ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

ANAK-ANAK AHMAD JAAFAR AR-RAWI

Monday, December 29, 2008

Tuanku Muhriz Dimasyhur Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11


Tuanku Muhriz Dimasyhur Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11



KUALA PILAH, 29 Dis Bernama) -- Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, 60, hari ini dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Istiadat pemasyhuran itu dilakukan oleh Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti pada 3.45 petang.

Upacara itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 dilakukan berikutan kemangkatan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

Pelantikan Yang Dipertuan Besar itu dilakukan mengikut Adat Perpatih Negeri Sembilan.

Tuanku Muhriz dilantik sebagai Yang Dipertuan Besar daripada antara Putera Yang Empat menurut perlembagaan negeri dalam satu majlis ringkas di sini.

Tiga putera lagi, Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar, Tunku Muda Serting Tunku Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar dan Tuanku Panglima Besar Tunku Nazaruddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar turut hadir.

Semalam, empat Undang iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau bersama-sama Tunku Besar Tampin mengadakan persidangan tertutup bagi memilih Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru.

Dilahirkan pada 14 Jan 1948, Tuanku Muhriz menerima pendidikan awal di Sekolah Menengah King George V, Seremban dan meneruskan pengajiannya di Aldenhem School, United Kingdom.

Tuanku Muhriz memperoleh Sarjana Muda Undang-undang dari University College of Wales, Aberystwyth, United Kingdom.

Tuanku Muhriz merupakan putera tunggal daripada enam putera serta puteri Almarhum Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman dan Tunku Ampuan Durah Binti Tuanku Besar Burhanuddin.

Tuanku Muhriz mendirikan rumahtangga dengan Tengku Datuk Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud dari Terengganu dan mempunyai tiga putera iaitu Tunku Ali Redhauddin Muhriz, 31, Tunku Zain Al-'Abidin Muhriz, 26, dan Tunku Alif Hussein Saifuddin Al-Amin, 23.

Pada 1967, Tuanku Ja'afar yang juga ayahanda saudara tiri Tuanku Muhriz, dilantik oleh Undang sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, memandangkan usia Tuanku Muhriz yang masih muda pada ketika itu, selepas kemangkatan ayahanda baginda, Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman.

Tuanku Muhriz adalah seorang ahli perniagaan dan pengarah Bangkok Bank.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

KOMEN ANDA