PKR TUBUH CAWANGAN DI SELURUH PAHANG
KUANTAN – Ketua Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Datuk Fauzi Abd Rahman penuh yakin rakyat di negeri ini semakin ramai memilih Pakatan Rakyat (PR) menyebabkan banyak cawangan PKR akan dibuka dalam jangka masa terdekat.
Katanya, PKR akan membuka lebih banyak cawangannya di seluruh Pahang pada tahun ini, terutama terdapat perubahan terhadap dasar kerajaan yang dianggap lemah menyebabkan rakyat mahukan pembaharuan bagi kesejahteraan mereka.
Menurutnya, sejak pilihan raya umum ke-12 tahun lalu, gelombang perubahan yang dibawa PR menyebabkan rakyat mula berani untuk menyatakan pendirian dan prinsip masing-masing.
“Kalau tiga empat tahun dahulu, untuk berjumpa masyarakat yang ramai memberi sokongan secara terang-terangan agak sukar, tetapi ketika ini berlaku sebaliknya.
“Bagaimanapun keadaan tersebut semakin berubah dan dalam pelbagai majlis anjuran PR, rakyat sudah berani untuk tunjukkan diri bagi menyatakan sokongan mereka terhadap PR,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis pertemuan dan ramah mesra masyarakat dan pemimpin serta perasmian Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Semambu di Indera Mahkota di sini, baru-baru ini
Hadir sama Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail; Ahli Dewan Undangan Negeri Beserah, Syad Mohamed Tuan Lonnik dan Ketua Cawangan PKR DUN Semambu, Syed Talib Syed Abd Rahman.
Fauzi berkata, hukum hudud yang dibawa Pas harus diterima baik oleh semua agama kerana perlaksanaan hukum itu tidak kejam seperti yang diheboh-hebohkan selama ini.
“Sejarah Islam menunjukkan yang perlaksanaan hukum hudud itu sendiri membawa kemakmuran dan kemajuan terhadap tamadun Islam yang dibina Rasulullah dan sahabatnya,” katanya.
Sementara itu, Azan Ismail berkata, rakyat pada tahun ini harus bersedia bagi menghadapi keadaan ekonomi lembap dan seterusnya mampu menggugat perbelanjaan terutama mereka kurang berkemampuan.
Katanya, pelbagai langkah dan perancangan perlu diatur agar sebarang bentuk masalah berkenaan ekonomi dapat diatasi dengan baik serta tidak mengganggu kehidupan masing-masing.
Beliau berkata, ibu bapa perlu memainkan peranan mereka bagi membina generasi berilmu dan berakhlak mulia kerana ia adalah agenda pembangunan negara pada masa akan datang.
Dipetik dari Mingguan Watan
Bil.20, 11 - 17 Januari 2009
No comments:
Post a Comment
KOMEN ANDA