BAHANA BAHAMAN ( 1 )
Tahun 1838, Di bumi Rantau Panjang,
Tuanku Imam Nuh dan Rokiah girang
Menyambut zahir si buah hati tersayang
Diberi nama Abdul Rahman, periang
Diasuh ibu dan bapa sedari kecil lagi
Diterap ilmu silat dan ilmu laduni
Lincah pendekar, kebal diri, pemberani
Apabila remaja, warisi pesilat terhandal
Rakan-rakan sebangsal mesra memanggil
Seman Tahan, Seman Tahan, Seman Tahan
Dan alur sungai membelah Lembah Kerau, gigil
Mengalir di Lanchang, di namakan Semantan
Sempena nama sebutan gurau Seman Tahan
Pendekar licik, pintar berkeris lembing, kebal
Kerana hebat dan unggul di gelanggang
Diakui anak angkat Bendahara Tun Ali Pahang
Dan tatkala berjaya tewaskan lanun petualang
Terima anugerah Datuk Setia Perkasa Pahlawan
Namanya dipanggil Panglima Kakap Bahaman
Setia Bahaman kepada Bendahara Pahang
Nyawanya di pertaruh, diri dipersiapkan berperang
Terhutang nyawa, budi dan jasa kepada Bahaman
Wan Ahmad selepas di nobat jadi Bendahara Pahang
Menganugerahkan Bahaman martabat gelaran
Orang Kaya Semantan Datuk Bahaman
Semasa sumpah berlapan di Pasir Tambang
Saksi mata pahlawan di muara Kuala Tembeling
Bendahara Wan Ahmad permata negeri, didaulat
Di nobat Seri Maharaja Perba Jelai, sah
Sebagai Sultan Ahmad Al-Mu'adzam Shah
Bahaman saksi sakti menyimpan sumpah
Biar pecah di perut, tidak pecah di mulut
Berbulan alur Sungai Tembeling berdarah
Tatkala Pahang berkecamuk tragis perang saudara
Disember, 1890, saudagar Inggeris
menjelma
Balai Polis Lubuk Terua mahu dibina
Bahaman marah, diperangi Inggeris penjajah
Sultan Ahmad murka, digelar Bahaman penderhaka
Bahaman dilucut pangkat, gelar dan jajahan tanah
Perang Semantan bergelombang, pendekar bermaruah
Bermain keris lembing bertahan rejam peluru rentaka
Sungai Semantan berbulan memerah darah pahlawan
Di atas Gerakan Membunuh Penderhakaan
Hugh Clifford dan Tengku Mahmud ketuai pasukan
Tanggal 21 Disember 1891, Kampung Kelubi bergema
Jerit pekik pendekar, dentuman bedil dan rentaka
banyak sepoi Benggali mati, Inggeris kekecundangan
Sultan Ahmad diugut Residen Inggeris, JP Rodger
Pemberontakan Bahaman mesti segera ditamatkan
Tanggal 22 Januari 1892, Gerakan Sultan digerakkan
Selain JP Rodger, disertai Tengku Ali, Abdullah Bera,
Panglima Garang Yusuf dan Saiyid Ali Badoh menggempur
Kekuatan 800 orang pendekar Sultan dan sepoi Benggali
Sebelas kubu termasuk Kubu Batu Ampar lebur
Malangnya Bahaman dan pengikut gagah setianya
Menghilang diri, bersembunyi, menghapus jejak kaki
Pada Mac 1892, Bahaman menawan Lubuk Terua
Dibantu Datuk Indera Gajah Imam Perang Rasu,
Lubuk Terua dikawal warga Chempaka dan Buluh
Akhirnya pada Mei 1892, Inggeris menyerang kubu
Ke Lembah Semantan, lebih ramai Pendekar Sultan
Dan sepoi Benggali, membakar tanaman dan rumah
Berbantu bedil pemuras, rentaka dan meriam besar
Bahaman akur tidak terlawan, pendekar Semantan
Bersenjata keris, pedang, panah, dan lembing pusaka
Berundur ke Lembah Tembeling menerjah Pasir Raja
Di sana Bahaman membina pasukan perangnya
Mengukuh yakin diri pengikut, kebal bertakwa
Di Lembah Semantan warga menerus hidup, tenang
Solat, zakat, puasa dan ibadat haji ke Makkah
Dapat diamalkan, Sultan Ahmad menghantar wakilnya
Abdullah Bera menjaga tanah jajahan takluknya
Berperisai Inggeris berwajah sopan hati serakah,
Sebenarnya Inggeris bercitra menjajah Pahang
Arisel BA,
Kg. Tranum, Tras,
Raub, Pahang
13 November 2012
No comments:
Post a Comment
KOMEN ANDA