode Pengisahan Sejarah yang tidak komparatif, tidak analisis
kritis terhadap kebenaran sejarah tokoh itu sendiri, kerana banyak
masukan cerita lisan dari mulut ke mulut di samping merujuk kepada buku-buku
dan Internet. Hasil pengisahan sejarah ini diharapkan akan memberikan gambaran
tentang bagaimana peranan Raja Ahmad anak kepada Yamtuan Raja Pangkat 1 @ Datuk
Bendahara Putih Tuan Titah Ke-10 @ Datuk Panglima Perak @ Tok Prak sebagai
antara Tokoh Berketurunan Raja Pagarruyung yang penting dalam pembinaan tamadun
bangsa Melayu abad ke-17 dalam menampilkan beliau sebagai antara pemula warisan
orang-orang Rao Persemendaan (Rawa/Rawi) di Lembah Semantan Hulu, Raub dan
Lembah Temau, Raub, Pahang di samping menyentuh mengenai kependekaran di dalam
persilatan, kealiman dalam Agama Islam dan pakar dalam bertani, tabib, menangkap
ikan sungai, makanan, kesenian dan adat berkampung di zamannya. Semoga tulisan
awal ini akan menumbuhkan maklumat baru dan seterusnya dapat melengkapkan
khazanah warisan Orang-orang Rao Persemendaan di Raub, Pahang.
( Dibentangkan di Seminar Tokoh-Tokoh Rao
Raub, Pahang pada 25 November 2012 di Sekolah Menengah Kebangsaan Gali, Raub
Pahang )
1.
PENDAHULUAN
“ Hai manusia, Sesungguhnya kami menciptakan kamu dari
seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan
bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling
mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara
kamu. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui lagi Maha Mengenal.”
(QS.49:13)
Apabila saya diminta oleh pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak Menyediakan Kertas Kerja Seminar untuk Seminar Memperkasakan Tokoh-Tokoh Rao dari Raub, Pahang. Saya sedikit terkedu, menarik nafas dalam-dalam dan kemudian menghantar rasa syukur saya ke hadirat Allah kerana kebetulan saya sedang mengusahakan pencarian jejak warisan seorang yang bergelar Raja Ahmad anak kepada Yamtuan Raja Pangkat 1 @ Datuk Bendahara Putih Tuan Titah Ke-10 dari Sungai Tarab, Pagarruyung, Sumatera yang berkelana ke Durian Sebatang, Teluk Intan Perak ketika berusia 42 tahun dan kemudian menyambung perkelanaan ke Gesing dan Sengkela dalam daerah Raub Pahang ketika usia 72 tahun.
Apabila saya diminta oleh pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tanjung Malim, Perak Menyediakan Kertas Kerja Seminar untuk Seminar Memperkasakan Tokoh-Tokoh Rao dari Raub, Pahang. Saya sedikit terkedu, menarik nafas dalam-dalam dan kemudian menghantar rasa syukur saya ke hadirat Allah kerana kebetulan saya sedang mengusahakan pencarian jejak warisan seorang yang bergelar Raja Ahmad anak kepada Yamtuan Raja Pangkat 1 @ Datuk Bendahara Putih Tuan Titah Ke-10 dari Sungai Tarab, Pagarruyung, Sumatera yang berkelana ke Durian Sebatang, Teluk Intan Perak ketika berusia 42 tahun dan kemudian menyambung perkelanaan ke Gesing dan Sengkela dalam daerah Raub Pahang ketika usia 72 tahun.
Sebaik tiba di Durian
Sebatang, Teluk Intan, Perak, Raja Ahmad telah membuang gelaran Raja diawal
namanya dan menggunakan nama Ahmad dalam berkomunikasi dengan masyarakat
setempat sehinggalah pada tahun 1727 Masihi , beliau telah mendapat anugerah
sebagai Datuk Panglima Perak. Raja Ahmad bukan sahaja seorang pendekar, pesilat
yang handal malah seorang Ahli Tasawuf dan Pendakwah Islam yang berkaliber. Selama
30 tahun Raja Ahmad telah berbakti di Negeri Perak di bawah pemerintahan lima
orang Sultan Perak iaitu Maulana Paduka Sri Tuanku
Sultan 'Ala' ud-din Mughayat Ri'ayat Shah ibni al-Marhum Sultan Mansur Shah (
1720 Masihi – 1728 Masihi ), Maulana Paduka Sri Tuanku Sultan Muzaffar Shah
III Johan Berdaulat Per Alam Jalalu'llah ibni al-Marhum Sultan Mansur Shah (
1728 Masihi – 1742 Masihi), Maulana Paduka Sri Tuanku Sultan Muhammad Shah
Aminu'llah ibni al-Marhum Sultan Mansur Shah ( 1742 Masihi – 1750 Masihi ),
Maulana Paduka Sri Tuanku Sultan Muzaffar Shah III Johan Berdaulat Per Alam
Jalalu'llah ibni al-Marhum Sultan Mansur Shah ( 1750 Masihi – 1754 Masihi ) dan Maulana Paduka Sri Tuanku Sultan Iskandar Zulkarnain Inayat Shah Kaharu'llah
Khalifat ur-Rahman Johan Berdaulat Zillu'llahi fil-Alam ibni al-Marhum Sultan
Muhammad Shah Amaiu'llah ( 1754 Masihi – 1765 Masihi ).
Kemudian Raja Ahmad
mengambil keputusan untuk meninggalkan Durian Sebatang, Teluk Intan, Perak
berhijrah ke Raub, Pahang melalui Hulu Sungai Slim tembus ke Hulu Sungai Lipis
dan berkampung di Gesing dan Sengkela Raub sekitar tahun 1755 Masihi ketika
berusia 72 tahun. Beliau sekali lagi menukar namanya dan meminta anak-anak dan
cucu-cucunya memanggil Raja Ahmad sebagai Tok Prak. Semasa itu Negeri Pahang di bawah pemerintahan Bendahara Tun Abas (1722 Masihi –
1764 Masihi ) dari Johor. Raja Ahmad meninggal dunia di Sengkela, Raub
dalam usia 102 tahun . Tok Prak di Gesing dan Sengkela, Raub, Pahang selama 30
tahun semasa Pahang diperintah oleh Bendahara Raja berpusat di Pekan, Pahang
ialah Tun Abdul Majid bin Tun Hasan,
Raja Bendahara I ( 1777 Masihi – 1802 Masihi )
2.
PUTERA DARI SUNGAI TARAB
Diriwayatkan bahawa Yamtuan Raja Pangkat 1 @ Datuk
Bendahara Putih Tuan Titah Ke-10 yang juga Orang Besar Anggota Dewan Besar
Empat Balai Kerajaan Pagarruyung bergelar Tuan Titah Sungai Tarab yang
merangkumi Gunung Merapi dan Gunung Singgalang di ranah Minangkabau, Sumatera
berasal daripada keturunan Raja Pagarruyung dari jurai keturunan Yamtuan Raja
Berkilap Alam @ Yamtuan Raja Gara @ Raja Bagewang 3 @ Datuk Bendahara Putih
Ke-7 @ Sultan Alif Khalifatullah Fil Alam 1 telah memperoleh seorang putera
sekitar tahun 1683 Masihi dan diberi nama Raja Ahmad.
Daripada usia Raja Ahmad
sehari hingga usia tujuh tahun, beliau telah dididik dengan penuh kasih sayang
dan dikasihi oleh adik-beradik kandung dan adik-beradik tiri dan dibesarkan
dalam suasana ‘Adat basandi syarak,
syarak basandi kitabullah, Syarak mangato adat memakai’. Di atas hakikat
itulah juga Raja Ahmad telah dihantar ke sekitar Tanah Datar untuk belajar
persilatan dan Ilmu Dunia pada usia 10 tahun. Kemudiannya Raja Ahmad dihantar
oleh ayahandanya ke sekitar Tanah Datar dan Agam untuk belajar Agama Islam
sehingga beliau berusia 20 tahun dan berjaya menjadi seorang yang Al-Hafiz
al-Quran di samping belajar Ilmu Saraf, Ilmu Nahu dan Ilmu Fikah, sehingga
beliau mampu menghafal al-Quran termasuk tafsir menghurai maksud dan makna
setiap ayat-ayat Al-Quran dan Hadis, bercakap bahasa Arab tepat dan
lancar, dan mendalami Ilmu Usuluddin dan
Syariah.
Apabila Raja Ahmad kembali
semula ketika berusia 24 tahun pada tahun 1707 Masihi ke Sungai Tarab, beliau telah dikahwinkan dengan
seorang Puteri anak kepada Orang Besar Kerajaan Pagarruyung, malangnya saya
masih menelusuri dan mencari maklumat akan nama Isteri Raja Ahmad dan
anak-anaknya di Sungai Tarab itu, tetapi masih belum berjaya.
Pada usia 40 tahun beliau
mendalami Ilmu Agama terutama Ilmu Tasawuf di beberapa Madrasah Terekat di
sekitar ranah Minangkabau di samping mengukuhkan lagi Ilmu Persilatan beliau kerana
telah tertanam di sudut hati kecilnya, suatu hari nanti beliau akan
meninggalkan ranah Minangkabau, meninggalkan tanah tumpah darahnya, berpisah
dan bercerai kasih dengan isteri dan anak-anaknya untuk berkelana merantau jauh
kerana tekanan pihak Belanda semakin menggila dengan bertindak menangkap dan
membunuh anak-anak raja dan cucu-cucu raja yang lelaki ke arah menghapuskan
Institusi Kesultanan Pagarruyung dan memudahkan pihak Belanda menjajah dan
mentadbir Alam Minangkabau, Sumatera.
3.
MERANTAU KE PERAK
Sekitar tahun 1725 Masihi,
Raja Ahmad bersiap-siap melarikan diri dari kampung halamannya pada suatu
tengah malam tanpa diketahui oleh sesiapa pun. Langkahnya langkah kanan
pendekar dan merantau selepas penuh ilmu di dada dengan Ilmu Dunia dan Ilmu Akhirat,
Ilmu Hakikat dan Ilmu Tarekat. Anggapan
buruk yang dilemparkan kepada beliau biarlah tinggal anggapan. Yang pastinya
beliau berkelana tidak untuk menyebarkan kejahatan atau pun kesesatan di muka
bumi kepulauan Melayu ini.
Sebelum berkelana, Raja
Ahmad ini yang sudah pun beristerikan seorang puteri dan beroleh beberapa orang
zuriat di Sungai Tarab, Pagarruyung. Isteri dan anak-anaknya ditinggalkan
dengan berat hati demi memenuhi seruan ghaib yang berkumandang di sanubarinya
yang paling dalam. Sebagai teman, dibawanya seorang daripada “kemanakannya” (anak saudaranya) yang
paling rapat dengannya bernama Raja Hitam, dan membuat janji, ‘biar pecah di perut, jangan pecah di mulut’.
Raja Ahmad amat berhasrat untuk merantau mencari tuah untung di bumi orang.
Melangkahlah Raja Ahmad
berusia 42 tahun dan Raja Hitam berusia sekitar 20an dengan membawa bersama
beberapa orang pengikut setia yang sanggup sehidup semati dengan mereka
meninggalkan Sungai Tarab, Tanah Datar Pagarruyung membelah Banjaran Bukit Barisan
yang megah itu sebelum turun ke Rantau Siak yang mana Kerajaan Siak baru
beberapa tahun terdahulu didirikan oleh Yang Dipertuan Raja Kecil Siak di Buantan.
Dari sana mereka menuju ke laut lepas meredah ombak Selat Melaka menuju ke
Semenanjung Emas atau lebih sinonim dengan namanya yang terkemudian,
Semenanjung Tanah Melayu.
Setiba di Tanah Semenanjung
Emas, mereka masuk melalui Kuala Sungai Perak dan tempat yang mula-mula
dijejaki mereka ialah di Durian Sebatang, Teluk Intan dalam jajahan Hilir Perak,
lalu berkampung dan menetap di situ. Raja Ahmad telah menanggalkan gelaran ‘Raja’
di depan namanya dan meminta pengikut setia dan orang ramai di Durian Sebatang,
Teluk Intan memanggil dengan nama Ahmad sahaja. Semasa itu, Perak diperintah
oleh Raja Radin ibni Yang Dipertuan Muda Raja Mansur bergelar Maulana Paduka
Sri Tuanku Sultan 'Ala' ud-din Mughayat Ri'ayat Shah ibni al-Marhum Sultan
Mansur Shah ( 1720 Masihi – 1728 Masihi ). Di bumi Perak inilah Raja Ahmad
dan Raja Hitam mula-mula mencuba nasib dan tuah badan untuk menilai apakah
mereka akan serasi hidup di sana atau pun tidak.
Kebetulan pada waktu
itu, perairan Perak sering diganggu oleh lanun-lanun dan bajak laut yang ganas
dan tidak berperikemanusiaan. Malangnya tidak ada walau seorang pun dari kalangan
pembesar mahu pun hulubalang Perak yang mampu menangani ancaman lanun-lanun
terbabit. Tidaklah diketahui bagaimana mula kisahnya, mungkin saja Raja Ahmad
sendiri menawarkan diri kepada Sultan Perak atau para pembesarnya untuk
membantu, tetapi yang pastinya Raja Ahmad dan Raja Hitam berserta para pengikut
setia mereka telah berbakti kepada Kerajaan Perak dengan menewaskan lanun-lanun
yang bermaharajalela berbekalkan ilmu persilatan dan kebatinan yang tinggi yang
dibawa mereka semenjak dari Sungai Tarab, Pagarruyung lagi. Sebagai balasan di
atas jasa beliau itu pada tahun 1727 Masihi, Raja Ahmad telah dikurniakan gelar
kemuliaan “Panglima Perak” oleh Maulana Paduka Sri Tuanku Sultan 'Ala' ud-din Mughayat Ri'ayat Shah ibni
al-Marhum Sultan Mansur Shah ( 1720 Masihi – 1728 Masihi ). Tidak ada diriwayatkan apakah beliau pernah diberi jajahan tertentu untuk
diperintah sebagai orang besar di negeri Perak atau pun tidak.
Mulai saat itu, pudarlah
nama batang tubuhnya yang asal iaitu Raja Ahmad lalu melekatlah panggilan
Panglima Perak atau Tok Perak sahaja dalam kalangan anak cucunya dan masyarakat
sekeliling yang mengenalinya. Raja Hitam pula kemudiannya dikenali sebagai
“Panglima Hitam” sahaja kerana mereka berdua beranak telah membuktikan
kehandalan ilmu kepahlawanan mereka sebagai seorang pendekar Melayu yang tulen.
Sekitar tahun 1728 Masihi,
Raja Ahmad telah bertemu jodoh dengan seorang gadis yang berasal dari Sungkai,
Perak dan bernama Nuriah berketurunan Rao. Maka dengan perkahwinan inilah
bermulanya keturunan Rao Persemendaan. Perkahwinan Raja Ahmad dengan Nuriah
ini, beliau telah dianugerahkan seramai enam orang anak iaitu Imam Abdullah
Hashim @ Duhas, Akil, Anjang Mas Suka, Halipah, Barir dan Pudi. Anak-anaknya
juga tidak diletakkan nama Raja di hadapan nama mereka. Beliau telah mendidik
anak-anaknya sebagaimana ayahandanya mendidik beliau dengan ilmu dunia dan
akhirat, ilmu persilatan dan ilmu agama Islam.
Selama 30 tahun di Durian
Sebatang, Teluk Intan, Perak, di samping tugas rasmi dengan Sultan sebagai
Panglima Perak, Raja Ahmad telah meneroka tanah untuk bersawah padi dan menanam
pokok buah-buahan. Beliau juga seorang pendulang emas dan bijih timah yang
handal. Apabila anak-anaknya mula membesar, beliau telah difitnah dari
Orang-orang Besar Perak dan beliau merasa amat dukacita dan mengambil keputusan
untuk berhijrah. Raja Ahmad tidak tahu apa kawasan di sebalik Banjaran
Titiwangsa yang nampak kejauhan dari Durian Sebatang, Teluk Intan, Perak tetapi
tekad dan hasrat beliau itu telah di ceritakan kepada Raja Hitam dan
pengikut-pengikut setianya. Lalu pada tahun 1755 Masihi, Raja Ahmad dan Raja
Hitam bersama isteri dan anak-anak masing-masing dan dituruti oleh
pengikut-pengikut setianya mula meredah hutan mudik menghala ke hulu melalui
Sungai Perak, memasuki Sungai Bidor melalui Batang Padang, Tapah hingga sampai
ke Hulu Slim dalam masa berbulan-bulan. Diriwayatkan mereka mudik menggunakan
rakit yang diperbuat daripada buluh. Banyak dugaan dan cabaran yang diterima
oleh Raja Ahmad dan rombongannya seperti serangan binatang buas seperti
harimau, ular, gajah, beruang, penyengat, tebuan, lebah, kala jengking dan
lain-lain. Orang Asli setempat juga ada yang menyerang mereka tetapi dapat
ditangkap dan dijadikan hamba sahaya untuk dijadikan penunjuk arah jalan dan
pemunggah barang-barang.
4. BERHIJRAH KE PAHANG
Daripada cerita-cerita lisan di kalangan Orang Asli yang
ditemui sepanjang pengembaraan Raja Ahmad ini, tahulah ia bahawa di sebalik
Banjaran Titiwangsa menuju ke Hulu Sungai Lipis dan menghilir ke Lembah
Semantan Hulu itu telah pun diduduki oleh kelompok perantau dari Alam
Minangkabau sejak 200 tahun lagi. Maka amat besar hati beliau untuk terus
mengembara mencari penempatan yang baru bagi beliau, isteri, anak-anak dan
pengikut-pengikut setianya berkampung.
Laluan yang diikuti mereka sama saja dengan laluan yang
diikuti oleh para perantau dan orang-orang berdagang dari Sumatera yang ingin
ke Hulu Pahang sebelumnya mahupun pada zaman selepas Raja menyusuri laluan
Sungai Perak - Sungai Bidor,Tapah hingga ke Hulu Slim sehingga tembus ke Hulu
Sungai Lipis di dalam daerah Raub, Pahang. Pada masa itu, yang memerintah
Negeri Pahang ialah Bendahara Seri Maharaja Tun Abas (1722 Masihi-1764 Masihi)
ibni Bendahara Paduka Raja @ Sultan Abdul Jalil Riayat Syah 4 (1699 Masihi-1718
Masihi).
Setiba di kawasan yang bernama Kela, Hulu Sungai, Raub
rombongan Raja Ahmad membuat penempatan sementara kerana beliau sedang meninjau
dan mendapat restu Para Pembesar di Hulu Pahang dan siapakah yang patut beliau
temui bagi memohon keizinan untuk membuka kampung mengikut istiadat Melayu
dahulukala. Setelah mengetahui “siapa Para Pembesar yang berkuasa” di Hulu
Pahang, Raja Ahmad yang sekali lagi menukar namanya kepada Tok Prak dalam usia
beliau 72 tahun telah pergi melakukan kunjungan hormat ke Bukit Kota dengan
menghilir Sungai Lipis kemudian mudik di Sungai Jelai ke Bukit Kota, Bukit
Betong, Lipis di mana terletak Pusat Pemerintahan Seri Maharaja Perbal Jelai
Wan Muhamad bin Wan Ismail. Seri Maharaja
Perba Jelai adalah salah seorang daripada Orang Besar Berempat Pahang yang
bertanggungjawab terhadap pentadbiran di rantau Hulu Pahang yang sangat luas
itu.
Selesai menghadap Seri Maharaja Perba Jelai di Bukit
Kota, barulah Raja Ahmad menghilir pula menuju ke Kampung Terap, Budu untuk melakukan
kunjungan hormat terhadap Tok Kaya Chandak, Orang Besar Berlapan Pahang
bergelar Orang Kaya Setia Wangsa Lipis yang kedudukannya setingkat di bawah
Seri Maharaja Perba Jelai. Kampung Terap adalah perkampungan Melayu yang boleh
dikatakan antara yang paling tua di Hulu Pahang dan telah pun wujud semenjak
abad ke-16 lagi. Di sinilah Tok Kaya Chandak berkampung halaman sebelum pusat
pemerintahan Tok Kaya Lipis ini dialihkan oleh pewaris seterusnya ke Penjom.
Diriwayatkan bahawa Kampung Terap dalam meniti usianya
sebagai kampung yang tua dan besar merupakan “kawah pelakuran pelbagai rumpun
bangsa Melayu”, kerana penduduk awalnya dikatakan datang dari Kerajaan Melayu
Melaka seawal tahun 1500 Masihi sebelum disambung pula oleh bangsawan
Minangkabau pada penghujung abad yang sama dan berlarutan hingga abad ke-17 dan
18.
Setelah Raja Ahmad @ Tok Prak mendapatkan keizinan dari
kedua-dua Pembesar yang menguasai tanah Hulu Pahang untuk membuka kampung dan
sawah ladang di mana-mana cabang anak Sungai Lipis yang masih belum ditandai
oleh orang lain. Lalu beliau bergegas mudik semula ke Hulu Sungai di mana
rombongannya berkampung sementara di Kela. Perhatiannya kini tertumpu ke arah
kawasan Lembah Semantan Hulu dan sekitarnya yang masih padat dengan hutan rimba
tetapi tanahnya yang subur menjanjikan suatu masa depan yang cerah bagi anak
cucunya di kemudian hari. Tambahan pula pada masa yang sama terdapat juga
kelompok keluarga Tok Kaya Chandak sendiri, atau lebih jelas lagi dari
keturunan Tok Kaya Ibrahim yang juga sedang giat mencari tanah-tanah baru untuk
dibuka (di sekitar Kampung Sega Tua yang kini telah sepi ditinggalkan orang)
yang betul-betul bersempadan dengan kawasan yang menjadi sasaran Raja Ahmad @
Tok Prak tersebut. Kelompok keluarga Tok Kaya Ibrahim yang juga keluarga Tok
Keli (Orang Besar 16 Pahang di Sega) ini kemudiannya berhasil membuka
perkampungan baru di sempadan Sega-Semantan Hulu yang diberi nama Kampung Pasir
Purun.
Dengan sukacitanya pengikut-pengikut Raja Ahmad @ Tok
Prak mula mengatur langkah menghilir Sungai Lipis menuju ke Semantan Hulu dan
berkampung sementara di situ. Di Semantan Hulu itulah Tok Prak, Raja Hitam dan
lain-lainnya dengan berbekalkan beliung kapak menebang menebas hutan rimba yang
subur menghijau di sepanjang aliran Sungai Lipis hinggalah berkembang
melahirkan Kampung Sengkela (sekarang dalam Mukim Sega) dan Kampung Gesing
(sekarang dalam Mukim Semantan Hulu). Di samping itu mereka juga mendapat
tenaga tambahan dari sebilangan Orang Asli yang pada waktu itu agak ramai menghuni
kawasan sekitarnya secara berpindah-randah.
Di sini jugalah sekitar tahun 1756 Masihi, Tok Prak yang
berusia 73 tahun beroleh isterinya yang kedua bernama Mikrah iaitu anak jati
Kampung Terap, Budu, yang juga masih berketurunan
Datuk Kaya Ibrahim Terap, Budu, Lipis. Jurai keturunan Tok Mikrah ini ialah Tok
Mikrah anak Tok Kaya Busu anak Tok Kaya Chandak anak Tok Kaya Ibrahim yang
bernikah dengan Tok Di Padang anak Hang Semaun anak Hang Tuah. Bermula dari
sinilah terjalinnya ikatan kekerabatan yang amat dekat lagi meluas dalam
kalangan penduduk Hulu Pahang yang bertebaran di semua mukim dan
kampung-kampung dalam daerah Raub dan Lipis bahkan merebak hingga ke Jerantut
dan Temerloh melalui ikatan perkahwinan generasi terkemudian.
daripada perkahwinan ini Raja Ahmad @ Tok Prak beroleh
tiga orang anak iaitu Pandak Lena, Fatimah
dan Kulop Mat Daham. Melalui perkahwinan pertamanya dengan Tok Nuriah dahulu,
mereka beroleh enam orang anak yang dapat dikesan iaitu Imam Abdullah Hashim @
Duhas, Tok Akil, Tok Barir, Halipah, Anjang Mas Suka dan Tok Pudi.
Selama 30 tahun menetap di Durian Sebatang, Teluk Intan,
Perak, sedikit-sebanyak budaya tempatan di sana melekat juga pada diri Tok Prak
dan pengikut-pengikut setianya dan ini dapat dilihat pada nama sebahagian
anak-anaknya yang jelas berbau 'kePerakan' seperti Kulop Mat Daham, dan Pandak
Lena walaupun bukan semua dari kalangan anak-anaknya itu dilahirkan di Perak.
Serentak dengan mula membina rumah-rumah yang teguh dan
tahan lama dari kayu-kayu cengal, meranti, damar, jelutung dan nyatuh oleh Tok
Prak, Raja Hitam, anak-anaknya yang dilahirkan di Perak semakin dewasa serta
pengikut-pengikutnya, surau juga dibina. Pembinaan surau iaitu sebuah di
Sengkela dan sebuah lagi di Gesing. Pembinaan surau ini di tepi tebing Sungai
Lipis kerana mudah bagi menyucikan diri untuk beribadat. Tok Prak bertindak
menjadi guru agama Islam bagaikan Syeikh
Mursyid bagi kedua-dua surau berkenaan dengan mengajar anak-anak buahnya mengaji
Al-Quran, Ilmu Hadis, Ilmu Saraf, Ilmu Nahu hingga kepada Ilmu Tasawuf.
Dalam tempoh beberapa tahun sahaja maka terkenallah Tok
Prak ini sebagai Guru Agama Islam Berkaliber dan disegani bertaraf seorang ‘Syeikh Mursyid ’ dan ‘Ulama’ dan
melenyapkan daripada pengetahuan orang banyak bahawa beliau juga pernah
menjawat jawatan Datuk Panglima Perak semasa menetap di Durian Sebatang, Teluk
Intan, Perak. Orang banyak baik di Sega Tua, Budu, Terap, Penjom, Pasir Mas, Kechau,
Telang, Bukit Betong, Bukit Kota, Kerambit, Mela, Tembeling, Kuala Semantan
hingga ke Bukit Segumpal, Chenor selalu menjemput Tok Prak untuk menyampaikan
Ilmu Agama Islam yang dimiliki beliau.
Semasa pengembaraan Tok Prak dalam usia 77 tahun di Bukit
Segumpal, pada tahun 1760 Masihi beliau berkahwin dengan seorang perempuan
tempatan dan memperoleh seorang anak perempuan yang diberi nama Mas Kuntum.
Saya tidak dapat mengetahui nama sebenar isteri ketiga Tok Prak ini, tapi ada
riwayat yang menceritakan bahawa nama ibu kepada Mas Kuntum itu dipanggil Ibu
Kuntum sahaja. Tidak banyak kisah yang dapat diketahui kecuali Tok Prak menjadi
Guru Tarekat di Bukit Segumpal itu.
Setelah merasa anak muridnya semakin ramai di Bukit
Segumpal dan Chenor, Tok Prak pun berangkat semula menuju hulu untuk kembali ke
Gesing dan Sengkela sekitar tahun 1762 Masihi. Dalam perjalanan mudik itu Tok
Prak telah diminta oleh orang-orang di Kerambit untuk mengajar Agama Islam dan
beliau tidak menolak. Di Kerambit ini beliau telah berkahwin dengan seorang
perempuan tempatan sehingga memperoleh dua orang anak, seorang lelaki diberi
nama Uban dan seorang perempuan yang tidak diketahui namanya.
Apabila Tok Prak merasa
semakin goyah untuk berjalan dan semakin tua, sekitar tahun 1763 beliau pun
kembali ke Gesing pada usia beliau 80 tahun. Isteri pertamanya Tok Nuriah telah
lama meninggal dan yang masih ada bersama beliau ialah Tok Mikrah. Manakala
isteri ketika yang dinikahi di Bukit Segumpal dan isteri keempat yang dinikahi
di Kerambit ditinggalkan di tempat-tempat berkenaan.
Pada tahun 1774 Tok Prak
yang ketika itu sudah berusia 91 tahun telah dijemput oleh orang-orang Tok
Pulau Manis untuk mengajar Agama Islam di kawasan Pulau Manis dan sekitarnya
hingga ke Kuala Chini di sebelah hulu Sungai Pahang dan hingga ke hilir ke
Pulau Rusa dan Ganchong, Pekan. Apabila dilihat oleh Tok Pulau Manis bahawa Tok
Prak sentiasa uzur, tetapi masih dapat melihat, masih boleh mengajar Cuma bila
hendak bergerak perlu dipapah oleh pembantu telah mengambil keputusan untuk
menikahkan Tok Prak dengan Safiah. Dengan harapan Safiah dapat menjaga makan
minum, pakai memakai dan kesihatan Tok Prak selama berada di Pulau Manis. Hasil
daripada perkahwinan kali kelima ini, Tok Prak telah memperoleh seorang anak
perempuan dan diberi nama Halimah. Diriwayatkan semasa Tok Prak meninggal dunia,
usia Halimah baru 10 tahun.
Pada ketika ini Pahang di bawah
pemerintahan Bendahara Raja berpusat di Pekan, Pahang ialah Tun Abdul Majid bin Tun Hasan, Raja
Bendahara I ( 1777 Masihi – 1802 Masihi )
Akhirnya setelah ramai murid yang diajar oleh Tok Prak
bukan sahaja dalam bidang Agama Islam, malah dalam Ilmu Persilatan, maka pada
tahun 1783 ketika berusia 100 tahun telah bergerak kembali semua ke Gesing dan
Sengkela dengan diiringi oleh isteri muda beliau yang bernama Safiah bersama
anaknya Halimah. Di Sengkela, Tok Prak telah meminta pengikut-pengikutnya
membina rumah untuk beliau dan Safiah bersama anaknya Halimah tinggal
sehinggalah Tok Prak menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika berusia 102
tahun semasa Negeri Pahang di bawah pemerintahan Bendahara Raja berpusat di Pekan, Pahang ialah Tun Abdul Majid bin Tun Hasan, Raja
Bendahara I ( 1777 Masihi – 1802 Masihi ).
Kata-kata
yang selalu disebut oleh Tok Prak kepada anak muridnya antara lain ialah: ”Sesiapa
yang hanya bertasawuf tanpa fiqah, maka zindik lah akan dia. Sesiapa yang hanya
berfiqah tanpa tasawuf, maka fasiq lah akan dia. Maka, sesiapa yang
menghimpunkan kedua-duanya; maka sesungguhnya tahkik lah akan dia”. Dan diikuti oleh kata-kata: “Kemudian sukalah (Rasulullah saw) kepada
al-Khola’ yang bermaksud bertekun atau bersungguh-sungguh bersemadi seorang
diri”. Perkataan al-Khola’ di dalam lafaz hadis ini ialah al-Khalwat yang
mempunyai makna tersembunyi, iaitu bersungguh-sungguh mengosongkan hati selain
berhadap kepada al-Khaliq semata-mata
Tok Prak disemadikan di Sengkela, Raub dengan meninggalkan seramai 16
orang anak, ratusan cucu dan ribuan cicit di kemudian hari dan mereka
menyebarluaskan darah warisan keturunan Rao melalui proses persemendaan hingga
kini.
5. KATA PENUTUP
Setelah lebih kurang 30
tahun mengerah tulang empat kerat membuka hutan rimba untuk dibuat kampung dan
sawah ladang, pada tahun 1785 iaitu pada zaman pemerintahan Bendahara Paduka
Raja Tun Abdul Majid (1770 Masihi-1802 Masihi) ibni Bendahara Seri Maharaja Tun
Abas, Raja Ahmad @ Tok Prak telah kembali ke rahmatullah dalam usia 102 tahun
dan dikebumikan di perkuburan zaman yang kini dinamakan “Bukit Baru” yang
terletak di belakang rumah Allahyarham Tok Empat Mohamed bin Imam Kundor,
Sengkela. Di sini jugalah bersemadinya jasad Tok Unus (menantu cucu beliau)
yang datang dari Kampung Machang Gelap, Chenor, Haji Abdul Latif @ Haji Mahkota
Kerinchi (juga menantu cucu beliau), Haji Abdul Manan Rawa yang berasal dari
Lansat Kadek, Rao Mapattunggul, Pasaman, Raja Hitam @ Panglima Hitam dan ramai
lagi Perantau Rao dari Alam Minangkabau, Sumatera yang tidak tersenarai namanya
dalam catatan riwayat.
Seorang daripada anak
Tok Prak, Tok Imam Abdullah Hashim @ Tok Duhas bertemu jodoh dengan perempuan
dari Kampung Terap, Budu dan di Kampung Terap jugalah beliau berkampung
halaman, berbakti sebagai imam masjid di sana sehingga ke zaman pemerintahan
Tok Kaya Busu bin Tok Kaya Chandak. Beliau beroleh 5 orang anak dan
cucu-cicitnya berkembang-biak dari Budu hingga ke Hulu Dong, Tualang Padang,
Pintu Padang, Tanjung Besar, Mukim Dong dan Mukim Gali.
Menjelang abad ke-18 Masihi dan 19 Masihi berturut-turutlah rantau Hulu
Pahang, terutamanya di Budu, Lipis melimpah hingga ke Semantan Hulu, Sengkela,
Gesing, Dong dan Gali (Gali Hilir hingga ke Hulu Gali didatangi oleh anak-anak
raja serta kaum bangsawan dari Pagarruyung, Kampar dan Rao Mapattunggul kerana
melarikan diri dari kemelut perjuangan menentang penjajah Belanda di Pulau
Perca (Sumatera) semasa era Perang Paderi yang dipelopori oleh Tuanku Rao dan
Imam Bonjol.
Melihat situasi yang unik ini, saya beranggapan bahawa kedatangan para
bangsawan dan anak-anak raja Pagarruyung serta Rao peringkat kemudian ini
ibarat menyusul jejak yang telah ditinggalkan oleh Raja Ahmad @ Tok Prak
sebelumnya, kerana pada hakikatnya mereka sama-sama berasal dari jalur
keturunan yang satu, iaitu kaum keluarga raja-raja di Pagarruyung dan Rao atau
pun dari wilayah yang mempunyai kaitan secara langsung dengan Pagarruyung.
Bahkan mereka juga berasal daripada rumpun bangsa yang satu, iaitu rumpun
Melayu Minangkabau.
Oleh itu saya merumuskan
dan mengisytiharkan bahawa Raja Ahmad anak kepada Yamtuan Raja Pangkat 1 @ Datuk Bendahara
Putih Tuan Titah Ke-10 @ Panglima Perak @ Tok Prak
merupakan seorang Tokoh Rao Persemendaan yang bukan sahaja menjadi nenek moyang
kepada orang-orang Rao Persemendaan di daerah Raub malah di daerah Lipis, Maran
dan Pekan. Beliau bukan saja memiliki ketokohan dalam persilatan dan
peperangan, malah kealiman beliau dalam Agama Islam bagaikan Syeikh
Mursyid menjadikan beliau mempunyai ramai anak muridnya
sepanjang Sungai Pahang, Sungai Jelai, Sungai Lipis dan Sungai Kechau. Marilah
kita sama-sama sedekah Al-Fatihah kepada Raja Ahmad @ Panglima Perak @ Tok
Prak.
Sekian siri pengisahan pada kali ini
dengan merakam, menulis daripada cerita-cerita lisan dari mulut ke mulut di samping merujuk kepada buku-buku
dan Internet. Hasil pengisahan sejarah ini diharapkan akan memberikan gambaran
tentang bagaimana peranan Raja Ahmad anak kepada Yamtuan Raja Pangkat 1 @ Datuk
Bendahara Putih Tuan Titah Ke-10 @ Datuk Panglima Perak @ Tok Prak sebagai
antara Tokoh Rao Persemendaan yang penting dalam pembinaan tamadun bangsa
Melayu abad ke-17 dalam menampilkan beliau sebagai antara pemula warisan Orang-orang
Rao Persemendaan di Lembah Semantan Hulu, Raub dan Lembah Temau, Raub, Pahang
di samping menyentuh mengenai kependekaran di dalam persilatan, kealiman dalam
Agama Islam dan pakar dalam bertani, tabib, menangkap ikan sungai, makanan,
kesenian dan adat berkampung di zamannya. Semoga tulisan awal ini akan
menumbuhkan maklumat baru dan seterusnya dapat melengkapkan khazanah warisan
Orang-orang Rao di Raub, Pahang.
Tamat.
DAFTAR PUSTAKA
Al-Imam Ali Al-Qari, Kitab Ain Al-Ilmu Wa Zain Al-Hilm (Vol. I), Hlm. 33.
(Kata-kata Imam Malik ra yang dipetik )
Amirul Mukminin Hadith, Al-Imam Ahmad bin Ali bin Hajar Al-‘Asqolani Asy-Syafii (772H–852H), Kitab Fathu al-Bari Syarah Sahih Al-Bukhari, (Vol. 1), Hlm. 22-23. Inilah asal khalwat yang disebut orang zaman sekarang ini sebagai suluk.
Al-Imam Al-’Alim Abu Qasim Abdul Karim bin Hawazan Al-Qusyairy, Kitab Risalah al-Qusyairiyah, Hlm. 43
Datoek Toeah. 1976. Tambo Alam Minangkabau. Pustaka Indonesia. Bukit Tinggi.
Graves, E. E. 2007. Asal-usul Elite Minangkabau Modern. Yayasan Obor Indonesia. Jakarta.
Hall, D. G. E. tanpa tahun. Sejarah Asia Tenggara. Usaha Nasional. Surabaya.
Marsden, W. 2008. Sejarah Sumatra. Komunitas Bambu. Depok.
Kardiyat Wiharyanto (2005) Asia Tenggara Zaman Pranasionalisme. Jogjakarta:
Universitas Sanata Dharma.
Muhammad Bukhari Lubis, Mohd. Rosli Saludin, Talib Samat (2009), Rao Di
Sana Sini, Jaro Malaysia.
Muhammad Yusof Hashim, Aruna Gopinath ( 1992), Tradisi Persejarahan Pahang
Darul Makmur 1800 – 1930, Tempo Publishing
Buyung Adil (1972), Sejarah Pahang, DBP
Haji Ishak Muhd. Arif (1908 – 1992), Riwayatul-Temmaui (Catatan Dalam
Tulisan Jawi mengenai Salasilah Keturunan Kulawarga Tok Prak di Raub, Pahang.
Hamka (1974) Antara Fakta dan Khayal Tuanku Rao: Bantahan Terhadap tulisan Ir Onggan Parlindungan dalam bukunya Tuanku Rao. Jakarta: Bulan Bintang
_____ (2007) Tasauf Modern. Jakarta: Pustaka Panjimas
Hasmah Haji Omar (2005) Sama Serumpun. Tanjung malim: UPSI
Hasyim Awang (1998) Rumpun Melayu Dispora dalam konteks hubungan Ras. Kuala Lumpur: Universiti Malaya
Khazin Mohd Tamrin dalam DInamika Adat dan Tradisi Merantau di Alam Melayu dalam adat Melayu serumpun. Kuala Lumpur: Universiti Malaya
M. Rajab (1976) Perang Paderi. Jakarta: Bulan Bintang
M. Solihin (2005) Melacak pemikiran Tasawuf di Nusantara. Jakarta: Rajawali Pers
Mahmud Yunus, (1996) Sejarah Pendidikan Islam di Indonesia. Jakarta: Hidakarya Agung
Undri, (2008) Pusat Dokumentasi Informasi Sejarah-Budaya BPSNT Padang. Padang Ekspres
_____ (2004) Konflik Lahan Perkebunan 1930-1960. Padang: Lipi
Wan Moh. Shagir Abdullah (2001) Penyebaran Islam dan Silsilah Ulama Sehagat Dunia Melayu. Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah
Wan Moh. Shagir Abdullah (2004) Wawasan Pemikiran Islam Ulama Asia Tenggara. Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah
Zaffuan Haji Manaf (2007) Bingkisan Sejarah Raub: Rao Dan Pagaruyung Dengan Raub dan Pahang. Kuala Lumpur: Anjung Media Resources
Zuriati (2007) Undang-undang Minangkabau Dalam Perspektif Ulama Sufi. Padang: Unand
Zabidin Haji
Ismail (2012), Biografi Tokoh Rao, Persatuan Karyawan Perak
Wikipedia. Ensiklopedi Bebas. http://wikipedia.org.
Blog Teromba Rawa: http://terombarawa.blogspot.com
Blog Urang Rao Raub: http://orangrawa.blogspot.com
BIODATA SUBARI AHMAD JAAFAR
AR-RAWI
Subari bin Ahmad bin Jaafar Ar-Rawi atau lebih
dikenali dengan nama penanya Arisel BA dilahirkan pada 11 Ogos 1953 di Ladang
Selborne, Kuala Lipis, Pahang. Ayahnya Ahmad ( keturunan Rawa/Banjar) berasal
dari Kg Sungai Ruyung, Gali, Raub Pahang, manakala ibunya Kamsah ( berketurunan
Rao/Jawa ) berasal dari Kg Temau, Raub, Pahang. Beliau mendapat pendidikan
rendah dan menengah dari Sekolah Clifford, Kuala Lipis, Pahang. Beliau antara Graduan Siri Pertama
Pembelajaran Dalam Talian (Internet) Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Putra Malaysia (UPM) bermula tahun 1999 dan dianugerahkan dengan Bacelor
Komunikasi. Beliau kini telah bersara dari Perkhidmatan Kerajaan dan menumpu
sepenuh masa membuat kaji selidik dan menulis perihal asal usul dan budaya masyarakat
Rao di Raub. Di samping itu beliau menulis sajak, cerpen, rencana dan novel.
Menjadi ahli Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Pahang, ahli JARO Malaysia, Subari
juga pernah menjadi Setiausaha Agung Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP)
selama 10 tahun (1983-1993) dan Setiausaha Hari Sastera 1987. Kini beliau
sebagai Pegawai Seranta DPMP di samping menganggotai PENA sejak 1972 sebagai
ahli biasa.
No comments:
Post a Comment
KOMEN ANDA